Artikel Popular

Monday, March 4, 2013

Buktikan Diri Anda Panglima Besar, Najib

ISNIN,  4 Mac 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Seluruh rakyat Malaysia khususnya dan dunia amnya, sedang memerhatikan anda, Najib Razak,  bukan sebagai Perdana Menteri yang ke sana ke mari “menabur dedak dan hampas kelapa,” tetapi sebagai Panglima Besar jika dalam konteks Amerika Syarikat.  Justeru, lupakan BR1M, serahkan  sahaja kepada pemimpin tempatan atau pegawai kerajaan.  Lagipun, dana itu bukan datangnya daripada sumber UMNO, sebaliknya daripada peruntukan kerajaan, wang pembayar cukai, dan dengan itu,  garis pemisah antara parti dengan kerajaan memang jelas: tidak boleh dicampuradukkan.

Juga lupakan kempen pilihan raya untuk seketika, kerana memetik Presiden Barack Obama yang terpaksa membatalkan kempennya kerana ancaman Taufan Sandy di Pantai Timur Amerika Syarikat, “pilihan raya tahu menjaga dirinya sendiri.”

Tugas anda yang utama, yang hakiki, Najib, dalam keadaan yang amat genting lagi runcing ini ialah menangani  pencerobohan di  Sabah yang semakin hari semakin mengancam, semakin menggugat.  Negara dan rakyat jelata kini menuntut kepimpinan anda sebagai Panglima Besar, dan bukannya  terus-menerus “mengikat kaki” dengan pelbagai ekskepisme. 

Anda bersama-sama media arus perdana (juga media sosial yang  propembangkang) tidak boleh memesongkan fikiran rakyat kerana dalam minda mereka telah berkubu kukuh tentang sesuatu yang menakutkan:  bumi Malaysia diterobosi musuh.  Bagi mereka, bukan sekadar maruah negara, bahkan kedaulatan negara menjadi pertaruhan  yang amat besar.  Pada merekaa, tindakan yang wajar bukan lagi berunding, sebaliknya perang kerana itulah kesudahan yang tidak dapat dielakkan.

Dalam mana-mana situasi, peluang dan ancaman saling wujud, tetapi malangnya anda tidak memanfaatkan peluang dan meredakan ancaman.  Kata orang, pemimpin lahir semasa krisis.  Juga anda tidak memanfaatkan situasi ini, sebaliknya anda membiarkan kaki anda tidak berpijak bumi nyata, terawang-awang.

Najib, dalam keadaan yang cukup gawat sekarang, sebenarnya andanya mempunyai pilihan: bergerak atau anda digerakkan; bertindak atau anda diperbudak.  Dan, yang lebih penting, hakikat yang tidak dinafikan lagi dan tidak dapat dielakkan lagi: membunuh atau dibunuh.

Mungkin ada orang akan berkata bahawa “cakap memang mudah,” “berapa berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.”  Namun, jangan lupa bahawa keputusan mesti dibuat segera,  tidak boleh ditangguhkan lagi.  Perlu diingat bahawa tidak ada keputusan yang sempurna dan tidak ada keputusan yang dapat memuaskan semua orang. Kapal dibina untuk belayar, bukannya dibiarkan tersadai malas di pelabuhan yang akhirnya reput dan musnah. Guru peperangan klasik pernah berpesan “jangan sekali tangguhkan peperangan kerana langkah itu boleh memberikan kelebihan kepada musuh anda.”

Ingat akan pesan kitab klasik: "pemimpin ada kalanya disayangi, ada kalanya ditakuti.  Pemimpin ada kalanya berlagak singa, ada kalanya berlagak rubah."  Kalau anda ingin sentiasa disayangi, bukan bermakna tidak ada tempat untuk anda.  Tempat anda ialah di rumah bersama-sama anak isteri anda.  Sebagai pemimpin negara, sebagai Panglima Besar, anda perlu ditakuti, digeruni, dan bukan selama-lamanya ditanggapi oleh rakyat: “tidak ada bola.”

Walaupun krisis semasa ini berlaku di  Sabah, hakikat yang jelas ialah negara di ambang peperangan.  Anda dan media arus perdana boleh mengatakan bahawa mereka yang terbabit penceroboh atau pengganas, tetapi mereka bersiap siaga untuk melancarkan peperangan terhadap sebuah negara bangsa yang berdaulat. 

Sebagai Perdana Menteri, yang dikelilingi oleh puluhan kalaupun tidak ratusan penasihat, termasuk penasihat media yang tidak boleh diharapkan, yang mempunyai pengetahuan yang dalam pembacaan yang luas, dan pernah berkhidmat sebagai Menteri Pertahanan, anda sepatutnya lebih maklum bahawa pada abad ini, peperangan bukan sahaja terbatas antara sebuah negara bangsa dengan sebuah negara bangsa yang lain, tetapi antara sebuah negara dengan pelaku bukan negara (non-state actors) – Thomas Friedman menyebut individu diperkasa, Fareed Zakaria menyebut individu bermotivasi.  Contohnya, perang antara Israel dengan Hizbullah di Lubnan yang memakan masa berbulan-bulan, dengan yang menang dan yang tewas sukar dipastikan

Lebih sebulan lalu, anda pulang daripada menyertai Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Davos, dengan begitu bangga.  Namun, anda mungkin tidak menyedari bahawa WEF itu hanya sebuah kelab orang yang gagal. Jelas bahawa dalam menangani krisis semasa di Sabah,  anda mengesahkan diri anda pemimpin yang gagal.

Ingat bahawa sebagaimana rakyat Amerika tidak mahukan pemimpin yang gagal di Washington, demikian juga rakyat Malaysia: mereka tidak mahukan pemimpin yang gagal di negara ini (termasuk pemimpin pembangkang, yang menonjol Anwar Ibrahim yang pernah belayar sekapal bersama-sama Najib – untuk memberikan tafsiran yang adil).  Justeru, Najib, anda perlu membebaskan diri anda segera  daripada pasungan ini sebelum anda dicampakkan keluar dari Putrajaya.

Mungkin anda Najib sebagai Panglima Besar memerlukan jeneral, atau  memetik Napoleon, “berikan saya jeneral, tetapi jenaral yang bernasib baik.”  

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...