Artikel Popular

Friday, May 18, 2012

Khasiat Kopi

JUMAAT, 18 Mei 2012 
Oleh: ZULKIFLI SALLEH 

Ketika menulis  makalah untuk Dewan Budaya, saya  merujuk  beberapa sumber yang kebanyakannya saya simpan sejak beberapa bulan lalu. Sumber itu mempunyai kaitannya dengan apa yang saya tulis, iaitu "budaya kopi."  

Selain asal usul kopi, yang dikatakan berasal dari Ethiopia, kemudian tersebar ke Yaman  dan dunia Arab, seterusnya ke Eropah melalui Empayar Ottoman, dan Amerika Syarikat,  turut tergolong dalam senarai bacaan saya ialah tulisan Erin Meister dalam The Washington Post, mengisahkan ziarah kopi beliau di kota-kota Italy; Liz Alderman dalam The New York Times yang membahaskan kesukaran Starbucks  untuk menerobos pasaran Eropah, antaranya kerana faktor budaya;  John Donohue dalam The New Yorker yang mencatatkan  persembahan muzik kopi di Broadway; dan Graham Simmons dalam The Star membahaskan perang kopi antara dua kota Australia, iaitu Melbourne dan Sydney. 

Dalam asyik bercerita tentang kopi, khususnya budaya kopi, saya tidak lupa akan teh kerana ada makalah yang menarik tentang minuman ini yang ditulis oleh Celia Dodd dalam Independent.  Beliau memberitahu akan kepentingan minuman ini ketika hubungan asmara mula memuncak. 

Sebaik-baik sahaja makalah itu saya e-mel kepada editor untuk dipertimbangkan penerbitannya,  saya bersua dengan  tulisan yang dirujuk secara meluas, antaranya diterbitkan  dalam  Los Angeles Times, USA Today,  dan  Time bahawa minum kopi menyelamatkan nyawa seseorang: peminum kopi lebih panjang.  Dapatan kajian terbaharu itu  dimuatkan dalam New England Journal of Medicine  memberikan jawapan yang wujud selama ini bahawa mimum kopi membawa risiko kematian.

Sebelum ini, iaitu beberapa bulan lalu, Anneli Rufus pernah menulis dalam The Daily Beast bahawa menurut ahli sains, minuman kopi dapat mengelakkan kanser, diabetes, kemurungan, dan banyak lagi khasiat kopi yang sungguh menakjubkan. 

Alexandra Petri dalam respons terhadap dapatan terbaharu tentang khasiat kopi,  menulis "kopi, dusta, dan keabdian"  untuk melahirkan keraguan beliau. Bagi beliau, kopi mengadabkan maksiat dan kopi merupakan kegemaran baik orang demi kegemaran buruk.


Ulasan yang sinis datangnya daripada Michael Greger, M.D. yang menulis dalam The Huffington Post bahawa minum kopi dikaitkan dengan hidup lebih lama untuk lelaki dan wanita, seolah-olahnya "minuman itu mengambil alih tugas doktor."  Meskipun wujud bukti yang jelas faedah kesihatan yang berkait dengan penggunaan kopi, tulis Greger, "saya masih tidak mengesyorkan pesakit minum kopi, bukan kerana minuman ini tidak sihat, tetapi kerana ada lagi pilihan yang lebih sihat."  Beliau membandingkan kopi dengan pisang: ada lagi buah-buahan yang lebih baik.


Sama ada benar-benar berkhasiat ataupun tidak, seperti dapat panjang umur peminumnya,  namun sebagaimana minuman lain, kopi tetap diminum orang. Kegemaran seseorang terhadap kopi sukar dipadamkan, kecuali atas alasan yang sangat kuat mengapa individu berkenaan terpaksa meninggalkan kopi.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...