Artikel Popular

Saturday, May 19, 2012

Mampukan Demokrasi Menyelamatkan Greece?

SABTU, 19 Mei 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Berikutan kegagalan usaha untuk membentuk kerajaan perpaduan, maka pilihan raya baru akan diadakan pada 17 Jun ini. Untuk sementara waktu, negara itu dipimpin oleh kerajaan sementara di bawah Panagiotis Pikrammenos.  Para pengundi sekali lagi perlu membuat pilihan,  yang pastinya menyaksikan pertarungan antara kuasa antijimat-cermat Alexis Tsipras dengan dengan pengawal Greece lama.   Bagi  Tsipras, pemimpin pemimpin sayap kiri Syriza,  "jimat-cermat akan mencampakkan Greece ke dalam kancah kemusnahan."  Bahkan, beliau menegaskan, "ini peperangan antara rakyat dengan kapitalisme."


Greece kini terperangkap dalam putaran ganas yang dahsyat, iaitu kelumpuhan ekonomi dan kebuntuan politik yang mengakibatkan antaranya, rakyat Greece dilaporkan,  berduyun-duyun mengeluarkan simpanan mereka bernilai AS$898 juta   di bank-bank di negara itu pada hari Isnin. 


Sementara Greece terus bergelut dengan krisis hutang yang amat dalam ini,  perdebatan  lama tercetus semula, sama ada   negara itu akan meninggalkan zon euro yang melibatkan kos AS$1 trilion, ataupun terus kekal menggunakan mata tunggal itu - sesuatu yang sukar dijangkakan, bahas Jared Bernstein dalam The Huffington PostKesan jika Greece bertindak keluar  turut diperdebatkan, bukan sahaja negara itu, bahkan negara lain, termasuk United Kingdom yang akan menerima akibatnya: bergelut dengan kemelesetan.  Kebimbangan terhadap kemungkinan Greece meninggalkan zon euro menyebabkan bank-bank lintang-pukang.  Menyedari bahawa negara itu bertindak demikian, maka usaha dilakukan supaya Sepanyol tidak menerima kesan sampingan yang kini  turut  bergelumang dengan krisis sehingga menggegarkan Eropah dan pasaran lintang-pukang.  


Balik kepada pilihan raya Greece yang akan diadakan kelak. Seperti yang dibangkitkan oleh The Week, mampukah pilihan raya itu menyelamatkan Greece?  Pilihan raya baru dijangkakan akan menghumbankan negara itu ke dalam kancah mala-petaka dan membawa lebih banyak ketidakpastian. 


Setelah sembilan hari berunding untuk membentuk kerajaan,  tetapi gagal, Presiden Greece, Karolos Papoulias hilang harapan, maka pilihan raya baru akan diadakan.  Namun, bahas The Economist, mungkin gagal sekali lagi untuk menghasilkan keputusan muktamad. Kalaupun berjaya, hanya sementara, sekadar memberikan ruang untuk bernafas.  "Tragedi euro Greece," bahas Nouriel Roubini,  sekadar menunggu masa, sama ada tahun ini ataupun tahun depan, Greece besar kemungkinan mungkir terhadap hutangnya dan meninggalkan zon euro." 

Tinjauan pendapat, menurut The Economist lagi,  menunjukkan sokongan dalam kalangan rakyat Greece supaya terus kekal dalam euro semakin kuat, meningkat daripada 70 peratus kepada 80 peratus dalam tiga bulan lalu. Namun, wujud kebimbangan bahawa ketidakstabilan politik yang berpanjangan boleh mendorong lagi Greece keluar juga meningkat. 


Meskipun wujud keghairahan dalam kalangan rakyatnya supaya Greece kekal, mereka juga naik meluat dengan jimat-cermat yang pemimpin Jerman kenakan terhadap mereka sebagai pengorbanan untuk untuk kekal keanggotaan di zon euro. Bagi banyak orang di  Greece, jimat-cermat merupakan pilihan palsu.  Ekonomi negara itu menguncup sebanyak enam peratus dan kadar pengangguran mencecah 21.7 peratus. Sikap Berlin yang gemar mengajar Athens menjadi-jadi apabila Canselor Angela Merkel mencadangkan Greece mengadakan pungutan suara atau referendum berhubung dengan keanggotaan dalam zon euro yang akhirnya mencetuskan ketegangan antara kedua-dua negara itu. 


Perkembangan terbaharu di Greece, bahas Costas Panayokatis dalam MRZine, menyediakan ilustrasi yang jelas tentang percanggahan yang berpanjangan antara kapitalisme dengan demokrasi. "Krisis politik Greece bukan hanya berkembang sekitar kesinambungan atau tidak dasar jimat-cermat yang kejam dan membawa malapetaka sosial.  Persoalan yang semakin dihadapi oleh rakyat Greece ialah, sama ada bahkan perangkap demokrasi politik dibenarkan untuk diketepikan oleh kedidaktoran modal terhadap orang ramai yang semakin  terang-terangan dan semakin  kejam dalam memberikan kesan kepada manusia sebenarnya."


Rakyat Greece akan mengundi sekali lagi, tetapi mampukan demokrasi menyelamatkan negara kelahirannya?  Atau dengan kata lain, mampukan si anak yang tempang menyelamatkan  ibunya yang tenat yang masih mencari-cari siapakah  yang harus dipersalahkan?



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...