Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Setelah beberapa hari mati dibunuh, pegawai Majlis Peralihan Nasional (NTC) memaklumkan bahawa Muammar Gaddafi bersama-sama anaknya, Mutassim dikebumikan di sebuah lokasi rahsia pada waktu subuh hari Selasa. Kedua-duanya ketika ditangkap masih hidup dengan beberapa kecederaan, tetapi meninggal dunia sehari kemudian. NTC dilaporkan tidak mahu kubur Gaddafi itu menjadi tempat suci.
Selepas sembilan bulan satu minggu tercetusnya perjuangan yang sengit dalam Pemberontakan Arab, akhirnya Libya menyambut Hari Pembebasan pada hari Ahad lalu, berikutan tumpasnya Gaddafi yang memerintah selama 42 tahun.
"Malangnya, untuk dirinya dan untuk Libya," tulis Mohamad Bazzi dalam Foreign Policy, "Gaddafi mengkhianati revolusinya sendiri, sebagaimana orang kuat Arab yang lain untuk generasinya. Kematiannya menandakan berakhirnya pemerintahan pemimpin nasionalis gaya lama."
Kematian Gaddafi itu akan memberikan suntikan semangat terhadap Revolusi Arab yang hampir terkubur seketika apabila rejim Libya, Syria, dan Yaman enggan berundur. Dan, diharapkan rentak revolusi Libya merebak ke seluruh dunia Arab. Namun, dari satu segi yang lain, "memperlihatkan kepura-puraan Barat dalam meraikan kematian," tulis Banyan dalam blog The Economist.
Bahkan, Bernard-Henri Levy, ahli falsafah Perancis yang pernah menasihati Presiden Nicolas Sarkozy supaya menyerang Libya, yang menulis dalam Newsweek tidak berasa senang terhadap cara Gaddafi diperlakukan dan dibunuh kerana ini boleh "menjejaskan Pemberontakan Libya." Sesetengahnya merasakan kematian Gaddafi itu tidak membawa apa-apa makna berbanding dengan beliau ditangkap dan dibicarakan.
Lebih menimbulkan keseraman apabila GlobalPost dan The Huffington Post mendedahkan kemungkinan Gaddafi diliwat dengan menggunakan pisau atau kayu. Berikutan pendedahan itu, Perdana Menteri sementara Libya, Mustafa Abdul Jalil berjanji akan menyiasat punca sebenar yang menyebabkan kematian Gaddafi.
Memang banyak pihak, termasuk Barat berasa tidak puas hati terhadap cara Gaddafi dan mayatnya diperlakukan serta pengebumian di lokasi gurun rahsia, tetapi seperti yang dihujahkan oleh Jonathan Jones semalam, "peperangan selalunya amat dahsyat." Atau dengan kata lain, inilah harga yang perlu dibayar, pengorbanan perlu ditanggung akibat pemberontakan atau revolusi.
No comments:
Post a Comment