Artikel Popular

Saturday, September 17, 2016

Berakhirnya Malaysia seperti yang Kita Kenali

SABTU, 17 September  2016
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH



Pada 9 Mac 1969, seorang balu bernama Ch’ng Lum Tong (nee Chuah Kooi Ean), berusia 54 tahun  meninggal dunia di Hospital  Besar Kuala Lumpur.  Ketika itu, Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman Putra mengadakan lawatan negara ke Singapura, meminta mayatnya dibawa ke Residency, kediaman rasmi Perdana Menteri.  Tunku memendekkan lawatannya itu menghadiri upacara pengebumian.  
            Kisah ini diceritakan semula oleh empat  anak perempuan Ch’ng Lum Tong (yang dikenali dengan panggilan Mak Tong), iaitu Kim Poh, Kim Looi, Kim  See,  dan Kim Lee dalam “Our Tunku, Man for All Seasons” yang dimuatkan dalam Tunku Still the Greatest Malaysian:  Personal Recollections and Reminiscences on Tunku Abdul Rahman Putra, yang Dr. Rais Yatim sebagai editor  dengan kerjasama Prabhakaran S. Nair.  Menurut anak-anak  perempuan Ch’ng, tidak berapa lama selepas bapa mereka, yang dikenali dengan panggilan Pak Tong,  meninggal dunia pada 26 Januari 1961, Tunku mempelawa ibu mereka tinggal di Residency.
            Menurut mereka lagi, ibu mereka meminta  untuk memeluk Islam hanya beberapa jam sebelum dia meninggal dunia.  Semasa upacara pengebumian di Perkuburan Islam Jalan Ampang pada keesokan harinya, Tunku memberitahu bahawa ibu mereka sejak lama memberitahu Tunku bahawa dia ingin  memeluk Islam dan mahu Tunku sebagai salah seorang saksinya.  Tunku berasa kesal kerana beliau tidak menjadi saksi; sebaliknya Dato’ Nik Hassan Abdul Rahman, Setiausaha Sulit Tunku dan kemudiannya dilantik sebagai Menteri Besar Terengganu, kawan rapat Mak Tong, menjadi saksi.  Mak Tong menjadi Islam kira jam 11.00 pagi dan meninggal dunia kira-kira jam 6.00 petang.  Pengurusan jenazah di Residency dilakukan oleh (Dato’) Nik Hassan (Abdul Rahman) dan (Tun) Syed Nasir Ismail, bekas Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka dengan disaksikan oleh Kim Poh dan Kim Looi, dan diziarahi  oleh lebih 100 orang, termasuk orang kenamaan.
            Bagaimanakah agaknya sekiranya peristiwa seperti itu berlaku pada masa sekarang? Seorang yang memeluk Islam beberapa jam  atau beberapa hari atau hanya  beberapa bulan sebelum dia meninggal dunia?  Dapat dibayangkan kemungkinan besar berlaku “berebut mayat” oleh keluarga si mati, yang dibantu oleh barisan peguam, dan tidak ketinggalan orang politik yang mahu tumpang sekaki.  Tidak cukup dengan itu, kemungkinan besar “pahlawan  budaya,” baik secara individu mahupun  mewakili pelbagai pertubuhan, kelihatan  berkeliaran mengeruhkan lagi suasana mendesak supaya si mati dikebumikan mengikut agama asalnya.
            Sebaliknya, anak-anak perempuan Mak Tong itu menghormati  keputusan ibu mereka untuk menjadi seorang Islam. Para peguam dan orang politik pula tidak menyibuk, manakala pahlawan budaya langsung tidak kelihatan.  Mungkin ada yang akan menghujah bahawa peristiwa itu berlaku di Residency dan melibatkan Tunku. Namun begitu, melihat beberapa peristiwa “berebut mayat” yang berlaku sekarang, sekiranya ada  individu seperti Mak Tong meninggal dunia di kediaman rasmi Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri, belum pasti   tidak  ada orang yang akan mencetuskan kekecohan atau cuba menangguk di air keruh.
            Anehnya, kekecohan hanya  sering berlaku apabila seseorang  memeluk agama Islam.  Kita tidak pernah mendengar kekecohan kerana seseorang, katakan penganut agama Hindu atau Buddha atau kaum peribumi di Sabah dan Sarawak memeluk agama Kristian. Juga tidak berlaku kekecohan sekiranya budak di bawah umur memeluk agama Kristian, tetapi lain pula ceritanya jika dia memeluk Islam. 
Sebagai imbas kembali, peristiwa yang dinyatakan di atas itu berlaku ketika politik Malaysia sedang bergelora dan perkauman menjadi-jadi dan diibaratkan “bom jangka” yang menunggu masa untuk meletup.  Peristiwa itu juga berlaku dua bulan sebelum pilihan raya umum tahun 1969 yang menyaksikan prestasi buruk Parti Perikatan – kehilangan Pulau Pinang, manakala Perak dan Selangor “tergantung,” dan tiga hari selepas  itu, tercetus Peristiwa 13 Mei.  Walau bagaimanapun,  jika diikuti analisis atau kajian tentang keputusan pilihan raya itu dan faktor yang menyebabkan rusuhan kaum itu, langsung tidak  menyebut apatah lagi untuk mengaitkannya dengan “seorang hamba Allah memeluk Islam hanya beberapa jam sebelum dia meninggal dunia yang mencetuskan keberangan orang bukan Melayu.”
Sekiranya peristiwa seperti itu berlaku pada masa sekarang, kemungkinan besar akan bergegar dalam kempen pilihan raya untuk menunjukkan pemimpin Islam bersikap kejam terhadap penganut agama minoriti. Mungkin ada yang masih ingat tentang demonstrasi jalanan akhir tahun 2007 yang dilancarkan oleh satu kaum di negara ini, antaranya untuk memberitahu dunia tentang “berebut mayat,” dan sekali gus, untuk menyatakan kononnya kerajaan tidak bersikap adil terhadap golongan minoriti   seperti mereka.
            Jika diperhatikan, masyarakat Malaysia pada beberapa dekad terakhir abad ke-20, lebih mengamalkan  toleransi budaya jika dibandingkan dengan masyarakat Malaysia pada abad ke-21.  Meskipun ketika itu perkauman agak menebal, jarang-jarang melibatkan budaya (juga agama), sebaliknya lebih berbau unsur politik.  Sekarang ini, terlalu banyak pantang larang, misalnya perkataan yang dahulu digunakan secara meluas, tiba-tiba kini dianggap sebagai menghina sesuatu kaum atau berbau rasis. Apa yang  selama ini  dapat diterima, seperti kes novel Interlok, tiba-tiba beberapa tahun lalu, dipersoalkan baris demi baris, halaman demi halaman. Lalu kedengaran tangisan dan rintihan golongan  yang mendakwa  kononnya mereka  menjadi mangsa rasisme. 
Fenomena  yang berlaku kini,  ada kaitannya dengan apa yang pernah diperkatakan oleh Hans-Dieter Evers dalam “Global Knowledge:  The Epistemic Culture of Development” yang dimuatkan dalam Local and Global:  Social Transformation in Southeast Asia – Essey in Honours of Professor Syed Hussein Alatas. Hujah Evers, “laluan ke arah masyarakat berilmu, bagaimanapun, dilanda oleh beberapa masalah pokok yang utama.  Globalisasi membawa begitu banyak peningkatan apa yang kita tahu, tetapi jumlah yang lebih besar ialah kejahilan, misalnya  tentang apa yang kita tahu yang kita tidak tahu. Meskipun kita benar-benar menuju ke arah menjadi “masyarakat berilmu,” kita juga menjadi lebih jahil pada masa yang sama.”  Tambah beliau, “meskipun pengetahuan kita meningkat dengan pantas, pengetahuan tentang apa yang kita tidak tahu, babkan meningkat lebih pantas.”
            Kejahilan yang melanda masyarakat kita menyebabkan Malaysia tidak lagi seperti yang kita kenali selama ini.  Medan pertikaian  budaya dan agama, hari demi hari semakin luas.  Pahlawan budaya berkeliaran di sana sini dengan memakai pelbagai topeng dan sentiasa bersiap sedia untuk melakukan kekecohan.   Walaupun  banyak pihak menegakkan universalisme, tetapi pada masa sama, mereka  berselindung di sebalik particularism. Maka, lahirlah   “umat terpilih” yang langsung tidak boleh disentuh. 
Golongan yang mendakwa diri mereka sekular tanpa segan silu melibatkan diri mereka dalam pertikaian agama, bahkan ada yang  nekad terjun ke dalam medan pertempuran agama.  Tindak-tanduk golongan ini menimbulkan tanda tanya, sama ada mereka benar-benar puak sekular atau hanya sekadar pseudosekular.  Golongan ini tanpa segan silu menyanggah sekiranya orang Islam ingin mengangkat kepala dan meninggikan suara mereka dengan alasan atau hujah “Malaysia negara sekular.”  Sekiranya, orang atau kumpulan bukan Islam mengemukakan tuntutan tertentu, seperti menaikkan status agama mereka setaraf agama Islam di sisi Perlembagaan, maka golongan yang kononnya  sekular menjadi jurubicara mereka.  Orang yang benar-benar sekular tidak akan mencampuri  apa-apa sahaja yang berkaitan dengan  kemunculan agama di dataran awam     atau mmelibatkan diri mereka dalam pertikaian agama.
            Sementara itu, kumpulan pendukung demokrasi  menunjukkan tindak-tanduk yang amat menjijikkan jika diperhatikan respons mereka terhadap pembentangan rang undang-undang (RUU) persendirian tentang penambahbaikan mahkamah Syariah di Parlimen oleh Presiden PAS, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang.  Golongan ini bersama-sama pemberitan dan penulisan pendapat dalam The Star  bukan sahaja menunjukkan penentangan mereka, bahkan mereka seakan-akan naik histeria.  Untuk menjadikan paluan gendang perang gegak gempita dan untuk menakutkan orang bukan Islam dan meraih sokongan mereka,  golongan tersebut mendakwa bahawa rang undang-undang itu sebenarnya  hukum Hudud.
            Jika dibandingkan  dengan Deklarasi Rakyat,  RUU lebih jauh  demokratik, kerana membentangkannya di Parlimen, dan akan dibahaskan dan diputuskan di Parlimen.  Beliau tidak menggerakkan anggota dan penyokong PAS supaya mengadakan demonstrasi jalanan untuk menegakkan undang-undang yang mereka perjuangkan, walaupun dalam kalangan parti politik, PAS lebih berkemampuan untuk melakukannya.  Sepatutnya, pendukung demokrasi di negara ini mengalu-alukan pembentangan RUU itu kerana hal ini dilakukan melalui saluran yang betul.
            Daripada 220 anggota Parlimen,  tidak termasuk dua kekosongan, 35 anggota Parlimen Islam, iaitu UMNO (86), Parti Keadilan Rakyat  (PKR - 16), PAS (14), Parti Bumiputera Bersatu (PBB – 10), Parti Amanah Negara (PAN – enam), DAP (dua), dan Bebas (satu).  Matematik, tanpa sokongan anggota Parlimen daripada parti-parti lain, hanya PAS semata-mata, RUU itu tidak akan diluluskan. Bahkan, dengan sokongan UMNO pun, PAS hanya mampu memperoleh 100 anggota Parlimen Islam – masih tidak cukup,  kecuali ada anggota Parlimen Islam lain yang berasa  “takut akan  Tuhan.”  Kalau itu berlaku, tidak apa-apa yang sepatutnya diratapi, apatah lagi untuk mencetuskan keberangan, kerana keputusan itu dibuat melalui proses demokrasi dan bukannya melalui demonstrasi jalanan.  Malangnya, senario yang begitu tidak dapat difahami oleh golongan yang kononnya mendakwa diri mereka  yang ingin memperjuangkan keluhuran demokrasi.
Respons atau reaksi yang dicetuskan oleh ahli politik bukan Islam, pendukung demokrasi, individu atau kumpulan sosial tertentu yang diberikan liputan yang meluas dalam  The Star, sama ada mereka semua sedari ataupun tidak,  jelas menampakkan bahawa mereka “Islamofobia.”   Sesiapa yang mengikuti pemberitaan dan pendapat yang dimuatkan dalam akhbar itu sebaik-baik sahaja selepas RUU  dibentangkan di Parlimen, pasti dapat merasakan bahawa perkara ini seolah-olahnya  berlaku di negara asing, seperti di Eropah yang Islamofobia menebal dan bukannya di sebua negara yang agama Islam ialah agama rasmi.  Atau mungkin mereka merasakan bahawa mereka sedang mengikuti Donald Trump sedang berkempen dalam pemilihan awal pilihan raya presiden Amerika Syarikat kerana Trump memang kuat sikap anti-Islamnya.  Kelantangan dan keceluparan mereka menentang RUU itu tidak ubah seperti mereka  mahu membuka medan  pertempuran dengan Islam dan bukannya terhadap PAS, dan tanpa mempunyai  kepekaan terhadap orang Islam keseluruhannya yang mula merasakan bahawa agama mereka diaibkan.
Alasan yang diberikan oleh puak berkenaan ialah Malaysia negara sekular, akan mencetuskan krisis Perlembagaan, dan menjejaskan keharmonian – yang boleh dikatakan semuanya rapuh.  Dakwaan Malaysia negara Islam sekular dapat dipersoalkan, kerana dalam Perlembagaan jelas menyatakan Islam agama rasmi dan penganut agama lain bebas mengamalkan agama masing-masing.  Jika di Amerika Syarikat dikatakan pemisahan antara negara dengan gereja semakin kurang jelas, demikian juga di Malaysia tidak wujud  pemisahan antara  negara dengan agama.  Di negara yang benar-benar mengamalkan sekularisme, identiti atau jati diri tidak boleh muncul di dataran awam, seperti cara berpakaian atau pemakaian simbol agama. Di negara Islam moden, dikatakan tidak wujud negara yang benar-benar sekular, kecuali beberapa buah negara yang dahulunya di bawah Kesatuan Soviet yang kini telah berkecai. Negara yang dahulunya dianggap sekular, sebagai contoh India, Indonesia, Israel, dan Turki mula beransur-ansur menjadi negara agama.
Tentang krisis Perlembagaan – dakwaan ini seakan-akan lupa sejarah kerana krisis ini pernah berlaku pada tahun 1983 dan 1992-1993.  Justeru, tidak ada-apa yang perlu diratapi sekiranya krisis Perlembagaan berlaku sekali lagi. Mungkin dua  krisis Perlembagaan yang lalu lebih teruk kerana melibatkan Raja-Raja Melayu, dan dengan itu, salah satu tonggak negara bangsa telah runtuh. Tentang dakwaan akan menjejaskan keharmonian, satu soalan di sini:  Sejak bila Malaysia harmoni?  Kalau mereka benar-benar ingin mewujudkan keharmonian, mengapa mereka berdiam diri terhadap satu demi satu gejala yang menjejaskan keharmonian yang kelihatan berleluasa sebelum pembentangan RUU lagi?
Jika selama ini pertentangan adalah antara hegemoni politik Melayu dengan hegemoni ekonomi Cina, kini keadaan mula berubah, iaitu menjurus kepada persengketaan budaya dan agama, yang semakin hari semakin dalam.  Mengapa keadaan ini berlaku?  Mungkin berbaloi jika dipetik apa yang pernah diperkatakan oleh Robert D. Kaplan dalam bukunya, Warrior Politics:  Why Leadership Demands a Pagan Ethos.  “Kejahatan dan kecelakan pada abad ke-21 mungkin juga bangkit daripada gerakan populis,  mengambil kesempatan daripada pendemokrasian, dimotivasikan pada masa ini oleh kepercayaan agama dan taifah, dan diperkasa oleh Revolusi pasca-Perindustrian.  Puak ekstremis Hindu yang merobohkan masjid pada awal tahun 1990-an dan menyerang orang Kristian pada akhir tahun 1990-an terdiri daripada gerakan kelas pekerja dalam demokrasi India,  yang menggunakan kaset video dan Internet untuk menyebarkan mesej mereka.  Fenomena yang sama berlaku di Indonesia, Iran, Nigeria, Algeria, Mexico, Fiji, Mesir, Pakistan, Tebing Barat, dan Arab Nazareth, sekadar menyebut beberapa tempat yang kumpulan agama dan etnik, terutamanya kelas pekerja yang diinspirasikan oleh pendemokrasian, menggunakan  teknologi komunikasi moden untuk mencetuskan kekacauan.”
Pada bulan Ogos ini genap 59 tahun Tanah Melayu mencapai kemerdekaan. Kita  mungkin berjaya membentuk negara, tetapi boleh dikatakan gagal dalam pembinaan bangsa. Dan kita terpaksa membayar harga yang tinggi akibat kegagalan itu:  kita kehilangan  Malaysia yang kita kenali selama ini. Hari demi hari berlalu, sama ada disedari ataupun tidak, kita hidup di  Malaysia yang bukan lagi seperti yang kita kenali sebelum ini. 


Monday, April 4, 2016

Berakhirnya Era

ISNIN, 4 April 2016
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH



Dalam pertemuan dan makan tengah hari di Lake Club pada bulan Februari 2009 bersama-sama Datuk  Dr. Awang Sariyan yang pulang bercuti dari Beijing, Datuk Sallehuddin Abang Shokeran, dan saya, Dato’ Abdul Rahim  Abu Bakar, bekas Menteri Besar Pahang dan bekas Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka bercerita tentang bahasa dan politik.  Antaranya, beliau menegaskan  bahawa kerajaan tidak serius untuk memansuhkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).   Kerajaan sengaja melengah-lengahkan pemansuhan itu dengan harapan orang akan lupa. Lagipun, pejuang bahasa itu terdiri daripada orang tua dan uzur yang pasti tidak dapat meneruskan perjuangan. 
            Maksudnya, perjuangan bahasa tidak ada kesinambungan kerana kebanyakan pejuangnya generasi lama yang pastinya akan uzur atau meninggal dunia, seperti Dato’ Abdul Rahim dan Dato’ Hassan Ahmad. Generasi baharu yang turut terlibat dalam perjuangan bahasa boleh dikatakan  kurang, meskipun belum pupus sama sekali. Hal ini dapat diperhatikan pada bantahan terhadap pelaksanaan Program Bahasa Duaan (DLP).  Jika dilihat status dalam Facebook, kebanyakannya melibatkan generasi lama yang masih bersemangat, manakala   generasi baharu yang hanya  seorang dua  sekadar muncul sekali-sekala.  Menurut catatan seorang kawan pada Facebook bantahan yang dilancarkan terhadap DLP pada hari Sabtu 26 Mac lalu, tidak mendapat sambutan.  Tidak sampai 100 orang yang berkumpul dekat Masjid Jamek, Kuala Lumpur.  “Ramai polis yang bertugas,” tulis kawan itu – mungkin dia berseloroh.
Pada  tahun 2002, dalam satu sesi muzakarah Jabatan Penerbitan DBP bersama-sama ahli lembaga yang menganggotai Jawatankuasa Penerbitan, seorang daripada mereka mengatakan bahawa bahasa Melayu telah menjadi “liabiliti politik.”   Parti-parti politik Melayu tidak lagi berminat terlibat dalam perjuangan bahasa kerana bahasa Melayu bukan lagi seperti sebelum ini: “aset politik.”  Jika diperhatikan dalam riuh gamat perhimpunan parti-parti politik Melayu-Islam, soal perjuangan  bahasa Melayu  tidak mendapat perhatian.  Dalam perhimpunan Agung UMNO tahun lalu, kedengaran seorang dua perwakilan yang bercakap tentang perkara ini, tetapi suara mereka tenggelam dalam gegak-gempita persidangan.
Dalam UMNO sendiri, oleh sebab parti itu didukung oleh guru-guru Melayu, maka mereka begitu lantang memperjuangkan bahasa Melayu.  Mereka menuntut supaya bahasa pengantar di sekolah-sekolah menengah hendaklah menggunakan bahasa Melayu dan bukannya bahasa Inggeris.  Oleh sebab kerajaan pimpinan Tunku Abdul Rahman berdolak-dalik dalam soal ini, maka pada tahun 1958, guru Melayu keluar beramai-ramai daripada UMNO.  Tindakan mereka itu menyebabkan banyak cawangan UMNO lumpuh.    Peristiwa ini dicatatkan oleh Tun Abdul Ghafar Baba dalam Penitianku...: Sebuah Catatan Peribadi Tun Abdul Ghafar Baba.  Guru-guru Melayu yang merupakan tonggak UMNO memang kental perjuangan bahasa Melayu mereka.  Namun begitu, era mereka dalam parti itu telah lama berakhir, manakala  Tun Ghafar merupakan guru Melayu terakhir.
Keadaan telah berubah sama sekali.  Perjuangan gigih sejak  dekad 1950-an hingga 1980-an nampaknya  mula lesap sejak  dekad 1990-an.  Pada dekad itu, banyak pihak terlibat dalam perjuangan bahasa, orang politik dan bukan orang politik.  Satu contoh yang jelas ialah berhubung dengan  Rang Undang-undang Bahasa Kebangsaan tahun 1967, yang mencetuskan konfrontasi antara pejuang bahasa dengan kerajaan. Di luar Parlimen,  beberapa kumpulan mahasiswa universiti, kesatuan guru, dan penulis – semuanya komuniti Melayu menubuhkan Badan Bertindak Bahasa Kebangsaan (BBBK) untuk menentang penggunaan bahasa Inggeris dengan lebih luas dan konsep pelbagai bahasa. 
BBBK mengadakan rapat umum di Balai Budaya, Dewan Bahasa dan Pustaka, dihadiri oleh wakil-wakil daripada badan bahasa dan juga badan politik Melayu, seperti UMNO dan PAS.   Mohd. Salleh Daud, bekas ahli Lembaga Pengelola DBP dan bekas karyawan tamu DBP, pernah  menulis dalam Memoir Bukan Seorang Konformis,  bahawa beliau yang diminta menjadi pengerusi persidangan,  mula merasakan suasana akan menjadi kucar-kacir.  Dewan Budaya yang sesak dengan kebanjiran manusia dan kepulan asap rokok, disesakkan lagi oleh bahang emosi yang meluap-luap marah terhadap Tunku Abdul Rahman Putra, Perdana Menteri Malaysia ketika itu. Setiap yang hadir memekik-mekik mahu bersuara, mengutuk Tunku kerana membawa rang undang-undang yang akan “membunuh” bahasa Melayu.
Para pejuang bahasa  yang hadir dalam rapat  umum yang berlangsung pada 2 Mac 1968 itu bertindak membakar rang undang-undang, gambar Tunku Abdul Rahman,  dan akhbar Utusan Melayu di luar bangunan DBP.   Tunku dikatakan tidak berasa gembira dengan Tun Syed Nasir Ismail, Pengarah DBP ketika itu. Beberapa hari selepas peristiwa  tersebut, dalam satu perhimpunan di Ipoh, yang turut dihadiri oleh Syed Nasir, Tunku dipetik sebagai berkata, “Jika tidak cukup gambar saya di Dewan Bahasa, pergi dan lihat banyak lagi gambar di rumah saya.  Di sana ada banyak gambar elok dan warna-warni.”  
Menurut Mohd. Salleh, meskipun mendapat tentangan daripada pejuang bahasa kebangsaan dan juga pejuang bahasa Cina yang mahukan bahasa Cina juga dijadikan bahasa rasmi atas dasar fahaman pelbagai bahasa,    rang undang-undang itu diluluskan dalam sidang Dewan Rakyat 3 Mac 1967, dengan 95 menyokong (Perikatan) dan 11 menentang (pembangkang). Akta ini mengesahkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang tunggal dan rasmi, tetapi membolehkan bahasa Inggeris terus digunakan untuk maksud tertentu dan bahasa kaum lain boleh digunakan untuk maksud bukan rasmi.
Tatkala Tunku berasa tidak gembira beliau  terhadap peristiwa di Dewan Budaya itu, rakyat juga naik berang terhadap beliau yang akhirnya mereka terjemahkan dalam peti undi pada tahun 1969. Dalam pilihan raya itu, prestasi Parti Perikatan merosot, terutamanya MCA.  Pulau Pinang jatuh ke tangan Parti Gerakan, Perak dan Selangor “tergantung,” manakala Kelantan kekal di tangan PAS.  Sebagaimana orang bukan Melayu, orang Melayu juga menolak Perikatan, dengan UMNO kehilangan lapan kerusi Parlimen. Beberapa hari selepas pilihan raya umum 10 Mei itu berlaku rusuhan kaum yang dikenali sebagai Peristiwa 13 Mei. 
Sebagai Perdana Menteri, Tunku terpaksa menghadapi tuduhan dan cemuhan daripada ahli-ahli UMNO sehingga dikatakan martabat beliau dalam UMNO menjunam selepas meluluskan Akta Bahasa Kebangsaan, apabila pejuang bahasa mengkritik beliau kerana tidak mempunyai pendirian yang tegas terhadap orang Cina. Kajian tentang faktor prestasi buruk Perikatan dan berlakunya detik hitam dalam sejarah Malaysia,  mendapati soal bahasa merupakan salah satu faktornya. Kegagalan kerajaan untuk melaksanakan bahasa kebangsaan dan Dasar Pendidikan Kebangsaan pada tahun 1967, iaitu 10 tahun selepas merdeka, secara jelas adalah salah satu faktor penyumbang yang menyebabkan meletusnya Peristiwa  13 Mei. 
Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam Doktor Umum:  Memoir Tun Dr Mahathir Mohamad  mencatatkan situasi sebelum pilihan raya umum 1969 yang berkait soal bahasa.  Menurut beliau,   walaupun selepas Singapura disingkirkan daripada Malaysia pada tahun 1965, dasar “Malaysian Malaysia” yang diperkenalkan oleh Lee Kuan Yew diteruskan oleh DAP  yang mengapi-apikan cauvinisme Cina dan memarakkan api nasionalisme Melayu. “Orang Melayu pula menjadi amat emosional, tetapi gagal mengemukakan hujah dengan baik. Misalnya, pegawai-pegawai Melayu di Dewan Bahasa dan Pustaka sentiasa mempromosikan bahasa Melayu dan menggesa semua orang menggunakannya,”  tulis Dr. Mahathir. “Namun, mereka sendiri gagal menerangkan bahawa walaupun bahasa Melayu menjadi bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi, bahasa lain boleh digunakan dengan bebas, termasuk sebagai bahasa pengantar di sekolah.”
Sejak  menuntut  kemerdekaan Tanah Melayu hinggalah kepada selepas pembentukan Malaysia, bahasa   Melayu sentiasa berada di tengah pentas yang bukan  sahaja merumitkan Perikatan, tetapi juga boleh mencetuskan ketegangan.  Usaha untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi ditentang oleh orang Cina, dan mereka juga mencadangkan bahasa Cina dijadikan bahasa rasmi. Sebenarnya, usaha untuk mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi tunggal selepas tahun 1967, disambut oleh orang Cina yang bertindak balas dengan kerasnya terhadap dasar ini, iaitu dengan menuntut bahawa bahasa Cina patut diakui sebagai bahasa rasmi sebagaimana bahasa Melayu dan bahasa Inggeris, dan peperiksaan awam patut diadakan dalam bahasa Cina.
Semasa dalam pemerintahan Darurat akibat Peristiwa 13, kerajaan yang ditadbir  oleh Majlis Gerakan Negara (Mageran), dengan  Timbalan Perdana Menteri Tun Abdul Razak Hussein sebagai Pengarahnya,  melaksanakan Dasar Pendidikan yang memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.  Pada 30 Julai 1969, Menteri Pelajaran Tun Abdul Rahman Ya’kub mengumumkan rancangan untuk memperkenalkan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah-sekolah di Semenanjung Malaysia secara berperingkat-peringkat, bermula dengan darjah satu pada tahun 1970.  Bahasa Inggeris hanya diajar sebagai bahasa kedua.  Pelaksanaan ini dilanjutkan ke sekolah menengah, termasuk tingkatan enam, akan menggunakan bahasa Melayu  pada tahun 1982.  Mulai tahun 1983, bahasa Melayu akan digunakan sebagai bahasa pengantar dalam tahun pertama di kuliah-kuliah universiti.
Penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) juga  atas daya usaha  Tun Abdul Rahman Ya’kub pada tahun 1970,  dalam usaha  untuk mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dalam bidang pendidikan sebagai tindak balas terhadap “ura-ura orang Cina untuk menubuhkan Universiti Merdeka.” Idea penubuhan UKM adalah hasil  pertemuan yang  diadakan  di Dewan Bahasa dan Pustaka sebelum pilihan raya umum tahun 1969, dihadiri kira-kira 50 orang,  antaranya  Syed Nasir Ismail,  Dr. Mahathir Mohamad, Abdul Samad Ismail, Dr. Syed Ali, Tengku Shamsul Bahrin, dan Abu Bakar Hamid.   Pertemuan itu bersetuju bahawa  inilah masa yang sesuai sekali untuk mendesak kerajaan supaya dibina sebuah “Universiti Kebangsaan” sebagai puncak kepada sistem pendidikan kebangsaan yang menggunakan bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar.  Walau bagaimanapun, Tunku Abdul Rahman dan Menteri Pelajaran ketika itu, Tan Sri Mohd. Khir Johari tidak begitu ghairah dengan cadangan penubuhan UKM, sedangkan Tun Abdul Razak memberikan sokongan, tetapi tidak secara terbuka. 
Era perjuangan bahasa Melayu sudah lama berlalu dan sukar untuk ditebus kembali. Segalanya  hilang dalam wawasan, hilang dalam transformasi. Pejuang bahasa  yang masih ada  sekarang sekadar saki-baki yang pastinya tanpa pengganti.

Monday, March 7, 2016

“Malay-Centric” Lebih Baik daripada Melayu Hipokrit!

SELASA, 7 Mac 2016
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH



Tan Sri Rafidah Aziz semasa dalam Kabinet terkenal dengan sikap berterus terang dan beliau dikenali dengan julukan “wanita besi.”  Namun begitu, kekuatan sebenar Rafidah terbongkar apabila mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad  menggasak Rafidah tentang pemberian permit import (AP). Akibat gasakan demi gasakan daripada Dr. Mahathir dan pelbagai tekanan, maka pada 19 Julai 2005,  Rafidah muncul di kaca televisyen dengan air mata berderai sambil   menegaskan  bahawa beliau tidak mempunyai alasan untuk meletakkan jawatan.  Mantan Perdana Menteri itu nampaknya tidak melupakan kritikan beliau terhadap   Rafidah yang ketika itu Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri kerana beliau menulisnya dalam Doktor Umum:  Memoir Tun Dr Mahathir Mohamad.   Dalam buku itu, Dr. Mahathir mendedahkan berapa banyak AP yang diluluskan pada tahun 2005 dan siapakah yang memperoleh kebanyakan AP itu. Tindak-tanduk Rafidah semasa mesyuarat Kabinet berhubung dengan pemberian AP diketahui dan didedahkan oleh Dr. Mahathir.
            Meskipun telah bersara daripada jawatan menteri dan seterusnya sebagai  anggota Parlimen, Rafidah Aziz terus memperlihatkan tabiat lama beliau, iaitu berterus terang. Pada tahun lalu, Rafidah Aziz,  yang menggesa orang Melayu berhenti  daripada berkata, “Melayu dahulu” sambil mengingatkan, “Tanah Melayu tidak wujud lagi. Kini, Malaysia.” Rafidah dalam syarahan awam di Universiti Malaya, “The Role of Education in the Development of Youth Towards Nation-Building,” dipetik oleh  The Malaysian Insider,  sebagai menggesa orang Melayu sepatutnya menghentikan daripada mengenal diri mereka sebagai ras mereka dan menerima bahawa mereka tinggal di negara yang berbeza.  Beliau dikatakan mengeluarkan kenyataan itu sebelum perhimpunan  “baju merah”  pada 16 September yang dianjurkan oleh kumpulan Melayu.  “Saya tahu, dari segi politik, sesetengah orang tidak mahu itu.  Mereka berkata, ‘Saya Melayu dahulu.” 
            Pada Januari tahun ini, ketika berucap sempena seminar memperingati Tun Abdul Razak Hussein yang meninggal dunia 40 tahun lalu, Rafidah mendakwa bahawa “Perdana Menteri kedua itu amat kesal hari ini jika beliau tahu bagaimana wujudnya Malay-centric dalam sistem pendidikan negara.” Rafidah,  seperti yang dilaporkan oleh The MalayMail dalam talian, “Rafidah: Current Malay-centric Education System Would Make Razak Hussein ‘Turn in His Grave’,” mendakwa “pentadbiran sekarang menyalahletakkan anggapan nasionalisme dengan menggalakkan sistem yang terlalu Melayu,” dengan mengimbas kembali bahawa “ketika zaman Tun Razak, bahasa Inggeris biasa digunakan sebagai alat  komunikasi.” Tambah Rafidah,  “Beliau (Tun Razak) tidak pernah fikir bahawa pendidikan sepatutnya ditafsirkan secara sempit sebagai hanya Melayu dan pergi jahanam dengan bahasa-bahasa lain di dunia.”
Meskipun sasaran kritikan  Rafidah terhadap pejuang bahasa, apabila beliau menyebut “sistem pendidikan,” beliau seakan-akan lupa para Menteri Pelajaran (Pendidikan) yang kebanyakan daripada UMNO yang bertanggungjawab memperkenalkan dan melaksanakan sistem pendidikan di negara ini. Selepas Tun Razak, ada empat orang menteri yang akhirnya menjadi Perdana Menteri, iaitu  Tun Hussein Onn, Tun Dr. Mahathir Mohamad,  Tun Abdullah Haji Ahmad Badawi, dan Dato’  Seri Mohd. Najib Tun  Abdul Razak, manakala tiga daripadanya Timbalan Perdana Menteri, iaitu Tun Musa Hitam, Dato’  Seri Anwar Ibrahim, dan yang terbaru, Tan Sri Muhyiddin Yassin.  
Dr. Mahathir dan Musa merupakan young Turks yang muncul pada era Tun Abdul Razak, yang menurut Barry Wain dalam bukunya, Malaysian Maverick:  Mahathir Mohamad in Turbulent Times, “mereka berasa ‘kontrak sosial’ telah gagal, bahawa UMNO terlalu berlembut dengan orang Cina, dan negara mesti ‘dikembalikan semula’ kepada orang Melayu.”  Dr. Mahathir dalam memoirnya mengaku: “Saya  terbabit secara cergas dalam usaha menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar  utama di sekolah. Saya percaya penggunaan satu bahasa boleh menyumbang ke arah pembentukan negara bangsa, jati diri, dan perpaduan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum.”  Sementara itu, Tun Musa  dalam wawancara dengan Far Eastern Economic Review pada Jun 1978,  menegaskan: “Perubahan dasar ini dilakukan kerana bahasa Melayu dianggap sebagai alat untuk mewujudkan perpaduan kebangsaan. Sungguhpun bahasa Inggeris luas dipertuturkan di Malaysia, bahasa ini dituturkan oleh golongan cerdik pandai. Untuk menjamin maruah bangsa, bahasa rasmi mestilah diberi tempat yang utama.  Bahasa Cina dan Tamil dalam perkara ini tidak dianggap sebagai bahasa peribumi dan penggunaan kedua-dua bahasa itu hanya dianggap sebagai galakan untuk perasaan baik sangka dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum.” Anwar pula  terkenal sebagai pejuang bahasa sejak beliau di universiti lagi dan berterusan sehingga beliau menyertai UMNO dan berada dalam kerajaan.
Apabila Rafidah dengan megah mengatakan bahawa “bahasa Inggeris biasa digunakan sebagai alat  komunikasi,” mungkin ada yang bertanya: Adakah Rafidah bertutur dalam bahasa itu ketika merayu undi setiap kali pilihan raya diadakan atau semasa beliau  berkempen untuk jawatan dalam UMNO? Tindakan  Rafidah berpindah kerusi Parlimen, dari Selayang ke Kuala Kangsar, pastinya atas pertimbangan untuk mencari “medan pertempuran” yang menjamin kemenangan dan demi  penakatan atau kelangsungan politik beliau.  Dalam kata lain, beliau tidak boleh bergantung pada para pengundi di pinggir bandar raya Kuala Lumpur yang sesetengahnya  menggunakan bahasa Inggeris dalam pertuturan harian mereka.
            Pastinya, kenyataan Rafidah Aziz tentang Malay-centric mengelirukan dan lebih bersifat prejudis.  Kenyataan ini juga jelas menunjukkan kejahilan beliau yang seakan-akan menggambarkan beliau tidak mengetahui apa-apa yang berlaku di negara ini. Namun begitu, oleh sebab beliau pernah   bergerak cergas dalam UMNO  dan  menganggotai Kabinet, maka mustahil beliau tidak  mengetahui isu berkaitan dengan pendidikan dan kebahasaan.
            Pendidikan dan bahasa Melayu merupakan perjuangan penting  UMNO sejak penubuhannya hingga  sekurang-kurangnya  tahun 1980-an. Hakikatnya,  hegemoni UMNO adalah hasil dukungan guru-guru Melayu  dan golongan ini merupakan pejuang bahasa Melayu.  Seperti yang pernah dicatatkan  dalam buku Penitianku...: Sebuah Catatan Peribadi Tun Abdul Ghafar Baba, “berlaku peristiwa besar dalam UMNO pada tahun 1958 di mana guru-guru Melayu beramai-ramai keluar dari UMNO. Guru-guru Melayu adalah tulang belakang UMNO pada waktu itu. Mereka menuntut supaya bahasa pengantar di sekolah-sekolah menengah hendaklah menggunakan bahasa Melayu, bukan bahasa Inggeris.  Banyak cawangan UMNO lumpuh dengan tindakan guru-guru itu.”  Sesungguhnya, tanpa perjuangan bahasa, sekurang-kurangnya pada suatu ketika dahulu, UMNO akan   kehilangan “modal politik” – pengaruhnya tidak tersebar dalam kalangan orang Melayu, dan dengan itu, Rafidah mungkin tidak berpeluang menjadi wakil rakyat, apatah lagi untuk menjadi menteri!
Sebagai imbas kembali, selepas kemenangan Parti Perikatan dalam pilihan raya tahun 1955, sebuah Jawatankuasa Pelajaran yang dianggotai oleh 15 orang ahli, diketuai oleh Tun Abdul Razak telah dibentuk. Hasilnya, pada tahun 1956, jawatankuasa berkenaan menerbitkan laporan yang dikenali sebagai Penyata Razak.  Wujud bantahan daripada sebilangan ahli yang tidak berpuas hati kerana bahasa Melayu tidak digunakan sebagai satu-satunya bahasa pengantar di semua sekolah.  Bantahan juga wujud dalam kalangan ahli UMNO sendiri, kebanyakannya dari Pantai Timur.  Dr. Lim Chong Eu, mantan Ketua Menteri Pulau Pinang, salah seorang anggota Jawatankuasa Pelajaran  itu, seperti yang dicatatkan oleh Ooi Kee Beng, dalam buku, Bukan Kerana Pangkat:  Tun Dr Ismail dan Masanya,  menyokong laporan tersebut dan menganggapnya “jalinan pelbagai budaya pendatang negara ini (...) dengan berteraskan bahasa Melayu, bahasa kebangsaan kita, serta budaya Melayu sebagai tema yang kuat dan utama.”  Tun Dr. Ismail Abdul Rahman, mantan Timbalan Perdana Menteri, dalam mempertahankan laporan tersebut dan menyanggah bantahan itu, menegaskan “... orang bukan Melayu sudah menerima hakikat adalah negeri orang Melayu dan bahasa kebangsaan adalah bahasa Melayu.”
Profesor Ulung, Dr. Shamsul Amri Baharuddin dalam  Masyarakat Malaysia yang Membangun (Dewan Bahasa dan Pustaka, 1990),   pernah mengesan dan membahaskan topik yang masih  berterusan hangat hingga kini, meskipun ada kalanya,  “tenggelam, timbul, panas, dingin,” iaitu politik bahasa. Menurut beliau, “sebelum pilihan raya tahun 1955, isu bahasa kendur sedikit kerana isu kemerdekaan menjadi objektif perjuangan utama. Akan tetapi, isu bahasa dan pendidikan kembali hangat antara tahun 1956 – 1959 dan menimbulkan keriuhan politik dalam kempen pilihan raya tahun 1959, berikutan pengenalan Laporan Razak.”  Beliau membangkitkan usaha untuk mendaulatkan bahasa Melayu yang melibatkan kumpulan bukan politik yang khususnya dianggotai oleh para intelek Melayu, menentang Rang Undang-undang Bahasa yang diluluskan oleh Parlimen pada tahun 1967.  Di luar Parlimen, menurut beliau, “beberapa kumpulan mahasiswa universiti, kesatuan guru, dan penulis – semuanya komuniti Melayu menubuhkan Badan Bertindak Bahasa Kebangsaan (BBBK) untuk menentang penggunaan bahasa Inggeris dengan lebih luas dan konsep pelbagai bahasa. Pendirian  BBBK,  berdasarkan gambaran yang diberikan oleh Shamsul Amri, merupakan kontrak sosial yang gagal:  “Sebelum merdeka, UMNO telah dijanjikan oleh MCA dan MIC untuk menyokong dan menerima bahasa Melayu sebagai satu-satunya bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan, kerana UMNO telah bertolak ansur mengenai soal kerakyatan orang bukan Melayu.  Kini, janji itu dimungkiri setelah memperoleh apa yang mereka (MCA dan MIC) inginkan.”  Oleh sebab Rafidah Aziz pernah menjadi orang penting dalam UMNO, iaitu menerajui  Pergerakan Wanita,  maka amat malang sekiranya beliau tidak menyedari kemungkiran yang berlaku itu!
Bahasa Melayu mempunyai kedudukan dan memainkan peranan penting bukan sahaja dari segi pembinaan bangsa, tetapi juga dari segi pembentukan negara. Kedudukan bahasa Melayu (dan agama Islam) menjadi persoalan dalam pembentukan Malaysia, seperti yang dijelaskan  Tun Muhammad Ghazali Shafie dalam Ghazali Shafie’s Memoir on the Formation of Malaysia. Dalam memoir yang lebih 400 halaman itu,  Ghazali Shafie antara mencatatkan pendirian Singapura yang nampaknya rela bertolak ansur tentang kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi,  dan bahkan kedudukan agama Islam. Menurut “King Ghaz,”  Lee Kuan Yee pernah memberitahu beliau bahawa bahasa Melayu sepatutnya merupakan bahasa kebangsaan Persekutuan Tanah Melayu, meskipun Lee Kuan Yew  berpendapat cara Persekutuan Tanah Melayu melaksanakannya tidak bagus, berbanding dengan pelaksanaannya di Singapura;  tanpa bahasa Melayu rakyat Singapura tidak mampu mendapat  pekerjaan dan belajar bahasa ini didorong semata-mata menerusi keperluan ekonomi.
Oleh sebab Rafidah Aziz pernah berkhidmat sebagai pensyarah di Universiti Malaya sebelum beliau menceburi bidang politik, pastinya beliau tahu sedikit banyak tentang perkembangan pendidikan negara ini, juga tentang Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Merdeka. Dalam Memoir Perjuangan Politik Syed Husin Ali, beliau mengenang kembali sejarah penubuhan UKM, iaitu sebagai tindak balas usaha orang Cina untuk menubuhkan Universiti Merdeka pada awal tahun 1970-an, menggunakan bahasa Mandarin sebagai bahasa pengantar. Dua individu yang merupakan “penggerak utama” penubuhan UKM, adalah daripada UMNO.  Rafidah mungkin lupa nama Tun Syed Nasir Ismail, mantan Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka,  tetapi mustahil jika beliau lupa nama Dr. Mahathir.
Mustahil juga beliau lupa tentang usaha penubuhan Universiti Merdeka, yang pernah ditolak oleh Tun Musa Hitam, Menteri Pelajaran ketika itu, dengan tiga faktor yang menjadi asas penubuhannya:  Universiti Merdeka ditubuhkan oleh sektor swasta, Universiti Merdeka akan menggunakan bahasa Cina sebagai bahasa pengantar, dan menampung kemasukan pelajar daripada sekolah aliran Cina.  Musa mengumumkan penolakan permohonan tersebut ketika Perhimpunan Agung UMNO tahun 1978. Mengapa mantan Timbalan Perdana Menteri itu memilih Perhimpunan Agung UMNO untuk membuat pengumuman tersebut,  pastinya Rafidah tahu akan jawapannya. Berikutan penolakan itu pihak Merdeka University Bhd. mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan Malaysia dan didengar di Mahkamah Tinggi.  Tindakan ini berlanjutan ke Mahkamah Persekutuan,  yang bersidang pada Julai 1982, menolak permohonan pihak Merdeka University Bhd. 
Walau bagaimanapun, mulai tahun 1990-an – ketika Rafidah masih dalam Kabinet, kerajaan melaksanakan ‘liberalisasi pendidikan,” membenarkan penubuhan universiti swasta, dan akibatnya, berpuluh-puluh buah  “Universiti Merdeka” wujud di negara ini.  Tentang penggunaan bahasa pengantar di universiti swasta ini,  pastinya bukan bahasa Melayu.  Justeru, apabila Rafidah mengatakan, “menggalakkan sistem yang terlalu Melayu,” jelas menunjukkan beliau tidak melakukan kerja rumah.  Selain itu, ketika beliau dalam Kabinet, seperti yang pernah dibangkitkan dalam beberapa keluaran  Dewan Bahasa, pada tahun 1993, kerajaan membenarkan kursus sains dan teknologi di universiti awam diajarkan dalam bahasa Inggeris, dan sedekad kemudian, kerajaan melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).  Kemudian,  mulai tahun 2016, kerajaan memperkenalkan Program Bahasa Duaan (DLP), yang nampaknya ditentang oleh pejuang bahasa. Melihat apa yang berlaku sejak berdekad-dekad lalu, maka bagi sesiapa yang berfikir secara bijaksana dan rasional, pasti tertanya-tanya: Di manakah “sistem yang terlalu Melayu” yang diungkitkan oleh Rafidah itu?  Liberalisasi pendidikan ini mempunyai implikasi yang besar, jika dilihat dari segi ekonomi, seperti yang dibangkitkan oleh Muhammad Abdul Khalid dalam  The Colour of Inequality:  Ethnicity, Class, Income, and Wealth in Malaysia, memperluaskan lagi jurang ketidaksamaan kekayaan dan pendidikan dalam kalangan kaum di negara ini.
Rafidah Aziz jelas memperlihatkan “kejulingannya” apabila beliau membangkitkan Malay-centric, sedangkan kaum-kaum lain di negara ini tidak kurang centric mereka, kalaupun tidak lebih centric  daripada orang Melayu.  Satu contoh yang jelas, Rafidah tidak menyentuh pendidikan Cina yang berkubu kuat sehingga kerajaan tidak berani  dan tidak boleh usik.  Seperti yang pernah dibangkitkan oleh Muhammad Abdul Khalid,  “pendidikan vernakular dianggap sebahagian budaya mereka, dan mana-mana percubaan oleh kerajaan untuk mengubah ini adalah dianggap sebagai mencabul jati diri budaya mereka.”
 Barangkali Rafidah  lupa peristiwa tahun 1987,  apabila tercetus kontroversi yang bermula daripada tindakan Kementerian Pendidikan  menghantar guru besar dan guru penolong kanan yang tidak mempunyai kelayakan bahasa Cina ke sekolah-sekolah rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC).   Tindakan  itu mendapat tentangan daripada parti politik yang mewakili kaum Cina, iaitu MCA, Gerakan, dan DAP dan pelbagai pertubuhan Cina, yang mengadakan protes pada di Kuala Lumpur pada 11 Oktober 1987.  Sebagai tindak balas, orang Melayu, diterajui oleh Pemuda UMNO yang diketuai  oleh Dato’ Sri Mohd. Najib Tun Abdul Razak, mengadakan perhimpunan yang dihadiri oleh 10,000 orang di Stadium TPCA, Kuala Lumpur.  Tatkala  kedua-dua belah pihak mendesak peletakan jawatan TImbalan Presiden MCA dan Menteri Buruh, Tan Sri Lee Kim Sai dan Menteri Pendidikan, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, UMNO mengumumkan  akan mengadakan perhimpunan besar-besaran sempena 41 tahun parti itu.
Ketika suasana    runcing -  seolah-olah Peristiwa 13 Mei akan berulang semula,     Dr. Mahathir yang pulang daripada     Mesyuarat Ketua-ketua Komanwel yang berlangsung di Vancouver, Kanada,    membatalkan rancangan perhimpunan UMNO itu.  Beliau   melancarkan Operasi Lalang mulai 27 Oktober,   menyaksikan lebih 100 orang yang terdiri daripada pemimpin dan ahli politik, aktivis sosial, dan ahli akademik ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). 
Meskipun akhbar The Star memperjuangkan  bahasa Inggeris dan bahkan mendesak kerajaan memperkenalkan semula  sekolah aliran Inggeris, akhbar milik MCA itu bermati-matian mempertahankan sekolah Cina dan bahasa Mandarin.  Demikian juga akhbar Cina di negara ini, seperti yang pernah dibangkitkan oleh Dr. Shamsul Amri Baharuddin, dalam wawancara dengan Mingguan Malaysia pada 19 Julai 2015:  “Saya juga tidak pernah dengar akhbar Cina memperjuangkan bahasa Inggeris.  Jadi, saya anggap orang yang memperjuangkan bahasa Inggeris ini tidak memahami dan menyelami masalah sebenar negara ini dari segi ekonomi dan politik.”   
Siapa yang tidak memahami dan menyelami  masalah sebenar yang dimaksudkan oleh Shamsul Amri itu, kini jelas kelihatan di hadapan kita!



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...