Artikel Popular

Sunday, October 30, 2011

Kebekuan Ekonomi

AHAD,  30 Oktober 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Kebekuan ekonomi dan kelumpuhan politik merupakan ungkapan popular akhir-akhir ini kerana itulah hakikat yang berlaku di Amerika Syarikat hari ini, dan Eropah dalam usaha untuk menyelamatkan euro, demokrasi mati  minggu ini. Eropah meskipun berusaha bersetuju dalam sidang kemuncak di Brussels menyelesaikan krisis hutang Greece dengan "bergunting rambut," langkah ini dikatakan tidak dapat bertahan lama, dan mendedahkan ketandusan kepimpinan, seperti yang dikritik oleh George Soros.  Pelan penyelamat terbaharu ini dijangkakan akan gagal dalam masa seminggu, tetapi untuk berkesan, Greece dan Portugal mesti meninggalkan euro.

Sejak akhir-akhir ini wujud kecenderungan untuk membincangkan kebekuan ekonomi yang mungkin melanda negara maju. Pada akhir September lalu, The Telegraph memetik ahli ekonomi di Goldman Sachs bahawa wujud risiko yang semakin membesar bahawa ekonomi global bergerak dari "Kemelesetan Besar" menjunam ke kancah "Kebekuan Besar."  Ahli-ahli ekonomi itu menjelaskan bahawa kebekuan lazimnya bermaksud tempoh yang lama bagi pertumbuhan yang lembap, iaitu kira-kira 0.5 peratus, inflasi yang rendah, pengangguran yang meningkat dan lekit, harga rumah yang beku, dan pulangan rendah daripada saham.  Wujud peluang 40 peratus situasi semasa berkembang ke arah tempoh kebekuan dalam kalangan ekonomi maju.

Editorial Monthly Review bulan ini juga membahaskan  bahawa Amerika Syarikat terjebak dalam kebekuan, meskipun kemelesetan berakhir pada Jun 2009.  Ekonomi kapitalis terus beku dengan kadar pertumbuhan ekonomi Amerika Syarikat pada satu peratus pada suku kedua, menyusuli 0.4 peratus suku pertama tahun 2011, dan dengan kedua-keduanya, iatu Kesatuan  Eropah dan Jepun sama-sama dalam keadaan yang teruk.  Editorial itu memetik The New York Times bahawa sesungguhnya, Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah, dan Jepun menghala ke laluan "yang akan memanjangkan kebekuan ekonomi mereka dan membenamkan mereka ke dalam satu lagi kemelesetan."  


Editorial itu membahaskan bahawa di bawah keadaan seperti ini, para pengulas ekonomi arus perdana akhirnya mula membuka mata mereka kepada realiti kebekuan  endemik.  Editorial berkenaan juga memetik buku The Great Stagnation oleh Tyler Cowen  yang mengakui bahawa wujud masalah di Amerika Syarikat dari segi "kebekuan multidekad."  Justeru, Cowen menulis pengalaman tiga pemulihan ekonomi Amerika tanpa pekerjaan, seperti yang berlaku pada tahun 2009, 2001, dan 1991, yang dari segi sifatnya tanpa pekerjaan.  Pemulihan perdagangan berlaku lebih cepat jika dibandingkan dengan pemulihan pekerjaan.


Amerika Syarikat, seperti yang diketahui masih lagi mengalami pertumbuhan yang lemah, iaitu
 pada kadar 2.5 peratus pada suku ketiga tahun ini, sedangkan pengangguran pula masih degil pada kadar 9.1 peratus.  Demikian juga Eropah yang banyak memberikan tumpuan menyelesaikan krisis zon euro, padahal  pertumbuhan  secara keseluruhannya terlalu lemah dan pengangguran masih tinggi.  


Selain kemungkinan kemelesetan curam berganda, dunia juga dikhuatiri kemungkinan mengalami kebekuan ekonomi.  Baik kemelesetan curam berganda mahupun kebekuan ekonomi, jelas bahawa dunia masih dihantui oleh mimpi ngeri akibat krisis 2008-2009. Meskipun ekonomi dunia dikatakan pulih pada tahun lalu, kesannya  tidak kelihatan kerana kadar pengangguran di banyak negara adalah tinggi.







No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...