Artikel Popular

Thursday, July 5, 2018

Pedra Branca: Kisah dari Selatan



KHAMIS, 5 Julai 2018
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH




Tahun demi tahun berlalu boleh dikatakan tidak banyak lagi rakyat Malaysia yang memberikan perhatian kepada Pedra Branca yang juga dikenali Pulau Batu Puteh yang kini menjadi milik Singapura.  Rakyat negara ini selalunya gemar menunjukkan keberangan apabila sesuatu keputusan telah dibuat, dan bagi yang dipengaruhi oleh politik antikerajaan, selalunya mereka melompat ke dalam gelanggang untuk menunjukkan kegagalan pihak kerajaan untuk mempertahankan kedaulatan dan maruah negara. Mereka mungkin pergi jauh sedikit dengan menuduh “Malaysia negara yang gagal.”  Pihak kerajaan pula yang pada mulanya   belum “mengaku kalah”  seakan-akan menyepi dan menerima keputusan itu seadanya.
            Dalam ketiadaan khabar berita itu,  Dato’ Ahmad Said, yang pernah berkhidmat sebagai anggota Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka dan mantan pegawai kanan kerajaan menulis pada status Facebook pada 23 Mei 2016, antaranya,  “masa yang diberikan  untuk menilai semula keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ),  ialah setakat 10 tahun maksimum. Adakah usaha-usaha sedang dilakukan bagi maksud memperoleh dokumen bukti yang amat penting itu sebelum April 2018?”
            Walau bagaimanapun, keluh kesah dan tanda tanya Dato’ Ahmad dan sebilangan rakyat Malaysia yang patriotik,   akhirnya terjawab pada awal Februari tahun ini apabila kerajaan Malaysia memohon semakan semula keputusan ICJ berhubung dengan Pedra Branca berikutan penemuan “fakta baharu,” iaitu tiga dokumen yang ditemukan di National Archives of the United Kingdom 4 Ogos 2016 dan 30 Januari 2017.  ICJ melalui laman Webnya, seperti yang dipetik oleh media tempatan menyatakan dokumen tersebut ialah telegram sulit pada tahun 1958 daripada Gabenor Singapura kepada Setiausaha Negeri Jajahan yang tidak menganggap Pulau Batu Puteh itu sebahagian daripada wilayah Singapura, laporan insiden kapal pada tahun 1958 menyatakan ketidakmampuan tentera laut British membantu kapal Malaysia yang diekori bot bersenjata Indonesia dekat pulau tersebut kerana “kawasan itu berada dalam wilayah perairan Johor”, dan peta tahun 1962 yang mempunyai nota penjelasan tulisan tangan pada tahun 1966 menunjukkan wilayah perairan Singapura tidak diperluaskan ke kawasan sekitar Pulau Batu Puteh.
            ICJ dalam penghakimannya pada 23 Mei 2008,  mendapati  bahawa kedaulatan terhadap Pulau Batu Puteh adalah milik Singapura dengan  12-4 undi, kedaulatan terhadap Terumbu Karang Tengah (Middle Rocks) adalah milik Malaysia dengan 15-1 undi, dan kedaulatan terhadap South Ledge adalah milik negara yang perairan wilayah yang pulau itu terletak dengan 15-1 undi.     
            Pertikaian wilayah ini memakan masa yang lama, hampir tiga dekad.  Bagi Malaysia, melibatkan tiga orang Perdana Menteri, iaitu Tun Hussein Onn, Tun Dr. Mahathir Mohamad, dan Tun Abdullah Haji Ahmad Badawi.  Bagi Tun Abdullah, keputusan ICJ itu boleh diibaratkan “sudah jatuh ditimpa tangga,” kerana kira-kira dua bulan sebelum itu, Barisan Nasional yang diterajuinya mencapai prestasi terburuk dalam pilihan raya umum tahun 2008.
            Sebaik-baik sahaja Malaysia memohon semakan semula itu, sebilangan  pakar mula muncul  di media tempatan mengatakan bahawa Malaysia berpeluang.  Ada yang merujuk kes kuil purba Preah Vihear yang diputuskan oleh ICJ adalah terletak dalam kedaulatan Kemboja dalam pertikaian dengan Thailand. Memang tidak salah meletakkan harapan, asalkan jangan terlalu yakin dan apatah lagi memperkecil kemampuan Singapura melawan balik.
            Bagi rakyat Malaysia yang mudah teruja dan yang memori pendek, buku Pedra Branca: The Road to the World Court oleh S Jayakumar dan Tommy Koh, dengan “kata pengantar” oleh Menteri Mentor Lee Kuan Yew, mendedahkan bagaimana pihak  Singapura bekerja dan membuat persiapan yang rapi demi memastikan kemenangan memihak kepada mereka.    
            Menurut Jayakumar dan Tommy Koh, Singapura menubuhkan Jawatankuasa antara Kementerian tentang Pedra Branca (IMC tentang Pedra Branca), menjelang tahun 1989,  yang termasuk pegawai daripada Jabatan Peguam Negara, Kementerian Hal Ehwal Luar Negara, Kementerian Undang-undang, Kementerian Komunikasi (kini, Kementerian Pengangkutan), Lembaga Pelabuhan Singapura (kini, Lembaga Maritim dan Pelabuhan Singapura – PSA), dan Jabatan Sejarah Lisan. Sebaik-baik sahaja Malaysia menyatakan persetujuan pertamanya untuk merujuk pertikaian wilayah ini kepada ICJ, IMC menubuhkan Pasukan Antara Agensi.  Untuk meluaskan kerja IMC, kumpulan Eksekutif dibentuk pada tahun 2003, dengan tujuan untuk memastikan tindakan yang diambil oleh pelbagai agensi adalah tekal dengan pendirian Singapura dan kedaulatan Pedra Branca. 
            Sementara itu, Arkib Negara Singapura (NAS) yang kurang mendapat perhatian rakyat Singapura, memulakan  penyelidikan tentang Pedra Branca dan isu yang berkaitan pada tahun 1970-an. Dengan peruntukan S$1.38 juta, NAS menggunakan lima staf penuh masa dan 10 staf sambilan untuk menjalankan penyelidikan.  Mereka dipertanggungjawabkan mencari rekod arkib dan dokumen yang berkaitan dengan  koleksi dius rumah api, peta dan ukur hidrografi kawasan di sekitar Pedra Branca, amalan British dalam mengambil pemilikan wilayah, Sistem Suar Selat (Straits Lights System), tindakan pelanunan, konsep Melayu tentang kedaulatan, peranan penasihat British, dan status Sultan Johor.  Dari segi jumlah. Staf NAS menghabiskan masa lebih 20,000 jam penyelidikan, mengenal pasti lebih 2000 rekod, dan mentranskripsikan  650 manuskrip sejarah untuk Jabatan Peguam Negara. NAS juga menggunakan khidmat beberapa orang penyelidik asing untuk membantu Singapura memperoleh salinan rekod arkib daripada depositori United Kingdom, India, Indonesia, Belanda, Australia, dan New Zealand.
            Tentang peranan besar dan sumbangan penting NAS ini, Jayakumar dan Tommy Koh menegaskan, “memang wajar untuk berkata bahawa tanpa pertolongan  NAS, nescaya  Jabatan Peguam Negara dan para peguam antarabangsa tidak mempunyai bahan untuk menulis pliding bertulis dan lisan.”  Menurut mereka, NAS menemui dua dokumen penting, iaitu surat yang ditulis oleh pihak berkuasa kolonial Belanda di Indonesia mengakui bahawa Pedra Branca ialah “wilayah British,” yang digunakan oleh Singapura sebagai bukti untuk menyokong kes mereka.  Satu lagi, ialah surat tahun 1925 daripada Sultan Abdul Rahman kepada Sultan Hussein yang secara rasmi membahagikan Kesultanan Johor-Riau-Lingga kepada dua bahagian.
            Pihak Singapura juga menggunakan khidmat rundingan pakar tempatan dan antarabangsa tentang undang-undang antarabangsa dan sejarah Melayu, iaitu Robert Beckman, Ernest Chew, Edwin Lee, Kwa Chong, dan Mary Turnbull.  Turnbull dianggap pakar dalam sejarah Singapura, Malaysia, dan Hong Kong, pernah menyertai Perkhidmatan Awam Malaya pada tahun 1952 dan pernah berkhidmat di Universiti Malaya yang ketika itu terletak di Singapura, serta menulis beberapa buah buku sejarah.
            Sementara itu, Ketua Hakim Singapura, Chan Sek  Keong yang pernah berkhidmat sebagai Peguam Negara, salah seorang anggota peguam Singapura dalam pertikaian wilayah ini, mempunyai kepakaran dalam aspek sejarah Melayu. Dalam prosiding lisan yang berlangsung di ICJ pada November 2007, beliau antaranya berhujah bahawa “Kesultanan Melayu (termasuk Kesultanan Johor), kedaulatan berasaskan kawalan terhadap orang (people) dan bukannya kawalan terhadap wilayah.”  Chan Sek Keong yang “masak” dengan sejarah Tanah Melayu yakin bahawa beliau mampu mematahkan atau melemahkan kes Malaysia dari segi sejarah yang dikemukakan dalam pliding bertulis.
            Tentang   “kedaulatan berasaskan kesetiaan rakyat dan bukannya berasaskan wilayah,” menurut Jayakumar dan Tommy Koh, “para peguam Malaysia mengelakkan daripada menjawab hujah Singapura itu. Para peguam Malaysia berulang-ulang kali menekan hujah mereka hak British terhadap Pedra Branca hanyalah pengendali rumah api.”
            “Rakyat berbanding dengan wilayah,” terdapat beberapa kajian yang menunjukkan bahawa bukan setakat amalan Kesultanan Melayu, tetapi juga amalan di Asia Tenggara.  Anthony Milner dalam bukunya, Kerajaan: Budaya Politik Melayu di Ambang Pemerintahan Kolonial, berhujah bahawa sebagaimana negeri-negeri Melayu yang dikatakan kekurangan struktur pentadbiran dan undang-undang, ia juga berbeza daripada negeri-negeri di Barat dalam mentakrifkan geografi wilayahnya.  Sempadan wilayahnya hampir tidak diketahui: Sultan dari Terengganu misalnya, ketika ditanya oleh seorang jurusoal Inggeris pada tahun 1875, mengakui bahawa tidak diketahui “dari mana bermulanya dan berakhirnya sempadan negeri Terengganu.” Lokasi atau kedudukan yang betul dan tepat bagi negeri-negeri Melayu, sebenarnya kelihatan seperti suatu perkara yang secara relatifnya tidak begitu penting.
            Dengan menggunakan konsep negara/mandala, Kobkua Suwannathat-Pian dalam bukunya, Asia Tenggara: Hubungan Tradisional Serantau,  menegaskan bahawa dari segi fizikal, negara Asia Tenggara tidak mempunyai sempadan yang jelas, iaitu garis sempadan tetap yang tidak mudah diubahsuaikan seperti sebuah negeri di Barat. Beliau memetik O.W. Wolters bahawa setiap mandala mewakili sebuah unit politik tertentu yang keadaan politiknya kerap kali kurang stabil dan yang kawasannya adalah samar-samar tanpa garis sempadan yang tetap.
            Sementara itu, James C.  Scott  dalam bukunya, The Art of Not Being Governed: An Anarchist History of Upland Southeast Asia, membahaskan kepentingan rakyat yang beliau sebut tenaga manusia (manpower) di Asia Tenggara, termasuk dunia Melayu prakolonial, bahawa  “teras negara beraja dan pemerintahnya mesti dipertahankan dan dikekalkan, di samping dibekalkan oleh penawaran  buruh.  Scott  membezakan  Asia Tenggara dengan  China tentang manusia dan bumi.  “Di Asia Tenggara, mengawal orang menganugerahi kawalan terhadap tanah, manakala di China, mengawal tanah semakin menganugerahi kawalan terhadap orang.” Beliau juga memetik Clifford Geertz tentang “perseteruan politik orang Bali bahawa mereka adalah ‘perjuangan untuk lebih banyak manusia berbanding dengan tanah’ yang juga dapat diterapkan untuk semua tanah besar Asia Tenggara.”   
            Namun begitu, yang menjadi tanda tanya di sini bukan setakat mengapa para peguam Malaysia berdiam diri, bahkan yang tidak kurang seriusnya,  ketidakmampuan ahli sejarah tempatan yang dilantik dalam pasukan Malaysia untuk merungkaikan isu “kedaulatan berasaskan kawalan terhadap orang  dan bukannya kawalan terhadap wilayah.”       Jayakumar dan Tommy Koh dalam buku  itu menegaskan dua kes yang berbeza, iaitu rumah api di Pulau Pisang, meskipun dikendalikan oleh Singapura, dibina di tanah milik Johor, manakala Rumah Api Horsburgh yang dibina di Pedra Branca pada tahun 1850,  merupakan milik Singapura.  Justeru, status perundangan Pedra Branca jelas berbeza dengan status perundangan Pulau Pisang.  “Percubaan Malaysia untuk menganggap pentadbiran Singapura bagi dua rumah api ini seperti mempunyai kesan perundangan yang sama dari segi undang-undang antarabangsa, jelas silap” tulis Jayakumar dan Koh.
            Dalam buku itu juga dimuatkan dua salinan surat, iaitu surat  yang dikirimkan oleh J.D. Higham, Setiausaha Rendah di Pejabat Setiausaha Kolonial kepada Penasihat British di Johor dan salinan kepada Ketua Setiausaha Persekutuan Tanah Melayu di Kuala Lumpur, bertarikh 12 Jun 1953, tentang “status” Pulau Pisang dan Pedra Branca. Satu lagi surat adalah daripada M. Seth bin Saaid, Pemangku Setiausaha Kerajaan Johor kepada Setiausaha Kolonial, Singapura, bertarikh 21 September 1953, yang menyatakan bahawa “Kerajaan Johor tidak menuntut pemilikan Pedra Branca.”  Semasa prosiding lisan, para peguam Singapura menarik perhatian kepada beberapa fakta yang merupakan ketidaktekalan tuntutan Malaysia, termasuk surat ini, dan enam peta yang diterbitkan oleh pihak berkuasa  pemetaan nasional tertinggi Malaysia,  “specially attributing Pedra Branca to Singapore.”
Pedra Branca ialah kes pertama  Singapura di ICJ, dan kes kedua bagi Malaysia, kerana sebelum ini Malaysia terlibat dalam pertikaian kedaulatan Pulau Ligitan dan Pulau Sipadan dengan Indonesia.  Malaysia menang kes ini  pada tahun 2002. Tiga peguam antarabangsa yang mewakili Malaysia dalam kes Sipadan mewakili Malaysia dalam kes Pedra Branca, manakala tiga peguam antarabangsa yang mewakili Indonesia  mewakili Singapura. Walau bagaimanapun, pengalaman bukannya satu kelebihan kepada Malaysia, kerana dalam kes Pedra Branca, pasukan peguam terpaksa beralih daripada hujah effectivites atau aktiviti  berdaulat yang membawa kejayaan Malaysia dalam kes Lilitan dan Sipidan, kepada hak dari sejarah untuk kes Pedra Branca.  Bahkan, dalam prosiding lisan pada awal November 2007,  salah seorang peguam Singapura, iaitu  Rodman Bundy yang pernah mewakili Indonesia “menggunakan skrip Malaysia” dalam kes Lilitan dan Sipadan: effectivites. Beliau menayangkan pada skrin petikan Sir Elihu Lauterpacht, peguam yang mewakili Malaysia dalam pertikaian dua pulau  dengan Indonesia itu, yang turut  mewakili Malaysia dalam kes Pedra Branca. Bundy hanya mengubah perkataan “Malaysia” kepada “Singapura” dan “Indonesia” kepada “Malaysia” untuk menunjukkan hujah Singapura dalam ke Pedra Branca adalah sama dengan hujah Malaysia dalam kes Lilitan dan Sipadan.
            Pasukan peguam Singapura begitu yakin bahawa dengan memberikan penekanan terhadap effectivites dan menegaskan bahawa Pedra Branca ialah terra nullius atau pulau tanpa manusia pada tahun 1847, mereka mempunyai kes yang lebih superior berbanding dengan Malaysia.
            Dalam pliding bertulis, Malaysia membangkitkan surat tahun 1844 yang hilang, daripada Gabenor Butterworth kepada Sultan dan Temenggong Johor. Yang ada dalam simpanan Singapura ialah  surat jawapan Sultan dan Temenggong Johor kepada Gabenor Butterworth yang jelas daripada  jawapan itu Butterworth memohon kebenaran untuk membina rumah api di pulau berhampiran dengan pantai Johor.  Akan tetapi, tanpa surat asal tidak dapat dipastikan yang mana satu pulau yang dimaksudkan itu. Pada pandangan Singapura, pulau yang dimaksudkan itu ialah Peak Rock, sebaliknya Malaysia mengatakan bahawa pulau itu semestinya atau dirujuk kepada Pedra Branca. Oleh sebab surat itu penting, Singapura bekerja keras mencarinya di arkib London dan India, tetapi tidak berhasil. Malaysia pula pada pusingan pertama pliding di Mahkamah, mengangin-anginkan bahawa  Singapura sengaja menyembunyikan surat itu.
            Berdasarkan buku Jayakumar dan Tommy Koh itu, dapat dirumuskan bahawa Malaysia ada kalanya melakukan apa yang disifatkan “pertahanan yang tidak dapat dipertahankan” – memetik George Orwell, “defence of the indefensible.”  Cara pasukan Malaysia bekerja ada kalanya menimbulkan tanda tanya, mengaibkan,  dan seakan-akan “memberikan bola tanggung kepada Singapura untuk libas.”  Malaysia mengemukakan dokumen-dokumen untuk menyokong tuntutan hak asalnya.  Namun begitu, Alain Pellet, salah seorang peguam antarabangsa Singapura meneliti setiap dokumen itu dan menunjukkan dokumen itu tidak menyokong pendapat Malaysia. Dalam prosiding lisan, beliau memarahi Malaysia kerana silap menterjemahkan surat daripada Gabenor Belanda di Melaka kepada Majlis Syarikat Hindia Timur Belanda di Batavia (kini, Jakarta).  Malaysia mengeluarkan dokumen Vietnam pada tahun 1833 menunjukkan laporan duta Vietnam yang  menyatakan Pedra Branca sebagai pelabuhan yang diliputi oleh hutan dan tumbuh-tumbuhan hijau dengan pondok dedaun (reed huts).  “Sesetengah hakim ketawa diam-diam apabila laporan itu ditayangkan pada skrin bersama-sama gambar Pedra Branca sebagai batuan tandus,” catat Jayakumar dan Koh.
            Pelllet juga menarik perhatian Mahkamah kepada cara yang mengelirukan yang Malaysia gunakan dalam pliding bertulis.  Beliau memetik contoh yang Malaysia petik dan ambil daripada laporan J.T. Thompson tentang lawatan Temenggong ke Pedra Branca. Dengan sengaja menggugurkan bahagian petikan, Malaysia cuba mengubah kepentingan peristiwa itu, daripada Temenggong melawat pulau itu dengan menaiki sampan yang disediakan oleh Gabenor British, kepada Temenggong melawat pulau itu dengan menaiki botnya sendiri dan sebagai kedaulatan.  “Sesetengah hakim bangun dan mengambil nota apabila hal ini ditunjukkan oleh Pellet.”
            Dalam satu contoh yang lain, pasukan Malaysia menggunakan rujukan yang ketinggalan zaman, iaitu  bergantung pada 5th Edition of Oppenheim’s International Law (diterbitkan pada tahun 1937) untuk menegaskan bahawa “pengambilan pemilikan yang sah wilayah hanya boleh dilakukan oleh penempatan di wilayah berkenaan.”   Tindakan seperti ini membuka peluang kepada peguam antarabangsa Singapura, Ian Brownlie untuk “menggasak” Malaysia dalam prosiding lisan, dengan menegaskan dalam  Edisi Kesembilan  yang terbaru, Oppenheim menjelaskan bahawa meskipun edisi awal mengatakan bahawa penempatan adalah sine qua non pendudukan berkesan, hal ini hanyalah digunakan untuk kawasan luas muka bumi yang boleh didiami dan mungkin tidak boleh digunakan untuk  pulau kecil pesisir yang  mungkin sukar “ditempatkan” dalam mana-mana maksud sebenar dunia, tetapi masih boleh walau bagaimanapun, “didiami.”
            Satu contoh lagi yang dibangkitkan oleh Brownlie cara Counter-Memorial Malaysia yang dengan sengaja tidak memasukkan separuh ayat daripada perenggan 17 permohonan United Kingdom kepada ICJ dalam kes Antarctica.
            “Contoh yang diberikan oleh Pellet dan Brownile menunjukkan maksud tertentu keadaan terdesak pada pihak pasukan Malaysia. Silap terjemahan teks, menyaring bahagian petikan, penggunaan secara terpilih autoriti perundangan, adalah taktik yang tidak boleh ditolak ansur dalam mana-mana mahkamah domestik undang-undang.  Kami berdua berfikir-fikir dan berasa kecewa mereka menggunakan taktik seperti itu di Mahkamah tertinggi di dunia,” tulis Jayakumar dan Tommy Koh.
            Jelas bahawa pasukan Malaysia melakukan  beberapa  kerosakan pada diri sendiri.  Dalam pusingan pertama Malaysia untuk prosiding lisan yang berlangsung pada 13 - 16 November 2007, Duta Besar Ejen Bersama (Co-Agent Ambassador), Datuk Noor Farida Ariffin mencetuskan kejutan dengan mengemukakan fotograf Pedra Branca di Mahkamah, fotograf yang tidak dilihat sebelum ini kerana Malaysia tidak memasukkannya dalam mana-mana pliding bertulisnya. Tegas Jayakumar dan Tommy Koh, “fotograf ini menjadi bencana perhubungan awam bagi Malaysia kerana fotograf diputarbelitkan untuk menyokong hujah Malaysia bahawa Pedra Branca dekat dengan pantai Johor.”  Menurut Jayakumar dan Koh, fotograf ini dimuat turun daripada laman web  blog yang wujud hanya  sebulan sebelum tarikh ditetapkan untuk pendengaran lisan di Mahkamah.
            Pada 20 November, apabila salah seorang peguam Singapura, Chao Hick Tin menjawab dalam pusingan kedua, beliau mampu menunjukkan kepada Mahkamah, dengan membandingkan fotograf yang Malaysia yang ambil daripada laman web dengan fotograf sebenar yang diambil oleh Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Singapura (MPA).
            “Kami percaya pembuktian Chao itu memberikan impak pada para hakim. Kami perasan seorang hakim memberikan nota kepada seorang hakim lain.  Kami juga perasan bahawa seorang wanita,  anggota delegasi Malaysia jelas terlalu diaibkan oleh  faux pas (melanggar tatasusila) itu yang dengan secara spontan menutup mukanya dengan kedua-dua belah tangannya,” catat Jayakumar dan Koh. “Tidak ada peguam Malaysia yang menjelaskan di manakah Malaysia memperoleh fotograf itu dan tidak juga memohon maaf atau menyatakan rasa kesal kepada Mahkamah kerana menunjukkan fotograf yang mengelirukan.  Kami terkejut taktik yang pasukan Malaysia gunakan dalam usaha mereka untuk memenangi kes ini.”
            Dalam pendengaran lisan pusingan  pertama, menurut Jayakumar dan Koh,  Ejen Bersama Malaysia menuduh Singapura cuba mewujudkan domain maritim di sekitar Pedra Branca, dengan cita-cita besar ketenteraan, dan kehadiran tentera laut Singapura menyebabkan ketegangan politik di kawasan itu.  “Ejen Bersama menyebarkan ugutan menimbulkan ketakutan, tetapi bagi realisasi Singapura, tindakan itu par for the course.”
            Ketika pusingan kedua pendengaran yang berlangsung pada 23 dan 24 November 2007, Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Abdul Gani Patail, mengemukakan isi dan hujah baharu bahawa Pemangku Setiausaha Kerajaan Johor, tidak mempunyai kapasiti untuk memberikan penolakan atau pelepasan hak milik menurut Perjanjian Johor tahun 1948 dan Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu tahun 1948 kerana ini melibatkan hal ehwal asing, perkara yang diserahkan oleh setiap negeri kepada Kerajaan Persekutuan.      
            Pada hari penghakiman itu 23 Mei 2008,  pada mulanya,  Mahkamah menerima hujah hak sejarah yang dikemukakan oleh Malaysia, dan Mahkamah memberikan penolakan detik demi detik hujah Singapura dan status Pedra Branca sebagai terra nullius. Mahkamah merumuskan bahawa Malaysia memantapkan kepuasan Mahkamah bahawa seperti pada masa apabila British mula membuat persiapan mereka untuk pembinaan rumah api di Pedra Branca atau Pulau Batu Puteh pada tahun 1844, pulau ini di bawah kedaulatan Sultan Johor.
            Kemudian,  Mahkamah memberitahu  bahawa Mahkamah memeriksa kepentingan surat penolakan pada tahun 1953 dan menganggap surat-menyurat tahun itu dan tafsirannya merupakan “kepentingan utama” untuk memajukan pemahaman kedaulatan dua pihak tentang Pedra Branca.  Selepas memeriksa semua fakta dan hujah perundangan yang berkait dengan surat itu, maka Mahkamah membuat kesimpulan yang penting bahawa “... menjadi bukti bahawa surat berkenaan menyatakan isu kedaulatan pulau itu.  Mahkamah dengan sewajarnya merumuskan bahawa jawapan Johor seperti pada tahun 1953, Johor difahami  bahawa negeri itu tidak mempunyai kedaulatan terhadap Pedra Branca atau Pulau Batu Puteh.”  Mahkamah mentafsirkan pemilikan  yang dinyatakan dalam surat itu sebagai kedaulatan.
            Mahkamah juga mendapati sesetengah aktiviti British dan Singapura, seperti menyiasat kemalangan maritim, kawalan mereka terhadap lawatan, pemasangan kelengkapan komunikasi kapal, dan rancangan penebusannya, ialah tindakan à titre de souverain  (tindakan hak kedaulatan). Sebaliknya, pihak berkuasa Johor dan pengganti mereka tidak mengambil tindakan sama sekali dari Jun 1850 hingga tarik kritikal. Mahkamah juga mencatatkan apabila pegawai Malaysia melawat pulau ini, mereka melawat dengan memohon kebenaran Singapura.  Selain itu, Mahkamah mengambil kira enam peta Malaysia menunjukkan  pemilikan Pedra Branca  kepada Singapura. Mahkamah seterusnya membuat kesimpulan yang penting berdasarkan kelakuan pihak yang berkenaan “bahawa pada tahun 1980 kedaulatan Pedra Branca atau Pulau Batu Puteh diserahkan kepada Singapura.”
            Kira-kira tiga bulan selepas  ICJ membuat penghakiman, Dr. Yoshifumi Tanaka menulis dalam  “Passing of Sovereignty: the Malaysia/Singapore Territorial Dispute before the ICJ.”  Tanaka antaranya mempersoalkan keputusan ICJ yang menurut beliau, “wujud sedikit keraguan bahawa ICJ  mempunyai peranan penting untuk dimainkan dalam pembangunan undang-undang antarabangsa tentang perolehan wilayah. Bahkan, dapat diperhatikan bahawa Mahkamah membangunkan undang-undang dalam cara yang berbeza daripada ragam tradisional perolehan (traditional modes of acquisition).” Di sini, beliau menjelaskan melalui nota kaki dengan merujuk beberapa buku teks undang-undang antarabangsa dalam bahasa Inggeris,  biasanya lima ragam perolehan yang dijelaskan, iaitu pendudukan terra nullius, penyerahan, penaklukan, akresi, dan preskripsi.
            Tanaka, pensyarah kanan undang-undang  menyentuh penghakiman yang berkait dengan  pemindahan hak undang-undang daripada Malaysia, iaitu pemegang hak asal, kepada Singapura menurut kelakuan Pihak-pihak, mesti diingatkan semula bahawa  perbezaan dibuat antara penciptaan  hak baharu dengan kewujudan hak dalam kes Pulau Palmas. Dalam kes Pedra Branca ini, tegas Tanaka, ICJ kelihatan memberikan wajaran yang lebih banyak kepada kewujudan hak. Dalam hubungan perlunya memelihara kestabilan dan kepastian kedaulatan Negara, iaitu proses pemindahan hak perundangan daripada Negara yang memegang hak asal kepada sebuah Negara lain, hujah Tanaka,  akan mengundang pertimbangan yang teliti. Tambah beliau, pertimbangkan isu ini, iaitu hubungan antara hak perundangan dengan effectivites mesti dicatatkan. Dengan merujuk beberapa kes sebelum ini, seperti Pertikaian Sempadan antara Burkina Faso dengan Republik Mali, dan beberapa kes lain,  termasuk kes Malaysia/Indonesia, Tanaka menegaskan dalam pertikaian Malaysia/Singapura, effectivites Singapura tidak selaras dengan undang-undang, kerana Malaysia yang mewujudkan hak asalnya terhadap Pedra Branca.  Justeru, menurut formula Mahkamah, keutamaan mesti diberikan kepada Malaysia.
            Tanaka juga menyentuh surat-menyurat Pemangku Setiausaha Kerajaan Johor pada tahun 1953.  Soal beliau, adakah  surat-menyurat itu bermaksud “pelepasan” atau “peninggalan” kedaulatan oleh Johor? Jawabnya, tidak.  Sememangnya, Singapura tidak pernah berhujah bahawa Johor  melepaskan atau meninggalkan haknya terhadap Pedra Branca pada tahun 1953.  Dengan mempertimbangkan bahawa Sultan Johor adalah bukannya Negeri yang bebas sepenuhnya, tetapi protektorat, ini juga boleh dipertikaikan bahawa Pemangku Setiausaha Kerajaan Johor mempunyai autoriti untuk mengumumkan perkara kedaulatan.  Hujah Tanaka, “ICJ sendiri mesti jelas bahawa Johor hanya ditanya untuk maklumat, dan penafian pemilikan Johor ‘tidak boleh ditafsirkan sebagai aku janji  pengikatan’.”
            Malaysia dalam memohon supaya ICJ menyemak kes Pulau Batu Puteh, hanya bergantung pada  penemuan “fakta baharu,” tetapi   masih belum dapat mengemukakan  surat daripada Gabenor Butterworth kepada Sultan dan Temenggong Johor.  Berdasarkan tafsiran ICJ, Johor mempunyai kedaulatan terhadap Pulau Batu Puteh, tetapi  kedaulatan itu hilang berikutan penolakan pemilikan  oleh Pemangku Setiausaha Kerajaan Johor. Justeru, adakah fakta  yang ditemui itu mampu menebus kedaulatan yang hilang itu?

Monday, July 2, 2018

Kelebihan Kanak-kanak Dwibahasa


ISNIN, 2 Julai 2018
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Beberapa kajian menunjukkan bahawa wujud  kelebihan atau kebaikan untuk penutur dwibahasa, baik orang dewasa mahupun kanak-kanak.  Orang yang bertutur dalam dwibahasa atau alih-mengalih kod, apabila dia semakin tua, penyakit Alzheimer lambat berlaku. Semakin awal seseorang terdedah pada dwibahasa, maka semakin banyak kelebihan yang akan diperolehnya.  Justeru, ibu bapa digalakkan mendidik anak-anak mereka supaya bertutur dalam dwibahasa.
Sebagai imbas kembali, beberapa tahun lalu, Pelita Bahasa pernah menerbitkan makalah yang merujuk  kajian Samantha Fan dan Zoe Liberman di Univeristy of Chicago, diterbitkan dalam Psychological Science, yang mendapati kanak-kanak dwibahasa, dan juga mereka yang hanya terdedah pada bahasa lain secara tetap, mempunyai kelebihan dalam perkara memasuki ke dalam minda orang lain. Fan dan Liberman bersama-sama dua lagi yang  lain, iaitu Boaz Keysar dan Katherine D. Kinzler dalam kajian yang berjudul,  “The Exposure Advantage: Early Exposure to a Multilingual Environment Promotes Effective Communication,” menyatakan dalam abstrak bahawa pendedahan bahasa awal adalah penting untuk perkembangan sistem bahasa formal, tetapi mungkin tidak cukup untuk berkomunikasi secara cekap.  Untuk memahami tujuan penutur, kita mesti mengambil perspektif penuturnya.  Pendedahan multibahasa mungkin menggalakkan komunikasi berkesan dengan mempertingkatkan pengambilan perspektif. 
Kajian itu,  menurut The Economist, menyertai longgokan kajian lain yang menunjukkan bahawa wujud kelebihan kognitif untuk yang dwibahasa. Para penyelidik mendapati bahawa penutur dwibahasa mempunyai fungsi eksekutif yang lebih baik (mengawal perhatian dan perancangan tugas kompleks). Mereka yang menghidap demensia, secara purata, hampir lima tahun kemudian daripada penutur ekabahasa.  Penutur dwibahasa penuh sebelum ini menunjukkan mempunyai kemahiran teori minda yang lebih baik. Akan tetapi, ujikaji ini merupakan yang pertama menunjukkan bahawa faedah sedemikian juga berakru kepada mereka yang hanya terdedah pada bahasa lain semata-mata.
Banyak tahun, kajian menunjukkan bahawa dwibahasa mempunyai himpunan  faedah kognitif, iaitu penumpuan yang lebih baik, kemahiran antara perorangan yang semakin baik, dan bahkan keupayaan untuk pengalaman masa yang berbeza. Kajian baharu menemui satu lagi kelebihan bertutur dalam lebih satu bahasa. Kanak-kanak dwibahasa adalah lebih baik dalam mengecam  suara dan menanggapi maklumat tentang siapakah yang bercakap berbanding dengan rakan sebaya mereka yang ekabahasa, menurut kajian yang ditemui oleh Sekolah Budaya, Pendidikan, dan Pembangunan Manusia di Steinhardt, New York University. Demikian menurut laporan  The Independent  pada Jun 2017, “Bilingual Children Are Better at Recognising People’s Voices, Study Find.”
            Akhbar itu memetik Susannah Levi, yang merupakan pengarang utama dan pembantu profesor sains komunikatif dan kekacauan di Steinhardt, bahawa  kanak-kanak dwibahasa mempunyai kelebihan  tanggapan  apabila memproses maklumat tentang suara penutur. “Kelebihan ini wujud dalam aspek sosial tanggapan pertuturan, yang tumpuan bukannya terhadap memproses maklumat linguistik, tetapi sebaliknya terhadap memproses maklumat tentang siapakah yang bercakap. Pertuturan secara serentak membawa maklumat tentang apakah yang dikatakan dan siapakah yang berkata,” jelas Levi.
            Untuk merumuskan kesimpulannya, Levi menilai kumpulan kecil 41 orang kanak-kanak, iaitu 22 orang penutur bahasa Inggeris ekabahasa dan 19 orang kanak-kanak dwibahasa, yang semua bertutur dalam bahasa Inggeris dan sama ada bertutur ataupun didedahkan kepada bahasa kedua (selain bahasa Jerman), setiap hari. Kanak-kanak ini dibahagikan kepada dua kumpulan berdasarkan umur – mereka yang berusia 10 tahun dan yang lebih tua diasingkan daripada kumpulan yang lebih muda.
            Untuk menilai kemahiran pengecaman suara, kanak-kanak berkenaan diberikan tatasusunan tugas.  Semuanya, misalnya, mereka mendengar seseorang berkata sepasang perkataan yang mereka ketahui dalam bahasa Inggeris dengan  aksen Jerman. Mereka kemudiannya mendengar perkataan yang sama dalam bahasa Jerman dan ditanyakan, sama ada perkataan itu dituturkan oleh orang yang sama ataupun oleh dua orang yang berbeza.
            Mungkin yang tidak memeranjatkan, kanak-kanak yang lebih tua mencapai prestasi yang lebih baik jika dibandingkan dengan kanak-kanak yang lebih muda, yang memperkukuh dapatan daripada kajian sebelum ini yang menunjukkan bahawa menanggapi maklumat tentang siapakah yang berkata bertambah baik adalah mengikut umur.
            Akan tetapi,  kanak-kanak dwibahasa juga mencapai prestasi yang lebih baik jika dibandingkan dengan kanak-kanak yang hanya bertutur dalam satu bahasa. “Kajian ini merupakan ujian kuat faedah kedwibahasaan kerana kajian ini melihat perbezaan dalam kedua-dua bahasa yang biasa  kepada semua peserta dan bahasa yang tidak biasa kepada mereka,” jelas Levi. “Kelebihan dwibahasa berlaku, bahkan dalam bahasa yang tidak biasa.”
            Levi memberitahu mungkin wujud pelbagai alasan bagi kelebihan dwibahasa ini, iaitu kanak-kanak dwibahasa mungkin lebih  biasa mendengar pertuturan beraksen dan bahasa berganda, mereka mungkin lebih baik dalam memberikan tumpuan, mempunyai kawalan kognitif yang lebih baik, dan kemahiran tanggapan sosial yang lebih kuat.
            Meskipun kami perlu menjalankan lebih banyak kajian untuk menjelaskan mengapa kanak-kanak dwibahasa lebih baik dan lebih pantas mempelajari suara yang berbeza, kajian kami ini menyediakan satu lagi contoh faedah bertutur dan memahami pelbagai bahasa,” jelas Levi.
            Satu lagi kajian yang dijalankan oleh lima orang penyelidik, iaitu Elma Blom, Tessel Boerma, Evelyn Bosma, Leonie Cornips, dan Emma Everaert, juga mendapati kelebihan kanak-kanak dwibahasa. Dalam “Cognitive Advantages of Bilingual Children in Different Sociolinguistic Contexts,”  yang diterbitkan melalui laman  web Frontiers in Psychology pada April tahun ini, menyatakan, banyak kajian menunjukkan bahawa kanak-kanak dwibahasa mengatasi kanak-kanak ekabahasa tentang tugas menguji fungsian eksekutif, tetapi kajian lain tidak menunjukkan apa-apa kesan kedwibahasaan. Kajian yang melibatkan tiga orang daripada penyelidik, iaitu Blom, Boerma, dan Everaert  dari Utrecht University, membandingkan tiga kumpulan kanak-kanak dwibahasa di Belanda, berumur enam hingga tujuh tahun, dengan kumpulan kawalan ekabahasa.
            Para penyelidik itu meminati terutamanya menguji, sama ada kelebihan kognitif dwibahasa ditinggirendahkan atau dimodulet oleh konteks sosiolinguistik penggunaan bahasa. Kesemua tiga kumpulan dwibahasa itu terdedah pada bahasa minoriti, di samping bahasa dominan negara (Belanda). Dua kumpulan dwibahasa didedahkan kepada bahasa wilayah (Frisian, Limburgish), dan kumpulan dwibahasa ketiga didedahkan pada bahasa migran (bahasa Poland). Semua kanak-kanak itu menyertai dua tugas memori kerja (lisan, visuospatial) dan tugas perhatian (perhatian pilihan, penindasan gangguan). Kanak-kanak dwibahas mengatasi kanak-kanak ekabahasa dari segi perhatian pilihan. Kesan kognitif kedwibahasaan paling jelas kelihatan dalam kumpulan Frisian-Belanda dan dalam subkumpulan kanak-kanak migran yang secara relatifnya, cekap dalam bahasa Poland. Kesan ini kurang kuat dalam sampel Limburgish-Belanda. Penyiasatan tentang pola respons ujian  flanker, iaitu menguji penindasan gangguan, menunjukkan bahawa kanak-kanak dwibahasaa lebih kerap menunjukkan kesan persaingan respons berbanding dengan kanak-kanak ekabahasa, menunjukkan bahawa kanak-kanak dwibahasa memberikan perhatian terhadap aspek tugas yang berbeza berbanding dengan kanak-kanak ekabahasa. Kesan kedwibahasaan muncul untuk lisan dan memori kerja visuospatial (visuospatial working memory).
            Kajian itu melibatkan 176 orang kanak-kanak, yang dikelompokkan ke dalam empat kumpulan yang berbeza (ekabahasa Belanda, Frisian-Belanda, Limburgish-Belanda, bahasa Poland-Belanda), dengan 44 orang kanak-kanak dalam setiap kumpulanSemua kanak-kanak, sama ada berumur enam atau tujuh tahun (72 – 95 bulan) pada masa ujian.  Selain umur, beberapa kriteria pemilihan digunakan.  Kanak-kanak dengan kepintaran tanpa lisan di bawah 70 tidak dimasukkan, sebagaimana kanak-kanak yang set data penuh yang tidak dapat diperoleh. Seterusnya, dalam kumpulan dwibahasa,   kanak-kanak hanya dimasukkan jika sekurang-kurangnya salah seorang ibu bapa mereka bertutur dalam bahasa bukan Belanda dengan kanak-kanak berkenaan, untuk memastikan bahawa semua kanak-kanak ini dapat dianggap dwibahasa.
            Oleh sebab kajian tersebut terlalu teknikal dan ilmiah sifatnya, maka makalah ini hanya  memetik inti pati kajian itu secara ringkas.  Hasil kajian menyokong hipotesis bahawa  kedwibahasaan  mempengaruhi perkembangan perhatian dan mengesahkan bahawa kesan kedwibahasaan terhadap kognisi ditemui di seluruh latar sosiolinguistik, iaitu kanak-kanak memperoleh bahasa wilayah dan kanak-kanak mempelajari bahasa imigran.
            Kajian ini menunjukkan bahawa kesan kognitif kedwibahasaan ditemui dalam kanak-kanak yang menjadi dwibahasa kerana mereka terdedah terhadap  bahasa wilayah, selain bahasa kebangsaan, dan dalam kanak-kanak yang  menjadi dwibahasa kerana (salah seorang) ibu bapa mereka ialah imigran atau pendatang. Perbandingan tugas yang berbeza menunjukkan bahawa pengalaman dwibahasa mempengaruhi terutamanya bagaimana kanak-kanak mengarahkan perhatian mereka terhadap persekitaran: kelihatan bahawa mereka menganggap lebih banyak maklumat merupakan potensi tugas-relevan dan mereka secara relatifnya berjaya dalam menggunakan maklumat ini dalam tugas yang mereka perlu fokus dan memberikan perhatian secara terpilih.

            Dapatan kajian ini menunjukkan bahawa bagi kanak-kanak imigran, kecekapan di rumah atau bahasa imigran adalah penting untuk kelebihan kognitif untuk membangun dan menunjukkan bahawa kesan kognitif untuk penutur  bahasa wilayah adalah ditinggirendahkan atau dimodulet oleh perbezaan dari segi  latar sosiolinguistik.


Monday, February 5, 2018

Dunia Tanpa Orde
Isnin, 5 Februari 2018
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Pada tahun 2017, genap 100 tahun Perisytiharan Balfour yang membawa penubuhan negara Israel, yang meletakkan Palestin dalam keadaan penyelesaian sebuah negara, atau penyelesaian dua buah negara. Dengan perisytiharan Presiden Donald Trump bahawa Baitulmuqaddis ialah ibu negara Israel, berkemungkinan penyelesaian tanpa negara bagi Palestin.  Satu lagi peristiwa, ialah Revolusi Rusia yang merupakan salah satu peristiwa politik yang meledak pada abad ke-20.  Revolusi yang ganas itu menandakan berakhirnya dinasti Romanov dan abad pemerintahan Maharaja Rusia.
            Tariq Ali dalam bukunya, The Clash of Fundamentalisms: Crusades, Jihad and Modernity mencatatkan perbualannya dengan Edward Said di New York tentang dua peristiwa itu. Mereka bersetuju bahawa tahun 1917 ialah tahun yang mentakrifkan abad ke-20. Bagi Ali, peristiwa formatif ialah Revolusi Rusia, dan bagi Said, ialah Perisytiharan Balfour. Keruntuhan Revolusi Rusia dan kemenangan Perisytiharan Balfour, bagaimanapun,  juga dikaitkan dengan apa yang berlaku di New York dan Washington pada 11 September.
            Yang dimaksudkan keruntuhan Revolusi Rusia, ialah penyepaian atau perpecahan Kesatuan Soviet pada beberapa dekad lalu, yang akhirnya  mendorong Francis Fukuyama mengumumkan pengakhiran sejarah bahawa pertarungan ideologi antara Timur dengan Barat: kemenangan demokrasi liberal Barat dan  kapitalisme. Dengan protes antikomunis  merebak di seluruh bekas Kesatuan Soviet, esei Fukuyama, "The End of History?" yang diterbitkan dalam majalah National Interest  pada musim panas tahun 1989, mendapat sambutan hangat. Pengakhiran sejarah yang juga bermakna pengakhiran Perang Dingin, yang menyaksikan dari segi idea, puak Kanan memperkukuh lagi kedudukan, puak Tengah semakin menyesuaikan diri, dan puak Kiri bercakap secara global, berundur.
         Walau bagaimanapun, di tengah-tengah sorak-sorai kemenangan Barat itu, dipercayai bahawa abad ke-20 pembimbing yang lemah untuk abad ke-21, manakala Immanuel Wallerstein dalam bukunya, The End of the World As We Know it: Social Science for the Twenty-First Century, mengingatkan bahawa dunia 50 tahun akan datang menjanjikan jauh lebih ganas berbanding dengan dunia Perang Dingin. Tambah beliau, 25 tahun hingga 50 tahun akan datang akan merupakan debat politik yang panjang bagaimana menangani bayang-bayang   yang mengerikan ini, iaitu penyepaian struktur negara dan pendemokrasian. Mustahil untuk meramalkan hasil debat politik ini di seluruh dunia, yang akan merupakan perjuangan politik di seluruh dunia.
            Selain keganasan yang sukar dibendung,  kebangkitan puak populis bersama-sama Fasis,  dan perang budaya yang semakin menjadi-jadi, dunia juga terus terjebak dalam pembunuhan etnik atau genosid dan yang terbaharu di  Myanmar. Tiga  tonggak orde global, iaitu demokrasi, kapitalisme,  dan globalisasi tidak sekukuh seperti yang dijangkakan.  Yang pertama hilang seri, yang kedua muflis, dan  yang ketiga menimbulkan ketidakpuasan.
            Sementara itu, Amerika Syarikat yang merupakan kuasa besar dunia yang berjaya menewaskan seterunya, Kesatuan Soviet pada era Perang Dingin, semakin kehilangan hegemoni, meskipun Joseph S, Nye, Jr, dalam bukunya, Is the American Century is Over?, cuba menafikannya, dengan menegaskan bahawa “perkataan ‘hegemoni’ digunakan dalam cara yang berlainan dan mengelirukan.” Dari segi ketenteraan, Amerika Syarikat dihimpit oleh Rusia yang bangkit semula daripada keruntuhan, dan sekali-sekala  diusik   oleh Korea Utara, manakala dari ekonomi, disaingi rapat oleh China.
            Meskipun Joseph Nye menafikannya dengan menggunakan kekaburan konsep hegemoni, pada hakikatnya, Orde Baharu Dunia Amerika, tidak wujud lagi. Kira-kira 25 tahun selepas Perang Dingin, satu tema dominan dasar luar Amerika Syarikat ialah usaha untuk mengglobalkan orde antarabangsa liberal yang pada mulanya bertapak di Barat selepas Perang Dunia Kedua. Washington berharap untuk mencapai usaha ini dengan mengintegrasikan pencabar potensi sistem, iaitu Rusia dan China secara mendalam ke dalam sistem yang mereka tidak mempunyai keinginan untuk mengganggu-gugatnya. Matlamatnya adalah dengan alat ekonomi dan dorongan diplomatik, untuk membawa semua kuasa besar utama dunia ke dalam sistem yang mereka berasa puas hati, tetapi pada masa yang sama,  Amerika Syarikat dan nilainya masih pada kedudukan tertinggi.
            Walau bagaimanapun, hujah Hal Brands yang menulis untuk BloombergView, “America's New World Order is Officially Dead,” tanpa ragu-ragu lagi, projek ini kini telah berkubur. Matlamat baharu strategi Amerika Syarikat tidak akan mengintegrasikan kuasa besar seteru ke dalam orde dunia global yang sebenar-benarnya, tetapi untuk mempertahankan sistem antarabangsa yang wujud -  berjaya, tetapi belum lengkap – terhadap penjarahan mereka. Brands sedar bahawa rumusan beliau sukar diterima, kerana optimisme yang amat tinggi selepas era pasca-Perang Dingin. Oleh sebab persaingan kuasa besar berakhir, maka demokrasi dan pasaran bebas merebak seperti api ganas, tembok roboh, dan pembahagian geopolitik lesap. Bahkan, Rusia dan China – seteru geopolitik dalam tempoh yang lama, dan kuasa besar akan datang menguasai ufuk ini – menunjukkan minat dalam kerjasama dan integrasi yang sangat besar dengan komuniti antarabangsa.  Seakan-akan berkemungkinan bahawa dunia bergerak ke arah model politik dan organisasi ekonomi tunggal, dan sistem global tunggal di bawah kepimpinan Amerika Syarikat.
            Namun begitu, Rusia di bawah kepimpinan Vladimir Putin berusaha mencetuskan  Perang Dingin Baharu dan mula berusaha menebus semula wilayahnya yang hilang beberapa dekad lalu. China pula, meskipun mencapai pertumbuhan ekonomi yang pesat dan muncul sebagai kuasa ekonomi kedua terbesar di dunia selepas Amerika Syarikat, dari segi politik masih berpegang kuat pada ideologi asal mereka. Bahkan, kerajaan  China pada pertengahan Disember 2017, mengkritik keputusan Presiden Donald Trump yang melabelkan Beijing sebagai seteru strategik dan menggesa Washington supaya “meninggalkan mentaliti Perang Dingin” dan menerima kebangkitan China.
            Hari demi hari berlalu, yang kelihatan  jelas ialah, memetik Immanuel Wallerstein, “sistem-dunia yang kacau-bilau.” Wallerstein melalui laman Webnya, muncul dengan esei “Chaotic Uncertainty,” menjelaskan maksud kacau-bilau, iaitu situasi yang wujud ayunan ganas malar dalam keutamaan semua pelaku. Satu hari, dari sudut pandang pelaku tertentu, perkara kelihatan memihak kepada pelaku berkenaan. Keesokan harinya, keadaan berubah, iaitu perkara tidak lagi memihak kepada pelaku itu. Beliau mengakui bahawa ayunan ganas merupakan asam garam krisis struktur. Hal ini bermakna kita akan hidup dalam ketidakpastian keadaan kacau-bilau sehingga krisis struktur diselesaikan dengan memihak kepada satu atau dua serampang percabangan.
            Wallerstein juga menyatakan salah satu ayunan liar yang berlaku, yang kurang diberikan perhatian, tetapi sangat penting, ialah perisytiharan oleh kerajaan Indonesia yang mereka mengubah nama perairan kepada Laut Natuna Utara. Satu tindakan yang kelihatan tidak berbahaya yang dapat difahami dari segi sejarah tuntutan maritim dalam perairan Asia Timur dan Asia Tenggara. China menunjukkan dominasinya untuk beberapa ketika, kini menuntut kebanyakan laut ini dan membina pangkalan  di pulau-pulau atau bahkan di batuan yang terdapat di laut ini. Dalam pertikaian di Laut China Selatan, Indonesia mengambil pendirian berkecuali dan tidak sekeras Filipina, Taiwan, Vietnam, dan juga Amerika Syarikat. Walau bagaimanapun, dengan bertindak menamakan semula perairan Indonesia, merupakan perisytiharan hak Indonesia terhadap perairan yang dituntut oleh China. Bukan hanya tuntutan ini terhadap China, tetapi juga Indonesia mengambil pendirian yang sangat “keras” dengan mempersoalkan pertikaian ini secara terbuka.
           Pada akhir abad ke-20, dunia  memasuki zaman teknologi maklumat dan komunikasi (TMK) dan ekonomi berasaskan pengetahuan, yang seakan-akan membayangkan sumber asli menjadi kurang penting. Namun begitu,  yang  berlaku, selain minyak yang sering mencetuskan ketidakpastian geopolitik, sejak akhir-akhir ini, air dan juga pasir turut terbabit sama.  Dalam ekonomi berasaskan pengetahuan, salah satu  sumber pengeluaran, iaitu tanah dikatakan kurang penting.  Namun begitu, yang berlaku, tanah atas nama kedaulatan menjadi rebutan, seperti yang melibatkan Malaysia dengan Singapura dalam tuntutan bertindih Pulau Batu Putih. Tidak memadai dengan tanah, bahkan laut sering “bergelora” akibat tuntutan bertindih yang melibatkan banyak, seperti yang berlaku di Laut China Selatan, yang menyaksikan China secara terang-terangan menunjukkan dominasinya dan cuba memperlihatkan hegemoninya. Merentas benua, “dendam geografi” – memetik Robert D. Kaplan, semakin menjadi-jadi.
            Sementara itu, kedudukan negara bangsa – konsep yang diperkenalkan oleh Jean Bodin pada abad ke-16, dalam ketidakpastian. Pada suatu ketika, akibat rempuhan globalisasi dan dunia tanpa sempadan, maka negara bangsa dijangkakan akan berakhir atau sekurang-kurangnya menjadi lemah.  Namun begitu, yang berlaku, ada juga negara bangsa yang semakin kuat. Di blok komunis atau sosialis, selain Kesatuan Soviet yang mengalami keruntuhan empayar, menyaksikan kemunculan negara kecil baharu, seperti yang berlaku di Yugoslavia. Di rantau lain  turut menyaksikan   pembentukan negara baharu, seperti  Timor Timur atau Timor-Laste dan Sudan Selatan yang kini terjebak dalam perang saudara. Sementara negara Kurdish   dalam proses pembentukan,  manakala  Catalonia setakat ini gagal membentuk sebuah negara merdeka.  Dalam pada negara bangsa asal berpecah di sana sini, Jerman Barat  dan Jerman Timur bersatu semula di bawah runtuhan Tembok Berlin.
            Dengan menyertai Kesatuan Eropah, maka sempadan negara bangsa   terbuka bagi   warganegara setiap negara  anggota untuk keluar masuk tanpa halangan. Tiba-tiba berlaku “Brexit,” iaitu United Kingdom keluar daripada Kesatuan Eropah, dan dengan itu, menebus semula negara bangsanya. Namun begitu, sebelum United Kingdom memperkukuh negara bangsanya, Scotland masih memasang impian untuk menjadi sebuah negara merdeka,  atau dengan kata lain, sebuah negara bangsa baharu.  Oleh sebab gerakan pemisah muncul di banyak tempat di dunia, misalnya Ukraine kehilangan Semenanjung Crimea, maka dipercayai bahawa  fahaman kabilah mengaburi negara bangsa.
        Sejak tahun 1970-an, dunia menyaksikan kemunculan dan kebangkitan neoliberalisme yang didukung oleh ahli ekonomi, Milton Friedman dan Friedrich Hayek. Kemudiannya,  Presiden Ronald Reagan dan Perdana Menteri Margaret Thatcher meniup jampi manteranya tiga tonggak neoliberalisme:  jimat cermat fiskal, penswastaan, dan liberalisasi pasaran; atau dengan kata lain, pasaran lebih, kerajaan kurang. Neoliberalisme – orde ekonomi  yang didakap oleh banyak negara di dunia, termasuk Malaysia, mencapai puncak kegemilangannya sebelum krisis kewangan Asia tahun 1997/1998 atau jauh sedikit, sebelum krisis kewangan global tahun  2007/2008. Penggunaan istilah “neoliberal” meledak pada tahun 1990-an, apabila neoliberal menjadi sekutu rapat dengan dua perkembangan, iaitu pembatalan kawal selia kewangan yang akhirnya membawa padah akibat keruntuhan kewangan terbaharu ini dan globalisasi ekonomi.
            Walau bagaimanapun, model neoliberal yang menguasai politik dan ekonomi arus perdana sejak berdekad-dekad kini dalam krisis. Tom Bramble dalam eseinya, “The Crisis in Neoliberalism and its Ramifications,” menegaskan bahawa perasaan tidak puas hati terhadap jimat cermat dan ketidaksamaan akibat  daripada pengenaan dasar neoliberal menjadi persoalan utama dalam politik dunia, dengan “Brexit,” Bernie Sanders, Donald Trump, dan Jeremy Corbyn, dengan cara masing-masing melemahkan konsensus neoliberal. Ketidakpuasan golongan massa disertai dengan realisasi yang semakin meningkat oleh para pengurus sistem kapitalis bahawa dasar neoliberal tidak mampu mengeluarkan ekonomi dunia lari daripada kini 10 tahun terjebak dalam krisis kewangan global.
            Oleh sebab neoliberalisme terjebak dalam krisis, maka dunia kehilangan satu orde ekonomi yang dominan meskipun orde ini banyak cacat-celanya.  Dipercayai bahawa kritikan dan ketidakpuasan terhadap globalisasi  sebenarnya turut menyasarkan neoliberalisme. Oleh sebab neoliberalisme kelihatan berundur, maka apakah orde ekonomi alternatif? Meskipun persoalan ini sukar dijawab, yang jelas,  Konsensus Beijing lawan Konsensus Washington;  atau  adakah komunis mungkin menjadi kapitalis yang bagus?        
            Mungkin ada orang yang beranggapan bahawa penyataan dunia tanpa orde adalah berlebih-lebihan dan menunjukkan sikap sangat pesimistik. Namun begitu, inilah hakikat dunia yang kita diami sekarang sehingga sukar untuk dibayangkan, apakah sistem (sistem-sistem) yang sedang atau akan muncul untuk membentuk dunia atau paling tidak, membimbing dunia pada abad ini.

Thursday, February 1, 2018

Pasang Surut Demokrasi
Khamis, 1 Februari 2018
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Bersempena 60 tahun Malaysia merdeka, Perdana Menteri Dato’ Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak menulis amalan dan kesuburan   demokrasi di negara ini. Dalam “Rekod Demokrasi Malaysia” yang diterbitkan dalam beberapa akhbar pada 11 September, Mohd. Najib, antaranya menulis, “sebenarnya, apabila membicarakan pilihan raya yang sengit dan kebebasan anda menyuarakan fikiran, Malaysia mempunyai rekod demokrasi yang paling kukuh dan paling lama di seluruh Asia Tenggara.” Beliau mengemukakan contoh bahawa pelbagai parti memenangi beberapa negeri dan ahli-ahli politik yang ternama kehilangan kerusi mereka.  Tambah beliau, kerana tiada keputusan yang boleh ditetapkan dalam pilihan raya yang demokratik dan bebas. Terpulang kepada rakyat kepada rakyat untuk membuat pilihan dan itu merupakan satu rekod yang seluruh rakyat Malaysia patut berasa bangga.
            Mohd. Najib  menegaskan bahawa demokrasi  yang masih hidup di Malaysia dan bawah pentadbiran beliau, demokrasi diperkukuhkan lagi dengan lagi dengan pelbagai pembaharuan paling meluas sejak kemerdekaan. Kita telah memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan menamatkan Darurat yang wujud selama lebih 60 tahun. Sebelum itu, beliau menyerang seseorang yang beliau anggap “”diktator” yang berkuasa  selama 22 tahun. Ketika individu berkenaan  menjadi Perdana Menteri ratusan orang telah dipenjarakan di ISA.  Beberapa akhbar, termasuk sebuah akhbar harian nasional telah ditutup. Badan kehakiman diserang. Kapitalisme yang berunsur kronisme berleluasa dengan menyaksikan perjanjian yang amat  membebankan rakyat hari ini. Rakyat tidak mempunyai hak untuk berdemonstrasi dan para pelajar tidak dibenarkan melibatkan diri dalam politik. Mohd. Najib turut menyentuh badan kehakiman di Malaysia yang memperoleh semula kebebasan, berbeza dengan era kegelapan semasa krisis kehakiman pada tahun 1988.
            Sejak pilihan raya Majlis Perundangan Persekutuan diadakan pada tahun 1955, pilihan raya di negara ini diadakan setiap lima tahun sekali, bahkan ada kalanya lebih awal, iaitu empat tahun sekali. Dalam tempoh itu, beberapa negeri pernah jatuh ke tangan pembangkang, iaitu  Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Sabah, Selangor, Kedah, dan Perak. Meskipun akibat Peristiwa 13 Mei 1969, Darurat telah diisytiharkan di seluruh negara  pada 15 Mei 1969, dan Parlimen digantung dan Majlis Gerakan Negara (Mageran), dan memetik Tun Dr. Ismail   Abdul Rahman, "demokrasi telah mati di Malaysia,” beberapa tahun kemudian, demokrasi dipulihkan.
 Ketika Tun Abdul Razak Hussein  menggantikan Tunku Abdul Rahman Putra  sebagai Perdana Menteri pada 22 September 1970, Darurat masih dikuatkuasakan dan Parlimen masih digantung. Pemusatan kuasa adalah dalam tangan beliau, iaitu sebagai Perdana Menteri dan Pengarah Mageran,  boleh mendorong beliau untuk menjadi autokrat. Bahkan, sejak  pelantikan Tun Abdul Razak sebagai Pengarah Mageran, yang mempunyai kuasa mutlak, beliau dikhuatiri menjadi “diktator”  untuk mentadbir negara. Beliau boleh terus kekal di mercu kuasa dengan cara merancang kekacauan sekali-sekala untuk mengaburi mata rakyat bahawa negara belum aman lagi. 
 Namun begitu,  sebagai seorang diktator yang bukan atas kemahuan sendiri, Tun Abdul Razak dikatakan meminta pertolongan daripada Tun Muhammad  Ghazali Shafie,  untuk melakukan tugas memulihkan keamanan negara yang semakin memburuk akibat rusuhan kaum itu.   Tun Abdul Razak dijangkakan  dengan mudah boleh menjadi diktator waktu itu, tetapi dengan adanya  Tun Dr. Ismail yang menyertai Kabinet semula dan menganggotai  Mageran,  beliau tidak pernah menggunakan kuasa dengan maksud begitu. Sebagai seorang politikus dan pentadbir yang cukup  berpengalaman, Tun Abdul Razak cukup sedar akan bahaya menggunakan pemerintahan kuku besi dalam masyarakat majmuk yang unik seperti di Malaysia.  Tan Sri Noordin Sopiee, dalam belangsukawa yang ditulis apabila Tun Abdul Razak meninggal dunia:  “Tun barangkali bekerja lebih keras daripada mana-mana diktator dalam sejarah untuk menyingkirkan kuasa diktator dari tangannya sendiri dan berusaha menjauhinya.”
Tun Abdul Razak membuktikan komitmen untuk menghidupkan semula demokrasi, bermula dengan mengadakan pilihan raya yang ditangguhkan di Sabah dan Sarawak.  “Setelah keadaan semakin pulih, pada 12 Mei 1970, beliau memutuskan untuk menyambung semula pilihan raya di Sarawak dan Sabah yang tertangguh akibat tercetusnya Peristiwa 13 Mei.  Di Sarawak, pilihan raya disambung semula pada 6 Jun  -  4 Julai 1970, manakala di Sabah pilihan raya diadakan pada 21 – 27 Jun 1970. Keputusan pilihan raya di dua buah negeri penting untuk pemulihan demokrasi di Malaysia, seperti yang diberikan amaran  oleh Tun Dr. Ismail yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri, “sekiranya keputusan pilihan raya di Sabah dan Sarawak tidak dapat memberikan majoriti dua pertiga kepada Perikatan dalam Parlimen, demokrasi berparlimen tidak mungkin diwujudkan kembali.”
            Di luar jangkaan banyak pihak, demokrasi dipulihkan, dan Tun Abdul Razak dipetik sebagai  memberitahu sidang Parlimen pertama selepas negara kembali kepada demokrasi pada 23 Februari 1971:  “Saya sentiasa memikir dan menjalankan berbagai-bagai usaha untuk memulihkan keadaan dan suasana di dalam negara ini seperti sedia kala supaya dapatlah diadakan semula sidang Parlimen di mana ahli-ahli Yang Berhormat dapat melaksanakan tugas masing-masing sebagai wakil rakyat.” 
      Sebagai Pengarah Mageran, Tun Abdul Razak pernah menjelaskan bahawa demokrasi  tidak berfungsi di Malaysia dari segi kesamaan politik semata-mata. Proses demokratik mesti diterjemahkan juga dari segi agihan saksama kekayaan dan peluang. Sememangnya,  Tun Abdul Razak bukan sekadar berjaya memulihkan keamanan dan menghidupkan semula demokrasi, tetapi juga memastikan negara bangsa Malaysia tidak runtuh dan menghindarkan Balkanization.
Tanpa komitmen dan usaha gigih Tun Abdul Razak dan Tun Dr. Ismail, Malaysia mungkin boleh dikatakan negara awal yang mengalami kegagalan demokrasi. Mungkin juga  boleh dijadikan kajian kes tentang kegagalan demokrasi di sebuah negara membangun.
Walau bagaimanapun, “kejayaan negara kita mengamalkan sistem demokrasi yang stabil” – memetik Mohd. Najib sekali lagi, tidak bermakna bahawa sistem ini terus subur di peringkat global. Di banyak negara, demokrasi seakan-akan berundur atau surut, termasuk di Amerika Syarikat sendiri. Pada Januari tahun ini, The Economist Intelligence Unit, menurunkan gred negara itu daripada “demokrasi penuh” kepada “demokrasi  bercacat,” kerana “kemerosotan seterusnya kepercayaan terhadap kerajaan dan pegawai yang dipilih.”
Kepercayaan popular terhadap kerajaan, wakil yang dipilih, dan parti politik jatuh pada tahap sangat rendah di Amerika Syarikat. Kemerosotan ini merupakan trend jangka panjang dan trend mendahului pemilihan Donald Trump sebagai Presiden Amerika Syarikat. Negara itu mengalami “demokrasi bercacat” sejak beberapa tahun, dan bahkan jika tidak pilihan raya pada tahun 2016, skornya akan menyusup bawah 8.00. Pada tahun 2015, penarafan Amerika Syarikat ialah 8.05, dan pada tahun 2016, ialah 7.98, meletakkan negara itu di tangga ke-21 – hanya di belakang Jepun dan hanya di hadapan Republik  Cabo Verde. Amerika Syarikat tidak tergolong dalam kategori negara autoritarian dunia, tetapi bersama-sama Bulgaria, Perancis, India, dan Mongolia.  Akan tetapi,  Amerika Syarikat tidak lagi tergolong dalam kategori “demokrasi penuh” yang diduduki oleh Australia, Kanada, Jerman, dan United Kingdom. Daripada 165 buah negara merdeka dua  buah wilayah, Norway menduduki tangga paling atas, manakala Korea Utara kekal paling bawah. Iceland dan Sweden masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga tertinggi.  Sesebuah negara mesti mengekalkan penarafan 8.00 yang melibatkan 60 petunjuk yang merentas lima kategori luas, iaitu proses pilihan raya dan pluralisme, fungsi  kerajaan, penyertaan politik, budaya politik demokratik, dan hak kebebasan awam.
           Walau bagaimanapun, Joan Hoey, editor laporan itu memberitahu bahawa penarafan yang rendah itu bukannya akibat langsung Donald Trump. “Sebaliknya, pemilihan Trump sebagai Presiden Amerika Syarikat adalah bahagian besar akibat masalah yang berlarutan tentang demokrasi di Amerika Syarikat,” jelas Hoey.
Laporan  2016 Democracy Index, memerhatikan “punca yang dalam tentang krisis demokrasi sekarang di dunia maju” dan memeriksa dengan teliti keadaan demokrasi di setiap wilayah. Menurut  laporan itu, demokrasi mempunyai tahun sukar pada tahun 2016, dengan tidak wilayah global mencapai penambahbaikan dalam skor puratanya dan hampir dua kali ganda, iaitu sebanyak 72 buah negara, merosot dari segi skor. Eropah Timur mengalami gerakan  ke belakang  yang paling teruk.
Sementara itu, dua buah negara di Asia Tenggara, iaitu Myanmar dan Kemboja jelas menunjukkan kegagalan peralihan ke arah demokrasi. Myanmar berhubung dengan layanan terhadap Rohingya, yang menurut Zeid Ra‘ad al-Hussein, Pesuruhjaya Tinggi untuk Hak Asasi Manusia  Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), tidak ubah seperti “pembersihan etnik buku teks”  apabila mereka dibunuh oleh pasukan keselamatan negara itu,  kediaman mereka di Rakhine dibakar, dan sepanjang tiga minggu, iaitu sejak Ogos hingga September 2017, dianggarkan 400,000 orang menjadi pelarian mencari perlindungan di Bangladesh.  
Namun begitu, tatkala warga dunia mengutuk kekejaman yang dilakukan terhadap  Rohingya, pemimpin de facto, penerima Hadiah Nobel Keamanan - yang kononnya memperlihatkan dirinya sebagai pejuang demokrasi  - Aung San Suu Kyi, sekadar mendiamkan diri. Bahkan, dia melabelkan Rohingya pengganas, dan dengan itu, merestui kekejaman terhadap mereka.  Pada April tahun ini, beliau menafikan laporan pembersihan etnik dan berjanji Rohingya akan selamat sekiranya mereka pulang semula ke Myanmar.
“Aung San Suu Kyi, bukan hanya mendiamkan diri tentang kekejaman yang menjadi-jadi terhadap 1.3 juta minoriti kuat Rohingya di negaranya, bahkan dia tidak akan menarik balik sekatan keras terhadap akses kemanusiaan kepada mangsa,” tulis Pankaj Mishra dalam BloombergView, “Our New Culture of Cruelty.”
Kini, tekanan antarabangsa terhadap Suu Kyi supaya menghentikan keganasan dan memastikan Rohingya pulang ke negeri mereka dengan selamat semakin memuncak. Wujud petisyen beliau dilucutkan Hadiah Nobel Keamanan mencapai hampir setengah juta tandatangan. “Akan tetapi, Suu Kyi yang masih popular di Myanmar, tidak mengendahkan komuniti antarabangsa dan menunjukkan bahawa dia tidak mempercayai laporan tentang keganasan etnik,” tulis Sofia Lott Persio, “Why Myanmar Hates the Rohingya” dalam Newsweek. Suu Kyi yang  ketika menampilkan dirinya sebagai pejuang demokrasi dan keamanan sibuk ke sana ke mari untuk menemui komuniti antarabangsa, mengumumkan bahawa dia tidak akan hadir sesi Perhimpunan Agung PBB ke-72 di New York yang bermula pada pertengahan September.
Di Kemboja pula, bimbang akan kalah dalam pilihan raya tahun depan, maka parti yang memerintah. iaitu Parti Rakyat Kemboja, pada bulan Ogos melancarkan beberapa serangan terhadap sesiapa sahaja yang dianggap pengancam kuasanya. Selepas kehilangan sokongan kepada Parti Penyelamat Kebangsaan Kemboja (Cambodia National Rescue Party) dalam pilihan raya tempatan Jun tahun ini, Parti Rakyat  Kemboja  paranoid bahawa gelombang pendapat awam menentang mereka.
            Dalam “Cambodia’s Dying Democracy,”  Elliot Brennan yang menulis untuk laman web Lowy Institute mendedahkan, pada hari Isnin (4 September), akhbar bahasa Inggeris yang sangat dihormati,  The Cambodia Daily, akibat tekanan kerajaan supaya ditutup, menerbitkan edisi terakhirnya. Muka depannya dengan foto pemimpin pembangkang Kemboja, Kem Sokha, diiringi ke tempat tahanan oleh polis selepas ditahan pada hari Ahad. Dua peristiwa ini menandakan keterukan negara itu dan merupakan  pemecutan usaha Perdana Menteri Hu Sen untuk mendiamkan pembangkang dan memastikan kemenangan dalam pilihan raya umum tahun depan.  Bersama-sama usaha menghancurkan kebebasan akhbar ialah penahanan dan ancaman berterusan terhadap mereka yang menentang kerajaan. Penahanan pemimpin pembangkang, Kem Sokha kerana pengkhianatan – dia dituduh berkonspirasi dengan Amerika Syarikat – adalah menandakan kematian demokrasi di Kemboja di bawah pemerintahan Hun Sen.

            Tatkala Perdana Menteri Mohd. Najib bergembira dan berbangga dengan kesuburan demokrasi di Malaysia, di banyak negara pula, demokrasi tidak lagi mekar dan indah. Untuk negara kita Malaysia,  satu harapan yang hakiki, ialah   perisytiharan beberapa dekad lalu bahawa  “demokrasi telah mati di Malaysia,” adalah yang pertama dan yang terakhir. 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...