Artikel Popular

Saturday, September 14, 2013

Orang Tengah: Perang yang Sia-sia

SABTU,  14  September 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Ismail Sabri  Yaakob, memaklumkan bahawa kementeriannya tetap meneruskan "perang" terhadap orang tengah bermula tahun hadapan memandangkan usaha tersebut mendapat sokongan penuh daripada golongan petani dan nelayan.  Sebelum ini, beliau mengisytiharkan "perang" yang akan dilancarkan itu demi mengelakkan 60,000 orang nelayan di negara ini terus tertindas.

Kewujudan orang tengah dalam ekonomi desa atau masyarakat tani, pernah dibahaskan oleh Profesor Diraja, Ungku  Aziz yang memperkenalkan teori monopoli-monopsoni  yang agak terkenal pada suatu ketika dahulu.   Walau bagaimanapun, pemikiran beliau itu mula dipersoalkan oleh beberapa ahli sains sosial tempatan, antaranya Syed Husin,  Kamal Salih, dan Ishak Shari, yang cuba menganalisis kemiskinan dan kemunduran desa melalui pendekatan atau teori pergantungan yang diperkenalkan oleh Andre Gunder Frank dalam konteks hubungan metropolis-satelit: desa dengan bandar, negara membangun dengan negara maju. 

Berdasarkan teori pergantungan ini, lebihan yang diwujudkan dalam ekonomi desa akan disedut oleh bandar yang  berperanan menampung keperluan bandar-bandar utama di dunia.  Maksudnya, kewujudan orang tengah dalam ekonomi desa merupakan sebahagian sistem ekonomi dunia, iaitu kapitalisme.  Penindasan terhadap kaum tani dan nelayan dan pemerahan lebihan yang dihasilkan oleh mereka adalah kerana sistem kapitalisme yang diamalkan. (Frank dikritik oleh rakan sealiran dengan beliau, seperti Immanuel Wallerstein dan Samir Amin.) 

Dalam konteks Malaysia, orang tengah selalu dijadikan sasaran kritikan dan sering dipersalahkan kerana golongan ini  wujud dalam masyarakat dan mereka kelihatan di mana-mana untuk "berkhidmat" dan "berbakti" terhadap tuan mereka, iaitu kapitalis global, yang mungkin  tidak dikenali oleh kaum tani dan nelayan. Penindasan terhadap petani dan nelayan, seperti yang dibangkitkan oleh Ismail Sabri itu, sebenarnya penindasan yang dilakukan oleh kapitalis global yang berperanan memiskinkan dan memundurkan kawasan desa di banyak tempat di dunia ini, dan Malaysia tidak terkecuali. Justeru, penindasan tersebut tetap wujud, selagi Malaysia terus bergantung pada "metropolis", walaupun orang tengah berjaya dihapuskan.   

Selain itu, dari segi sosiologi, orang tengah merupakan anggota dalam masyarakat tani dan nelayan. Mereka selalu berhubung bukan sahaja dalam pasaran, tetapi dalam aktiviti sosial yang lain, seperti perkahwinan dan kematian.  Jika seseorang petani atau nelayan menghadapi masalah kewangan, nescaya kepada orang tengahlah mereka mengadu, memohon pinjaman segera tanpa perlu mengisi apa-apa borang.  

Meskipun orang tengah dikatakan menindas  petani dan nelayan, sebenarnya penindasan itu dapat "ditanggung" oleh mereka kerana wujudnya "hubungan tak formal" antara kedua-dua golongan tersebut. Mereka saling memerlukan antara satu sama lain, dan bagi petani dan nelayan, keperluan ini tidak dapat disediakan oleh agensi kerajaan.

Sesungguhnya, "perang" terhadap orang tengah yang dirancangkan akan dilancarkan oleh Pertanian dan Industri Asas Tani, suatu usaha yang sia-sia, membuang masa dan tenaga, juga wang ringgit.  Justeru, sebelum Ismail Sabri Yaakob, terus menerus memalukan gendang perangnya, beliau sepatutnya tahu apakah yang beliau canangkan agar tidak berlaku "malu boleh sakit pun boleh."

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...