KHAMIS, 9 Julai 2020
Oleh: ZULKIFLI SALLEH
(Dipetik dan diubah suai daripada manuskrip yang
belum diterbitkan “Tun Abdul Razak dan Pembinaan Negara.”)
Dasar Ekonomi Baru (DEB)
dirumuskan oleh kerajaan sebagai asas
ekonomi tentang Rukun Negara. Tun Abdul
Razak yang bijak sememangnya menyedari bahawa walau bagaimana penting sekalipun
keunggulan Rukun Negara dan perolehan persetujuan ramai, penentuan sama ada
perjuangan bagi memperoleh perpaduan akan dicapai, atau tidak akan diketahui
melalui penyusunan semula negara dari segi ekonomi dan sosial. Jadi, DEB
dirangka dengan niat untuk memberikan kandungan dan isi kepada ideologi
pembangunan negara Malaysia yang baharu, seperti yang terdapat dalam Rukun
Negara (Faaland, Parkinson, Rais, 1991:
31). DEB ialah dasar jangka panjang yang meliputi tempoh selama 20 tahun
(1971 – 1990).
Tujuan utama
kerajaan melancarkan DEB, dengan Rancangan Malaysia Kedua 1971 – 1975 sebagai
tahap pertamanya, adalah untuk mentafsirkan ideologi Rukun Negara mengikut
maksud pengendalian. Seperti yang
dinyatakan oleh Perdana Menteri Tun Abdul Razak Hussein, “Rancangan ini
merupakan rancangan terperinci bagi DEB.
Rancangan ini menggabungkan objektif yang mempunyai dua tujuan, iaitu
bagi membasmi kemiskinan, tanpa mengira kaum, dan bagi menyusun masyarakat
Malaysia untuk mengurangkan dan secara beransur-ansur, menghapuskan pengenalan
kaum mengikut fungsi ekonomi” (Faaland,
Parkinson, Rais, 1991: 93 – 94).
Rancangan Malaysia Kedua
menggabungkan DEB yang bercabang dua untuk pembangunan. Cabang pertama bertujuan untuk mengurangkan
dan akhirnya menghapuskan kemiskinan dengan meninggikan pendapatan dan
menambahkan guna tenaga untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira keturunan
mereka. Cabang kedua bertujuan untuk menyegerakan proses penstrukturan semula
masyarakat Malaysia untuk membetulkan
ketidakseimbangan ekonomi supaya kelaziman mengaitkan sesuatu bangsa dengan
fungsi ekonomi tertentu dapat dikurangkan hingga akhirnya dapat dihapuskan
secara beransur-ansur (Milne dan Mauzy, 1982: 415). Walau bagaimanapun,
pandangan lain mengatakan bahawa DEB menjadi lebih penting daripada Rukun
Negara, kerana DEB menjadi asas dan kayu ukuran untuk semua dasar ekonomi dan sosial
yang diunjurkan sekurang-kurangnya hingga tahun 1990 (Means, 1991: 23).
Langkah positif telah diambil untuk
menyelesaikan pertikaian antara ketiga-tiga kaum yang terbesar di Malaysia (Melayu, Cina, dan India) dengan
penubuhan tiga institusi Pada Julai
1969, Jabatan Perpaduan Negara ditubuhkan, dengan Datuk Dr. Agoes Salim sebagai ketuanya. Seterusnya, Tun Abdul Razak menubuhkan Majlis
Perundingan Negara (MPN) pada tahun 1970 untuk memajukan konsensus tentang isu
nasional dan mengenal pasti dan bersetuju tentang ideal yang implisit dalam
Perlembagaan Persekutuan atau melampaui Perlembagaan (Ahmad Sarji, 2016: 29).
Pada tahun itu juga Majlis Muhibah Negara
ditubuhkan yang dianggotai oleh 53 orang ahli yang dipilih oleh Tunku
sebagai pengerusi Majlis). Walau
bagaimanapun, jentera Majlis Muhibah Negara tidak sama dengan Jabatan Perpaduan
Negara dan MPN (Milne dan Mauzy, 1982: 116).
Daripada berbagai-bagai organisasi
yang ditubuhkan selepas 13 Mei, MPN yang paling menarik. Secara am, tujuannya diberikan sebagai “untuk
mengadakan garis panduan bagi kerjasama antara kaum dan integrasi sosial untuk
memupuk identiti kebangsaan dalam kalangan rakyat Malaysia (Milne dan Mauzy,
1982: 116). Tugas MPN adalah untuk menentukan “penyelesaian” yang kekal
terhadap masalah perkauman untuk menentukan bahawa tragedi 13 Mei tidak
berulang lagi. Dalam beberapa perkara MPN merupakan institusi yang ditubuhkan
sebagai menggantikan Parlimen. Majlis
ini merupakan sebuah badan berbilang kaum yang mengandungi 65 orang ahli yang
mewakili kerajaan negeri dan Persekutuan, parti-parti politik (kecuali DAP dan
Parti Rakyat), dan golongan yang berpengaruh” (Comber, 2007: 150 – 151).
MPN yang dibahagikan kepada dua kumpulan, iaitu Jawatankuasa Ekonomi dan
Jawatankuasa Politik. Hasil perdebatan
yang panjang lebar, maka terbentuk Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan Rukun Negara (Lim, 2006: 126).
Pada pertengahan Julai 1969, Tan Sri
(Tun) Ghazali Shafie mengumumkan matlamat untuk menyediakan garis panduan dalam
mewujudkan ideologi negara. Rangkanya
telah disediakan oleh Jabatan Perpaduan Negara yang diketuai oleh beliau sendiri. Rangka akhir telah diserahkan kepada MPN
untuk diluluskan (Comber, 2007: 151). Beberapa orang pegawai awam kanan dan
akademik membantu merangka Rukun Negara, termasuk Tun Muhammad Ghazali Shafie,
Tun Abdullah Ayob, Tan Sri Zain Azraai, Datuk Khatijah Ahmad, Tan Sri profesor
Khoo Kay Kim, profesor James Peter Ongkili, Tan Sri Rama Iyer, Tun Mohd. Salleh
Abas, dan Datuk Dr. Agoes Salim (Ahmad Sarji, 2016: 30). Pada 31 Ogos 1970, Yang di-Pertuan Agong
secara rasmi mengisytiharkan ideologi negara yang dinamakan Rukun Negara,
dengan lima prinsip: Kepercayaan kepada Tuhan, kesetiaan kepada raja dan negara,
keluhuran Perlembagaan, kedaulatan undang-undang, dan kesopanan dan kesusilaan.
Menurut Tun Ahmad Sarji prinsip ini diterima oleh semua dan boleh diterapkan
untuk semua, adalah bertujuan untuk memandu tindakan negara baharu, dan semua
parti politik yang mengaggotai MPN, di samping DAP yang tidak menganggotai MPN,
meluluskan Rukun Negara (Ahmad Sarji,
2016: 30).
Rukun
Negara diwujudkan kerana memandangkan masyarakat Malaysia yang berpecah-belah,
termasuk perpecahan kaum yang digunakan untuk tujuan jahat pada 13 Mei, maka
perlulah bagi negara untuk mencari jalan bagi mencapai matlamat
tertentunya. Untuk tujuan ini prinsip
tertentu diperlukan sebagai panduan untuk mencapai matlamat tersebut (Milne dan
Mauzy, 1982: 120). Dengan memetik
takrif ideologi yang terdapat dalam
kamus Paul Sigmund sebagai “suatu skim yang bersistem atau badan penyelaras
idea mengenai kehidupan atau kebudayaan, maka jika dibandingkan sudah tentulah
rangkai kata untuk Rukun Negara itu agak am.
Ini bukanlah satu ideologi dalam erti kata falsafah yang dirancang secara menyeluruh” (Milne dan
Mauzy, 1982: 120 – 121). Menurut Tun
Mohd. Salleh Abas, bekas Ketua Hakim Negara,
Rukun Negara tidak mengenakan kewajipan yang lebih dan tidak memberikan
hak yang lebih berbanding dengan apa yang sudah terkandung dalam
Perlembagaan. Jadi, usaha untuk mematuhi
Rukun Negara tidak lebih daripada usaha untuk mematuhi Perlembagaan (Faaland,
Parkinson, dan Rais, 1991: 30).
Di
bawah kepimpinan Tun Abdul Razak, kerajaan dan negara yang khidmatnya dicurahkan,
untuk pertama kali mempunyai falsafah dan ideologi negara atau prinsip asas,
iaitu Rukun Negara (Ahmad Sarji, 2016: 31). Walau bagaimanapun, tidak seperti
Pancasila dan bahasa Indonesia berjaya dalam pembinaan bangsa di negara itu,
Rukun Negara dan bahasa Melayu adalah sebaliknya. Mungkin hal ini juga ada kaitannya dengan
“usaha untuk membuat rakyat memahami
Rukun Negara supaya mencapai matlamat perpaduan negara akan mengambil masa yang
panjang” (Milne dan Mauzy, 1982: 121).
Dalam
salah satu ucapannya, Tun Abdul Razak, menyatakan bahawa Rukun Negara, DEB,
DPK, dan DKK, semuanya akan menyumbang ke arah apa yang beliau istilahkan sebagai “Malaysia Baru” (Ahmad
Sarji, 2016: 41). Hal ini jelas
menunjukkan bahawa menerusi ideologi negara dan dasar negara, beliau mempunyai
impian dan wawasan pembinaan negara.