Artikel Popular

Monday, December 31, 2018

Nasionalisme Lawan Patriotisme


ISNIN, 31 Disember 2018
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH


Bersempena sambutan 100 tahun berakhirnya Perang Dunia Pertama, lebih 60 orang pemimpin dunia berkumpul  di Arc de Triomphe, Paris pada hari Ahad, 11 November. Meskipun tema umum ialah perpaduan, Presiden Donald Trump kelihatan mahu mengasingkan dirinya. Antara pemimpin yang hadir, Presiden Vladimir Putin,  Canselor Jerman Angela Merkel, Perdana Menteri Kanada Justin Trudeau, dan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu.
            Presiden Perancis Emmanuel Macron yang berucap menyampaikan mesej tanpa berselindung terhadap Donald Trump dengan memberikan amaran tentang  bahaya nasionalisme, dengan menyebut bahawa “hantu lama bangkit semula yang telah pun mencetuskan kacau-bilau dan membawa  kematian” sambil menuding jari pada bangsa-bangsa yang mengutama diri mereka terlebih dahulu. Tegas beliau, “patriotisme memang berbeza dengan nasionalisme. Nasionalisme ialah pengkhianatan patrotisme. Dengan mengatakan, ‘Kepentingan kita diutamakan, siapa peduli tentang  orang lain,’ kita memadamkan perkara yang paling berharga yang bangsa ada, yang menjadikan bangsa hidup, yang menyebabkan  bangsa menjadi agung, dan yang paling penting: nilai moralnya.”
Ucapan Macron itu dipetik secara meluas oleh media, termasuk media Amerika Syarikat, kelihatan ditujukan kepada Trump yang baru-baru ini menggelar dirinya “nasionalis” dan slogan beliau “Utamakan Amerika.” Ucapan itu jelas menunjukkan bahawa berbanding dengan nasionalisme,  patriotisme lebih baik dan dialu-alukan, selain   wujud perbezaan antara patriotisme dengan nasionalisme, meskipun kadangkala kedua-duanya saling wujud dan dianggap saling melengkapi antara satu sama lain.
            Patriotisme dan nasionalisme ialah dua perkataan, yang digunakan secara sinonim, tetapi kini, dianggap mempunyai konotasi yang berbeza. Patriotisme ialah perasaan cinta dan kasih seseorang terhadap negaranya. Perasaan patriotisme berasaskan  nilai yang sesebuah negara dukung dan cara negara berkenaan berusaha untuk menambahbaikan nilai itu. Patriotisme berasaskan kepercayaan dalam kebaikan yang wujud dalam sistem kerajaan di sesebuah negara, dan kebaikan orangnya. Perkataan patriotisme berasal daripada kata akar patriot, daripada perkataan Latin patriota yang bermaksud  sesama warganegara, dan akhiran -isme bermaksud sistem atau dokrin. Tempat yang sesuai untuk menyemai patriotisme ialah di sekolah dan kem tentera.
Nasionalisme ialah perasaan cinta dan kasih seseorang juga terhadap negaranya. Walau bagaimanapun, nasionalisme berakar umbi dalam kepercayaan bahawa negara seseorang itu lebih baik daripada semua yang lain, dan membawa konotasi ketaksetujuan terhadap bangsa lain atau berseteru dengan bangsa lain. Sementara patriotisme tidak memandang rendah negara lain, nasionalisme membina seseorang seseorang dengan meruntuhkan bangsa  lain. Nasionalisme menyokong usaha menguasa negara lain. Perkataan nasionalisme berasal daripada perkataan bangsa atau nation, yang datang daripada perkataan Latin nationem yang bermaksud asal-usul atau suku kaum (tribe). Daripada suku kaum berkembang  fahaman kabilah atau tribalisme yang kini sedang bangkit di seluruh dunia.
Konsep bangsa juga sering dibahaskan dan biasanya dikaitkan dengan negara bangsa dan pembinaan bangsa yang berbeza daripada pembinaan negara. Walau bagaimanapun, negara dan bangsa mempunyai asal usul yang sama sekiranya kita merujuk penegasan Charles Tilly,   “perang mencipta  negara, dan negara mencipta perang,” dan Michael Howard, “perang juga mencipta bangsa. Tidak ada bangsa, dalam maksud sebenar perkataan, dapat lahir tanpa perang.”
Nasionalisme ialah satu bentuk spesifik politik jati diri yang menemui penyataan utamnya dalam Revolusi Perancis.  Nasionalisme berasaskan pandangan bahawa sempadan politik negara seharusnya secocok dengan sempadan budaya, yang ditakrifkan terutamanya oleh bahasa dan budaya yang dikongsi.  Ekonomi pasaran moden dikatakan, memerlukan sesuatu, seperti nasionalisme dan jati diri berasaskan bangsa.
Etinne Balibar dalam “Racism and Nationalism” yang dimuatkan dalam buku beliau bersama-sama Immanuel Wallerstein, Race, Nation, Class: Ambigous Identities, menyatakan bahawa nasionalisme sukar ditakrifkan kerana konsep ini tidak pernah berfungsi sendiri, tetapi selalunya bahagian rantaian yang kedua-duanya, iaitu perkaitan utama dan perkaitan lemah. Rantaian ini sentiasa diperkaya secara malar dengan istilah pertengahan dan ekstrem yang baharu: semangat sivik, patriotisme, populisme, etnisisme, etnosentrisme, xenofobia, cauvinisme, imperialisme, jingoisme. Apabila hubungan nasionalisme-bangsa (nationalism-nation) menjadi perhatian, teras maksud membezakan  “realiti,” iaitu bangsa dengan “ideologi,” iaitu nasionalisme. Hubungan ini ditanggapi secara berbeza dengan orang yang berbeza. Menurut Balibar, anggapan tentang nasionalisme selalunya berpecah-pecah. Selalunya wujud nasionalisme baik dan nasionalisme jahat.
Dua ahli teori utama nasionalisme, iaitu Benedict Anderson dan Ernest Gellner, mengaitkan kemunculan nasionalisme dengan pemodenan, meskipun penekanan mereka berbeza dalam aspek tertentu. Jati diri tidak benar-benar wujud sebagai masalah dalam masyarakat pramoden. Menurut Anderson dalam bukunya,  Imagined Communities,  semua ini mula berubah dengan kemunculan kapitalisme komersial di Eropah pada abad ke-16, dipacu oleh rekaan mesin cetak dan pertumbuhan pasaran untuk buku. Mesin cetak mengubah secara ketara harga komunikasi bertulis, dan dengan itu, memungkinkan penerbitan buku dalam bahasa vernakular.
Kemunculan bahasa bercetak vernakular memungkinkan untuk kali pertama, yang Anderson sebut  “komuniti bayangan” penutur dan pembaca Jerman. Dalam cara yang sama, novelis Filipina, Jose Rizalmeni mampu mencipta kesedaran bersama jati diri Filipina pada abad ke-19 bagi orang ramai yang tersebar di lebih 7000 buah pulau. Kemajuan akhbar yang digunakan oleh para pembaca kelas menengah yang sedang muncul, bahkan mempunyai kesan dramatik terhadap pembinaan jati diri pada abad ke-19. Melalui pembacaan, orang ramai yang tidak pernah meninggalkan kampung halaman mereka boleh semuanya secara tiba-tiba menanggapi hubungan dengan orang ramai lain di kampung yang berasingan.
Dari segi teori, hujah Anderson,  bangsa ialah komuniti dibayangkan, tetapi bangsa harus mempunyai asas objektif tertentu. Bangsa lahir dengan kelahiran kapitalisme, khususnya kapitalisme cetak yang membolehkan berkembangnya imaginasi dan kesedaran subjektif yang menimbulkan perasaan kekitaan dan kesamaan nasib bagi anggota bangsa berkenaan. Menuru beliau, bangsa, kerakyatan, dan nasionalisme, terbukti memang sukar untuk ditakrifkan, apatah lagi untuk dianalisis. Berbanding dengan pengaruh yang sangat besar yang nasionalisme letakkan  pada dunia moden, teori munasabah tentang perihalnya terpampang  tidak seberapa.
Anderson memetik Ernest Gellner yang menegaskan bahawa “nasionalisme bukannya kebangkitan bangsa kepada kesedaran diri: Nasionalisme mencipta bangsa, apabila bangsa tidak wujud.” Bahkan, semua komuniti lebih besar daripada kampung yang  wujud sejak awal dunia yang berhubung secara bersemuka adalah dibayangkan. Komuniti boleh dibezakan oleh bukan kepalsuan/ketulenan mereka, tetapi oleh gaya yang mereka dibayangkan.
Menurut Joel S. Kahn dalam bukunya, Other Malays: Nationalism and Cosmopolitanism in the Modern Malay World,  “peristiwa  Natrah” yang berlaku   pada tahun 1950:  “Orang Melayu pertama yang secara sukarela sanggup menanggung risiko mati demi bangsa-ras bayangan  ialah peserta dalam rusuhan kaum  pertama di Singapura.”  Walau bagaimanapun, Kahn menegaskan, sama ada mangsa Melayu akibat keganasan yang mengelilingi hal ehwal Natrah itu memenuhi ujian nasionalisme sebenar  Anderson terbuka untuk perdebatan.
Ernest Gellner juga menegaskan bahawa nasionalisme muncul ketika detik mendalam perubahan sosial, tetapi beliau menyatakan anjakan kepada peralihan ini daripada masyarakat agraria kepada masyarakat perindustrian pada abad ke-19. Beliau menjelaskan, masyarakat muncul berasaskan teknologi berkuasa tinggi dan harapan  pertumbuhan mapan, yang memerlukan kedua-duanya pembahagian kerja mobil, mapan, kerap dan komunikasi tepat antara orang asing. Ini memerlukan bahasa kebangsaan seragam, dan sistem pendidikan yang ditaja oleh negara untuk menggalakkan kebudayaan kebangsaan. Gellner juga mengesyorkan bahawa Islam moden perlu dilihat menerusi lensa pemodenan dan jati diri yang sama. Kedua-duanya, nasionalisme dan Islamisme  berakar umbi dalam pemodenan.
Menurut Andrea Baumeister yang menulis dalam Britannica, patriotisme ialah perasaan  cinta dan komitmen terhadap negara, bangsa, atau komuniti politik. Patriotisme (mencintai negara) dan nasionalisme setia pada bangsa seseorang, selalunya dianggap sinonim, tetapi patriotisme mempunyai asal usulnya kira-kira 2000 tahun sebelum kebangkitan nasionalisme pada abad ke-19.
            Kepurbaan Yunani dan terutamanya Rom menyediakan akar untuk patriotisme politik yang membayangkan kesetiaan kepada patria sebagai kesetiaan kepada konsepsi politik tentang republik. Patriotisme dikaitkan dengan kecintaan terhadap undang-undang dan hak kebebasan bersama, iaitu mencari common good dan tugas untuk berkelakuan secara saksama terhadap negara seseorang. Makna klasik Rom patria muncul semula dalam konteks republik kota Itali pada abad ke-15. Di sini, patria bermaksud hak kebebasan bersama kota, yang hanya dilindungi oleh semangat sivik warganegara. Bagi Niccolò Machiavelli, pengarang The Prince (Sang Penguasa), kecintaan terhadap hak kebebasan bersama membolehkan warganegara melihat kepentingan persendirian dan kepentingan khusus sebagai bahagian common good dan membantu mereka menentang rasuah dan kekejaman.
            Berbeza dengan konsepsi klasik republikan tentang patriotisme, dalam Considerations on the Government of Poland Jean-Jacques Rousseau dapat dilihat contoh awal pertalian antara nasionalisme dengan patriotisme. Meskipun Rousseau yang memperkenalkan teori kontrak sosial, memperjuangkan kecintaan terhadap bangsa dan perayaan kebudayaan kebangsaan, beliau percaya bahawa kebudayaan kebangsaan bernilai, terutamanya kerana kebudayaan ini membantu memupuk kesetiaan kepada politik tanah air.
            Pertalian yang lebih eksplisit antara nasionalisme dengan patriotisme dapat ditemui dalam karya Johann Gottfried von Herder. Menurut pandangan ahli falsafah Jerman ini, patriotisme bukannya merujuk kepada kebaikan politik, tetapi kepada semangat rasa cinta kepada bangsa. Dalam konteks ini, tanah air menjadi sinonim dengan bangsa dan bahasa dan budayanya yang berbeza, yang memberinya perpaduan dan kesederapan. Justeru, Herder mengaitkan kecintaan terhadap negara seseorang dengan pemeliharaan budaya bersama dan perpaduan kerohanian orang ramai, dan bukannya mengaitkan patriotisme dengan pemeliharaan hak kebebasan politik. Herder yang melihat kebebasan kolektif berasaskan ciri nasional dan budaya tertentu, seringkali dikritik sebagai bapa etno-nasionalisme Eropah moden. Dalam bukunya, Reflections on the Philosophy of History of Mankind, beliau mencatatkan dengan jelas bahawa wujud spesies manusia tunggal, dan beliau mengkritik pengarang lain yang cuba mewujudkan hierarki dalam kalangan ras dunia. Walau bagaimanapun, Herder menegaskan bahawa setiap komuniti manusia adalah unik dan terpisah daripada jirannya. Beliau mencatatkan bahawa cuaca dan geografi mempunyai impak yang sangat besar terhadap adat orang yang berbeza, setiap orang itu melahirkan “genius” mereka  sendiri dalam cara mengubah suai dengan keadaan tempatan.

Sememangnya, ucapan  Emmanuel Macron itu membangkitkan keinginan kita untuk mengetahui apakah nasionalisme dan patriotisme. Nasionalisme dan patriotisme  selalu disebut oleh pemimpin negara, ahli politik, dan para sarjana kita yang  seakan-akan menunjukkan bahawa  kedua-duanya sinonim, tetapi yang jelas, berbeza.

Sunday, November 11, 2018

Belanjawan 2019: Penjelasan dan Kejelasan


ISNIN, 12 November 2018
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH



Pada asasnya, tiga perkara yang perlu diberikan penjelasan  dan kejelasan berhubung dengan Belanjawan 2019, yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng pada 2 November lalu, 
Pertama, tentang hutang dan liabiliti sebenar kerajaan hingga akhir Jun 2018, berjumlah RM1,065 bilion. Sejak menerajui portfolio kewangan, Lim berulang-ulang kali menegaskannya dengan motif tertentu.  Sama ada motif menyalahkan kerajaan sebelum ini bijak ataupun tidak, Tun Daim Zainuddin telah pun memberikan peringatannya. Hanya di sini elok ditegaskan bahawa “defisit dan hutang sekadar angka,” menurut    Simon Johnson dan James Kwak dalam buku, White House Burning: Our National Debt and Why it Matters to You: “Akan tetapi, (Merujuk kes Amerika Syarikat), hutang negara lebih AS$10 trilion mungkin lebih AS$30,000 setiap orang, tetapi tiada siapa pun mencari anda kerana bahagian anda dalam wang itu.” Johnson dan Kwak seterusnya mengingatkan, “pertama-tamanya, fakta mudah bahawa kerajaan kita  mengalami defisit hari ini tidak dengan sendirinya menjadikan kita kaya dan cucu kita miskin. Kesejahteraan kebendaan masyarakat bergantung pada volum barang dan perkhidmatan yang dapat diperoleh untuk penggunaan.”
Kedua, penyataan kemerosotan nilai mata wang asing,  iaitu peso Argentina, lira Turki, dan rupiah Indonesia  berbanding dengan dolar Amerika Syarikat, dan peningkatan nilai ringgit berbanding dengan rupee India, rupiah Indonesia,  peso Filipina, renminbi China, dan dolar Singapura. Perlu dinyatakan, lira Turki, peso Argentina, peso Filipina, rupee India, dan rupiah Indonesia, ialah mata wang  yang sedang dilanda krisis. Anehnya, Belanjawan 2019, tidak membandingkan nilai ringgit dengan dolar Amerika Syarikat, mata wang utama dunia.  Menurut laporan Global Research, Kumpulan HSBC yang dikeluarkan pada April, bahawa sekiranya Barisan Nasional kekal berkuasa, pada akhir tahun ini, dijangkakan RM3.70 berbanding AS$1.00. Seperti yang diketahui, sejak September, ringgit mula memasuki wilayah RM4.15 berbanding AS$1.00, dan tidak menunjukkan tanda untuk berundur.
Ketiga, dalam Belanjawan 2019,  Lim mengulangi pendiriannya bahawa   perang dagang antara Amerika Syarikat dengan China  mewujudkan peluang unik, apabila  Malaysia menjadi tumpuan sebagai tapak perlindungan selamat  untuk pelaburan pembuatan sambil  mengemukakan contoh:Tidak hairanlah Malaysia terus berjaya menarik pelaburan pada kadar yang memberangsangkan. Dari bulan Januari hingga Ogos 2018, jumlah pelaburan bernilai RM61.6 bilion telah diluluskan, satu peningkatan daripada nilai pelaburan RM40.4 bilion pada tempoh yang sama tahun lalu.” Namun begitu, dalam kegembiraan dan keterujaan itu,  Lim terlepas pandang bahawa perang dagang mula tercetus pada 15 Mac, iaitu antara Amerika Syarikat dengan Kanada dan Kesatuan Eropah, manakala   antara Amerika Syarikat dengan China berlaku mulai Julai.  Dengan merujuk tempoh lapan bulan pertama itu, jelas bahawa Lim seakan-akan mengisytiharkan “kemenangan sebelum perang yang sebenar-benarnya antara dua buah negara kuasa besar ekonomi tercetus.”

Tuesday, August 7, 2018

Adat Perpatih Merentas Zaman




SELASA, 7  Ogos  2018
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH

Prolog: Pulang ke Takhta

Berikutan kemangkatan Tuanku Ja’afar  Ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman pada 27 Disember 2008,  Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dimasyhurkan sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan ke-11.  Istiadat pemasyhuran Tuanku Muhriz dilakukan oleh Undang Luak Sungai Ujong Datuk Kelana Petra Datuk Mubarak Dohak di Balairong Seri, Istana Besar Seri Menanti pada 3.45 petang pada 29  Disember, sebelum istiadat pemakaman  Almarhum Tuanku Ja’afar.
Tuanku Muhriz yang berusi 60   dilantik sebagai Yang Dipertuan Besar daripada antara Putera Yang Empat menurut perlembagaan negeri dalam satu majlis ringkas. Tiga putera lagi, Tunku Laxamana Tunku Naquiyuddin Ibni Almarhum Tuanku Ja'afar, Tunku Muda Serting Tunku Imran Ibni Almarhum Tuanku Ja'afar, dan Tuanku Panglima Besar Tunku Nazaruddin Ibni Almarhum Tuanku Ja'afar turut hadir.  Cara pelantikan ini diamalkan  mengikut Adat Perpatih dari dahulu hingga selama-lamanya. Pemilihan bakal Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan berdasarkan amalan Adat Perpatih, berbeza dengan cara pemilihan pengganti raja dan sultan di negeri-negeri di Semenanjung Tanah Melayu.
Sehari sebelum pemasyhuran itu, empat Undang iaitu, Undang Luak Sungai Ujong, Undang Luak Johol, Undang Luak Jelebu dan Undang Luak Rembau bersama-sama Tunku Besar Tampin mengadakan persidangan tertutup bagi memilih Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan yang baru.
Pada 1967, Tuanku Ja'afar yang juga ayahanda saudara tiri Tuanku Muhriz, dilantik oleh Undang sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan ke-10. Selepas kemangkatan ayahanda baginda, Tuanku Munawir Tuanku Abdul Rahman, Tuanku Muhriz tidak dipilih   kerana usianya   masih muda, ketika itu berusia 18 tahun.   Pemilihan ini secara tidak langsung dicadangkan sendiri oleh Perdana Menteri Malaysia ketika itu, Tunku Abdul Rahman, yang meminta supaya Tuanku Muhriz tidak dipilih kerana masih terlalu muda.
Datuk Seri Maharaja Khalid Bonget, Tiang Kerajaan (Pakar Rujuk Adat Perpatih) kepada Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan memaklumkan: "Daripada keempat-empat mereka ini, seorang akan dipilih sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Besar Sembilan yang baru. Kaedah pemilihan ini dibuat oleh Undang Yang Empat."  Beliau memberitahu pemilihan bakal Yang Dipertuan Besar ini adalah mengikut adat yang diucap dan dipakai seperti kata adat "Yamtuan Mangkat, Yamtuan Menanam", begitu juga dengan "Undang Mangkat", Undang Menanam" yang bermaksud mengumumkan pengganti Yang Dipertuan Besar Negari Sembilan sebelum Almarhum disemadikan.
Beliau berkata, kemangkatan Almarhum Tuanku Ja'afar telah dimaklumkan kepada Undang yang Empat dan Tunku Besar Tampin oleh Datuk-Datuk Lembaga Yang Empat Luak Ulu Muar, iaitu Datuk Paduka Besar, Datuk Seri Maharaja, Datuk Senara Muda dan Datuk Orang Kaya Bongsu.

"Kemudian Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin akan menziarahi jenazah Almarhum baginda, setelah itu mereka akan mengadakan rundingan secara tertutup bagi memilih bakal Yang Dipertuan Besar Negeri yang baru," katanya.
Pengumuman yang dibuat oleh Undang Luak Sungai Ujong, Datuk Mubarak Dohak bahawa Tuanku Muhriz sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan ke-11   dinantikan baginda sejak 41 tahun lamanya.  Baginda sebenarnya seorang raja yang sabar, lemah lembut perwatakannya.  Tuanku Muhriz yang sebelum ini merupakan Tunku Besar Seri Menanti mudah didekati rakyat dan seorang raja yang mesra serta mempunyai sifat kepimpinan yang disegani semua.
Seterusnya,  diumumkan  pada 30 Mac tentang  pelantikan dan pertabalan Tengku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud sebagai Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan.  Istiadat Pelantikan dan Pertabalan Tengku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud sebagai Tuanku Ampuan Besar Negeri Sembilan diadakan pada 14 April 2009.  Penamaan Tengku Aishah sebagai Tuanku Ampuan Besar Negeri Sembilan dibuat oleh Datuk-Datuk Penghulu Luak Tanah Mengandung yang terdiri daripada Luak Ulu Muar, Luak Gunung Pasir, Luak Inas, Luak Terachi, dan Luak Jempol.  Kesemua Luak itu mengadakan kerapatan dengan Orang Empat Istana pada 21  Januari 2009.  Luak Tanah Mengandung itu adalah di bawah naungan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan yang memperkenankan tarikh Istiadat Pelantikan dan Pertabalan Tunku Ampuan Besar itu. 
Tunku Datuk Seri Mahmud Tunku Besar Burhanuddin, Pengerusi Jawatankuasa Pelantikan dan Pertabalan berkenaan juga memaklumkan bahawa istiada dalam Balairong Seri itu dimulakan dengan pelantikan Tunku Ampuan Besar  oleh Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebelum baginda meninggalkan Balairong Seri bagi membolehkan istiadat pertabalan berlangsung.  Istiadat pertabalan itu bermula dengan upacara menghadap  oleh Datuk-Datuk Penghulu Luak Tanah Mengandung. 
Kali terakhir istiadat pelantikan dan pertabalan Tuanku Ampuan Besar adalah pada tahun 1967, dan merupakan istiadat turun temurun.  Adat istiadat ini melibatkan Orang Empat Istana, Orang Enam Istana, Bentara, Apit Lempang, Pegawai 99, Penghulu Luak Tanah Mengandung, Tiang Balai serta Datuk-Datuk Lembaga masing-masing. 
Istiadat Pelantikan dan Pertabalan Tunku Ampuan Besar Besar Negeri Sembilan diadakan lebih awal daripada Istiadat Pertabalan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan bagi Tengku Aishah Rohani bersemayam bersama-sama Tuanku Muhriz sewaktu pertabalan baginda secara rasmi yang dijangkakan pada bulan Oktober.
Pelantikan Tuanku Muhriz:  Politik dan Polemik
Mengikut sejarah, Tuanku Muhriz dilantik sebagai Tunku Besar pada tahun 1960,  dan ketika itu baginda dipilih oleh Majlis Undang berikutan kemangkatan ayahanda baginda, Almarhum Tuanku Munawir. Jika dirujuk  Perlembagaan Negeri Sembilan telah termaktub dan dinyatakan bahawa penggantian takhta adalah mengikut anakanda lelaki, cucunda lelaki, adinda lelaki, dan anak kepada adinda lelaki kepada pemerintah itu, yakni Almarhum Tuanku Munawir. Pada masa itu Tuanku Muhriz merupakan waris pertama selepas kemangkatan Almarhum Tuanku Munawir, lalu diikuti oleh Almarhum Tuanku Ja'afar dan Almarhum Tunku Abdullah.
Walau bagaimanapun, baginda tidak dilantik sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan ketika itu tetapi ayahanda saudaranya, Almarhum Tuanku Ja'afar yang ketika itu seorang diplomat dilantik sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan ke-10.  Biarpun “hak” itu diputuskan oleh Undang Yang Empat melalui Kerapatan Dewan Keadilan, namun pada  29 Disember lalu, Tuanku Muhriz akhirnya dimasyhurkan sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan ke-11 di Balairong Seri, Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah. Istiadat pemasyhuran itu dilakukan oleh Undang Luak Sungai Ujong mengikut Adat Perpatih yang dibawa dari Pagar Ruyung, Sumatera, Indonesia.
The Malaysian Insider (29 Disember 2008) membuat liputan  yang menarik berhubung dengan pelantikan Tuanku Muhriz.  Walaupun baginda mempunyai profail rendah, kurang terkenal di luar kerabat diraja Negeri Sembilan, tetapi Tuanku Muhriz bukanlah orang yang tertekan dalam (underdog) dalam persaingan sengit untuk jawatan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.  Menurut akhbar dalam talian itu lagi, sekurang-kurangnya dua orang Undang dalam mesyuarat  untuk memilih pengganti Tuanku Ja’afar, memberikan sokongan yang padu terhadap Tuanku Muhriz.  Mereka dikatakan menghadiri mesyuarat hanya satu nama dalam kepala mereka dan enggan berganjak apabila ada cadangan agar Tunku Naquiyuddin Tuanku Ja’afar dipertimbangkan sebagai pengganti.  Keputusan  menemui jalan buntu pada malam Ahad dan penyelesaian dicapai hanya petang Isnin.
            Menurut The Malaysian Insider lagi, Tuanku Muhriz telah menjalin hubungan rapat dengan Undang sejak baginda  kembali menetap di Negeri Sembilan beberapa tahun lalu.  Tuanku juga dikatakan mendapat sokongan kuat daripada kalangan politik negeri ini, antaranya bekas Menteri Besar, Tan Sri Isa Abdul Samad.  Dikatakan juga bahawa para penyokong Tuanku Muhriz di peringkat negeri dan Persekutuan mengadakan kempen senyap dengan menggambarkan baginda adalah sangat terpelajar.  Bagi mereka, berbanding dengan kerabat Tuanku Ja’afar, Tuanku Muhriz menghindarkan publisiti dan lebih berpegang kepada cara hidup tradisional.
            Meskipun penglibatan Tan Sri Isa Abdul Samad seperti yang didakwa, tidak mempunyai bukti jelas, tetapi ini  tidak memeranjatkan kerana beliau dikatakan tidak mempunyai hubungan mesra dengan Almarhum Tuanku Ja’afar, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.  Sejak mula-mula lagi baginda kurang berkenan Tan Sri Isa menggantikan Datuk Seri Utama Dr. Rais sebagai Menteri Besar pada tahun 1982.  Apabila Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad bersetuju dengan penggantian itu, Rais Yatim memaklumkan bahawa beliau  pergi menghadap Tuanku Yang Dipertuan Besar di Istana Hinggap di Seremban.  “Air muka Tuanku Ja’afar jelas dalam keadaan dukacita.  Baginda semacam mempunyai naluri yang tajam” (Rais Yatim, 2004: 356).
 “Tidak ramai yang menduga bahawa beliau (Tan Sri Isa) boleh bertahan selama itu.  Apatah lagi dengan adanya beberapa peristiwa penolakan daripada kalangan pihak Diraja Negeri Sembilan dan pimpinan adat di luak-luak berundang” (Rais Yatim, 2004: 356).  “Hubungan Isa dengan pihak Diraja Negeri Sembilan terus diledak masalah dan suasana muhibah seperti yang terdapat di negeri-negeri beraja yang lain di Semenanjung memang tidak dialami di negeri beradat itu.  Tuanku Ja’afar kerap mengeluh dan meluahkan perasaannya kepada saya (Rais Yatim, 2004: 358).
Apabila timbul desas-desus dan spekulasi, maka Datuk Undang Luak Rembau, Datuk Muhamad Sharip Othman memaklumkan  bahawa pelantikan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan yang baru Isnin lepas diputuskan secara sebulat suara tanpa lobi-melobi oleh mana- mana pihak.  Dalam satu temu ramah eksklusif dengan Bernama pada 4 Januari 2009,   beliau menafikan desas-desus kononnya ada pihak-pihak tertentu, termasuk Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan cuba mempengaruhi keempat-empat Datuk Undang Luak negeri itu dalam membuat keputusan mereka berhubung pelantikan itu.
"Dalam Enakmen Kerajaan Negeri Sembilan, kuasa mutlak untuk melantik Yang Dipertuan Besar terletak hanya kepada Undang Yang Empat, iaitu Datuk Undang Luak Sungai Ujong, Datuk Undang Luak Jelebu, Datuk Undang Luak Rembau, dan Datuk Undang Luak Johol, dengan dipengerusikan oleh Datuk Undang Luak Sungai Ujong.  Keputusan mesyuarat atau kerapatan kami adalah 100 peratus atau sebulat suara,"  katanya bagi menjelaskan salah laporan, terutama oleh penulis-penulis blog berhubung pelantikan Tuanku Muhriz.
"Saya cukup menghargai dan berterima kasih kepada Menteri Besar kerana beliau tidak mempengaruhi atau campur tangan dengan urusan pemilihan ini sebagai mana desas-desus yang kita dengar. Saya menafikan desas-desus ini. Beliau bersikap amat profesional dalam hal ini," kata Muhamad Sharip.
Mengenai perasaannya kerana terlibat secara peribadi dalam peristiwa bersejarah untuk memilih Yang Dipertuan Besar atau lebih dikenali sebagai Yamtuan Tuan yang baru, Muhamad Sharip berkata perkara itu tidak termimpi olehnya. Beliau menyifatkan tanggungjawab memilih Yamtuan yang baru buat pertama kali dalam lebih 40 tahun itu sebagai sebagai "cukup-cukup berat."
"Ia cukup-cukup berat kerana kalau di negeri-negeri lain, pelantikan itu daripada ayah turun ke anak, tetapi tidak di Negeri Sembilan." Muhamad Sharip berkata, bukanlah mudah untuk Datuk-Datuk Undang itu membuat keputusan kerana mereka harus mengambil kira segala aspek dan banyak sudut.
Beliau juga bangga kerana kerahsiaan mengenai keputusan pelantikan Tuanku Muhriz sebagai Yamtuan yang baru dapat kekalkan tanpa ada kebocoran sehingga pemasyhuran rasmi dibuat sejurus sebelum acara pemakaman jenazah Almarhum Tuanku Ja'afar diadakan selepas solat Asar. Katanya, keputusan Datuk Undang Yang Empat itu tidak dimaklumkan terlebih dahulu, malah kepada Tuanku Muhriz sendiri atau tiga lagi kerabat Diraja yang layak dipertimbangkan sebagai pengganti.
            Meskipun Datuk Undang Luak Rembau, Datuk Muhamad Sharip Othman menafikan segala  desas-desus pelantikan Tuanku Muhriz dan laporan The Malaysian Insider  lebih bersifat spekulatif, namun bagi mereka  yang pernah membaca Jelebak-Jelebu:  Corat-coret Anak Kampung (Rais Yatim, 2004: 418-421), keputusan Udang dalam pelantikan itu telah pun dirancang lebih awal.  Dalam buku itu, Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim menyebut bahawa pada bulan Mac 2002, beliau dijemput ke suatu perjumpaan khas Datuk-Datuk Undang dan Tunku Besar Tampin di Balai Undang Jelebu di Kuala Klawang.  Keempat-empat undang dan Tunku Besar Tampin hadir dalam perjumpaan tidak rasmi pada pagi itu,  menurut beliau ialah “gara-gara yang hendak menyulitkan institusi Yang Dipertuan Besar dan adat Diraja di peringkat negeri” berhubung dengan siapa yang lebih berhak dalam protokol di istana.    
            Tambah Rais Yatim lagi, sistem dan susur galur menggantikan Yamtuan juga dibincangkan.  Meskipun beliau diminta mengemukakan pandangan dari segi undang-undang, namun ketua adat berlima “nampak semacam sudah membuat keputusan kebulatan suara untuk mendapatkan keutamaan.”  Rais merumuskan perjumpaan itu:  “Undang dan Tunku Besar tidak begitu mirip kepada penentuan putera sulung, Yamtuan, Tunku Laxamana  Naquiyuddin, bakal pengganti raja.  Mereka lebih cenderung kepada putera sulung Tunku Munawir, Tunku Muhriz, Tunku Besar Seri Menanti.”  Yang Dipertuan Besar ketika itu telah tidak popular dalam kalangan ketua adat berlima, seperti yang dinyatakan oleh Rais, “isu mempertikaikan beberapa fungsi dan pelakuan Yang Dipertuan Besar melalui majlis-majlis rasmi juga ditimbulkan.” 
Perjumpaan lebih enam tahun lalu  akhirnya menjadi suatu kenyataan  apabila Datuk-Datuk Undang membuat pemilihan pada 29 Disember 2008:  Tuanku Muhriz sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan sambil mengetepikan Tunku Laxamana Naqiuddin. Spekulasi mengenai pemilihan Yang Dipertuan Besar yang baru sebelum ini banyak memihak kepada putera sulung Almarhum Tuanku Ja'afar, Tunku Naquiyuddin, yang berprofil tinggi dalam  kalangan masyarakat Malaysia.
Selain soal sistem dan susur galur, nampaknya  berlaku “persengketaan” antara Datuk-Datuk Undang dengan Yang Dipertuan Besar ketika itu, seperti yang dinyatakan oleh Rais:  “Saya juga menyelitkan pandangan supaya Datuk-Datuk Undang harus bersatu dengan Yamtuan dalam semua hal supaya institusi adat itu terus teguh dan dihormati,” sedikit sebanyak   turut  mempengaruhi pemilihan itu. 
Namun,  Datuk Undang Luak Rembau dalam menjelaskan apakah faktor-faktor yang diambil kira oleh Datuk Undang Yang Empat sebulat suara melantik Tuanku Muhriz, kerabat Diraja yang tidak dikenali ramai yang sebelum ini bergelar Tunku Besar Seri Menanti hanya menjawab: "Itu memang hak mutlak Datuk Undang yang Empat untuk menentukan yang mana faktor-faktor itu terpulanglah kepada mereka sahaja dan pada pemikiran mereka pada masa itu."
Asal Usul Adat Perpatih
Pemasyhuran Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan mempersegarkan minat orang ramai terhadap Adat Perpatih yang diamalkan di negeri itu.  Kali terakhir  masyarakat  berkesempatan melihat bagaimana Adat Perpatih diamalkan dalam peristiwa yang bersejarah  adalah pada tahun 1967 apabila Tuanku Ja’afar dilantik dan dimashyurkan sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.  Sempena pemasyhuran Tuanku Muhriz, saluran televisyen dan akhbar membuat liputan tentang Adat Perpatih yang menunjangi pemilihan itu.  Lahir minat dalam  kalangan rakyat, khususnya di luar Negeri Sembilan untuk mengetahui secara lebih meluas tentang Adat Pepatih yang diamalkan di negeri itu.
Seperti yang dijelaskan oleh Undang Rembau itu,  "Sebagai contoh, tidak ramai orang terutama di luar Negeri Sembilan tahu bahawa Datuk Undang Yang Empat ialah co-Ruler atau Pemerintah Bersama dan Ahli Dewan Keadilan dan Undang yang dipengerusikan oleh Yamtuan."
Negeri Sembilan sebelum mempunyai raja merupakan jajahan takluk Negeri Johor.  Pada abad ke-18, setelah mendapat perkenan Sultan Johor, Sultan Abdul Jalil II, orang Negeri Sembilan, bertolak ke Pagar Ruyung untuk menghadap Yang Dipertuan memohon perkenan untuk mendapatkan raja  dari Pagar Ruyung.  Sultan Abdul Jalil, Yang Dipertuan Pagar Ruyung berkenan putera baginda, Raja  Mahmud untuk memenuhi permintaan orang Negeri Sembilan.  Raja Mahmud ini kemudian dipanggil Raja Melewar, iaitu Yamtuan Besar Negeri Sembilan yang pertama.  Sampai di Johor, Raja Melewar pun menghadap Sultan Johor.  Baginda Sultan Johor mengurniakan cap mohor dan memberikan kuasa penuh ke atas daerah-daerah  baginda yang kemudiannya dikenali Negeri Sembilan. 
Dalam perjalanan ke Negeri Sembilan melalui Naning, Raja Melewar bertempur dengan  Daeng Kemboja,  yang mendakwa dirinya   raja di Negeri Sembilan.  Setelah berjaya menewaskan anak raja Bugis itu , Raja Melewar masuk ke Rembau lalu ditabalkan menjadi Raja Negeri Sembilan di Kampung Perajis pada tahun 1773.  Dari sinilah terbit perbidalan dalam salasiah pemerintahan beraja Negeri Sembilan (Abdul Samad Idris, 1990:  91 – 92):
           
Tanah Kerjan (Kerajaan) di Penajis
Tanah Mengandung di Seri Menanti.

Negeri Sembilan ketika kedatangan perantau Minangkabau bukannya tanpa penghuni.  Telah diakui bahawa wujud anak watan yang terdiri daripada orang Asli yang diperakui oleh perbilangan adat:
                              Gagak hitam, gagak senoi
                             Turun dari bukit, berkaki empat
                             Bangau putih,
                            Datang dari laut, berkepak sayap.


Orang Minangkabau yang datang membuka menetap dan seterusnya hidup bersuku menyifatkan diri mereka  sebagai “bangau putih” dan orang Sakai penghuni asal Negeri Sembilan sebagai “gagak hitam” (Nordin Selat, 1982: 143 – 144). 
Ungkapan gagak hitam dan gagak senoi dalam perbilangan tersebut adalah dimaksudkan anak watan atau penduduk asal setempat.  Bangau putih pula melambangkan perantau dari Sumatera yang rata-rata terdiri daripada kaum lelaki (Norhalim Hj.Ibrahim, 1993: 94) yang datang dengan menggunakan perahu yang diungkapkan “berkepak sayap” (Mohd Rosli Saludin, 2007: 113).  Pertembungan budaya Minangkabau dengan penduduk asli Negeri Sembilan (orang Asli atau Proto Malays) melahirkan tamadun yang lebih kepada aturan hidup Minangkabau sehingga melenyapkan sama sekali budaya dan sistem sosial penduduk Asli (A. Samad Idris, 1990: 32). 

Sebenarnya, Adat Perpatih Negeri Sembilan telah dikaji oleh para sarjana Barat, seperti Michael Swift, ...... dan sarjana, pengkaji, dan penulis tempatan, seperti Nordin Selat,  Tan Sri Abdul Samad Idris, Datuk Rosli, dan..... Tidak sukar Bahan bacaan, baik dalam bentuk buku mahupun makalah, malahan melalui Internet. Di  perpustakaan tempatan, seperti perpustakaan universiti dan perpustakaan awam tersimpan bahan rujukan tentang Adat Perpatih.
Sebagaimana Adat Temenggung, Adat Perpatih adalah berasal dari Minangkabau.  Adat Perpatih  yang diamalkan oleh masyarakat Melayu Negeri Sembilan dan Naning di Melaka dibawa oleh golongan perantau Minangkabau, Sumatera Barat, kira-kira 650 tahun lalu. istilah Adat Perpatih terbit daripada gelaran Sutan Balun, iaitu Datuk Parapatieh Nan Sabatang (Datuk Perpatih Nan Sebatang), manakala istilah Adat Temenggung pula berasal daripada gelaran abang tiri Sutan Balun (Sutan Maharajo Basa), iaitu Datuk Katumangguengan (Datuk Ketemenggungan). Orang Minangkabau yang berhijrah itu berpegang kuat pada peraturan dan undang-undang yang diamalkan di tempat asal mereka, iaitu Adat Perpatih  (Norhalim Haji  Ibrahim,  1993: 5).
Walau bagaimanapun, Jelani Harun (2008) mengemukakan pandangan yang berbeza tentang asal usul Adat Perpatih dan Adat Temenggung, yang bagi beliau, merupakan perbezaan mudah yang dilakukan oleh penjajah antara undang-undang adat Melayu dengan undang-undang dari Minangkabau.  Semua undang-undang dari Minangkabau digolongkan sebagai Adat Perpatih, manakala semua  undang-undang adat Melayu lain Adat Temenggung.  Beliau menegaskan bahawa Adat Temenggung tidak ada dalam budaya  orang  Melayu awal, dan tidak ada naskhah Melayu yang menyebut bahawa undang-undang adat Melayu yang berasal daripada Adat Temenggung.  Sambil  meragui undang-undang ini berasal-usul daripada Adat Temenggung dari Minangkabau atau Sumatera, Jelani berhujah bahawa “Datuk Ketemenggungan yang berasal dari Minangkabu bukan pengasas undang-undang adat bagi masyarakat Melayu, Aceh, Bugis, dan lain-lain.  Datuk Ketemenggungan hanya pengasas undang-undang adat masyarakat Minang di Minangkabau yang seterusnya dikenali sebagai Adat Temenggung.”
Yang disebut suku di Minangkabau ialah kelompok kaum yang berasal daripada nenek perempuan.  Seluruh susunan masyarakat Minangkabau beradasarkan pembahagian penduduk dalam suku-suku.  Jumlah suku (yang bermaksud empat) pada awalnya empat, dan jumlah empat ini menjadi syarat bagi mewujudkan nagari sebagaimana yang dikatakan oleh mamang adat (Norhalim Haji Ibrahim, 1993: 46):
Anggari babarek kuku
Dikarek jo pisau rauik
Ka parauik batang tuo
Tuonyo elok ke lantai.
               
Nagari ka baampek suku
            Suku nan babuah paruik
            Kampueng nan ba Tuo
            Rumah nan ba Tunggani.

Penduduk Minangkabau di bawah pemerintahan Datuk Perpatih terdiri daripada empat suku, iaitu Bodi, Caniago, Koto, dan Piliang.  Kini, jumlah suku di Minangkabau melebihi seratus. Setiap orang di Minangkabau menganggotai salah satu kelompok kekerabatan tersebut.  Keanggotaan seseorang dalam satu-satu suku berdasarkan suku atau kelompok kekerabatan ibunyha. 
 Kedatangan orang Minangkabau ke Negeri Sembilan selain membawa bersama-sama mereka Adat Perpatih, mereka juga menamakan tempat-tempat yang diteroka dengan nama kampung tempat asal mereka.  Selain itu, nama luak atau kampung itu menjadi nama suku atau waris yang kekal hingga kini.   Namun, bilangan suku di Negeri Sembilan berbeza dengan bilangan suku di Minangkabau.   Adat Perpatih di negeri ini mempunyai 12 suku: Biduanda,  Batu Hampar, Tanah Datar, Tiga Batu, Seri Lemak, Seri Melenggang,  Paya Kumbuh, Mungkal,  Batu Belang,  Tiga Nenek, Anak Aceh, dan Anak Melaka.
Di Negeri Sembilan, Adat Perpatih terkenal atas usaha Datuk Perpatih, dan ungkapan adat dijadikan sebagai alat komunikasi dalam kepimpinan supaya masyarakat boleh hidup dengan aman dan muafakat.  Pegangan dan pengalaman masyarakat terhadap Adat Perpatih di Negeri Sembilan amat kuat.  Negeri Sembilan dianggap sebagai “Negeri Beradat Perpatih” yang sememangnya masih diamalkan oleh sebilangan besar penduduknya, di samping sedikit Adat Temenggung di sesetengah tempat.
  Pada tahap lebih kurang 250 tahun Adat Perpatih diamalkan pada tahap yang paling maksimum.  Pengamalannya membuatkan beberapa buah negeri di Negeri Sembilan, seperti Rembau berjaya mempertahankan kemerdekaan dan kebebasan sebagai sebuah negeri yang berdaulat dan berwibawa.  Sungai Ujong, Naning, dan Rembau adalah negeri beradat yang paling sukar digugat oleh penjajah Portugis, Belanda, dan Inggeris (Mohd Rosli Saludin, 2007:  114-115).
Amalan adat yang penting dalam kehidupan masyarakat adat di Negeri Sembilan ialah upacara perkahwinan.  Melalui perkahwinan terbentuklah keluarga, masyarakat, negeri, dan negara.  Pada upacara perkahwinan dilakukan pemberian gelar yang menandakan kedewasaan seseorang:  kecil bernama, besar bergelar (Mohd  Rosli Saludin, 2007:  7). 

Status dan Sengketa

                        Raja beralam
                        Penghulu berluak
                        Lembaga berlingkungan
                        Buapak beranak buah
                        Anak buah duduk bersuku-suku
                        Berapa sukunya: dua belas,

Adat Perpatih berasaskan kekeluargaan.  Perut dan suku ialah unit-unit kekeluargaan.  Dalam masyarakat kekeluargaan yang begini, perlapisan (susun lapis) terpaksa dilihat dari segi status.  Semua status bersifat aksriptif, iaitu memang sudah ada pada seseorang itu berdasarkan kedudukannya dalam suku atau perut.  Tiap-tiap anggota dalam masyarakat Adat Perpatih ada pangkatnya masing-masing.  Dalam perut dan suku, semua interaksi sosial berdasarkan pangkat ini; tidak ada interaksi yang mendatar, kecuali antara anggota sebaya yang berlainan suku.  Ada pangkat yang menunjukkan perbezaan status yang jelas.  Bagi yang lain, perbezaan status amat kecil.  Awal-awal lagi daripada mitos asal usulnya, Adat Perpatih membayangkan kesedaran status.  Umumnya, hierarki status suku itu berdasarkan usia, lama atau baru (Nordin Selat, 1982: 145).
            Dimensi status dalam Adat Perpatih melibatkan fungsi, generasi, umur, dan perkahwinan.  Fungsi ialah peranan seseorang dalam Adat Perpatih, iaitu ada ketua-ketua Adat berdasarkan peringkat pentadbiran: Yamtuan, peringkat paling tinggi yang menjadi lambang kepimpinan; diikuti oleh Undang, pucuk pimpinan Adat di luak; penghulu, pucuk pimpinan Adat di Luak Tanah Mengandung; Lembaga, pucuk pimpinan Adat dalam suku; dan Buapak, pucuk pimpinan Adat di peringkat perut.  Setiap ketua Adat ini ada keistimewaannya.  Generasi ialah “kekanan” keturunan daripada moyang yang sama.  Dalam keluarga asas, antara adik beradik status ditentukan oleh umur.  Seseorang lelaki sesudah berkahwin menjadi Orang Semenda dalam suku isterinya dan Orang Tempat Semenda dalam sukunya sendiri (Nordin Selat,  1982: 146).

Raja menobat di dalam alam
Penghulu menobat di dalam luak
Lembaga menobat di dalam lingkungannya
Buapak menobat pada  anak buah
Orang banyak menobat di dalam terataknya.


Namun, amalan Adat Perpatih tidak sunyi daripada pertikaian dan persengketaan yang lazimnya berpunca daripada perwarisan dan perebutan jawatan yang berbaur dengan kepentingan diri sendiri dan pihak yang menuntut mendakwa bahawa mereka lebih berhak mewarisi jawatan pusaka. Perebutan jawatan di pelbagai peringkat ini  diketahui umum dan sering mendapat liputan media.  “Masalah perwarisan jawatan berlaku di peringkat bawahan dan juga peringkat atasan.  Di peringkat bawah berlaku masalah pemilihan Datul-Datuk Lembaga, Buapak, dan Besar Waris, manakala masalah di peringkat atasan melibatkan jawatan pusaka adat, iaitu Penghulu atau Undang dan jawatan lain (Mohd Rosli Saludin, 2007:  134).
Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim dalam “Bab 16:  Krisis Adat Luak Jelebu”  buku beliau mengemukakan kupasan yang menarik lagi berani tentang persengketaan dalam Adat Perpatih. Beliau menegaskan:   “Jangan anggap pergolakan hanya berlaku dalam arena politik.  Adat pun mengalami pergolakannya sendiri.  Malah, dalam pengertian sebenar pergolakan adat boleh dikatakan lebih teruk lagi berbanding dengan kebanyakan pergolakan yang dialami institusi social.  Ini kerana amalan adat itu sendiri adalah disertai dengan gaulan politik yang amat intim.  Ketua adat akan cuba mengekalkan pengaruh dan kedudukannya, seperti mana juga pemimpin politik akan cuba berbuat demikian selagi ada pada sesuatu pihak itu pengikut dan ruang untuk berpengaruh.  Keadaan akan bertambah rumit apabila sistem pemilihan adat itu, dari Buapak sampai ke Undang tidak berlandaskan sesuatu tradisi atau peraturan berkanun” (Rais Yatim, 2004: 405).
            Oleh sebab pusaka dan kedudukan Undang itu paling tinggi dari zaman feudal Melayu hingga kini di luak-luak Negeri Sembilan, institusi Undang dan Datuk Lembaga terus menjadi rebutan.  Dengan merujuk kejayaan Syed Ali, peniaga dari Pahang, dengan segala tipu muslihat,  dilantik sebagai Undang Luak Jelebu pada tahun 1882, Rais Yatim  (2004: 409), merumuskan “pihak-pihak yang tidak berkaitan dengan adat tempatan pun ada yang berani tampil mengambil bahagian dan akhirnya berjaya.”
Sambil mengakui bahawa Luak Jelebu memang banyak sekali mengalami krisis adat dalam sejarahnya, biasanya berpunca daripada pergelutan mendapatkan tempat dan kedudukan dan kuasa adat, Rais Yatim  (2004: 406) juga mengakui “setelah diselidik latar belakang luak-luak berundang yang lain, iaitu Sungai Ujong, Rembau, dan Johol – semua pergolakan berpunca daripada situasi rebutan kedudukan: siapa harus jadi Undang?  Satu kumpulan akan mendakwa bahawa calonnya yang paling layak diangkat jadi Undang, sementara kumpulan lain pula akan mendakwa bahawa perutnyalah yang sah dikerjankan sebagai Undang.”  
Selepas Datuk Mubarak Dohak, Undang Luak Sungai Ujong  mengumumkan pemasyhuran Tuanku Muhriz Almarhum Tuanku Munawir sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, status  Undang itu sendiri masih menjadi tanda tanya.  Seperti yang dilaporkan dalam akhbar Utusan Malaysia (11 Januari 2009),  status Datuk Undang Luak Sungai Ujong, Datuk Mubarak Dohak  masih dipertikaikan. Datuk Lembaga Kanan Luak Sungai Ujong, Datuk Raja Zulkepley Dahalan berkata, Mubarak Dohak yang juga dikenali sebagai Datuk Kelana tidak boleh terlibat dalam membuat sebarang keputusan di Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan kerana kedudukannya tidak sah menerusi adat dan istiadat Negeri Sembilan. Menurut beliau, pelantikan Mubarak itu  tidak mengikut adat, iaitu  sepatutnya dibuat atas pemilihan Bulat (muafakat) Anak Buah kepada Buapak dan seterusnya kepada Datuk Lembaga.
Dalam satu sidang akhbar beliau berkata, "Sehubungan itu kedudukan Mubarak sebagai Undang Luak Sungai Ujong sejak 1993 tidak sah mengikut Perkara 14(1) dan 32 Perlembagaan Negeri Sembilan 1959 serta Perkara 71(2) Perlembagaan Persekutuan." Raja Zulkepley  berkata, “Mubarak bagaimanapun terus dikekalkan ke jawatan apabila Dewan Keadilan dan Undang membuat keputusan sedemikian pada 2002 atas sokongan kerajaan negeri ketika itu.”
Menurut beliau, sejak 2002 sehingga kini, Mubarak telah didakwa melakukan sebanyak 26 kesalahan oleh kumpulan waris menerusi kerapatan (mesyuarat) yang diadakan untuk membolehkan kedudukan Mubarak dipersoalkan. Katanya, antara kesalahan yang dilakukan oleh Mubarak selama enam tahun kebelakangan ini adalah memecat kumpulan waris Undang Luak Sungai Ujong dan menarik pencen kumpulan waris.
"Selain itu, Mubarak juga tidak pernah mengisi kekosongan jawatan Datuk Syahbandar yang merupakan kedudukan sama tinggi dengan jawatannya. Malah, Mubarak turut tidak mengendahkan empat jawatan Lembaga Tiang Balai yang bertugas untuk mentadbir adat di Sungai Ujong, walaupun warisnya ada," jelas beliau.
Meskipun 26 tahun berlalu,  status Undang Luak Sungai Ujong masih menjadai pertikaian. Datuk Mubarak Dohak dimasyhurkan pada tahun  1993 menggantikan Datuk Mohamad Kassim Nika Ab. Rashid, Undang Luak Sungai Ujong ke-10 yang meninggal dunia pada 1983.  Pertabalan pada 16 tahun lalu itu sendiri dibuat selepas 10 tahun pertikaian genting mengenai penyandang paling layak.  Dari segi hierarki, Undang Luak Sungai Ujong paling kanan dalam  kalangan empat Undang Luak di Negeri Sembilan.
Akhbar Utusan Malaysia (11 Januari 2009) melaporkan bahawa Sungai Ujong mempunyai “dua Undang Luak.”   Mubarak ialah penyandang rasmi yang diiktiraf oleh Kerajaan Negeri Sembilan dan disahkan oleh Dewan Keadilan dan Undang. Kemudian,  seorang lagi “Undang Luak Sungai Ujong” dimasyhurkan menerusi satu upacara adat di Tapak Waris Di Darat, Kampung Gedang, Seremban.  Datuk Othman Ismail, seorang Sarjana Kewangan dari University of Hull, United Kingdom dimasyhurkan oleh sekumpulan anak negeri “waris di darat” sebagai “Undang Luak Sungai Ujong ke-11.” 
“Pemasyhuran” Othman itu merupakan kemuncak bantahan waris-waris tersebut terhadap pertabalan Mubarak sebelum ini yang dianggap tidak sah dari segi aturan adat pusaka.  Ahli Lembaga Kanan Luak Sungai Ujong, Datuk Sri Maharaja Diraja Raja Zulkepley Dahalan berkata: "Pemasyhuran Othman Ahad lalu adalah hasil muafakat 95 peratus anak waris negeri. Beliau Undang Luak yang sah,"  dalam sidang akhbar yang turut dihadiri Othman, di sini hari ini. Raja Zulkepley meminta Dewan Keadilan dan Undang membentangkan usul mengesahkan pelantikan Othman dan menyingkirkan Mubarak sebelum Istiadat Pertabalan Yang Dipertuan Besar, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir hujung tahun ini.
"Pertabalan Tuanku Muhriz tidak boleh dilakukan kerana Mubarak bukan seorang Undang Luak yang sah untuk memberi perkenan. Kami mengalu-alukan pertabalan Tuanku Muhriz,  namun baginda tentu maklum mengenai kesannya termasuk dipersoalkan kesahihan sebagai Yang Dipertuan Besar oleh mana-mana pihak kelak," tegasnya.
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan, seperti yang dilaporkan oleh Bernama (10 Januari 2009) menjelaskan bahawa Kerajaan Negeri Sembilan mengiktiraf Datuk Mubarak Dohak sebagai Undang Luak Sungai Ujong dan  tidak boleh dipertikaikan lagi.
"Saya ingin menyatakan di sini bahawa kerajaan negeri tidak mempunyai apa-apa persoalan tentang kedudukan Datuk Mubarak Dohak sebagai Undang Luak Sungai Ujong.  Beliau  merupakan Undang Luak Sungai Ujong yang sudah diiktiraf oleh kerajaan negeri dari dahulu hingga sekarang."
Beliau menjelaskan demikian berikutan terdapat pihak-pihak tertentu yang mempersoalkan (mempertikaikan) kedudukan Datuk Mubarak Dohak sebagai Undang Luak Sungai Ujong seperti yang tersiar dalam  akhbar baru-baru ini. Katanya, Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan telah membincangkan isu mengenai persoalan yang ditimbulkan oleh pihak-pihak yang berkenaan dan Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan telah menolak isu tersebut.
Mohamad berkata “apabila Dewan Keadilan dan Undang telah membuat keputusan, maka itulah keputusannya dan ia tidak boleh dipertikaikan manakala kerajaan negeri akan mengiktiraf apa juga keputusan yang telah dibuat oleh Dewan Keadilan dan Undang.
"Dalam hubungan ini, sejauh yang kita sedari, kerajaan negeri mengiktiraf kedudukan Datuk Mubarak Dohak sebagai Undang Luak Sungai Ujong dan tidak ada dakwa-dakwinya lagi...itu adalah pendirian kerajaan negeri.  Pendirian kita adalah tetap mengiktiraf Datuk Mubarak Dohak sebagai Undang Luak Sungai Ujong."
Presiden Pertubuhan Adat Perpatih Negeri Sembilan, Kolonel Profesor Datuk Dr. Kamarudin Kachar, seperti yang dilaporkan dalam Utusan Malaysia (14 Januari 2009),  turut mempertahankan status Undang Sungai Ujong dengan berkata, “tidak sepatutnya wujud pertikaian antara Datuk Mubarak Dohak dengan Datuk Othman Ismail sebagai Undang Luak Sungai Ujong ke-11.” Menurut beliau, pelantikan Mubarak sebagai Undang Luak sejak 16 tahun lalu telah disahkan Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan.
''Malah, pelantikan beliau juga telah diterima oleh kerajaan negeri sendiri sejak dilantik pada tahun 1993.  Pelantikan Othman yang dimasyhurkan menerusi satu upacara adat di Tapak Waris di Darat, Kampung Gedang, tidak boleh disahkan dan perkara itu satu pembaziran, selain mengelirukan rakyat.”
Sehubungan itu, tegas Kamarudin, pelantikan Tuanku  Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan adalah sah dan tidak boleh dipertikaikan. ''Ada eloknya semua waris Luak Sungai Ujong memberi kerjasama erat kepada beliau bagi meningkatkan perpaduan waris Undang Luak dan kemajuan Luak Sungai Ujong.''
Di tengah-tengah pertikaian itu, Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan  mengesahkan pelantikan Datuk Mubarak Dohak sebagai Undang Luak Sungai Ujong dan  tidak perlu dipertikaikan lagi pada masa hadapan. Dalam kenyataan akhbar, Setiausaha Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan, Datuk Jemal Zainal Kasim menjelaskan bahawa pelantikan Mubarak itu mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri 1959.
Beliau menegaskan peruntukan Perkara 16(3) undang-undang berkenaan menyebut bahawa atas nasihat Dewan berhubung soal berkaitan dengan adat istiadat orang Melayu di mana-mana  tempat dalam negeri ini termasuklah nasihat atas soal berkaitan dengan pemilihan atau warisnya, maka beberapa perkara hendaklah dipatuhi.
''Ini termasuklah berhubung soal pelucutan daripada atau pengosongan jawatan mana-mana Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin yang disebut dalam Fasal 14 sebagai muktamad dan tidak boleh dipertikaikan atau dipersoalkan di mana-mana mahkamah di atas sebarang alasan," tegas Jemal.
Sehubungan itu, beliau berkata Mubarak yang dilantik sebagai Datuk Kelana Petra yang ke-10, Undang Luak Sungai Ujong telah mengikut adat istiadat Luak Sungai Ujong secara betul.
''Pengisytiharan lantikan tersebut telah dilakukan oleh Datuk Syahbandar Luak Sungai Ujong, Datuk Shaari Hassan pada 29 Disember 1993," tegas beliau. Maka, Dewan Keadilan dan Undang pada mesyuarat khas bertarikh 19 Ogos 2002 telah membincangkan isu pelantikan tersebut dan membuat keputusan bahawa Mubarak kekal menyandang pusaka Datuk Kelana Petra ke-10.
Sebelum ini terdapat beberapa pihak daripada kalangan waris Luak Sungai Ujong yang telah mempertikaikan pelantikan Mubarak sehingga ada yang menganjurkan bantahan dan sebagainya.  Mubarak ketika ini merupakan  “imam” dalam  kalangan Undang Yang Empat dan telah  mengumumkan pemasyhuran Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan yang ke-11 pada 29 Disember lalu di Balairong Seri, Istana Besar Seri Menanti.
Selepas perisytiharan Tuanku Muhriz sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan yang mencetuskan polemik, satu demi satu status Undang menjadi sasaran.  Selain status Undang Luak Sungai Ujong, seperti yang dilaporkan dalam Utusan Malaysia (14 Januari 2009), pertikaian turut melibatkan siapakah sebenarnya yang harus memegang jawatan Datuk Sedia Lela/Datuk Perba, Lembaga Waris Dua Carak, Luak Rembau  yang masih terus menjadi perdebatan dalam  kalangan rakyat Negeri Sembilan.   Perkara ini timbul  berikutan keputusan Mahkamah Tinggi Persekutuan pada 26 Mac 2007 yang menolak penghakiman pernyataan fitnah terhadap Datuk Dr. Ismail Shamsuddin oleh 10 pemimpin Undang Luak Rembau.
Sebelas tahun sebelumnya, kedudukan Ismail sebagai Datuk Sedia Lela/Datuk Perba dilucutkan kerana tuduhan salah guna kuasa dan beberapa pertuduhan lain. Pelucutan itu membuatkan Ismail tidak dapat mewarisi pusaka Undang Luak Rembau ke-21.  Sebaliknya,  jawatan itu diberikan kepada Datuk Sedia Utama/Datuk Syahbandar  Mohd. Sharip Othman yang dimasyhurkan pada 21 November 1998 dan masih memegang jawatan itu sehingga kini.
Walau bagaimanapun, keputusan mahkamah dua tahun lalu yang berpihak kepada Ismail dengan sendirinya menggugat struktur institusi Undang Rembau ketika ini. Pelantikan Datuk Sedia Lela/Datuk Perba yang dibuat selepas pemecatan Ismail dianggap tidak sah.  Begitu juga penyandang pusaka Undang yang dilantik oleh Datuk Sedia Lela/Datuk Perba sekarang juga tidak sah dari segi adat dan perlembagaan negeri.
Sementelah Undang Rembau yang ada ketika ini dilantik oleh Datuk Sedia Lela/Datuk Perba yang mengambil alih jawatan selepas pemecatan Ismail. Mengikut adat, Datuk Sedia Lela/Datuk Perba tidak ada kuasa dan ditegah oleh adat melantik Undang.  Tugas Datuk Sedia Lela/Datuk Perba ialah setakat mencari "benih" Undang untuk dikemukakan kepada Lembaga Tiang Balai. Yang berkuasa melantik Undang hanyalah dengan kebulatan Lembaga Tiang Balai (berempat di baruh dan berempat di darat).
Permasyhurannya juga hanya boleh dibuat oleh Datuk Gempa Maharaja dan bukan Datuk Sedia Lela/Datuk Perba seperti yang berlaku dalam pelantikan Undang Rembau ketika ini. Sedikit latar belakang mengenai apa yang berlaku dalam isu jawatan Datuk Sedia Lela/Datuk Perba Luak Rembau itu menimbulkan tanda tanya seolah-olah ada sesuatu yang tidak berlangsung mengikut adat.
Isu yang berlarutan sejak lebih 10 tahun membuka perbincangan dan perdebatan yang tidak sihat.  Antaranya seperti yang dijelaskan Ismail, sama ada Undang Rembau dapat menjalankan tanggungjawab, kewajipan, amanah, dan tugas masing-masing. Paling penting, adakah Luak Rembau hari ini ditadbir mengikut Adat Perpatih, iaitu Perlembagaan Adat dan Istiadat Rembau, Perlembagaan Malaysia dan Perlembagaan Negeri Sembilan,'' katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Sewajarnya berdasarkan persetujuan antara Undang-Undang Luak dengan kerajaan, masalah luak perlu diselesaikan di luak masing-masing. Begitu juga dalam isu di Rembau, Undang Rembau dan Lembaganya, iaitu Lembaga Tiang Balai dan Lembaga Suku Nan 12 adalah satu-satunya pihak yang berkuasa di peringkat luak untuk menyelesaikannya.
Perkara ini jelas Ismail, turut ditekankan oleh kerajaan negeri atau Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan yang menasihatkan Undang Rembau menyelesaikan perselisihan. Malangnya sehingga kini, Undang Rembau selaku Ketua Pentadbir Adat dan Istiadat Luak mengambil sikap "seolah-olah tidak peduli."
"Maka, penyelesaian kini sudah menjadi tanggungjawab kerajaan negeri,'' tegasnya. Ini kerana Undang tidak lagi memiliki kuasa mutlak, sebaliknya terikat dengan Perlembagaan. Antaranya seperti diperincikan dalam Bahagian 1, Seksyen 14 dan 15 Undang-Undang Perlembagaan Negeri Sembilan 1959.
Masyarakat akan hilang keyakinan kerana keputusan yang tidak tepat, wajar dan adil dalam beberapa peristiwa dan kepincangan adat yang berlaku sebelum ini.
Justeru, peluang dalam berdepan dengan kemelut Luak Rembau ketika ini perlu direbut dalam mengembalikan semula kepercayaan masyarakat.
Pastinya perebutan jawatan Datuk Sedia Lela, Lembaga Waris Dua Carak ini tidak mahu diakhiri dengan penyelesaian yang membelakang adat seperti menceroboh Balai.
Amat memalukan sekiranya persengketaan ini dibiarkan berpanjangan, lebih banyak cacat-cela penyandang jawatan di Luak Rembau bakal ditelanjangkan.
            Semasa Bab 16 bukunya  ditulis,  Rais Yatim menyatakan Undang Sungai Ujong,  Datuk Mubarak   sedang menghadapi krisis pusaka yang beliau sandang lantaran ada pihak-pihak yang mempertikaikan kesahihan beliau diangkat sebagai Undang.  Datuk Syahbandar Sungai Ujong yang juga merupakan komponen ketua komposit dalam luak berkenaan tidak dilantik sejak sekitar sembilan tahun yang lampau.  Dengan tiadanya pelantikan ini, tegas Rais Yatim (2004: 409), “kedudukan Undang Sungai Ujong boleh ditakrif sebagai tidak sah – bukan sahaja lantaran beliau belum lagi dikerjankan (ditabalkan), tetapi juga kerana ‘mata putih’nya (yakni Syahbandar Sungai Ujong) tidak wujud akibat muslihat pergaduhan ketua-ketua dan seka  (individu dalam masyarakat yang mewarisi pengaruh dan kedudukan melalui ibu) adat di luak itu.”
             
Rais Yatim  merumuskan: “Masalah konflik dan krisis bermula dengan rebutan ketua adat itu sendiri” (2004:  405), dan  “keruhnya adat itu bukan lantaran faktor lain, tetapi lantaran rebutan yang berlaku apabila kekosongan wujud pada jawatan Undang (2004:  409: 407).
Tegas Rais Yatim lagi (2004: 407:  “Kedudukan Undang dan Tunku Besar Tampin itu begitu diintai-intai oleh pelbagai pihak yang mendakwa kesahihan dan ketepatan tuntutan mereka untuk menjadi Undang atau Tunku Besar.   Kelayakan dari sudut pendidikan tidak menjadi masalah, dan seseorang Undang menikmati pencen politik seumur hidup yang agak lumayan, pendapatan purata RM7000 sebulan, dan isteri Undang yang bergelak To’ Puan menerima elaun, berkereta mewah, berstatus tinggi dari segi protokol.  Undang dan Tunku Besar mempunyai Balai yang dibiayai oleh kerajaan negeri, lengkap dengan petugas suruhan, seperti tukang kebun, tukang masak, pemandu, dan kemudahan perkeranian.”
Pergolakan merebut pusaka dalam kalangan Undang mempunyai sejarah yang panjang dan cukup mendalam, malah penjajah Inggeris pernah menyaksikan kerumitan dan keruncingan dalam luak berundang.  Maka, satu persefahaman yang dikenali Perjanjian Adat 1934 diperbuat  antara Yang Dipertuan Besar, Undang Yang Empat, dan Residen British.  Perjanjian ini menyatakan bahawa jika timbul sebarang sengketa atau perbalahan antara Undang dengan Yang Dipertuan Besar, atau dalam kalangan Undang, maka Residen berhak campur tangan.  Apa yang menarik perhatian (Rais Yatim, 2004: 407), “dalam zaman penjajahan Inggeris, dokumen seperti ini mudah sahaja diperbuat oleh Inggeris.  Pada masa ini kemungkinan mengadakan pakatan yang bertaraf perjanjian seperti ini berada dalam keadaan jauh panggang dari api.” 
           
Tak Dapat Tanduk, Telinga Dipulas?
Seperti yang dinyatakan di atas, pihak yang bersengketa  mempertikaikan kesahihan status dengan Datuk Mubarak Dohak   sebagai Undang Sungai Ujong, dan pertikaian ini turut membabitkan perisytiharan Tuanku Muhriz sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan. Pertikaian status Undang Sungai Ujong juga melibatkan  pertabalan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan kerana kewujudan Mubarak selaku ahli yang mengisytiharkan pertabalan tersebut.  Walau bagaimanapun,  kumpulan waris ini tidak membantah pertabalan Tuanku Muhriz sebagai Yang Dipertuan Besar negeri itu, sebaliknya hanya mahukan kepastian kesahihan pertabalan. 
Seperti yang dilaporkan kumpulan waris tidak kisah siapa sahaja yang ditabal sebagai Yang Dipertuan, asalkan mematuhi enam syarat Adat Perpatih dan tidak sesekali mempersoalkan kedudukan tersebut.  Tetapi, apa yang mengecewakan kumpulan waris adalah persoalan di sebalik kesahihan pertabalan Yang Dipertuan. Kumpulan waris juga dilaporkan  akan terus mempersoalkan kedudukan Mubarak bagi mempertahankan Adat Perpatih Negeri Sembilan.
Dalam Bab 16 bukunya, Rais Yatim beberapa kali  menyebut sengketa dan krisis yang berkaitan dengan pelantikan Undang Sungai  Ujong.   Dalam pertemuan di Balai Undang Jelebu yang dirujuk sebelum ini, Rais Yatim (2004: 419) menyebut bahawa “Datuk Undang Sungai Ujong mengetengahkan soal puak-puak tertentu kononnya direstui puak istana dalam kemelut adat di Luak Sungai Ujong yang selama lebih 10 tahun sering dilanda krisis adat.”
Apabila pihak berkenaan mempertikaikan status Datuk Mubarak Dohak selepas membuat perisytiharan itu, pastinya timbul persoalan tentang motif di sebaliknya. Dalam soal ini, nampaknya  pihak berkenaan tidak menunjukkan kebijaksanaan dan kematangan mereka kerana walaupun mereka  mempersoalkan status orang yang melantik, tetapi turut menjadi sasarannya ialah orang yang dilantik. 
Mengikut adat, Undang Sungai Ujong bertanggungjawab memaklumkan pengganti Yang Dipertuan Besar, misalnya jika berlaku kemangkatan.  Oleh itu, sesiapa pun dipilih dalam kalangan Putera Yang Empat itu, perisytiharan itu mesti keluar dari mulut Undang Sungai Ujong.   
 Seperti yang dinyatakan oleh Rais Yatim (2004: 419 – 420), “semenjak menyandang pusaka Undang Sungai Ujong masih belum dikerjankan – menimbulkan persoalan perlembagaan adat tempatan kerana Undang yang tidak dikerjankan seolah-olah menepati pepatah “kapal tak belayar, serdadu tak berkeris.”  Dalam hubungan ini, Rais Yatim seakan-akan dapat mengesan kekecuhan yang akan berlaku “apabila Yamtuan harus diganti, susulan dengan kemangkatan, dengan individu yang direstui oleh Undang juga diketengahkan,” sedangkan status Undang Sungai Ujong sendiri dipertikaikan, seperti yang berlaku baru-baru ini.  Namun, tidak seperti pihak yang mempertikaikan status Undang Sungai Ujong, Rais Yatim bersikap jujur  kerana membangkitkan perkara ini lebih awal, iaitu sebelum berlaku kemangkatan dan sebelum berlaku pemasyhuran Yang Dipertuan Besar yang baru.

Undang dan Undang-undang
Penghulu beraja ke Muafakat
Muafakat beraja kepada Yang Benar
Benar berdiri dengan sendirinya
Nan dinamakan alur dan patut.

Istilah Undang khusus bagi ketua-ketua luak Sungai Ujong, Jelebu, Johol, dan Rembau, manakala Luak Tanah Mengandung bergelar penghulu.  Undang dicalonkan daripada satu suku waris, iaitu suku asal atau suku yang pertama sekali: suku Biduanda (Nordin Selat, 1982:  64). 
Menurut Datuk Dr.  Ismail yang terbabit dalam perebutan “takhta” Undang Jelebu,  bagi melingkungi Perlembagaan negara dan negeri, perbilangan itu dipanjangkan yang berbunyi: "Dua sejalin, tiga sepilin. Di mana bumi dipijak di situlah langit dijunjung." Justeru tambah beliau,  “adalah tidak wajar untuk Adat Perpatih diburukkan lagi dengan isu perebutan seperti ini yang sebenarnya boleh diselesaikan dengan peraturan adat. Pertelingkahan yang berpanjangan memberi implikasi yang buruk kepada Institusi Undang/Adat dan kerajaan.”
Namun, Rais Yatim (2004: 421 – 422) berpendirian bahawa “bukan adat yang bergolak.  Adat itu tetap mantap dengan petua dan falsafahnya, dengan bahasa indahnya.  Yang bergolak ialah manusia yang berebut kuasa dan pengaruh  kerana peraturan atau undang-undang yang menentukan syarat-syarat giliran untuk menjadi Undang itu tidak jelas dan muktamad akibat kesamaran yang dibancuh zaman.  Ini kerana prosedur naik takhta atau singgahsana ketua-ketua adat itu tidak dikanunkan.  Soal siapa yang sebenarnya layak daripada sesuatu perut atau jurai untuk dilantik sebagai Undang atau Datuk Lembaga terlalu kabur apabila soal perut atau dinasti Undang yang harus diiktiraf.”
Persengketaan kerana merebut jawatan Undang ada kalanya dibawa ke mahkamah untuk mendapatkan pengadilan, seperti yang berlaku terhadap pelantikan Datuk Musa Wahab sebagai Undang Jelebu.  Di Luak Jelebu, ada tiga perut berundang, iaitu Kemin, Hulu Jelebu, dan Sarin yang berasal daripada tiga kampung yang juga mempunyai nama itu.  Seseorang yang hendak dilantik sebagai Undang mestilah datang daripada salah satu perut tersebut.   
Rais Yatim (2004: 413 – 418) menyatakan penglibatan beliau sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan ketika itu serta perasaan beliau tentang perebutan kuasa dan persengketaan antara Datuk Ombi Syed Alwi pada satu pihak dengan Datuk Musa Wahab pada satu pihak yang lain:  “Pergolakan adat yang rumit dan menyukarkan itu mengambil sebahagian besar masa dan tumpuan saya selaku Menteri Besar pada tahun 1980.  Cuma saya telah berazam, kekosongan dalam institusi adat tidak harus dibiarkan berlarutan sehingga menjadi krisis.  Berbekalkan Perjanjian Adat 1934, mulalah saya menunaikan tanggungjawab saya selaku Menteri Besar dan membereskan isu pelantikan Musa Wahab Undang Jelebu ke-15.”
Dengan menggunakan dokumen rasmi tahun 1934 yang digunakan oleh penjajah Inggeris untuk mencampuri hal ehwal adat, Rais Yatim selaku Menteri Besar bertindak untuk campur tangan dalam pelantikan Undang Jelebu itu:  “Inti pati Perjanjian 1934 apabila perselisihan berlaku antara Datuk-Datuk Undang atau Undang dengan Yang Dipertuan Besar berkaitan apa jua masalah adat, maka Residen Inggeris boleh campur tangan dengan tujuan membetulkan keadaan.” 
Bagi beliau, Perjanjian Adat 1934 itu, “satu-satunya instrumen  perlembagaan yang seharus diguna pakai oleh Menteri Besar apabila sistem Residen berakhir selepas merdeka.”  Seterusnya, Rais Yatim mengkritik Menteri Besar yang  tidak menyempurnakannya peranan untuk menyelesaikan mana-mana perselisihan faham,  sama ada dalam kalangan Undang atau antara mana-mana Undang dengan Yang Dipertuan Besar mungkin kerana kurang faham akan kedudukan dan peranannya. 
Pelantikan Musa Wahab yang mencetuskan kontroversi dan pertikaian itu mendapat restu Dewan Keadilan dan Undang yang bermesyuarat pada 3 Oktober 1979 dengan dipengerusikan oleh Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan yang dihadiri oleh Datuk Kelana Petra (Undang Sungai Ujong), Datuk Haji Abdul Majid (Undang Johol), Tunku Syed Idrus (Tunku Besar Tampin), Datuk Adnan (Undang Rembau), Datuk Menteri Othman (Pemangku Undang Juak Jelebu), dan Datuk Syahbandar Sungai Ujong.  Pada mulanya, Tuanku Ja’afar agak enggan juga merestui Musa selaku Undang yang baru menggantikan Datuk Abu Bakar Maamor.  Sebelum membuat keputusan, baginda bertanyakan pandangan  Rais Yatim selaku Menteri Besar:  “Saya memberikan sepenuh sokongan dan memaklumkan bahawa Musa mempunyai segala syarat dan juga kelulusan yang diperlukan sebagai Undang.  Saya mengatakan Dewan Keadilan hanya perlu meminitkan Dewan merestui pelantikan itu.”
Namun, selepas  Dewan Keadilan dan Undang merestui pelantikan Musa Wahab sebagai Undang Luak Jelebu ke-15, Datuk Ombi Syed Alwi dan Syed Zain mengambil tindakan undang-undang dengan memfailkan kes di Mahkamah Tinggi Seremban. Dalam Guaman Sivil No. 40 tahun 1980 Mahkamah Tinggi Seremban, plaintif memohon perisytiharan bahawa pelantikan dependan kedua sebagai Undang Luak Jelebu yang baru pada 4  Februari 1980 yang dibuat oleh dependan pertama adalah tidak sah, tidak berkuat kuasa, terbatal, dan tidak mempunyai kesan atas alasan bahawa pelantikan itu ultra vires hukum adat dan perlembagaan Luak Jelebu.
Kes yang difailkan di Mahkamah Tinggi Seremban itu akhirnya dibawa ke Mahkamah Persekutuan.   Dalam  Kes Othman Baginda lawan Syed Alwi Idrus  itu, Mahkamah Persekutuan,  pada 26 September 1980, dengan para hakim yang terdiri daripada Raja Azlan Shah, Ketua Hakim Malaya; Tun Salleh Abas, Hakim Mahkamah Persekutuan; Ibrahim Manan, Hakim Mahkamah Persekutuan; dan Hakim Hashim Yeop A. Sani membuat penghakiman seperti yang disebut oleh Rais Yatim (2004: 418), “muktamadlah kes tersebut dan Musa terlepaslah daripada sebarang angkara berkaitan pusaka adat yang dituntutanya itu.”
Sebaliknya, Tun Suffian Hashim, Ketua Hakim Negara, bersetuju dengan  keputusan Mahkamah Tinggi Seremban bahawa mahkamah mempunyai bidang kuasa untuk membuat keputusan tentang pemilihan Undang Luak Jelebu, sebagaimana mahkamah mempunyai bidang kuasa untuk menentukan kesahan pemecatan penjawat awam oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam apabila tindakan itu dicabar. 
Tun Suffian berhujah, “sama ada Undang dipilih secara sah ataupun tidak, pastinya merupakan persoalan yang perlu dikendalikan secara bijaksana, dan persoalan politik adalah secara terbaiknya  diselesaikan melalui cara politik; tetapi apabila memerlukan perlembagaan dan undang-undang, saya fikir,  perkara itu diselesaikan oleh mahkamah, maka sehingga perlembagaan sesuai dipinda, mahkamah tidak mempunyai alternatif,  kecuali dengan menjalankan tugas sebaik-baik mungkin, meskipun akan menimbulkan kesan yang tidak menguntungkan dengan mencampakkan mahkamah ke gelanggang politik.”
Raja Azlan Shah membuka hujah dengan “kita diamanahkan dengan isu yang serius dan perlu dikendalikan secara bijaksana, iaitu sama isu perisytiharan bahawa pemilihan Undang Jelebu ke-15 yang dimaksudkan adalah ultra vires hukum adat atau perlembagaan Luak Jelebu.  Seterusnya,  Raja Azlan Shah antara lain berhujah bahawa Dewan Keadilan dalam kes ini telah merestui pelantikan Undang Jelebu ke-15, dan Dewan Keadilan merupakan forum yang paling sesuai untuk melaksanakan fungsi berkenaan berbanding dengan panel lima orang hakim.  Terbuka kepada mahkamah di negara ini untuk menolak remedi dengan alasan bahawa forum ini adalah bukan kesenangan.  Doktorin ini adalah bahawa mahkamah mungkin enggan melaksanakan bidang kuasa dengan alasan badan lain adalah lebih sesuai.
Dengan  mempertahankan  bahawa Dewan Keadilan mempunyai autoriti untuk membuat penentuan, Tun Salleh Abas merumuskan: “Perkataan ‘merestui pelantikan’ yang digunakan dalam  minit untuk mencatatkan keputusan Dewan Keadilan dan Undang pada akhir perbincangan tertutup  selama satu jam, yang diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris, giving its blessing,” pada pandangan saya, “menyampaikan maksud bahawa Dewan Keadilan dan Undang mempunyai pendapat yang serupa  dan bersetuju  dengan kesahan pelantikan responden kedua sebagai Undang Jelebu ke-15.”
Salleh Abas menegaskan bahawa fungsi utama Dewan Keadilan dan Undang adalah “untuk memberikan nasihat tentang perkara yang berkait dengan adat Melayu di mana-mana tempat di Negeri ini atau tentang perkara lain yang dirujuk kepada Yang Dipertuan Besar atau mana-mana Pembesar-Pembesar Memerintah (Ruling Chiefs).
“Dewan Keadilan merupakan kemuncak perkembangan politik dan perlembagaan yang panjang di negeri ini.  Dewan ini merupakan jelmaan unsur dan nilai-nilai tradisional yang terus dipelihara  oleh Perlembagaan Negeri.  Ia merupakan mekanisme untuk merasionalkan unsur-unsur ini sebegitu untuk membolehkan unsur berkenaan berfungsi di bawah perlembagaan demokratik moden.”
Dalam penghakiman bahawa mahkamah tidak mempunyai kuasa untuk mendengar pertikaian pelantikan Undang Luak Jelebu itu, Salleh Abas menyusuri  perkembangan undang-undang adat: “Hingga perlembagaan kini digubal pada tahun 1959, Negeri Sembilan tidak mempunyai perlembagaan bertulis.  Walau bagaimanapun, undang-undang perlembagaan negeri ini boleh didapati dalam pelbagai triti yang diperbuat oleh Yang Dipertuan Besar, undang, dan kerajaan British.  Di samping triti ini, undang-undang adat dibenarkan untuk diteruskan bersama-sama untuk mentadbir kehidupan politik, sosial, ekonomi di wilayah masing-masing selagi undang-undang adat ini tidak tidak menjadi penghalang kepada dasar British.”
            Hujah Salleh Abas, di bawah Perlembagaan ini, perlembagaan lama  dan adat dipelihara, “kecuali seperti yang dinyatakan di sini,” “di mana tidak bercanggah dengan” Perlembagaan.  Untuk merasionalkan dan membolehkan perlembagaan lama  dan adat ini berfungsi, dan untuk mengelakkan pertikaian yang mungkin timbul daripada banyak tafsiran yang berbeza tentang perlembagaan lama  dan adat ini, Dewan Keadilan dan Undang telah ditubuhkan dengan kuasa “memberikan nasihat tentang perkara yang berkait dengan adat Melayu di mana-mana tempat di Negeri ini atau perkara lain yang dirujuk kepadanya oleh Yang Dipertuan Besar atau mana-mana Pembesar-Pembesar Memerintah.
 “Pada pandangan apa yang saya bincangkan lebih awal, rumusan saya ialah bahawa mahkamah undang-undang tidak mempunyai bidang kuasa untuk membicarakan pertikaian ini.  Fasal (1) Perkara 71 dibaca bersama-sama dengan fasal (2) Perkara berkenaan jelas menunjukkan bahawa pertikaian mesti diselesaikan oleh pihak berkuasa dan dalam cara yang dinyatakan oleh Perlembagaan Negeri Sembilan.  Dewan Keadilan dengan autoriti yang dinyatakan adalah  seperti yang diwujudkan dalam Perkara XVI Perlembagaan.  Pihak responden telah menghantar petisyen kepada Yang Dipertuan Besar dan Pembesar-Pembesar Memerintah yang lain dan juga kepada Setiausaha Dewan; dan Dewan berbincang dan memberikan pertimbangan terhadap petisyen itu dan akhirnya mengeluarkan perintahnya, maka perkara ini sepatutnya berakhir dan responden dihentikan daripada membangkitkan isu ini lagi, khususnya di hadapan mahkamah undang-undang.”
.
Meskipun benar bahawa Perkara XVI itu tidak menyatakan dengan sendirinya kesahan tindakan tidak boleh dipersoalkan di mana-mana mahkamah,  Ibrahim Manan,  Hakim Mahkamah Persekutuan, berpendapat kesan berpadu Perkara XVI dan XIV dalam Perlembagaan Negeri dibaca dari sudut Perkara 71 Perlembagaan Persekutuan adalah bahawa Dewan Keadilan berhasrat menjadi autoriti tunggal untuk menentukan dan memberikan nasihat tentang pertikaian.  Dengan alasan ini, beliau  mengatakan bahawa mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk membicarakan pertikaian ini. 
Hakim Hashim Yeop A. Sani  berpendapat bahawa untuk memperluas bidang kuasa mahkamah untuk memasukkan penghukuman tentang perkara itu, seperti penggantian Pembesar-Pembesar Memerintah akan ultra vires Perkara 71.  Menurut beliau, dalam konteks Perlembagaan Negeri Sembilan, Dewan Keadilan sudah pasti mesti dianggap sebagai penjaga adat di Negeri Sembilan.  Susunan anggota Dewan Keadilan menunjukkan hasrat ini mula-mula lagi.  Nasihat Dewan Keadilan dalam perkara adat oleh itu, mesti dianggap sebagai mengikat dan muktamad kerana jika tidak akan mencetuskan ketidakpastian.
“Pada pandangan saya, untuk mengatasi nasihat Dewan Keadilan dalam perkara adat berkait dengan penggantian Pembesar-Pembesar Memerintah akan bercanggah dengan jaminan Perkara 71(1).”
Keputusan Mahkamah Persekutuan itu bukan sahaja memberikan penyelesaian undang-undang tentang pelantikan Datuk Musa Wahab sebagai Undang Luak Jelebu ke-15, bahkan juga memberikan tafsiran yang jelas dan muktamad tentang autoriti Dewan Keadilan dan Undang berhubung dengan  Adat Perpatih di Negeri Sembilan.  Merujuk kepada penghakiman yang dibuat oleh keempat-empat hakim berkenaan jelas bahawa mahkamah di negara ini tidak mempunyai bidang kuasa untuk mencampuri apa-apa jua keputusan Dewan Keadilan tentang hal yang berkaitan dengan Adat Perpatih.  Keputusan ini juga merupakan peristiwa penting dalam amalan Adat Perpatih di negeri ini.  Rais Yatim (2004: 417) merumuskan keputusan ini:    “Dalam hal-hal berkaitan adat atau pemilihan ketua adat, seperti Undang, mahkamah sivil tidak wajar melibatkan diri atas kuat kuasa Perkara 71, Perlembagaan Persekutuan dan Perkara 32, Undang-undang Tubuh Perlembagaan Negeri Sembilan.  Justeru, soal siapa yang sah menjadi Undang atau Yang Dipertuan Besar tetap berada dalam bidang kuasa institusi ada itu sendiri.”  

Sisi Gelap Demokrasi?
Kebanyakan  penulisan tentang Adat Perpatih berusaha untuk menunjukkan keluhuran, keunggulan, dan kemurnian adat itu.  Jarang-jarang terdapat penulisan yang berusaha mendedahkan kepincangan yang berlaku dalam masyarakat Adat Perpatih.    Misalnya, Nordin Selat (1982: 20) menyebut bahawa “kepimpinan dalam Adat Perpatih berlandaskan dua konsep, iaitu muafakat dan budi.  Sesuatu keputusan mestilah dicapai dengan muafakat.  Semua yang terlibat berhak, malah harus memberi pendapatnya.  Mereka bertegang leher berdebat bukan untuk menegakkan ego masing-masing, tetapi untuk mencari kesempurnaan dan kebaikan bagi masyarakatnya.  Dalam mencari kata putus mesti ada tolak ansur.  Yang kalah tidak harus merasa kecil hati atau terhina.  Yang menang pula tidak harus bangga dan merasa bongkak.” 
Untuk menguatkan hujahnya, Nordin Selat (1982: 20) merujuk kepada perbilangan yang berikut:
Penghulu beraja ke Muafakat
Muafakat beraja kepada Yang Benar
Benar berdiri dengan sendirinya
Nan diamalkan alur dan patut.

Untuk menunjukkan keunggulan dan keluhurannya, Mohd. Rosli (2007:  114) mengatakan bahawa  “Adat Perpatih membawa fahaman demokrasi, iaitu kedaulatan berada di tangan rakyat.   Pemerintahan dijalankan secara muasyawarah menerusi perwakilan daripada suku-suku.  Ungkapan adat pula merupakan perlembagaan yang tidak ditulis dalam kepimpinan Adat Perpatih.”  Unsur-unsur demokrasi yang terjelma dalam sistem sosial Adat Perpatih semuanya terletak pada perbilangan (A. Samad Idris, et al., 1994: 254):
Penakik pisau seraut
Ambil getah batang lintabung
Seludang jadikan nyiru
Setitik jadikan laut
Sekepal jadikan gunung
Alam terkembang jadikan guru.


Apabila penulis berkenaan mengatakan bahawa “Adat Perpatih membawa fahaman atau mengandungi unsur demokrasi” tidak dapat dipastikan sama ada mereka  sedar bahawa amalan demokrasi di banyak negara,  mencetuskan pelbagai kepincangan, dan di sesetengah negara mencetuskan anarki.  Ringkasnya, di mana-mana jua, demokrasi mempunyai sisi gelap.  Justeru, sebagai pembawa fahaman demokrasi, tidak memeranjatkan   kadangkala dalam Adat Perpatih berlaku persengketaan berhubung yang berpunca daripada perebutan jawatan, seperti Undang, Buapak, dan sebagainya.
Sebaliknya, Rais Yatim lebih berani untuk memperlihatkan kritikannya terhadap para pemimpin adat yang bersengketa, berebut jawatan, dan mengejar status, dan mengumpulkan kekayaan hingga melemahkan institusi adat itu sendir: “Desas-desus bahawa pemimpin adat menerima ‘ufti’ kerana mencalonkan individu tertentu untuk mendapatkan gelaran Datuk...; ada dilaporkan sesetengah ketua adat ‘meminjamkan’ nama dan statusnya untuk mendapatkan nombor baru kereta atau membenarkan orang tertentu memungut derma atas nama Undang dan kemudian diberi pula ‘bintang’ kebesaran”  (Rais Yatim, 2004:  419).
Merujuk kepada pelantikan Datuk Syahbandar Sunga Ujong yang tidak disempurnakan, mungkin kerana keenganan Datuk Mubarak  dan sekutunya, Rais Yatim (2004: 423) menegaskan: “Perkara ini wajar dilihat sebagai suatu pengabaian perlembagaan yang padahnya amat memberatkan kepada kerajaan negeri sendiri.”  Jika seperti yang dirujuk sebelum ini, Rais Yatim  (2004: 407), “menyalahkan kerajaan negeri Negeri Sembilan yang tampak enggan memainkan peranan positif ke arah menenteramkan situasi yang bergolak,” dalam persengketaan dan krisis Undang Sungai Ujong, beliau (2004: 423) mempersoalkan apakah yang dibuat oleh Penasihat Undang-undang negeri itu dan kenapa isu besar ini dibiarkan begitu sahaja.  Lantaran dengan yakin beliau mengatakan bahawa zaman dan amalan adat di Negeri Sembilan kian larut dan pudar.
Walau bagaimanapun, Datuk Seri Utama Rais Yatim tidak berusaha mengemukakan sebab-sebab keengganan kerajaan negeri atau lebih khusus lagi, Menteri Besar campur tangan dalan krisis amalan adat di negeri itu. Tidak seperti beliau, nampaknya Menteri Besar selepas beliau enggan memainkan peranan untuk menyelesaikan pergolakan yang berlaku, padahal seperti yang dinyatakan oleh beliau, Menteri Besar sebagai Ex-Officio utama dan dengan bersandarkan Perjanjian 1934 boleh mempertikaikan kesahihan seseorang Undang.
 Malah, menurut beliau, “anehnya kini apabila timbul sesuatu perselisihan faham, sama ada dalam kalangan Undang atau antara mana-mana Undang dengan Yang Dipertuan Besar, peranan Menteri Besar tidak disempurnakan.  Mungkin ini adalah kerana kurang faham akan kedudukan dan peranan Menteri Besar dama menangani apa-apa sengketa adat yang timbul (2004: 415).
Datuk Dr. Ismail Shamsuddin yang dikatakan dilucutkan haknya sebagai Undang Rembau yang dirujuk sebelum ini juga menyentuh peranan kerajaan negeri.  Menuru beliau, sewajarnya dengan pengalaman, kepakaran, dan ruang, termasuk undang-undang, kerajaan negeri perlu bijak menangani isu adat yang sedang berbangkit.   Ia juga selaras dengan perbilangan adat yang berbunyi: "Kena di mata jangan dipecengkan, kena di perut jangan dihempiskan, kalau diukur sama panjang, kalau dikerat sama pendek, kalau ditimbang sama berat."
Dr. Ismail juga mahu Menteri Besar Negeri Sembilan campur tangan: “Sedangkan ia boleh diselesaikan dengan campur tangan Datuk Seri Utama dengan perundangan adat sedia ada. Seharusnya kepentingan rakyat, luak, negeri dan negara diberikan keutamaan berbanding kepentingan peribadi.  Untuk memperkukuhkan hujah, beliau merujuk kepada perbilangan adat yang menyebut: "Sosa ikat kebolat, sosa bolat ke tebing, sosa tebing, tebing runtuh."
Beliau menafikan bahawa beliau ingin mempertahankan jauh sekali berjuang atas kepentingan peribadi sesiapa. Sebaliknya, pendedahan ini adalah atas dasar rasa hormat dan menjunjung tinggi kemuliaan Adat Perpatih. Tambah beliau, dalam sejarah, tidak ada mana-mana tamadun di dunia yang memiliki keunikan adat seperti yang diwarisi oleh Negeri Sembilan. Selama lebih 600 tahun, Adat Perpatih diamalkan sesuai dengan perbilangan: "Adat bersendikan syarak, syarak bersendikan kitab Allah S.W.T.”
Barangkali keenggan Menteri Besar campur tangan dalam isu yang kontroversial berhubung dengan amalan adat ada kaitannya dengan implikasi politik, seperti yang dialami oleh Rais Yatim sendiri dalam krisis Undang Luak Jelebu yang akhirnya dibawa  ke Mahkamah Persekutuan.  Menteri-menteri Besar selepas beliau tidak sanggup menggadaikan kepentingan politik mereka dengan mencampuri krisis dalam Adat Perpatih.  Mereka telah mempelajari sesuatu yang berguna dari segi politik daripada pengalaman Rais Yatim.
Beliau mengakui dari segi politik tugas menyelesaikan krisis Undang Jelebu amat sukar:  “Selaku Menteri Besar semasa menghadapi krisis pimpinan adat yang dicetuskan oleh pencalonan Cikgu Musa Wahab, politik saya sendiri di Jelebu nyaris-nyaris tenggelam.  Ini kerana akibat pukulan daripada pelbagai pihak yang menyangkal kesahihan pelantikan Musa sebagai Undang Luak Jelebu” (2004: 415).  “Saya sedih dengan peristiwa itu kerana kesemua pihak yang bertelagah adalah kenalan saya.  Syed Alwi merupakan salah seorang pengasas UMNO Jelebu sejak belum merdeka lagi ....”  “Selaku Menteri Besar panas juga dibahangi kes ini kerana ditohmah kononnya bersifat berat sebelah dengan merestui pelantikan Musa....” “Dalam Pilihan Raya Umum tahun 1982 amat jelas pemihakan ini sehingga beberapa pihak yang rapat dengan keluarga Syed Zain dan Syed Alwi enggan memberi sokongan kepada saya selaku calon Parlimen....”  “Kes ‘Musa jadi Undang’ lantas membebani saya bertahun-tahun selepas beliau ‘naik takhta’ Luak Jelebu  (2004: 418).
Kewujudan sistem pentadbiran dan kekuasaan baru sesuai dengan amalan demokrasi memberikan saingan terhadap kepimpinan adat.  Dikatakan bahawa berlaku persaingan kepimpinan dan pengaruh antara para pemimpin UMNO dan pemimpin pentadbiran lain, seperti penghulu dan  ketua kampung dengan ketua adat.  Dalam persaingan ini, pemimpin adat tetap terketepi dan jika terserap pula adalah atas dasar mereka terlibat dalam politik pemerintah.  Pemimpin adat sudah tertinggal daripada pemimpin birokrasi dan politik.  Keadaan mereka dari segi peranan, status, dan tanggungjawab dalam pentadbiran negeri, hidup segan mati tak mahu” (Mohd Rosli Saludin, 2007:   120). Hasil daripada perkembangan sejarah, ketua-ketua adat telah kehilangan kuasa dan kewibawaan.  Tempat mereka telah diambil alih oleh pemimpin-pemimpin baru, formal dan tidak formal (Norhalim Haji Ibrahim, 1993: 152).
Meskipun kerajaan Negeri Sembilan pada hari ini telah sedar akan peranan Adat Perpatih itu sendiri yang merangkumi pemerintahan di semua peringkat, seperti kampung, mukim, daerah, negeri, dan lain-lain, tetapi Mohd  Rosli Saludin (2007: 121) menegaskan “terdapat jurang yang besar antara kerajaan negeri dengan institusi peradatan.”  Lalu beliau mencadangkan hubungan institusi peradatan dengan kerajaan negeri secara rasmi haruslah digerakkan.... Carilah titik persamaan yang boleh menjadikan kedua-duanya berpandu demi kepentingan rakyat jelata  (Mohd Rosli Saludin, 2007: 143).



Ketua Adat yang Tidak Mengetahui Adat
Tanduk ditanam
Daging dilapah
Kuah dikacau.


Pengaruh seseorang penyandang dalam adat ditentukan melalui suku.  Penyandang perlu mendapat “sokongan bulat” daripada setiap anak buah untuk menentukan kewibawaan masing-masing.  “Seseorang penyandang pusaka perlu mahir ‘beradat’ supaya tidak ‘patah lidah’ di tengah majlis.  Bagi seseorang penyandang pusaka disebutkan: ‘Terbalik mata belum tentu mati, terbalik lidah buruk padahnya.’  Konsep agihan kuasa dan muafakat yang diamalkan dalam Adat Perpatih berakar umbi daripada anak buah, yakni raykat jelata, yang susunan pemilihan penyandang itu dilakukan secara teratur” (A. Samad Idris, et al., 1994: 254):
Bulat anak buah menjadikan Buapak
Bulat Buapak menjadikan Lembaga
Bulat Lembaga menjadikan Penghulu/Undang
Bulat Penghulu/Undang menjadikan Raja.


Sebagaimana adat tradisi lain, Adat Perpatih tidak dikanunkan, sebaliknya diperturunkan daripada satu generasi kepada satu generasi adalah secara lisan.  Memang melucukan pada zaman teknologi maklumat dan komunikasi (TMK) ini tradisi lisan masih tebal dalam masyarakat Melayu, termasuk dalam kalangan pengamal Adat Perpatih. Dalam masyarakat Melayu,   pendokumentasian dan kepustakaan khazanah bangsa agak lemah serta kurang diberikan perhatian,  dan lebih bergantung pada usaha agensi kerajaan.
Menurut Norhalim Haji Ibrahim (1993: 2), “pembelajaran mengenai Adat Perpatih disampaikan dan diterima dalam bentuk tidak formal dan bergantung pada situasi.  Proses ini berjalan secara tidak sengaja dan hanya apabila diperlukan.  Perwarisan aturan adat yang sedemikian tidak memungkinkan generasi tua memberikan keseluruhan yang lengkap tentang tersebut kepada generasi muda.”
            “Aspek tersirat yang dimiliki oleh bakal penyandang jawatan atau pusaka adat yang tidak pasti akan dipilih” tambah Norhalim Haji Ibrahim (1993: 2). “Seandainya tidak terpilih oleh kelompoknya, secara automotik pengetahuan beliau tentang adat yang tersirat itu akan terahsia selama-lamanya.  Orang yang terdidik tadi jarang-jarang mahu mewariskan pengetahuan mereka kepada orang yang terpilih memegang jawatan tersebut.  Ketua adat baru, yang tidak diberi persediaan tentang adat, baik yang tersurat mahupun yang tersirat, tidak memahami secara mendalam adat yang dipimpinnya.  Keadaan sedemikian sering berlaku yang mengakibatkan ramai ketua adat di Negeri Sembilan hari ini kurang masak dengan adatnya.”
            Norhalim Haji Ibrahim (1993: 153), menegaskan “krisis sering berlanjutan kerana anggota masyarakat tidak lagi mempunyai pemahaman mutlak tentang struktur kepimpinan adat, dan juga oleh sebab dan kekaburan penulisan mengenainya.  Apabila terjawat jawatan tersebut, mereka ini tidak lagi berfungsi, kecuali hal yang berkaitan tanah adat.  Itu pun hanya terhad kepada Lembaga dang kadangkala Undang, dan mereka ini terpaksa bekerjasama dengan pegawai birokratik moden.” 
Berhubung dengan tanggungjawab Penghulu Luak, perbilangan menyebut sebagai “pohon rendang tempat bernaung anak-anak buah.  Kehidupan sosial mengikut peraturan Adat Perpatih sudah disusun baik oleh nenek moyang orang Minangkabau dahulu kala” (A. Samad Idris, et al., 1994: 255):
Adat teluk timbunana kapar*
Adat gunung tumbunan kabus
Adat bukit timbunan angin
Adat pemimpin tahan diuji
Kemanakan beraja ke mamak
Mamak beraja ke penghulu
Benar berdiri sendiri.
(*sampah-sarap)


Oleh sebab jawatan dalam adat ini mengikut warisan dan terikat dengan tradisi  lisan, banyak ketua adat (daripada Buapak hinggalah Undang Luak) tidak memahami adat perpatih ini sebenar-benarnya.  Hal ini berpunca daripada tidak ada latihan formal untuk mengajar mereka tentang Adat Perpatih secara tersusun. Mereka ini hanya bergantung pada tradisi lisan semata-mata.  
Akibatnya, pengetahuan mereka tentang Adat Perpatih terlalu cetek dan hal ini menimbulkan banyak masalah dalam menyelesaikan pelbagai perkara yang bersangkut-paut dengan Adat Perpatih.  Akibat cetek ilmu tentang Adat Perpatih ini juga kebanyakan ketua adat tidak mampu merancang strategi dan program yang benar-benar berkesan untuk menarik minat generasi muda mendalami dan meneruskan warisan Adat Perpatih ini. 
Pergolakan yang berlaku dalam institusi adat juga berpunca daripada pergantungan pada tradisi lisan, dan bukannya pada sesuatu tradisi atau peraturan berkanun dalam menentukan semua susur galur dan petua adat:  “Rekod yang bertulis tiada....  Dengan latar belakang beginilah munculnya krisis demi krisis dalam perlembagaan dn pentadbiran adat.... Setiap kali seorang Datuk Lembaga dan Datuk Undang meninggal dunia, cerdik pandai adat akan berkeliaran mencari pengaruh dan sokongan agar diri mereka atau calon mereka dapat dinobatkan sebagai ‘pengganti dan pewaris pusaka’” (Rais Yatim, 2004: 405).
Berpunca daripada tidak ada latihan formal Adat Perpatih ini banyak ketua adat tidak memahami fungsi dan peranan mereka yang sebenar.  Misalnya, dalam konteks sebenar Adat Perpatih semasa majlis kenduri kahwin, Buapak berperanan sebagai ketua bagi merancang, melaksanakan, dan menyelia semua kerja berkaitan dengan majlis perkahwinan itu. Pendek kata Buapak merupakan “pengarah urusan” yang memastikan majlis kahwin tersebut berjalan lancar. Namun, akhir-akhir ini kebanyakan Buapak hanya hadir semasa kenduri kahwin tersebut berlangsung. Lebih parah, Buapak ini dianggap sebagai tetamu terhormat yang diberikan layanan lebih istimewa daripada pengantin. 
Bagi masyarakat Adat Perpatih pada masa lampau, mereka memuliakan Buapak setiap kali majlis nikah kahwin diadakan.  Ini disebabkan “nikah-kahwin” adalah asas kepada pembentukan keluarga, masyarakat, luak, dan seterusnya negara.  Mereka memuliakan Buapak yang secara tidak langsung mengasaskan proses berkenaan.  Apabila sesebuah keluarga hendak mengadakan kenduri nikah kahwin, Buapak adalah diutamakan.  Buapak diberi penghormatan sesuai dengan kedudukannya sebagai ketua kumpulan mereka, iaitu “perut.”  Dalam Adat Perpatih, “perut” berdasarkan nama kampung (A. Samad Idris, et al., 1994: 270).



Dr. Ismail:
Justeru, peluang dalam berdepan dengan kemelut Luak Rembau ketika ini perlu direbut dalam mengembalikan semula kepercayaan masyarakat.
Pastinya perebutan jawatan Datuk Sedia Lela, Lembaga Waris Dua Carak ini tidak mahu diakhiri dengan penyelesaian yang membelakang adat seperti menceroboh Balai.
Amat memalukan sekiranya persengketaan ini dibiarkan berpanjangan, lebih banyak cacat-cela penyandang jawatan di Luak Rembau bakal ditelanjangkan.


Daripada Krisis Adat kepada Krisis Jati Diri
Alang tukang terbuang kayu
Alang cerdik binasa adat
Alang alim rosak agama
Alang sefaham rosak senegeri.

Dalam buku Who Are We?: The Challenges to America’s National Identity, Samuel Huntington dengan merujuk kepada krisis jati diri atau identity global, berhujah bahawa hampir di mana-mana sahaja orang mempersoalkan, mempertimbangkan semula, dan mentakrifkan semula apakah yang mereka miliki secara bersama dan apakah yang membezakan mereka dengan orang lain.  Siapa kita?   Di manakah kita tergolong?
            Mengakui bahawa jati diri atau identiti penting kerana jati diri membentuk kelakuan orang, Huntington menyatakan beberapa perkara penting berkait dengan jati diri:  individu dan kumpulan mempunyai jati diri; jati diri dibina secara besar-besaran; individu dan dalam keadaan tertentu kumpulan mempunyai jati diri berbilang; jati diri ditakrifkan oleh diri, tetapi jati diri merupakan hasil interaksi antara diri dengan orang lain; penonjolan relatif tentang jati diri alternatif bagi mana-mana individu atau kumpulan adalah mengikut situasi. 
            Huntington juga menyenaraikan sumber jati diri (i) ascriptive, seperti umur, keturunan, sanak, etnisiti, dan kaum;  (ii)  budaya, seperti suku, kabilah, etnisiti, bahasa, kerakyatatan, agama, dan tamadun; (iii)  kewilayahan, seperti kejiranan kampong, Bandar, kota, wilayah, negeri, seksyen, negara, kawasan geografi, benua, dan hemisfera; (iv)  politik, puak, klik, pemimpin, kumpulan berkepentingan, gerakan, perjuangan, parti, ideologi, dan negara; (v) ekonomi, seperti pekerjaan, profesion, kumpulan kerja, majikan, industri, sektor ekonomi, kesatuan buruh, dan kelas; dan (vi) sosial, seperti kawan, kelab, pasukan, rakan sekerja, kumpulan riadah, dan status.
            Ringkasnya,  jati diri adalah bagaimana seseorang itu menanggapi dirinya, dan jati diri merupakan ascribed labels, kerana seseorang itu dilahirkan dalam jati diri itu, atau sekurang-kurangnya, seseorang biasanya berfikir bahawa dia  lahir dalam jati diri itu, misalnya seseorang yang dilahirkan dalam masyarakat Adat Perpatih.  Jati diri terdiri daripada ramai “orang” yang semua mereka merupakan anggota, seperti bangsa, kaum, kumpulan etnik, tetapi juga gender dan kumpulan keutamaan jantina. 
            Dengan merujuk kepada beberapa krisis yang berlaku,  apakah masyarakat Adat Perpatih sedang menghadapi krisis jati diri?   Jelas bahawa masyarakat  hilang keyakinan kerana keputusan yang tidak tepat, wajar, dan adil dalam beberapa peristiwa dan kepincangan adat yang berlaku, khususnya perebutan kuasa dalam kalangan Undang.  Seperti yang ditegaskan oleh Rais Yatim (2004:  406):  “Aspek penting yang dilupai ialah jika pemimpin adat terus berselisih faham dan bercakaran sesame mereka rakyat akan kehilangan hormat terhadap mereka.  Akhirnya, institusi adat akan pupus.”
Amalan dan tindak-tanduk para pemimpin adat ada kalanya bercanggah dengan perbilangan yang sepatutnya mereka jadikan pedoman serta pegangan.  Dalam pertemuan di Balai Undang Jelebu yang dirujuk sebelum ini,  Rais Yatim (2004: 419) pernah mengingatkan Datuk-Datuk Undang:  “Rakyat sudah jelak dengan cara dan gaya pemimpin-pemimpin adat di Negeri Sembilan yang hanya sibuk dengan title dan kebesaran masing-masing.  Jika mereka tidak mengubah sikap mereka mungkin ditinggalkan zaman dan tidak lagi relevan dalam institusi pemerintahan moden.”
            Malah, keterukan atau keseriusan konflik atau persengketaan yang berlaku dikritik secara sinis   oleh Rais Yatim (2004: 423):  “Apabila sahaja ada majlis besar di peringkat negeri, akan kedengaran siren dan kelihatan motoked polis mengiringi seseorang Undang itu.  Bagi Yamtuan ada tujuh outriders.  Bagi seseorang Undang atau Tuanku Besar ada lima.  Di sebalik laungan semboyan motoked serta pomp dan kemegahan itu mungkin akan teringat oleh rakyat jelata akan pelbagai krisis yang menyelubungi kenaikan seseorang pembesar itu.”
Krisis yang berpunca daripada perebutan jawatan menggambarkan bahawa kemurnian, keluhuran, dan keunggulan   Adat Perpatih  bukan sahaja tidak dapat dipertahankan oleh pengamalnya, bahkan kian terhakis. Adat Perpatih akan pupus sekiranya masyarakat itu sendiri tidak memelihara martabatnya.  Keunggulan sistem Adat Perpatih itu hanya menjadi kukuh sekiranya masyarakat beradat itu sentiasa menyuburkannya (A. Samad Idris, et al., 1994:  266):
            Gemuk berpupuk
Segar bersiram
Dianjak layu
Dicabut mati.

            Daripada krisis yang berlaku secara serius dan terdedah kepada masyarakat umum, maka dapat disimpulkan bahawa penentangannya bukan lagi berpegang pada prinsip “dengan peraturan.”  Maksudnya, seseorang itu wajib melawan dan menentang.  “Tetapi,” tegas Nordin Selat (1982: 9), “penentangan itu jangan secara membuta tuli dan kelam-kabut.  Dalam penentangan pun mesti adil dan saksama, ‘melawan guru dengan kajinya, melawan mamak dengan adatnya.’  Jangan sampai kurang ajar.  Bila menentang gunakanlah saluran yang betul supaya penentangaan itu wajar dan patut.”
Masyarakat Adat Perpatih mempunyai hubungan erat dalam kalangan kelompok mereka kerana dianggap satu keturunan.  Hubungan mereka dapat dikesan mempunyai jurai keturunan yang satu, berdasarkan suku masing-masing.  “Oleh itu, sekiranya mereka bersengketa, ertinya perbalahan dalam kalangan saudara mara sendiri.  Cara penyelesaiannya sudah tentu mengikut lunas-lunas keluarga.  Terpulanglah pada budi bicara ketua-ketua adat sebagai pemimpin keluarga mereka menyelesaikan sebarang masalah yang berbangkit dalam suku masing-masing.  Mereka mestilah berusaha untuk mengelakkan sebarang persengketaan dalam kalangan anak buah, sesuai dengan hubungan setiap anggota masyarakat yang berdasarkan suku, perut, dan waris yang sama” (A. Samad Idris, et al., 1994:  260):
Seperigi sepermandian
Sejamban seperulangan (setepian?)
Sehalaman sepermainan
Bukit sama didaki, lurah sama dituruni
Laba sama dikutip, rugi sama ditatang.

Hati kuman sama dicicah
Hati gagah sama dilapah
Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing
Cicir dipungut, hilang dicari
Hanyut dipintasi, terbenam diselami
Nan jauh dijemputkan
Nan dekat dikampungkan.

Pangkah sama dipupuk
Pucuk sama digentas
Bunga sama dipetik
Jika air sama disauk
JIka ranting sama dipatahkan
Nan mati sama ditanam
Nan hidup sama dipelihara.

Berkawan maka berjalan
Muafakat maka berkat
Dihela kerja maka berusaha
Orang nan banyak menuruti.

Dibuat bandar nan berliku
Tiba di bukit dikalisi
Tiba di batu dipahati
Tiba di batang dikabungi.

Kok alim minta doanya
Kok kaya minta ringgitnya
Kok cerdik kawan berunding
Kok bodoh disuruh arah.
(*bandar – parit tali air)

Langkah kerajaan negeri menjadikan Adat Perpatih sebagai  identiti Negeri Sembilan dan pelaksanaannya meliputi upacara rasmi, diharapkan dapat memperkasakan adat ini.  Namun, seperti yang ditegaskan oleh Mohd Rosli (Saludin, 2007: 120):  “Walaupun pemimpin adat berkedudukan tinggi dan berkuasa, tetapi mereka tetap tidak dipandang oleh masyarakat.  Kekalutan ini berlaku kerana kurang punca ekonomi, hubungan dengan pemerintah, tidak mendalami kehebatan Adat Perpatih, perasaan cemburu, dengki, dan pendapatan tidak setimpal dengan kerjaya.”
Peredaran zaman dan pelaksanaan pentadbiran moden menyaksikan kedudukan sesetengah ketua adat, seperti Undang dan Penghulu Luak yang setara dengan pemerintah yang ada sekarang telah terhakis, dan hanya menjadi simbol kebudayaan Melayu:  “Adat yang menjadi peraturan hidup bermasyarakat masa lampau sudah diambil alih oleh undang-undang dan mahkamah sebagai pelaksananya.  Perbilangan yang dituturkan sejak turun-temurun sekadar lambang menggambarkan betapa luhurnya keadilan dan kebenarannya yang dituntut oleh Adat Perpatih” (A. Samad Idris, et al., 1994:  258):
Kok mengukur biarlah sama panjang
Kok menimbang biarlah sama berat
Kok membahagi biarlah sama rata
Tidak boleh dilebihkan untuk faedah peribadi
Tidak boleh dikurangkan untuk merugikan yang lain.

Namun, diakui bahawa meskipun sesiapa sahaja yang memegang kuasa tetap memberikan janji berlaku adil kepada semua pihak, dalam masyarakat “rambut sama hitam, hati lain-lain” bukanlah mudah untuk memuaskan hati semua orang:  “Kerap kali berlaku tanggapan yang menyebut Adat Perpatih itu menyeleweng” (A. Samad Idris, et al., 1994:  258).
Seperti yang ditegaskan  oleh Norhalim Haji Ibrahim (1993: v), “Adat Perpatih berada dalam keadaan terumbang-ambing, menjadi suatu memori yang dipenuhi lambang atau anggapan, terutama kepada generasi sekarang.  Keadaan ini menjadi lebih kelam-kabut apabila ada dalam kalangan ahli masyarakat moden mengambil kesempatan menggunakan simbol-simbol adat untuk kepentingan politik dan industri pelancongan, serta untuk dipamerkan tanpa kandungan konseptualnya.”   Dengan kata lain, untuk tujuan ekonomi atau mengaut keuntungan, berlaku pengkomoditian simbol adat. 
Sebagaimana masyarakat Melayu lain, masyarakat Adat Perpatih ialah masyarakat tani, dengan tanah merupakan sumber pengeluaran yang penting.   Namun, di mana-mana jua di dunia, masyarakat berasaskan pertanian ini semakin berkurangan.   Tanah terbiar, kegersangan sektor pertanian, perkembangan sektor perindustrian, dan penghijrahan golongan muda ke kota, pastinya memperkecilkan anggota masyarakat Adat Perpatih.
 Perubahan sosial yang dramatik dan mempunyai kesan yang luas pada separuh kedua abad kedua puluh, dan sesuatu yang memutuskan kita dengan dengan dunia masa lampau ialah berakhirnya  kaum tani.  Kemerosotan dan kejatuhan hampir dramatik kaum tani, dan banyak lebih universal, ialah peningkatan pekerjaan yang memerlukan kelulusan pendidikan menengah dan tinggi.  Dikatakan juga bahawa dunia pada bahagian kedua abad kedua puluh menjadi lebih bandar:  “Apabila tanah kosong, kota dipenuhi.” 
“Atas sebab-sebab tertentu, seperti kemusnahan ekologi dan kerosakan sistem pengairan,  masyarakat adat berhenti mengerjakan sawah,” jelas Norhalim Haji Ibrahim (1993:  152), “sedangkan perusahaan sawah adalah urat tunjang dan tulang belakang budaya dan masyarakat Negeri Sembilan.”  Tegas beliau lagi (1993:  152), “oleh kerana tiada pilihan lain, anak adat telah berhijrah ke luar kawasan adat untuk mencari pekerjaan.  Penghijrah kali ini bukan lagi terhadap kepada kaum lelaki, tetapi juga kaum wanita – orang yang ‘memiliki tanah adat’.”
Apabila merujuk kepada adat, tidak dapat tidak, tanggapan yang lazim ialah adat berkait dengan tradisi yang menjadi pegangan dan kebanggaan generasi tua. Demikian juga halnya dengan Adat Perpatih yang kesuburan masih kelihatan di desa-desa.  Apabila masa berubah, zaman berlalu, maka  Adat Perpatih kurang diamalkan oleh generasi muda.   Pengaruh pendidikan dan pekerjaan dalam sektor upah atau bergaji yang berlaku dalam kalangan generasi muda menyebabkan keterhakisan amalan Adat Perpatih. “Hasil pendidikan moden menjadikan anak adat berfikiran baru dan menganggap adat itu ketinggalan zaman.  Adat Perpatih kini diamalkan pada tahap paling minimum.  Dengan kefahaman dan pengetahuan yang cetek ini, tanpa pula mencari kebenaran dan kebaikan adat itu, mereka menolak, malah menentang kewujudan Adat Perpatih” (Mohd Rosli Saludin, 2007: 120).   Keterpinggiran golongan muda daripada soal Adat Perpatih boleh menyebabkan adat ini tidak berkembang pada masa akan datang:  “Jangan lupa anak-anak adat yang berada di perantauan kerena mereka boleh menyumbang ke arah memartabatkan Adat Perpatih”  (Mohd Rosli Saludin, 2007:  144).  
Jangan terperanjat jika ditanya kepada generasi muda hari ini, tidak ramai yang benar-benar memahami Adat Perpatih, bahkan dalam kalangan anak watan Negeri Sembilan sendiri.  Adat Perpatih juga gagal diperturunkan kepada generasi muda:  “Pemahaman yang kurang mengenai struktur adat mungkin menjadi punca kenapa generasi muda dalam Adat Perpatih tidak mahu menghormati sistem berkenaan (A. Samad Idris, et al., 1994:  266).
Oleh sebab Adat Perpatih di Negeri Sembilan menempuh pelbagai krisis dan mengalami proses perubahan yang dinamik, maka masyarakat  adat ini berhadapan dengan krisis jati diri atau identiti.  Dikatakan bahawa “hampir keseluruhan aspek sosioekonomi Adat Perpatih hari ini telah tidak diamalkan lagi sepenuhnya.  Apa yang masih wujud hanya struktur politiknya” (Norhalim Haji Ibrahim, 1993: 153).  Susunan kata perbilangan dalam Adat Perpatih yang mengajak masyarakatnya berpegang teguh pada amalan hidup sebagai saudara satu keturunan tidak dapat dipertahankan lagi.  Perbilangan yang menjadi pedoman dan pegangan kepada para pemimpin adat supaya melaksanakan keadilan secara harmoni dalam masyarakat sekadar menjadi seri di mulut, indah di bibir. 
Raja Bersama:  Pemuafakatan atau Persaingan?
Barangkali ramai yang tidak mengetahui bahawa Undang terlibat dalam Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1957.  Ramlah Adam  (2005: 286), menyatakan Perjanjian berkenaan ditandatangani pada 5 Ogos 1957 di King’s House, Kuala Lumpur adalah antara wakil Ratu England dan Wales, Donald Charles MacGillivray, Pesuruhjaya Tinggi Persekutuan Tanah Melayu dengan Raja-Raja Melayu, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, dan Datuk-Datuk Undang Luak Negeri Sembilan.
Yang Dipertuan Besar ialah Raja bagi Negeri Sembilan bersama-sama Undang Yang Empat yang mempunyai taraf “Raja Bersama” atau co-Rulers dalam menjalankan tugas Diraja dalam semua hal berkaitan dengan tuntutan perlembagaan negeri.  Dari segi Perlembagaan Negeri Sembilan, setiap Undang itu dianggap sebagai “Raja Bersama” yang merupakan sebahagian daripada komponen Diraja, walaupun dari segi pengertian sebenar mereka bukan raja sebab mereka tidak dijadikan Undang akibat salur galur keturunan darah Diraja, seperti halnya dengan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan yang mesti berasal daripada jurai keturunan Tuanku Radin.  Mereka diasalkan daripada pertalian darah Orang Asli dan adunan Adat Perpatih yang dibawa dari Minangkabau. 
Perlembagaan Persekutuan juga memberikan sebutan Pembesar-Pembesar Memerintah kepada Undang.  Yang Dipertuan Besar, Undang Yang Empat, Tunku Besar Tampin, dan Datuk Syahbandar Sungai Ujong menganggotai institusi perlembagaan adat yang dinamakan Dewan Keadilan dan Undang yang dipengerusikan oleh Yang Dipertuan Besar (Rais Yatim, 2004: 408). Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan merupakan kuasa tertinggi dalam hal ehwal pentadbiran adat di negeri ini.
Undang dan Tunku Besar mempunyai taraf protokol yang tinggi kerana mereka berada di tahap selepas Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.  Dari segi protokol, Menteri Besar yang merupakan ketua kerajaan negeri  berada di bawah mereka.  Di luak masing-masing, seseorang Undang itu dari segi protokol mendahului segala orang lain dan perlu disapa “Ke Bawah Kaus Yang Mulia” sebelum gelaran Undangnya disebut.
Tidak banyak penulisan yang autoritatif yang  mendedahkan kisah “sisi gelap” hubungan antara Raja Bersama ini dengan Yang DiPertuan Besar.  Oleh itu, di sini elok dirujuk sekali lagi perjumpaan di Balai Undang Jelebu di Kuala Klawang yang turut dihadiri oleh Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim:  “Para Undang menuntut protokol di istana haru member laluan dan pengiktirafan yang lebih utama kepada para Undang dan Tunku Besar; Putera-puteri Diraja tidak harus menyusul Tuanku Yang Dipertuan Besar, sebaliknya Undanglah yang wajar mengisi upacara mengiringi Yamtuan”  (2004:  418).
Tambah Rais Yatim lagi, (2004:  419):  “Isu mempertikaikan beberapa fungsi dn perlakuan Yang Dipertuan Besar melalui majlis-majlis rasmi juga ditimbulkan....  Ada pula pendapat dalam kalangan mereka yang honorofik yang harus dipakai oleh Undang ialah beta dan bukan kami kerana kononnya mereka adalah raja di luak masing-masing.  Semua ini diketengahkan bukan dengan tujuan hendak menguatkan lagi institusi adat, tetapi hanya sekadar untuk menyatakan siapa besar.”
Daripada perjumpaan itu, jelas bahawa Rais Yatim berasa tidak senang terhadap tindak-tanduk Raja Bersama yang bukan sahaja berkait dengan protokol dan mula “berlagak raja,” malahan kebanggaan mereka kerana adanya kuasa perlembagaan untuk memecat dan melantik Yang Dipertuan Besar dan menggantikannya dengan dengan calon mereka sendiri daripada kalangan orang yang dibenarkan di bawah Perlembagaan Negeri Sembilan.  “Mungkin mereka lupa bahawa kuasa itu tidak boleh dikuatkuasakan sewenang-wenangnya mengikut alur nafsu politik adat (Rais Yatim, 2004:  421).
Sebagai Raja Bersama, Undang juga menunjukkan kuasa mereka dalam pelantikan Menteri Besar Negeri Sembilan.   Seperti yang disebut oleh Rais Yatim (2004: 357 – 358), “dua kali percubaan pihak-pihak tertentu untuk ‘mengusir’ Tan Sri Isa Abdul Samad sebagai Menteri Besar yang berlaku pada tahun 1986 dan 1996.  Kedua-dua ‘usiran’ itu dicetuskan oleh konflik tugas dengan istana dan pihak berkuasa adat di Negeri Sembilan.  Namun, Tan Sri Isa diselamatkan oleh Tun Abdul Ghafar Baba, Timbalan Perdana Menteri ketika yang menggunakan kebolehannya untuk meredakan hasrat Yang Dipertuan Besar serta Undang Yang Empat daripada mengambil sebarang tindakan di sisi adat yang drastik terhadap Isa yang rata-rata dianggap tidak selari dengan sentiment Diraja di Negeri Sembilan.
“Dalam pertemuan khas di Istana Hinggap di Seremban pada tahun 1996,” tulis Rais Yatim, “Datuk Undang Luak Rembau, Datuk Haji Maah bagi pihak Undang Yang Empat, menzahirkan landasan kenapa perubahan pimpinan kerajaan negeri wajar diubah.”  Namun, Rais Yatim tidak menafikan kebolehan Tan Sri Isa dalam berhadapan dengan Raja Bersama:  “Isa mengatasi intrigue pemerintah adat dan rejaman politik tempatan, seperti yang didatangi oleh beberapa orang pemimpin Negeri Sembilan, juga menyumbang kepada sesi bertahannya sebagai Menteri Besar”  (2004: 357).

Pertembungan Budaya
Perbincangan sebelum ini menunjukkan bahawa masyarakat Adat Perpatih di Negeri Sembilan mengalami pertembungan dalaman yang serius yang berpunca daripada perebutan jawatan.  Konflik atau persengketaan juga tercetus akibat daripada kecetekan pengetahuan ketua adat tentang adat dan mereka tidak memahami fungsi serta peranan mereka yang sebenar. Dalam kalangan orang luar pula pemahamannya lebih parah. Adat Perpatih lebih sinonim dinilai sebagai memberi hak dan keistimewaan yang besar kepada kaum wanita.
            Sejak kewujudannya, Adat Perpatih mengalami pertembungan dengan Islam.  Adat Perpatih merupakan sistem kemasyarakatan yang berdasarkan sistem nasab ibu, sedangkan sistem sosial Islam berteraskan nasab bapa.  “Ada dasar-dasar adat,” tegas Norhalim Haji Ibrahim (1993:  4), “yang dianggap bercanggah dengan dasar-dasar agama Islam.”  “Meskipun bagi pihak penganut adat, khususnya yang kuat beragama Islam, percanggahan ini tidak wujud,” tegas beliau lagi, “oleh sebab pengetahuan pengamal adat tentangn inti pati hakiki adat itu begitu cetek, konflik ini semakin bertambah.”  Dalam konflik ini kekuatan adat semakin merosot kerana dalam beberapa aspek mengatasi nilai adat.  “Kesannya,” seperti yang dibahaskan oleh Norhalim Haji Ibrahim (1993:  4), “pengetahuan  masyarakat tentang adat mereka, khususnya Adat Perpatih, semakin kurang, malah hilang langsung.  Yang tinggal hanya aspek adat istiadat yang dilakukan secara sambil lewa.”
            Walau bagaimanapun, Nordin Selat (1982: 26) berpendapat bahawa Adat Perpatih yang wujud lebih dahulu di Minangkabau daripada agama Islam, adat ini menerima Islam, tidak menentangnya.  Pertentangan akan hanya membawa kerosakan.  Kedua-duanya mempersoalkan “kebaikan.”   Pada Adat Perpatih menghilangkan yang buruk, menimbulkan yang baik.  Pada syarak menyuruh berbuat baik menegah berbuat jahat.  Hubungan antara Adat Perpatih dengan syarak Islam saling lengkap melengkapi:
Adat bersendi Hukum
Hukum bersendi Kitabullah
Kuat Adat tak gaduh Hukum
Kuat Hukum tak gaduh Adat
Ibu Hukum muafakat
Ibu Adat muafakat.

            Selain dengan Islam, Adat Perpatih mengalami pertembungan budaya dengan masyarakat Melayu di luar lingkungan adat ini.  Pertembungan ini wujud dalam pelbagai bentuk, seperti stereotaip dan sindiran.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...