Artikel Popular

Tuesday, May 29, 2012

Kejayaan Bersejarah Obama

KHAMIS,  31  Mei 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Dengan masa yang hanya tinggal kurang dari dua minit,  Dewan Perwakilan Amerika Syarikat memperoleh undi ke-216, iaitu angka magik yang diperlukan untuk meluluskan rang undang-undang pembaharuan penjagaan kesihatan.  Dan, pada pukul 11.35 malam (E.T.), Ahad 21 Mac 2010, rang undang-undang diluluskan dengan 219 undi menyokong, 212 menentang, termasuk 34 orang anggota Demokrat sendiri.  Dipercayai dalam memori moden inilah kali pertama bidang besar perundangan diluluskan tanpa satu pun undi Republikan. 

Setelah bertarung selama setahun, Republikan mengharapkan pembaharuan penjagaan kesihatan itu Waterloo untuk Obama.  Strategi parti ini ialah memperlihatkan bangkangan yang bersatu terhadap idea Demokrat yang besar.  Dari perspektif perundangan,  ada yang menjangkakan  bahawa  strategi Republikan tidak berkesan, meskipun berbulan-bulan ramalan daripada anggota Republikan bahawa rang undang-undang itu akan menemui kegagalan dan akan melumpuhkan kedudukan Obama sebagai presiden.  

David Frum, felow di American Enterprise Institute, sebuah organisasi penyelidikan dipetik sebagai berkata, “Anggota  Republikan  mencuba untuk menewaskan rang undang-undang itu untuk melemahkan Presiden Obama dari segi politik, tetapi dalam proses ini, mereka melepaskan peluang mempengaruhi rang undang-undang yang amat besar.  Imperatif politik mengasak keluar imperatif dasar.  Dan, anggota  Republikan kini hilang kedua-duanya.” Beliau mengakui bahawa “dalam usaha untuk mengubah penjagaan kesihatan menjadi Waterloo Obama – ulangan bencana Clinton pada tahun 1994 – anggota  Republikan menjadikannya Waterloo mereka.”  Kini, orang mula mengakui bahawa Waterloo Obama itu berubah menjadi benih kemusnahan terhadap Republikan.

Hampir  satu abad, presiden dan anggota Kongres mencuba dan gagal untuk menyediakan faedah kesihatan universal untuk rakyat Amerika.  Kos penjagaan kesihatan dikatakan meningkat, misalnya pada tahun 2008, satu dalam enam dolar dibelanjakan untuk penjagaan kesihatan, dan dianggarkan 46 juta orang di negara itu tanpa perlindungan penjagaan kesihatan. Pembaharuan penjagaan kesihatan yang baru sahaja diluluskan itu  akan menyediakan perlindungan kesihatan kepada anggaran 32 juta tambahan rakyat Amerika, bermakna bahawa 95 peratus rakyat negara itu yang dari segi undang-undang mempunyai insurans kesihatan, iaitu meningkat daripada 83 peratus.

Beberapa bulan sebelum diluluskan,  ramai orang memikirkan  bahawa pembaharuan penjagaan kesihatan itu akan berkubur: penentangan padu daripada Republikan, Demokrat yang berbelah bahagi, dan kekalahan calon Demokrat di tangan Republikan untuk kerusi senator di Massachusetts yang sebelum ini dikuasai oleh mendiang Edward Kennedy kira-kira setengah abad.  Namun begitu,  Marc Ambinder membuat jangkaan  yang  tepat dalam makalahnya yang diterbitkan dalam  The Atlantic dalam talian pada awal Mac. “Sememangnya, perfect storm yang hampir-hampir membunuh pembaharuan penjagaan kesihatan dalam Kongres pada tahun lalu,” tulis  beliau, “iaitu suatu proses yang panjang, kepimpinan yang lemah dari Rumah Putih, bangkangan yang kuat daripada Republikan, dan pemilihan Scot Brown.  Tetapi kini, dengan tiadanya perubahan yang dapat ditanggap untuk landskap politik, peluang untuk perundangan besar diluluskan lebih cerah pada hari ini berbanding dengan keadaan dalam dua bulan.   Demokrat bergerak dari half court  ke  three-point line.”

Dengan lulusnya rang undang-undang yang melibatkan peruntukan AS$940 bilion,  Presiden Barack Obama memperlihatkan dirinya sebagai pemimpin yang tidak mudah mengaku kalah.  Sebagaimana  perjalanannya ke Rumah Putih yang terpaksa menempuh pelbagai halangan serta rintangan, bahkan beliau hampir-hampir tewas di tangan Hillary Clinton untuk calon presiden daripada Demokrat, demikian juga ranjau yang terpaksa hadapi untuk pembaharuan penjagaan kesihatan. Selepas setahun bertegang leher yang riuh-rendah, berdekad-dekad kegagalan, dan satu abad harapan yang rosak, akhirnya Amerika Syarikat, di bawah Presiden Obama sampai kepada  sistem penjagaan perubatan yang memperluaskan perlindungan hampir kepada semua warganegaranya.

Apabila Presiden Obama sibuk semula tentang penjagaan kesihatan empat minggu sebelum pengundian, iaitu menunjukkan dengan jelas keutamaan beliau, mengundang anggota  Republikan untuk menghadiri forum di Blair House, dan tanpa belas kasihan mendesak alasan beliau sendiri terhadap syarikat insurans yang macam penyangak, maka orang awam mula menarik perhatian.

Dalam beberapa minggu sebelum  dibahaskan  dalam Kongres, tumpuan beliau adalah terhadap pembaharuan penjagaan kesihatan yang membayangi setiap isu lain, sama ada luar negara ataupun dalam negara.  Bahkan, beliau sanggup  membatalkan lawatannya ke Indonesia dan Australia semata-mata untuk melobi dan memperlihatkan komitmennya.   Dalam makalah “Health Care Pushes Other Issues to the Margins” yang diterbitkan dalam The New York Times pada 19 Mac, Peter Baker memerhatikan bahawa dalam lima minggu selepas  operasi besar-besaran tentera Amerika di Marja, Afghanistan, Obama membuat 38 ucapan, kenyataan atau komen awam lain, tidak pernah sekalipun beliau menyebut operasi itu.  “Bahkan, daripada kira-kira 100,000 perkataan yang diungkapkan dalam tempoh itu,” tegas Baker, “perkataan ‘Taliban,’ ‘Marja,’ dan ‘pengganas’ tidak pernah keluar dari mulut Obama.  Tidak juga kedengaran yang mempunyai sesuatu yang ingin dikatakan tentang pembinaan penempatan di Baitulmuqqadis Timur, golongan militan di Pakistan atau perbicaraan pengganas di New York.  Sebaliknya, beliau menggunakan perkataan ‘kesihatan,’ ‘insurans,’ atau beberapa variasi untuk perkataan itu lebih 800 kali.” 

Ketika dalam wawancara Fox News, pewawancara, Bret Baier mengganggu Obama berpuluh-puluh kali untuk  menanyakan soalan jika beliau berfikir bahawa rang undang-undang itu diluluskan.  Obama menjawabnya  seperti lazim dengan penuh keyakinan: “Ya. Saya yakin rang undang-undang ini akan diluluskan. Dan alasan saya berasa yakin bahawa rang undang-undang  diluluskan adalah kerana ini ialah perkara yang betul untuk dilakukan.

Dalam wawancara itu Presiden Obama juga    menyangkal kritikan Republilkan tentang taktik parlimen, dengan mengatakan “Apa yang saya boleh beritahu anda ialah bahawa undi yang akan berlangsung  akan merupakan undi untuk pembaharuan penjagaan kesihatan.  Dan, jika anda undi menyokong, apa-apa jua bentuk yang berlaku, ini pastinya undi untuk pembaharuan penjagaan kesihatan.” Idea bahawa beliau mahukan pembaharuan “adalah kerana ini ialah perkara yang betul untuk dilakukan” dipercayai  bergema bersama-sama dengan orang ramai.  Sama ada mereka bersetuju dengan beliau ataupun tidak,   mereka kelihatan benar-benar percaya bahawa beliau mempunyai niat yang baik, dan beliau orang yang baik.

Hal ini juga   ditunjukkan dalam tinjauan pendapat Pew Research Center yang mendapati bahawa meskipun kadar penerimaan terhadap Obama ialah 46 peratus, tetapi 61 peratus rakyat Amerika masih berkata bahawa beliau masih memberikan inspirasi.  Seterusnya, 57 peratus mengambarkan beliau sebagai tegas, 54 peratus berkata bahawa beliau masih menjadikan mereka berasa mempunyai harapan, dan 49 peratus berkata beliau sebagai sumber inspirasi.

Presiden Obama  mengadakan pertemuan dan membuat panggilan kepada kira-kira tiga dozen anggota  Demokrat dalam beberapa hari dan memenuhi jadualnya untuk lebih banyak rayuan minit terakhir, termasuk rapat umum di Fairfax, Virginia.  Dalam cara kempen penuh, suara beliau semakin kuat, hampir-hampir menuntut kemenangan dengan mengisytiharkan di hadapan para khalayak yang bersorak.   “Kita akan menentukan penjagaan kesihatan di Amerika,”  beliau memberitahu khalayak.  “Anda perlu menyokong saya untuk menyelesaikan perjuangan ini. Anda perlu berdiri bersama-sama saya sebagaimana anda lakukan tiga tahun lalu dan buat beberapa panggilan dan ketuk beberapa pintu, berbincang  dengan ibu bapa anda, berbincang dengan rakan-rakan anda.  Jangan berhenti.”

Anggota Kongres Demokrat yang pada mulanya menentang, seperti Dennis J. Kucinich dari Ohio dan Dale E. Kildee dari Michigan,   mengubah pendirian mereka dengan menyokong rang undang-undang berkenaan.  Pada hari Jumaat sebelum hari penentuan, dilaporkan bahawa  seorang demi seorang anggota Kongres Demokrat yang atas pagar menentukan pendirian masing-masing, dan perjuangan yang panjang dan cukup bergelora terhadap perundangan penjagaan kesihatan yang amat penting, memang jelas memihak kepada Presiden Obama.

Sebelum  hari Ahad itu, Obama memutuskan untuk melakukan usaha terakhir melalui pujukan peribadi kepada anggota   Demokrat yang berpangkat rendah, mengatur lawatan pada hari Sabtu ke Capitol Hill.  Para pemimpin Demokrat dan Obama menumpukan usaha lobi saat-saat akhir terhadap dua kumpulan Demokrat, iaitu 37 orang yang menentang rang undang-undang awal di Dewan Perwakilan dan 40 orang yang menyokong hanya selepas dijamin rang undang-undang itu memasukkan had pengguguran kandungan yang ketat. Bart Stupak anggota Kongres Demokrat dari Michigan dan bilangan kecil yang menjadi penentu daripada anggota Demokrat lain   yang menentang pengguguran kandungan, berkata pada petang Ahad  bahawa mereka  menyokong perundangan itu.

“How Obama Did It” Peter Beinart dalam The Daily Beast berhujah bahawa presiden tewas pertarungan ideologi terhadap pembaharuan penjagaan kesihatan.   Akan tetapi, dengan tumpuan utama apakah keperluan rata-rata rakyat Amerika, beliau mengatasi perpecahan puak Kiri-Kanan, dan mengukir namanya dalam sejarah.  Mengapa pembaharuan penjagaan kesihatan diluluskan, jelas Beinart, orang ramai melihat siapakah yang turun padang dan siapakah yang merasai denyut nadi mereka.   Dengan memberikan tumpuan debat terhadap individu-individu yang keadaan  kesihatan mereka   “hidup segan mati tak mahu” akibat sistem penjagaan kesihatan kita yang dahsyat dan gila, Obama memperoleh pendapatnya dan memberi partinya keberanian.

“Kini, pada masa kita,” ulas Beinart, “berpuluh-puluh juta rakyat Amerika akan menikmati insurans kesihatan kerana sejak dua bulan lalu, Barack Obama menemui bahasa Franklin Roosevelt dan Lyndon Johnson tentang pembaharuan pragmatik dan berterus terang.”  

Pastinya, penjagaan kesihatan diluluskan kerana kepintaran perundangan Speaker Nancy Pelosi, dan kerana Rumah Putih memenangi anggota Kongres dengan pelbagai sifat baik.  Nancy Pelosi, dikatakan telah pun mencipta buku sejarah, dan kini dengan lulus penjagaan kesihatan itu, kini beliau menulis bab baru dalam mengacu-acukan kuasa.

Sambil menghargai pembaharuan penjagaan kesihatan dan mengatakan  berjuta-juta keluarga pekerja kini  dapat tidur lena, David Brooks dalam kolumnya dalam The  New York Times menyanjung Barack Obama dan  Nancy Pelosi yang memang  layak memainkan peranan utama.  Kedua-duanya terjelma dua sayap besar parti, aspirasi yang berfikiran tinggi golongan terpelajar, dan tahan lasak seperti mesin sistem parti.

“Obama dan Pelosi,” tulis Brooks, “kedua-duanya memiliki kekuatan dan ketahanan politik yang hanya ada jika anda hidup untuk kerajaan dan percaya tanpa belas kasihan dalam kemungkinannya.”  Menurut pemerhatian Brooks, anggota pasukan Obama-Pelosi menghabiskan masa untuk berusaha dalam keadaan yang berliku-liku – menahan sikap remeh anggota yang berfikiran kecil, pendapat awam yang bersikap bermusuhan, hanya kritikan dan maklumat  salah yang melampau, kumpulan besar idea yang bodoh dan ramalan salah daripada orang ramai, seperti saya yang berfikir kemungkinan menang tidak memihak kepada mereka.  “Kerana semangat yang tidak mudah luntur,” puji Brooks,  mereka layak menerima penghormatan generasi akan datang.” 

Dalam seni peperangan, setiap pihak yang berperang memilih  muka bumi yang paling memberikan kelrnihsn  untuk menyerang dan mencuba memaksakan muka bumi itu terhadap pihak lawan supaya mereka hanya  bertahan.  Hal yang sama dalam politik.  Demikian Presiden Barack Obama menjadikan  pembaharuan penjagaan kesihatan sebagai “muka bumi” untuk berperang dengan Republikan,   “Parti Tidak.”   Sesungguhnya, banyak yang boleh dipelajari daripada cara  Presiden Barack Obama menangani pembaharuan penjagaan kesihatan: mengatur strategi, membina pasukan, menggembleng kekuatan, memujuk kawan dan lawan, mendapatkan sokongan rakyat, dan memberikan keutamaan dan fokus.  Obama seolah-olahnya menghayati petua  politik klasik  bahawa “tindakan tanpa penjelmaan bukannya tindakan politik.”
        (Nota:  Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Masyarakat Mei 2010.)

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...