Artikel Popular

Saturday, March 30, 2013

Defisit Belanjawan Tidak Dapat Dielakkan Tidak Kira Parti Mana yang Memerintah

SABTU, 30 Mac 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH

Manifesto pembangkang yang penuh dengan fantasi akan menyebabkan negara mengalami krisis kewangan dan ekonomi sebagaimana yang sedang berlaku di beberapa negara Kesatuan Eropah.  Demikian ulas Ahmad Husni Hanadziah, Menteri Kewangan Kedua, yang dilaporkan dalam  Utusan Malaysia dan The Star hari ini.  Menurut beliau, dalam tempoh setahun sahaja pelaksanaan manifesto pembangkang itu akan meningkatkan defisit fiskal daripada empat peratus menjadi 11.5 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).  

Dengan Pilihan Raya Umum ke-13 semakin hampir dan  Parlimen dijangkakan dibubarkan atau dibubarkan sekadar menghitung detik, medan pertempuran antara parti politik turut memasuki medan ekonomi.  

Sememangnya, tidak sukar untuk mengurangkan dan seterusnya menghapuskan defisit, menurut pendekatan ekonomi: kurangkan belanja dan naikkan cukai.  Namun, jalan penyelesaian yang kelihatan mudah dari segi ekonomi tidak mudah dari segi politik.  Hal ini demikian kerana langkah tersebut boleh mencetuskan keberangan rakyat dan akhirnya mereka terjemahkan dalam peti undi, seperti yang berlaku di beberapa buah negara, yang terbaharu, Italy. 

Berdasarkan Belanjawan 2013, yang bernilai RM252.4 bilion, RM202.6 bilion atau 80.3 peratus ialah perbelanjaan mengurus, dan selebihnya ialah perbelanjaan pembangunan.  Daripada jumlah itu, antara yang tertinggi adalah untuk emolumen yang bernilai RM59.3 bilion atau 23.5 peratus, dan RM38.1 bilion atau 15.1 peratus untuk subsidi.  Bahkan, peruntukan bagi emolumen mengatasi perbelanjaan pembangunan yang hanya bernilai RM49.7 bilion (19.7 peratus).

Beberapa hari sebelum ini, Shamim Adam dan Chong Pooi Koon menulis dalam Bloomberg bahawa defisit belanjawan  pasti berlaku tidak kira parti manakah yang menang pilihan raya kelak.  Bagi kedua-dua penulis ini, kerajaan dan pembangkang di negara ini berlumba-lumba untuk berbelanja demi memenangi hati rakyat.  

Dengan kata lain, rakyat jangan mudah terpengaruh jika mana-mana parti politik menabur janji untuk mengurangkan defisit belanjawan.  Selain itu, seperti yang dinyatakan di atas, sebahagian besar peruntukan disalurkan kepada emolumen dan subsidi - kedua-duanya dalam perbelanjaan mengurus.  

Secara logik, langkah untuk mengurangkan defisit pastinya tertumpu pada pengurangan perbelanjaan mengurus berbanding dengan perbelanjaan pembangunan yang telah pun kecil peruntukannya. Jika demikian, yang pasti menjadi sasarannya ialah emolumen dan subsidi yang pastinya mencetuskan keberangan penjawat awam dan rakyat jelata yang boleh menyebabkan parti politik yang terbabit  tidak dapat tidur lena. 

Justeru, cakap-cakap atau janji-janji mengurangkan dan menghapuskan defisit sekadar retorik politik menjelang pilihan raya. 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...