Artikel Popular

Sunday, May 20, 2012

Krisis Kewangan: Negara Miskin Tanggung Beban

ISNIN, 21 Mei 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Meskipun empat tahun berlalu, krisis kewangan global masih belum reda, manakala  Lehman Brothers  masih menghantui pasaran.   Krisis zon euro masih berlarutan dan sentiasa mencari mangsa baru sehingga menyebabkan "orang sakit Eropah" dalam senarai yang panjang:  Greece, Sepanyol, Portugal, dan Ireland.

G-8 yang yang diperlekeh sebagai G-Sifar, iaitu orang yang sangat berkuasa di dunia kelihatan  tidak berdaya,  bermesyuarat di Camp David dengan memberikan tumpuan terhadap krisis Eropah. Para pemimpin kumpulan negara perindustrian ini menyokong dasar pertumbuhan ekonomi mengatasi jimat-cermat dan mencuba memastikan Greece kekal dalam zon euro. Mereka juga bersetuju berbelanja lebih besar untuk merangsang ekonomi Eropah.  Jelas bahawa akibat krisis kewangan, perhatian lebih tertumpu pada zon euro, meskipun para pemimpin G-8 juga prihatin terhadap kebuluran di Afrika


Hakikatnya, akibat krisis kewangan, negara miskin terpaksa menanggung beban, seperti yang didedahkan oleh Heather Stewart dalam The Observer yang memetik laporan Jubliee Debt Campaign apabila bayaran balik hutang negara berkenaan akan meningkat sebanyak secara purata satu pertiga pada tahun 2014. Tatkala para para pemimpin G-8 berusaha menyelamatkan zon euro dan berusaha mencegah akibat kegawatan itu merebak, tulis Heather, "banyak negara yang tidak berkuasa akan menerima kesan teruk akibat peristiwa yang tercetus di Eropah, tanpa berpeluang untuk mendesak Angela Merkel dan Francois Hollande bertindak."  Negara yang miskin akan terjejas secara dramatik akibat krisis hutang Eropah yang teruk.


Beliau juga memetik laporan Jubilee yang menunjukkan bahawa dalam kalangan 61 buah negara miskin yang dianalisis, jumlah bayaran balik hutang dijangkakan meningkat satu pertiga secara purata pada dua tahun akan datang akibat pertumbuhan yang perlahan sistem kewangan yang goyang di negara lain di dunia. 


Namun, negara miskin sepatutnya tidak berasa ralat dalam menghadapi beban membayar balik hutang kerana nasib mereka kurang mendapat perhatian.  Hal ini demikian kerana negara yang kelihatan padu dalam kesatuan, seperti Kesatuan Eropah dan berkongsi mata wang tunggal, seperti zon euro, meskipun mendapat pembelaan, masih terus bergelut dengan krisis. 



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...