Artikel Popular

Sunday, May 13, 2012

Perang Samudera Membara

ISNIN, 14 Mei 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Air dan bukannya minyak semata-mata menjadi punca peperangan antara negara.  Sungai dan samudera merupakan medan pertarungan.  India dan Pakistan  terlibat dalam peperangan air berpunca daripada  perebutan Sungai Indus.

Sementara di Laut China Selatan, bibit  perang kian dirasai ekoran kehadiran China, yang dilihat oleh banyak negara sebagai ancaman,  meskipun Beijing  menafikan bahawa negara itu membawa angkara. Bahkan, Beijing pernah mendakwa bahawa pergolakan di Laut China Selatan sengaja digembar-gemburkan demi mewajarkan kehadiran Amerika Syarikat di rantau ini.  


Dalam kalangan negara Asia Tenggara, Vietnam dan Filipina nampaknya begitu lantang menentang kehadiran China di samudera yang strategik dan kaya dengan hasil bumi.  Bagi Vietnam pernah secara sinis dikatakan bahawa jika rakyat China yang kini lebih satu bilion orang itu kencing, pastinya Vietnam  kebanjiran.  Namun, Vietnam, tidak seperti Malaysia,  sering membangkitkan kegelisahan dan kebimbangannya terhadap kehadiran China.  

Sebaliknya, Malaysia melihat kehadiran China itu seadanya.  Tatkala kerajaan pimpinan Perdana Menteri Najib Razak melihat China sebagai bukan ancaman, pembangkang pimpinan Anwar Ibrahim hanya berdiam diri.  Sedangkan selama ini, setiap yang keluar, dan bahkan belum keluar dari mulut Najib mereka sanggah habis-habisan.  Mengapa kedua-duanya "belayar sekapal di samudera gelora ini" mudah untuk difahami.  Bukannya takut disergah oleh Beijing, tetapi takut akan keberangan orang Cina di Lembah Kelang, Lembah Kinta, dan Pulau Mutiara yang kemungkinan besar diterjemahkan ke dalam peti undi. Justeru, kedua-duanya, Najib dan Anwar mengambil laluan mudah, meskipun isu ini melibatkan kedaulatan negara Malaysia.  


Peringatan Robert D. Kaplan dalam Foreign Policy bahawa "Laut China Selatan merupakan  masa depan konflik"  semakin jelas.  Gelora  semakin membesar apabila media China dipetik sebagai   memberikan amaran peperangan dengan Filipina.  Kapal kedua-dua negara itu bertarung dalam kebuntuan  di laut luas sejak Tentera Laut PLA menghalang kapal perang Filipina daripada menangkap anak kapal dari bot nelayan Cina berhampiran dengan Beting Scarborough pada 8 April lalu. Kedua-dua negara menuntut beting yang kaya dengan ikan itu milik mereka sendiri dan bantahan nelayan Filipina berhubung dengan kehilangan mata pencarian mereka menarik sokongan massa di negara Asia Tenggara.


Ketegangan di samudera itu  terbawa-bawa ke daratan apabila China menyekat import pisang dari Filipina dan menggantungkan perjalanan ke negara itu. Tidak cukup dengan geopolitik pisang, rangkaian CCTV,  menegangkan dan merumitkan lagi hubungan antara kedua-dua negara itu dengan  mendakwa bahawa China memiliki Filipina. Kalau sekali, tulis Hannah Beech dalam Time, orang mentafsirkan terlepas cakap, tetapi dua kali pengacara televisyen milik negara  itu mengatakan: "Kita semua tahu bahawa Filipina ialah wilayah warisan China, dan Filipina ialah kedaulatan China.  Ini fakta yang tidak boleh dipertikaikan lagi."  Malangnya, klip berita itu sejak dikeluarkan daripada laman web CCTV, ialah bahagian laporan tentang kebuntuan selama sebulan antara China dengan Filipina berhubung dengan beting terpencil di Laut China Selatan, yang kedua-dua buah negara tuntut sebagai hak masing-masing. 


Beijing yang berkonflik dengan lima kerajaan, iaitu Vietnam, Malaysia, Brunei, Taiwan, dan Filipina, menuntu hampir seluruh 3.5 juta km persegi Laut China Selatan sebagai milik negara itu, dengan menggunakan duluan sejarah.  Sementara negara Asia Tenggara yang terlibat cenderung berpegang teguh pada, sama ada pemahaman sejarah mereka sendiri ataupun Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu tentang Undang-undang Laut, dengan had paling jauh yang sesebuah negara boleh tuntut perairaran dalam lingkungan 200 batu nautical (370 km) dari wilayah laut mereka sebagai "zon ekonomi eksklusif."


Bagi Amerika Syarikat, ketegangan di Laut China Selatan boleh diibaratkan "orang mengantuk disorongkan bantal" - sentiasa mencari ruang dan menunggu peluang untuk kembali semula ke rantau ini untuk menebus "dekad yang hilang" kerana lebih banyak tertumpu ke Iraq dan Afghanistan. 



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...