Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Langkah kerajaan menaikkan harga minyak, iaitu 20 sen untuk RON95 dan 15 sen RON97, benar-benar mencetuskan kemarahan rakyat sehingga meletakkan kerajaan pimpinan Najib Razak dalam keadaan defensif. Seperti lazim, apabila harga minyak dinaikkan, parti pembangkang meniupkan kemarahan rakyat dengan menampilkan diri mereka sebagai "penyelamat" dan menuduh kerajaan sebagai "penindas."
Daripada kenaikan harga minyak kepada pemberian subsidi, semuanya mendorong cerdik pandai politik dan para pengulas mengemukakan pandangan masing-masing. Tidak kurang juga hukum-hakam agama dijadikan landasan bahawa subsidi tidak diwajarkan diberikan kepada rakyat jelata. Anehnya, sebelum kerajaan mengurangkan pemberian subsidi, hukum-hakam agama tidak pernah diketengahkan.
Meskipun harga minyak dinaikkan dari semasa ke semasa (ada kalanya diturunkan), ledakan kemarahan rakyat terhadap kenaikan terbaharu ini memang luar biasa, antaranya kerana adanya media sosial dan di tengah-tengah pemberontakan global. Keterhakisan kesahan kerajaan pimpinan Najib Razak berikutan kegagalan meraih semula majoriti dua pertiga dan mengekalkan undi popular dalam pilihan raya lalu, turut menyumbang kepada ledakan kemarahan itu.
Kenaikan harga minyak itu, menurut kerajaan, dapat mengurangkan jumlah subsidi yang ditanggung, seperti yang dapat dilihat dalam tulisan Idris Jala, Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Idris yang beberapa tahun lalu keliru tentang "konsep" subsidi dengan mencampuradukkan pembiayaan kerajaan untuk pendidikan dan kesihatan, dalam dalam The Star hari ini, menjelaskan bahawa kenaikan 20 sen dalam harga petrol dan diesel sahaja akan menjimatkan kerajaan RM1.1 bilion untuk tahun ini dan RM3.3 bilion pada tahun 2014.
Kenaikan harga minyak dan seterusnya pengurangan subsidi merupakan langkah pertama kerajaan terhadap penarafan yang diberikan oleh Fitch Ratings yang mengurangkan tinjauannya tentang Malaysia daripada stabil kepada negatif pada 30 Julai lalu. Risiko kemungkiran Malaysia, menurut Bloomberg, mengatasi Filipina. Nisbah hutang Malaysia dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) ialah 53.3 peratus, berbanding dengan 51.5 peratus di Filipina. Fitch dalam penarafan negatifnya terhadap Malaysia, menjelaskan defisit belanjawan melebar daripada 4.7 peratus KDNK pada tahun 2012 daripada 3.8 peratus pada tahun 2011, terutamanya kerana kenaikan 19 peratus dalam perbelanjaan gaji sektor awam pada tahun prapilihan raya.
Sebenarnya, defisit belanjawan berlaku sejak tahun 1998 ketika tercetusnya krisis kewangan Asia 1997-1998. Meskipun ekonomi Malaysia cepat pulih daripada krisis itu dan seterusnya mencatatkan pertumbuhan, tetapi berlaku semula kemelesetan pada tahun 2009, berikutan kemelesetan ekonomi global yang terburuk selepas Kemelesetan Besar, tidak ada usaha untuk mengurangkan defisit tersebut. Keadaan semakin buruk pada era Najib Razak yang cenderung kepada pesta-pestaan dan kudap-kudapan dalam usaha beliau menawan hati rakyat: politik populis.
Dalam Belanjawan Tahun 2013 yang berjumlah RM249,667 juta, kerajaan memperuntukkan 15.1 peratus untuk subsidi, iaitu kedua terbesar selepas emolumen yang peruntukannya 23.5 peratus. Kedua-duanya dalam perbelanjaan mengurus yang peruntukannya kira-kira 80 peratus, selebihnya untuk perbelanjaan pembangunan.
Untuk menampung jumlah belanjawan defisit 18.9 peratus adalah melalui pinjaman dan penggunaan aset kerajaan. Maka, matematik mudah, jika kerajaan tidak memberikan satu sen pun subsidi, defisit belanjawan masih wujud, iaitu kira-kira tiga peratus!
Berbeza dengan kenaikan harga minyak yang gamat satu Malaysia, dengan parti pembangkang menangguk di air keruh, manakala kerajaan pula sekadar memberikan penjelasan "melepaskan batuk di tangga," defisit yang berlaku lebih satu dekad tidak (mungkin sesuai dikatakan kurang) diberikan perhatian. Bahkan, ahli politik pembangkang yang kononnya memperlihatkan diri mereka sebagai "penyelamat" mengelakkan diri mereka daripada menyentuh masalah yang mendasari ekonomi Malaysia ini. Dalam erti kata lain, "helang defisit" langsung tidak kelihatan, paling tidak, melayang-layang dan mengimbau, kalaupun tidak menyambar "mangsa."
Mengapa hal seperti ini berlaku kerana seperti yang pernah saya jelaskan dalam Facebook baru-baru ini, pengurangan defisit memerlukan langkah tidak popular: naikkan cukai atau kurangkan perbelanjaan, atau kedua-duanya sekali. Pengurangan defisit, tidak dapat tidak, melibatkan pemotongan perbelanjaan mengurus terutamanya berbanding dengan perbelanjaan pembangunan, dan ini akan melibatkan emolumen dan subsidi antaranya.
Orang politik tidak sanggup berlagak "helang defisit" kerana silap percaturan, nescaya rakyat akan terjemahkan keberangan mereka dalam peti undi. Sementara ahli politik pembangkang yang memalu gendang sekuat-kuatnya berkenaan dengan harga minyak dan subsidi dengan menaburkan janji palsu dan mengemukakan cadangan yang tidak layak dijadikan nota kaki, menyepi terhadap persoalan yang lebih serius: defisit belanjawan.
Sementara kerajaan pimpinan Najib Razak kelihatan berbelanja "sesuka hati" seolah-olahnya tidak ada hari esok, ahli politik pembangkang pula enggan menjadi jaguh yang menentang defisit. Dalam erti kata lain, kedua-dua pihak merupakan sebahagian sistem yang gagal, dan kedua-duanya bertarung di "medan populis" sambil menggadaikan masa depan negara.