Artikel Popular

Saturday, October 5, 2013

Pemberontakan Arab Gagal?

SABTU, 5 Oktober 2013
Oleh:   ZULKIFLI  SALLEH



Ketika protes tercetus di Turki dan kemudian Brazil, The Economist  muncul dengan rencana utama tentang protes di serata dunia, yang  banyak mempunyai asal usul yang berbeza.  Di Brazil, orang ramai bangkit menentang kenaikan tambang bas, di Turki menentang pembinaan projek.  Rakyat Indonesia menolak harga bahan api yang tinggi, rakyat Bulgaria menentang kronisme kerajaan.  Di zon euro, orang ramai berarak menentang jimat-cermat, dan Pemberontakan Arab menjadi protesperma menentang setiap yang kusut.
Tambah The Economist lagi, sebagaimana tahun 1848, 1968, dan 1989, apabila orang ramai juga menemui suara kolektif, penunjuk perasaan banyak mempunyai persamaan.  Sepanjang minggu lalu, dari sebuah negara ke sebuah negara lain, pembantah bangkit dengan  kelajuan membingungkan.  Mereka lebih aktif dalam demokrasi berbanding dengan kediktatoran.  Mereka cenderung merupakan orang biasa, iaitu golongan kelas menengah, tidak melobi dengan senarai tuntutan.  
Tiba-tiba pada awal Julai, tanpa diduga berlaku protes di Mesir, yang dalam sekelip mata menumbangkan Mohamed Morsi, yang dipilih sebagai Presiden Mesir setahun lalu.  Sebelum peristiwa tersebut,   ketua tentera Mesir Jeneral Abdel-Fattah el-Sissi  memberikan kata dua kepada Morsi supaya  menyelesaikan protes yang berlaku. Seterusnya,   el-Sissi muncul melalui televisyen negara pada 3 Julai, mengumumkan penggulingan Morsi ketika tentera menahan pemimpin Islam itu.  Pertikaian antara Morsi  dengan tentera dikatakan membawa kepada rampasan kuasa. Walaupun penggulingan itu  dibahaskan, sama ada rampasan kuasa tentera ataupun tidak, wujud persetujuan bahawa adalah berpunca daripada kebangkitan rakyat atau keazaman rakyat. 
Sekali lagi, The Economist muncul dengan rencana utama, Mesir tragedi. Morsi memang diakui tidak cekap, tetapi majalah itu mengingatkan bahawa penggulingan beliau sepatutnya dikesali dan bukannya untuk diraikan.  Namun, majalah itu juga mengakui bahawa melihat jumlah penunjuk perasaan yang menjangkau 14 juta orang turun di jalanan, menunjukkan bahawa penentang Morsi bukannya sebilangan kecil mereka yang berasa tidak puas hati. Bahkan, menurut BBC, ada yang menganggarkan jumlah rakyat Mesir yang terbabit dalam protes ialah 30 juta orang, satu jumlah yang sengaja dibesar-besarkan.  Namun, yang nyata, kebanyakan rakyat kelihatan menentang Morsi.  Satu alasannya menurut The Economist,  ketidakcekapan Morsi yang tidak melakukan apa-apa untuk menyelamatkan ekonomi Mesir daripada runtuh.  Nilai mata wang dan rizab pertukaran asing merosot, inflasi meningkat, dan kadar pengangguran dalam mereka yang berusia di bawah 24 tahun adalah lebih 40 peratus.
Seterusnya, The Economist muncul dengan rencana utama yang lebih provokatif, iaitu adakah Pemberontakan Arab gagal? Kira-kira dua tahun setengah selepas revolusi di dunia Arab, tegas majalah itu, tidak ada sebuah negara pun yang jelas menuju ke arah kestabilan, iaitu demokrasi yang aman.  Negara yang diletakkan harapan yang tinggi, iaitu Tunisia, Libya, dan Yaman masih terumbang-ambing.  Eksperimen kacau-bilau dengan demokrasi di Mesir, negara yang paling banyak penduduk jika dibandingkan dengan tiga buah negara tersebut, berkesudahan dengan presiden yang dipilih dijadikan tahanan.  Syria pula berlaku pertumpahan darah perang saudara. 
“Tidak hairan sesetengah orang mula berfikir bahawa Pemberontakan Arab ditakdirkan gagal,” tulis The Economist. “Timur Tengah, hujah mereka, tidak bersedia untuk berubah.  Satu alasannya adalah bahawa wilayah itu tidak mempunyai institusi demokratik, justeru kuasa rakyat akan usang menjadi anarki atau mengapi-apikan pengenaan semula kuasa diktator.  Alasan lain adalah bahawa satu kuasa bersebati di wilayah itu ialah Islam yang dibahaskan, tidak cocok dengan demokrasi.  Timur Tengah, simpul mereka, adalah lebih baik jika Pemberontakan Arab tidak berlaku sama sekali.”
Walau bagaimanapun, The Economist  masih menaruh harapan terhadap Pemberontakan Arab dan kemekaran demokrasi di Timur Tengah, sekali gus menganggap semua pandangan itu tidak sesuai dengan masa, iaitu sama sekali silap.  Peralihan demokratik hujah majalah itu,  selalunya ganas dan memakan masa yang panjang. Akibat teruk Pemberontakan Arab, iaitu di Libya pada mulanya, kini di Syria, memang menakutkan, tetapi kebanyakan warga Arab tidak mahu berpatah balik.
Pemberontakan Arab, hujah The Economist, selalunya lebih baik dijelaskan sebagai kebangkitan, dalam erti kata bahawa revolusi sebenar tidak banyak kelihatan di jalanan berbanding dengan dalam minda.  “Internet, media sosial, televisyen satelit, dan dahagakan pendidikan dalam kalangan wanita Arab, juga dalam kalangan lelaki, tidak boleh saling wujud bersama-sama kediktatoran lama yang sedang berakhir.  Rakyat Mesir, antaranya, belajar bahawa demokrasi bukannya sekadar persoalan pilihan raya dan bukan juga keupayaan membawa berjuta-juta orang penunjuk perasaan turun di jalanan.  Perjalanan ke arah demokrasi selalunya berkecamuk, bahkan melibatkan pertumpahan darah.  Perjalanannya mungkin memakan masa berdekad-dekad, tetapi masih dialu-alukan.”
Majalah itu juga menyangkal pandangan bahawa oleh sebab Pemberontakan Arab mengalami kemajuan yang tidak seimbang, maka jawapannya ialah pemodenan autoritarian, yang memerlukan pemimpin, seperti Augusto Pinochet, Lee Kuan Yew, atau Deng Xiapoing, demi mewujudkan kestabilan dan memastikan ekonomi tumbuh. Warga Arab dapat bermegah bahawa tidak ada raja falsafah yang mempunyai keazaman untuk memupuk demokrasi ketika ekonomi berkembang mekar.  Sebaliknya, adik beradik lelaki diktator dan sepupu wanita pertama mengaut  semua peluang ekonomi yang baik.
Penggulingan Mohamed Morsi, hanya beberapa hari selepas beliau diminta memenuhi kata dua Jeneral Abdel-Fattah el-Sissi, bukan sahaja membangkitkan persoalan masa depan demokrasi di Mesir khususnya, dan dunia Arab amnya, bahkan juga tentang Pemberontakan Arab yang seakan-akan menjunam ke arah kegagalan.   Perkembangan terbaharu  di Mesir, iaitu tercetusnya pemberontakan popular dengan dibantu oleh kuasa tentera, maka sekali lagi pesimistik menghantui.  Memang mudah untuk sesiapa berasa pesimistik terhadap Pemberontakan Arab, melihat kacau-bilau yang Timur  Tengah alami sekarang. Perasaan seperti ini pernah wujud, iaitu ketika Presiden Libya Muammar Gaddafi yang seakan-akan sukar untuk dipaksa berundur.  Namun, setelah beberapa bulan bertempur dan dengan bantuan Nato, Gaddafi berjaya digulingkan juga, dan dengan itu,  senarai panjang rejim di dunia Arab yang akan mengalami nasib yang sama, tidak terpadam sama sekali.

Sebaik-baik sahaja Presiden Zine el-Abidine Ben Ali digulingkan berikutan tercetusnya Revolusi Melati di Tunisia, Abolhassan Bani-Sadr, menulis sebuah makalah yang diterbitkan dalam The New York Times dan The Huffington Post pada akhir Januari 2011, tentang pengalaman beliau:  Apakah yang saya pelajari daripada revolusi yang gagal di Iran.  Bani-Sadr, presiden pertama Iran selepas revolusi, kini hidup dalam buangan di Paris, mengalu-alukan pemberontakan di Tunisia, yang bagi beliau, penting di dunia Arab dan Islam.  Namun, beliau mengingatkan bahawa “seperti yang saya sangat ketahui daripada pengalaman peribadi saya, masa depan yang terbuka termasuk bukan sahaja kemungkinan demokrasi, tetapi kemungkinan kebangkitan semula kediktatoran.” 
Untuk mencapai demokrasi dan menghapuskan prospek orang kuat baru mengambil alih kuasa, hujah Bani-Sadr, beberapa syarat perlu dipenuhi.  Pertama, gerakan itu mesti menjauhkan dirinya daripada rejim lama dan elit rejim berkenaan. Revolusi hanya berlaku apabila sistem yang wujud dirobohkan sama sekali dan dibina yang baru.  Setakat ini, struktur politik dan ekonomi neoliberal yang menyokong kediktatoran Zine el-Abidine Ben Ali, meskipun goyang dan lemah, pada takat yang lebih luas, masih belum terjejas.  Elit yang sama masih berkuasa.  Kedua, seluruh struktur rejim yang kuku besi, iaitu badan eksekutif, kehakiman, dan perundangan, sepatutnya direvolusikan.  Sememangnya, silap untuk mengehadkan objektif gerakan itu hanya pada mengubah personaliti.
Balik kepada Mesir yang menyaksikan penggulingan Morsi dan tentera berkuasa semula untuk suatu tempoh yang tidak dapat dipastikan, maka dapat dikesani kebenaran peringatan Bani-Sadr lebih dua tahun lalu, iaitu  elit rejim purba masih berkeliaran dan sukar dihapuskan Kuasa tentera  merebut peluang daripada ketidakcekapan dan kelemahan Morsi sebagai pemimpin dan keberangan rakyat terhadap beliau, apalagi, di Mesir, tentera secara tradisi, sangat berkuasa.  Mana-mana pemimpin  yang tidak sealiran dengan tentera, meskipun dipilih oleh rakyat,  mampu mereka campakkan ke luar dengan sewenang-wenangnya, seperti yang berlaku terhadap Morsi.
Selalunya,  demokrasi baru memerlukan masa untuk bangkit mengatasi pemimpin autoritarian yang lalu.   Dalam proses ini, apa-apa sahaja boleh berlaku, seperti “kebangkitan semula kediktatoran” – memetik semula Bani-Sadr, membayangkan kesukaran untuk menghapuskan rejim purba. Selepas  Zine el-Abidine Ben Ali digulingkan, suatu persoalan yang agak kelakar bunyinya yang pernah dibangkitkan, ialah “Ali Baba sudah pergi, bagaimana pula 40 orang penyamun” – membuktikan   bahawa  rejim purba sukar dihapuskan, meskipun  hakikatnya, pemimpin diktator berjaya ditumbangkan.
Namun, seperti yang dibahaskan oleh Sheri Berman yang masih yakin dengan Pemberontakan Arab, nostalgia terhadap rejim purba adalah silap. Permulaan yang palsu dan masalah, huru-hara, dan kacau-bilau, dan bahkan ada kalanya keganasan, hujah Berman yang menulis dalam Foreign Affairs, adalah wujud dan selalunya bahagian yang perlu dalam proses itu yang akhirnya menghapuskan autoritarianisme dan menurap laluan ke arah demokrasi liberal.  “Kesilapan asas yang kebanyakan pengulas Pemberontakan Arab lakukan,” tulis Berman, “ialah memperlekeh skala, skop, dan kerosakan (perniciousness) autoritarianisme.  Kekejaman bukan sekadar jenis orde politik, tetapi juga merupakan sistem ekonomi dan sosial, sesuatu yang meresapi kebanyakan aspek kehidupan di sesebuah negara dan berakar umbi dengan kukuh dalam institusi formal dan tidak formal.” 
Mengambil pengalaman yang berlaku terhadap Morsi di Mesir, jelas bahawa  memerintah tidak semudah membantah!  Seseorang itu, apatah lagi jika mempunyai karisma, mungkin  mampu mengerahkan dan menggembleng satu kumpulan yang besar sehingga menjangkau berjuta-juta orang untuk turun di jalanan melancarkan protes.  Namun, apabila dia berkuasa,  membantah padam dengan sendirinya, dan sebaliknya dia perlu memulakan permainan yang sama sekali baru, iaitu memerintah: mewujudkan kestabilan politik dan pertumbuhan serta kemakmuran ekonomi kerana dengan cara ini, kekacauan sosial dapat dielakkan.  


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...