Artikel Popular

Thursday, February 12, 2015

Negara Bangsa: Bahasa Lawan Sastera?

KHAMIS, 12  Februari 2015
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH





Pada akhir Oktober  berlangsung Sidang Kemuncak Penulis Malaysia 2014, di Jitra, Kedah, bertemakan “Sastera Teras Pembangunan Negara Bangsa.” Bagi sesetengah orang, terutamanya yang di luar sidang itu, mungkin ada yang tertanya-tanya: Bagaimana menterjemahkan tema yang kelihatan hebat, gah itu dalam bentuk realiti?  Tema tersebut  mendedahkan  satu kesilapan yang besar  dari segi konsep dan mengelirukan. “Perkataan “teras”  boleh membawa maksud bahawa sastera merupakan unsur penting dalam “organ politik” – memetik semula tafsiran Peter Drucker tentang negara bangsa.  “Teras” juga mencetuskan “kegerunan,” yang sekali gus membayangkan bahawa tanpa  sastera,   negara bangsa akan menjadi tunggang-langgang,  atau  berkecai. 
Demikian juga “pembangunan negara bangsa,”  yang bunyinya memang    janggal,    kerana “pembangunan” selalunya digunakan dan lebih cocok dengan “pembangunan negara” atau dalam bahasa Inggeris disebut, national development, dan bukannya nation-state development.  Jarang-jarang orang menyebut, “pembangunan negara bangsa,” sebaliknya orang  menyebut, “pembinaan negara bangsa” (atau “pembentukan negara bangsa,” atau “pewujudan negara bangsa”).  Apabila negara bangsa sudah terbina atau terbentuk, demi  memastikan negara bangsa itu terus utuh dan kukuh, maka orang menyebut, “kelangsungan negara bangsa.”  Satu lagi istilah yang selalu digunakan, dan sesetengah orang keliru dengan negara bangsa, ialah “pembinaan bangsa” atau dalam bahasa Inggeris disebut nation-building.
Sebenarnya,  negara bangsa dianggap sudah terbina atau  terbentuk apabila warganegaranya merasakan mereka merupakan satu bangsa yang mendukung tamadun dan budaya yang sepunya dan tidak  lagi menonjolkan isu, seperti tuntutan pemisahan wilayah, perbezaan dan konflik kaum, minoriti, keterpinggiran, dan diskriminasi. Namun begitu,  apa yang berlaku  kini,   negara bangsa   terumbang-ambing, haru-biru.  Krisis di Ukraine, pungutan suara di Scotland, dan kebangkitan puak Negara Islam Iraq dan Syria (ISIS atau ISIL, atau kini disebut, Negara Islam), adalah antara contoh yang  menandakan fahaman kabilah membayangi negara bangsa.
Negara bangsa Malaysia pula sejak akhir-akhir ini  kelihatan cacat di sana sini, kerana  berlaku  “pertembungan dalaman” tamadun dan budaya,  manakala  perbezaan dan konflik kaum semakin menjadi-jadi, dan bahkan, suara puak pemisah mula  kedengaran.  Selain itu, wujud golongan yang merasakan diri mereka terpinggir dan didiskriminasikan.  Justeru, timbul persoalan:  Adakah kemelut negara bangsa ini  dapat diselesaikan melalui sastera sebagai teras pembangunan negara bangsa?  Mungkin banyak orang yang meraguinya!
Dengan memilih tema sedemikian, maka sastera pada tanggapan umum, seakan-akan  berasak-asak dan mahu menggantikan    bahasa Melayu (juga budaya dan sejarah) dalam negara bangsa – sesuatu yang tidak akan tercapai dan mustahil tercapai!  Hal ini demikian, kerana pertama, kedudukan  bahasa Melayu  dalam negara bangsa memang jelas jika dibandingkan dengan sastera. Kedua, berbanding dengan sastera, dasar bahasa Melayu dinyatakan dalam bidang pendidikan, pentadbiran, dan perundangan, tanpa menafikan bahawa  ada kalanya dasar tersebut  mengalami pasang surut, dan sejak berdekad-dekad lalu, sentiasa  surut. Dasar ini merupakan ranah atau domain bahasa Melayu dalam negara bangsa. Ketiga, berkait dengan dasar, ialah dari segi wibawa atau autoriti,   bahasa Melayu  banyak mempunyai kelebihannya dan kelebihan ini sukar ditandingi oleh sastera. Misalnya,  untuk menjadi warganegara Malaysia,   seseorang itu sepatutnya dapat bertutur dalam bahasa Melayu, meskipun dari segi realiti, tidak semuanya begitu.  Sebaliknya,  seseorang itu tidak diperlukan memahami atau menghayati sastera untuk menjadi warganegara Malaysia.  Selain itu, mata pelajaran Bahasa Melayu diwajibkan lulus, sekurang-kurangnya hingga ke peringkat sekolah menengah.
Ringkasnya, jika kita  merujuk penulisan dan perbahasan negara bangsa, seperti yang diketengahkan di atas,  kedudukan   bahasa (juga budaya dan sejarah)   memang jelas. Demikian juga di Malaysia,  bahasa Melayu  merupakan sebahagian, kalaupun mungkin  bukan teras   negara bangsa, sedangkan  sastera boleh dikatakan  tidak kelihatan. 
“Sastera Teras Pembangunan Negara Bangsa” jika silap perhitungan, boleh membantut kreativiti dan menyekat kebebasan berkarya  para sasterawan atau penggiat sastera.  Hal ini demikian, kerana negara bangsa bukannya “pentas yang kukuh dan sesuai untuk sastera menari.” Pengkaryaan sastera selalunya tertumpu pada  persoalan ketidakadilan, ketidaksamaan, kepincangan,  dan percanggahan yang berlaku dalam masyarakat, seperti  percanggahan antara modal dengan buruh (juga rakyat). Atau dalam maksud lain, percanggahan antara “nilai pertukaran” yang menjadi keutamaan modal dengan “nilai gunaan” yang merupakan keperluan asas buruh (juga rakyat).  
Dalam percanggahan seperti ini, negara (the state) cenderung memihak kepada modal atau nilai pertukaran berbanding dengan buruh (juga rakyat) atau nilai gunaan. Apabila berhadapan dengan situasi ini,  suara sastera sepatutnya   kedengaran kritis kerana tindakan negara itu boleh dianggap sebagai suatu ketidakadilan dan melebarkan lagi jurang ketidaksamaan.  Namun begitu, tanggungjawab  ini pastinya tidak dapat disempurnakan oleh para sasterawan atau penggiat sastera, kerana sastera itu sendiri “bersekongkol” dengan negara,  atau dalam kata lain, sastera itu sendiri mengikat dirinya pada negara bangsa.  Maka, di sini akan terbentuk  “rantaian penundukan,” iaitu modal menundukkan negara, dan seterusnya negara menundukkan sastera.  Akibatnya,  sastera akan menjadi “alat negara” dan “hamba modal,” dan bukannya “suara rakyat.”  Dengan mengisytiharkan “Sastera Teras Pembangunan Negara Bangsa,”  nescaya sastera akan dengan mudah, lemas dalam arus perdana yang dikuasai atau didominasi oleh modal dan negara.
Sebaliknya, persoalan yang rumit seperti itu tidak dihadapi oleh bahasa Melayu kerana kedudukan bahasa ini dalam negara bangsa lebih tertumpu pada  dasar dan pelaksanaan dasar.   Tanggungjawab hakiki ahli bahasa atau ahli linguistik ialah membina dan mengembangkan bahasa Melayu. Suara mereka - selalunya atas nama pejuang bahasa - lazimnya   kedengaran apabila kedaulatan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tergugat. 

Dalam keadaan bahasa Melayu  lemah dan negara bangsa  pincang, yang jelas menunjukkan bahawa kedua-duanya, iaitu bahasa Melayu dan negara bangsa terjebak dalam “kitaran ganas,”  maka langkah yang paling wajar ialah balik ke pangkal jalan:    penegasan semula dasar bahasa kebangsaan. Hanya  dengan pemerkasaan bahasa kebangsaan, maka   negara bangsa dapat diperkukuh semula.  Kelangsungan negara  bangsa terletak pada bahasa dan bukannya sastera, tanpa menafikan budaya dan sejarah, dan pastinya, tidak wujud “laluan kedua.”  
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...