Artikel Popular

Friday, April 3, 2020

Pasca-PRK Tanjung Piai: Protes yang Berpanjangan


JUMAAT, 3 April 2020
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH

Pada petang 16 November 2019, saya minum kopi bersama-sama seorang kawan saya sambil mengikuti liputan pilihan raya kecil (PRK) melalui telefon bimbit masing-masing. Meskipun pusat mengundi baru sahaja ditutup,  media sosial  daripada blok Barisan Nasional (BN) mula menunjukkan bahawa kemenangan memihak kepada mereka. Apabila satu demi satu keputusan awal diketahui, semakin jelas bahawa Pakatan Harapan akan mengalami satu lagi kekalahan dalam PRK yang diadakan di Semenanjung.
            Kawan saya memberitahu bahawa beliau  mengikuti kempen di Tanjung Piai, yang pastinya tidak memeranjatkan sekiranya Bersatu sekali lagi kehilangan kerusi, seperti yang berlaku di Dewan Undangan Negeri Semenyih. Sambutan orang ramai di sana terhadap setiap kempen yang diadakan oleh BN jelas menunjukkan bahawa mereka akan memilih calon parti itu. “Dalam kempen yang diadakan oleh BN di kawasan Melayu, kelihatan ramai orang Cina dan begitu juga sebaliknya. Ceramah kelompok PH jelas tidak mendapat sambutan orang ramai.”
Khusus untuk ceramah MCA, sambutan orang Cina diibaratkan sambutan mereka terhadap setiap ceramah DAP dalam pilihan raya umum (PRU) ke-14 dan sebelum itu. Segala-galanya berubah di Tanjung Piai yang sejak awal lagi menandakan satu “arus balik” akan berlaku. Perubahan yang berlaku secara mendadak yang tidak mampu dibendung dengan kudap-kudapan dan pelbagai harapan yang dijanjikan semasa kempen, pasti ada puncanya.  Apa yang berlaku dalam PRU lalu, yang menyaksikan ceramah BN  secara keseluruhannya, tidak dipedulikan oleh orang ramai, kini berjangkit kepada PH.
            Sambil menghirup kopi dan mengikuti laporan keputusan, saya bertanya kepada kawan saya, “Adakah momentum kemenangan BN sejak PRK Cameron Highlands, Semenyih, Rantau, dan kini, Tajung Piai  akan berterusan hingga pilihan raya umum akan datang?” Jawab kawan saya, “Belum pasti kerana kejayaan BN dalam kesemua PRK itu berpunca daripada keberangan rakyat terhadap PH. Sekiranya PH  yang merupakan parti kerajaan dapat meredakan keberangan itu, seperti menunaikan beberapa janji dalam manifesto dan mengurangkan kesengsaraan hidup rakyat, maka BN akan kehilangan modal besar mereka.”
            Ketika kami berpisah kira-kira jam 7.00 malam, berdasarkan keputusan demi keputusan yang dilaporkan, calon BN jauh mendahului saingan utamanya, calon PH daripada  Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). Nampaknya PH, khususnya Bersatu sekali lagi akan menghadapi malam yang panjang.
            Menepati jangkaan banyak pihak, termasuk tinjauan pendapat Ilham Centre dan saya sendiri, keputusan rasmi menunjukkan bahawa calon BN,  Wee Jeck Seng memenangi PRK Parlimen Tanjung Piai,  memperoleh 25,466 undi, menewaskan calon lain, iaitu  Karmaine Sardini calon Bersatu yang  memperoleh 10,380 undi,  calon Gerakan, Wendy Subramanian menerima 1,707 undi,  calon Berjasa, Datuk Dr Badrulhisham Abdul Aziz memperoleh 850 undi, dan dua  calon bebas, iaitu  Dr. Ang Chuan Lock memperoleh 380 undi dan Faridah Aryani Abdul Ghaffar, 32 undi. Keputusan majoriti 15,086 undi memang di luar jangkaan  pemimpin politik, pemerhati politik, dan pekerja parti yang bertanding, bahkan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri memberitahu beberapa hari selepas itu,  bahawa beliau menjangkakan calon partinya kalah kira-kira 2000 undi.
            Keputusan  itu  ditafsirkan oleh cerdik pandai politik sebagai pungutan suara kepada  Tun Mahathir. Bahkan, terdapat dalam kalangan pemimpin parti komponen PH,  belum sempat bermalam, menyasarkan kritikan mereka terhadap beliau. Sesetengah  cerdik pandai mentafsirkan kekalahan Maruah Melayu di tangan Muafakat Nasional, kekalahan Bersatu yang kaya dengan sumber di tangan perang gerila UMNO, dan kegagalan kempen “Buy Muslim First” atau BMF. Seorang ahli akademik tempatan yang menganalisis keputusan PRK itu, mengibaratkan PH ‘kiambang yang sentiasa memerlukan air untuk terapung.”   Perlu ditambah di sini: Retorik Malaysia Baharu menjadi basi dalam sekelip mata.
            Seperti lazim, “orang yang  menang selalunya betul,” manakala yang kalah serba tidak kena dan serba-serbi  kekurangan. Kekalahan calon parti pemerintah  dalam majoriti yang memeranjatkan banyak pihak;  tambahan pula, berlaku dalam tempoh kira-kira satu tahun setengah. Tatkala BN tersenyum lebar meraikan kemenangan,  PH bertelagah sesama sendiri meratapi kekalahan yang sungguh dramatis itu. Selain Tun Mahathir, pemimpin DAP, seperti Lim Kit Siang; demikian juga, Anwar yang dipersalahkan kerana tindak-tanduknya yang jelas tidak sabar untuk menjadi Perdana Menteri sehingga para pengundi naik meluat dan bosan. Perpaduan yang longgar atau pertelagahan dalam kalangan parti komponen PH turut menyumbang kepada kekalahan teruk calon PH.
            Berdasarkan pemerhatian saya ketika mengikuti kempen di Tanjung Piai, jelas bahawa BN mendahului PH dari banyak segi, dan yang ketara dalam “permainan padang.” Penyelarasan gerak kerja dalam kalangan parti PH, yang terdiri daripada Bersatu, Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP, dan Parti Amanah Negara (Amanah) memang lemah dan tidak kelihatan bergerak sebagai satu pasukan. Bahkan, pada hari pengundian, menurut laporan media, petugas daripada PKR, DAP, dan Amanah meninggalkan jentera kempen Bersatu seorang diri.
Jelas bahawa setelah memberikan sokongan kepada PH sehingga berjaya menumbangkan kerajaan BN yang memerintah selama 60 tahun, para pengundi mula berpaling tadah, kerana kegagalan kerajaan PH menunaikan segala janji manis mereka dalam PRU lalu. Dengan pelbagai retorik   yang secara terang-terangan memperlekeh atau mempersendakan   rakyat jelata: manifesto bukan kitab suci, baru kahwin malam ini, mustahil esok dapat anak, tanam durian memerlukan masa lima enam tahun untuk mengeluarkan hasil.
            Penyakit yang melanda BN ketika pimpinan Tun Abdullah Haji Ahmad Badawi seakan-akan mula mendekati  PH. Kita selalu mendengar orang berkata, “yang pasti, kunci kegagalan ialah apabila kita cuba memuaskan hati setiap orang.” Selepas menang besar dalam PRU 2004, kepimpinan Tun Abdullah ditanggapi sebagai “tidak cuba memuaskan hati setiap orang” yang jelas kelihatan ketidakgiatan untuk menangani pelbagai isu yang berbangkit. Akibatnya,  orang Melayu dan bukan Melayu marah, sehingga menyebabkan BN kalah teruk pada tahun 2008, iaitu hilang empat negeri, iaitu Pulau Pinang, Kedah, Perak, dan Selangor, gagal menawan Kelantan, serta hilang majoriti dua pertiga di  Dewan Rakyat.
            Khusus  bagi orang Melayu  keluh-kesah dan perasaan tidak puas hati mereka   semakin menjadi-jadi. Mereka secara terbuka menjauhkan diri mereka daripada PH. Sejak PRK Sungai Kandis tahun 2018 lagi, orang Melayu mula menjauhkan diri mereka daripada PH, seperti yang dapat dilihat dalam beberapa PRU yang menyusul selepas itu. Trend ini jelas kelihatan sejak PRK Cameron Highlands, Setakat ini, PH gagal menambat hati orang Melayu, serta  gagal meredakan  ancaman yang ditanggapi dalam diri orang Melayu  yang merupakan golongan majoriti. Di Tanjung Piai, orang Melayu yang merupakan 57.6 peratus pengundi,  dengan jelas, menterjemahkan keluh-kesah    mereka.
Dalam PRU lalu, di Semenanjung, 25 peratus orang Melayu mengundi PH, manakala 75 peratus kepada BN dan PAS. Oleh sebab itu, dikatakan kekalahan BN sebagai kejatuhan kuasa politik Melayu. Kini UMNO dan PAS menjalinkan kerjasama melalui Muafakat Nasional.  Pemerhatian saya dalam PRK Tanjung Piai jelas bahawa kerjasama UMNO-PAS memperlihatkan impak yang ketara. Para penyokong PAS, baik dari Johor mahupun luar Johor memberikan sokongan kuat dan menunjukkan komitmen yang tinggi terhadap calon BN daripada MCA itu, tanpa mengharapkan apa-apa ganjaran. PH tidak boleh memandang rendah terhadap kerjasama UMNO-PAS yang boleh dianggap gabungan nasionalis-Islamis  dalam mencorakkan politik tanah air terutamanya dalam kalangan orang Melayu-Islam, meskipun kerjasama itu cuba diberikan beberapa gelaran negatif.
Sesuatu yang memeranjatkan berlaku dalam PRK Tanjong Piai apabila  orang Cina yang merupakan 41.4 peratus pengundi, beranjak secara ketara daripada PH kepada BN.  Sebagaimana orang Melayu, mereka juga tidak puas hati terhadap prestasi  kerajaan, terutamanya dalam menangani kos sara hidup yang semakin meningkat. Mereka juga marah kerana kerajaan PH gagal menunaikan segala janji yang ditaburkan dalam PRU lalu. Mereka  tidak puas hati terhadap langkah kerajaan memperkenalkan tulisan Jawi di sekolah jenis kebangsaan dan isu Zakir Naik. Tindakan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menghentikan geran  pada tahun 2019 dan 2010, untuk Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman yang lebih dikenali sebagai TAR UC, mencetuskan kemarahan pengundi Cina kerana bagi mereka, tidak semua orang Cina mampu menghantar anak-anak mereka ke universiti swasta yang memerlukan perbelanjaan yang tinggi. Bagi para pengundi yang terdiri daripada pekebun kecil kelapa sawit, mereka tidak berasa puas hati terhadap Menteri Industri Utama, Teresa Kok yang dianggap gagal menangani kejatuhan harga kelapa sawit yang merupakan periuk nasi mereka. Sementara orang Melayu beranggapan bahawa kerajaan PH dikuasai oleh DAP, orang Cina pula beranggapan bahawa para pemimpin parti itu sejak menjadi  kerajaan mula kehilangan suara kecinaan.
Ilham Centre   meramalkan 76 peratus pengundi Melayu memilih BN berbanding 21 peratus untuk PH, manakala bakinya, tiga peratus untuk calon Berjasa. Pengundi Cina pula, diramalkan 62 peratus memilih BN berbanding dengan 35 peratus untuk PH dan tiga peratus untuk Gerakan. Dalam PRK ini, menurut analisis Ilham Centre, BN memenangi kesemua 27 pusat daerah mengundi (PDM) dan memenangi 124 daripada 125 saluran mengundi. Dalam PRU lalu, PH memenangi  11 daripada 27 PDM (majoriti Cina), manakala BN memenangi   selebihnya (majoriti Melayu). Dalam PRU lalu, PH memenangi 49 daripada 128 saluran, manakala BN memenangi selebihnya, iaitu  79 saluran.
            Daripada keputusan di Tanjung Piai jelas bahawa politik jati diri, iaitu kaum dan  tidak mempengaruhi para pengundi, meskipun wujud kempen “BMF.”  Bahkan, taraf iman  Karmaine tidak memberikan sebarang impak dan gagal mencabar kebolehpercayaan para pengundi terhadap Wee Jeck Seng. Keputusan BN meletakkan Wee daripada MCA yang pernah berkhidmat sebagai wakil rakyat di kawasan itu dianggap langkah bijak. Meskipun ada ura-ura UMNO mahu calon parti itu diturunkan, pucuk pimpinan BN atas semangat setiakawan, menurunkan semula Wee yang kalah dalam PRU lalu. Kejayaan beliau menang dengan meraih  majoriti besar tidak akan diperoleh  sekiranya calon UMNO  mewakili BN. Silap-silap MCA boleh berpaling tadah. Anehnya, UMNO dan PAS yang bekerja bermati-matian dan bertungkus-lumus untuk memastikan kemenangan calon Cina itu digembar-gemburkan oleh PH dan pihak yang menentang politik jati diri dengan menuduh kedua-dua parti itu menggadai Muafakat Nasional.
            Sebagai perbandingan, BN yang kehilangan kuasa dengan cepat menyesuaikan diri mereka sebagai pembangkang dan seterusnya membina semula kekuatan. Sebaliknya, PH yang berkuasa masih kelihatan sukar untuk memperlihatkan dan menyesuaikan diri mereka sebagai kerajaan. Ahli politik PH ada yang masih lagi terbawa-bawa dengan tindak-tanduk pembangkang mereka selama ini, padahal mereka kini kerajaan. Dalam ketidakmampuan dan kebuntuan mereka memenuhi pelbagai tuntutan rakyat yang ada kalanya bercanggah antara satu sama lain, ahli politik dan menteri PH  tidak henti-henti menyalahkan kerajaan BN dan bekas Perdana Menteri Mohd. Najib Razak, padahal “bola kini di kaki mereka sendiri.”
            Dalam PRU lalu, PH menggunakan skandal 1MDB untuk menyerang BN dan menjadikan Najib Razak (dan isterinya, Rosmah Mansor) sebagai “tebusan,” dan langkah ini  sungguh berkesan dan menjadi. Namun begitu, taktik  itu,  tidak lagi berkesan kerana BN telah dijatuhkan melalui kuasa rakyat dan Najib bukan sahaja tidak berkuasa lagi, tetapi beliau juga diheret ke muka pengadilan dengan  berpuluh-puluh tuduhan. Di Tanjung Piai, para pengundi tidak lagi terpengaruh dengan taktik  PH yang menyalahkan Najib dan mendedahkan skandal 1MDB.
            Jelas bahawa Muafakat Nasional berjaya mempengaruhi pengundi Melayu di Tanjung Piai. Oleh sebab Muafakat Nasional didukung oleh UMNO dan PAS, maka mereka tidak teragak-agak untuk mengundi calon bukan Melayu. Oleh sebab pengundi Melayu lebih mempercayai  kedua-dua parti ini dalam menentukan untung nasib dan  masa hadapan mereka,  maka mereka tidak mengendahkan  segala  kempen PH untuk memburukkan MCA dan Wee Jeck Seng yang dikatakan,  kononnya anti-Melayu dan anti-Islam.
            Jika kita perhatikan beberapa PRK, termasuk di Tanjung Piai,  PH masih tidak berupaya menebus “defisit” keyakinan orang Melayu, bahkan keadaan semakin melebar. Tindakan orang Melayu menjauhkan diri mereka daripada PH, dijangkakan semakin ketara selepas Tun Mahathir berundur kelak.
            Meskipun terlalu awal untuk kita menilai penerimaan orang Melayu terutamanya, terhadap Muafakat Nasional, kejayaan calon BN meraih kemenangan majoriti yang besar dengan merampas kerusi Parlimen Tanjung Piai, riak awal mula kelihatan yang menunggu detik dan ketika untuk berubah menjadi gelombang besar. Selain faktor Muafakat Nasional, faktor calon BN, iaitu Wee juga menyumbang kepada kejayaan besar BN. Ringkasnya, Muafakat Nasional bukannya suatu kelebihan mutlak  BN. Namun begitu, perlu diingatkan bahawa Johor merupakan negeri kelahiran UMNO dan negeri itu merupakan kubu UMNO. Kejatuhan Johor ke tangan PH, punca utamanya ialah orang Melayu ketika itu marah akan kerajaan pimpinan Najib Razak.
            Muafakat Nasional berjaya dalam percaturan pertama, dan kejayaan itu diraih di negeri yang boleh dianggap “kosmopolitan” yang penduduknya berbilang kaum. Pastinya, kita dapat dijangkakan, Muafakat Nasional tidak menghadapi laluan sukar untuk mara di negeri yang penduduk majoriti Melayu: Kedah, Perlis, Kelantan, Terengganu, dan pada takat tertentu, Perak.
Namun begitu, Bekas Perdana Menteri British, Harold Wilson pernah berpesan, “dalam politik, satu minggu satu tempoh yang panjang” dan apa-apa sahaja boleh berlaku. Sesuatu yang perlu dihayati  oleh ahli politik kita, baik PH mahupun BN. Kemarahan rakyat terhadap kerajaan PH yang dimanfaatkan sebaik mungkin oleh BN, mungkin akan reda sebelum PRU ke-15. Jika demikian, BN akan kehilangan tanah yang subur untuk menyemaikan kemarahan rakyat, dan sekali gus Muafakat Nasional akan hilang serinya.


Thursday, April 2, 2020

Dunia dalam Protes


KHAMIS, 2 April 2020
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH

Selepas  Pemberontakan Arab yang berlaku hampir satu dekad lalu, yang menyaksikan pemimpin Tunisia, Mesir, Libya, dan Yaman tumbang, sebelum  terkandas di Syria,  dunia boleh dikatakan tidak ada lagi dilanda gelombang besar seperti itu. Kalaupun berlaku protes yang  hanya terbatas di sesebuah negara atau wilayah,  seperti rompi kuning di Perancis yang berlaku sejak Oktober 2018 hingga kini belum reda,  dan  di Hong Kong yang berlaku sejak Jun tahun lalu, yang semakin hari semakin tegang.
            Namun begitu, dalam detik kesepian itu dan menjelang 30 tahun kejatuhan Tembok Belrin,  pada September lalu, dunia bagaikan meledak dengan protes di sana sini: Haiti, Ecuador, Peru, Bolivia, Chile, Rusia, Belanda, Catalonia (Sepanyol), Lubnan, Algeria, Mesir, Iraq, Hong Kong, dan Indonesia. Meskipun tidak boleh dikatakan menyerupai revolusi dunia tahun 1968, di sesetengah tempat, protes berlaku terutamanya kerana tuntutan kebebasan politik yang lebih banyak, manakala di tempat lain, kerana sakit dan penat terhadap rasuah dan pengangguran. Dari jalan-jalan yang kebanjiran darah di Baghdad ke taman-taman yang dipenuhi oleh payung di Hong Kong, dari Haiti ke Ukraine, dan Bolivia ke Zimbabwe, penunjuk perasaan muncul dengan penuh tenaga hampir di setiap wilayah di dunia.
“Menyusuli kebangkitan massa di Algeria dan Sudan pada  musim panas ini, penunjuk perasaan turun  ke jalan-jalan raya di Lubnan dan Iraq untuk menuntut keadaan ekonomi yang lebih dan menamatkan salah tadbir urus. Meskipun situasi hari ini jelas selari dengan Pemberontakan Arab tahun 2011, wujud perbezaan yang ketara,” tulis Ishac Diwan untuk Project Syndicate, “The Arab Winter of Discontent.” Tulis Diwan lagi, “gelombang pemberontakan baharu  menggoncangkan dunia Arab, dengan Lubnan dan Iraq kini menyertai Sudan dan Algeria. Protes massa terbaharu di setiap negara menggerakkan berjuta-juta orang daripada setiap lapisan, kesemuanya mereka yang marah terhadap kemerosotan  keadaan ekonomi, yang dianggap sebagai menjadi bertambah buruk akibat salah urus dan tadbir urus yang lemah.”
Kedua-duanya, iaitu Lubnan dan Iraq masih rapat dengan Algeria berbanding dengan Sudan, tetapi ekonomi dua buah negara itu merosot dengan pantas. Iraq terhuyung-hayang akibat kemerosotan hasil minyak, manakala Lubnan terjejas akibat kejatuhan aliran masuk modal, negara ini  sewa luaran merupakan sumber utama.  Kejutan ekonomi mendedahkan kos yang sangat besar setiap negara yang berasaskan sistem politik sektarian. Para penunjuk perasaan pula dipacu oleh kilanan ekonomi, diberanikan oleh peningkatan keadaan keselamatan yang lebih luas, berikutan kekalahan Negara Islam (IS) dan pengurangan perang di Syria. 
Empat buah negara ini, menurut Diwan, keterukan salah urus ekonomi mencerminkan penggunaan perbelanjaan negara yang berlanjutan untuk membiayai sekutu dan klien rejim, dan bukannya untuk faedah seluruh penduduk. Rejim ini menguasai setiap sektor swasta  negara menerusi kronisme, bukan sekadar mengambil dan mengagihkan sewa kepada klien, tetapi juga menyekat kemunculan entiti autonomi yang boleh membiayai gerakan pembangkang. Akibatnya, modal dan kemahiran salah diuntukkan, iklim perniagaan merosot, dan persaingan, inovasi dan pertumbuhan sengsara.

Antara semua protes itu, dikatakan bahawa empat protes yang perlu diberikan perhatian, iaitu di Iraq, Algeria,  Hong Kong, dan Haiti. Pada awal Oktober, dunia menyaksikan berpuluh-puluh ribu orang turun di jalan-jalan raya di Baghdad dan kota lain, melancarkan tunjuk perasaan secara aman, menuntut agar  amalan rasuah dan kadar pengangguran tinggi dihentikan. Tunjuk perasaan itu,  yang pertama sejak Perdana Menteri Adil Abdul Mahdi berkuasa sejak setahun lalu, dikatakan berlaku secara spontan dan dipacu terutamanya oleh orang muda.
Di Algeria,  berlaku lebih lama daripada Hong Kong, setakat November 2019,  selama lapan bulan, apabila penunjuk perasaan turun ke jalan-jalan raya menuntut penyingkiran bekas Presiden Abdelaziz Bouteflika.  Presiden yang berusia 82 tahun  disingkirkan pada bulan April selepas 20 tahun berkuasa, digantikan oleh ketua tentera, Ahmed Gaid Salah,  kerajaan yang disokong  tentera. Penunjuk perasan memberitahu bahawa mereka tidak akan berhenti sehinggalah demokrasi awam dibentuk, tetapi setakat ini, orang kuat politik dan tentera yang dianggap broker kuasa sebenar Algeria sebenar, enggan bertolak ansur.
Di Hong Kong, dari minggu berganti bulan, tunjuk perasaan belum reda, bahkan semakin teruk. Portal berita CNN melaporkan pada 18 November bahawa polis rusuhan cuba melancarkan operasi pemugaran di Hong Kong Polytechnic University. Pelajar yang melancarkan tunjuk perasaan direbat  di dalam kampus universiti itu selama berhari-hari dan melawan pihak berkuasa dengan bom botol dan bata. Apa yang berlaku itu menyusuli salah satu yang paling ganas, minggu-minggu dramatik dalam gerakan ini. Perkelahian yang membawa kepada kematian dan beberapa orang yang cedera teruk, melumpuhkan sebahagian besar kota itu. Bermula dengan bantahan  rang undang-undang serah balik yang tercetus berbelas minggu lalu, dan kini rang undang-udang itu ditarik balik, berkembang menjadi gerakan prodemokrasi menentang cerobohan Beijing terhadap kebebasan unik  wilayah separuh autonomi itu. Beberapa minggu kebelakangan menyaksikan tunjuk perasaan semakin panas, apabila penunjuk perasaan menghidupkan api dan dalam beberapa keadaan, menggunakan bom petrol, yang akhirnya mendorong pihak polis bertindak lebih keras.
Sementara Haiti yang jelas terjebak dalam kancah krisis, menyaksikan selama berminggu-minggu, beribu-ribu orang membanjiri jalan-jalan di ibu negara Port-au-Prince, menuntut agar Presiden Jovenel Moise meletakkan jawatan. Mereka naik berang akibat rasuah politik, inflasi yang meningkat, dan kekurangan bekalan keperluan asas, termasuk bahan api dan makanan.
Tumpuan juga diberikan terhadap gelombang protes yang melanda Amerika Latin. Meskipun di setiap pelosok dunia, orang ramai turun ke jalan-jalan raya menuntut perubahan daripada kerajaan mereka, sebuah wilayah yang perasaan tidak puas hati terhadap pemimpin semasa terutamanya, tersebar pada akhir tahun 2019  di Amerika Latin. Selain Haiti, Chile juga dilanda protes  pada bulan Oktober  hampir selama dua minggu. Protes itu adalah  terhadap kos sara hidup yang tinggi dan terhadap ketidaksamaan. Tidak balas Presiden Sebastian Pinera  terhadap protes mencetuskan kemarahan mencetuskan kemarahan penunjuk perasaan mendesak beliau meletakkan jawatan. Meskipun negara itu tidak lagi di bawah darurat, yang pada awalnya diisytiharkan selepas demonstrasi bermula, protes masih berterusan, yang menyaksikan perkelahian antara polis dengan penunjuk perasaan.  Pada pertengahan November, Chile mengumumkan bahawa negara itu akan mengadakan pungutan suara terhadap perlembagaan negara berikutan berminggu-minggu protes  antikerajaan. Penunjuk perasaan menuntut pembaharuan sosial dan perubahan perlembagaan. Sekurang-kurangnya 20 orang awam terbunuh dalam keganasan terburuk sejak tahun kediktatoran tentera di bawah Augusto Pinochet selama 17 tahun berakhir pada tahun 1990. Penjarahan juga berlaku di pasar raya dan pembakaran stesen minyak.
Di Bolivia, penunjuk perasaan dan pemogok umum mendesak supaya dihitung semula undi pilihan raya presiden yang berkeputusan kemenangan  Presiden Evo Morales, untuk memerintah negara itu untuk penggal keempat. Protes tercetus oleh pertikaian terhadap keputusan pilihan raya pada 20 Oktober akhirnya menyebabkan Morales mengumumkan perletakan jawatan pada 17 November. Naib Presiden Senat dan pemimpin pembangkang, Jeanine Anez, mengisytiharkan dirinya presiden interim selepas Morales mencari suaka di Mexico. Morale, presiden pertama daripada  kaum peribumi menuduh lawannya, termasuk seteru pilihan raya, Carlos Mesa dan pemimpin protes, Luis Fernando Camacho bersubahat menentang kerajaan. Presiden sayap kiri dipercayai hilang kepopularan secara signifikan, termasuk dalam kalangan para penyokong sendiri selepas enggan mematuhi keputusan pungutan suara berhubung dengan had tempoh pemerintahan presiden dan menegaskan bahawa beliau akan memerintah untuk penggal keempat.
Negara lain di Amerika Selatan, ialah Argentina, Honduras, Ecuador, dan Uruguay. Di Argentina, para pengundi menendang keluar Presiden  Mauricio Macri, yang ramah pasaran, selepas satu penggal, memberikan peluang baharu kepada puak Peronis populis kiri yang memerintah negara itu sebelum Macri berkuasa mulai tahun 2015. Mereka  dipimpin oleh Alberto Fernández.  Di Honduras, penunjuk perasaan mahu penyingkiran Presiden Juan Orlando Hernandez, yang adik beradik lelakinya, baru sahaja didapati bersalah oleh mahkamah Amerika Syarikat kerana “mengedar dadah yang ditaja oleh negara.” Di Ecuador, beratus-ratus ribu orang turun ke jalan-jalan untuk menunjukkan  kemarahan kerana subsidi bahan api yang dipotong yang bertujuan mengimbangi belanjawan dan mengurangkan pancaran. Meskipun subsidi dipulihkan dan protes berakhir, kerajaan dalam kedudukan yang sukar sama dengan sebelum ini, iaitu bagaimana mengimbangi belanjawannya tanpa kemarahan penduduk yang enggan melakukan pengorbanan baharu, manakala golong elit hidup dalam kemewahan. Sementara di Uruguay, pakatan Barisan Lebar yang progresif yang memerintah sejak tahun 2005, tetapi dengan ekonomi keletihan dan jenayah meningkat, calon Presiden Daniel Martinez gagal mencapai kemenangan mutlak dalam pusingan pertama pilihan raya presiden negara itu. Akibatnya, calon kanan tengah, Luis Alberto Lacalle yang masih remaja, mempunyai peluang untuk mencetuskan kejutan dalam larian pada 24 November.
Fareed Zakaria yang muncul melalui kolumnya dalam The Washington Post, “Why Are There So Many Protests Across the Globe Right Now?”, pada 25 Oktober,  mengimbas protes jalanan di seluruh Timur Tengah bermula di Tunisia sembilan tahun lalu. Sekarang dalam beberapa minggu ini, kelihatan sesuatu yang sama dengan Pemberontakan Arab, meledak di seluruh dunia. Dari Chile ke Lubnan, Iraq ke India, kita melihat mogok, perarakan, dan rusuhan. Walau bagaimanapun, Zakaria memberitahu bahawa unsur protes berbeza-beza. Sepintas lalu, setiap gerakan ini agak berbeza, tetapi mereka  semua berlaku terhadap latar belakang yang merisaukan, iaitu keruntuhan pertumbuhan ekonomi. Sepanjang tahun lalu, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) memotong dengan ketara anggaran untuk tahun 2019, memberikan amaran bahawa “ekonomi global adalah perlahan,” tumbuh “secara perlahan sejak krisis kewangan global.”
“Apabila pertumbuhan runtuh, kerisauan meningkat, terutamanya dalam kalangan kelas menengah yang berasa terhimpit, naik berang oleh rasuah dan ketidaksamaan, dan mempunyai kapasiti untuk menyuarakan kemarahan mereka,” ulas Zakaria. Perhatikan Chile, yang tambang laluan bawah tanah naik membawa kepada keganasan jalanan yang teruk dalam berdekad-dekad. Walau bagaimanapun, kekacauan berlaku dala atmosfera harapan menurun. Tidak berapa lama dahulu, Chile merupakan ekonomi bintang Amerika Latin, tumbuh enam peratus pada tahun 1990-an dan empat peratus pada tahun 2000-an. Sepanjang lima tahun lalu, pertumbuhan secara purata, dua peratus. IMF memotong anggaran untuk Amerika Latin secara keseluruhan daripada dua peratus kepada 0.2 peratus tahun lalu. Kemerosotan ekonomi melampaui Amerika Latin. Lubnan yang juga terjebak dalam protes, menyaksikan pertumbuhan jatuh kepada sifar peratus.  
Zakaria menjelaskan bahawa wujud banyak punca yang mencetuskan protes  di dunia sekarang, dan keadaannya berbeza antara sebuah tempat dengan sebuah tempat. “Akan tetapi, sejak beberapa tahun lalu, kita melihat kebangkitan populisme dan nasionalisme di seluruh dunia dan dengan kebangkitan muncul dasar yang berpandangan singkat yang mengejutkan pertumbuhan jangka panjang.”
Apabila melihat protes yang berlaku di seluruh dunia sekarang, pastinya mengingatkan kita tentang kata-kata Francis Fukuyama, “maruah dan pengiktirafan.” Dalam bukunya, Identity: The Demand for Dignity and the Politics of Resentment, mengesan tuntutan pengiktirafan yang sama terhadap maruah berlaku sejak Revolusi Perancis dan berlanjutan hingga ke hari ini, dengan merujuk Pemberontakan Arab pada tahun 2011, yang bermula di Tunisia. Juga protes yang berlaku sebelum itu menentang yang membawa kejatuhan rejim komunis pada tahun 1989, di Afrika Selatan dan di Sub-Sahara pada tahun 1990-an, seterusnya “revolusi warna” di Georgia dan Ukraine pada awal tahun 2000-an, yang pengiktirafan maruah manusia asas merupakan isu utama.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...