Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Lazimnya, tahun baru disambut dengan penuh keterujaan dan
membara dengan harapan. Pengalaman pahit tahun sebelum ini jika ada, semuanya
ditinggalkan dalam lipatan memori sambil melangkah dengan penuh keazaman dan kecekalan. Tahun
2011 dijangkakan lebih baik jika dibandingkan dengan tahun sebelumnya, tetapi
meleset sama sekali. Demikian juga tahun baru 2012 yang yang dijangkakan berwajah
suram dan muram.
Tahun
2011 akan diingati sebagai tahun sidang kemuncak yang gagal, tulis Jeffrey
Sachs dalam The Guardian pada
pertengahan Disember lalu. “Kerajaan
membuktikan diri mereka berulang-ulang kali gagal dalam menangani krisis yang
semakin membesar melanda dunia, sama ada kegagalan zon euro, perubahan cuaca,
atau politik belanjawan di Amerika Syarikat dan Eropah.” Tambah beliau yang pastinya sesuatu yang
tidak seronok didengar, “Tahun hadapan (tahun 2012), kemungkinan besar teruk
kerana politik pilihan raya akan menghalangkan lagi pembuatan keputusan di
Amerika Syarikat, Perancis, dan beberfapa negara lain.”
Jika
diperhatikan sepanjang Disember lalu, sesungguhnya lebih banyak berita buruk tentang ekonomi, baik di
peringkat serantau mahupun di peringkat global.
Agensi penarafan kredit terus meningkatkan tekanan terhadap para
pemimpin Kesatuan Eropah bahawa banyak lagi negara dalam kesatuan itu akan
diturunkan gred. Belgium diturunkan gred
kepada Aa3, dan dengan penurunan itu, negara berkenaan “sekapal” dengan Sepanyol, Italy, Slovenia, Cyprus, dan
Ireland. Sementara Perancis yang masih
kekal dengan penarafan kredit AAA, berkemungkinan menerima nasib yang sama.
Euro, dikatakan, kini sepatutnya diiktirafkan sebagai
eksperimen yang gagal. Kegagalan ini,
iaitu selepas diperkenalkan pada tahun 1999, bukannya secara kebetulan atau
salah urus birokratik, tetapi akibat yang tidak dapat dielakkan mengenakan mata
wang tunggal terhadap kumpulan negara yang sangat heterogen. Kesan ekonomi yang
teruk euro termasuk krisis hutang di beberapa negara Eropah, keadaan lemah
bank-bank Eropah utama, kadar pengangguran yang tinggi di seluruh zon euro, dan
defisit perdagangan yang besar kini
melanda kebanyakan negara zon euro. Apakah yang dapat menyelamat euro? Mampu
euro diselamatkan? – merupakan soalan yang sering dibangkitkan terhadap zon yang
bergelut dengan krisis itu. Harapan pemulihan,
seperti yang diramalkan oleh Gerard Lyons, Ketua Ahli Ekonomi di
Standard Chartered, adalah meleset,
manakala kemelesetan membimbangkan, zon euro akan menguncup sebanyak 1.5
peratus pada tahun 2012, manakala United Kingdom akan menanggung kejatuhan
dalam output 1.3 peratus.
Kesatuan Eropah dari segi realiti yang keras telah
gagal. Sidang kemuncak di Brussels pada
awal Disember lalu menyaksikan Britain melawan 26 buah negara Kesatuan Eropah. Perdana Menteri British, David Cameron
dikatakan mengugut negara lain dalam Kesatuan Eropah supaya memberikan
perlindungan yang lebih besar Kota London, iaitu sektor perkhidmatan kewangan,
tetapi ditolak. Keengganan Cameron menandatangani perjanjian Kesatuan
Eropah yang baru menyebabkan beliau dianggap “keseorangan di sebuah
pulau.” Akibat tindakan Cameron itu, Eropah seakan-akan meledak
dengan “perang saudara,” manakala beliau
terpaksa menerima kritikan dari negaranya, termasuk daripada Timbalan Perdana Menteri, Nick Clegg, dan dari negara
anggota Kesatuan Eropah.
Robert Skidelsky yang menulis dalam Social Europe Journal, bahawa sidang kemuncak Kesatuan Eropah itu
merupakan satu bencana. Kedua-duanya, iaitu Britain dan Jerman bermain
permainan yang silap: Perdana Menteri,
David Cameron mengasingkan Britain dari Eropah, manakala Canselor Jerman,
Angela Merkel mengasingkan zon euro daripada realiti. Seandainya Cameron membawa agenda pertumbuhan
ekonomi ke sidang kemuncak itu, beliau pastinya berjuang untuk sesuatu yang
benar, dan sekutunya tidak kurang.
Pada pertengahan Disember lalu, Pengarah Urusan Tabung
Kewangan Antarabangsa (IMF), Christine Lagarde, mengeluarkan amaran bahawa
dunia menghadapi risiko terjerumus ke dalam kemerosotan gaya tahun 1930-an,
kecuali negara-negara menyelesaikan perbezaan mereka dan bekerja bersama-sama
untuk menyelesaikan krisis hutang Eropah yang semakin teruk. Pada hari yang menyaksikan semakin
menjadi-jadinya peperangan perdagangan balas balik antara China dengan Amerika
Syarikat dan pertikaian diplomatik yang semakin tegang antara Britain dengan
Perancis, Christine mengeluarkan amaran keras beliau tentang keteguhan ekonomi
global dan berkata jika komuniti antarabangsa gagal bekerjasama, nescaya risiko
adalah “penarikan balik, peningkatan fahaman perlindungan, pengasingan.” Tambah beliau: “Ini benar-benar menjelaskan apa yang berlaku
pada tahu 1930-an, dan apa yang diikuti adalah bukan sesuatu yang kita
nanti-nantikan.”
Seruan Pengarah Urusan IMF itu datangnya tatkala kebimbangan semakin menjadi-jadi
bahawa tahun 2012 akan menyaksikan Eropah terbenam ke dalam kemelesetan curam
berganda, dengan memberikan kesan yang buruk terhadap ekonomi lain di peringkat
global. “Tinjauan ekonomi dunia ketika
ini tidak terutamanya cerah, benar-benar kelam,” jelas beliau. Bercakap di Jabatan Negara di Washington,
Christine menegaskan: “Tidak ada ekonomi
di dunia, sama ada negara pendapatan rendah, pasaran sedang muncul, negara
pendapatan sederhana, atau ekonomi yang lebih maju, yang akan kebal daripada
krisis yang kita lihat bukan hanya berkembang, tetapi menjadi semakin buruk.”
Peringatan Pengarah Urusan IMF bahawa dunia akan terjebak semula dalam kemelesetan menimbulkan
kekhuatiran dan menuntut komitmen para pemimpin dunia yang selalu
terhegeh-hegeh. Yang jelas, di banyak negara, pemulihan lemah dan pertumbuhan perlahan, diperburukkan lagi oleh kadar
pengangguran yang tinggi serta krisis zon euro yang berpanjangan. Bahkan
Nouriel Roubini dalam “The Global Economic Outlook for 2012 Isn’t Pretty” yang
diedarkan oleh Project Syndicate, tidak teragak-agak untuk mengatakan
kemelesetan akan berlaku semula di banyak ekonomi: “Tinjauan ekonomi global tahun 2012 adalah
jelas, tetapi tidak cantik kerana kemelesetan di Eropah, pertumbuhan anemia paling baik di
Amerika Syarikat, dan kelembapan yang ketara di China dan di kebanyakan ekonomi
pasaran sedang muncul. Ekonomi Asia terdedah pada China. Amerika Latin terdedah pada harga komoditi
yang rendah (kerana kedua-duanya, iaitu China dan ekonomi maju perlahan). Eropah Tengah dan Timur terdedah pada zon
euro. Dan kacau-bilau di Timur Tengah
menyebabkan risiko ekonomi yang serius, kedua-duanya di sana dan tempat-tempat
lain kerana risiko geopolitik masih tinggi, dan dengan itu, harga minyak yang
tinggi akan mengekang pertumbuhan global.
“Setakat ini,” hujah Roubini, kemelesetan zon euro adalah
pasti. Walaupun kedalaman dan
kepanjangan tidak dapat diramalkan, kerkah kredit berterusan, masalah hutang
kedaulatan, kurang daya saing, dan
jimat-cermat fiskal bermaksud kemerosotan yang serius. Beliau menyudahi
tulisannya dengan mengungkapkan Bette David dalam All About Eve, “Ketatkan tali pinggang anda, terpaksa menempuh
tahun yang lekak-lekuk.”
Untuk Amerika Syarikat, The Economist yang muncul dalam “Special Holiday Double Issue” yang
pemulihannya lemah sebahagiannya kerana ekonomi, jika ditelitikan, kurang laju jika
dibandingkan dengan kemunculan pertamanya. Akan tetapi, juga kerana ahli
politik Amerika seakan-akan tidak melakukan sesuatu apa-apa jua untuk membantu
pertumbuhan pada tahun 2012. Kadar pertumbuhan sekarang sebenarnya anemia yang
elok, yang bermaksud tidak lebih baik untuk kembali kepada trend jangka
panjang. Selepas kejatuhan yang teruk ke
dalam kemelesetan (Keluaran Dalam Negara Kasar
- KDNK jatuh sebanyak 3.5 peratus pada tahun 2009), banyak yang
mengharapkan pemulihan yang lebih hebat. Akan tetapi, kerosakan yang dilakukan
terhadap kunci kira-kira individu masih membebani pemulihan, iaitu kadar
pengangguran yang tinggi dan permintaan tidak bergerak.
Dalam ulasannya terhadap peringatan Christine Lagarde
tentang bahaya yang sedang menanti, Larry Elliot menulis dalam blog The Guardian bahawa meskipun tidak pasti
dan adakah Christine betul, pastinya
wujud sesuatu yang membangkitkan kebimbangan tentang keadaan dunia. Dengan membangkitkan bahawa “apa yang kita
tempuhi sejak tahun 2008 yang mengalami
kemelesetan,” beliau menegaskan bahawa banyak negara, termasuk Britain,
terpaksa bergelut untuk pulih daripada keruntuhan gelembung harga aset, dan
kini menghadapi prospek kemelesetan curam berganda. “Apa yang teruk lagi,”
tulis Elliot, “sistem kewangan masih lemah, seperti yang ditunjukkan dalam
keputusan oleh Fitch, agensi penarafan kredit untuk menurunkan gred beberapa
gergasi perbankan, seperti Barclays dan Goldman Sachs. Bank pusat membenarkan bank-banks akses
kepada kuantiti yang tidak terhad wang murah supaya mereka dapat memenuhi
keperluan pendanaan seharian mereka.
Sesetengah bank ini, terutamanya di Eropah, berkemungkinan
terhuyung-hayang di tepi pinggir, yang menyebabkan pandangan Lagarde semuanya
lebih bahaya.”
Bagi Elliot, Lagarde adalah betul untuk berasa bimbang
tentang Eropah dan layak untuk memberikan amaran kepada negara-negara lain di
dunia akibat ketidakgiatan. Namun,
beliau menegaskan bahawa perbandingan dengan tahun 1930-an adalah
disalahletakkan dan dengan memberikan tumpuan terhadap keperluan jangka pendek
untuk pertumbuhan sambil mengorbankan penyelesaian masalah jangka panjang juga
satu kesilapan.
“Inilah masa untuk menyebut situasi semasa sekarang
kemelesetan,” tulis Paul Krugman dalam The
New York Times. “Benar, tidak mengulang tayang sepenuhnya Kemelesetan
Besar, tetapi tidak menolong menyedapkan hati.
Pengangguran di Amerika Syarikat dan Eropah masih tinggi yang boleh
membawa bencana. Para pemimpin dan
institusi semakin diragui. Dan nilai
demokratik dikepung.”
Khusus untuk yang
berlaku di Eropah, hujah Krugman, bukan
kerana semuanya elok dengan Amerika, tetapi kerana graviti pembangunan politik
Eropah tidak difahami secara meluas.
Krisis euro membunuh impian Eropah.
Mata wang yang dikongsi yang dianggap mengikat negara bersama-sama,
sebaliknya mencetuskan rasa sakit hati yang pahit. Terutamanya, desakan supaya melaksanakan
jimat-cermat yang lebih garang, tanpa mengimbangi usaha untuk memupuk
pertumbuhan, membawa kerosakan berganda.
Langkah itu gagal sebagai dasar ekonomi, memburukkan lagi pengangguran
tanpa memulihkan keyakinan; kemelesetan yang meluas di Eropah kini kelihatan
sebagai suatu kemungkinan, bahkan jika ancaman segera krisis kewangan dikekang.
Jimat-cermat mencetuskan kemarahan yang sangat besar, dengan banyak orang
Eropah naik berang terhadap apa yang mereka tanggapi, secara adil atau tidak
adil (atau sebenarnya sedikit kedua-duanya), kerana pengunaan kuasa Jerman yang
menindas.
Melalui kolumnya dalam Newsweek, Niall Ferguson menegaskan
bahawa orang ramai selalunya lupa bahawa Kemelesetan Besar yang diibaratkan
perlawanan bola sepak, iaitu ada dua separuh masa. Separuh masa pertama dikuasai oleh akibat
keruntuhan pasaran saham Amerika Syarikat pada tahun 1929. Separuh masa kedua, yang menyebabkan
kemelesetan benar-benar “besar,” tegas beliau, “kedua-duanya dari segi
kedalaman dan peluasannya, bermula dengan krisis perbankan Eropah tahun
1931.” Jelas Ferguson, “untuk memahami
apa yang berlaku dalam sempadan kita sendiri, anda perlu tahu sejarah ini. Akan tetapi, jarang-jarang orang yang sudi
melakukannya.”
Belajar dari tahun lalu, maka jangan sekali-kali
meletakkan harapan yang tinggi pada tahun 2012.
Kemelesetan global yang berlaku
pada tahun 2008, walaupun pulih,
masih belum pergi jauh, sebaliknya mengekori dunia dengan semakin
rapat.
(Nota: Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Ekonomi, April 2012.)