Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Sama ada marah ataupun tidak, suka ataupun tidak, bahkan membakar sekalipun, perkataan "paria" tetap popular dan tidak mudah dipadamkan sama sekali. Pada awal bulan ini, Anuar Manshor memuatkan dalam Facebook beliau buku Pariah oleh David Jackson, yang menarik beberapa respons.
Sebelum ini, Hannah Beech yang menulis tentang Myanmar dalam Time, menggunakan perkataan yang kononnya tidak boleh disentuh di Malaysia: "For as much as we dismiss it as a pariah state, Burma is already a far more political place than China is." Selain China, India juga mengeratkan hubungan dengan "negara yang bukan lagi paria," tulis Nilanjana Bhowmick dalam Time. Sebenarnya, wujud kecenderungan penulis untuk melabelkan Myanmar "negara paria," seperti yang dapat dilihat dalam tulisan Sebastian Strangio dalam The New Republic.
Time juga menerbitkan ulasan Mary Pols tentang filem Pariah. Tidak dapat dipastkan filem ini akan ditayangkan di Malaysia ataupun tidak. Kalau ditayangkan, mungkin ada golongan yang merusuh terhadap panggung berkenaan, atau mereka mengadakan upacara pembakaran filem dan poster Pariah. Juga jika ditayangkan, tidak kurang yang akan naik histeria, paling tidak terhadap pihak yang berwajib yang membenarkan filem itu ditayangkan.
Selain negara, perkataan "paria" digunakan untuk individu, seperti tulisan Simon Denyer dalam The Washington Post yang merujuk Narendra Modi bekas Ketua Menteri Gujarat, India, yang dituduh bertanggungjawab terhadap pembunuhan atau pogrom orang Islam, harta benda mereka dibakar, manakala wanita Islam dirogol, dalam rusuhan kaum yang terburuk yang berlaku di negeri itu.
Yang terbaharu dapat dilihat melalui tulisan Arianna Huffington, "Jimat-cermat: Kesayangan tahun 2011 menjadi paria tahun 2012" yang menggambarkan pemberontakan Eropah terhadap pelaksanaan langkah jimat-cermat.
Mungkin perlu diadakan upacara pembakaran buku yang ditulis oleh Jackson, majalah Time, dan akhbar The Washington Post. Oleh sebab The Huffington Post hanya akhbar dalam talian, mungkin tindakan protes kerana menggunakan perkataan paria adalah melalui cara lain. Kepada ahli politik Malaysia yang sentiasa "menangguk di air keruh," mereka sepatutnya hadir ke upacara tersebut sebagaimana kehadiran seorang dua ahli dalam pembakaran Interlok lebih setahun lalu.
No comments:
Post a Comment