Artikel Popular

Wednesday, May 30, 2012

Rusia Pindah Ibu Negara?

RABU, 30 Mei 2012
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH




Fareed Zakaria melalui GPS-nya menulis dengan memetik ahli akademik bahawa Rusia sepatutnya memindahkan ibu negaranya dari Moscow ke tempat yang lebih jauh, iaitu 4000 batu dari ibu negara asal, iaitu ke  Vladivostok.  

Idea itu datangnya daripada ahli akademik terkenal, Sergei Karaganov dari Sekolah Tinggi Ekonomi Moscow, yang menurut Fareed,  menulis dalam  akhbar milik negara  bahawa ibu negara yang terletak jauh di timur akan menjadikan Rusia sebagai sebahagian apa yang Sergei sebut "dunia yang sedang bangkit," iaitu lebih rapat dengan ekonomi Asia yang dinamik dan pergi jauh daripada Eropah yang semakin tua. 

Hujah Fareed, idea tersebut bukannya baru sama sekali dengan menyatakan perpindahan Calcutta ke Delhi pada tahun 1911 oleh India British, Istanbul ke Ankara, Rio de Janeiro ke Brasilia, dan Almaty ke  Astana Kazakhstan untuk lebih rapat dengan Rusia. Namun, beliau menambah, "Mustahil Presiden Vladimir Putin mahu mengikut jejak itu.  Akan tetapi, beliau akan melakukan lebih baik untuk memikirkan kepercayaan yang mendasari di sebalik hujah tersebut, iaitu Moscow memerlukan pembaharuan segera.  Rusia bukannya benar-benar ekonomi pasaran sedang muncul yang sedang melambung, sebaliknya kleptocrazy kaya minyak."

Meskipun Putin sering memetik angka untuk zaman melambung ketika beliau menjadi Presiden. Pendapatan rakyat Rusia purata meningkat lebih tujuh kali ganda pada dekad lalu, iaitu daripada AS$2000 kepada AS$14,000 setahun.  Namun, hujah Fareed, "statistik itu memberitahu cerita yang tidak lengkap.  Pertumbuhan Rusia tidak seimbang."  Jelas beliau, "Moscow mempunyai 78 orang jutawan, satu jumlah yang besar jika dibandingkan dengan mana-mana kota di dunia.  Jutawan itu, bersama-sama dengan yang lain di Rusia, mewakili 20 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Rusia. Jauh lebih tinggi daripada  mana-mana negara. Akan tetapi, ekonomi Rusia tidak dinikmati oleh perniagaan dan 141 juta orang lain di negara itu.

Masalah lain, hujah Fareed, nasib Moscow untuk bertahun-tahun dikaitkan dengan harga minyak mentah.  Data menunjukkan bagaimana saham Rusia meningkat dan menjunam seiringan dengan harga minyak.  Rusia kini memerlukan harga minyak mentah diniagakan pada harga AS$117 setong semata-mata untuk mengimbangkan belanjawannya. 

Balik kepada hujah ahli akademik yang dipetik oleh Fareed itu yang seakan-akan membayangkan Rusia ingin menjauhkan dirinya dari "Eropah dalam krisis" - memetik program  Bloomberg setiap petang dan sesebuah demi sebuah negara di benua itu tersenarai dalam "orang sakit Eropah"   yang sukar dibendung dan  menjadi pengetahuan umum: krisis zon euro.  Tatkala Greece belum pulih, tiba pula giliran Sepanyol

Selain itu, menurut kajian,  jurang antara negara zon euro, iaitu antara Jerman dengan Greece, dan kebanyakan rakyat benua itu  percaya  bahawa integrasi ekonomi Kesatuan Eropah merosakkan ekonomi negara mereka. Di benua itu, berjuta-juta orang sedar bahawa  euro akan lenyap dan kacau-bilau ekonomi menanti mereka.  Bahkan, Fareed sendiri pernah menulis baru-baru ini, mempersoalkan bahawa demokrasi sebahagian masalah ekonomi Eropah.

Pastinya, cadangan perpindahan ibu negara Rusia itu selari dengan kemerosotan Barat,   yang pasti berlaku, anjakan kuasa dari Barat ke Timur, sebahagian krisis  orde lama, dan kemunculan "Abad Pasifik," seperti yang pernah dibahaskan oleh Hillary Clinton dalam Foreign Policy. Sementara Putin sendiri dengan kembali semula beliau ke Kremlin, dikatakan mempunyai aspirasi Eurasian

Sama ada, perpindahan ibu negara dari Moscow ke Vladivostok menjadi kenyataan ataupun tidak, yang jelas Rusia semakin  memandang ke Timur, dan  jauh sekali untuk mendengar celoteh Washington, apatah lagi London. 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...