Artikel Popular

Saturday, October 15, 2011

PPSMI: Referendum? Referendum Apa Jadahnya?

SABTU,  15  Oktober 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Dua kumpulan, seperti yang dilaporkan oleh The Star semalam, iaitu Parent Action for Education Malaysia (PAGE) dan Jaringan Melayu Malaysia (JMM) mendesak diadakan referendum atau pungutan suara jika wujud sokongan awam yang  cukup untuk pilihan melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris ((PPSMI). Menurut kedua-dua kumpulan ini lagi, "Kami hanya mendesak untuk anak-anak kami diberikan peluang untuk belajar mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris.

Pantasnya memori terhakis atau dihakiskan bahawa tujuan pelaksanaan PPSMI mulai tahun 2003 adalah untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris.  Tiba-tiba kebelakangan ini, berubah kepada penguasaan sains dan matematik.  Sebagaimana yang kita sedia maklum, keputusan pelaksanaan PPSMI dibuat dalam mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO pada tahun 2002 (pada bulan April atau Mei - kalau tidak silap).  Namun, tidak ada pengulas yang mempersoalkan mengapa keputusan dibuat di situ, sedangkan banyak pengulas mempersoalkan pengumuman wajib lulus mata pelajaran Sejarah yang dibuat sempena Perhimpunan Agung UMNO.  

Kedua-dua kumpulan itu juga dilaporkan akan mengumpulkan sejuta tandatangan sebagai menandakan sokongan terhadap PPSMI.  Sebagai makluman, ketika Tun Dr. Mahathir Mohamad, Perdana Menteri ketika itu mengumumkan pelaksanaan PPSMI, ada juga tandatangan dikumpulkan sebagai tanda penentangan, tetapi kerajaan tetap juga melaksanakannya. 

Sebagai sebuah negara yang mengamalkan demokrasi, memang tidak wajar untuk menyekat usaha untuk mengadakan referendum atau pungutan suara untuk  rakyat Malaysia.  Namun  begitu,   lazimnya pungutan suara dilaksanakan oleh pihak yang dilantik khusus, dan pihak itu mesti berkecuali, seperti Suruhanjaya Cobbold yang diamanahkan mengadakan pungutan suara,  sama ada rakyat Sabah dan Sarawak ingin menyertai pembentukan Malaysia, ataupun  tidak.  Maksudnya, pihak yang berkepentingan tidak boleh terlibat dalam melaksanakan pungutan suara itu. Maksudnya juga, kalau sekadar pihak berkepentingan mengumpulkan  tandatangan,  seperti yang ingin dilaksanakan  PAGE dan JMM, tidak kira berapa jumlahnya, sejuta atau 10 juta orang,   itu bukannya pungutan suara.  

Memang tegak bulu roma apabila mendengar desakan diadakan  "pungutan suara"  untuk pelaksanaan PPSMI.  Namun begitu, jangan pula menunjukkan kejahilan diri sendiri tentang maksud pungutan suara itu.  Tidak perlu disebut lagi tentang pihak yang dipertanggungjawab dan diamanahkan mengadakan pungutan suara untuk rakyat Malaysia, bukannya untuk pungutan suara itu segelintir kumpulan.  Mungkin sebuah "suruhanjaya" perlu dibentuk, dan suruhanjaya ini bukan sekadar melaksanakan pungutan suara, tetapi juga perlu memberikan taklimat kepada seluruh rakyat Malaysia, baik di Semenanjung mahupun di Sabah dan Sarawak.  

Selain itu, peruntukan perlu disediakan untuk membentuk "suruhanjaya" dan mengadakan pungutan suara di seluruh Malaysia, bukannya mengadakan pungutan suara melalui blog atau Facebook. Siapa yang ingin menyediakan peruntukan tersebut?  Kalau kerajaan Malaysia, pasti ada yang mendakwanya suatu pembaziran.  

Banyak lagi isu yang timbul dalam pelaksanaan pungutan suara ini.  Tidak termasuk, pengundi hantu, pendatang asing (yang sah dan tanpa izin) yang pasti didakwa  turut mengundi. 


Lazimnya, berdasarkan pengalaman di Malaysia, termasuk desakan  penubuhan suruhan diraja, pihak yang mendesak itu mengharapkan keputusan itu memihak kepada mereka.  Jika keputusan sebaliknya, banyak pula cerita yang dihebohkan dan tohaman yang dilemparkan.  Mungkin dalam kes pungutan suara pelaksanaan PPSMI, selepas keputusan diketahui, ada yang menuduh pungutan itu dilakukan secara tidak adil, berlaku penipuan, dan sebagainya.  Silap-silap "beruk" dan "monyet" didakwa turut mengundi.


Pelaksanaan PPSMI sesungguhnya bukannya  persoalan pilihan atau opsyen, tetapi lebih merupakan persoalan  amalan undang-undang (law of the land): bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara.   Jika saya tidak bersetuju dengan amalan undang-undang di  negara ini, maka saya mengingatkan diri saya sendiri, saya "boleh berambus."



Jika pihak yang mendesak diadakan pungutan suara tidak faham dari segi "konsep" dan "amali,"  maka bahasa yang paling sopan: apa jadahnya?


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...