Artikel Popular

Tuesday, October 11, 2011

Kekeliruan Geronimo, Obama, Osama

RABU,  12  Oktober 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Ketika pasukan SEAL bersiap sedia untuk mengangkat mayat ke dalam helikopter, dari ibu pejabat CIA, di Langley, Naib Laksamana Ketumbukan Opearasi Khas Bersama, J William McRaven menyampaikan keputusan.  Suaranya disampaikan ke Bilik Situasi Rumah Putih:  “Geronimo: E-KIA,” yang bermaksud enemy – killed in actionPentagon mengumumkan bahawa CIA mempunyai nama kod  “Geronimo” Osama bin Laden, mengambil sempena nama pemimpin penentangan peribumi. 
           Penggunaan Geronimo  menyebabkan Puak Apache Fort Sill mendesak Presiden Obama memohon maaf.  “Sekarang juga anak-anak Amerika Peribumi di seluruh negara ini berhadapan dengan realiti memiliki seorang tokoh yang paling dihormati kini dikaitkan dengan pengganas dan pembunuh beribu-ribu orang Amerika yang tidak bersalah,” kata Pengerusi Puak Apache Fort Sill, Jeff Houser. Geronimo merupakan legenda dalam kalangan Apache dan puak Amerika Peribumi yang lain kerana tabah dan berani mempertahankan tanahnya daripada tentera  Mexico, Sepanyol, dan Amerika Syarikat.
“Membandingkan pemimpin Apache yang menjadi legenda dengan pengganas dan musuh Amerika Syarikat, sesungguhnya mengaibkan dan benar-benar membawa kerosakan kepada Amerika Peribumi pada setiap peringkat umur,” kata Suzan Shown Harjo, Presiden Morning Star Institute.    Sementara Steven Newcomb yang menulis dalam guardian.co.uk, mengkritik bahawa Amerika Syarikat bahawa boleh mempunyai Presiden yang berketurunan Afrika-Amerika, tetapi masih tidak sedar akan permusuhan dengan pemimpin Apache yang diseksa. Newcomb  menggunakan semula teori minda manusia (teori kognitif) dalam bukunya, Pagans in the Promised Land, untuk menjelaskan “tidak sedar kognitif” Amerika Syarikat.  Pemikiran tradisi tertentu yang mendarah daging, kedua-duanya sedar dan tidak sedar, digunakan untuk bebepara generasi pegawai kerajaan Amerika Syarikat.
Dari perspektif penjajah bukan Orang Asli Amerika,” tulis Steven Newcomb, “leluhur peribumi kami merupakan musuh yang mesti dihapuskan daripada terbentang luas tanah dan wilayah tradisional kami dan dibataskan kepada ‘penempatan’ di kawasan pedalaman yang dikawal oleh Amerika Syarikat.”  Tambah beliau, “Justeru, keluar dari penempatan (off the reservation)  merupakan simpulan biasa yang digunakan oleh wartawan dan pengulas televisyen untuk merujuk kepada seseorang yang dianggap ‘penjahat,’ dengan konotasi menjadi musuh “yang memilih untuk hidup di luar undang-undang dan konvensyen’.”

Kekeliruan bahasa bukan hanya berlaku dalam penggunaan nama kod Geronimo, tetapi sejak beberapa hari berikutan pengumuman pembunuhan Osama,  saluran media yang melaporkan kematiannya  dikatakan kerap melakukan kesalahan bodoh yang kebanyakannya menjadi idiosionkrasi tentang cerita kematian Osama bin Laden. Daripada akhbar The New York Times kepada Fox News kepada orang perseorangan di pelbagai lapisan, melakukan kesilapan Osama/Obama, iaitu secara sengaja menyebut “Obama” dan bukannya “Osama.” Bagi Adam Martin yang menulis dalam The Atlantic, kekeliruan Obama-Osama tidak dapat dielakkan, dan hal seperti ini berlaku di mana-mana.  “Anda mahu berkokok tentang kemenangan Amerika Syarikat dalam menemui dan membunuh Obama –  lebih suka Osama bin Laden.  Jika anda melakukan kesilapan ini ketika anda minum dengan kawan-kawan anda, ini boleh diketawakan.  Jika anda melakukannya pada laman Web National Public Radio (NPR) ini adalah kesilapan bodoh yang serius.  Akan tetapi, anda selalunya melakukan kesilapan seperti ini.”
Dalam “Why Mix Up ‘Osama’ and ‘Obama’:  A Linguistic Reason” Rebecca Greenfield yang menulis dalam  The Atlantic, “pada mulanya, kekeliruan menerima mesej teks pada malam Ahad yang berbunyi, ‘Osama mati!’ membangkitkan reaksi yang sangat berbeza daripada alternatif.”   Untuk menegaskan bahawa kekeliruan itu tidak terlalu mengaibkan, Rebecca meninjau pendapat Profesor Linguistik, Mark Liberman dari University of Pennsylvania, yang menjelaskan mengapa dua nama itu terlalu mudah mengelirukan.  Jelas bahawa perkataan berbeza hanya dengan satu huruf dan mempunyai sebutan yang sama, yang pastinya menyumbang kepada kekeliruan, tetapi kekeliruan biasanya berlaku terlalu kerap kerana alasan yang berbeza:  peraturan kategori sintaksis.  Peraturan kategori sintaksis yang bermakna bahawa apabila dua perkataan bercelaru  antara satu sama lain, maka “sasaran” (perkataan yang digantikan) dan perkataan yang menggantikan hampir selalunya kategori sintaksis yang sama. Dalam percakapan biasa: kata nama menggantikan kata nama, kata kerja menggantikan kata kerja, dan seterusnya.  Jika “Osama” adalah kata kerja dan bukannya kata nama, kita akan sebahagian besar kurang kemungkinan untuk mengelirukannya dengan kata nama “Osama.”
Walau bagaimanapun, Rebecca dalam tulisannya yang dipetik secara meluas mengingatkan: “Pastinya, kesilapan bodoh tidak hanya berlaku kerana kedua-dua perkataan itu adalah sama bahagian pertuturan.  Penutur juga tertakluk kepada apa yang ahli bahasa sebuh priming.”  Jelas beliau, “otak anda menjadikan perkataan tertentu lebih mudah dihubungi untuk lidah anda apabila perkataan itu sama dari segi sebutan, makna, dalam isi, iaitu perkataan yang anda sering dengar.” “Priming,”  menurut penjelasan Liberman yang dipetik oleh Rebecca, “bermakna bahawa apabila anda membaca/mendengar/berfikir tentang hospital, perkataan, seperti ‘doktor’ dan ‘jururawat’ akan dikenal pasti lebih cepat, dan juga lebih berkemungkinan digantikan dalam silap sebut.”  Justeru, mendengar Osama dan Obama dalam konteks yang sama menjadikan otak anda lebih sesuai menggunakan mereka kesalingbolehtukaran dalam pertuturan. 
Berikutan berleluasanya kekeliruan  antara Obama dengan Osama itu, maka ada orang mengatakan bahawa sesetengah cerdik pandai melakukan kesilapan kerana mungkin mereka mahu Obama yang mati dan bukannya Osama.  Dalam hubungan ini, Rebecca menjelaskan kemungkinan besar kesilapan tersebut adalah berkait dengan fenomena priming yang disebut kemalasan linguistik dan bukannya kebencian.  “Osama” dan “Obama” adalah sama dari segi bunyi dan sebutan.
Natasha Lennard yang menulis dalam Salon.com,  “Why We Keep Calling Osama ‘Obama’" cuba menjelaskan mengapa berlaku kesilapan ini dengan merujuk kepada ahli bahasa dan ahli patologi pertuturan untuk mengutip lebih banyak tentang mekanisme yang mungkin terjadi di sebalik kekeliruan ini.  Dalam tulisan itu, Natasha memetik Adam Buchwald, Penolong Profesor Sains dan Kekacauan Komunikatif di New York University, yang menjelaskan:  “Lazimnya, semakin sama dan berkait dua perkataan, lebih besar kemungkinan untuk menjadi pengganti antara satu sama lain.  Kesamaan/keberkaitan ini boleh jadi fonologi (misalnya, berasaskan bunyi) atau semantic (misalnya, berasaskan makna), dan wujud beberapa bukti bahawa kesamaan bersama-sama kedua-dua dimensi itu meningkatkan peluang ralat leksikal ini.
            Untuk mencari kepastian mengapa berlakunya kecelaruan itu, Natasha juga meninjau pendapat Matt Goldrick, Profesor Madya Linguistik di Northwestern:  “Apabila mengingatkan  bunyi perkataan, kita juga tanpa sedar mendapatkan semula perkataan lain yang sama panjang dan lazimnya disebut sebagai mempunyai vokal tertekan yang sama.”
            Walau bagaimanapun, Natasha dalam tulisannya itu tidak melihat  dari segi bunyi yang sama semata-mata; kemungkinan bahawa “peranan” yang sama yang dimainkan oleh Obama dan Osama (sebagai tokoh geopolitik) menyumbang kepada kesilapan ini.  “Penyelidikan menunjukkan bahawa orang ramai cenderung salah sebut nama orang termasyhur,” tegas beliau, “mereka melakukan kekeliruan yang berkait dengan peanan sosial mereka, misalnya menyebut Presiden Kennedy “Presiden Reagan. Akan tetapi, ini tidak bermakna bahawa apabila orang ramai melakukan ralat ini mereka fikir Kennedy dan Reagan mempunyai idea yang sama, hanya bermakna bahawa mereka kedua-duanya Presiden.”
            Ralat Osama/Obama merupakan fenomena antarabangsa, menurut pemerhatian Craig Silverman yang menulis dalam Columbia Journalism Review pada 6 Mei lalu.  Daripada semua tajuk berita yang silap, kesilapan bodoh lisan, dan ciak yang salah bahawa berpunca daripada pengumuman pada hari Ahad bahawa Osama bin Laden dibunuh, maha karya kekeliruan Obama/Osama menewaskan semua yang datang. Silverman menegaskan bahawa banyak laman Web dan saluran berita, melakukan kesilapan dalam mengumumkan kematian Osama yang disebut Obama, antaranya  laman  Web NPR, “Obama bin Laden Mati, Pegawai Memberitahu,” dan laman Web untuk ABC World News with Diane Sawyer, “Sumber Memberitahu Jon Karl Berita ABC bahawa Obama akan Dikebumikan di Laut.”  Akan tetapi, tulis beliau, anda juga menemui tajuk berita daripada penyiar Sky News British,  “Reaksi:  Pemimpin Dunia Mengalu-alukan Kematian Obama.”  Daripada BBC, “Obama Mati.”  Mengakui bahawa media Amerika Syarikat menguasai berita yang silap,  Silverman merumuskan, “dari Kanada ke England ke India, dan seterusnya, kesilapan ini merentasi sempadan geografi.”
            Kesilapan ini tegas beliau adalah kerana Obama/Osama telah tertanam kukuh dalam kesedaran kolektif lama sebelum Obama muncul dalam siaran langsung televisyen untuk mengumumkan Osama mati. Kesilapan wujud sebelum berita hari Ahad melalui beberapa tahun.  Kedua-dua perkataan, iaitu Obama dan Osama ialah nama, yang dipisahkan oleh hanya satu huruf, dan selalu digunakan berdekatan.
            “Selain itu,” jelas Silverman, “seorang daripadanya ialah musuh nombor satu negara yang diterajui oleh seorang lagi.  Hal itu merupakan faktor penting, tetapi yang lebih penting menyebabkan wartawan dan yang lain melakukan kesilapan ini, dan faktor ini membantu kita memahami dan mengelakkan ralat yang serupa.” 
            Perkara pertama untuk mengenal pasti bahawa kesilapan ini hampir selalunya melibatkan orang ramai menyebut Obama apabila mereka bermaksud Osama.  Keadaan ini jarang-jarang sebaliknya.  Untuk  memahami kesilapan yang berlaku itu, Silverman berbincang dengan Michael Erard, pengarang Um...;  Slips, Stumbles, and Verbal Blunders, dan and What They Mean.  Erard memberitahu beliau:  “Apa yang berlaku adalah bahawa kes yang khusus .... bahawa penutur menjangkakan ‘b’ untuk bin Laden dan menggerakkannya ke atas untuk menggantikan ‘s’ dalam Osama.”  Jelas Erard lagi, “Itu merupakan ralat tindakan awal (anticipation error) yang terdapatnya rangkai bunyi dan individu pada asasnya bertindak mendahului dalam rangkai itu dan memilih bunyi dengan begitu pantas dan memasukkanya. 


            Erard seperti yang dinyatakan oleh Silverman, mengesani kekeliruan itu berpunca daripada huruf “b” (bin).  “Seandainya namana Osama Tin Laden, kita berkemungkinan melihat terlalu kurang kekeliruan Obama/Osama.  Hakikat bahawa huruf pertama untuk perkataan kedua nama Osama ialah huruf yang sama yang mengubah Osama kepada Obama sesungguhnya, kebetulan yang tidak sesuai.”
Beliau juga menjelaskan bahawa apabila berlaku tersilap sebut, kita berkemungkinan besar melakukan ralat menggunakan perkataan sebenar.  Bias leksikal dalam cara yang kesilapan cenderung menghasilkan perkataan distrukturkan, iaitu perkataan sebenar yang secocok dengan bahasa.  Selain itu, wujud “kesan kekerapan,” yang berkaitan dengan berapa kerap sesuatu perkataan itu digunakan.  “Kita kata Obama betul lebih banyak daripada Osama, dan demikian juga dari segi rangkaian yang perkataan ini disimpankan dalam otak kita, Obama lebih diaktifkan.”
Walau bagaimanapun, Alexis Garrett Stodghill yang menulis dalam newsone.com menganggap kekeliruan Obama-Osama itu sesuatu yang serius yang berkait dengan rasisme.  Beliau tidak menerima apa-apa jua  alasan kerana  kesilapan nama itu  dilakukan oleh  wartawan yang memperoleh anugerah, editor naskhah yang berpengalaman, para pemimpin berfikiran politik: tidak semudah itu.  Sangat banyaknya pencipta berita kulit putih yang keliru “Obama” dengan “Osama” adalah sangat menyedihkan. “Tersilap sebut yang tidak kemas ini mencemarkan kemenangan Presiden kulit hitam pertama kita dengan peringatan secara tidak jujur bahawa wujud sesuatu tentang beliau yang orang ramai selalu lihat sebagai berbeza, kerana beliau berkulit hitam dengan nama Islam.  Sikap bermain-main di fikiran  adalah tidak boleh diterima pada masa ini daripada pencipta  budaya kita.
Sesungguhnya, kematian Osama bin Laden meninggalkan  legasi: tentang perjuangan, tentang keganasan.  Dan juga, tentang kekeliruan bahasa dan tersilap sebut. 
(Nota:  Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Bahasa Julai 2011.)







No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...