Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Tahun 2011 diwarnai oleh pergolakan politik dan kekacauan
sosial yang berpunca daripada krisis ekonomi yang berpanjangan. Dari Dataran Tahrir ke Wall Street berlaku
kebangkitan yang luar biasa dan menakjubkan di serata dunia yang memperlihatkan
keberangan terhadap golongan elit ekonomi yang menguasai sejumlah besar kekayaan, dan
terhadap elit politik yang bersekongkol
dengan mereka. Di mana-mana sahaja
menyaksikan golongan 99 peratus bangkit menentang golongan satu peratus demi
menuntut agihan pendapatan yang lebih adil.
Selain krisis ekonomi dan kewangan, pada tahun 2011,
dunia dilanda krisis makanan, dan bahkan krisis air apabila dilaporkan lebih
satu bilion orang tidak mempunyai akses untuk air minuman yang selamat. Impak kesihatan dan ekonomi adalah terlalu
besar apabila lebih 7000 orang kanak-kanak hampir mati setiap hari kerana air yang kotor.
Secara
keseluruhannya, sepanjang tahun lalu, perhatian lebih banyak tertumpu terhadap
krisis zon euro yang jalan penyelesaian seakan-akan buntu. Jika bertitik tolak daripada krisis hutang
Greece, maka bermakna zon mata wang bersama yang kini terdiri daripada 17 buah
anggota, menghadapi krisis lebih setahun.
Krisis hutang zon euro itu dikatakan
mempunyai kesan domino apabila sebuah demi sebuah di zon euro bergelut dengan
krisis hutang.
Negara
pinggir zon euro yang dikenali oleh akronim "PIIGS” (Portugal, Ireland, Italy, Greece, dan Sepanyol)
menghadapi krisis yang berpanjangan yang bukan sahaja mencemaskan Eropah,
tetapi juga menghantui dunia yang masih bergelut dengan pemulihan ekonomi yang
lemah dan pertumbuhan yang perlahan. "Terkandas di tengah dengan
Eropah," demikian
gambaran yang jelas kelihatan, dan
Eropah, akibat krisis tersebut, menjunam ke
dalam curam yang amat dalam. Pada
pertengahan November lalu, seakan-akan menyaksikan beberapa anggota “PIIGS” meronta dan menyondol. Dalam tempoh kurang daripada seminggu, dua
Perdana Menteri yang dipilih rakyat, pertama George Papanderou dari Greece,
kemudian Silvio Berlusconi dari Italy, terpaksa meletakkan jawatan dan memberikan
laluan kepada golongan teknokrat, iaitu masing-masing kepada Lucas Papademos
dan Mario Monti.
Masalah Italy yang membangkitkan kebimbangan
terhadap masa depan Kesatuan Eropah, seperti yang dibahaskan oleh Fareed Zakaria melalui Facebook-nya bahawa Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK)
negara itu menghampiri sifar - tidak ada pertumbuhan sama sekali.
"Ekonomi Italy, tidak berkembang untuk seluruh dekad ini. Tidak ada
penyusunan semula hutang yang akan berfungsi jika ekonominya terus beku untuk dekad
yang seterusnya." Dalam satu tulisan sebelum ini, Fareed menegaskan
bahawa masalah sebenar Eropah ialah Italy, dan bukannya Greece. Meskipun
banyak liputan diberikan terhadap Greece, negara itu ialah nanonegara yang
menyumbangkan hanya dua peratus KDNK Kesatuan Eropah. Sebaliknya, Italy, sebuah
daripada tujuh ekonomi terbesar di dunia. Hutangnya lebih besar daripada
hutang Sepanyol, Portugas, Ireland, dan Greece yang disatukan kesemuanya.
"Italy terlalu besar untuk gagal, tetapi juga mungkin terlalu besar
untuk diselamatkan."
Tatkala Italy bergelut dengan krisis hutang
dan pergolakan politik, tiba-tiba perhatian turut tertumpu pada Perancis yang
didapati tidak stabil. Ancaman krisis
zon euro merebak ke Perancis dan Paris
didesak untuk menjamin pasaran bahawa negara itu dapat mengekang situasi
yang terjejas di zon tersebut selepas angka rasmi menunjukkan kemerosotan
pengeluaran perindustrian yang boleh melenyapkan mana-mana peluang pertumbuhan
untuk tahun 2012. Seperti didedahkan oleh Nils Pratley dalam guardian.co.uk pada 11 November 2011, hutang negara zon euro yang berprestasi buruk
sepanjang dua hari lalu, bukannya Italy, tetapi Perancis. Bank-bank Perancis
lebih banyak memikul hutang Italy jika dibandingkan dengan bank-bank lain,
iaitu kira-kira 300 bilion euro. Pada
tahun 2012, Perancis dijangkakan pengalami pertumbuhan hanya 0.6 peratus.
Sementara Sepanyol yang mengadakan pilihan
raya umum pada 20 November 2011 yang membawa kemenangan besar-besaran kepada
Parti Rakyat pimpinan Mariano Rajoy tidak dapat mengawal negara itu daripada
bergelut dengan krisis hutang yang teruk.
Malangnya, Perdana Menteri yang baru dipilih itu tidak mempunyai kuasa
untuk meredakan pasaran. Bahkan, beliau mengingatkan bahawa beliau tidak membawa tongkat sakti dan tidak akan mampu untuk melakukan
keajaiban segera, meskpun kadar hasil bon Sepanyol terapung secara bahaya ke
arah tahap tujuh peratus yang ahli ekonomi anggap tidak mapan. Sepanyol
dikatakan mangsa kelima untuk jatuh ke dalam lengkok kemelesetan Eropah, dengan
kadar pengangguran 22.6 peratus, atau 46 peratus untuk pengangguran dalam
kalangan belia. Sebelum Kemelesetan Besar, hutang awam negara itu hanya 36
peratus KDNK, dan mengalami lebihan belanjawan hampir dua peratus KDNK pada
tahun 2007 dan 2008. Namun, kini Sepanyol menjadi mangsa terbesar modal murah
daripada bank-bank Jerman, Belanda, dan Perancis, dan dinyahstabilkan seterusnya oleh dasar
longgar European Central Bank.
Dalam kalangan anggota zon euro, Perancis dan
Jerman diletakkan harapan yang tinggi untuk merongkaikan krisis yang
berlarutan. Namun, kedua-dua pemimpin, iaitu Presiden Nicolas
Sarkozy dan Canselor Angela Merkel, kelihatan terhegeh-hegeh, antaranya kerana
tekanan politik dalam negara dan tidak mahu “saku dalam” mereka digunakan untuk
menyelamatkan sebuah demi sebuah negara di zon berkenaan. Antara Perancis dengan Jerman, harapan lebih
diberikan terhadap Jerman, tetapi terbukti bahawa Angela Merkel tidak sanggup
melakukannya, malahan kedengaran suara sinis mengapa terlalu diharapkan kepada srikandi, ke mana perginya
wira?
Pada tanggapan umum dalam kalangan negara
Kesatuan Eropah dan zon euro, ekonomi Jerman secara relatifnya kukuh. Namun, agak memeranjatkan apabila Spiegel Online International pada 22
November lalu mendedahkan bahawa kewangan Jerman tidak sekukuh seperti yang
dipercayai. “Kerajaan Jerman suka
bermegah dirinya tentang kewangannya yang padu dan mendakwa negaranya ialah
tempat selamat untuk para pelabur. Akan
tetapi, pengurusan belanjawan Jerman tidak seindah seperti yang orang ramai
percaya, dan hutang negara mengatasi had Kesatuan Eropah. Dari beberapa segi, kewangan Italy lebih
baik.” Laporan terbaharu, bank kedua
terbesar di negara itu, iaitu Commerzbank, memerlukan suntikan modal kecemasan.
Krisis hutang zon euro yang terus
merayau-rayau mencari mangsanya, yang melampau zon berkenaan. Hungary menjadi mangsa pertama di Eropah Timur
yang dijangkiti oleh krisis zon euro, terpaksa memohon pertolongan Tabung
Kewangan Antarabangsa (IMF). Neil
Shearing dari Capital Economics dipetik sebagai berkata Hungary merupakan tanda
amaran. “Negara yang risiko paling
genting di wilayah itu, maka anda boleh menjangkakan masalah untuk
bermula. Kami takut ini mungkin mereka
ke Ukraine dan Balkan. Eropah Timur
memerlukan pembiayaan luaran yang sangat besar untuk sistem perbankan. Mereka tidak mampu menggulung (roll over) hutang jika berlaku pembekuan
kredit di Eropah Barat.” Hungary
terpaksa menaikkan hutang luaran menyamai 18 peratus KDNK sepanjang tahun 2012,
manakala 14 peratus untuk Crotia dan 13 peratus untuk Bulgaria. Eropah Timur
dilaporkan bergantung pada pemberi pinjaman di zon euro dan subsidiari mereka
untuk kira-kira 80 peratus sistem perbankan mereka. Keadaan ini meletakkan wilayah tersebut mudah
terdedah pada kerkahan kredit apabila kumpulan asing memotong buku pinjaman
sebanyak dua trilion euro sepanjang 18 bulan untuk memenuhi keperluan Kesatuan
Eropah.
Edward Carr yang menulis dalam The Economist, “Staring into the Abyss”
berhujah bahawa apa yang berlaku terhadap mata wang, anda juga perlu melihat
apa yang berlaku terhadap Eropah. Euro
tidak akan selamat sehingga menjawab beberapa persoalan yang Eropah hindarkan
untuk beberapa banyak tahun. Pokok pangkalnya, bagaimana negara-negara Eropah
sepatutnya bertindak balas terhadap
dunia yang berubah dengan pantas di sekeliling mereka. Ketakutan tentang sama ada kerajaan Greece,
Portugal, Ireland, Sepanyol, dan yang paling membimbangkan, Italy akan membayar
balik hutang mereka AS$4.2 trilion atau lebih, meranapkan bank-bank Eropah yang
memilik hutang mereka. Bank-bank yang
dalam kesusahan melemahkan keyakinan dan kredit. Pelaksanaan jimat-cermat fiskal membawa
kemelesetan, mendalamkan lagi ketakutan bahawa kerajaan tidak mampu membayar
balik hutang mereka, yang seterusnya melemahkan bank-bank.
Di tengah-tengah krisis hutang yang kelihatan
sukar dibendung, pertumbuhan ekonomi di zon euro merosot dengan pantas. Data
terbaharu daripada agensi Eurostat, ekonomi blok 17 buah negara itu berkembang
hanya 0.2 peratus antara Julai – September 2011. Pertumbuhan yang kukuh datangnya dari Jerman
yang berkembang 0.5 peratus dan Perancis berkembang 0.4 peratus sepanjang tiga
bulan tersebut. Finland dan Austria,
kedua-duanya berkembang sebanyak 0.3 peratus, manakala Sepanyol dan Belgium
beku.
IMF baru-baru ini memaklumkan bahawa
pertumbuhan KDNK global adalah perlahan pada tahun 2011, yang menurunkan
unjuran kepada empat peratus berbanding dengan lima peratus pada tahun 2010. Sementara Organisasi Kerjasama Ekonomi dan
Pembangunan (OECD) dalam laporannya pada bulan November lalu memaklumkan bahawa
tinjauan ekonomi United Kingdom adalah teruk yang memasuki bulan ketujuh, dikhuatiri ekonomi negara itu
menjunam semula ke dalam
kemelesetan. Akan tetapi, laporan OECD
juga menunjukkan bukan hanya Britain yang mengalami tinjuan ekonomi yang muram,
tetapi Amerika Syarikat, Kanada, Jerman, Jepun, Italy, dan Perancis, semuanya
mengalami kelembapan. Gambaran
antarabangsa yang gelap ini akan membolehkan kerajaan yang terlibat menegaskan
bahawa pertumbuhan yang lemah, pengangguran yang tinggi, dan defisit belanjawan
yang besar merupakan akibat yang di luar kawalan.
Selain kemelesetan curam berganda dan
kebekuan ekonomi, "dekad yang hilang" juga menghantui dunia.
Paling tidak, untuk Eropah yang bergelut dengan krisis hutang dan Amerika Syarikat yang
masih menghadapi kelembapan ekonomi
serta kadar pengangguran yang
tinggi. “Dekad yang hilang” Jepun kini dikhuatiri akan diulang tayang di
peringkat global. Bahkan, Pengarah Urusan Tabung
Kewangan Antarabangsa (IMF), Christine Lagarde, memberikan amaran tentang risiko "dekad yang
hilang" untuk ekonomi global, kecuali setiap negara bertindak bersama-sama untuk menentang ancaman
terhadap pertumbuhan. "Di dunia kita yang semakin saling berhubung,
tidak ada negara atau wilayah mampu bertindak sendirian," kata
beliau dalam ucapannya untuk forum di Beijing. "Awan gelap berkumpul di
ekonomi global."
Daniel Indiviglio menulis dalam The Atlantic, "Welcome to America's Lost Decade", iaitu "Penjepunan" Amerika
mungkin berlaku di sana kerana Amerika Syarikat mengalami tempoh yang lama
untuk pertumbuhan. Beliau memetik beberapa amaran bahawa Amerika Syarikat
berkemungkinan lebih teruk daripada Jepun apabila negara itu bermula dengan
"dekad yang hilang." Amerika mungkin dalam satu dekad atau lebih bergelut
dengan pertumbuhan yang dan kadar pengangguran yang tinggi secara relatif
adalah berpunca daripada terlalu banyak meminjam pada semua tahap, bahas
Indiviglio. "Pengguna, negeri, dan kerajaan persekutuan meminjam
wang terlalu banyak. Masalah untuk pemilik rumah, terutamanya teruk, kerana
banyak yang kini memiliki aset adalah kurang nilainya jika dibandingkan dengan
ketika mereka semasa harga rumah melambung. Hutang pinjaman pelajar
yang meningkat dengan pantas menjadikan keadaan lebih teruk."
Selepas lebih tiga tahun Lehman Brothers runtuh, pasaran kewangan
global masih terhuyung-hayang. Sistem
kewangan United Kingdom dilaporkan lebih mudah terdedah kepada kejutan besar
jika dibandingkan dengan mana-mana masa sejak keruntuhan Lehman Brothers pada
tahun 2008. Sementara kekhuatiran bahawa zon euro akan berkecai
mengharu-birukan lagi pasaran sejak beberapa bulan lalu, meskipun dijangkakan bahawa
perpecahan itu adalah mustahil. Bahkan,
dijangkakan Kesatuan Eropah lebih mudah runtuh jika dibandingkan dengan zon
euro.
Oleh sebab zon euro terus bergelut dengan
krisis hutang, maka banyak tumpuan diberikan untuk menyelesaikan masalah hutang
negara yang terlibat melalui pelan penyelamat yang disediakan oleh IMF dan
Kesatuan Eropah, di samping melaksanakan pemotongan belajawan dan langkah jimat-cermat. Dari segi politik, beberapa pemimpin negara
digantikan bukan sahaja melalui demokrasi, tetapi juga dengan cara yang
mengaibkan iaitu teknorasi. Pemimpin ini
tidak dipilih oleh rakyat negara yang berkenaan, tetapi ditunjukkan oleh
Brussels dan Berlin.
Tumpuan terhadap krisis hutang menyebabkan
berlaku pengabaian masalah dalam ekonomi sebenar, iaitu pertumbuhan yang rendah
dan pengangguran yang tinggi. Di Eropah
khususnya, benua tersebut memerlukan pertumbuhan, tetapi di benua itu,
sebagaimana di beberapa negara lain, pertumbuhan tidak kunjung datang.
(Nota: Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan
dalam Dewan Ekonomi Januari 2012.)