Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Seperti lazimnya, pada hari Jumaat pertama setiap bulan, Bureau of Labor Statistics memaklumkan kadar pengangguran di Amerika Syarikat. Yang terkini menunjukkan kadar pengangguran di negara itu untuk bulan April, seperti yang dilaporkan oleh Los Angeles Times, The Huffington Post, Time, dan Bloomberg, jatuh kepada 8.1 peratus.
Walaupun kadar pengangguran itu berkurangan daripada 8.2 peratus bulan Mac, ekonomi Amerika Syarikat hanya menambah 115,000 pekerjaan pada bulan April, sesuatu yang mengecewakan. Hal ini demikian kerana ahli ekonomi menjangkakan 160,000 pekerjaan. Jumlah pekerjaan yang diwujudkan itu, merupakan peningkatan paling kecil dalam tempoh enam, selepas disemak semula jumlah 154,000 yang dicapai pada bulan Mac adalah lebih besar daripada anggaran awalan.
Kadar pengangguran terbaharu ini, hakikatnya, paling rendah dalam tempoh lebih tiga tahun, tetapi hakikatnya, golongan penganggur dikatakan sudah putus asa untuk mencari pekerjaan. Lagipun, pertumbuhan pekerjaan yang perlahan dengan ketara selepas bermula dengan pantas hingga tahun ini, menunjukkan wujudnya liku-liku dalam perjalanan ke arah pemulihan untuk pasaran pekerjaan. Kejatuhan itu adalah terutamanya kerana 342,000 orang meninggalkan tenaga buruh, bermakna bahawa pihak berkuasa berhenti daripada menghitung mereka sebagai golongan yang menganggur. Bilangan orang yang bekerja di Amerika Syarikat sebenarnya jatuh sebanyak 169,000 orang. Lebih lima juta orang menganggur untuk tempoh lebih enam bulan, dengan separuh daripada jumlah itu tanpa pekerjaan, iaitu kira-kira sama seperti yang wujud beberapa ketika.
Berikutan laporan yang tidak memberangsangkan itu, pasaran saham dilaporkan merosot di London, juga Perancis, Jerman, dan Amerika, juga dilaporkan oleh BBC. Sementara Forbes melaporkan bahawa 50 individu dalam senarai Forbes' Real-Time Billionaires terpaksa menghabiskan masa hujung minggu dengan mengubat luka akibat kejatuhan harga saham.
Zachary Karabell yang menulis dalam The Daily Beast, menganggap laporan pekerjaan yang anemia itu menandakan bahawa gambaran pengangguran di Amerika Syarikat tidak semakin baik dan tidak juga semakin teruk. Namun, juga satu lagi bukti tentang isu kronik guna tenaga struktur jangka panjang yang bukannya semakin teruk, dan tidak juga akan lenyap segera.
Beliau mengingatkan bahawa kadar pekerjaan yang diwujudkan adalah perlahan dengan ketara dalam dua bulan lalu, upah bekus, bahkan ketika inflasi tidak beku, tenaga kerja tidak berkembang, dan maaslah kronik pengangguran jangka panjang yang menjejaskan berjuta-juta orang. "Ringkasnya, kita mempunyai tenaga kerja dengan jumlah yang besar (mungkin satu perempat penduduk yang bekerja), sama ada tidak bekerja ataupun memperoleh pendapatan tidak cukup untuk memenuhi keperluan asas. Pertumbuhan ekonomi 2.5 peratus setahun, atau 3.5 peratus setahun atau lebih, tidak akan secara ajaib mengubah realiti tersebut. Syarikat-syarikat dapat dan memperoleh berbilion-bilion dengan mengurangkan tenaga kerja."
Laporan pekerjaan April, hujah Jared Bernstein dalam blog The Huffington Post, jimat-cermat tidak berkesan. "Jimat-cermat tidak berkesan di Amerika Syarikat, tidak berkesan di Eropah, jimat-cermat tidak berkesan untuk kerajaan negeri dan tempatan." Sementara Robert Reich, yang menulis dalam blog akhbar yang sama, mengisytiharkan sesuatu yang beliau takuti, "ekonomi menegun" - mengulangi pendiriannya sebelum ini. Kadar pengangguran, hakikatnya tidak ada kemajuan" Kadar itu turun kerana kerana lebih banyak orang yang tercicir daripada tenaga kerja, terlalu berasa tidak bersemangat untuk mencari pekerjaan.
Dengan kata lain, pemulihan tidak bertenaga, membangkitkan persoalan, sama ada pemulihan ekonomi betul-betul kukuh, bukan sahaja terhadap Amerika Syarikat, tetapi juga meningkatnya ketakutan terhadap pemulihan dunia.
Brad Plumer mentafsirkan data kadar pengangguran terkini sebagai "penguncupan kadar tenaga buruh yang tidak masuk akal." Peratusan rakyat Amerika dalam tenaga buruh merosot lebih satu dekad. Pada Januari 2000, 67.3 peratus rakyat Amerika mempunyai pekerjaan atau secara aktif mencari pekerjaan. Pada tahun 2007, hanya sebelum kemelesetan, kadar ini jatuh kepada 66 peratus. Pada Januari 2009, bulan Barack Obama menjadi Presiden, kadar itu ialah 65.7 peratus. Sejak itu, kadarnya jatuh kepada 63.6 peratus, tahap yang tidak pernah berlaku sejak tahun pertama Pentadbiran Reagan.
Walaupun Republikan mendakwa pekerja yang hilang akibat dasar ekonomi Obama sehingga menyebabkan lebih tiga juga orang menganggur, hujah Plumer dengan memetik pandangan beberapa ahli ekonomi, "ceritanya lebih rumit. Satu perkara, trend ini wujud sebelum Presiden Obama. Sementara sebahagian cerita jelas bahawaa tenaga buruh menguncup kerana ekonomi yang teruk memaksa pekerja keluar daripada pekerjaan, satu faktor lagi yang signifikan, ledakan bayi berhenti awal, suatu trend yang mempunyai implikasi yang membimbangkan untuk pertumbuhan masa depan."
Melihat dalam konteks jangka panjang, Derek Thompson yang menulis dalam The Atlantic, berhujah bahawa pertama, pengangguran ialah tragedi akhir Kemelesetan Besar yang kelihatan berkurangan. Pada April, 3.7 juta orang Amerika tanpa pekerjaan untuk setahun atau lebih. Keadaan ini teruk, tetapi 600,000 orang lebih baik daripada 4.3 juta orang tanpa pekerjaan jangka panjang, seperti April 2010. Kedua, memetik Hamilton Project, yang menghitung untuk menentukan bilakah Amerika Syarikat akhirnya dapat memenuhi "jurang pekerjaan." Berdasarkan kadar pertumbuhan pekerjaan, jurang pekerja 12 juta orang ini akan dipadamkan pada akhir dekad ini. Akan tetapi, jika data April menunjukkan normal baru, "kita tidak akan memadamkan jurang hingga tahun 2030-an."
Oleh sebab Amerika Syarikat akan menghadapi Pilihan Raya Presiden pada November ini, trend pengangguran seperti ini, sedikit sebanyak mempengaruhi keputusannya. Adakah memihak kepada Barack Obama atau Mitt Romney? Setakat ini, Romney, menurut The Washington Post, menempuh laluan yang sukar yang sekurang-kurangnya perlu meraih 270 badan perwakilan pemilih. Obama, menurut tinjauan pendapat The Huffington Post, memperoleh 288 badan perwakilan pemilih berbanding dengan Romney hanya 170.
Namun, memandangkan apa yang berlaku di banyak negara, akibat kemelesetan dan pengangguran yang tinggi, rakyat menghantar "referendum" kepada kerajaan atau penjawat kini, maka adakah Barack Obama terselamat? Mungkin beliau terselamat daripada serangan terhadap kadar pengangguran yang lebih tinggi, kerana Romney semasa berkhidmat sebagai Gabenor Massachusetts, rekod pertumbuhan pekerjaan, diperhatikan lebih teruk daripada Obama dan Jimmy Carter.
No comments:
Post a Comment