KHAMIS, 5 Julai 2018
Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Tahun demi tahun berlalu boleh dikatakan tidak banyak lagi rakyat Malaysia yang memberikan perhatian kepada Pedra Branca yang juga dikenali Pulau Batu Puteh yang kini menjadi milik Singapura. Rakyat negara ini selalunya gemar menunjukkan keberangan apabila sesuatu keputusan telah dibuat, dan bagi yang dipengaruhi oleh politik antikerajaan, selalunya mereka melompat ke dalam gelanggang untuk menunjukkan kegagalan pihak kerajaan untuk mempertahankan kedaulatan dan maruah negara. Mereka mungkin pergi jauh sedikit dengan menuduh “Malaysia negara yang gagal.” Pihak kerajaan pula yang pada mulanya belum “mengaku kalah” seakan-akan menyepi dan menerima keputusan itu seadanya.
Dalam ketiadaan khabar berita itu, Dato’ Ahmad Said, yang pernah berkhidmat
sebagai anggota Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka dan mantan pegawai
kanan kerajaan menulis pada status Facebook pada 23 Mei 2016, antaranya, “masa yang diberikan untuk menilai semula keputusan Mahkamah
Keadilan Antarabangsa (ICJ), ialah
setakat 10 tahun maksimum. Adakah usaha-usaha sedang dilakukan bagi maksud
memperoleh dokumen bukti yang amat penting itu sebelum April 2018?”
Walau bagaimanapun, keluh kesah dan
tanda tanya Dato’ Ahmad dan sebilangan rakyat Malaysia yang patriotik, akhirnya terjawab pada awal Februari tahun ini
apabila kerajaan Malaysia memohon semakan semula keputusan ICJ berhubung dengan
Pedra Branca berikutan penemuan “fakta baharu,” iaitu tiga dokumen yang
ditemukan di National Archives of the United Kingdom 4 Ogos 2016 dan 30 Januari
2017. ICJ melalui laman Webnya, seperti
yang dipetik oleh media tempatan menyatakan dokumen tersebut ialah telegram
sulit pada tahun 1958 daripada Gabenor Singapura kepada Setiausaha Negeri
Jajahan yang tidak menganggap Pulau Batu Puteh itu sebahagian daripada wilayah
Singapura, laporan insiden kapal pada tahun 1958 menyatakan ketidakmampuan
tentera laut British membantu kapal Malaysia yang diekori bot bersenjata Indonesia
dekat pulau tersebut kerana “kawasan itu berada dalam wilayah perairan Johor”,
dan peta tahun 1962 yang mempunyai nota penjelasan tulisan tangan pada tahun
1966 menunjukkan wilayah perairan Singapura tidak diperluaskan ke kawasan
sekitar Pulau Batu Puteh.
ICJ dalam penghakimannya pada 23 Mei
2008, mendapati bahawa kedaulatan terhadap Pulau Batu Puteh
adalah milik Singapura dengan 12-4 undi,
kedaulatan terhadap Terumbu Karang Tengah (Middle Rocks) adalah milik Malaysia
dengan 15-1 undi, dan kedaulatan terhadap South Ledge adalah milik negara yang perairan
wilayah yang pulau itu terletak dengan 15-1 undi.
Pertikaian wilayah ini memakan masa
yang lama, hampir tiga dekad. Bagi
Malaysia, melibatkan tiga orang Perdana Menteri, iaitu Tun Hussein Onn, Tun Dr.
Mahathir Mohamad, dan Tun Abdullah Haji Ahmad Badawi. Bagi Tun Abdullah, keputusan ICJ itu boleh
diibaratkan “sudah jatuh ditimpa tangga,” kerana kira-kira dua bulan sebelum
itu, Barisan Nasional yang diterajuinya mencapai prestasi terburuk dalam
pilihan raya umum tahun 2008.
Sebaik-baik sahaja Malaysia memohon
semakan semula itu, sebilangan pakar
mula muncul di media tempatan mengatakan
bahawa Malaysia berpeluang. Ada yang
merujuk kes kuil purba Preah Vihear yang diputuskan oleh ICJ adalah terletak
dalam kedaulatan Kemboja dalam pertikaian dengan Thailand. Memang tidak salah
meletakkan harapan, asalkan jangan terlalu yakin dan apatah lagi memperkecil
kemampuan Singapura melawan balik.
Bagi rakyat Malaysia yang mudah
teruja dan yang memori pendek, buku Pedra Branca: The Road to the World
Court oleh S Jayakumar dan Tommy Koh, dengan “kata pengantar” oleh Menteri
Mentor Lee Kuan Yew, mendedahkan bagaimana pihak Singapura bekerja dan membuat persiapan yang
rapi demi memastikan kemenangan memihak kepada mereka.
Menurut Jayakumar dan Tommy Koh,
Singapura menubuhkan Jawatankuasa antara Kementerian tentang Pedra Branca (IMC
tentang Pedra Branca), menjelang tahun 1989, yang termasuk pegawai daripada Jabatan Peguam
Negara, Kementerian Hal Ehwal Luar Negara, Kementerian Undang-undang,
Kementerian Komunikasi (kini, Kementerian Pengangkutan), Lembaga Pelabuhan
Singapura (kini, Lembaga Maritim dan Pelabuhan Singapura – PSA), dan Jabatan
Sejarah Lisan. Sebaik-baik sahaja Malaysia menyatakan persetujuan pertamanya untuk
merujuk pertikaian wilayah ini kepada ICJ, IMC menubuhkan Pasukan Antara
Agensi. Untuk meluaskan kerja IMC,
kumpulan Eksekutif dibentuk pada tahun 2003, dengan tujuan untuk memastikan
tindakan yang diambil oleh pelbagai agensi adalah tekal dengan pendirian
Singapura dan kedaulatan Pedra Branca.
Sementara itu, Arkib Negara
Singapura (NAS) yang kurang mendapat perhatian rakyat Singapura, memulakan penyelidikan tentang Pedra Branca dan isu yang
berkaitan pada tahun 1970-an. Dengan peruntukan S$1.38 juta, NAS menggunakan
lima staf penuh masa dan 10 staf sambilan untuk menjalankan penyelidikan. Mereka dipertanggungjawabkan mencari rekod
arkib dan dokumen yang berkaitan dengan
koleksi dius rumah api, peta dan ukur hidrografi kawasan di sekitar
Pedra Branca, amalan British dalam mengambil pemilikan wilayah, Sistem Suar
Selat (Straits Lights System), tindakan pelanunan, konsep Melayu tentang
kedaulatan, peranan penasihat British, dan status Sultan Johor. Dari segi jumlah. Staf NAS menghabiskan masa
lebih 20,000 jam penyelidikan, mengenal pasti lebih 2000 rekod, dan mentranskripsikan 650 manuskrip sejarah untuk Jabatan Peguam
Negara. NAS juga menggunakan khidmat beberapa orang penyelidik asing untuk membantu
Singapura memperoleh salinan rekod arkib daripada depositori United Kingdom,
India, Indonesia, Belanda, Australia, dan New Zealand.
Tentang peranan besar dan sumbangan
penting NAS ini, Jayakumar dan Tommy Koh menegaskan, “memang wajar untuk
berkata bahawa tanpa pertolongan NAS, nescaya
Jabatan Peguam Negara dan para peguam
antarabangsa tidak mempunyai bahan untuk menulis pliding bertulis dan lisan.” Menurut mereka, NAS menemui dua dokumen
penting, iaitu surat yang ditulis oleh pihak berkuasa kolonial Belanda di
Indonesia mengakui bahawa Pedra Branca ialah “wilayah British,” yang digunakan
oleh Singapura sebagai bukti untuk menyokong kes mereka. Satu lagi, ialah surat tahun 1925 daripada
Sultan Abdul Rahman kepada Sultan Hussein yang secara rasmi membahagikan
Kesultanan Johor-Riau-Lingga kepada dua bahagian.
Pihak Singapura juga menggunakan
khidmat rundingan pakar tempatan dan antarabangsa tentang undang-undang
antarabangsa dan sejarah Melayu, iaitu Robert Beckman, Ernest Chew, Edwin Lee,
Kwa Chong, dan Mary Turnbull. Turnbull
dianggap pakar dalam sejarah Singapura, Malaysia, dan Hong Kong, pernah
menyertai Perkhidmatan Awam Malaya pada tahun 1952 dan pernah berkhidmat di
Universiti Malaya yang ketika itu terletak di Singapura, serta menulis beberapa
buah buku sejarah.
Sementara itu, Ketua Hakim Singapura,
Chan Sek Keong yang pernah berkhidmat
sebagai Peguam Negara, salah seorang anggota peguam Singapura dalam pertikaian
wilayah ini, mempunyai kepakaran dalam aspek sejarah Melayu. Dalam prosiding
lisan yang berlangsung di ICJ pada November 2007, beliau antaranya berhujah
bahawa “Kesultanan Melayu (termasuk Kesultanan Johor), kedaulatan berasaskan
kawalan terhadap orang (people) dan bukannya kawalan terhadap wilayah.” Chan Sek Keong yang “masak” dengan sejarah
Tanah Melayu yakin bahawa beliau mampu mematahkan atau melemahkan kes Malaysia
dari segi sejarah yang dikemukakan dalam pliding bertulis.
Tentang “kedaulatan
berasaskan kesetiaan rakyat dan bukannya berasaskan wilayah,” menurut Jayakumar
dan Tommy Koh, “para peguam Malaysia mengelakkan daripada menjawab hujah
Singapura itu. Para peguam Malaysia berulang-ulang kali menekan hujah mereka
hak British terhadap Pedra Branca hanyalah pengendali rumah api.”
“Rakyat berbanding dengan wilayah,”
terdapat beberapa kajian yang menunjukkan bahawa bukan setakat amalan
Kesultanan Melayu, tetapi juga amalan di Asia Tenggara. Anthony
Milner dalam bukunya, Kerajaan: Budaya Politik Melayu di Ambang
Pemerintahan Kolonial,
berhujah bahawa sebagaimana negeri-negeri Melayu yang dikatakan kekurangan
struktur pentadbiran dan undang-undang, ia juga berbeza daripada negeri-negeri
di Barat dalam mentakrifkan geografi wilayahnya. Sempadan wilayahnya hampir tidak diketahui:
Sultan dari Terengganu misalnya, ketika ditanya oleh seorang jurusoal Inggeris
pada tahun 1875, mengakui bahawa tidak diketahui “dari mana bermulanya dan
berakhirnya sempadan negeri Terengganu.” Lokasi atau kedudukan yang betul dan
tepat bagi negeri-negeri Melayu, sebenarnya kelihatan seperti suatu perkara
yang secara relatifnya tidak begitu penting.
Dengan menggunakan konsep negara/mandala, Kobkua Suwannathat-Pian dalam
bukunya, Asia Tenggara: Hubungan Tradisional Serantau, menegaskan bahawa dari segi fizikal, negara
Asia Tenggara tidak mempunyai sempadan yang jelas, iaitu garis sempadan tetap
yang tidak mudah diubahsuaikan seperti sebuah negeri di Barat. Beliau memetik
O.W. Wolters bahawa setiap mandala mewakili sebuah unit politik tertentu
yang keadaan politiknya kerap kali kurang stabil dan yang kawasannya adalah
samar-samar tanpa garis sempadan yang tetap.
Sementara itu, James C.
Scott dalam bukunya, The Art of Not Being Governed:
An Anarchist History of Upland Southeast Asia, membahaskan kepentingan rakyat yang beliau
sebut tenaga manusia (manpower) di Asia Tenggara, termasuk dunia Melayu
prakolonial, bahawa “teras negara beraja
dan pemerintahnya mesti dipertahankan dan dikekalkan, di samping dibekalkan
oleh penawaran buruh. Scott
membezakan Asia Tenggara
dengan China tentang manusia dan
bumi. “Di Asia Tenggara, mengawal orang
menganugerahi kawalan terhadap tanah, manakala di China, mengawal tanah semakin
menganugerahi kawalan terhadap orang.” Beliau juga memetik Clifford Geertz
tentang “perseteruan politik orang Bali bahawa mereka adalah ‘perjuangan untuk
lebih banyak manusia berbanding dengan tanah’ yang juga dapat diterapkan untuk
semua tanah besar Asia Tenggara.”
Namun
begitu, yang menjadi tanda tanya di sini bukan setakat mengapa para peguam Malaysia
berdiam diri, bahkan yang tidak kurang seriusnya, ketidakmampuan ahli sejarah tempatan yang
dilantik dalam pasukan Malaysia untuk merungkaikan isu “kedaulatan
berasaskan kawalan terhadap orang dan
bukannya kawalan terhadap wilayah.” Jayakumar
dan Tommy Koh dalam buku itu menegaskan
dua kes yang berbeza, iaitu rumah api di Pulau Pisang, meskipun dikendalikan
oleh Singapura, dibina di tanah milik Johor, manakala Rumah Api Horsburgh yang
dibina di Pedra Branca pada tahun 1850, merupakan milik Singapura. Justeru, status perundangan Pedra Branca
jelas berbeza dengan status perundangan Pulau Pisang. “Percubaan Malaysia untuk menganggap
pentadbiran Singapura bagi dua rumah api ini seperti mempunyai kesan
perundangan yang sama dari segi undang-undang antarabangsa, jelas silap” tulis
Jayakumar dan Koh.
Dalam
buku itu juga dimuatkan dua salinan surat, iaitu surat yang dikirimkan oleh J.D. Higham, Setiausaha
Rendah di Pejabat Setiausaha Kolonial kepada Penasihat British di Johor dan
salinan kepada Ketua Setiausaha Persekutuan Tanah Melayu di Kuala Lumpur,
bertarikh 12 Jun 1953, tentang “status” Pulau Pisang dan Pedra Branca. Satu
lagi surat adalah daripada M. Seth bin Saaid, Pemangku Setiausaha Kerajaan
Johor kepada Setiausaha Kolonial, Singapura, bertarikh 21 September 1953, yang
menyatakan bahawa “Kerajaan Johor tidak menuntut pemilikan Pedra Branca.” Semasa prosiding lisan, para peguam Singapura
menarik perhatian kepada beberapa fakta yang merupakan ketidaktekalan tuntutan
Malaysia, termasuk surat ini, dan enam peta yang diterbitkan oleh pihak
berkuasa pemetaan nasional tertinggi
Malaysia, “specially attributing Pedra
Branca to Singapore.”
Pedra Branca ialah kes pertama Singapura di ICJ, dan kes kedua bagi
Malaysia, kerana sebelum ini Malaysia terlibat dalam pertikaian kedaulatan
Pulau Ligitan dan Pulau Sipadan dengan Indonesia. Malaysia menang kes ini pada tahun 2002. Tiga peguam antarabangsa
yang mewakili Malaysia dalam kes Sipadan mewakili Malaysia dalam kes Pedra
Branca, manakala tiga peguam antarabangsa yang mewakili Indonesia mewakili Singapura. Walau bagaimanapun,
pengalaman bukannya satu kelebihan kepada Malaysia, kerana dalam kes Pedra
Branca, pasukan peguam terpaksa beralih daripada hujah effectivites atau aktiviti berdaulat yang membawa kejayaan Malaysia
dalam kes Lilitan dan Sipidan, kepada hak dari sejarah untuk kes Pedra Branca. Bahkan, dalam prosiding lisan pada awal November
2007, salah seorang peguam Singapura,
iaitu Rodman Bundy yang pernah mewakili
Indonesia “menggunakan skrip Malaysia” dalam kes Lilitan dan Sipadan: effectivites. Beliau menayangkan pada
skrin petikan Sir Elihu Lauterpacht, peguam yang mewakili Malaysia dalam
pertikaian dua pulau dengan Indonesia
itu, yang turut mewakili Malaysia dalam
kes Pedra Branca. Bundy hanya mengubah perkataan “Malaysia” kepada “Singapura”
dan “Indonesia” kepada “Malaysia” untuk menunjukkan hujah Singapura dalam ke
Pedra Branca adalah sama dengan hujah Malaysia dalam kes Lilitan dan Sipadan.
Pasukan
peguam Singapura begitu yakin bahawa dengan memberikan penekanan terhadap effectivites dan menegaskan bahawa
Pedra Branca ialah terra nullius
atau pulau tanpa manusia pada tahun 1847, mereka mempunyai kes yang lebih
superior berbanding dengan Malaysia.
Dalam
pliding bertulis, Malaysia membangkitkan surat tahun 1844 yang hilang, daripada
Gabenor Butterworth kepada Sultan dan Temenggong Johor. Yang ada dalam simpanan
Singapura ialah surat jawapan Sultan dan
Temenggong Johor kepada Gabenor Butterworth yang jelas daripada jawapan itu Butterworth memohon kebenaran
untuk membina rumah api di pulau berhampiran dengan pantai Johor. Akan tetapi, tanpa surat asal tidak dapat
dipastikan yang mana satu pulau yang dimaksudkan itu. Pada pandangan Singapura,
pulau yang dimaksudkan itu ialah Peak Rock, sebaliknya Malaysia mengatakan
bahawa pulau itu semestinya atau dirujuk kepada Pedra Branca. Oleh sebab surat
itu penting, Singapura bekerja keras mencarinya di arkib London dan India,
tetapi tidak berhasil. Malaysia pula pada pusingan pertama pliding di Mahkamah,
mengangin-anginkan bahawa Singapura
sengaja menyembunyikan surat itu.
Berdasarkan
buku Jayakumar dan Tommy Koh itu, dapat dirumuskan bahawa Malaysia ada kalanya
melakukan apa yang disifatkan “pertahanan yang tidak dapat dipertahankan” –
memetik George Orwell, “defence of the indefensible.” Cara pasukan Malaysia bekerja ada kalanya menimbulkan tanda tanya,
mengaibkan, dan seakan-akan “memberikan
bola tanggung kepada Singapura untuk libas.”
Malaysia mengemukakan dokumen-dokumen untuk menyokong tuntutan hak
asalnya. Namun begitu, Alain Pellet,
salah seorang peguam antarabangsa Singapura meneliti setiap dokumen itu dan
menunjukkan dokumen itu tidak menyokong pendapat Malaysia. Dalam prosiding
lisan, beliau memarahi Malaysia kerana silap menterjemahkan surat daripada
Gabenor Belanda di Melaka kepada Majlis Syarikat Hindia Timur Belanda di
Batavia (kini, Jakarta). Malaysia
mengeluarkan dokumen Vietnam pada tahun 1833 menunjukkan laporan duta Vietnam
yang menyatakan Pedra Branca sebagai
pelabuhan yang diliputi oleh hutan dan tumbuh-tumbuhan hijau dengan pondok
dedaun (reed huts). “Sesetengah hakim ketawa diam-diam apabila
laporan itu ditayangkan pada skrin bersama-sama gambar Pedra Branca sebagai
batuan tandus,” catat Jayakumar dan Koh.
Pelllet
juga menarik perhatian Mahkamah kepada cara yang mengelirukan yang Malaysia
gunakan dalam pliding bertulis. Beliau
memetik contoh yang Malaysia petik dan ambil daripada laporan J.T. Thompson
tentang lawatan Temenggong ke Pedra Branca. Dengan sengaja menggugurkan
bahagian petikan, Malaysia cuba mengubah kepentingan peristiwa itu, daripada
Temenggong melawat pulau itu dengan menaiki sampan yang disediakan oleh Gabenor
British, kepada Temenggong melawat pulau itu dengan menaiki botnya sendiri dan
sebagai kedaulatan. “Sesetengah hakim
bangun dan mengambil nota apabila hal ini ditunjukkan oleh Pellet.”
Dalam
satu contoh yang lain, pasukan Malaysia menggunakan rujukan yang ketinggalan
zaman, iaitu bergantung pada 5th Edition of Oppenheim’s
International Law (diterbitkan
pada tahun 1937) untuk menegaskan bahawa “pengambilan pemilikan yang sah
wilayah hanya boleh dilakukan oleh penempatan di wilayah berkenaan.” Tindakan seperti ini membuka peluang kepada
peguam antarabangsa Singapura, Ian Brownlie untuk “menggasak” Malaysia dalam
prosiding lisan, dengan menegaskan dalam
Edisi Kesembilan yang terbaru,
Oppenheim menjelaskan bahawa meskipun edisi awal mengatakan bahawa penempatan
adalah sine qua non
pendudukan berkesan, hal ini hanyalah digunakan untuk kawasan luas muka bumi
yang boleh didiami dan mungkin tidak boleh digunakan untuk pulau kecil pesisir yang mungkin sukar “ditempatkan” dalam mana-mana
maksud sebenar dunia, tetapi masih boleh walau bagaimanapun, “didiami.”
Satu
contoh lagi yang dibangkitkan oleh Brownlie cara Counter-Memorial Malaysia yang dengan sengaja tidak memasukkan
separuh ayat daripada perenggan 17 permohonan United Kingdom kepada ICJ dalam
kes Antarctica.
“Contoh
yang diberikan oleh Pellet dan Brownile menunjukkan maksud tertentu keadaan
terdesak pada pihak pasukan Malaysia. Silap terjemahan teks, menyaring bahagian
petikan, penggunaan secara terpilih autoriti perundangan, adalah taktik yang
tidak boleh ditolak ansur dalam mana-mana mahkamah domestik undang-undang. Kami berdua berfikir-fikir dan berasa kecewa
mereka menggunakan taktik seperti itu di Mahkamah tertinggi di dunia,” tulis
Jayakumar dan Tommy Koh.
Jelas
bahawa pasukan Malaysia melakukan
beberapa kerosakan pada diri
sendiri. Dalam pusingan pertama Malaysia
untuk prosiding lisan yang berlangsung pada 13 - 16 November 2007, Duta Besar
Ejen Bersama (Co-Agent Ambassador),
Datuk Noor Farida Ariffin mencetuskan kejutan dengan mengemukakan fotograf Pedra
Branca di Mahkamah, fotograf yang tidak dilihat sebelum ini kerana Malaysia
tidak memasukkannya dalam mana-mana pliding bertulisnya. Tegas Jayakumar dan
Tommy Koh, “fotograf ini menjadi bencana perhubungan awam bagi Malaysia kerana
fotograf diputarbelitkan untuk menyokong hujah Malaysia bahawa Pedra Branca
dekat dengan pantai Johor.” Menurut
Jayakumar dan Koh, fotograf ini dimuat turun daripada laman web blog yang wujud hanya sebulan sebelum tarikh ditetapkan untuk
pendengaran lisan di Mahkamah.
Pada
20 November, apabila salah seorang peguam Singapura, Chao Hick Tin menjawab
dalam pusingan kedua, beliau mampu menunjukkan kepada Mahkamah, dengan
membandingkan fotograf yang Malaysia yang ambil daripada laman web dengan
fotograf sebenar yang diambil oleh Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan
Singapura (MPA).
“Kami
percaya pembuktian Chao itu memberikan impak pada para hakim. Kami perasan
seorang hakim memberikan nota kepada seorang hakim lain. Kami juga perasan bahawa seorang wanita, anggota delegasi Malaysia jelas terlalu
diaibkan oleh faux pas (melanggar tatasusila)
itu yang dengan secara spontan menutup mukanya dengan kedua-dua belah
tangannya,” catat Jayakumar dan Koh. “Tidak ada peguam Malaysia yang
menjelaskan di manakah Malaysia memperoleh fotograf itu dan tidak juga memohon
maaf atau menyatakan rasa kesal kepada Mahkamah kerana menunjukkan fotograf
yang mengelirukan. Kami terkejut taktik
yang pasukan Malaysia gunakan dalam usaha mereka untuk memenangi kes ini.”
Dalam
pendengaran lisan pusingan pertama,
menurut Jayakumar dan Koh, Ejen Bersama
Malaysia menuduh Singapura cuba mewujudkan domain maritim di sekitar Pedra
Branca, dengan cita-cita besar ketenteraan, dan kehadiran tentera laut
Singapura menyebabkan ketegangan politik di kawasan itu. “Ejen Bersama menyebarkan ugutan menimbulkan
ketakutan, tetapi bagi realisasi Singapura, tindakan itu par for the course.”
Ketika
pusingan kedua pendengaran yang berlangsung pada 23 dan 24 November 2007,
Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Abdul Gani Patail, mengemukakan isi dan hujah
baharu bahawa Pemangku Setiausaha Kerajaan Johor, tidak mempunyai kapasiti
untuk memberikan penolakan atau pelepasan hak milik menurut Perjanjian Johor
tahun 1948 dan Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu tahun 1948 kerana ini
melibatkan hal ehwal asing, perkara yang diserahkan oleh setiap negeri kepada
Kerajaan Persekutuan.
Pada
hari penghakiman itu 23 Mei 2008, pada
mulanya, Mahkamah menerima hujah hak
sejarah yang dikemukakan oleh Malaysia, dan Mahkamah memberikan penolakan detik
demi detik hujah Singapura dan status Pedra Branca sebagai terra nullius. Mahkamah merumuskan
bahawa Malaysia memantapkan kepuasan Mahkamah bahawa seperti pada masa apabila
British mula membuat persiapan mereka untuk pembinaan rumah api di Pedra Branca
atau Pulau Batu Puteh pada tahun 1844, pulau ini di bawah kedaulatan Sultan
Johor.
Kemudian, Mahkamah memberitahu bahawa Mahkamah memeriksa kepentingan surat
penolakan pada tahun 1953 dan menganggap surat-menyurat tahun itu dan
tafsirannya merupakan “kepentingan utama” untuk memajukan pemahaman kedaulatan
dua pihak tentang Pedra Branca. Selepas
memeriksa semua fakta dan hujah perundangan yang berkait dengan surat itu, maka
Mahkamah membuat kesimpulan yang penting bahawa “... menjadi bukti bahawa surat
berkenaan menyatakan isu kedaulatan pulau itu.
Mahkamah dengan sewajarnya merumuskan bahawa jawapan Johor seperti pada
tahun 1953, Johor difahami bahawa negeri
itu tidak mempunyai kedaulatan terhadap Pedra Branca atau Pulau Batu Puteh.” Mahkamah mentafsirkan pemilikan yang
dinyatakan dalam surat itu sebagai kedaulatan.
Mahkamah
juga mendapati sesetengah aktiviti British dan Singapura, seperti menyiasat
kemalangan maritim, kawalan mereka terhadap lawatan, pemasangan kelengkapan
komunikasi kapal, dan rancangan penebusannya, ialah tindakan à titre de souverain (tindakan hak kedaulatan). Sebaliknya, pihak
berkuasa Johor dan pengganti mereka tidak mengambil tindakan sama sekali dari
Jun 1850 hingga tarik kritikal. Mahkamah juga mencatatkan apabila pegawai
Malaysia melawat pulau ini, mereka melawat dengan memohon kebenaran
Singapura. Selain itu, Mahkamah mengambil
kira enam peta Malaysia menunjukkan
pemilikan Pedra Branca kepada
Singapura. Mahkamah seterusnya membuat kesimpulan yang penting berdasarkan
kelakuan pihak yang berkenaan “bahawa pada tahun 1980 kedaulatan Pedra Branca
atau Pulau Batu Puteh diserahkan kepada Singapura.”
Kira-kira
tiga bulan selepas ICJ membuat
penghakiman, Dr. Yoshifumi Tanaka
menulis dalam “Passing of Sovereignty:
the Malaysia/Singapore Territorial Dispute before the ICJ.” Tanaka antaranya mempersoalkan keputusan ICJ yang menurut beliau,
“wujud sedikit keraguan bahawa ICJ
mempunyai peranan penting untuk dimainkan dalam pembangunan
undang-undang antarabangsa tentang perolehan wilayah. Bahkan, dapat
diperhatikan bahawa Mahkamah membangunkan undang-undang dalam cara yang berbeza
daripada ragam tradisional perolehan (traditional modes of acquisition).” Di sini, beliau
menjelaskan melalui nota kaki dengan merujuk beberapa buku teks undang-undang
antarabangsa dalam bahasa Inggeris,
biasanya lima ragam perolehan yang dijelaskan, iaitu pendudukan terra nullius, penyerahan, penaklukan, akresi, dan
preskripsi.
Tanaka,
pensyarah kanan undang-undang menyentuh
penghakiman yang berkait dengan pemindahan
hak undang-undang daripada Malaysia, iaitu pemegang hak asal, kepada Singapura
menurut kelakuan Pihak-pihak, mesti diingatkan semula bahawa perbezaan dibuat antara penciptaan hak baharu dengan kewujudan hak dalam kes
Pulau Palmas. Dalam kes Pedra Branca ini, tegas Tanaka, ICJ kelihatan
memberikan wajaran yang lebih banyak kepada kewujudan hak. Dalam hubungan perlunya
memelihara kestabilan dan kepastian kedaulatan Negara, iaitu proses pemindahan
hak perundangan daripada Negara yang memegang hak asal kepada sebuah Negara
lain, hujah Tanaka, akan mengundang
pertimbangan yang teliti. Tambah beliau, pertimbangkan isu ini, iaitu hubungan
antara hak perundangan dengan effectivites mesti dicatatkan. Dengan merujuk beberapa kes sebelum ini, seperti
Pertikaian Sempadan antara Burkina Faso dengan Republik Mali, dan beberapa kes
lain, termasuk kes Malaysia/Indonesia,
Tanaka menegaskan dalam pertikaian Malaysia/Singapura, effectivites
Singapura tidak selaras dengan undang-undang, kerana Malaysia yang mewujudkan
hak asalnya terhadap Pedra Branca.
Justeru, menurut formula Mahkamah, keutamaan mesti diberikan kepada
Malaysia.
Tanaka juga menyentuh
surat-menyurat Pemangku Setiausaha Kerajaan Johor pada tahun 1953. Soal beliau, adakah surat-menyurat itu bermaksud “pelepasan” atau
“peninggalan” kedaulatan oleh Johor? Jawabnya, tidak. Sememangnya, Singapura tidak pernah berhujah
bahawa Johor melepaskan atau
meninggalkan haknya terhadap Pedra Branca pada tahun 1953. Dengan mempertimbangkan bahawa Sultan Johor
adalah bukannya Negeri yang bebas sepenuhnya, tetapi protektorat, ini juga
boleh dipertikaikan bahawa Pemangku Setiausaha Kerajaan Johor mempunyai
autoriti untuk mengumumkan perkara kedaulatan.
Hujah Tanaka, “ICJ sendiri mesti jelas bahawa Johor hanya ditanya untuk
maklumat, dan penafian pemilikan Johor ‘tidak boleh ditafsirkan sebagai aku
janji pengikatan’.”
Malaysia dalam memohon
supaya ICJ menyemak kes Pulau Batu Puteh, hanya bergantung pada penemuan “fakta baharu,” tetapi masih belum dapat mengemukakan surat daripada
Gabenor Butterworth kepada Sultan dan Temenggong Johor. Berdasarkan tafsiran ICJ, Johor mempunyai
kedaulatan terhadap Pulau Batu Puteh, tetapi
kedaulatan itu hilang berikutan penolakan pemilikan oleh Pemangku Setiausaha Kerajaan Johor.
Justeru, adakah fakta yang ditemui itu
mampu menebus kedaulatan yang hilang itu?
No comments:
Post a Comment