Artikel Popular

Tuesday, December 10, 2013

Menghindari Kebekuan, Memacu Pertumbuhan

SELASA,  10  Disember 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Belanjawan 2012 dibentangkan pada 7 Oktober 2011  ketika ekonomi global masih, dan bahkan semakin suram, iaitu pertumbuhan yang lemah dan pengangguran yang tinggi di ekonomi utama dunia, misalnya  Amerika Syarikat 9.1 peratus dan United Kingdom 7.9 peratus.  Jika pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku kedua tahun ini dijadikan ukuran, boleh dikatakan banyak negara terhegeh-hegeh, kecuali China yang masih mencatatkan pertumbuhan yang memberangsangkan, iaitu 9.5 peratus dan diikuti oleh Turki dengan 8.8 peratus, manakala Malaysia memadai dengan empat peratus.  
Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dalam  World Economic Outlook (WEO) terbaharunya memberikan amaran  bahawa Amerika Syarikat dan zon euro berhadapan dengan risiko terjebak semula ke dalam kemelesetan, kecuali para penggubal dasar menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh dua kuasa ekonomi terbesar di dunia. Ekonomi global, menurut IMF adalah "dalam bahaya" dan bahawa ramalannya pemulihan perlahan dan  terenjut-enjut dibahayakan lagi oleh kedalaman krisis hutang kedaulatan Eropah atau percubaan terlalu terburu-buru untuk mengekang defisit belanjawan Amerika. 
Dalam ringkasan eksekutifnya, WEO  memaklumkan bahawa aktiviti global  menjadi lemah dan menjadi lebih tidak seimbang, keyakinan jatuh dengan ketara baru-baru ini, risiko kecenderungan menurun  menjadi-jadi.  Unjuran laporan  itu menunjukkan bahawa pertumbuhan global adalah sederhana, iaitu kira-kira empat peratus sepanjang tahun 2012, daripada lima peratus tahun 2010. Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebenar di ekonomi maju diunjurkan berkembang pada kadar anemia, iaitu kira-kira 1.5 peratus pada tahun 2011 dan dua peratus pada 2012. 
Sehari sebelum Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak membentangkan Belanjawan 2012, dengan amaran yang menjadi-jadi tentang kemelesetan curam berganda dan krisis zon euro,  Bank of  England melancarkan program quantitative easing bernilai 75 bilion paun. KDNK  Britain yang dalam tempoh dari April hingga Jun tahun ini hanya 0.1 peratus adalah dikatakan berpunca daripada pemotongan perbelanjaan dan kenaikan cukai yang berlaku terlalu jauh dan terlalu cepat menjejaskan keyakinan pengguna, membunuh pemulihan, dan meningkatkan pengangguran.
Pada akhir September lalu, akhbar The Telegraph memetik ahli ekonomi di Goldman Sachs bahawa wujud risiko yang semakin membesar bahawa ekonomi global bergerak dari “Kemelesetan Besar” menjunam ke kancah “Kebekuan Besar.”  Ahli-ahli  ekonomi itu menjelaskan bahawa kebekuan lazimnya bermaksud tempoh yang lama bagi pertumbuhan yang lembap, iaitu kira-kira 0.5 peratus, inflasi yang rendah, pengangguran yang meningkat dan lekit, harga rumah yang beku, dan pulangan rendah daripada saham.  Wujud peluang 40 peratus situasi semasa berkembang ke arah tempoh kebekuan dalam kalangan ekonomi maju.  Mereka berkata, “Trend di Eropah dan Amerika Syarikat setakat ini masih mengikuti laluan pertumbuhan yang lazim untuk kebekuan.  Melihat 150 tahun sejarah makroekonomi, kemungkinan berlakunya kebekuan adalah tinggi selepas krisis kewangan.
Selepas pasaran global kerugian hampir AS$9 trilion, atau kira-kira 15 peratus pada tempoh puncak, April,  dalam tempoh tiga bulan, iaitu Mei hingga Julai, EconoMonitor dalam keluaran Ogos lalu, menjangkakan bahawa ekonomi dunia semakin dibayangi oleh kebekuan global, kecuali untuk Asia yang sedang muncul.  Dengan meneliti data keyakinan pengguna yang lembap pada tahun ini, Gavyn Davies yang menulis dalam blog Financial Times pada awal Oktober lalu membangkitkan persoalan, sama ada kemelesetan global atau kebekuan yang berpanjangan.
Dalam pembentangan Belanjawan 2012, dengan mukadimah yang retorik dan bahasa yang agak berbunga-bunga, Najib menyentuh prestasi dan cabaran ekonomi, iaitu peningkatan pelaburan langsung asing (FDI) pada enam pertama 2011 sebanyak 75 peratus, kepada RM21.2 bilion berbanding dengan RM12.1 bilion pada tempoh yang sama pada 2010.  Pelaburan swasta dijangkakan berkembang 15.9 peratus pada tahun 2012, disokong oleh peningkatan pelaburan langsung asing dan domestik.  Beliau menegaskan bahawa fundamental ekonomi Malaysia masih utuh. Sistem perbankan dan kewangan terus teguh dengan nisbah modal berwajaran risiko pada 14.8 peratus, jauh melebihi keperluan antarabangsa lapan peratus. Rizab antarabangsa masih kukuh, mencatatkan RM414.5 bilion pada 15 September 2011, cukup untuk membiayai 9.5 bulan import tertangguh, di samping 4.5 kali hutang luaran jangka pendek.  Pendapatan per kapita dianggarkan meningkat kepada RM28,725 pada berbanding dengan RM26,175 pada tahun pada tahun 2010.
Najib begitu yakin bahawa  ekonomi negara berkembang antara lima peratus hingga 5.5 peratus  pada tahun ini. Untuk tahun belanjawan, meskipun beliau mengakui bahawa prospek ekonomi dijangkakan lebih mencabar dan beliau memetik semakan menurun oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) tentang pertumbuhan  ekonomi dunia kepada empat peratus dan perdagangan global kepada 5.8 peratus, beliau menjangkakan pertumbuhan ekonomi negara adalah antara lima hingga enam peratus. Pertumbuhan pada tahun 2012 itu dipacu oleh pelaburan swasta dan awam yang masing-masing dijangkakan meningkat 15.9 peratus dan tujuh peratus, disokong oleh FDI yang lebih tinggi, pelaksanaan projek  Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan Rolling Plan Kedua (RP2) di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).  Penggunaan swasta dianggarkan meningkat kepada 7.1 peratus berikutan peningkatan pendapatan boleh guna dan prospek pekerjaan yang lebih positif.  Dari sudut penawaran, sektor perkhidmatan dijangkakan berkembang 6.5 peratus, manakala sektor pembinaan tujuh peratus.
 Belanjawan 2012  memperuntukkan RM232.8 bilion untuk melaksanakan semula rancangan pembangunan kerajaan, termasuk projek dan program RP2, NKEA, NKRA, dan SRI, dengan tumpuan terhadap kesejahteraan rakyat.  Daripada jumlah itu, RM181.6 bilion untuk perbelanjaan  mengurus dan RM51.2 bilion untuk perbelanjaan pembangunan.
Lazimnya,   pertumbuhan ekonomi dirangsangkan  oleh perbelanjaan pembangunan, tetapi setiap tahun, perbelajaan ini jauh lebih rendah jika dibandingkan dengan perbelajaan mengurus, bahkan lebih rendah daripada  perbelanjaan mengurus untuk emolumen yang bernilai RM52 bilion. Dalam keadaan ekonomi  masih bergelut dengan krisis, lazimnya isi rumah dan sektor swasta lebih berminat “menyorok wang,”   iaitu isi rumah menggunakan wang mereka dengan berhati-hati, manakala sektor swasta keberatan untuk melabur.  Apabila berhadapan dengan keadaan seperti ini, seperti yang pernah dibahaskan oleh John Maynard Keynes, kerajaan perlu memainkan peranan utama dengan mengeluarkan peruntukan bagi “projek kerja raya” supaya dapat mewujudkan permintaan agregat. 
Untuk perbelanjaan pembangunan, RM29.8 bilion disediakan bagi  sektor ekonomi untuk menyokong keperluan infrastruktur, industri dan pertanian, di samping pembangunan luar bandar. Sementara RM13.6 bilion diperuntukkan bagi sektor sosial, termasuk pendidikan dan latihan, kesihatan, kebajikan, perumahan, dan pembangunan komuniti. Kedua-dua sektor ini diharapkan dapat memacu pertumbuhan ekonomi. Namun begitu, kita perlu akur bahawa kekangan yang terpaksa dihadapi dalam projek pembangunan:  kelewatan pelaksanaannya.  Kelewatan pelaksanaan projek bermakna kelewatan perbelanjaan yang pastinya boleh menjejaskan pertumbuhan. 
Seperti yang diketahui,  kecuali China, banyak negara lain, seperti Amerika Syarikat, Jepun, dan beberapa negara Eropah, kecuali Jerman,   adalah terhuhung-hayang di tepi curam yang dalam. Untuk Amerika Syarikat, seperti yang dibayangkan oleh Michael Gerson dalam akhbar The Washington Post lebih sebulan yang lalu, “pemulihan ekonomi Amerika kini berhadapan dengan hanya dua halangan.  Malangnya, halangan itu terlalu besar: politik yang hancur di Amerika Syarikat dan politik yang hancur di Eropah.” Dalam Belanjawan 2012, kerajaan sedar akan persekitaran luaran yang semakin mencabar, dengan itu, usaha dilakukan untuk memperkukuh ekonomi domestik. Bagi terus memantapkan pertumbuhan ekonomi negara, kerajaan akan melaksanakan Pakej Rancangan Khas yang bernilai RM6 bilion dibiayai melalui Private Financing Initiative
Sesungguhnya, kerajaan mengambil langkah bijak dengan memberikan tumpuan terhadap perusahaan kecil dan sederhana (PKS).  Pada tanggapan umum, sektor korporat memainkan peranan penting dalam ekonomi negara, sedangkan peranan PKS tidak kurang pentingnya.  Hakikatnya,  PKS merupakan tunjang ekonomi sesebuah negara, termasuk di  negara maju.   Seperti yang dinyatakan dalam Belanjawan 2012, PKS menyumbangkan kira-kira 31 peratus KDNK, 56 peratus tenaga kerja, dan mencakupi 19 peratus jumlah eksport.   Sebagai usaha meningkatkan lagi sumbangan PKS kepada pertumbuhan ekonomi, Dana Pembiayaan SME patuh syariah berjumlah RM2 bilion diwujudkan pada tahun 2012.  Kerajaan juga menyediakan  SME Revitalisation Fund dengan dana bernilai RM100 juta untuk membantu usahawan yang gagal kerana faktor di luar kawalan mereka.
Salah satu faktor negara maju,   terjebak dalam  pertumbuhan yang lemah ialah mereka begitu pantas melaksanakan jimat cermat, mengurangkan perbelanjaan kerajaan,  dan menaikkan cukai.  Demi mengurangkan defisit, kerajaan mula meninggalkan  negara kebajikan. Dalam Belanjawan 2012, jelas bahawa kerajaan Malaysia tidak mengikuti langkah yang bukan sahaja  tidak popular itu, tetapi juga menempuh kegagalan, dengan meneruskan pelbagai program kebajikan untuk rakyat.  Selain subsidi makanan dan petroleum dan bantuan tunai, pada tahun 2012, kerajaan akan memperuntukkan RM1.2 bilion untuk program Kebajikan Rakyat 1Malaysia atau KARISMA, yang antara lain, termasuk menyediakan bantuan untuk warga emas miskin dengan RM300 sebulan; bantuan untuk kanak-kanak miskin RM100 sebulan dengan maksimum RM450 sebulan; di samping bantuan dan elaun untuk orang kurang upaya antara RM150 hingga RM300 sebulan.
Dalam testimoninya di hadapan Jawatankuasa Bersama Ekonomi pada awal Oktober lalu, Pengerusi Rizab Persekutuan, Ben S. Bernanke mendesak Kongres supaya mengelakkan tindakan yang mungkin "menghalang pemulihan ekonomi yang sedang berlaku," manakala secara serentak melaksanakan rancangan untuk mengurangkan defisit masa depan dalam jangka panjang.  Beliau  menambah bahawa "belanjawan Persekutuan jelas pada masa sekarang tidak pada laluan mapan." Bernanke memaklumkan bahawa para pemimpin Rizab Persekutuan terpaksa merendahkan jangkaan mereka untuk pertumbuhan ekonomi  Amerika Syarikat.  Beliau meminta Kongres menangani kedua-duanya, iaitu defisit belanjawan jangka panjang dan kesukaran ekonomi jangka pendek.  Mesej yang ingin disampaikan oleh Bernanke itu ialah pastikan tindakan mengurangkan defisit tidak menjejaskan pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan kadar pengangguran.
Dalam Belanjawan 2012 dinyatakan bahawa jumlah hasil kerajaan Persekutuan dijangkakan meningkat sebanyak 1.9 peratus kepada RM186.9 bilion pada tahun 2012 berbanding dengan RM183.4 bilion pada tahun 2011.  Dengan mengambil kira hasil dan perbelanjaan yang dianggarkan, defisit kerajaan Persekutuan pada tahun 2012 dijangkakan 4.7 peratus berbanding dengan 5.4 peratus pada 2011.  Memang wajar kerajaan mengurangkan defisit yang berlaku agak lama,  tetapi langkah mengurangkan defisit secara tergesa-gesa, boleh membawa padah, seperti yang dialami oleh  Amerika Syarikat dan Eropah sekarang. 
Selepas Belanjawan 2012 dibentangkan di Dewan Rakyat, dalam Facebook kelihatan rasa kurang senang bahawa belanjawan ini seolah-olahnya untuk penjawat awam, tetapi mengetepikan pekerja swasta yang juga mengharapkan sesuatu, seperti lanjutan umur persaraan.  Pendek kata, belanjawan ini menggembirakan golongan tertentu, tetapi mengecewakan golongan yang lain. 
Melampaui persoalan tersebut, sesuatu yang lebih serius perlu dilihat, iaitu mampukah Belanjawan 2012 menghindari kebekuan dan memacu pertumbuhan?  Jawapannya terletak pada peruntukan RM232.8 bilion yang merupakan benteng dan pada masa yang sama sebagai perangsang. Juga perlu dinyatakan bahawa “dekad yang hilang” yang dialami oleh Jepun pada tahun 1990-an, kini menghantui sebelah menyebelah Atlantik. 
(Nota:  Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Ekonomi, November 2011.)

Monday, December 9, 2013

Dari Rusia Tanpa Cinta

ISNIN,  9  Disember 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH



Bulan Ogos lalu padat dengan peristiwa, sama ada yang baru ataupun yang berterusan, seperti krisis hutang di zon euro,  kebuluran di Tanduk Afrika, kebuntuan siling hutang Amerika dan penurunan penarafan kredit kedaulatan jangka panjang negara itu daripada AAA kepada AA+, kejatuhan pasaran saham global, rusuhan serta penjarahan di London dan kota-kota Inggeris yang lain, dan ulang tahun ke-50 pembinaan tembok Berlin. 
Turut “diraikan”  pada Ogos lalu  ialah ulang tahun ke-20, anggota Poliburo Parti Komunis dan pegawai kerajaan Soviet mencuba melakukan rampasan kuasa, menggulingkan   Mikhail Gorbachev.  Mereka mewujudkan “jawatankuasa darurat” yang bercanggah dengan perlembagaan, mengasingkan Presiden itu memecatnya daripada kuasa. Peristiwa Ogos 1991 itu merupakan akibat perjuangan politik yang sengit ketika bahagian akhir usaha pembaharuan Kesatuan Soviet. Bulan ini 20 tahun lalu, tulis Dmitri Trenin dalam akhbar International Herald Tribune,  “Kesatuan Soviet, empayar abad ke-20 yang agung terbesar, mula hancur musnah berikutan pemberontakan kilat tidak bijak  pada Ogos 1991.  Dalam masa dua tahun, empayar itu lenyap sama sekali.”
Gorbachev yang menulis  dalam akhbar The Washington Post pada 20 Ogos,  sempena peristiwa tersebut, antaranya membangkitkan, “ketika tahun-tahun perestroika, perubahan utama mengubah negara kami.  Orang ramai menyokong glasnost; pilihan raya bebas, dipertandingkan; dan bermulanya lembaran peralihan kepada ekonomi pasaran.  Akan tetapi, birokrasi Parti Komunis dan kerajaan akhirnya melihat perubahan tersebut ancaman terhadap kedudukan mereka.”  Dalam makalah  Lessons from the U.S.S.R. Coup Attempt,” itu  beliau mengakui bahawa perubahan pada skala sedemikian di negara yang besar saiznya, pelbagai kaum, ditenterakan, dan totalitarian adalah tidak mudah.  “Diakui, kami pemimpin perestroika turut bertanggungjawab terhadap kesilapan itu.  Kami bertindak terlalu lewat untuk melakukan reformasi terhadap Parti Komunis yang menjadi penghalang kepada perestroika dan bukannya menjadi jenteranya; badan Parti Komunis itu melancarkan serangan terhadap saya sebagai Setiausaha Agung yang mencapai puncaknya ketika mesyuarat jawatankuasa pusat parti pada April 1991.  Serangan itu menjadi terlalu ganas yang memaksa saya mengumumkan perletakan jawatan.”
Bersempena peristiwa yang berlaku di Kesatuan Soviet itu, majalah Der Spiegel menerbitkan makalah  dan wawancara dengan Gorbachev,  seakan-akan ingin “mengangkat” beliau. Dalam wawancara itu, Gorbachev menyatakan bahawa penentang  perestroika menanggung kekalahan, kemudian mereka mengaturkan rampasan kuasa.  “Saya fikir,” jelas beliau, “mereka akan menjadi orang yang tolol untuk  mengambil risiko sedemikian dengan tepat pada detik itu kerana tindakan itu  akan menyingkirkan mereka juga.  Akan tetapi, malangnya mereka benar-benar orang yang tolol, dan mereka memusnahkan segala-galanya. Dan, kami membuktikan diri kami sendiri separuh orang yang tolol, termasuk diri saya.  Saya menjadi keletihan selepas semua tahun itu.  Saya letih dan pada lingkungan saya.” Tambah beliau dengan merujuk percutiannya di Crimea,   “Akan tetapi, saya tidak sepatutnya pergi jauh.  Ini satu kesilapan.”
Ditanya apakah ada hari yang lebih baik jika Kesatuan Soviet masih wujud? Gorbachev seakan-akan ingin mengelak, dan hal ini dapat difahami kerana semasa beliaulah Kesatuan Soviet berkecai sehingga ada yang mengesyaki beliau berkomplot dengan Amerika Syarikat.  Beliau sekadar  menjawab: “Apakah anda tidak melihat jelas akan hal ini?  Segala-galanya berkembang bersama-sama sepanjang dekad, iaitu budaya, pendidikan, bahasa, ekonomi, segala-galanya.  Mereka membina kereta di republic Baltik dan kapal terbang di Ukraine.  Kami masih tidak menghasilkannya tanpa setiap yang lain hari ini.  Dan, penduduk 300 juta orang juga kelebihan.”
   Dalam “Secret Papers Reveal Truth Behind Soviet Collapse” dalam majalah itu keluaran  11 Ogos, Christian Neef menulis:  “Wujud satu detik, iaitu keputusan tunggal yang sesetengah orang pegang untuk menentang Mikhail Gorbachev hari ini, 20 tahun kemudian.” Gorbachev, pemimpin terakhir Parti Komunis Kesatuan Soviet dan presiden terakhir Kesatuan Soviet, isterinya dan orang tempat mengadu yang terlalu rapat terselamat daripada percubaan rampasan KGB, kepimpinan tentera, dan Menteri Dalam Negeri.  Neef mengenang kembali peristiwa lalu, “Mereka pulang ke Moscow daripada tahanan rumah di rumah percutian Gorbachev di tempat peranginan Foros, Crimean.  Pesawat mereka mendarat di ibu negara Soviet pada pukul 2.15 pagi, waktu tempatan, pada 22 Ogos 1991.”
Untuk tiga hari lalu, jelas Neef, kira-kira 60,000 orang bertahan  di hadapan Rumah Putih Rusia, iaitu kerusi parlimen Republik Soviet Rusia, yang menjadi kubu terakhir para penyokong Gorbachev.  Apabila mereka mendengar pengumuman radio bahawa beliau dibebaskan daripada tahanan rumah di Semenanjung Crimean, mereka bersorak keriangan, “Presiden, Presiden,” dan menunggu kemunculan Gorbachev ketika itu berusia 60 tahun.  Walau bagaimanapun, Gorbachev hanya dibebaskan kerana perampas kuasa menjadi takut akan orang mereka sendiri dan tidak mahu menanggung risiko untuk menyerbu Rumah Putih itu, mengejutkan rakan Rusianya yang bergembira.
Isteri Gorbachev,  Raisa Maximovna terpaksa membayar harga yang cukup tinggi kerana tiga hari itu.  Dia dipaksa berbaring dalam penerbangan ke Moscow. Dia  disahkan oleh doktor yang merawat  stroknya bahawa dia didapati diserang dengan teruk oleh hipertegangan.  Stres pada hari itu, apabila Kesatuan Soviet menempuh saat akhir selepas wujud hampir selama 69 tahun, jelas Neef, terlalu sukar untuk Gorbachev tangani.  Bukannya ketua Kremlin, tetapi bekas anak didiknya, Boris Yeltsin yang sekarang bersinar sebagai bintang politik baru di Moscow.  Sebaik sahaja selepas rampasan kuasa itu, Yeltsin mengharamkan semua kegiatan Parti Komunis Soviet yang Gorbachev merupakan Setiausaha Agung hingga masa itu.  Dan, oleh sebab gerakan pemisahan dalam kalangan negara Republik Soviet Bukan Rusia masih berterusan, Gorbachev menjadi presiden tanpa negara. Tidak lama kemudia, hanya yang masih kekal Republik Kesatuan Soviet yang teras ialah Rusia yang Gorbachev tidak lagi kuasai.
Dalam wawancaranya dengan  Jonathan Steele  daripada guardian.co.uk Gorbachev mengakui kesilapan - sesuatu yang jarang-jarang dilakukan oleh ahli politik. Beliau menyaakan sekurang-kurangnya lima kesilapan itu yang bukan sahaja menyebabkan kejatuhannya 20 tahun lalu, tetapi juga menyebabkan keruntuhan Kesatuan Soviet dan pengenalan pergaduhan ramai ekonomi tanpa kawal selia yang menjadikan  segelintir orang Rusia hartawan, manakala membenamkan berjuta-juta orang ke dalam kancah kemiskinan.  Berhubung dengan perkara yang beliau paling kesal, jelas beliau:  “Hakikat bahawa saya mengambil masa yang begitu lama untuk melakukan reformasi terhadap Parti Komunis.”  Beliau juga  menjelaskan  bahawa beliau sepatutnya meletakkan jawatan pada April 1991, dan membentuk Parti Demokratik Pembaharuan kerana anggota Komunis mengekang semua perubahan yang perlu.
Kekesalan kedua beliau, seperti yang beliau jelaskan adalah bahawa beliau tidak memulakan reformasi untuk Kesatuan Soviet dan memberikan lebih banyak kuasa kepada 15 buah republiknya pada tahap awal.  Tatkala beliau mula memikirkan untuk mewujudkan persekutuan yang lebih longgar pada awal 1991, tiga buah negara Baltic telah pun mengiystiharkan kemerdekaan.
Selepas tiga buah negara itu keluar, 12 buah negara yang masih kekal  dalam Republik Soviet menerima teks perjanjian baru yang memberi mereka lebih banyak autonomi politik dan ekonomi, manakala  meninggalkan pertahanan dan hal ehwal luar kerajaan Soviet.  Perjanjian itu ditandatangani pada 20 Ogos.  “Di sini, saya melakukan kesilapan.  Saya pergi bercuti.  Saya mungkin dapat melakukannya tanpa 10 hari bercuti.  Saya telah siap untuk terbang ke Moscow untuk menandatangani perjanjian itu.  Akan tetapi, pada 18 Ogos, kumpulan orang yang tidak dijemput tiba.  Saya mengangkat telefon untuk menanyakan apakah jenis orang itu dan siapakah yang menghantar mereka, tetapi tiada talian.  Telefon telah pun dipotong.
Dalam makalah keluaran berikutnya, Mikhail Gorbachev, seperti yang dituliskan oleh Steele, menyesal kerana beliau terlalu lembut dengan Boris Yeltsin yang beliau sepatut singkirkan dengan menugaskan sebagai diplomat.  “Saya mungkin terlalu liberal dan demokratik terhadap Yeltsin,” jelas Gorbachev dalam wawancara sempena ulang tahun ke-20 rampasan kuasa yang menamatkan beliau sebagai pemimpin Kesatuan Soviet selama enam tahun.  “Saya sepatutnya menghantarnya sebagai duta ke Great Britain atau mungkin ke bekas tanah jajahan British.”
 Presiden Soviet terakhir ini masih berterus terang tentang apa yang beliau silap, dan bahkan lebih berterus terang tentang arah yang Rusia patut ambil sekarang.  Beliau mendakwa bahawa Perdana Menteri, Vladimir Putin menghalang kemajuan Rusia ke arah menjadi demokrasi yang dimodenkan.  Mendahului pilihan raya tahun depan, Gorbachev berkata, “Presiden sekarang, Dmitry Medvedev, merupakan pemimpin yang paling baik untuk negara itu.”  Namun, beliau mengakui bahawa “rancangan pemodenan yang diperkenalkan oleh Presiden dalam bidang ekonomi, politik, dan lingkungan yang lain adalah baik, tetapi kemungkinan Presiden adalah terbatas.  Saya lihat, beliau dikalahkan dan diakali oleh Putin.”
Dalam wawancaranya dengan BBC, menjelang ulang tahun ke-20 kegagalan rampasan kuasa yang membawa kepada keruntuhan Kesatuan Soviet, Gorbachev mengulangi pendiriannya tentang Putin yang ingin menterbalikan pembaharuan yang dilaksanakan oleh beliau. Beliau juga mendakwa Putin mengembiri atau mengasi demokrasi di Rusia, iaitu mengubah secara radikal sistem pengundian ketika Putin menjadi Presiden selama dua penggal.  Beliau memberitahu BBC  bahawa dalam dua dekad lalu, Rusia sepatutnya pergi lebih jauh sepanjang jalan ke arah demokrasi.  Namun, beliau banyak menyalahkan  Putin yang pada pandangan banyak pihak, kekal dalam kuasa sebenar di bumi itu. “Putin dan pasukannya mahukan kestabilan, tetapi kestabilan membunuh pembangunan akibatnya kebekuan.”
Penulis terkenal, Robert Kagan yang ketika berlakunya rampasan kuasa itu berada di Moscow mencatatkan pengalamannya dalam akhbar The Washington Post bahawa perkara menjadi menarik kerana Presiden Republik Rusia ialah refomer dinamik, Boris Yeltsin, dan beliau sebenarnya dipilih.  Pada 19 Ogos 1991, tambah Kagan, perkara menjadi lebih besar yang lebih menarik apabila pada paginya tersebar berita bahawa berlaku rampasan kuasa.  Mikahail Gorbachev telah digulingkan oleh “jawatankuasa darurat” yang diketuai oleh Gennadi Yanaev dan anggota lain daripada pengawal lama Soviet. Beliau yang ingin mengetahui secara lebih dekat, turun ke Dataran Merah,  dan pulang ke kedutaan  untuk makan tengah hari, kemudian ke Rumah Putih Rusia yang letaknnya di seberang jalan Kedutaan Amerika Amerika Syarikat.  Beliau merayau-rayau di sekeliling kereta perisai dengan tujuan untuk menyelamatkan isterinya yang terperangkap di Rumah Putih itu.
“Perkara lain yang saya ingat,” tulis Kagan, “ialah reaksi perlahan yang menyakitkan daripada Pentadbiran George H.W.  Bush.  Tatkala kami berdiri dengan orang Rusia pada perintang itu, persoalan besar untuk orang Amerika dan orang Rusia sama, adalah sama ada Presiden Bush akan menghulurkan sokongan kepada Yeltsin.”  Bagi Kagan, keputusan itu adalah mudah bagi mereka yang berada di Moscow kerana Yeltsin, reformer yang terkenal, terpaksa menentang bukannya Gorbachev,  tetapi pengawal lama yang menjadi Gorbachev tebusan dan mengancam untuk merungkai pembukaan  yang luar biasa yang beliau lakukan dalam kedua-duanya, iaitu masyarakat Soviet dan hubungan Amerika Syarikat-Soviet.
“Akan tetapi,  Pentadbiran Bush lambat bertindak.”  Jelas Kagan  lagi, “Kami mendapat tahu kemudian bahawa Pentadbiran Bush adalah sekurang-kurangnya bertimbang-timbang dengan idea menerima rampasan kuasa itu sebagai fait accompli dan bekerja dengan apa-apa jua pasukan baru tetapkan.  Pada masa itu, kami mengetahui hanya bahawa mengambil masa yang lama untuk pentadbiran melakukan perkara yang jelas.  Akhirnya, Bush menelefon Yeltsin mungkin hanya 24 jam lewat daripada yang kami mahukan.  Akan tetapi, 24 jam pada detik itu kelihatan seperti pembelotan.”
Apa yang berlaku 20 tahun lalu, ditafsirkan revolusi gemilang seluruh Rusia kerana hampir tanpa keganasan sama sekali.   Ketika itu wujud solidariti, keakraban, dan kasih sayang dalam kalangan orang ramai.  Beratus-ratus ribu orang dikatakan berkumpul di Moscow dan di Dataran Istana di St.  Petersburg, mengadakan tunjuk perasaan terhadap pemberontakan kilat yang tahan lasak dan demi Boris Yeltsin dan Mikhail Gorbachev berlaku di setiap kota utama.  Revolusi itu dikatakan ditunjukkan dalam sistem politik baru, mengubah tonggak ekonomi negara itu dan mewujudkan negara baru, iaitu Rusia pascaimperial.
Namun, bagi  pahlawan Perang Dingin, keruntuhan Kesatuan Soviet itu  merupakan detik kesepian, kesunyian.  Bagi golongan revolusioner, keruntuhan itu menandakan kegagalan sebuah perjuangan.  Bagi Gorbachev, beliau mungkin dianggap wira bagi sesetengah pihak, dan pengkhianat revolusi untuk yang lain.  Pastinya, sesetengah rakyat Rusia tidak mengalu-alukan keruntuhan sebuah empayar yang cukup besar pada abad ke-20. 
(Nota:  Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Masyarakat, November 2011.)


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...