SELASA, 7 Mac 2016
Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Tan Sri Rafidah Aziz
semasa dalam Kabinet terkenal dengan sikap berterus terang dan beliau dikenali dengan
julukan “wanita besi.” Namun begitu,
kekuatan sebenar Rafidah terbongkar apabila mantan Perdana Menteri Tun Dr.
Mahathir Mohamad menggasak Rafidah
tentang pemberian permit import (AP). Akibat gasakan demi gasakan daripada Dr.
Mahathir dan pelbagai tekanan, maka pada 19 Julai 2005, Rafidah muncul di kaca televisyen dengan air
mata berderai sambil menegaskan bahawa beliau tidak mempunyai alasan untuk
meletakkan jawatan. Mantan Perdana
Menteri itu nampaknya tidak melupakan kritikan beliau terhadap Rafidah yang ketika itu Menteri Perdagangan
Antarabangsa dan Industri kerana beliau menulisnya dalam Doktor
Umum: Memoir Tun Dr Mahathir Mohamad. Dalam buku itu, Dr. Mahathir mendedahkan
berapa banyak AP yang diluluskan pada tahun 2005 dan siapakah yang memperoleh
kebanyakan AP itu. Tindak-tanduk Rafidah semasa mesyuarat Kabinet berhubung
dengan pemberian AP diketahui dan didedahkan oleh Dr. Mahathir.
Meskipun
telah bersara daripada jawatan menteri dan seterusnya sebagai anggota Parlimen, Rafidah Aziz terus
memperlihatkan tabiat lama beliau, iaitu berterus terang. Pada tahun lalu, Rafidah Aziz,
yang menggesa orang Melayu berhenti
daripada berkata, “Melayu dahulu” sambil mengingatkan, “Tanah Melayu
tidak wujud lagi. Kini, Malaysia.” Rafidah dalam syarahan awam di Universiti
Malaya, “The Role of Education in the Development of Youth Towards
Nation-Building,” dipetik oleh The
Malaysian Insider, sebagai menggesa orang Melayu sepatutnya
menghentikan daripada mengenal diri mereka sebagai ras mereka dan menerima
bahawa mereka tinggal di negara yang berbeza.
Beliau dikatakan mengeluarkan kenyataan itu sebelum perhimpunan “baju merah”
pada 16 September yang dianjurkan oleh kumpulan Melayu. “Saya tahu, dari segi politik, sesetengah
orang tidak mahu itu. Mereka berkata,
‘Saya Melayu dahulu.”
Pada Januari tahun ini, ketika berucap sempena seminar
memperingati Tun Abdul Razak Hussein yang meninggal dunia 40 tahun lalu,
Rafidah mendakwa bahawa “Perdana Menteri kedua itu amat kesal hari ini jika
beliau tahu bagaimana wujudnya Malay-centric dalam sistem pendidikan
negara.” Rafidah, seperti yang
dilaporkan oleh The MalayMail dalam talian, “Rafidah: Current Malay-centric Education System
Would Make Razak Hussein ‘Turn in His Grave’,” mendakwa “pentadbiran sekarang
menyalahletakkan anggapan nasionalisme dengan menggalakkan sistem yang terlalu
Melayu,” dengan mengimbas kembali bahawa “ketika zaman Tun Razak, bahasa
Inggeris biasa digunakan sebagai alat komunikasi.”
Tambah Rafidah, “Beliau (Tun Razak)
tidak pernah fikir bahawa pendidikan sepatutnya ditafsirkan secara sempit
sebagai hanya Melayu dan pergi jahanam dengan bahasa-bahasa lain di dunia.”
Meskipun sasaran kritikan Rafidah terhadap pejuang bahasa, apabila
beliau menyebut “sistem pendidikan,” beliau seakan-akan lupa para Menteri
Pelajaran (Pendidikan) yang kebanyakan daripada UMNO yang bertanggungjawab
memperkenalkan dan melaksanakan sistem pendidikan di negara ini. Selepas Tun
Razak, ada empat orang menteri yang akhirnya menjadi Perdana Menteri, iaitu Tun Hussein Onn, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Tun Abdullah Haji Ahmad Badawi, dan Dato’ Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak, manakala tiga daripadanya
Timbalan Perdana Menteri, iaitu Tun Musa Hitam, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, dan yang terbaru, Tan Sri
Muhyiddin Yassin.
Dr. Mahathir dan Musa merupakan
young Turks yang muncul pada era Tun Abdul Razak, yang menurut Barry
Wain dalam bukunya, Malaysian Maverick:
Mahathir Mohamad in Turbulent Times, “mereka berasa ‘kontrak sosial’ telah gagal, bahawa UMNO
terlalu berlembut dengan orang Cina, dan negara mesti ‘dikembalikan semula’
kepada orang Melayu.” Dr. Mahathir dalam
memoirnya mengaku: “Saya terbabit secara
cergas dalam usaha menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama di sekolah. Saya percaya penggunaan
satu bahasa boleh menyumbang ke arah pembentukan negara bangsa, jati diri, dan
perpaduan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum.”
Sementara itu, Tun Musa dalam wawancara dengan Far Eastern Economic
Review pada Jun 1978, menegaskan:
“Perubahan dasar ini dilakukan kerana bahasa Melayu dianggap sebagai alat untuk
mewujudkan perpaduan kebangsaan. Sungguhpun bahasa Inggeris luas dipertuturkan
di Malaysia, bahasa ini dituturkan oleh golongan cerdik pandai. Untuk menjamin
maruah bangsa, bahasa rasmi mestilah diberi tempat yang utama. Bahasa Cina dan Tamil dalam perkara ini tidak
dianggap sebagai bahasa peribumi dan penggunaan kedua-dua bahasa itu hanya
dianggap sebagai galakan untuk perasaan baik sangka dalam kalangan masyarakat
pelbagai kaum.” Anwar pula terkenal sebagai pejuang bahasa sejak beliau
di universiti lagi dan berterusan sehingga beliau menyertai UMNO dan berada
dalam kerajaan.
Apabila Rafidah dengan megah
mengatakan bahawa “bahasa Inggeris biasa digunakan sebagai alat komunikasi,” mungkin ada yang bertanya:
Adakah Rafidah bertutur dalam bahasa itu ketika merayu undi setiap kali pilihan
raya diadakan atau semasa beliau berkempen untuk jawatan dalam UMNO?
Tindakan Rafidah berpindah kerusi
Parlimen, dari Selayang ke Kuala Kangsar, pastinya atas pertimbangan untuk
mencari “medan pertempuran” yang menjamin kemenangan dan demi penakatan atau kelangsungan politik
beliau. Dalam kata lain, beliau tidak
boleh bergantung pada para pengundi di pinggir bandar raya Kuala Lumpur yang
sesetengahnya menggunakan bahasa
Inggeris dalam pertuturan harian mereka.
Pastinya, kenyataan Rafidah Aziz tentang Malay-centric
mengelirukan dan lebih bersifat prejudis.
Kenyataan ini juga jelas menunjukkan kejahilan beliau yang seakan-akan
menggambarkan beliau tidak mengetahui apa-apa yang berlaku di negara ini. Namun
begitu, oleh sebab beliau pernah bergerak cergas dalam UMNO dan menganggotai
Kabinet, maka mustahil beliau tidak
mengetahui isu berkaitan dengan pendidikan dan kebahasaan.
Pendidikan dan bahasa Melayu merupakan perjuangan penting UMNO sejak penubuhannya hingga sekurang-kurangnya tahun 1980-an. Hakikatnya, hegemoni UMNO adalah hasil dukungan guru-guru
Melayu dan golongan ini merupakan
pejuang bahasa Melayu. Seperti yang
pernah dicatatkan dalam buku Penitianku...:
Sebuah Catatan Peribadi Tun Abdul Ghafar Baba, “berlaku peristiwa besar
dalam UMNO pada tahun 1958 di mana guru-guru Melayu beramai-ramai keluar dari
UMNO. Guru-guru Melayu adalah tulang belakang UMNO pada waktu itu. Mereka
menuntut supaya bahasa pengantar di sekolah-sekolah menengah hendaklah
menggunakan bahasa Melayu, bukan bahasa Inggeris. Banyak cawangan UMNO lumpuh dengan tindakan
guru-guru itu.” Sesungguhnya, tanpa
perjuangan bahasa, sekurang-kurangnya pada suatu ketika dahulu, UMNO akan kehilangan “modal politik” – pengaruhnya
tidak tersebar dalam kalangan orang Melayu, dan dengan itu, Rafidah mungkin
tidak berpeluang menjadi wakil rakyat, apatah lagi untuk menjadi menteri!
Sebagai imbas kembali, selepas
kemenangan Parti Perikatan dalam pilihan raya tahun 1955, sebuah Jawatankuasa
Pelajaran yang dianggotai oleh 15 orang ahli, diketuai oleh Tun Abdul Razak
telah dibentuk. Hasilnya, pada tahun 1956, jawatankuasa berkenaan menerbitkan
laporan yang dikenali sebagai Penyata Razak.
Wujud bantahan daripada sebilangan ahli yang tidak berpuas hati kerana bahasa
Melayu tidak digunakan sebagai satu-satunya bahasa pengantar di semua
sekolah. Bantahan juga wujud dalam
kalangan ahli UMNO sendiri, kebanyakannya dari Pantai Timur. Dr. Lim Chong Eu, mantan Ketua Menteri Pulau
Pinang, salah seorang anggota Jawatankuasa Pelajaran itu, seperti yang dicatatkan oleh Ooi Kee
Beng, dalam buku, Bukan Kerana Pangkat:
Tun Dr Ismail dan Masanya,
menyokong laporan tersebut dan menganggapnya “jalinan pelbagai budaya
pendatang negara ini (...) dengan berteraskan bahasa Melayu, bahasa kebangsaan
kita, serta budaya Melayu sebagai tema yang kuat dan utama.” Tun Dr. Ismail Abdul Rahman, mantan Timbalan
Perdana Menteri, dalam mempertahankan laporan tersebut dan menyanggah bantahan
itu, menegaskan “... orang bukan Melayu sudah menerima hakikat adalah negeri
orang Melayu dan bahasa kebangsaan adalah bahasa Melayu.”
Profesor Ulung, Dr. Shamsul Amri Baharuddin dalam Masyarakat Malaysia yang Membangun
(Dewan Bahasa dan Pustaka, 1990), pernah mengesan dan membahaskan topik
yang masih berterusan hangat hingga
kini, meskipun ada kalanya, “tenggelam,
timbul, panas, dingin,” iaitu politik bahasa. Menurut beliau, “sebelum pilihan
raya tahun 1955, isu bahasa kendur sedikit kerana isu kemerdekaan menjadi
objektif perjuangan utama. Akan tetapi, isu bahasa dan pendidikan kembali
hangat antara tahun 1956 – 1959 dan menimbulkan keriuhan politik dalam kempen
pilihan raya tahun 1959, berikutan pengenalan Laporan Razak.” Beliau membangkitkan usaha untuk mendaulatkan
bahasa Melayu yang melibatkan kumpulan bukan politik yang khususnya dianggotai
oleh para intelek Melayu, menentang Rang Undang-undang Bahasa yang diluluskan
oleh Parlimen pada tahun 1967. Di luar
Parlimen, menurut beliau, “beberapa kumpulan mahasiswa universiti, kesatuan
guru, dan penulis – semuanya komuniti Melayu menubuhkan Badan Bertindak Bahasa
Kebangsaan (BBBK) untuk menentang penggunaan bahasa Inggeris dengan lebih luas
dan konsep pelbagai bahasa. Pendirian
BBBK, berdasarkan gambaran yang
diberikan oleh Shamsul Amri, merupakan kontrak sosial yang gagal: “Sebelum merdeka, UMNO telah dijanjikan oleh
MCA dan MIC untuk menyokong dan menerima bahasa Melayu sebagai satu-satunya
bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan, kerana UMNO telah bertolak ansur mengenai
soal kerakyatan orang bukan Melayu.
Kini, janji itu dimungkiri setelah memperoleh apa yang mereka (MCA dan
MIC) inginkan.” Oleh sebab Rafidah Aziz
pernah menjadi orang penting dalam UMNO, iaitu menerajui Pergerakan Wanita, maka amat malang sekiranya beliau tidak
menyedari kemungkiran yang berlaku itu!
Bahasa Melayu mempunyai kedudukan dan memainkan peranan
penting bukan sahaja dari segi pembinaan bangsa, tetapi juga dari segi
pembentukan negara. Kedudukan
bahasa Melayu (dan agama Islam) menjadi persoalan dalam pembentukan Malaysia,
seperti yang dijelaskan Tun Muhammad
Ghazali Shafie dalam Ghazali Shafie’s Memoir on the Formation of
Malaysia. Dalam memoir yang lebih 400 halaman itu, Ghazali Shafie antara mencatatkan pendirian
Singapura yang nampaknya rela bertolak
ansur tentang kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, dan bahkan kedudukan agama Islam. Menurut
“King Ghaz,” Lee Kuan Yee pernah
memberitahu beliau bahawa bahasa Melayu sepatutnya merupakan bahasa kebangsaan
Persekutuan Tanah Melayu, meskipun Lee Kuan Yew berpendapat cara Persekutuan Tanah Melayu
melaksanakannya tidak bagus, berbanding dengan pelaksanaannya di
Singapura; tanpa bahasa Melayu rakyat
Singapura tidak mampu mendapat pekerjaan
dan belajar bahasa ini didorong semata-mata menerusi keperluan ekonomi.
Oleh sebab Rafidah Aziz pernah berkhidmat sebagai
pensyarah di Universiti Malaya sebelum beliau menceburi bidang politik,
pastinya beliau tahu sedikit banyak tentang perkembangan pendidikan negara ini,
juga tentang Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Merdeka. Dalam Memoir
Perjuangan Politik Syed Husin Ali, beliau mengenang kembali sejarah
penubuhan UKM, iaitu sebagai tindak
balas usaha orang Cina untuk menubuhkan Universiti Merdeka pada awal tahun
1970-an, menggunakan bahasa Mandarin sebagai bahasa pengantar. Dua individu
yang merupakan “penggerak utama” penubuhan UKM, adalah daripada UMNO. Rafidah mungkin lupa nama Tun Syed Nasir
Ismail, mantan Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, tetapi mustahil jika beliau lupa nama Dr.
Mahathir.
Mustahil juga beliau lupa tentang usaha penubuhan
Universiti Merdeka, yang pernah ditolak oleh Tun Musa Hitam, Menteri Pelajaran
ketika itu, dengan tiga faktor yang menjadi asas penubuhannya: Universiti Merdeka ditubuhkan oleh sektor
swasta, Universiti Merdeka akan menggunakan bahasa Cina sebagai bahasa
pengantar, dan menampung kemasukan pelajar daripada sekolah aliran Cina. Musa mengumumkan penolakan permohonan
tersebut ketika Perhimpunan Agung UMNO tahun 1978. Mengapa mantan Timbalan
Perdana Menteri itu memilih Perhimpunan Agung UMNO untuk membuat pengumuman
tersebut, pastinya Rafidah tahu akan
jawapannya. Berikutan penolakan itu pihak Merdeka University Bhd. mengambil
tindakan undang-undang terhadap kerajaan Malaysia dan didengar di Mahkamah
Tinggi. Tindakan ini berlanjutan ke
Mahkamah Persekutuan, yang bersidang
pada Julai 1982, menolak permohonan pihak Merdeka University Bhd.
Walau bagaimanapun, mulai tahun 1990-an – ketika
Rafidah masih dalam Kabinet, kerajaan melaksanakan ‘liberalisasi pendidikan,”
membenarkan penubuhan universiti swasta, dan akibatnya, berpuluh-puluh buah “Universiti Merdeka” wujud di negara ini. Tentang penggunaan bahasa pengantar di
universiti swasta ini, pastinya bukan
bahasa Melayu. Justeru, apabila Rafidah
mengatakan, “menggalakkan sistem yang terlalu Melayu,” jelas menunjukkan beliau
tidak melakukan kerja rumah. Selain itu,
ketika beliau dalam Kabinet, seperti yang pernah dibangkitkan dalam beberapa
keluaran Dewan Bahasa, pada tahun
1993, kerajaan membenarkan kursus sains dan teknologi di universiti awam
diajarkan dalam bahasa Inggeris, dan sedekad kemudian, kerajaan melaksanakan
Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris
(PPSMI). Kemudian, mulai tahun 2016, kerajaan memperkenalkan
Program Bahasa Duaan (DLP), yang nampaknya ditentang oleh pejuang bahasa.
Melihat apa yang berlaku sejak berdekad-dekad lalu, maka bagi sesiapa yang
berfikir secara bijaksana dan rasional, pasti tertanya-tanya: Di manakah
“sistem yang terlalu Melayu” yang diungkitkan oleh Rafidah itu? Liberalisasi pendidikan ini mempunyai
implikasi yang besar, jika dilihat dari segi ekonomi, seperti yang dibangkitkan
oleh Muhammad Abdul Khalid dalam The Colour of Inequality:
Ethnicity, Class, Income, and Wealth in Malaysia, memperluaskan lagi jurang ketidaksamaan kekayaan dan
pendidikan dalam kalangan kaum di negara ini.
Rafidah
Aziz jelas memperlihatkan “kejulingannya” apabila beliau membangkitkan Malay-centric,
sedangkan kaum-kaum lain di negara ini tidak kurang centric mereka,
kalaupun tidak lebih centric daripada orang Melayu. Satu contoh yang jelas, Rafidah tidak menyentuh
pendidikan Cina yang berkubu kuat sehingga kerajaan tidak berani dan tidak boleh usik. Seperti yang pernah dibangkitkan oleh
Muhammad Abdul Khalid, “pendidikan
vernakular dianggap sebahagian budaya mereka, dan mana-mana percubaan oleh
kerajaan untuk mengubah ini adalah dianggap sebagai mencabul jati diri budaya
mereka.”
Barangkali Rafidah
lupa peristiwa tahun 1987, apabila tercetus kontroversi yang bermula
daripada tindakan Kementerian Pendidikan menghantar guru besar dan guru penolong kanan
yang tidak mempunyai kelayakan bahasa Cina ke sekolah-sekolah rendah Jenis
Kebangsaan Cina (SRJKC). Tindakan itu mendapat tentangan daripada parti politik
yang mewakili kaum Cina, iaitu MCA, Gerakan, dan DAP dan pelbagai pertubuhan
Cina, yang mengadakan protes pada di Kuala Lumpur pada 11 Oktober 1987. Sebagai tindak balas, orang Melayu, diterajui
oleh Pemuda UMNO yang diketuai oleh
Dato’ Sri Mohd. Najib Tun Abdul Razak, mengadakan perhimpunan yang dihadiri
oleh 10,000 orang di Stadium TPCA, Kuala Lumpur. Tatkala
kedua-dua belah pihak mendesak peletakan jawatan TImbalan Presiden MCA
dan Menteri Buruh, Tan Sri Lee Kim Sai dan Menteri Pendidikan, Dato’ Seri Anwar
Ibrahim, UMNO mengumumkan akan
mengadakan perhimpunan besar-besaran sempena 41 tahun parti itu.
Ketika suasana runcing -
seolah-olah Peristiwa 13 Mei akan berulang semula, Dr. Mahathir yang pulang daripada Mesyuarat Ketua-ketua Komanwel yang
berlangsung di Vancouver, Kanada, membatalkan rancangan perhimpunan UMNO itu. Beliau melancarkan Operasi Lalang mulai 27 Oktober, menyaksikan lebih 100 orang yang terdiri
daripada pemimpin dan ahli politik, aktivis sosial, dan ahli akademik ditahan
di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Meskipun akhbar The Star
memperjuangkan bahasa Inggeris dan
bahkan mendesak kerajaan memperkenalkan semula sekolah aliran Inggeris, akhbar milik MCA itu
bermati-matian mempertahankan sekolah Cina dan bahasa Mandarin. Demikian juga akhbar Cina di negara ini,
seperti yang pernah dibangkitkan oleh Dr. Shamsul Amri Baharuddin, dalam
wawancara dengan Mingguan Malaysia pada 19 Julai 2015: “Saya juga tidak pernah dengar akhbar Cina
memperjuangkan bahasa Inggeris. Jadi,
saya anggap orang yang memperjuangkan bahasa Inggeris ini tidak memahami dan
menyelami masalah sebenar negara ini dari segi ekonomi dan politik.”
Siapa yang tidak memahami
dan menyelami masalah sebenar yang
dimaksudkan oleh Shamsul Amri itu, kini jelas kelihatan di hadapan kita!