JUMAAT, 27 November 2020
Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Penerbitan Capital in the Twenty-First Century pada tahun 2014 menyebabkan penulisnya, Thomas Piketty, muncul sebagai ahli ekonomi terkenal dan dinobatkan sebagai “bintang Rock.” Buku magnum opus tentang ketidaksamaan pendapatan ini diulas dan dibahaskan secara meluas, manakala ahli ekonomi pula muncul di sebelah menyebelah Antlantik dalam pelbagai program yang wacana idea beliau.
Penerbitan buku itu juga memperkukuh kedudukan ekonomi politik sebagai salah satu bidang ilmu yang penting. Hal ini demikian kerana persoalan tentang evolusi ketidaksamaan jangka panjang, penumpuan kekayaan, dan prospek untuk pertumbuhan ekonomi yang dibincangkan dan dibahaskan buku terlaris The New York Times itu terletak pada nadi ekonomi politik. Dalam halaman awal buku tersebut, Piketty menulis bahawa apabila ekonomi politik klasik lahir di England dan Perancis pada akhir ke-18 dan awal abad ke-19, isu pengagihan telah pun merupakan salah satu persoalan utama. Ahli ekonomi politik yang mendapat perhatian beliau, ialah Thomas Malthus, Arthur Young, David Ricardo, dan Karl Marx. Pada halaman hujung beliau menegaskan bahawa daripada mula, ekonomi politik cuba mengkaji secara saintifik, atau mana-mana kadar secara rasional, secara sistematik, secara berkaedah, peranan unggul negara dalam ekonomi dan organisasi sosial di sesebuah negara.
Pada tahun ini, Piketty muncul dengan Capital and Ideology, memperkenalkan konsep “rejim ketidaksamaan.” Apabila
disebut “ideologi,” maka lazimnya, orang merujuk kepada konservatisme (kanan),
liberalisme (tengah), radikalisme
(kiri), dan rekaan baharu pada abad ke-20, Fasisme. Dari segi teori, ideologi
selalunya dikaitkan dengan Louis Althusser yang menganalisis hubungan perlu antara negara dengan rakyat,
seperti ragam pengeluaran (modes of production) ekonomi tertentu mungkin
wujud. Teori ini termasuk bukan sahaja analisis negara dan perundangan dan
sistem pendidikannya, tetapi juga hubungan psikologi yang wujud antara rakyat
dengan negara sebagai ideologi. Althusser menegaskan bahawa rejim atau negara
mampu mengekalkan kawalan dengan mengeluarkan semula (reproducing) rakyat yang percaya bahawa kedudukan mereka
dalam struktur sosial adalah sesuatu yang semula jadi.
Walau bagaimanapun, dalam Capital and Ideology
konsep ideologi boleh dikatakan berbeza daripada teori ideologi Althusser.
Seperti yang dijelaskan oleh Piketty, “saya menggunakan ‘ideologi’ dalam maksud positif dan konstruktif untuk
merujuk set idea dan wacana yang boleh
dipercayai a priori yang menjelaskan bagaimana masyarakat sepatutnya
disusun. Ideologi mempunyai dimensi sosial, ekonomi, dan politik. Ideologi merupakan
percubaan untuk memberikan respons terhadap set persoalan yang lebih luas
berhubung dengan organisasi masyarakat yang dingini atau unggul.”
Piketty mentakrifkan
“rejim ketidaksamaan,” iaitu set wacana dan pengaturan institusi yang bertujuan
untuk diwajarkan dan struktur ketidaksamaan ekonomi, sosial, dan politik dalam masyarakat
tertentu. Setiap rejim tersebut mempunyai kelemahannya. Untuk takat (survive)
rejim ini mesti secara kekal, mentakrifkan semula sendiri, selalunya melalui konflik
ganas, tetapi juga dengan menggunakan sendiri setiap kesempatan pengalaman dan
pengetahuan yang dikongsi. Subjek buku ini ialah sejarah dan evolusi rejim
ketidaksamaan.
Beliau juga mentakrifkan “rejim politik,” yang bermaksud set peraturan yang menjelaskan sempadan
komuniti dan wilayahnya, mekanisme pembuatan keputusan kolektif, dan hak politik
anggota komuniti. Peraturan ini menentukan bentuk penyertaan politik dan
menjelaskan peranan masing-masing warganegara dan orang asing, di samping
fungsi eksekutif dan anggota perundangan, para menteri dan raja, parti dan
pilihan raya, empayar dan koloni.
Seterusnya, Piketty mentakrifkan “rejim harta,” yang
beliau maksudkan “set peraturan yang
menjelaskan bentuk pemilikan yang mungkin berbeza, di samping tatacara
perundangan dan praktik untuk mengawal selia hubungan harta antara kumpulan
sosial berbeza. Peraturan sedemikian mungkin merupakan sebahagian harta persendirian
atau awam, hartanah, aset kewangan, tanah atau sumber mineral, hamba atau
khadam, intelektual dan bentuk harta lain yang tidak penting, dan hubungan
antara tuan tanah dengan penyewa, kaum bangsawan dengan kaum tani, tuan dengan
hamba, atau pemegang saham dengan pekerja upah.”
Setiap masyarakat, setiap rejim ketidaksamaan, dicirikan
oleh set lebih atau kurang koheren dan jawapan yang
berkekalan untuk persoalan ini tentang rejim politik dan rejim harta ini. Dua
set jawapan ini selalunya berkait rapat kerana set berkenaan bergantung sebahagian
besar pada beberapa teori ketidaksamaan antara kumpulan sosial yang berbeza.
Jawapannya pada amnya bermaksud julat intelektual dan komitmen institusi lain.
Jawapan untuk persoalan ini berbeza dengan meluas. Orang ramai boleh bersetuju
tentang rejim politik, tetapi bukannya dengan rejim harta atau tentang pengaturan
fiskal atau pengaturan pendidikan, tetapi bukan dengan yang lain.
Setelah menegaskan bahawa “setiap rejim ketidaksamaan, setiap
ideologi ketidakegalitarian, terletak pada kedua-duanya, iaitu teori sempadan
dan teori harta,” Piketty seterusnya menjelaskan “ketidaksamaan bukannya
ekonomi dan bukannya teknologi;
ketidaksamaan ialah ideologi dan politik.” Untuk itu, beliau mengambil
pendekatan sejarah untuk menjejak asal-usul dan perkembangan rejim ketidaksamaan. Pendekatan yang diambil
berdasarkan ideologi, institusi, dan kemungkinan laluan alternatif, juga
berbeza daripada pendekatan yang kadang kala dicirikan oleh “Marxis,” yang
menurut pendekatan ini, negara kuasa ekonomi dan hubungan pengeluaran
menentukan “superstruktur” ideologi masyarakat dalam gaya paling mekanikal. Sebaliknya,
Piketty menegaskan bahawa alam idea, iaitu lingkungan ideologi-budaya adalah
benar-benar autonomi. Walau bagaimanapun,
Paul Collier yang muncul dalam NewStatesman, “How Thomas Piketty Lost Touch
with Reality” menjelaskan bahawa Capital and Ideology adalah
panjang kerana buku ini penuh sejarah sosial global. Puak Marxis akan tertarik
sedikit kerana mereka tidak menyukainya: daripada sejarah itu Piketty mengakui bahawa
komunisme adalah kegagalan yang membawa bencana.
Perlu dicatatkan bahawa konsep rejim ketidaksamaan pernah
diperkenalkan oleh Joan Acker dalam makalahnya, “Inequality Regimes.” Acker mengemukakan idea rejim ketiidaksamaan sebagai
pendekatan analisis untuk memahami pewujudan ketidaksamaan dalam organisasi
kerja. Rejim ketidaksamaan merupakan amalan dan proses berpanca amalan dan
proses yang mengakibatkan ketidaksamaan berterusan dalam semua organisasi kerja.
Berbeza dengan konsep rejim ketidaksamaan Piketty yang melihat rejim
ketidaksamaan yang lebih luas, iaitu masyarakat dan negara. Beliau cuba
menawarkan sejarah ekonomi, sosial, intelektual, dan politik rejim
ketidaksamaan: maksudnya, sejarah sistem yang ketidaksamaan diwajarkan dan disusun,
dari trifunctional pramoden dan masyarakat hamba ke pascakolonial moden
dan hiferkapitalis.
Bagi Piketty, ketidaksamaan yang semakin melebar dijelaskan
oleh politik dan bukannya ekonomi, dengan
menawarkan beberapa penyelesaian radikal. Dalam Capital
and Ideology, “beliau
cuba melakukan beberapa perkara yang beliau tidak lakukan dalam bukunya sebelum ini, iaitu penjelasan yang
lebih baik mengapa dan bagaimana ketidaksamaan terus wujud dan mengapa bahkan penyelesaian yang lebih radikal adalah perlu
untuk menterbalikkan trend ini,” tegas Keith Johnson yang muncul dalam Foreign
Policy dengan “The Tyranny of Property.” Rejim ketidaksamaan yang diutarakan oleh Piketty, iaitu
sistem yang membenamkan kitaran ketidaksamaan, pada amnya wujud hampir di
setiap tempat di sepanjang peta dan dalam buku sejarah sehingga dalam beberapa
kes gembira, rejim itu disapu ke tepi. Dan rejim ketidaksamaan itu tidak
berlaku secara kebetulan, tetapi secara reka bentuk. Sama ada Perancis prarevolusi
dan pascarevolusi, Haiti kolonial, Eropah belle epoque, atau Amerika
Ronald Reagan, peraturan permainan politik
dan ekonomi ditentukan oleh orang berharta
dan mempunyai hak istimewa dalam usaha untuk membiakkan lebih banyak harta dan
hak istimewa.
Piketty, seperti yang diperhatikan
oleh Paul Collier, mengutarakan bagaimana mewajarkan ketidaksamaan yang terus
wujud, salah satu kewajaran itu, pada hakikatnya, feudalisme menugasi anggota
masyarakat satu daripada tiga peranan: keselamatan, komuniti, dan pengeluaran. Setiap
satu memerlukan yang dua lagi, dan ketidaksamaan dalam sesetengah maksud menunjukkan
tiga nilai relatif tiga peranan itu. Kewajaran lain ialah kesahan atau
legitimasi harta persendirian, yang tumpuan buku ini ialah kritikan tentang
bagaimana Revolusi Perancis mengalami kesilapan dengan menaikkan hak harta
mengatasi konsep feudal bahawa hak disusuli daripada status dalam sistem kasta.
Kemahiran teras ialah penyusunan teliti angka yang menunjukkan bagaimana
ketidaksamaan kekayaan dan pendapatan berubah. Beliau menegaskan secara
meyakinkan bahawa bertukar kepada masyarakat yang dibina sekitar hak harta mengakibatkan
peningkatan yang sangat besar dalam ketidaksamaan pada abad ke-19, kerana
kekayaan dikumpulkan tanpa perubahan etika yang signifikan.
Piketty menjejaki rejim
ketidaksamaan dalam perjalanan sejarah yang panjang, bermula dengan mengkaji
apa yang beliau sebut “masyarakat ternar,” yang paling tua dan jenis rejim
ketidaksamaan paling biasa. Secara mudah, masyarakat ternar terdiri daripada
tiga kumpulan sosial yang berbeza, setiap kumpulan itu memenuhi fungsi penting
khidmat untuk masyarakat, iaitu golongan paderi, kaum bangsawan, dan estet
ketiga. Daripada masyarakat ternar, Piketty meneliti ketidaksamaan dalam
masyarakat hamba dan kolonial.
Berbeza dengan Capital
in the Twenty-First Century yang kajiannya tertumpu pada negara Eropah dan
Amerika Syarikat, tumpuan buku terbaru Piketty ini lebih luas, antaranya
Amerika Syarikat, Eropah, Jepun, China, India, negara Timur Tengah, negara komunis, dan bekas komunis, negara
Afrika, negara Amerika Latin, dan negara Indo-China. Capital and Ideology
bahkan lebih bercita-cita tinggi jika dibandingkan dengan Capital
in the Twenty-First Century, yang memberikan
tumpuan pada “trend ketidaksamaan dalam kapitalisme Barat selama 200 tahun
lalu, manakala buku baharu ini mengemukakan sejarah hampir segala-galanya.
Kronologi bermula dengan menyorot secara meluas ekonomi feudal dan ekonomi
pramoden lain, dan berakhir dengan dilema yang dihadapi oleh gilets jaunes.
Deretan geografi adalah global, dengan menambah Brazil, India, dan Cina (‘BRICS)
untuk analisis beliau sebelum ini tentang
tentang Eropah dan Amerika
Syarikat. Perhambaan dan kolonialisme diliputi dengan mendalam,” tulis William Davies dalam The
Guardian.
Sebagaimana Capital in the Twenty-First Century, Capital
and Ideology yang tebalnya lebih 1000 halaman juga mendapat ulasan dan
perbahasan yang meluas. Paul Krugman
yang mengulas buku itu dalam The New York Times, “Thomas Piketty Turns Marx on His Head,” menegaskan untuk bersikap
adil, buku ini memajukan sekurang-kurangnya kerangka teori agung ketidaksamaan,
yang mungkin dijelaskan sebagai Marx dalam kepalanya. Dalam dogma Marxian,
struktur kelas masyarakat ditentukan dengan mendasari, kuasa bukan peribadi,
teknologi dan ragam pengeluaran yang
teknologi imlak atau tentukan.
Konsep ragam pengeluaran berasal daripada idea Karl Marx, mengandungi
dua aspek utama, iaitu kuasa pengeluaran dan hubungan pengeluaran. Kuasa
pengeluaran termasuk semua unsur yang dibawa bersama-sama dalam pengeluaran,
seperti tanah, bahan mentah, bahan api, kemahiran manusia, buruh, jentera,
alat, dan kilang. Hubungan pengeluaran pula termasuk perhubungan dalam kalangan
orang dan perhubungan orang dengan kuasa pengeluaran yang menerusinya keputusan
dibuat tentang apakah yang akan dilakukan terhadap hasil. Ragam pengeluaran
merujuk kepada pelbagai cara manusia secara kolektif mengeluarkan atau
menghasilkan alat sara diri untuk hidup dan mempertingkatkan manusia sosial.
Dakwaan Krugman bahawa
Piketty memikir-mikirkan Marx mungkin ada benarnya juga kerana beliau
(Piketty) memetik penegasan Karl Marx
dan Friedrich Engels dalam The Communist Manifesto: “Sejarah semua
masyarakat yang ada hingga sekarang ialah sejarah perjuangan kelas.” Akan
tetapi, beliau cuba merumuskan penegasan
itu semula, iaitu “sejarah semua masyarakat yang wujud hingga
sekarang ialah sejarah perjuangan ideologi dan berusaha mencari keadilan.
Dalam kata lain, idea dan ideologi dihitung dalam sejarah.” Beliau,
bagaimanapun, menjelaskan bahawa perjuangan ideologi dan berusaha mencari keadilan juga memerlukan pernyataan pendirian
yang ditakrifkan dengan jelas dan antagonis yang direka dengan jelas.
Tegas Piketty, “berdasarkan pengalaman
yang dianalisis dalam buku ini, saya yakin
bahawa kapitalisme dan harta persendirian boleh digantikan dan bahawa masyarakat adil
dapat diwujudkan pada asas sosialisme penyertaan dan federalisme sosial.” Dalam Capital in the Twenty-first Century, beliau pernah menegaskan bahawa
“ahli ekonomi hari ini akan melakukan lebih baik untuk mengambil inspirasi
daripada contoh Marx.”
Walau bagaimanapun,
Krugman berhujah bahawa Piketty melihat
ketidaksamaan sebagai fenomena sosial, dipacu oleh institusi manusia. Perubahan
institusi seterusnya, mencerminkan ideologi yang menguasai masyarakat:
“Ketidaksamaan bukannya ekonomi dan bukannya teknologi; ketidaksamaan ialah
ideologi dan politik.” Akan tetapi, dari mana datangnya ideologi?
Piketty cuba menjelaskan
apakah punca pusuan baru-baru ini dalam ketidaksamaan dan apakah yang perlu
dilakukan. Bagi Piketty, ketidaksamaan yang meningkat adalah pada akar umbi
fenomena sosial. Rangka demokratik sosial yang menjadikan masyarakat secara
relatifnya sama untuk beberapa generasi selepas Perang Dunia Kedua, telah dirombak,
kerana kebangkitan ideologi “neo-proprietarian.”
William Davies yang juga
menjangkakan Piketty dalam keadaan tertentu cenderung pada Marxis, menegaskan
premis beliau dalam Capital and Ideology ialah soal moral: ketidaksamaan
adalah haram, dan dengan itu, memerlukan ideologi untuk diwajarkan dan
disederhanakan. “Semua sejarah menunjukkan bahawa pencarian agihan kekayaan
untuk majoriti orang ialah tema yang berulang-ulang pada semua zaman dan semua
budaya.” Oleh sebab berlaku pengagihan pendapatan, kekayaan, dan pendidikan
secara lebih meluas, maka mereka menjadi lebih makmur.
Secara kebetulan Capital
dan Ideology diterbitkan ketika wabak pandemik COVID-19 melanda dunia dan mendedahkan disfungsi dalam
demokrasi kapitalis Barat. Oleh yang demikian, maka kita dapat menyaksikan
kepulangan semula kerajaan, manakala revolusi Reagan-Thatcher dengan mantera
“konsensus Washington” dan “neoliberalisme” telah mati. Wabak ini menyebabkan
kerajaan mula memainkan peranan penting dalam kesihatan awam dan kerana mengakibatkan ekonomi berubah turun, yang
akhirnya mendorong kerajaan di banyak negara memperkenalkan pakej rangsangan
ekonomi. Selain itu, wabak yang melanda juga berkemungkinan mendorong kerajaan terlibat
secara aktif dalam pengagihan semula dan
tidak boleh membiarkan pasaran yang menentukan segala-galanya.
Walau bagaimanapun, Piketty
dalam buku yang sungguh tebal itu dan dengan rangkuman yang luas, iaitu sejak zaman pramoden, terlepas pandang akan isu “wabak dan
ketidaksamaan,” yang pernah diperhatikan oleh Walter Scheidel.
Dalam bukunya, The
Great Leveller: Violence and the History of Inequality from the
Stone Age to the Twenty-First Century. Scheidel
menegaskan “dalam jangka panjang, 2000
tahun lalu menghasilkan ‘puncak kembar’ ketidaksamaan selepas empayar purba
asal runtuh; masyarakat Zaman Pertengahan di ambang Maut Hitam, dan masyarakat
moden di ambang Perang Dunia Pertama. Dengan melenyapkan satu pertiga penduduk
Eropah menerusi wabak dicerminkan di Amerika Selatan oleh pengurangan penduduk
akibat genosid, sebenarnya menekan ketidaksamaan, dengan meningkatkan harga
tenaga kerja.”
N.B. yang memetik buku itu dan menemu bual penulisnya Scheidel muncul dalam The Economist, “Can Inequality Only be Fixed by War, Revolution or Plague?” Menurut N.B., profesor Stanford itu menganjurkan bahawa sepanjang sejarah, ketidaksamaan ekonomi hanya dibetulkan oleh salah satu “Four Horsemen of Leveling”: peperangan, revolusi, keruntuhan negara, dan wabak. The Great Leveller menyatakan sepanjang sejarah yang direkodkan, pemampatan berkala ketidaksamaan disebabkan oleh peperangan mobilisasi massa, revolusi transformatif, kegagalan negara, dan pandemik selalunya membantutkan mana-mana contoh kesamaan yang diketahui melalui cara aman keseluruhannya.
Dalam buku ini, Thomas Piketty memperlihatkan dirinya sebagai pendukung sains sosial dan ekonomi politik. Beliau yang berasa tidak selesa apabila sejarawan, ahli sosiologi, ahli sains politik, dan ahli falsafah terlalu kerap meninggalkan kajian persoalan ekonomi kepada ahli ekonomi, menegaskan “akan tetapi, ekonomi politik dan sejarah ekonomi melibatkan semua sains sosial, seperti yang saya cuba tunjukkan dalam buku ini. Semua ahli sains sosial sepatutnya cuba memasukkan trend sosioekonomi dalam analisis mereka dan mengumpulkan data kuantitatif dan data sejarah bila-bila masa sahaja berguna dan sepatutnya bergantung pada kaedah dan sumber lain apabila perlu."