Artikel Popular

Monday, February 5, 2018

Dunia Tanpa Orde
Isnin, 5 Februari 2018
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Pada tahun 2017, genap 100 tahun Perisytiharan Balfour yang membawa penubuhan negara Israel, yang meletakkan Palestin dalam keadaan penyelesaian sebuah negara, atau penyelesaian dua buah negara. Dengan perisytiharan Presiden Donald Trump bahawa Baitulmuqaddis ialah ibu negara Israel, berkemungkinan penyelesaian tanpa negara bagi Palestin.  Satu lagi peristiwa, ialah Revolusi Rusia yang merupakan salah satu peristiwa politik yang meledak pada abad ke-20.  Revolusi yang ganas itu menandakan berakhirnya dinasti Romanov dan abad pemerintahan Maharaja Rusia.
            Tariq Ali dalam bukunya, The Clash of Fundamentalisms: Crusades, Jihad and Modernity mencatatkan perbualannya dengan Edward Said di New York tentang dua peristiwa itu. Mereka bersetuju bahawa tahun 1917 ialah tahun yang mentakrifkan abad ke-20. Bagi Ali, peristiwa formatif ialah Revolusi Rusia, dan bagi Said, ialah Perisytiharan Balfour. Keruntuhan Revolusi Rusia dan kemenangan Perisytiharan Balfour, bagaimanapun,  juga dikaitkan dengan apa yang berlaku di New York dan Washington pada 11 September.
            Yang dimaksudkan keruntuhan Revolusi Rusia, ialah penyepaian atau perpecahan Kesatuan Soviet pada beberapa dekad lalu, yang akhirnya  mendorong Francis Fukuyama mengumumkan pengakhiran sejarah bahawa pertarungan ideologi antara Timur dengan Barat: kemenangan demokrasi liberal Barat dan  kapitalisme. Dengan protes antikomunis  merebak di seluruh bekas Kesatuan Soviet, esei Fukuyama, "The End of History?" yang diterbitkan dalam majalah National Interest  pada musim panas tahun 1989, mendapat sambutan hangat. Pengakhiran sejarah yang juga bermakna pengakhiran Perang Dingin, yang menyaksikan dari segi idea, puak Kanan memperkukuh lagi kedudukan, puak Tengah semakin menyesuaikan diri, dan puak Kiri bercakap secara global, berundur.
         Walau bagaimanapun, di tengah-tengah sorak-sorai kemenangan Barat itu, dipercayai bahawa abad ke-20 pembimbing yang lemah untuk abad ke-21, manakala Immanuel Wallerstein dalam bukunya, The End of the World As We Know it: Social Science for the Twenty-First Century, mengingatkan bahawa dunia 50 tahun akan datang menjanjikan jauh lebih ganas berbanding dengan dunia Perang Dingin. Tambah beliau, 25 tahun hingga 50 tahun akan datang akan merupakan debat politik yang panjang bagaimana menangani bayang-bayang   yang mengerikan ini, iaitu penyepaian struktur negara dan pendemokrasian. Mustahil untuk meramalkan hasil debat politik ini di seluruh dunia, yang akan merupakan perjuangan politik di seluruh dunia.
            Selain keganasan yang sukar dibendung,  kebangkitan puak populis bersama-sama Fasis,  dan perang budaya yang semakin menjadi-jadi, dunia juga terus terjebak dalam pembunuhan etnik atau genosid dan yang terbaharu di  Myanmar. Tiga  tonggak orde global, iaitu demokrasi, kapitalisme,  dan globalisasi tidak sekukuh seperti yang dijangkakan.  Yang pertama hilang seri, yang kedua muflis, dan  yang ketiga menimbulkan ketidakpuasan.
            Sementara itu, Amerika Syarikat yang merupakan kuasa besar dunia yang berjaya menewaskan seterunya, Kesatuan Soviet pada era Perang Dingin, semakin kehilangan hegemoni, meskipun Joseph S, Nye, Jr, dalam bukunya, Is the American Century is Over?, cuba menafikannya, dengan menegaskan bahawa “perkataan ‘hegemoni’ digunakan dalam cara yang berlainan dan mengelirukan.” Dari segi ketenteraan, Amerika Syarikat dihimpit oleh Rusia yang bangkit semula daripada keruntuhan, dan sekali-sekala  diusik   oleh Korea Utara, manakala dari ekonomi, disaingi rapat oleh China.
            Meskipun Joseph Nye menafikannya dengan menggunakan kekaburan konsep hegemoni, pada hakikatnya, Orde Baharu Dunia Amerika, tidak wujud lagi. Kira-kira 25 tahun selepas Perang Dingin, satu tema dominan dasar luar Amerika Syarikat ialah usaha untuk mengglobalkan orde antarabangsa liberal yang pada mulanya bertapak di Barat selepas Perang Dunia Kedua. Washington berharap untuk mencapai usaha ini dengan mengintegrasikan pencabar potensi sistem, iaitu Rusia dan China secara mendalam ke dalam sistem yang mereka tidak mempunyai keinginan untuk mengganggu-gugatnya. Matlamatnya adalah dengan alat ekonomi dan dorongan diplomatik, untuk membawa semua kuasa besar utama dunia ke dalam sistem yang mereka berasa puas hati, tetapi pada masa yang sama,  Amerika Syarikat dan nilainya masih pada kedudukan tertinggi.
            Walau bagaimanapun, hujah Hal Brands yang menulis untuk BloombergView, “America's New World Order is Officially Dead,” tanpa ragu-ragu lagi, projek ini kini telah berkubur. Matlamat baharu strategi Amerika Syarikat tidak akan mengintegrasikan kuasa besar seteru ke dalam orde dunia global yang sebenar-benarnya, tetapi untuk mempertahankan sistem antarabangsa yang wujud -  berjaya, tetapi belum lengkap – terhadap penjarahan mereka. Brands sedar bahawa rumusan beliau sukar diterima, kerana optimisme yang amat tinggi selepas era pasca-Perang Dingin. Oleh sebab persaingan kuasa besar berakhir, maka demokrasi dan pasaran bebas merebak seperti api ganas, tembok roboh, dan pembahagian geopolitik lesap. Bahkan, Rusia dan China – seteru geopolitik dalam tempoh yang lama, dan kuasa besar akan datang menguasai ufuk ini – menunjukkan minat dalam kerjasama dan integrasi yang sangat besar dengan komuniti antarabangsa.  Seakan-akan berkemungkinan bahawa dunia bergerak ke arah model politik dan organisasi ekonomi tunggal, dan sistem global tunggal di bawah kepimpinan Amerika Syarikat.
            Namun begitu, Rusia di bawah kepimpinan Vladimir Putin berusaha mencetuskan  Perang Dingin Baharu dan mula berusaha menebus semula wilayahnya yang hilang beberapa dekad lalu. China pula, meskipun mencapai pertumbuhan ekonomi yang pesat dan muncul sebagai kuasa ekonomi kedua terbesar di dunia selepas Amerika Syarikat, dari segi politik masih berpegang kuat pada ideologi asal mereka. Bahkan, kerajaan  China pada pertengahan Disember 2017, mengkritik keputusan Presiden Donald Trump yang melabelkan Beijing sebagai seteru strategik dan menggesa Washington supaya “meninggalkan mentaliti Perang Dingin” dan menerima kebangkitan China.
            Hari demi hari berlalu, yang kelihatan  jelas ialah, memetik Immanuel Wallerstein, “sistem-dunia yang kacau-bilau.” Wallerstein melalui laman Webnya, muncul dengan esei “Chaotic Uncertainty,” menjelaskan maksud kacau-bilau, iaitu situasi yang wujud ayunan ganas malar dalam keutamaan semua pelaku. Satu hari, dari sudut pandang pelaku tertentu, perkara kelihatan memihak kepada pelaku berkenaan. Keesokan harinya, keadaan berubah, iaitu perkara tidak lagi memihak kepada pelaku itu. Beliau mengakui bahawa ayunan ganas merupakan asam garam krisis struktur. Hal ini bermakna kita akan hidup dalam ketidakpastian keadaan kacau-bilau sehingga krisis struktur diselesaikan dengan memihak kepada satu atau dua serampang percabangan.
            Wallerstein juga menyatakan salah satu ayunan liar yang berlaku, yang kurang diberikan perhatian, tetapi sangat penting, ialah perisytiharan oleh kerajaan Indonesia yang mereka mengubah nama perairan kepada Laut Natuna Utara. Satu tindakan yang kelihatan tidak berbahaya yang dapat difahami dari segi sejarah tuntutan maritim dalam perairan Asia Timur dan Asia Tenggara. China menunjukkan dominasinya untuk beberapa ketika, kini menuntut kebanyakan laut ini dan membina pangkalan  di pulau-pulau atau bahkan di batuan yang terdapat di laut ini. Dalam pertikaian di Laut China Selatan, Indonesia mengambil pendirian berkecuali dan tidak sekeras Filipina, Taiwan, Vietnam, dan juga Amerika Syarikat. Walau bagaimanapun, dengan bertindak menamakan semula perairan Indonesia, merupakan perisytiharan hak Indonesia terhadap perairan yang dituntut oleh China. Bukan hanya tuntutan ini terhadap China, tetapi juga Indonesia mengambil pendirian yang sangat “keras” dengan mempersoalkan pertikaian ini secara terbuka.
           Pada akhir abad ke-20, dunia  memasuki zaman teknologi maklumat dan komunikasi (TMK) dan ekonomi berasaskan pengetahuan, yang seakan-akan membayangkan sumber asli menjadi kurang penting. Namun begitu,  yang  berlaku, selain minyak yang sering mencetuskan ketidakpastian geopolitik, sejak akhir-akhir ini, air dan juga pasir turut terbabit sama.  Dalam ekonomi berasaskan pengetahuan, salah satu  sumber pengeluaran, iaitu tanah dikatakan kurang penting.  Namun begitu, yang berlaku, tanah atas nama kedaulatan menjadi rebutan, seperti yang melibatkan Malaysia dengan Singapura dalam tuntutan bertindih Pulau Batu Putih. Tidak memadai dengan tanah, bahkan laut sering “bergelora” akibat tuntutan bertindih yang melibatkan banyak, seperti yang berlaku di Laut China Selatan, yang menyaksikan China secara terang-terangan menunjukkan dominasinya dan cuba memperlihatkan hegemoninya. Merentas benua, “dendam geografi” – memetik Robert D. Kaplan, semakin menjadi-jadi.
            Sementara itu, kedudukan negara bangsa – konsep yang diperkenalkan oleh Jean Bodin pada abad ke-16, dalam ketidakpastian. Pada suatu ketika, akibat rempuhan globalisasi dan dunia tanpa sempadan, maka negara bangsa dijangkakan akan berakhir atau sekurang-kurangnya menjadi lemah.  Namun begitu, yang berlaku, ada juga negara bangsa yang semakin kuat. Di blok komunis atau sosialis, selain Kesatuan Soviet yang mengalami keruntuhan empayar, menyaksikan kemunculan negara kecil baharu, seperti yang berlaku di Yugoslavia. Di rantau lain  turut menyaksikan   pembentukan negara baharu, seperti  Timor Timur atau Timor-Laste dan Sudan Selatan yang kini terjebak dalam perang saudara. Sementara negara Kurdish   dalam proses pembentukan,  manakala  Catalonia setakat ini gagal membentuk sebuah negara merdeka.  Dalam pada negara bangsa asal berpecah di sana sini, Jerman Barat  dan Jerman Timur bersatu semula di bawah runtuhan Tembok Berlin.
            Dengan menyertai Kesatuan Eropah, maka sempadan negara bangsa   terbuka bagi   warganegara setiap negara  anggota untuk keluar masuk tanpa halangan. Tiba-tiba berlaku “Brexit,” iaitu United Kingdom keluar daripada Kesatuan Eropah, dan dengan itu, menebus semula negara bangsanya. Namun begitu, sebelum United Kingdom memperkukuh negara bangsanya, Scotland masih memasang impian untuk menjadi sebuah negara merdeka,  atau dengan kata lain, sebuah negara bangsa baharu.  Oleh sebab gerakan pemisah muncul di banyak tempat di dunia, misalnya Ukraine kehilangan Semenanjung Crimea, maka dipercayai bahawa  fahaman kabilah mengaburi negara bangsa.
        Sejak tahun 1970-an, dunia menyaksikan kemunculan dan kebangkitan neoliberalisme yang didukung oleh ahli ekonomi, Milton Friedman dan Friedrich Hayek. Kemudiannya,  Presiden Ronald Reagan dan Perdana Menteri Margaret Thatcher meniup jampi manteranya tiga tonggak neoliberalisme:  jimat cermat fiskal, penswastaan, dan liberalisasi pasaran; atau dengan kata lain, pasaran lebih, kerajaan kurang. Neoliberalisme – orde ekonomi  yang didakap oleh banyak negara di dunia, termasuk Malaysia, mencapai puncak kegemilangannya sebelum krisis kewangan Asia tahun 1997/1998 atau jauh sedikit, sebelum krisis kewangan global tahun  2007/2008. Penggunaan istilah “neoliberal” meledak pada tahun 1990-an, apabila neoliberal menjadi sekutu rapat dengan dua perkembangan, iaitu pembatalan kawal selia kewangan yang akhirnya membawa padah akibat keruntuhan kewangan terbaharu ini dan globalisasi ekonomi.
            Walau bagaimanapun, model neoliberal yang menguasai politik dan ekonomi arus perdana sejak berdekad-dekad kini dalam krisis. Tom Bramble dalam eseinya, “The Crisis in Neoliberalism and its Ramifications,” menegaskan bahawa perasaan tidak puas hati terhadap jimat cermat dan ketidaksamaan akibat  daripada pengenaan dasar neoliberal menjadi persoalan utama dalam politik dunia, dengan “Brexit,” Bernie Sanders, Donald Trump, dan Jeremy Corbyn, dengan cara masing-masing melemahkan konsensus neoliberal. Ketidakpuasan golongan massa disertai dengan realisasi yang semakin meningkat oleh para pengurus sistem kapitalis bahawa dasar neoliberal tidak mampu mengeluarkan ekonomi dunia lari daripada kini 10 tahun terjebak dalam krisis kewangan global.
            Oleh sebab neoliberalisme terjebak dalam krisis, maka dunia kehilangan satu orde ekonomi yang dominan meskipun orde ini banyak cacat-celanya.  Dipercayai bahawa kritikan dan ketidakpuasan terhadap globalisasi  sebenarnya turut menyasarkan neoliberalisme. Oleh sebab neoliberalisme kelihatan berundur, maka apakah orde ekonomi alternatif? Meskipun persoalan ini sukar dijawab, yang jelas,  Konsensus Beijing lawan Konsensus Washington;  atau  adakah komunis mungkin menjadi kapitalis yang bagus?        
            Mungkin ada orang yang beranggapan bahawa penyataan dunia tanpa orde adalah berlebih-lebihan dan menunjukkan sikap sangat pesimistik. Namun begitu, inilah hakikat dunia yang kita diami sekarang sehingga sukar untuk dibayangkan, apakah sistem (sistem-sistem) yang sedang atau akan muncul untuk membentuk dunia atau paling tidak, membimbing dunia pada abad ini.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...