Artikel Popular

Wednesday, September 16, 2015

Malaysia Tanah Airku

RABU, 16 September 2015
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Apabila Rafidah Aziz dipetik sebagai berkata, “Tanah Melayu tidak wujud lagi. Kini, Malaysia” dan sempena Hari Malaysia, beberapa hari lalu saya membaca semula tulisan Abdul Rahman Haji Ismail dalam buku, Malaysia:  Sejarah Kenegaraan dan Politik (Dewan Bahasa dan Pustaka).  Beliau  menegaskan bahawa “walaupun secara rasminya, Malaysia ialah suatu nama yang baharu, dari segi makna nama ini tidak menyimpang jauh daripada perkembangan sejarah di rantau ini. Nama itu ganjil bagi semua orang, penduduk tempatan, dan orang luar, tetapi tepat  membayangkan wataknya yang tersendiri  dan istimewa.” Hujah Abdul Rahman, “Malaysia” di sebalik bunyinya yang agak ganjil masih berlandaskan peribadinya yang paling asas dan dominan, yakni “Melayu,” biar apa-apa pun pengertian sebenar perkataan itu. “Nama ini ialah gabungan antara unsur lama dengan baharu, suatu petunjuk kedinamikan yang membolehkannya terus hidup berkembang sesuai dengan perubahan dan cabaran yang mendatang.”
            Abdul Rahman memetik A.L. Kroeber, dalam bukunya, Anthropology (1923), menggunakan istilah “Malaysia” untuk merujuk Semenanjung Tanah Melayu dan kepulauan Asia Tenggara yang penghuni ibundanya yang mempunyai ciri-ciri fizikal dan budaya Malayo-Polinesia yang membentuk watak rantau ini. Untuk tujuan rasmi, menurut Abdul Rahman, istilah “Malaysia” hanya mula muncul pada tahun 1931, iaitu dalam laporan banci penduduk pada tahun itu.
            Sebagai nama bagi sebuah wilayah, jelas Abdul Rahman lagi, “Malaysia” menjadi lebih terkenal, terutamanya dalam dunia akademik apabila seorang profesor Universiti Harvard, Rupert Emerson, menerbitkan bukunya, Malaysia: A Study ini Direct and Indirect Rule di New York pada tahun 1937. 

            Para penggiat politik “Melayu Raya,” seperti Dr. Burhanuddin al-Helmy dan Ibrahim Haji Yaacob, menurut Abdul Rahman, ada menggunakan nama “Malaysia” dalam tulisan mereka sejak tahun 1940-an.   

Thursday, August 20, 2015

Kontrak Sosial yang Gagal: Bahasa Melayu

KHAMIS, 20 Ogos 2015
Oleh  ZULKIFLI  SALLEH






Pada Ogos ini, genap 58 tahun Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan dan pada bulan September, genap 52 tahun pembentukan Malaysia, sebuah perjalanan sejarah yang  panjang, sarat dengan kejayaan dan kegagalan, kegembiraan dan kesedihan, keterujaan dan keresahan.  Dalam tempoh tersebut, pelbagai dasar nasional diperkenalkan dan dilaksanakan. Lima tahun dari sekarang, Malaysia mengorak langkah untuk mencapai status negara maju yang mungkin tanpa “acuan sendiri.”   Hal ini demikian, kerana  kegagalan pembinaan bangsa (nation-building) yang memang kelihatan dengan ketara.  Dan faktor utama kegagalan pembinaan bangsa berpunca daripada kegagalan mendaulatkan bahasa Melayu, bahasa kebangsaan negara merdeka.  Tidak seperti Indonesia, yang dianggap  berjaya dalam pembinaan bangsa melalui bahasa Indonesia (atau bahasa Melayu-Indonesia) yang dilaksanakan sejak zaman   Sukarno dan Suharto.
            “Zaman surut bahasa Melayu,” itulah pesan Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, dalam pertemuan tidak rasmi dengan para  pegawai kanan Dewan Bahasa dan Pustaka pada Mei 1997 di sebuah hotel di Port Dickson.  Anwar ketika itu pemangku Perdana Menteri berehat di hotel  tersebut bersama-sama isteri dan keluarga beliau selepas beliau menjalankan tugas rasmi di Melaka, manakala pegawai kanan DBP berbengkel di hotel yang sama.  Atas jemputan Datuk A. Aziz Deraman, Ketua Pengarah ketika itu, Anwar sudi menyampaikan amanat dalam suasana yang santai.  Anwar  meminta kami di DBP jangan “terlalu keras” dalam memperjuangkan bahasa Melayu kerana “ada seseorang yang akan berasa hati.”   Beliau juga meminta kami bersabar dan memberikan harapan kepada kami bahawa beliau akan pulihkan zaman surut itu.  Namun begitu, lebih setahun kemudian, harapan itu pudar  bersama-sama berkecainya impian beliau untuk menerajui negara Malaysia. Selebihnya sejarah!
            Sesiapa yang melihat tajuk Berita Harian dalam ruangan sastera keluaran 7 Julai lalu, “Bahasa Melayu ‘ditekan’,” dan mereka mengikuti perkembangan bahasa Melayu,  sesungguhnya tidak berasa terkejut dan juga tidak akan  mengatakan sekadar sensasi. Sebenarnya, itulah hakikat yang dialami oleh bahasa Melayu sejak dua dekad lalu apabila wujudnya usaha terancang dan pelbagai tekanan untuk meminggirkan bahasa Melayu dengan berselindung di sebalik kepentingan bahasa Inggeris yang kononnya bahasa global. Justeru,  salah satu langkahnya dilaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris  (PPSMI) pada tahun 2003. Tidak cukup dengan semua itu, beberapa tahun lalu dan kini bergema balik, gesaan  pelaksanaan semula sekolah aliran Inggeris.
            Muhammed Abdul Khalid dalam bukunya, The Colour of Inequality:  Ethnicity, Class, Income, and Wealth in Malaysia, dalam menyorot  ketidaksamaan ekonomi dan hubungan kaum di negara ini dari segi sejarah, turut menyentuh “kontrak sosial” atau “tolak ansur” yang dibuat antara UMNO, MCA, dan MIC tentang status setiap kumpulan  kaum dalam konteks perjuangan kemerdekaan dan penggubalan Perlembagaan. Tolak ansur itu ialah orang Melayu menerima orang bukan Melayu sebagai warganegara, manakala orang bukan Melayu menerima kedudukan istimewa orang Melayu tanpa had masa.  Tambah Muhammed, hasil rundingan ini ditunjukkan dalam Perlembagaan Malaysia, terutamanya Perkara 89,  Perkara 152, dan Perkara 153.  Perkara 152 adalah tentang kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara ini dan ini akan dicapai melalui pelaksanaan dasar bahasa kebangsaan. Beliau merumuskan, “syarat kewarganegaraan agak mudah dilaksanakan.”  Dan bagi beliau, kontrak sosial atau tolak ansur itu, “negara Melayu yang wujud sejak 500 tahun kini dikongsi dengan orang lain. Negara ini  berubah selama-lamanya.”
            Apabila dilihat nasib bahasa Melayu sekarang, yang “ditekan” memetik semula tajuk Berita Harian,  kontrak sosial yang dibentuk lebih setengah abad lalu memang merugikan satu pihak dan memenangkan satu pihak yang lain.  Sementara “lebih sejuta orang diberikan kerakyatan,” seperti yang dicatatkan oleh Muhammed Abdul Khalid, manakala bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan terkial-kial kalaupun tidak sekadar tinggal “nyawa-nyawa ikan.”
Dalam memoirnya yang belum diterbitkan, bekas Timbalan Perdana Menteri kedua, Tun Dr. Ismail Abdul Rahman, pernah menyentuh  tiga perkara, iaitu kewarganegaraan, soal bahasa, dan kedudukan istimewa orang Melayu. Tentang soal bahasa, hujah  beliau, “pucuk pimpinan Perikatan membuat kesimpulan bahawa Tanah Melayu merdeka harus ada bahasa penyatu, supaya pelbagai kaum menjadi satu bangsa.  Pilihan yang jelas ialah bahasa Melayu. Pada pokoknya, jika orang Cina – itu masalah politik sebenar, kerana kaum yang lain tidak dominan – hendak dipujuk agar menerima bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, mereka patut diberikan taraf warganegara sebagai balasan. Inilah asas sebenar kesepakatan antara tiga pihak di negara ini, terutamanya antara Melayu dengan Cina” (rujuk Ooi Kee Beng, Bukan Kerana Pangkat:  Tun Dr Ismail dan Masanya).
Tun Dr. Ismail juga seperti dipetik oleh Ooi Kee Beng,   membangkitkan tiga peruntukan Perlembagaan,  yang merupakan “hasil tolak ansur yang dicapai antara pelbagai kaum di negara ini.”  Soal kewarganegaraan boleh dikatakan telah terhurai dengan semangat tolak ansur itu.  Dua setengah juta rakyat yang pada tahun 1957 tidak layak menjadi warganegara telah menjadi warganegara sejak itu.  Akan tetapi, soal bahasa belum selesai.  Tempoh 10 tahun penerapan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan telah berlalu, dan percanggahan tafsiran tentang masa depan taraf bahasa Inggeris dan bahasa lain menyebabkan “syak dan curiga antara satu kaum dengan yang lain.” Masalah ketiga melibatkan kedudukan istimewa orang Melayu, dan tafsiran saling bercanggahan yang terbit daripadanya.
Keprihatinan Tun Dr. Ismail ketika itu adalah bahawa tidak wujud kejayaan pelaksanaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara ini, sedangkan kewarganegaraan dapat dilaksanakan dengan mudah, dalam sekelip mata.   Pastinya, ketika itu juga sudah rasa kurang senang dan rasa keluh-kesah terhadap pelaksanaan bahasa Melayu kerana semangat nasionalisme masih berkobar-kobar dan nasionalisme bahasa sering muncul di tengah pentas. Perasan itu terbawa-bawa dalam penentangan Tunku Abdul Rahman Putra, Perdana Menteri Malaysia ketika itu yang dilancarkan oleh  puak ultra-UMNO dan pejuang bahasa antaranya, untuk menyingkirkan beliau selepas Peristiwa 13 Mei 1969. 
Walau bagaimanapun, keadaan berubah sama sekali apabila Tun Abdul Razak Hussein mengambil alih pucuk pimpinan negara menggantikan Tunku Abdul Rahman yang meletakkan jawatan pada tahun 1970.  Pada era Tun Razak, pelbagai dasar nasional dilaksanakan, seperti Dasar Ekonomi Baru (DEB), Dasar Pelajaran Kebangsaan, Dasar Bahasa Kebangsaan, dan Dasar Kebudayaan Kebangsaan – yang mempunyai hala tuju yang jelas ke arah pembinaan bangsa dan pembinaan negara (state-building). Sejak itu, bahasa Melayu benar-benar berada di landasan yang betul hingga awal tahun 1990-an sebelum bahasa kebangsaan ini mengalami “zaman surut.”
Jika diperhatikan bahasa Melayu  tercicir dalam Wawasan 2020 yang diperkenalkan pada  tahun 1991. Wawasan 2020   menggariskan kunci kepada pencapaian negara maju dengan mengatasi sembilan cabaran strategik, menyebut “bangsa Malaysia” (dalam cabaran pertama),  tetapi langsung  tidak menyatakan kedudukan bahasa Melayu sebagai “bahasa penyatu” semua kaum di negara ini.
Kontrak sosial yang “tidak seimbang” antara bahasa Melayu dengan kewarganegaraan turut dibangkitkan oleh Ramlah Adam dalam bukunya, Biografi Politik Tunku Abdul Rahman Putra (Dewan Bahasa dan Pustaka, 2005):  “Dasar-dasar politik Perikatan ternyata telah melahirkan suatu keadaan yang bertentangan yang mengundangkan pertelingkahan sesama sendiri. Misalnya, dalam memberi jaminan bahawa bahasa Melayu akan menjadi bahasa kebangsaan dalam masa 10 tahun, bahasa dan kebudayaan bangsa-bangsa lain akan dipelihara.  Ini dengan sendirinya memberi suatu ruang untuk mencabar pelaksanaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.”  Pastinya, usaha untuk mencabar pelaksanaan itu semakin sukar dibendung sejak beberapa tahun kebelakangan ini kerana PPSMI membuka ruang seluas-luasnya kepada golongan yang  antibahasa Melayu menusukkan  jarum mereka.   Tambah Ramlah lagi, “soal kerakyatan juga menjadi duri dalam daging bagi kerjasama parti-parti anggota Perikatan.”
Dalam buku itu, Ramlah   membezakan antara Tunku Abdul Rahman dengan Dato’ Onn Jaafar dalam perjuangan bahasa.  “Pendaulatan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan juga menjadi satu senjata tajam Dato’ Onn membidas Tunku Abdul Rahman dan UMNO... Berbeza dengan Tunku Abdul Rahman, Dato’ Onn sangat tegas sekali memperjuangkan pendaulatan bahasa Melayu. Kesungguhan itu telah ditunjukkan oleh Dato’ Onn apabila pada bulan Mac 1955, Parti Negara telah mencadangkan bahasa Melayu diterima sebagai bahasa kebangsaan bagi Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka.”
Beberapa  tahun lalu, bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad pernah menyarankan agar ditubuhkan Suruhanjaya Khas menyiasat kelayakan keturunan mereka yang diberikan hak kerakyatan Persekutuan Tanah Melayu. Beliau mengemukakan  saranan tersebut  dalam “Konvensyen Transformasi Ekonomi dan Pelajaran Melayu Pulau Pinang 2013”  di Permatang Pauh.  Menurut Tun Dr. Mahathir, “Orang Melayu ‘murah hati’. Kita sedia berkongsi tanah air dengan mereka, membenarkan mengekalkan  identiti, bahasa,  dan budaya mereka. Kemudian kita kongsi kuasa dengan mereka yang bukan peribumi negara ini. Orang Melayu benarkan orang asing ini bebas berniaga dan mengumpulkan harta. Orang Melayu tidak pernah meminta apa-apa pun daripada  mereka.”
Dalam sidang media  selepas  program “Bicara Minda Tun Dr.  Mahathir Mohamad”  di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf di Shah Alam pada Januari 2013, Tun Dr. Mahathir membangkitkan isu kewarganegaraan dan beliau mengkritik Tunku Abdul Rahman. Dr Mahathir berkata, bekas Perdana Menteri pertama, Allahyarham Tunku Abdul Rahman melakukan perkara lebih teruk dalam tindakan memberi kad pengenalan kepada warga asing. "Dia (Tunku Abdul Rahman) beri sejuta kewarganegaraan kepada mereka yang tidak layak. Jadi kenapa apa yang dia (Tunku Abdul Rahman) buat tak salah dan apa yang saya buat ini salah?” Dalam sidang media itu, beliau mengakui bertanggungjawab memberi kewarganegaraan kepada pendatang asing di Sabah semasa pentadbirannya.
Kalaupun Tunku Abdul Rahman melakukan kesilapan kerana “tolak ansur” yang merugikan ini, Tun Dr. Mahathir dan dua orang Perdana Menteri selepas beliau juga melakukan kesilapan kerana tidak ada keazaman politik yang kuat untuk mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.  Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak sekadar menyarankan sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) mempertingkat penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan muridnya ke tahap yang lebih tinggi apabila dengan gaya berseloroh beliau mengatakan, “Jangan guna ‘gua,’ ‘lu’ lagi. SJKC kena belajar bahasa kebangsaan dengan baik.”  Ketika berucap dalam Perhimpunan Agung Tahunan MCA Ke-61 itu, Najib turut  memberikan jaminan terhadap kedudukan sekolah Cina.  “Bagi komuniti Cina,” seperti yang dicatatkan oleh Muhammed Abdul Khalid, pendidikan vernakular dianggap sebahagian budaya mereka, dan mana-mana percubaan oleh kerajaan untuk mengubah ini adalah dianggap sebagai mencabul jati diri budaya mereka.”
Dalam ruangan Bingkasan Editor, Pelita Bahasa keluaran Oktober 2014, mendedahkan hakikat bahawa terdapat sebahagian besar daripada salah satu kaum utama di negara ini yang tidak menguasai bahasa Melayu. Apa-apa sahaja usaha yang cuba dilakukan oleh kerajaan untuk menaikkan taraf penggunaan bahasa kebangsaan telah ditolak oleh kaum berkenaan.
Sememangnya, kita tidak perlu meratapi sesuatu yang sudah berlalu, ibarat “nasi sudah menjadi bubur.” Asyik  menoleh zaman silam tanpa memikirkan masa kini dan merenung masa depan sememangnya sesuatu yang kurang bijak.  Justeru,  yang penting, ialah  belajar daripada kesilapan masa lalu,  dengan pucuk pimpinan negara memberikan penegasan semula terhadap pemartabatan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dalam pelbagai bidang.  Itu pun kalau mereka mempunyai keazaman politik!


Thursday, February 12, 2015

Negara Bangsa: Bahasa Lawan Sastera?

KHAMIS, 12  Februari 2015
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH





Pada akhir Oktober  berlangsung Sidang Kemuncak Penulis Malaysia 2014, di Jitra, Kedah, bertemakan “Sastera Teras Pembangunan Negara Bangsa.” Bagi sesetengah orang, terutamanya yang di luar sidang itu, mungkin ada yang tertanya-tanya: Bagaimana menterjemahkan tema yang kelihatan hebat, gah itu dalam bentuk realiti?  Tema tersebut  mendedahkan  satu kesilapan yang besar  dari segi konsep dan mengelirukan. “Perkataan “teras”  boleh membawa maksud bahawa sastera merupakan unsur penting dalam “organ politik” – memetik semula tafsiran Peter Drucker tentang negara bangsa.  “Teras” juga mencetuskan “kegerunan,” yang sekali gus membayangkan bahawa tanpa  sastera,   negara bangsa akan menjadi tunggang-langgang,  atau  berkecai. 
Demikian juga “pembangunan negara bangsa,”  yang bunyinya memang    janggal,    kerana “pembangunan” selalunya digunakan dan lebih cocok dengan “pembangunan negara” atau dalam bahasa Inggeris disebut, national development, dan bukannya nation-state development.  Jarang-jarang orang menyebut, “pembangunan negara bangsa,” sebaliknya orang  menyebut, “pembinaan negara bangsa” (atau “pembentukan negara bangsa,” atau “pewujudan negara bangsa”).  Apabila negara bangsa sudah terbina atau terbentuk, demi  memastikan negara bangsa itu terus utuh dan kukuh, maka orang menyebut, “kelangsungan negara bangsa.”  Satu lagi istilah yang selalu digunakan, dan sesetengah orang keliru dengan negara bangsa, ialah “pembinaan bangsa” atau dalam bahasa Inggeris disebut nation-building.
Sebenarnya,  negara bangsa dianggap sudah terbina atau  terbentuk apabila warganegaranya merasakan mereka merupakan satu bangsa yang mendukung tamadun dan budaya yang sepunya dan tidak  lagi menonjolkan isu, seperti tuntutan pemisahan wilayah, perbezaan dan konflik kaum, minoriti, keterpinggiran, dan diskriminasi. Namun begitu,  apa yang berlaku  kini,   negara bangsa   terumbang-ambing, haru-biru.  Krisis di Ukraine, pungutan suara di Scotland, dan kebangkitan puak Negara Islam Iraq dan Syria (ISIS atau ISIL, atau kini disebut, Negara Islam), adalah antara contoh yang  menandakan fahaman kabilah membayangi negara bangsa.
Negara bangsa Malaysia pula sejak akhir-akhir ini  kelihatan cacat di sana sini, kerana  berlaku  “pertembungan dalaman” tamadun dan budaya,  manakala  perbezaan dan konflik kaum semakin menjadi-jadi, dan bahkan, suara puak pemisah mula  kedengaran.  Selain itu, wujud golongan yang merasakan diri mereka terpinggir dan didiskriminasikan.  Justeru, timbul persoalan:  Adakah kemelut negara bangsa ini  dapat diselesaikan melalui sastera sebagai teras pembangunan negara bangsa?  Mungkin banyak orang yang meraguinya!
Dengan memilih tema sedemikian, maka sastera pada tanggapan umum, seakan-akan  berasak-asak dan mahu menggantikan    bahasa Melayu (juga budaya dan sejarah) dalam negara bangsa – sesuatu yang tidak akan tercapai dan mustahil tercapai!  Hal ini demikian, kerana pertama, kedudukan  bahasa Melayu  dalam negara bangsa memang jelas jika dibandingkan dengan sastera. Kedua, berbanding dengan sastera, dasar bahasa Melayu dinyatakan dalam bidang pendidikan, pentadbiran, dan perundangan, tanpa menafikan bahawa  ada kalanya dasar tersebut  mengalami pasang surut, dan sejak berdekad-dekad lalu, sentiasa  surut. Dasar ini merupakan ranah atau domain bahasa Melayu dalam negara bangsa. Ketiga, berkait dengan dasar, ialah dari segi wibawa atau autoriti,   bahasa Melayu  banyak mempunyai kelebihannya dan kelebihan ini sukar ditandingi oleh sastera. Misalnya,  untuk menjadi warganegara Malaysia,   seseorang itu sepatutnya dapat bertutur dalam bahasa Melayu, meskipun dari segi realiti, tidak semuanya begitu.  Sebaliknya,  seseorang itu tidak diperlukan memahami atau menghayati sastera untuk menjadi warganegara Malaysia.  Selain itu, mata pelajaran Bahasa Melayu diwajibkan lulus, sekurang-kurangnya hingga ke peringkat sekolah menengah.
Ringkasnya, jika kita  merujuk penulisan dan perbahasan negara bangsa, seperti yang diketengahkan di atas,  kedudukan   bahasa (juga budaya dan sejarah)   memang jelas. Demikian juga di Malaysia,  bahasa Melayu  merupakan sebahagian, kalaupun mungkin  bukan teras   negara bangsa, sedangkan  sastera boleh dikatakan  tidak kelihatan. 
“Sastera Teras Pembangunan Negara Bangsa” jika silap perhitungan, boleh membantut kreativiti dan menyekat kebebasan berkarya  para sasterawan atau penggiat sastera.  Hal ini demikian, kerana negara bangsa bukannya “pentas yang kukuh dan sesuai untuk sastera menari.” Pengkaryaan sastera selalunya tertumpu pada  persoalan ketidakadilan, ketidaksamaan, kepincangan,  dan percanggahan yang berlaku dalam masyarakat, seperti  percanggahan antara modal dengan buruh (juga rakyat). Atau dalam maksud lain, percanggahan antara “nilai pertukaran” yang menjadi keutamaan modal dengan “nilai gunaan” yang merupakan keperluan asas buruh (juga rakyat).  
Dalam percanggahan seperti ini, negara (the state) cenderung memihak kepada modal atau nilai pertukaran berbanding dengan buruh (juga rakyat) atau nilai gunaan. Apabila berhadapan dengan situasi ini,  suara sastera sepatutnya   kedengaran kritis kerana tindakan negara itu boleh dianggap sebagai suatu ketidakadilan dan melebarkan lagi jurang ketidaksamaan.  Namun begitu, tanggungjawab  ini pastinya tidak dapat disempurnakan oleh para sasterawan atau penggiat sastera, kerana sastera itu sendiri “bersekongkol” dengan negara,  atau dalam kata lain, sastera itu sendiri mengikat dirinya pada negara bangsa.  Maka, di sini akan terbentuk  “rantaian penundukan,” iaitu modal menundukkan negara, dan seterusnya negara menundukkan sastera.  Akibatnya,  sastera akan menjadi “alat negara” dan “hamba modal,” dan bukannya “suara rakyat.”  Dengan mengisytiharkan “Sastera Teras Pembangunan Negara Bangsa,”  nescaya sastera akan dengan mudah, lemas dalam arus perdana yang dikuasai atau didominasi oleh modal dan negara.
Sebaliknya, persoalan yang rumit seperti itu tidak dihadapi oleh bahasa Melayu kerana kedudukan bahasa ini dalam negara bangsa lebih tertumpu pada  dasar dan pelaksanaan dasar.   Tanggungjawab hakiki ahli bahasa atau ahli linguistik ialah membina dan mengembangkan bahasa Melayu. Suara mereka - selalunya atas nama pejuang bahasa - lazimnya   kedengaran apabila kedaulatan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tergugat. 

Dalam keadaan bahasa Melayu  lemah dan negara bangsa  pincang, yang jelas menunjukkan bahawa kedua-duanya, iaitu bahasa Melayu dan negara bangsa terjebak dalam “kitaran ganas,”  maka langkah yang paling wajar ialah balik ke pangkal jalan:    penegasan semula dasar bahasa kebangsaan. Hanya  dengan pemerkasaan bahasa kebangsaan, maka   negara bangsa dapat diperkukuh semula.  Kelangsungan negara  bangsa terletak pada bahasa dan bukannya sastera, tanpa menafikan budaya dan sejarah, dan pastinya, tidak wujud “laluan kedua.”  

Friday, January 23, 2015

Pembangunan dan Pemupusan


JUMAAT, 23  Januari 2015
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Pemupusan bahasa atau bahasa yang terancam terus mendapat perhatian.  Beberapa faktor telah dikenal pasti, dan diperhatikan ada hubung kaitnya dengan kepupusan habitat atau spesies.
David Crystal dalam bukunya, Language Death, mengemukakan beberapa faktor yang menyebabkan sesuatu bahasa mati, tetapi beliau juga mengakui bahawa bahasa selalu mati.  Oleh sebab budaya bangkit dan jatuh, maka demikian juga bahasa dalam budaya itu muncul dan lenyap. “Jelas bahawa bahasa mati jika semua orang yang bertutur dalam bahasa itu mati,” hujah  beliau.  “Banyak bahasa menjadi  terancam, nazak, atau pupus kerana berpunca daripada faktor yang mempunyai kesan dramatik terhadap kesejahteraan fizikal penutur bahasa berkenaan.”  Antara punca yang beliau kenal pasti ialah bencana alam (gempa bumi, taufan, tsunami, banjir, gangguan gunung berapi),  kebuluran, kemarau, dan wabak penyakit yang sesetengahnya  diimport oleh penjajah terhadap kaum peribumi.   
            “Kesan kebuluran dan wabak penyakit berkait rapat dengan faktor ekonomi,” tulis Crystal.  “Wujud kes yang tidak terkira banyaknya sekarang tentang rekod keselamatan orang ramai terjejas secara langsung oleh eksploitasi ekonomi di kawasan mereka oleh orang luar.”    Menurut beliau, penggurunan, pembasmian hutan, dan amalan pengairan yang teruk, dengan pola cuaca yang berubah juga terbabit. (Huruf condong adalah oleh Crystal sendiri.)  Apabila tanah hilang kesuburannya, tanah itu tidak mampu menyokong penduduknya, fenomena yang kelihatan berlaku berulang-ulang di Afrika pada tahun 1970-an dan 1980-an. Penghijrahan yang tidak dapat diramalkan berlaku, iaitu komuniti mendapati sukar untuk memulihara integriti mereka, dan budaya tradisional mereka dan linguistik, maka pergantungan itu pecah.
            Dalam kes apabila komuniti dipindahkan, jelas Crystal, banyak penakat (survivors), tidak bersedia dan tidak mampu untuk kekal dalam habitat mereka, menuju ke pusat penduduk, tempat mereka secara perlahan-lahan hilang jati diri budaya mereka dalam persekitaran kemiskinan.  Untuk hidup, mereka memperoleh seberapa banyak yang dapat bahasa baharu, misalnya di Brazil, bahasa Portugis. 
            Walau bagaimanapun, Crystal mengakui bahawa di sesetengah tempat di dunia, politik, dan bukannya ekonomi di sesebuah negara yang merupakan punca segera desimasi atau lesapnya komuniti.  Kerosakan mungkin  berpunca daripada perang saudara, atau konflik pada skala antarabangsa; contohnya, komuniti di Kepulauan Pasifik dan Kepulauan Lautan Hindi yang terjebak dalam Perang Dunia Kedua, dengan keterancaman bahasa satu daripada akibatnya.  Dalam pada itu, beliau juga mengakui bahawa di banyak tempat, memang sukar untuk menguraikan faktor politik dan ekonomi.  Kehilangan beberapa bahasa di Colombia, misalnya, disebabkan oleh campuran keadaan agresif. 
Hakikatnya,  kira-kira 7000 bahasa dunia yang diketahui di dunia lesap  lebih cepat daripada kepupusan spesies, seperti yang dibahaskan Emily Underwood  dalam The Huffington Post pada awal September,  dengan bahasa yang berbeza mati kira-kira setiap dua minggu.  “Kini, dengan meminjam kaedah yang digunakan dalam ekologi untuk menjejak spesies yang terancam, para penyelidik mengenal pasti ancaman utama terhadap kepelbagaian linguistik ialah pembangunan ekonomi,” hujah Underwood.  “Meskipun pertumbuhan tersebut ditunjukkan untuk menghapuskan bahasa pada masa lalu pada asas satu demi satu kes, ini kali pertama kajian untuk menunjukkan bahawa perkara itu merupakan fenomena global.”
            Beliau memetik Tatsuya Amano, ahli zoologi di University of Cambridge, United Kingdom, dan pengarang utama kajian baharu, yang berkata bahawa banyak orang mengetahui beruang kutub dan merpati penumpang yang terancam, tetapi hanya sebilangan orang mendengar bahasa yang terancam dan pupus, seperti bahasa Eyak di Alaska, yang penutur terakhir meninggal dunia pada tahun 2008, atau bahasa Ubykh di Turkie, yang penutur fasih meninggal dunia pada tahun 1992.  “Memang diketahui bahawa pertumbuhan ekonomi atau keinginan untuk mencapai pertumbuhan dapat memacu bahasa hilang.  Bahasa dominan, seperti  Mandarin dan bahasa Inggeris selalu diperlukan untuk mobiliti ke atas dalam pendidikan dan perniagaan, dan bantuan ekonomi selalunya menggalakkan penerima untuk bertutur dalam bahasa dominan.  Sementara kajian kes spesifik menunjukkan kuasa tersebut berfungsi, seperti peralihan daripada bahasa Cornish kepada bahasa Inggeris di United Kingdom dan daripada bahasa Horom kepada bahasa Inggeris di Nigeria, ini kajian pertama yang mengkaji kehilangan di seluruh dunia dan meletakkan pertumbuhan ekonomi bersama-sama kemungkinan pengaruh lain,” tambah Amano.
            Amano et al., menurut Underwood, menggunakan sumber yang paling lengkap yang dapat diperoleh melalui repositori dalam talian yang dikenali Ethnologue untuk analisis mereka.  Daripada pangkalan data itu, kumpulan penyelidik berkenaan mampu menghitung julat geografi, bilangan penutur, dan kadar kemerosotan penutur bagi bahasa di seluruh dunia, dan peta yang data yang dalam lingkungan sel grid persegi kira-kira 190 km merentas sepanjang seluruh dunia.  Meskipun mereka mampu memperoleh maklumat tentang julat dan bilangan penutur bagi lebih 90 peratus 6909 yang dianggarkan di dunia, mereka hanya dapat mengutip perincian kira-kira kadar kemerosotan atau pertumbuhan untuk sembilan peratus, atau 649 bahasa itu.
            Seterusnya, kumpulan penyelidik itu memerhatikan korelasi antara kehilangan bahasa dengan faktor, seperti Keluaran Dalam Negara (KDNK) sesebuah negara dan tahap globalisasi seperti yang dihitung oleh indeks yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.  Sebagai tambahan, mereka mengkaji faktor persekitaran, seperti ketinggian atau altitud, yang mungkin menyumbang kepada kehilangan bahasa dengan menyentuh bagaimana mudahnya komuniti dapat berhubung dan kembara.
Ethnologue yang dirujuk itu yang  merupakan pangkalan data yang menjejak situasi bahasa dunia,  menyatakan wujud dua dimensi untuk  pencirian terancam, iaitu bilangan pengguna   yang dikaitkan dengan bahasa tertentu dan bilangan jenis fungsi yang bahasa itu digunakan.  Bahasa mungkin terancam kerana wujud semakin sedikit orang yang mendakwa bahawa bahasa itu sebagai bahasa mereka, dan oleh itu, bahasa itu tidak digunakan atau tidak diperturunkan kepada anak-anak mereka.  Mungkin juga, atau secara alternatif, terancam kerana bahasa digunakan untuk semakin sedikit aktiviti harian dan oleh itu, seperti biasa kaitan rapat bahasa dengan fungsi sosial dan komunikasi tertentu.  Ethnologue menyenaraikan 373 bahasa yang pupus sejak 1950 (tahun apabila Ethnologue memulakan penerbitan).  Kadar kehilangan ialah enam bahasa setahun.
Kumpulan penyelidik yang diketahui oleh Amano itu mendapati bahawa daripada semua pemboleh ubah yang diuji, pertumbuhan ekonomi mempunyai hubungan yang paling kuat dengan kehilangan bahasa. Dua jenis kawasan khas kehilangan bahasa  muncul daripada kajian tersebut, yang diterbitkan dalam talian dalam Proceedings of the Royal Society B, iaitu wilayah maju dari segi ekonomi, seperti barat laut Amerika Utara dan selatan Australia, dan wilayah membangun dari segi ekonomi, seperti kawasan tropika dan Himalaya. Aspek geografi tertentu seakan-akan  bertindak sebagai penghadang atau ancaman, misalnya kemerosotan kelihatan berlaku lebih  pantas di kawasan iklim sederhana berbanding dengan tropika atau wilayah bergunung-ganang, mungkin kerana mudah untuk keluar masuk di wilayah iklim sederhana.  Walau bagaimanapun, kumpulan penyelidik itu menegaskan bahawa lebih banyak penyelidikan diperlukan untuk menentukan secara tepat apakah tentang pembangunan yang membunuh bahasa.  Langkah seterusnya, menurut mereka, memahami bagaimana pertumbuhan berinteraksi dengan faktor lain, seperti landskap.
Dalam abstrak Proceedings of the Royal Society B, Amano et al. menyatakan bahawa banyak bahasa di dunia menghadapi risiko serius pemupusan.  Usaha untuk mencegah kehilangan budaya ini dikekang secara teruk oleh pemahaman yang lemah tentang pola geografi dan pemacu risiko pemupusan.  Mereka menyatakan kuantiti taburan global risiko pemupusan bahasa, diwakili oleh julat kecil dan saiz populasi penutur dan kemerosotan pesat dari segi bilangan penutur, dan mengenal pasti pemacu persekitaran dan sosioekonomi.  Mereka menunjukkan bahawa kedua-duanya, iaitu julat kecil dan saiz populasi penutur berkait dengan kemerosotan pesat bilangan penutur, menyebabkan 25 peratus bahasa yang wujud diancam berasaskan kriteria yang digunakan untuk spesies. Julat bahasa dan saiz populasi kecil di wilayah tropika dan artik, terutamanya di kawasan dengan hujan lebat yang tinggi,  kepelbagaian topografi yang tinggi dan/atau populasi manusia berkembang pesat.  Sebaliknya, kemerosotan penutur baru-baru ini berlaku terutamanya di latitud  tinggi dan berkait kuat  dengan pertumbuhan ekonomi yang tinggi.
Kajian yang dijalankan oleh kumpulan penyelidik tersebut dikatakan yang pertama benar-benar padu dari segi statistik, yang menunjukkan prinsip tentang kemerosotan bahasa.  Walau bagaimanapun, kaitan dengan ekonomi masih diragui kerana bahasa yang terancam berpunca daripada dasar sejarah yang memaksa generasi muda mengetepikan bahasa ibunda mereka untuk mempelajari bahasa utama dunia, seperti bahasa Inggeris. Selain itu, analisis kajian tersebut tidak memasukkan faktor wabak penyakit, pembunuhan, dan genosid, yang juga memainkan peranan penting.
Kepincangan pembangunan dan pertumbuhan ekonomi sering didedahkan, kerana pada masa yang sama, wujud ketidaksamaan, jurang antara golongan kaya dengan golongan miskin semakin melebar, pembangunan tidak seimbang.  Pertumbuhan yang pesat tidak menghasilkan kesan lelehan dalam erti kata bahawa golongan bawahan tidak menikmati faedah pertumbuhan itu. Sementara itu,   kajian terbaru menunjukkan bahawa pembangunan dan pertumbuhan ekonomi merupakan faktor sesuatu bahasa terancam atau pupus.  Nampaknya, pengorbanan yang perlu ditanggung atau harga yang perlu dibayar untuk pembangunan amat tinggi.

(Nota:  Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Bahasa, November 2014, dengan judul, “Harga Sebuah Pembangunan.”)

Wednesday, January 21, 2015

Pertembungan Dalaman

RABU, 21  Januari 2015
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Antara kritikan terhadap “pertembungan peradaban” Samuel Huntington, adalah bahawa pertembungan tidak semestinya berlaku antara peradaban,  tetapi juga dalam peradaban itu sendiri, seperti  yang berlaku dalam Kristian, iaitu antara Katolik dengan Protestan, dan dalam Islam, iaitu  antara Sunah dengan Syiah. 
            Dalam The Clash Within: Democracy, Religious Violence and India‘s Future, Martha C.  Nussbaum, menggunakan  persengketaan agama di Gujarat pada tahun 2002, yang terburuk dalam sejarah India, antara penganut Hindu dengan orang Islam, untuk mencabar tesis terkenal Huntington, dan cuba mengemukakan alternatif.  Nussbaum berhujah bahawa pertembungan sebenar bukannya antara Islam dengan Barat, tetapi dalam negara itu sendiri, iaitu antara orang yang “bersedia untuk hidup dengan orang lain yang berbeza, dari segi hormat yang sama rata, dengan mereka yang mencuba mencari perlindungan kehomogenan, dicapai menerusi dominasi atau penguasaan satu agama dan tradisi etnik.”
            Dalam Islam, pertembungan dalaman, antara Sunah dengan Syiah berlaku sejak sekian lama dan kelihatan sukar, dan bahkan kini, semakin sukar untuk reda.   Dua buah negara yang bersaing demi kepimpinan Islam, iaitu Arab Saudi Sunah dan Iran Syiah, dikatakan menggunakan perpecahan taifah demi meneruskan cita-cita besar mereka dalam percaturan geopolitik, dan penyatuan antara kedua-dua buah negara ini agak mustahil. Sebagai contoh, penguasaan Taliban di Afghanistan sebelum negara itu diserang oleh Amerika Syarikat pada tahun 2001, mendapat sokongan Arab Saudi, tetapi ditentang oleh Iran, kerana taifah Sunah dan Syiah.
            Sementara itu, di Iraq, penggulingan Presiden Saddam Hussein,  Sunah,  pada tahun 2003, membolehkan Syiah,  golongan majoriti,  mengambil alih kepimpinan dengan bantuan Amerika Syarikat. Namun begitu, yang terbukti  sekarang, pemimpin demokrat   Perdana Menteri Nouri al-Maliki tidak setanding  pemimpin autokrat Saddam, dan akibatnya,   Iraq terhumban  ke dalam kancah persengketaan taifah.   Al-Maliki dilaporkan  memijak-mijak pengikut Sunah sebaik-baik sahaja beliau berkuasa.  Pengikut Sunah dipaksa meninggalkan jawatan kerajaan dan ketenteraan, dan pasukan keselamatan al-Maliki dilaporkan menyerang pengikut Sunah yang mengadakan tunjuk perasaan secara aman.  Banyak pengikut Sunah kini melihat beliau tidak ubah seperti versi Syiah Saddam.  Seburuk-buruk Saddam, sekurang-kurangnya pada zaman beliau persengketaan taifah dapat dibendung  dan Iraq  stabil.
            Iraq  dianggap tonggak budaya kosmopolitan yang berkembang maju, dan sepatutnya kekal sebagai negara kosmopolitan bersatu.   Rakyat  Iraq dianggap mampu dan mereka akan menyediakan model pluralisme demokrasi untuk seluruh Timur Tengah, termasuk Iran.  Justeru,  pembahagian negara itu kepada tiga negara yang dikuasi oleh Syiah, Sunah, dan Kurdis, yang tidak menghargai rupa bentuk masyarakat Iraq akan dengan pantas jatuh ke dalam tangan pemerintahan taifah yang ganas dan puak cauvinis.  Rakyat Iraq Sunnah dilaporkan  tidak mahu negara mereka dipecah-pecahkan, mereka hanya mahu kesamaan.  Bagi rakyat Iraq Syiah, takrif  kesamaan adalah kekal keseluruhan, tetapi di bawah kerajaan yang dikuasai oleh Syiah.
            Perpecahan agama purba   turut menyumbang kepada  kebangkitan semula konflik di Timur Tengah dan negara Islam.  Pertarungan antara tentera Sunah dengan Syiah mengheret Syria ke dalam kancah perang saudara yang mengancam untuk mengubah peta Timur Tengah, mencetuskan keganasan yang memecah-belahkan Iraq, dan melebarkan rekahan di beberapa negara Teluk yang tegang.  Pertembungan taifah yang semakin menjadi-jadi juga merangsang  kebangkitan semula rangkaian jihad transnasional yang memberikan ancaman melampaui  Timur Tengah.
            Kedua-dua taifah Islam ini membaca al-Qur’an dan percaya Nabi Muhammad S.A.W. Pesuruh Allah.  Kedua-duanya berpegang pada Rukun Islam yang sama dan mempercayai hukum Syariah, meskipun mereka mempunyai tafsiran yang berbeza.  “Akan tetapi, di sebalik  persamaan itu,” hujah  Jim Maceda dalam NBC News,  “Sunah dan Syiah berpecah-belah hampir 1400 tahun.  Kunci perbezaan teologi adalah tentang pemilihan pengganti  Rasulullah.  Perseteruan politik dan bukannya  kepercayaan agama  punca perpecahan antara dua taifah ini.  Sepanjang zaman, perseteruan ini mencetuskan peperangan, di samping perrgaduhan semasa.”
            Dalam keluaran 30 Jun, Time mencatatkan  kebencian purba antara Sunah dengan Syiah yang bermula pada tahun 632 apabila orang Islam tidak bersetuju siapakah sepatutnya menggantikan Nabi Muhammad S.A.W. yang wafat pada tahun itu. Satu kumpulan percaya kepimpinan sepatutnya kekal dalam kalangan keluarga Baginda, dan diberikan kepada Sayidina Ali.  Mereka dikenali sebagai pengikut Ali, atau Syiah.  Satu kumpulan lagi, Sunah, percaya komuniti   Islam sepatutnya menentukan kepimpinan baru melalui konsensus.  Seterusnya, dua empar Islam berjuang  untuk dominan atau ketuanan.  Kira-kira tahun 1500, Safavid mewujudkan kawasan zaman moden Iran sebagai Syiah.  Pengikut Syiah secara beransur-ansur menyatukan Empayar Parsi  dan membezakannya dengan Empayar Ottoman Turki, yang merupakan Sunah. Rekahan zaman moden berlaku apabila Amerika Syarikat menceroboh Iraq dan menggulingkan Saddam Hussein, membolehkan kerajaan yang dipimpin oleh Syiah berkuasa.  Akan tetapi, perpecahan taifah berterusan sehingga mencetuskan kacau-bilau di Iraq, hampir membawa kepada perang saudara pada tahun 2006 – 2007.
            Michael Crowley yang menulis rencana utama majalah itu, “Iraq’s Eternal War,”  menegaskan bahawa orang Barat yang cuba mengawal Timur Tengah lebih satu abad  selalunya terkial-kial untuk memahami agama yang mentakrifkan rantau ini.  Menurut Crowley, Barat sekular hanya dapat memahami budaya yang agama merupakan kerajaan adalah  bahawa Islam berpecah antara  Sunah dengan  Syiah sejak Nabi Muhammad S.A.W. wafat. “Selama berabad-abad, dua taifah ini memajukan budaya, geografi, dan jati diri politik yang berbeza  yang sangat melampaui asal usul agama tentang perpecahan itu.”
            Persengketaan taifah menjadi semakin  sengit apabila pada pertengahan Jun tahun ini pejuang  Negara Islam Iraq dan Syria (ISIS atau ISIL) merobohkan garisan sempadan di antara Syria dengan Iraq dan menguasai beberapa bandar di Iraq, seperti  Mosul, Kirkuk,   dan Tikrit, dan bersiap sedia untuk menawan Baghdad. ISIS  mengawal liputan tanah yang memanjang dari timur Syria ke tengah Iraq.  Dengan ISIS bergerak pantas, maka Iraq kelihatan runtuh dan negara itu akan berpecah kepada negara Sunah, Syiah, dan Kurdis.  Pada hari pertama Ramadan, jurucakap ISIS mengumumkan penubuhan semula “khalifah.”  Dalam pada itu, Iran bersama-sama Rusia menunjukkan komitmen untuk menangkis kemaraan  ISIS, manakala Amerika Syarikat menghantar beratus-ratus orang penasihat  ketenteraan kepada kerajaan Iraq yang masih bertahan di Baghdad.  Sementara puak militia Syia yang setia kepada pemimpin Syiah Muqtada al-Sadr, bersumpah untuk mempertahankan Baghdad daripada pemberontakan yang diketuai oleh ISIS.
            Melihat pergolakan terbaru di Timur Tengah dengan kebangkitan ISIS yang cuba melakarkan peta baru rantau itu, Shlomo Ben-Ami, berhujah bahawa sejarah kerap kali dibentuk oleh kuasa yang tidak bersifat peribadi yang sangat besar, seperti agama, jati diri etnik, dan sikap budaya yang tidak terbuka untuk penyelesaian berasaskan kekuatan, apatah lagi campur tangan tentera asing. “Bahkan, negara Arab betul-betul meledak kerana ketidakmampuan mereka untuk menyatukan kepelbagaian agama dan etnik,” tulis Ben-Ami untuk Project Syndicate. “Dunia Arab berjuang untuk mewujudkan orde sosiopolitik yang berdaya maju bukannya mudah.  Sememangnya, Syria dan Iraq dan kini terdiri daripada kuasi-negara Kurdis, Syiah, dan Sunah yang berasingan, dengan Sunah berkembang ke Syria mungkin bukan merupakan negara terakhir di rantau ini menghadapi cabaran terhadap sempadan arbitrari yang dibina di rantau ini oleh kuasa kolonial pada akhir Perang Dunia Pertama.
            Mengapa negara berpecah?  Persoalan ini cuba dijawab oleh Benjamin Miller dalam Foreign Policy, yang melihat wujud persamaan tentang pertumpahan darah  yang berlaku di Timur Tengah sekarang dengan keganasan terbaru di ruang bekas Soviet.  Kedua-dua konflik, hujah beliau, berpunca daripada sumber yang sama, demikian juga konflik utama lain di seluruh dunia.  Dalam setiap konflik itu, wujud ketidakserasian antara sempadan negara dengan jati diri nasional, iaitu ketidakseimbangan antara negara dengan bangsa.  “Negara ialah set institusi yang mentadbir wilayah tertentu; bangsa terdiri daripada orang yang dalam pandangan mereka, berkongsi trait bersama (bahasa, sejarah, budaya, agama) yang melayakkan mereka untuk berpemerintahan sendiri,” tulis Miller.  Percakaran terbaru di Timur Tengah, menurut beliau, mungkin kelihatan seperti konflik taifah.  Lagipun, kumpulan yang diterajui oleh Sunah di Iraq, Lubnan, dan Syria, semuanya disokong negara Sunah di Teluk,  adalah bersengketa dengan pakatan kerajaan Syiah Iran, Iraq, dan hezbullah di Lubnan.  Akan tetapi, banyak orang di negara ini tidak fikir bahawa sistem negara Sykes-Picot, yang diwujudkan oleh kuasa kolonial Barat, memenuhi tuntutan kesahan terhadap penentuan nasib sendiri nasional.
            Seperti yang diperhatikan oleh Fareed Zakaria, di sekeliling dunia hari, kita menyaksikan kebangkitan jenis lain nasionalisme, sesuatu yang lebih gelap dan lebih banyak membawa kesusahan.  Dalam makalah yang kebetulan  bersempena Hari Kemerdekaan Amerika Syarikat pada 4 Julai, Fareed menulis dalam The Washington, “Identiti, Not ideology, is Moving the World,” merujuk pilihan raya Parlimen Eropah baru-baru ini, yang menyaksikan kemenangan besar  parti nasionalis, populis, dan xenofobia di United Kindom, Perancis, dan Greece. Pola pengundian yang sama kelihatan di Austria, Denmark, Belanda, Finland, dan Sweden yang berkembang maju dari segi ekonomi.  Dan semua parti yang menang besar menumpukan agenda mereka bukan terhadap ekonomi, tetapi imigresen dan pernyataan lain tentang nasionalime.  “Anda dapat lihat kebangkitan nasionalisme bukan hanya di Eropah, tetapi juga di seluruh dunia: Jepun, Rusia, Turki, dan China,” tulis Fareed.
            Menurut Fareed, globalisasi dan revolusi teknologi yang bergerak maju dan mengubah dunia menyebabkan orang ramai berasa tidak senang dengan kepesatan perubahan dan mencari sesuatu untuk dipegang untuk memberikan pertolongan dan kestabilan. “Jika ikatan lebih kuat di peringkat bangsa, maka nasionalisme meluap,” bahas Fareed.  “Akan tetapi, jika projek nasional lemah atau dianggap tidak sah, maka anda lihat tarikan kuasa lama yang lebih dalam.  Dari Catalonia ke Scotland ke Timur Tengah, jati diri subnasional mengambil  makna baru dan keterdesakan.”
            Fareed mengakhiri  tulisannya dengan memetik Samuel Huntington yang mencatatkan sejak lama dahulu bahawa kuasa bawah ke atas yang kelihatan menggerakkan dunia hari ini ialah jati diri politik, sedangkan pada zaman globalisasi, golongan elit membincangkan ideologi politik.
            Ketika globalisasi dengan rakusnya menerobos dunia, iaitu pada tahun 1990-an, banyak orang menjangkakan kedaulatan dan kewibaan negara bangsa tergugat atau terhakis.   Walau bagaimanapun,   yang berlaku, sesetengah negara bangsa memperkukuh cengkaman terhadap  kedaulatan dan kewibawaan  untuk menangkis rempuhan globalisasi. Justeru,  dirumuskan bahawa  globalisasi hanya  terbatas pada ekonomi dan maklumat, pada takat tertentu, keganasan dan wabak penyakit, tetapi politik terus berkubu kuat, atau dengan kata lain, kebangkitan etnisiti: respons politik terhadap globalisasi ekonomi. Sebagai contoh,  India,   kerana globalisasi menjadi lebih Hindu.
          (Nota:   Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Budaya, November 2014.)

Saturday, January 17, 2015

Pupus Habitat Pupus Bahasa

SABTU, 17 Januari 2015
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH






“Pupus bahasa pupus bangsa,”   demikian pesan beberapa pejuang bahasa apabila  pada tahun 1990-an kerajaan mula  memperkenalkan beberapa dasar yang dianggap  menjejaskan  masa depan bahasa Melayu.  “Bahasa jiwa bangsa.” Sebagai peringatan,  Palestin dikatakan  bangsa yang dicipta kerana tidak wujud bahasa Palestin, yang wujud bahasa Arab. Sesuatu bahasa itu dikatakan pupus apabila penutur terakhir bahasa itu tidak wujud   lagi atau meninggal dunia.
Meskipun kepelbagaian linguistik global menarik, keadaan ini semakin merosot.  Pada tahun 2011, David Harmon dan Jonathan Loh,  yang mengendalikan Index of Linguistic Diversity (ILD),  memberikan amaran tentang potensi “pemupusan massa” linguistik pada abad ke-21.  ILD merupakan ukuran kuantitatif yang pertama yang pernah wujud  tentang trend dalam kepelbagaian linguistik global, menyatakan bahawa  hanya 80 peratus bahasa yang dituturkan pada tahun 1970 masih wujud pada 2005.  Dengan kata lain, dalam masa 35 tahun, kepelbagaian linguistik global berkurangan sebanyak 20 peratus.  Kepelbagaian linguistik peribumi,  bahkan merosot lebih ketara di kebanyakan wilayah di dunia.  Sebanyak 16 bahasa dunia yang besar meningkatkan bahagiannya daripada penduduk dunia daripada 45 peratus (1970) kepada 55 peratus (2005).
            Walaupun wujud 7000 bahasa yang dituturkan pada 2011, kepelbagaian linguistik global merosot dan bilangan penutur bahasa ini sangat tidak seimbang.  Beberapa bahasa setiap satu mempunyai banyak penutur, manakala banyak bahasa lain setiap satu mempunyai bilangan penutur yang kecil. Bahkan, agihan ini, menurut ILD, terlalu terpencong, iaitu separuh penduduk dunia bertutur satu atau bahasa lain daripada hanya 25 bahasa “besar,” manakala selebihnya, 6975 atau lebih bahasa.  Dan bahasa kecil ini semakin hilang daya saing  kepada bahasa “besar” ini. Daripada jumlah bahasa “besar”  itu, 10   teratas  terdiri daripada Cina (Mandarin), Sepanyol, Inggeris, Hindi, Bengali, Portugis, Rusia, Jepun, Jerman (Standard), dan Jawa. 
            Menurut ILD, bahasa yang dituturkan oleh kaum peribumi, yang terdiri daripada 80 peratus hingga 85 peratus bahasa dunia, terutamanya terjejas.  Kadar global kemerosotan untuk bahasa peribumi pantas sedikit (21 peratus) berbanding purata global untuk semua bahasa, dengan variasi yang sangat besar antara wilayah di dunia.  Antara tahun 1970 hingga 2005, kepelbagaian linguistik peribumi merosot kira-kira 60 peratus di Amerika (Americas), 30 peratus di Pasifik, dan 20 peratus di Afrika.
            Kemerosotan dramatik kepelbagaian linguistik adalah berpunca daripada tekanan sosial dan ekonomi yang semakin menjadi-jadi yang mendorong atau bahkan memaksa orang ramai beralih daripada bahasa yang pada am lebih kecil, lebih terhad dari segi geografi, terutamanya bahasa global, seperti Cina Mandarin, Hindi, Inggeris, atau Sepanyol, atau bahasa dominan dari segi wilayah, seperti Swahili. 
Wujud petunjuk baharu tentang kepupusan sesuatu bahasa, iaitu apabila hutan dibersihkan dan spesies lenyap, berlaku kehilangan lain, iaitu bahasa.   Jonathan Loh dan David Harmon  dalam  laporan  mereka,  Biocultural Diversity: Threatened Species, Endangered Languages,  menegaskan wujud keselarian yang jelas antara spesies dengan bahasa, dan ahli bahasa mengenal pasti kira-kira 7000 bahasa yang dituturkan di dunia.  Menurut analogi  dengan takrif tentang spesies, dua orang manusia dikatakan bertutur dalam bahasa yang sama jika mereka dapat memahami antara satu sama lain.  Jika mereka dapati mereka tidak dapat memahami antara satu sama lain, mereka bertutur dalam bahasa yang berbeza. Dialek menurut takrif ini, ialah seakan-akan sama dengan subspesies: komunikasi adalah mungkin antara dua individu, meskipun hal ini bukan mudah.
Kedua-dua penyelidik itu, iaitu Loh dan Harmon memetik Charles Darwin dalam The Descent of  Man (1874),  untuk menunjukkan keselarian antara spesies dengan bahasa:  “Pembentukan bahasa yang berbeza dan spesies yang berbeza, dan bukti bahawa kedua-duanya berkembang menerusi proses beransur-ansur, adalah peliknya selari...  Sebagaimana spesies, bahasa apabila pupus, seperti yang ditegaskan oleh Sir C. Lyell, tidak akan muncul semula.”
Bahasa boleh pupus, sama ada kerana seluruh penduduk penutur meninggal dunia, atau yang sangat lazim kerana penutur beralih kepada bahasa yang berbeza, dan tipikalnya dalam beberapa generasi, lupa akan bahasa ibunda mereka.  Hal seperti ini terjadi,  menurut Loh dan Harmon, kerana  alasan sosial dan ekonomi, seperti perdagangan dan penghijrahan, atau menerusi dasar penyatuan bahasa dengan sengaja oleh kumpulan dominan. 
Walau bagaimanapun, Loh yang muncul bersama-sama Luisa Maffi, Harmon dalam wawancara dengan David Braun dari National Geographic News Watch tentang ILD, menegaskan bahawa apabila bahasa pupus, tidak semestinya bermakna bahawa kumpulan etnik yang bertutur dalam bahasa itu akan pupus.
“Penjajahan, globalisasi, dan perpindahan ke bandar yang berlaku di seluruh dunia dalam masa 30 tahun lalu, sebilangan kecil bahasa global semakin  menguasai: 95 peratus penduduk dunia bertutur satu daripada hanya 400 bahasa, setiap bahasa dituturkan oleh berjuta-juta orang, dan 40 peratus daripada kita bertutur satu daripada hanya lapan bahasa, iaitu Mandarin, Sepanyol, Inggeris, Hindi, Portugis, Bengali, Rusia, dan Jepun,” tulis Loh dan Harmon.   “Globalisasi perdagangan dan media, dan kemajuan teknologi dalam bidang pengangkutan dan komunikasi, mempercepat proses anjakan bahasa, seperti dasar  pemiliknegaraan yang mengutamakan bilangan kecil bahasa, meningkatkan tekanan terhadap bahasa yang mempunyai beribu-ribu orang atau sebilangan penutur, merangsang dominan bahasa yang mempunyai berjuta-juta orang penutur.  Oleh sebab bahasa ialah medium utama penyaluran budaya, kepelbagaian linguistik dan kepelbagaian budaya adalah berkurangan serentak,”
Kebanyakan bahasa diancam kepupusan adalah secara evolusi agak berbeza daripada sebilangan bahasa dunia yang dominan, dan demikian juga bahasa itu mewakili budaya yang sangat berbeza.  Hampir semuanya dituturkan oleh kaum peribumi, sesetengahnya masih hidup secara tradisional di tanah leluhur mereka, meskipun hal ini menjadi jarang-jarang. Bersama-sama bahasa, pengetahuan tradisional budaya peribumi ini dilupakan, jelas Loh dan Harmon.  Nama, penyediaan perubatan dan spesies makanan, kedua-duanya, iaitu tumbuh-tumbuhan dan haiwan, dan kaedah tradisional perladangan, perikanan, perburuan, dan pengurusan sumber asli, semunya lenyap, tidak perlu disebut banyaknya kepercayaan rohaniah dan agama yang selalu dikaitkan dengan penggunaan tanah tradisional dan pengurusan sumber yang seperti bahasa itu sendiri adalah pelbagai dan banyak. Khazanah ilmu yang sangat besar ini yang berkembang dan dikumpulkan selama berpuluh-puluh ribu tahun boleh hilang hanya dalam dua abad, iaitu abad ke-20 dan ke-21.
“Wujud hubungan langsung antara habitat yang lesap dengan kehilangan bahasa,” bahas John Vidal.   “Satu dalam empat daripada 7000 bahasa yang dituturkan di dunia kini menghadapi risiko lenyap selama-lamanya kerana ancaman terhadap kepelbagaian bio budaya (cultural biodiversity) meningkat.”  Daripada jumlah itu, kini separuh mempunyai kurang daripada 10,000 orang penutur, dan 3500 bahasa ini dituturkan oleh hanya 0.1 peratus penduduk dunia, setara dengan kota kira-kira sebesar London. Lapan juta orang ini kini bertanggungjawab memastikan khazanah  sejarah budaya manusia terus hidup.
Vidal yang menulis dalam The Observer merujuk laporan  Loh dan Harmon itu,  menyatakan bahawa New Guinea mempunyai kira-kira 1000 bahasa, tetapi oleh sebab perubahan politik dan pemupusan hutan berlaku dengan pesat, halangan semula jadi yang pernah membolehkan banyak bahasa berkembang dalam pengasingan telah runtuh. Hal ini merupakan bahagian proses yang melihat bahasa merosot apabila kepelbagaian bio merosot.  Para penyelidik mewujudkan korelasi antara perubahan persekitaran tempatan, termasuk pemupusan spesies dengan kehilangan bahasa yang dituturkan oleh komuniti yang mendiami persekitaran itu. “Sementara kira-kira 21 peratus semua mamalia, 13 peratus burung, 15 peratus reptilia, dan 30 peratus amfibia terancam, kira-kira 400 bahasa difikirkan akan  menjadi pupus pada masa yang sama.”        
“Hutan ditebang.  Banyak bahasa hilang.  Kaum imigran datang dan banyak orang meninggalkan kawasan kediaman mereka untuk mencari pekerjaan di tanah rendah dan di kota. Kerajaan Indonesia melarang kami bertutur dalam bahasa kami di sekolah,” kata Benny Wenda dari tanah tinggi Papua Barat, seperti yang dipetik oleh Viral.
New Guinea, pulau kedua terbesar di dunia, bukan hanya tempat yang bahasa paling pelbagai di dunia, tetapi juga salah sebuah tempat yang paling kaya dari segi biologi.  Hari ini, kedua-duanya, iaitu hidupan liar dan bahasanya terancam.  Menurut ahli bahasa dan pengarang Asya Pereltsvaig, yang dipetik oleh Vidal, bahasa Bo dituturkan oleh 85 orang, Ak oleh 75 orang, dan Karawa hanya oleh 63 orang.  Likum dan Hoia Hoia sekitar 80 orang penutur, dan Abom hanya 15 orang. Guramalum di Wilayah New Ireland pada hitungan terakhir hanya ada tiga orang penutur dan Lua bahasa yang paling pupus, dengan seorang penutur yang dirakamkan pada tahun 2000.  (Lua kini dinyatakan bahasa pengaturcaraan komputer yang paling berjaya.)
John Vidal juga menjelaskan bahawa bahasa tidak semestinya pupus kerana seluruh penduduk penutur bahasa itu meninggal dunia, tetapi kerana penutur minoriti, b biasanya peribumi, anjakan bahasa kepada bahasa yang lebih dominan, dan secara tipikal, dalam beberapa generasi, hilang bahasa ibunda mereka.
Apakah kita tidak lagi memerlukan ahli bahasa, ahli sains sosial, atau penyelidik untuk mengingatkan kita  tentang kepupusan sesuatu bahasa?  Memadai dengan memerhatikan pokok yang ditebang, hutan belantara yang dibersihkan,  bukit-bukau yang digondolkan, haiwan yang pupus,  dan spesies yang lenyap,  kerana dari situ, kita dapat   menjangkakan  sesuatu bahasa itu sedang terancam.

(Nota:  Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Bahasa, Oktober 2014.)

Wednesday, January 14, 2015

Mandat Makroekonomi

RABU, 14  Januari 2015
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH





Seandainya Barack Obama tewas di tangan Mitt Romney, penjelasan yang mudah ialah ekonomi mengalahkan beliau.  Misi Romney sejak awal lagi adalah mudah, iaitu ledakan mesej bahawa Obama mengambil ekonomi yang buruk dan menjadikannya teruk, manakala yang lain menyusul, iaitu pengangguran di sekitar lapan peratus dan selama empat tahun berturut-turut defisit bertrilion dolar. 
Kemenangan Obama dalam Pilihan Raya Presiden tahun 2012, seperti yang dihujahkan oleh G.I., bukan sekadar kemenangan untuk  peribadi beliau semata-mata, tetapi untuk makroekonomi.  G.I. yang menulis dalam The Economist, memetik tinjauan pendapat keluar yang menunjukkan para pengundi secara keseluruhannya bersetuju bahawa ekonomi dalam keadaan teruk, tetapi mereka lebih cenderung menyalahkan George W. Bush berbanding dengan Presiden Obama.  Ahli strategi dan ahli demografi akan memetik pentingnya faktor bukan ekonomi untuk menjelaskan kemenangan Obama: sokongan yang besar daripada pengundi Hispanic, kejayaan beliau menangani Taufan Sandy, mesej yang disasarkan di Ohio tentang pelan penyelamat auto, dan kelebihan permainan padang. 
Namun, hujah G.I. ekonomi yang teruk semakin baik sepatutnya, dan sebenarnya, menghasilkan pilihan raya yang sengit.  “Ekonomi mula meningkat pada musim panas.  Pada Hari Pilihan Raya, pasaran saham dan keyakinan pengguna balik kepada tahap yang dicapai sebelum Obama menjadi Presiden, dan pengangguran akhirnya turun kepada di bawah lapan peratus.”  G.I. sekali lagi memetik tinjauan pendapat keluar,  empat dalam 10 orang pengundi berkata ekonomi lebih baik dan 88 peratus pengundi berkenaan memilih Obama.
Andrew Kohut, Presiden Pew Research Center yang menulis tentang silap membaca Pilihan Raya tahun 2012 dalam The Wall Street Journal, bahawa memeranjatkan, Romney tidak dapat mengeksploitasikan kelemahan besar Obama, iaitu ekonomi.  Sebanyak 76 peratus responden tinjauan pendapat keluar menarafkan ekonomi negaa “teruk” atau hanya “berpatutan,” dan hanya 25 peratus berkata kewangan mereka adalah lebih baik jika dibandingkan dengan empat tahun lalu.  Namun, para pengundi menyatakan keyakinan yang agak seimbang terhadap keupayaan Obama menangani ekonomi (48 peratus) berbanding dengan Romney (49 peratus).
Sepanjang tahun 2012, ekonomi dan pekerjaan menjadi perhatian utama para pengundi.  Hal ini   meletakkan penjawat kini dalam keadaan serba tidak kena apabila pada hari Jumaat pertama setiap bulan,  Biro Perangkaan Buruh Amerika Syarikat mengumumkan laporan pekerjaan, dengan kadar pengangguran lebih lapan peratus.l Hanya pada bulan September turun kepada 7.8 peratus,  kemudian meningkat semula kepada 7.9 peratus pada Oktober, yang diumumkan beberapa hari sebelum Hari Pilihan Raya. Tinjauan pendapat demi tinjauan pendapat menunjukkan bahawa Romney lebih baik daripada Obama tentang soalan siapakah calon yang akan menangani ekonomi dan mewujudkan pekerjaan yang lebih baik.  Kali terakhir Presiden dipilih semula apabila kadar pengangguran lebih 7.2 peratus adalah pada tahun 1936, apabila Franklin D.  Roosevelt  menang besar.  Republikan menjangkakan Obama mengalami nasib seperti Jimmy Carter pada tahun 1980, yang tewas kerana ekonomi yang teruk.
Namun, diiakui bahawa Romney silap membaca para pengundi, mengandaikan bahawa ekonomi yang lembap akan secara automatik, menyebabkan mereka menentang Presiden.  Walau bagaimanapun, banyak pengundi yang menyalahkan kemelesetan terhadap bekas Presiden Bush dan Wall Street, dan semakin membiasakan diri mereka dengan pertumbuhan ekonomi secara perlahan-lahan.
Tinjauan pendapat yang disiapkan  pada minggu pilihan raya oleh peninjau pendapat Demokratik, iaitu Geoff Garin dan dibiayai oleh kumpulan bebas yang menyokong Obama, menurut The Wall Street Journal, menunjukkan kempen Obama berjaya dari segi memujuk para pengundi bahawa dasar ekonomi Romney akan memudaratkan  orang seperti mereka.  “Hanya 38 peratus pengundi mengatakan bahawa jika Romney dipilih sebagai Presiden, dasar ekonomi beliau akan baik untuk orang seperti mereka.  Secara perbandingan, 44 peratus pengundi mengatakan dasar Presiden Obama baik untuk orang seperti mereka.”
Daniel Gross yang menulis dalam The Daily Beast, beberapa hari sebelum Hari Pilihan Raya, ekonomi membawa beberapa berita baik, iaitu perbelanjaan pengguna,  pekerjaan, pasaran perumahan, sektor pembuatan, dan sektor auto, semuanya kelihatan meningkat.  Hal ini baik untuk Obama dan baik untuk Amerika.  “Jauh daripada merosot,” tulis Gross, “ekonomi Amerika Syarikat berkembang dan pulih. Kitaran berbudi  tentang pengguna yang yakin, meningkatkan aktiviti dalam negara dan lebih banyak pekerjaan, semuanya turut  menjelaskan mengapa Presiden Obama bersiap sedia untuk menang pemilihan semula minggu depan bukan kerana  prestasi ekonomi dalam empat tahun lalu, tetapi kerana prestasi ekonomi dalam tiga tahun lalu.”
Ekonomi Amerika Syarikat yang lebih baik, misalnya pertumbuhan sekitar dua peratus dan kadar pengangguran di bawah lapan peratus, meletakkan Mitt Romney dalam keadaan sukar untuk bertarung di medan yang beliau mempunyai kelebihan atau kekuatan berbanding dengan Barack Obama: ekonomi.  Bahkan, kempen Obama yang pada mulannya bercakap tentang rangsangan, tetapi menjelang pilihan raya, mereka berani membangkitkan rangsangan yang dilaksanakan oleh Obama yang melibatkan peruntukan lebih AS$700 bilion.
Tidak dapat dinafikan bahawa secara keseluruhannya, ekonomi Amerika Syarikat lebih baik daripada yang berlaku empat tahun lalu. Simon Kennedy yang menulis dalam Bloomberg pada pertengahan November, menegaskan bahawa “ekonomi mempunyai pucuk hijau dari China ke Amerika Syarikat kerana data memeranjatkan.”   Kedua-dua buah negara itu, sumber kembar tradisional dunia dari segi pertumbuhan, jelas beliau, menyemai benih untuk mengeluarkan ekonomi dunia daripada kelembapan pertengahan tahunnya.  Dalam kalangan pucuk hijau yang menunjukkan pengembangan yang pantas: permintaan yang semakin kuat terhadap perumahan dan pengambilan pekerja di Amerika Syarikat dan meningkatnya output dan jualan runcit di China.  Bertanggungjawab untuk satu pertiga ekonomi dunia, dua buah negara ini kini menyediakan balast dari segi antarabangsa kerana  Eropah dan Jepun beku.
            Joseph Stiglitz  berhujah bahawa jika warga dunia boleh mengundi, pastinya mereka memihak kepada Barack Obama, berdasarkan “dasar ekonomi” antara kedua-dua calon itu.  Dalam makalah yang diterbitkan dalam The Guardian beberapa hari sebelum Hari Pilihan Raya, Penerima Hadiah Nobel Ekonomi itu menegaskan bahawa   “exceptionalism  Amerika mungkin mendapat sambutan  baik di Amerika Syarikat, tetapi sambutan dingin di luar negara.”  Kapitalisme gaya Amerika Syarikat, hujah beliau, tidak cekap dan tidak stabil.  Dengan pendapatan kebanyakan rakyat Amerika beku selama satu setengah dekad, maka jelas model ekonomi Amerika Syarikat, tidak memanfaatkan kebanyakan warganya, apa-apa sekalipun data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK)  katakan.  “Sesungguhnya, model ekonomi negara ini meletup sebelum tempoh perkhidmatan  Presiden George W. Bush berakhir.”
Stiglitz mengkritik dasar penguncupan yang dicadangkan oleh Romney dalam usaha untuk mengurangkan defisit sebelum tiba masanya, meskipun ekonomi negara itu masih lemah, yang pasti melemahkan pertumbuhan yang telah pun anemia, dan jika krisis euro semakin teruk, nescaya boleh mencetuskan satu lagi kemelesetan.
Cabaran utama yang dihadapi oleh Obama sebelum beliau meneruskan tempoh penggal keduanya, adalah untuk mengelakkan fiscal cliff berikutan tidak wujud kesepakatan antara pentabdiran beliau dengan Kongres tentang saiz tahap perbelanjaan kerajaan dan kadar cukai.  Kongres enggan meningkatkan had peminjaman kerajaan Amerika Syarikat, yang ditetapkan oleh statut. 
Sementara Obama pula bertegas untuk memberikan pelepasan cukai hanya kepada isi rumah  berpendapatan AS$250,000 setahun ke bawah .  Dengan kata lain, beliau tidak akan bertolak ansur untuk menaikkan cukai bagi golongan kaya, sebaliknya Dewan Perwakilan yang dikuasai oleh Republikan enggan menaikkan cukai  untuk setiap isi rumah.  Obama mengingatkan anggota Perwakilan daripada Republikan bahawa kemenangan beliau dalam pilihan raya baru-baru ini  menandakan bahawa beliau mendapat mandat. Obama dilaporkan merancang untuk menaikkan cukai terhadap perbadanan dan golongan kaya sebanyak AS$1.6 trilion sepanjang dekad akan datang. Sebaliknya, Speker Dewan Perwakilan, John Boehner mencadangkan bahawa tahun 2013 ialah tahun untuk menyelesaikan persoalan yang tertangguh tentang pencukaian dan perbelanjaan. 
Obama diperhatikan melacarkan  lobi yang pesat untuk menghidarkan kenaikan cukai yang besar dan pemotongan belanjawan,   mengadakan pertemuan dengan beberapa  tokoh Wall Street dan berbincang dengan  tokoh korporat kanan, termasuk Jamie Dimon daripada JPMorgan Chase dan pelabur terkenal, Warren Buffett.  Dalam usaha untuk mendesak Kongres menyokong pendekatannya, Obama juga mengadakan pertemuan dengan pemimpin buruh dan sivik dan kumpulan bukan keuntungan.  Pemilihan semula beliau sebagai Presiden dijangkakan memberi beliau beberapa pengaruh  dalam perundingan.
Fiscal cliff, menurut Pejabat Belanjawan Kongres (CBO), jika gagal diselesaikan pada 1 Januari 2013, akan menghumbankan semula ekonomi Amerika Syarikat ke dalam kemelesetan pada tahun 2013 dan mengakibatkan peningkatan kadar pengangguran kepada 9.1 peratus pada akhir tahun ini.  CBO memaklumkan bahawa output ekonomi akan jatuh sebanyak 0.5 titik peratusan pada tahun ini  jika Kongres gagal bertindak menghindarkan kenaikan cukai dan potongan perbelanjaan dalam usul oleh perjanjian defisit awal.  Walau bagaimanapun, CBO dilaporkan menambah bahawa ekonomi Amerika Syarikat dalam jangka panjang akan kembali kepada kadar pertumbuhan yang lebih baik dan kadar pengangguran yang lebih rendah, iaitu dijangkakan jatuh kepada 5.5 peratus pada tahun 2020.
Dalam mesyuarat tahunan kelima Majlis Ketua Pegawai Eksekutif The Wall Street Journal yang berlangsung di Washington pada pertengahan November, kebimbangan terhadap fiscal cliff menguasai perbincangan.  Hampir tiga perempat ketua pegawai eksekutif  (CEO) yang menghadiri pertemuan itu menyenaraikan fiscal cliff sebagai kebimbangan utama mereka tentang landskap global, mengatasi kesusahan kewangan Eropah, pertumbuhan China yang perlahan, dan ketidakpastian terhadap konflik di Timur Tengah.  Bagi mereka, fiscal cliff akan mewujudkan tempoh ketidakstabilan kewangan dan ekonomi.  Mereka mendesak Presiden Obama dan Kongres agar “mengambil kesempatan peluang untuk tawar-menawar yang lebih besar” dari segi cukai dan isu perbelanjaan “supaya perniagaan dan para pengguna dapat merancang untuk jangka panjang.”  Kebanyakan CEO yang hadir tidak teragak-agak menyokong cukai yang lebih tinggi terhadap golongan mewah, seperti mereka, asalkan kenaikan cukai disertai oleh pemotongan serius dan  boleh dikuatkuasakan dalam perbelanjaan kerajaan.
Jika benar bahawa pemilihan semula Barack Obama ialah mandat makroekonomi, mesti cabaran besar yang beliau hadapi bukan sahaja mengelakkan fiscal cliff, bahkan juga  memastikan Amerika Syarikat bebas daripada terus bergelut dengan pertumbuhan yang terhegeh-hegeh dan kadar pengangguran yang tinggi.  Di peringkat global pula, beliau bersama-sama pemimpin lain, memastikan  bahawa dunia tidak terjebak semula ke dalam kemelesetan kerana zon euro dalam suku ketiga tahun 2012, terbenam dalam kemelesetan curam berganda dan United Kingdom dijangkakan mengalami kemelesetan ganda tiga – semunya petanda kurang baik. 

(Nota:  Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Ekonomi, Januari 2013.)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...