ISNIN, 31 Disember 2018
Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Bersempena sambutan 100 tahun berakhirnya Perang Dunia
Pertama, lebih 60 orang pemimpin dunia berkumpul di Arc de Triomphe, Paris pada hari Ahad, 11
November. Meskipun tema umum ialah perpaduan, Presiden Donald Trump kelihatan
mahu mengasingkan dirinya. Antara pemimpin yang hadir, Presiden Vladimir Putin, Canselor Jerman Angela Merkel, Perdana
Menteri Kanada Justin Trudeau, dan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu.
Presiden Perancis Emmanuel Macron yang berucap
menyampaikan mesej tanpa berselindung terhadap Donald Trump dengan memberikan
amaran tentang bahaya nasionalisme,
dengan menyebut bahawa “hantu lama bangkit semula yang telah pun mencetuskan
kacau-bilau dan membawa kematian” sambil
menuding jari pada bangsa-bangsa yang mengutama diri mereka terlebih dahulu.
Tegas beliau, “patriotisme memang berbeza dengan nasionalisme. Nasionalisme
ialah pengkhianatan patrotisme. Dengan mengatakan, ‘Kepentingan kita
diutamakan, siapa peduli tentang orang
lain,’ kita memadamkan perkara yang paling berharga yang bangsa ada, yang
menjadikan bangsa hidup, yang menyebabkan bangsa menjadi agung, dan yang paling penting:
nilai moralnya.”
Ucapan Macron itu dipetik secara meluas oleh media,
termasuk media Amerika Syarikat, kelihatan ditujukan kepada Trump yang
baru-baru ini menggelar dirinya “nasionalis” dan slogan beliau “Utamakan
Amerika.” Ucapan itu jelas menunjukkan bahawa berbanding dengan nasionalisme, patriotisme lebih baik dan dialu-alukan,
selain wujud perbezaan antara patriotisme dengan
nasionalisme, meskipun kadangkala kedua-duanya saling wujud dan dianggap saling
melengkapi antara satu sama lain.
Patriotisme
dan nasionalisme ialah dua perkataan, yang digunakan secara sinonim, tetapi kini,
dianggap mempunyai konotasi yang berbeza. Patriotisme ialah perasaan cinta dan
kasih seseorang terhadap negaranya. Perasaan patriotisme berasaskan nilai yang sesebuah negara dukung dan cara
negara berkenaan berusaha untuk menambahbaikan nilai itu. Patriotisme
berasaskan kepercayaan dalam kebaikan yang wujud dalam sistem kerajaan di
sesebuah negara, dan kebaikan orangnya. Perkataan patriotisme berasal daripada
kata akar patriot, daripada perkataan Latin patriota
yang bermaksud sesama warganegara, dan
akhiran -isme bermaksud sistem atau
dokrin. Tempat yang sesuai untuk menyemai patriotisme ialah di sekolah dan kem
tentera.
Nasionalisme ialah perasaan cinta dan kasih seseorang
juga terhadap negaranya. Walau bagaimanapun, nasionalisme berakar umbi dalam
kepercayaan bahawa negara seseorang itu lebih baik daripada semua yang lain,
dan membawa konotasi ketaksetujuan terhadap bangsa lain atau berseteru dengan
bangsa lain. Sementara patriotisme tidak memandang rendah negara lain,
nasionalisme membina seseorang seseorang dengan meruntuhkan bangsa lain. Nasionalisme menyokong usaha menguasa
negara lain. Perkataan nasionalisme berasal daripada perkataan bangsa atau nation, yang datang daripada perkataan Latin
nationem yang bermaksud asal-usul atau suku kaum (tribe). Daripada suku kaum berkembang fahaman kabilah atau tribalisme yang kini
sedang bangkit di seluruh dunia.
Konsep bangsa juga sering dibahaskan dan biasanya
dikaitkan dengan negara bangsa dan pembinaan bangsa yang berbeza daripada
pembinaan negara. Walau bagaimanapun, negara dan bangsa mempunyai asal usul
yang sama sekiranya kita merujuk penegasan
Charles Tilly, “perang mencipta negara, dan negara mencipta perang,” dan Michael
Howard, “perang juga mencipta bangsa. Tidak ada bangsa, dalam maksud sebenar
perkataan, dapat lahir tanpa perang.”
Nasionalisme ialah satu bentuk spesifik politik jati diri
yang menemui penyataan utamnya dalam Revolusi Perancis. Nasionalisme berasaskan pandangan bahawa
sempadan politik negara seharusnya secocok dengan sempadan budaya, yang
ditakrifkan terutamanya oleh bahasa dan budaya yang dikongsi. Ekonomi pasaran moden dikatakan, memerlukan
sesuatu, seperti nasionalisme dan jati diri berasaskan bangsa.
Etinne Balibar dalam “Racism and Nationalism” yang
dimuatkan dalam buku beliau bersama-sama Immanuel Wallerstein, Race, Nation, Class: Ambigous Identities,
menyatakan bahawa nasionalisme sukar ditakrifkan kerana konsep ini tidak pernah
berfungsi sendiri, tetapi selalunya bahagian rantaian yang kedua-duanya, iaitu
perkaitan utama dan perkaitan lemah. Rantaian ini sentiasa diperkaya secara
malar dengan istilah pertengahan dan ekstrem yang baharu: semangat sivik,
patriotisme, populisme, etnisisme, etnosentrisme, xenofobia, cauvinisme, imperialisme,
jingoisme. Apabila hubungan nasionalisme-bangsa (nationalism-nation) menjadi perhatian, teras maksud membezakan “realiti,” iaitu bangsa dengan “ideologi,”
iaitu nasionalisme. Hubungan ini ditanggapi secara berbeza dengan orang yang
berbeza. Menurut Balibar, anggapan tentang nasionalisme selalunya
berpecah-pecah. Selalunya wujud nasionalisme baik dan nasionalisme jahat.
Dua ahli teori utama nasionalisme, iaitu Benedict
Anderson dan Ernest Gellner, mengaitkan kemunculan nasionalisme dengan
pemodenan, meskipun penekanan mereka berbeza dalam aspek tertentu. Jati diri
tidak benar-benar wujud sebagai masalah dalam masyarakat pramoden. Menurut
Anderson dalam
bukunya, Imagined Communities, semua ini mula berubah dengan kemunculan
kapitalisme komersial di Eropah pada abad ke-16, dipacu oleh rekaan mesin cetak
dan pertumbuhan pasaran untuk buku. Mesin cetak mengubah secara ketara harga
komunikasi bertulis, dan dengan itu, memungkinkan penerbitan buku dalam bahasa vernakular.
Kemunculan
bahasa bercetak vernakular memungkinkan untuk kali pertama, yang Anderson
sebut “komuniti bayangan” penutur dan
pembaca Jerman. Dalam cara yang sama, novelis Filipina, Jose Rizalmeni mampu
mencipta kesedaran bersama jati diri Filipina pada abad ke-19 bagi orang ramai
yang tersebar di lebih 7000 buah pulau. Kemajuan akhbar yang digunakan oleh
para pembaca kelas menengah yang sedang muncul, bahkan mempunyai kesan dramatik
terhadap pembinaan jati diri pada abad ke-19. Melalui pembacaan, orang ramai
yang tidak pernah meninggalkan kampung halaman mereka boleh semuanya secara
tiba-tiba menanggapi hubungan dengan orang ramai lain di kampung yang
berasingan.
Dari
segi teori, hujah Anderson, bangsa ialah
komuniti dibayangkan, tetapi bangsa harus mempunyai asas objektif tertentu.
Bangsa lahir dengan kelahiran kapitalisme, khususnya kapitalisme cetak yang
membolehkan berkembangnya imaginasi dan kesedaran subjektif yang menimbulkan
perasaan kekitaan dan kesamaan nasib bagi anggota bangsa berkenaan. Menuru
beliau, bangsa, kerakyatan, dan nasionalisme, terbukti memang sukar untuk
ditakrifkan, apatah lagi untuk dianalisis. Berbanding dengan pengaruh yang
sangat besar yang nasionalisme letakkan
pada dunia moden, teori munasabah tentang perihalnya terpampang tidak seberapa.
Anderson
memetik Ernest Gellner yang menegaskan bahawa “nasionalisme bukannya
kebangkitan bangsa kepada kesedaran diri: Nasionalisme mencipta bangsa, apabila
bangsa tidak wujud.” Bahkan, semua komuniti lebih besar daripada kampung
yang wujud sejak awal dunia yang
berhubung secara bersemuka adalah dibayangkan. Komuniti boleh dibezakan oleh
bukan kepalsuan/ketulenan mereka, tetapi oleh gaya yang mereka dibayangkan.
Menurut
Joel S. Kahn dalam bukunya, Other Malays: Nationalism and Cosmopolitanism in
the Modern Malay World, “peristiwa Natrah” yang berlaku pada tahun 1950: “Orang Melayu pertama yang secara sukarela
sanggup menanggung risiko mati demi bangsa-ras bayangan ialah peserta dalam rusuhan kaum pertama di Singapura.” Walau bagaimanapun, Kahn menegaskan, sama ada
mangsa Melayu akibat keganasan yang mengelilingi hal ehwal Natrah itu memenuhi
ujian nasionalisme sebenar Anderson
terbuka untuk perdebatan.
Ernest
Gellner juga menegaskan bahawa nasionalisme muncul ketika detik mendalam
perubahan sosial, tetapi beliau menyatakan anjakan kepada peralihan ini
daripada masyarakat agraria kepada masyarakat perindustrian pada abad ke-19. Beliau
menjelaskan, masyarakat muncul berasaskan teknologi berkuasa tinggi dan harapan
pertumbuhan mapan, yang memerlukan
kedua-duanya pembahagian kerja mobil, mapan, kerap dan komunikasi tepat antara
orang asing. Ini memerlukan bahasa kebangsaan seragam, dan sistem pendidikan
yang ditaja oleh negara untuk menggalakkan kebudayaan kebangsaan. Gellner juga
mengesyorkan bahawa Islam moden perlu dilihat menerusi lensa pemodenan dan jati
diri yang sama. Kedua-duanya, nasionalisme dan Islamisme berakar umbi dalam pemodenan.
Menurut Andrea Baumeister yang menulis dalam Britannica, patriotisme ialah perasaan cinta dan komitmen terhadap negara, bangsa,
atau komuniti politik. Patriotisme (mencintai negara) dan nasionalisme setia
pada bangsa seseorang, selalunya dianggap sinonim, tetapi patriotisme mempunyai
asal usulnya kira-kira 2000 tahun sebelum kebangkitan nasionalisme pada abad ke-19.
Kepurbaan
Yunani dan terutamanya Rom menyediakan akar untuk patriotisme politik yang membayangkan
kesetiaan kepada patria sebagai
kesetiaan kepada konsepsi politik tentang republik. Patriotisme dikaitkan
dengan kecintaan terhadap undang-undang dan hak kebebasan bersama, iaitu
mencari common good dan tugas untuk
berkelakuan secara saksama terhadap negara seseorang. Makna klasik Rom patria muncul semula dalam konteks
republik kota Itali pada abad ke-15. Di sini, patria bermaksud hak kebebasan bersama kota, yang hanya dilindungi
oleh semangat sivik warganegara. Bagi Niccolò Machiavelli, pengarang
The Prince (Sang Penguasa), kecintaan terhadap hak kebebasan bersama
membolehkan warganegara melihat kepentingan persendirian dan kepentingan khusus
sebagai bahagian common good dan membantu
mereka menentang rasuah dan kekejaman.
Berbeza
dengan konsepsi klasik republikan tentang patriotisme, dalam Considerations on the Government of Poland Jean-Jacques
Rousseau dapat dilihat contoh awal pertalian antara
nasionalisme dengan patriotisme. Meskipun Rousseau yang memperkenalkan teori
kontrak sosial, memperjuangkan kecintaan terhadap bangsa dan perayaan
kebudayaan kebangsaan, beliau percaya bahawa kebudayaan kebangsaan bernilai,
terutamanya kerana kebudayaan ini membantu memupuk kesetiaan kepada politik
tanah air.
Pertalian yang lebih eksplisit
antara nasionalisme dengan patriotisme dapat ditemui dalam karya Johann
Gottfried von Herder. Menurut pandangan ahli falsafah Jerman ini, patriotisme bukannya
merujuk kepada kebaikan politik, tetapi kepada semangat rasa cinta kepada
bangsa. Dalam konteks ini, tanah air menjadi sinonim dengan bangsa dan bahasa
dan budayanya yang berbeza, yang memberinya perpaduan dan kesederapan. Justeru,
Herder mengaitkan kecintaan terhadap negara seseorang dengan pemeliharaan
budaya bersama dan perpaduan kerohanian orang ramai, dan bukannya mengaitkan patriotisme
dengan pemeliharaan hak kebebasan politik. Herder yang melihat kebebasan
kolektif berasaskan ciri nasional dan budaya tertentu, seringkali dikritik
sebagai bapa etno-nasionalisme Eropah moden. Dalam bukunya, Reflections on
the Philosophy of History of Mankind, beliau mencatatkan dengan jelas
bahawa wujud spesies manusia tunggal, dan beliau mengkritik pengarang lain yang
cuba mewujudkan hierarki dalam kalangan ras dunia. Walau bagaimanapun, Herder
menegaskan bahawa setiap komuniti manusia adalah unik dan terpisah daripada
jirannya. Beliau mencatatkan bahawa cuaca dan geografi mempunyai impak yang
sangat besar terhadap adat orang yang berbeza, setiap orang itu melahirkan
“genius” mereka sendiri dalam cara mengubah
suai dengan keadaan tempatan.
Sememangnya, ucapan
Emmanuel Macron itu membangkitkan keinginan kita untuk mengetahui apakah
nasionalisme dan patriotisme. Nasionalisme dan patriotisme selalu disebut oleh pemimpin negara, ahli politik,
dan para sarjana kita yang seakan-akan
menunjukkan bahawa kedua-duanya sinonim, tetapi yang jelas, berbeza.