Artikel Popular

Monday, October 17, 2011

Panik Berlalu, Krisis Masih Membeku

SELASA, 18 Oktober 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Apabila  Lehman Brothers, firma yang berusia 158 tahun yang dibebani hutang bernilai AS$60 bilion diisytiharkan bankrap pada 15 September 2008, pasaran saham Amerika Syarikat, Eropah, dan Asia-Pasifik lintang-pukang, berwajah muram,  dan    putus asa. Kata-kata yang  paling sesuai,  raksasa  baham  Wall Street. Kekejaman September  terus melanda  pasaran saham pada bulan berikutnya,  belum menunjukkan tanda bila  akan reda.  Gelombang jualan panik merentas dunia apabila   para peniaga yang dihantui ketakutan  kemelesetan melambakkan saham mereka.

              Dengan merujuk kepada kejatuhan pasaran saham pada 6 Oktober,  Sean O’Grady, dalam akhbar The Independent memberikan gambaran yang amat tepat:  “Hari ketakutan melanda pasaran.”  Tegas editor ekonomi akhbar itu lagi, “Takut.  Jika ada satu perkataan untuk merumuskan pasaran kewangan dunia semalam, takut paling sesuai.  Tidak ada orang yang ingin membeli saham, dan  sekali lagi, tidak ada orang yang ingin meminjamkan wang mereka.” “Ribut ini,” tegas Sean O’Grady, “tidak menunjukkan tanda akan reda.” 
Krisis kewangan global mengheret dunia ke kancah kemelesetan dan kemungkinan berlakunya Kemelesetan Besar sekali lagi.  Kebanyakan negara berhempas pulas untuk menyelamatkan ekonomi masing-masing: daripada pelan penyelamat kepada pakej  rangsangan, daripada penurunan kadar faedah kepada pemiliknegaraan, daripada kemunculan semula kawal selia kepada   fahaman perlindungan, daripada Kerajaan Kecil kepada Kerajaan Besar. 
Di peringkat antarabangsa, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Bank Dunia, G-8, dan G-20  mengadakan pertemuan demi pertemuan untuk menyelamatkan dunia daripada terus terjebak dalam  krisis yang cukup dalam ini. Mengikut data yang dikumpulkan oleh Bloomberg, institusi kewangan di seluruh dunia mengumpulkan kerugian lebih AS$1.4 trilion ketika krisis kewangan.  Di Eropah, kerajaan dan bank pusat terpaksa menampung AS$5.2 trilion dalam bentuk jaminan dan pembiayaan. Niall Ferguson, ahli sejarah di Harvard University meramalkan bahawa akibat krisis kewangan,  banyak negara Eropah akan jatuh muflis. 

Tatkala perasaan bimbang menghantui banyak pihak,  kapitalisme Inggeris-Amerika pula  dihadapkan ke muka perbicaraan.   Dalam kalangan penyokong pasaran bebas timbul kekhuatiran  bahawa penguasaan ideologi pasaran bebas yang berjaya  mengetepikan peranan kerajaan dalam ekonomi hingga ke hari ini, iaitu  hasil  Revolusi Reagan pada tahun 1980-an akan  berakhir. Juga  wujud   kemungkinan bahawa  di sesetengah negara, kemelesetan mencetuskan revolusi.
Setelah beberapa bulan mengharungi pancaroba, sinar harapan mula kelihatan.  Dengan memetik kata-kata Presiden Amerika, Barack Obama, “kita mula menahan kemelesetan dan keadaan paling dahsyat mungkin di belakang kita” yang merujuk kepada jumlah bersih kehilangan pekerjaan 247,000 orang pada bulan Julai berbanding 443,000 orang Jun ketika Amerika  bertungkus-lumus untuk keluar daripada kemelesetan terburuk sejak Perang Dunia Kedua.
Data terbaru menunjukkan bahawa Jerman dan Perancis dua penjana zon euro mengalami pertumbuhan semula pada suku tahun kedua, manakala Hong Kong berjaya merangkak keluar daripada kemelesetan yang melanda setahun apabila pada suku tahun kedua, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara kota itu meningkat 3.3 peratus yang terselaras secara musim dari suku tahun sebelum ini yang jatuh sebanyak 4.3 peratus.
Jatuh bebas dan  lintang-pukang yang mewarnai  pasaran saham mula berubah, meskipun sesetengah pengulas dan ahli ekonomi berasa pesimistik.  Dan, pesimistik ini  pada mulanya berasas kerana pada Mac tahun ini, kebanyakan pasaran mengalami kejatuhan jika dibandingkan dengan awal tahun.  Hanya sejak bulan berikutnya, pasaran mula menunjukan tanda-tanda pemulihan dan menempa kerancakan.  Walau bagaimanapun,   rentak ini tidak dapat bertahan pada bulan Jun dan   dikatakan kejatuhan  ini sebagai pembetulan.
Pada  bulan Julai, prestasi beberapa pasaran dunia cukup menakjubkan. KDNK China sebanyak 7.9 peratus pada suku tahun kedua – lebih tinggi daripada yang dijangka,  membantu meningkatkan sentimen para pelabur.  Pada pertengahan  Julai, FBM KLCI      mencecah tahap 1,100 mata kali pertama sejak Ogos tahun lalu.  Pada bulan ini juga  Hang Seng  mengatasi paras 20,000 mata, kali pertama sejak keruntuhan Lehman Brother apabila Hang Seng jatuh 43 peratus, manakala  Nikkei  mengatasi paras 10,000 mata, kali pertama sejak pertengahan Jun.
Pada 23 Julai Wall Street mempamerkan persembahan yang cukup menarik. Seawal urus niaga, kira-kira pukul 10.20 pagi waktu di sana, Purata Industri Dow Jones (Dow) mula memasuki wilayah 9,000 mata untuk seketika,  kemudian berundur sedikit.  Kira-kira 25 minit kemudian, Dow mencecah 9,030 mata.  Dalam kemaraan yang cukup dramatik ini, Dow ditutup pada 9,069.29  mata, meningkat 188.03 mata (2.12 peratus) – mencecah lebih 9,000 mata kali pertama sejak Januari 2009. 
Secara keseluruhannya,  beberapa pasaran dunia menunjukkan prestasi yang baik.  Dari awal Januari hingga  31 Julai,  dari segi peratusan, Komposit Shanghai meningkat paling tinggi, iaitu 81.42 peratus, diikuti oleh Komposit Jakarta (61.63 peratus) dan Sensex  sebanyak 58.23 peratus, manakala FBM KLCI yang menggantikan  KLCI mulai 6 Julai meningkat 31.37 peratus.  Namun begitu, dalam tempoh berkenaan, peningkatan Dow dan FTSE masih merangkak-rangkak, masing-masing 1.52 peratus dan 1.02 peratus (rujuk rajah). 
Mungkin terlalu awal untuk meraikan kemenangan dalam pertarungan sengit menentang krisis kewangan global dan kemelesetan. Malahan, di tengah-tengah kerancakan pasaran The Wall Street Journal dalam keluaran awal Ogos  mempercayai bahawa  keadaan ini hanya  larian lembu jantan tua, dan oleh itu,     larian   akan semput. 
 Meskipun krisis kewangan telah reda, tetapi ekonomi terus-menerus menjadi degil dan merupakan masalah yang rumit. Eropah, misalnya,  masih berhadapan dengan kemungkinan bahawa pemulihan adalah perlahan atau bahkan terhenti pada awal 2010 kerana usaha lambat untuk membaiki sistem perbankan di benua itu dan peningkatan pengangguran yang ketara. 
Nouriel Roubini, profesor ekonomi di New York University, semasa persidangan di Paris meramalkan krisis kewangan belum berakhir dan wujud risiko kemelesetan curam berganda (double-dip recession).  Bekas Pengerusi Rizab Persekutuan,  Alan Greenspan semasa bercakap dalam program televisyen “This Week” ABC, memberikan amaran bahawa double dip atau kembali kepada pengecutan adalah pada tahap risiko kerana harga rumah belum lagi stabil.  Setiausaha Perbendaharaan, Timothy Geithner yang juga bercakap dalam program ABC itu  tidak menafikan ancaman double dip yang kini menjadi tumpuan pihak berkuasa  Amerika.
Dunia  berjaya menepis daripada berlakunya  Kemelesetan Besar,  tetapi  dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya dua tahun lagi atau lebih untuk pulih sepenuhnya. Meskipun saat-saat getir krisis ekonomi sudah berlalu,  tetapi dunia kini sedang berhadapan dengan kelembapan ekonomi yang berpanjangan.  Keadaan semasa yang dialami kini sama seperti “abad kegelapan” Jepun pada tahun 1990-an.  Demikian kata Paul Krugman, Penerima Hadiah Nobel Ekonomi ketika menyampaikan ucapan di Simposium Pasaran Modal Dunia di ibu negara baru-baru ini. ''Bagaimana mana dunia berjaya menempisnya? Tidak siapa yang boleh memberi jawapan kepada persoalan tersebut kerana  Tuhan sahaja yang tahu.”
Meskipun  pucuk hijau mula bertunas, namun berdasarkan  laporan tahunan Bank of International Settlements yang beribu pejabat di Basle,  para pembayar cukai di seluruh dunia dijangkakan masih berhadapan dengan kemungkinan menanggung kerugian yang besar kerana kerajaan gagal bertindak pantas untuk mengetepikan aset toksid daripada kunci kira-kira bank-bank utama.  Pemulihan diancam oleh aset toksid, dan meskipun berbulan-bulan tindakan terselaras di seluruh dunia untuk menstabilkan sistem perbankan, bahaya tersembunyi masih terhendap-hendap dalam institusi kewangan dunia.
Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)  dalam World Economic Outlook Update  memaklumkan bahawa ekonomi dunia mula keluar daripada kemelesetan yang tidak pernah berlaku sejak era pasca-Perang Dunia Kedua, tetapi penstabilan tidak seimbang dan pemulihan dijangkakan lembap.  Pertumbuhan ekonomi dalam tempoh 2009-2010, kini diunjurkan kira ½ titik peratusan lebih tinggi daripada yang diunjurkan dalam World Economic Outlook bulan April 2009, mencecah 2.5 peratus pada tahun 2010. 
Ramalan terbaru  Bank Dunia menunjukkan bahawa pada tahun ini ekonomi dunia akan mengecut sebanyak 2.9 peratus dan memberikan amaran bahawa kejatuhan dalam pelaburan di negara membangun akan meningkatkan kemiskinan.  Perdagangan dunia dijangka menjunam sebanyak 9.7 peratus tahun ini, manakala jumlah KDNK bagi negara pendapatan tinggi mengucup sebanyak 4.2 peratus. Pertumbuhan ekonomi di negara membangun sepatutnya  perlahan, iaitu kepada 1.2 peratus.  Bank Dunia juga  menjangkakan pertumbuhan ekonomi dunia berlaku pada tahun depan dengan pengembangan dua peratus, lebih rendah daripada 2.3 peratus yang diramalkan sebelum ini. 
Pada pertengahan tahun ini, Presiden Bank Dunia, Robert Zoellick, seperti yang dilaporkan dalam The Wall Street Journal, berkata bahawa meskipun tanda kemelesetan mungkin reda di negara kaya, tetapi  negara membangunan mengalami kejatuhan dalam eksport, kiriman wang, dan pelaburan asing.  Negara membangun kemungkinan memerlukan antara AS$350 bilion hingga AS$635 bilion dalam pembiayaan tahun 2009 untuk mengetepikan hutang. 
Dengan penegasan bahawa kemerosotan global berlaku dalam bentuk “gelombang” negara membangun sepatutnya memberikan tumpuan sekarang terhadap usaha membaiki sistem kewangan.  Bagi Zoellick, dalam gelombang pertama, krisis kewangan melanda Amerika dan Eropah.  Oleh sebab pasaran negara maju kering-kontang, maka gelombang kedua melanggar negara membangun. “Kini, gelombang ketiga melemahkan institusi kewangan di negara berkenaan,” kata beliau, “yang boleh mencetuskan gelombang keempat yang boleh melemahkan lagi institusi kewangan di Amerika danEropah.”
            Kira-kira dua bulan sebelum ini, Zoellick memaklumkan  bahawa krisis ekonomi boleh berubah kepada bencana.  “Krisis kewangan global boleh menjadi ‘bencana kemanusiaan dan pembangunan’ bagi banyak negara miskin. Negara membangun merupakan kawasan utama yang menghadapi akibat yang teruk terutamanya dengan krisis kewangan ini mengheret lebih 50 juta orang ke dalam kemiskinan yang amat teruk, khususnya wanita dan kanak-kanak.”  
Beliau  berkata beberapa ekonomi miskin dilanda oleh gelombang kedua dan ketiga krisis ini.  Tiada seorang pun yang tahu berapa lama krisis berakhir atau bilakah pemulihan akan bermula.  “Telah diakui secara meluas bahawa dunia menghadapi krisis ekonomi yang tidak pernah berlaku sebelum ini, golongan miskin akan menanggung penderitaan yang teruk dan kita mesti terus bertindak dalam masa sebenar demi mencegah malapetaka manusia.” 
Yang jelas, kemelesetan yang kelihatan berakhir masih ditemani oleh kadar pengangguran yang tinggi, dan krisis ini  tidak mudah  terungkai. Pengangguran mungkin terus meningkat, pemulihan akan perlahan, teragak-agak, dan berpatah balik. Dengan pengangguran meningkat, bermakna kesejahteraan psikologi makin teruk.
Menurut  Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), kehilangan pekerjaan di seluruh dunia akibat kemelesetan yang bermula di Amerika Syarikat pada Disember 2007 boleh mencecah tahap yang memeranjatkan, iaitu 50 juta orang  pada akhir 2009. ILO juga menjangkakan pengangguran di Asia antara tahun 2008 – 2009 mencecah 7.2 juta orang.  Dikatakan daripada peguam di Paris kepada pekerja kilang di China dan pengawal peribadi di Colombia, golongan yang hilang pekerjaan merebak dengan pantas di seluruh dunia.
Kadar pengangguran yang tinggi, terutama dalam kalangan pekerja muda mencetuskan protes, seperti yang berlaku  di Latvia, Chile, Greece, Bulgaria, dan  Iceland dan menyumbang kepada mogok di  Britain dan Perancis. Seperti yang ditegaskan oleh  Ferguson:  “Banyak berlaku rusuhan di kota-kota besar pada tahun ini.  Jika anda tidak percaya kepada perundangan, anda akan melakukan rusuhan jalanan.” 
Di Amerika, walaupun  ekonomi mungkin semakin baik, tetapi peluang pekerjaan bergerak perlahan.  Para majikan yang memberhentikan pekerja pada tahun lalu tidak mahu tergesa-gesa mengambil pekerja hanya kerana kemelesetan pada penghujungnya.  Ahli-ahli ekonomi berpendapat bahawa pengangguran mungkin tidak akan kembali ke tahap yang baik hingga tahun 2013.  Kemelesetan telah meragut 6.7 juta pekerjaan di negara itu, dan 14.5 juta pekerja yang menganggur gagal mendapatkan pekerjaan. 
Oleh sebab satu dalam setiap 10 orang Amerika akan tanpa pekerjaan pada awal 2010, ahli ekonomi menjangkakan ini akan menggoncangkan keyakinan golongan yang masih bekerja dan tidak menggalakkan perbelanjaan. “Keadaan ini memerlukan masa hingga 15 tahun untuk membaiki sepenuhnya kewangan yang terjejas oleh kemerosotan dalam nilai rumah, saham, dan guna tenaga,” ulas Edmund Phelps, Penerima Hadiah Nobel Ekonomi.  
Sementara pengangguran di Britain meningkat sebanyak 220,000 orang dalam tempoh tiga bulan hingga Jun 2009 menjadi 2.435 juta orang menganggur, tertinggi sejak tahun 1995.  Pejabat bagi Perangkaan Negara (Office for National Statistics) memaklumkan bahawa kadar pengangguran kini adalah 7.8 peratus daripada jumlah tenaga kerja.  Di negara ini, pengangguran dalam kalangan belia sangat membimbangkan kerana meningkat dengan pantas, dan dikatakan  kemelesetan akan mengakibatkan kehilangan generasi orang muda yang tidak dapat memasuki pasaran pekerjaan. 
Pengangguran di Jerman pada Julai meningkat 52,000 orang kepada 3.46 juta orang pada asas tidak selaras.   Kadar pengangguran di Jepun pada Mei  meningkat ke paras tertinggi dalam tempoh lima tahun, apabila kadarnya meningkat kepada 5.2 peratus daripada lima peratus April.  Untuk negara lain, Sepanyol, pengangguran lebih empat juta orang dalam suku pertama tahun ini, dengan kadar pengangguran meningkat kepada 17.4 peratus pada akhir Mac.  Pengangguran di negara ini lebih sekali ganda daripada purata Kesatuan Eropah. 
Pada awal tahun ini, kadar pengangguran di Ireland ialah 8.2 peratus, Perancis 8.1 peratus, Greece 7.5 peratus, dan Kanada 7.2 peratus.  Kemelesetan di China menyebabkan 26 juta orang hilang pekerjaan, manakala    di Malaysia, angka terkini menunjukkan pengangguran meningkat kepada 4.5 peratus pada akhir tahun ini berbanding 3.7 peratus tahun lalu.
Dari hari ke hari, orang ramai yang mendendangkan “kemelesetan berakhir” semakin banyak dan semakin nyaring.  Namun begitu, dengan merujuk kepada Amerika, Joseph Stiglitz, Penerima Hadiah Nobel Ekonomi, mengingatkan bahawa penggubal dasar dan ahli ekonomi yang berasa optimis pada hari ini berhadapan dengan risiko keraguan tentang pengakhiran teknikal kemelesetan dengan pemulihan yang kuat.
“Sesungguhnya, silap untuk mengatakan kerana kita keluar daripada erti kata jatuh bebas dan  mungkin kita beralih ke sudut bahawa kita di jalan untuk pemulihan.”  Beliau mengemukakan beberapa kemungkinan halangan negatif yang kemelesetan mungkin tempuhi: kelemahan dalam hartanah komersial; defisit yang besar di peringkat negeri, mendorong banyak lagi kehilangan pekerjaan; dan banyak orang Amerika pada risiko memiliki faedah pengangguran yang telah tamat tempoh.
Nouriel Roubini,  dilaporkan berkata bahawa ekonomi global masih dalam kemelesetan yang tidak akan berkesudahan hingga akhir tahun ini, meskipun “kini ada kemungkinan kelihatan  cahaya di hujung terowong.”  Beliau tidak menolak kemungkinan berlaku lagi kemelesetan pada akhir 2010 atau 2011 kerana hutang kerajaan yang meningkat, harga minyak yang lebih tinggi, dan kurang pertumbuhan pekerjaan.
Dalam kolumnya dalam The New York Times awal Ogos, Paul Krugman berkata yang menyelamatkan kita daripada Kemelesetan Besar kedua ialah Kerajaan Besar.  Walau bagaimanapun, beliau juga berpendapat bahawa situasi ekonomi tetap teruk, bahkan teruk daripada kebanyakan orang  mungkin fikir tidak berapa lama dahulu.  “Negara (Amerika) kehilangan 6.7 juta pekerjaan sejak kemelesetan bermula.  Sebaik sahaja anda mengambil kira keperluan untuk mencari pekerjaan untuk penduduk dalam umur pekerjaan yang  berkembang, anda kemungkinan kekurangan kira-kira sembilan juta pekerjaan yang sepatutnya kita ada.”
Memang terasa aneh apabila ahli ekonomi Keynesian, seperti Joseph Stiglitz dan Paul Krugman menyatakan kekhuatiran mereka terhadap pengangguran yang pasti membantutkan pemulihan.  Hal ini demikian kerana seperti yang pernah ditunjukkan oleh ahli ekonomi tersohor pada abad ke-20, John Maynard Keynes, ekonomi boleh mencari keseimbangannya dengan pengangguran yang berlaku  berterusan dan serius.  Kapitalisme mungkin kembali kepada pertumbuhan dan menghasilkan keuntungan tanpa kembali kepada guna tenaga penuh.  
Semasa   Simposium Pasaran Modal Dunia, Laura Tyson, Penasihat Ekonomi Presiden Amerika, Barack Obama, mengemukakan pandangan bahawa  dalam menghadapi krisis ekonomi global, negara-negara Asia perlu beralih kepada permintaan dalam negara  bagi memastikan pertumbuhan ekonomi.  Namun begitu,  dalam situasi pengangguran yang tinggi permintaan dalam negara lazimnya lemah, dan oleh itu, mustahil dapat memacu pertumbuhan ekonomi.
 Malahan, di Amerika sendiri keyakinan pengguna masih runcing.  Apabila jualan runcit di Amerika bulan Julai jatuh sebanyak 0.1 peratus selepas peningkatan sederhana selama dua bulan, ini  memudarkan keyakinan bahawa    ekonomi yang akhir-akhir ini seolah-olahnya   keluar daripada kemelesetan.  Kuasa perbelanjaan pengguna adalah kira-kira 70 peratus aktiviti ekonomi, tetapi  dikatakan bahawa isi rumah  tidak berada dalam kedudukan untuk memacu pemulihan ekonomi yang lebih baik.   Seperti yang dinyatakan oleh Chris Rupkey, ketua ahli ekonomi kewangan di Bank of Tokyo-Mitsubishi UFJ Ltd. di New York: “Jika para pengguna kurang yakin, nescaya mereka tidak dapat membantu kita untuk  keluar daripada kemelesetan yang lama dan gelap ini.  Isi rumah masih bimbang tentang masa depan pekerjaan.”
Apabila Jabatan Perdagangan Amerika memaklumkan bahawa upah dan gaji yang memacu pemulihan dalam perbelanjaan jatuh sebanyak 4.7 peratus dalam tempoh 12 bulan hingga Jun tahun ini, kejatuhan terbesar sejak catatan dimula pada tahun 1960,  Bloomberg.com melaporkan bahawa para pengguna mula mengubah kelakuan mereka  dan mereka akan menyimpan lebih banyak akibat tekanan terhadap upah dan guna tenaga masih merosot. 
Semasa melawat London School of Economics (LSE), Ratu Elizabeth bertanya mengapa tiada seorang pun yang meramalkan berlakunya  kerkah kredit. Kemudian, dalam jawapan bertulis kepada baginda yang ditandatangani oleh Profesor Tim Besley dari LSE dan ahli sejarah kerajaan yang terbilang, Peter Hennessy, memaklumkan bahawa “psikologi penafian” yang mencengkam dunia kewangan dan politik terbenam ke dalam krisis.
Keasyikan terhadap pucuk hijau dan  lupa akan rumpai kuning, maka  psikologi penafian ini nampaknya masih tebal. Akibatnya, pelbagai krisis yang masih membeku seakan-akan dilupakan sama sekali. Mungkinkah selepas ini, Ratu Elizabeth akan mengemukakan soalan: Mengapakah psikologi penafian ini masih mencengkam orang ramai?

(Nota:  Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Ekonomi Oktober 2009.)

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...