Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Dengan masa yang hanya tinggal kurang dari dua minit, Dewan Perwakilan Amerika Syarikat memperoleh undi ke-216, iaitu angka magik yang diperlukan untuk meluluskan rang undang-undang pembaharuan penjagaan kesihatan. Dan, pada pukul 11.35 malam (E.T.), Ahad 21 Mac 2010, rang undang-undang diluluskan dengan 219 undi menyokong, 212 menentang, termasuk 34 orang anggota Demokrat sendiri. Dipercayai dalam memori moden inilah kali pertama bidang besar perundangan diluluskan tanpa satu pun undi Republikan.
Setelah bertarung selama setahun, Republikan mengharapkan pembaharuan penjagaan
kesihatan itu Waterloo untuk Obama.
Strategi parti ini ialah memperlihatkan bangkangan yang bersatu terhadap
idea Demokrat yang besar. Dari perspektif
perundangan, ada yang menjangkakan bahawa
strategi Republikan tidak berkesan, meskipun berbulan-bulan ramalan
daripada anggota Republikan bahawa rang undang-undang itu akan menemui
kegagalan dan akan melumpuhkan kedudukan Obama sebagai presiden.
David Frum, felow di American Enterprise Institute,
sebuah organisasi penyelidikan dipetik sebagai berkata, “Anggota Republikan
mencuba untuk menewaskan rang undang-undang itu untuk melemahkan
Presiden Obama dari segi politik, tetapi dalam proses ini, mereka melepaskan
peluang mempengaruhi rang undang-undang yang amat besar. Imperatif politik mengasak keluar imperatif
dasar. Dan, anggota Republikan kini hilang kedua-duanya.”
Beliau mengakui bahawa “dalam
usaha untuk mengubah penjagaan kesihatan menjadi Waterloo Obama – ulangan
bencana Clinton pada tahun 1994 – anggota
Republikan menjadikannya Waterloo mereka.” Kini, orang mula mengakui bahawa Waterloo
Obama itu berubah menjadi benih kemusnahan terhadap Republikan.
Hampir satu abad, presiden dan anggota Kongres
mencuba dan gagal untuk menyediakan faedah kesihatan universal untuk rakyat
Amerika. Kos penjagaan kesihatan
dikatakan meningkat, misalnya pada tahun 2008, satu dalam enam dolar
dibelanjakan untuk penjagaan kesihatan, dan dianggarkan 46 juta orang di negara
itu tanpa perlindungan penjagaan kesihatan. Pembaharuan
penjagaan kesihatan yang baru sahaja diluluskan itu akan menyediakan perlindungan kesihatan
kepada anggaran 32 juta tambahan rakyat Amerika, bermakna bahawa 95 peratus
rakyat negara itu yang dari segi undang-undang mempunyai insurans kesihatan,
iaitu meningkat daripada 83 peratus.
Beberapa bulan sebelum
diluluskan, ramai orang memikirkan bahawa pembaharuan penjagaan kesihatan itu
akan berkubur: penentangan padu daripada Republikan, Demokrat yang berbelah
bahagi, dan kekalahan calon Demokrat di tangan Republikan untuk kerusi senator
di Massachusetts yang sebelum ini dikuasai oleh mendiang Edward Kennedy
kira-kira setengah abad. Namun
begitu, Marc Ambinder membuat jangkaan yang
tepat dalam makalahnya yang diterbitkan dalam The
Atlantic dalam talian pada awal Mac. “Sememangnya, perfect storm yang hampir-hampir membunuh pembaharuan penjagaan
kesihatan dalam Kongres pada tahun lalu,” tulis
beliau, “iaitu suatu proses yang panjang, kepimpinan yang lemah dari
Rumah Putih, bangkangan yang kuat daripada Republikan, dan pemilihan Scot Brown. Tetapi kini, dengan tiadanya perubahan yang
dapat ditanggap untuk landskap politik, peluang untuk perundangan besar
diluluskan lebih cerah pada hari ini berbanding dengan keadaan dalam dua bulan. Demokrat bergerak dari half court ke three-point
line.”
Dengan
lulusnya rang undang-undang yang melibatkan peruntukan AS$940 bilion, Presiden Barack Obama memperlihatkan dirinya
sebagai pemimpin yang tidak mudah mengaku kalah. Sebagaimana
perjalanannya ke Rumah Putih yang terpaksa menempuh pelbagai halangan
serta rintangan, bahkan beliau hampir-hampir tewas di tangan Hillary Clinton
untuk calon presiden daripada Demokrat, demikian juga ranjau yang terpaksa
hadapi untuk pembaharuan penjagaan kesihatan. Selepas setahun bertegang leher
yang riuh-rendah, berdekad-dekad kegagalan, dan satu abad harapan yang rosak,
akhirnya Amerika Syarikat, di bawah Presiden Obama sampai kepada sistem penjagaan perubatan yang memperluaskan
perlindungan hampir kepada semua warganegaranya.
Apabila Presiden Obama sibuk semula tentang
penjagaan kesihatan empat minggu sebelum pengundian, iaitu menunjukkan dengan
jelas keutamaan beliau, mengundang anggota
Republikan untuk menghadiri forum di Blair House, dan tanpa belas
kasihan mendesak alasan beliau sendiri terhadap syarikat insurans yang macam
penyangak, maka orang awam mula menarik perhatian.
Dalam
beberapa minggu sebelum dibahaskan dalam Kongres, tumpuan beliau adalah terhadap
pembaharuan penjagaan kesihatan yang membayangi setiap isu lain, sama ada luar
negara ataupun dalam negara. Bahkan,
beliau sanggup membatalkan lawatannya ke
Indonesia dan Australia semata-mata untuk melobi dan memperlihatkan
komitmennya. Dalam makalah “Health
Care Pushes Other Issues to the Margins” yang diterbitkan dalam The New York
Times pada 19 Mac, Peter Baker
memerhatikan bahawa dalam lima minggu selepas
operasi besar-besaran tentera Amerika di Marja, Afghanistan, Obama
membuat 38 ucapan, kenyataan atau komen awam lain, tidak pernah sekalipun
beliau menyebut operasi itu. “Bahkan,
daripada kira-kira 100,000 perkataan yang diungkapkan dalam tempoh itu,” tegas
Baker, “perkataan ‘Taliban,’ ‘Marja,’ dan ‘pengganas’ tidak pernah keluar dari
mulut Obama. Tidak juga kedengaran yang
mempunyai sesuatu yang ingin dikatakan tentang pembinaan penempatan di
Baitulmuqqadis Timur, golongan militan di Pakistan atau perbicaraan pengganas
di New York. Sebaliknya, beliau
menggunakan perkataan ‘kesihatan,’ ‘insurans,’ atau beberapa variasi untuk
perkataan itu lebih 800 kali.”
Ketika
dalam wawancara Fox News, pewawancara,
Bret Baier mengganggu Obama berpuluh-puluh kali untuk menanyakan soalan jika beliau berfikir bahawa
rang undang-undang itu diluluskan. Obama
menjawabnya seperti lazim dengan penuh
keyakinan: “Ya. Saya yakin rang undang-undang ini akan diluluskan. Dan alasan
saya berasa yakin bahawa rang undang-undang
diluluskan adalah kerana ini ialah perkara yang betul untuk dilakukan.
Dalam
wawancara itu Presiden Obama juga menyangkal kritikan Republilkan tentang
taktik parlimen, dengan mengatakan “Apa yang saya boleh beritahu anda ialah
bahawa undi yang akan berlangsung akan
merupakan undi untuk pembaharuan penjagaan kesihatan. Dan, jika anda undi menyokong, apa-apa jua bentuk
yang berlaku, ini pastinya undi untuk pembaharuan penjagaan kesihatan.” Idea
bahawa beliau mahukan pembaharuan “adalah kerana ini ialah perkara yang betul
untuk dilakukan” dipercayai bergema
bersama-sama dengan orang ramai. Sama
ada mereka bersetuju dengan beliau ataupun tidak, mereka kelihatan benar-benar percaya bahawa
beliau mempunyai niat yang baik, dan beliau orang yang baik.
Hal ini juga
ditunjukkan dalam tinjauan pendapat Pew Research Center yang mendapati
bahawa meskipun kadar penerimaan terhadap Obama ialah 46 peratus, tetapi 61
peratus rakyat Amerika masih berkata bahawa beliau masih memberikan
inspirasi. Seterusnya, 57 peratus
mengambarkan beliau sebagai tegas, 54 peratus berkata bahawa beliau masih
menjadikan mereka berasa mempunyai harapan, dan 49 peratus berkata beliau sebagai sumber inspirasi.
Presiden
Obama mengadakan pertemuan dan membuat panggilan kepada
kira-kira tiga dozen anggota Demokrat
dalam beberapa hari dan memenuhi jadualnya untuk lebih banyak rayuan minit
terakhir, termasuk rapat umum di Fairfax, Virginia. Dalam cara kempen penuh, suara beliau semakin
kuat, hampir-hampir menuntut kemenangan dengan mengisytiharkan di hadapan para
khalayak yang bersorak. “Kita akan
menentukan penjagaan kesihatan di Amerika,” beliau
memberitahu khalayak. “Anda perlu
menyokong saya untuk menyelesaikan perjuangan ini. Anda perlu berdiri
bersama-sama saya sebagaimana anda lakukan tiga tahun lalu dan buat beberapa
panggilan dan ketuk beberapa pintu, berbincang
dengan ibu bapa anda, berbincang dengan rakan-rakan anda. Jangan berhenti.”
Anggota
Kongres Demokrat yang pada mulanya menentang, seperti Dennis J. Kucinich dari
Ohio dan Dale E. Kildee dari Michigan,
mengubah pendirian mereka dengan menyokong rang undang-undang
berkenaan. Pada hari Jumaat sebelum hari
penentuan, dilaporkan bahawa seorang
demi seorang anggota Kongres Demokrat yang atas pagar menentukan pendirian
masing-masing, dan perjuangan yang panjang dan cukup bergelora terhadap
perundangan penjagaan kesihatan yang amat penting, memang jelas memihak kepada
Presiden Obama.
Sebelum hari Ahad itu, Obama memutuskan untuk
melakukan usaha terakhir melalui pujukan peribadi kepada anggota Demokrat yang berpangkat rendah, mengatur
lawatan pada hari Sabtu ke Capitol Hill.
Para pemimpin Demokrat dan Obama menumpukan usaha lobi saat-saat akhir
terhadap dua kumpulan Demokrat, iaitu 37 orang yang menentang rang
undang-undang awal di Dewan Perwakilan dan 40 orang yang menyokong hanya
selepas dijamin rang undang-undang itu memasukkan had pengguguran kandungan
yang ketat. Bart Stupak anggota Kongres
Demokrat dari Michigan dan bilangan kecil yang menjadi penentu daripada anggota
Demokrat lain yang menentang
pengguguran kandungan, berkata pada petang Ahad
bahawa mereka menyokong
perundangan itu.
“How Obama Did It” Peter Beinart dalam The Daily Beast berhujah bahawa presiden
tewas pertarungan ideologi terhadap pembaharuan penjagaan kesihatan. Akan tetapi, dengan tumpuan utama apakah
keperluan rata-rata rakyat Amerika, beliau mengatasi perpecahan puak Kiri-Kanan,
dan mengukir namanya dalam sejarah. Mengapa
pembaharuan penjagaan kesihatan diluluskan, jelas Beinart, orang ramai melihat
siapakah yang turun padang dan siapakah yang merasai denyut nadi mereka. Dengan memberikan tumpuan debat terhadap
individu-individu yang keadaan kesihatan
mereka “hidup segan mati tak mahu”
akibat sistem penjagaan kesihatan kita yang dahsyat dan gila, Obama memperoleh
pendapatnya dan memberi partinya keberanian.
“Kini, pada
masa kita,” ulas Beinart, “berpuluh-puluh juta rakyat Amerika akan menikmati
insurans kesihatan kerana sejak dua bulan lalu, Barack Obama menemui bahasa Franklin Roosevelt dan Lyndon
Johnson tentang pembaharuan pragmatik dan berterus terang.”
Pastinya, penjagaan kesihatan diluluskan kerana
kepintaran perundangan Speaker Nancy Pelosi, dan kerana Rumah Putih memenangi
anggota Kongres dengan pelbagai sifat baik.
Nancy Pelosi, dikatakan telah pun mencipta buku sejarah, dan kini dengan
lulus penjagaan kesihatan itu, kini beliau menulis bab baru dalam mengacu-acukan
kuasa.
Sambil menghargai pembaharuan penjagaan kesihatan
dan mengatakan berjuta-juta keluarga
pekerja kini dapat tidur lena, David
Brooks dalam kolumnya dalam The New York Times menyanjung Barack Obama
dan Nancy Pelosi yang memang layak memainkan peranan utama. Kedua-duanya terjelma dua sayap besar parti,
aspirasi yang berfikiran tinggi golongan terpelajar, dan tahan lasak seperti
mesin sistem parti.
“Obama dan
Pelosi,” tulis Brooks, “kedua-duanya memiliki kekuatan dan ketahanan politik
yang hanya ada jika anda hidup untuk kerajaan dan percaya tanpa belas kasihan
dalam kemungkinannya.” Menurut
pemerhatian Brooks, anggota pasukan Obama-Pelosi menghabiskan masa untuk
berusaha dalam keadaan yang berliku-liku – menahan sikap remeh anggota yang
berfikiran kecil, pendapat awam yang bersikap bermusuhan, hanya kritikan dan
maklumat salah yang melampau, kumpulan
besar idea yang bodoh dan ramalan salah daripada orang ramai, seperti saya yang
berfikir kemungkinan menang tidak memihak kepada mereka. “Kerana semangat yang tidak mudah luntur,”
puji Brooks, mereka layak menerima
penghormatan generasi akan datang.”
Dalam seni peperangan, setiap pihak yang berperang
memilih muka bumi yang paling memberikan
kelrnihsn untuk menyerang dan mencuba
memaksakan muka bumi itu terhadap pihak lawan supaya mereka hanya bertahan.
Hal yang sama dalam politik.
Demikian Presiden Barack Obama menjadikan pembaharuan penjagaan kesihatan sebagai “muka
bumi” untuk berperang dengan Republikan,
“Parti Tidak.” Sesungguhnya,
banyak yang boleh dipelajari daripada cara
Presiden Barack Obama menangani pembaharuan penjagaan kesihatan: mengatur
strategi, membina pasukan, menggembleng kekuatan, memujuk kawan dan lawan,
mendapatkan sokongan rakyat, dan memberikan keutamaan dan fokus. Obama seolah-olahnya menghayati
petua politik klasik bahawa “tindakan tanpa penjelmaan bukannya
tindakan politik.”
(Nota: Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Masyarakat Mei 2010.)
No comments:
Post a Comment