Artikel Popular

Friday, November 7, 2014

Belanjawan 2013: Ke Arah Pertumbuhan Mapan

JUMAAT,  7 November 2014
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Apabila Perdana Menteri Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak membentangkan Belanjawan 2012, antara komen atau ulasan yang mewarnai perbincangan, baik melalui  kaca televisyen, mahupun melalui penulisan, ialah belanjawan pilihan raya.  Selain belanjawan pilihan raya, seperti lazim, komen atau ulasan tertumpu pada habuan yang diberikan kepada penjawat awam dan golongan masyarakat yang lain sehingga membayangi persoalan yang lebih besar, seperti defisit belanjawan yang berterusan lebih 10 tahun, dan usaha memacu pertumbuhan di tengah-tengah kelembapan ekonomi global.
            Namun, seperti yang diketahui, pilihan raya yang dijangkakan tidak kunjung tiba sehingga Najib yang juga  Menteri Kewangan pertama,  membentangkan Belanjawan 2013 pada 28 September lalu.  Pastinya, orang ramai tidak memerlukan cerdik pandai dan ahli politik untuk memberitahu mereka bahawa belanjawan terbaru ini ialah belanjawan pilihan raya kerana masa untuk pilihan raya semakin hampir, paling tidak, selewat-lewatnya  pada awal tahun depan. 
            Belanjawan 2013 dibentangkan tatkala ekonomi dunia masih muram selepas mengalami kemelesetan terburuk sejak  Kemelesetan Besar tahun 1930-an:  sektor pembuatan di China menguncup untuk bulan ke-11 berturut-turut, ekonomi Amerika Syarikat hanya berkembang 1.3 peratus pada suku tahun kedua, dan ekonomi United Kingdom dalam tempoh yang sama, menguncup 0.4 peratus, manakala akaun semasanya  mencatatkan defisit 20.8 bilion paun. 
            Belanjawan 2013 juga dibentangkan ketika zon euro masih dilanda krisis, dan pada minggu sama dengan pembentangan belanjawan itu, berlaku protes antijimat-cermat dari Madrid ke Athens.  Pada minggu sebelum ini, lebih setengah juta orang berarak di kota-kota seluruh Portugal untuk membantah potongan keselamatan sosial.  Sepanyol yang menghadapi kebangkitan sentimen pemisahan daripada penduduk Catalonia, dijangkakan menjadi Greece baru.  Antijimat-cermat yang berlaku di Eropah, tidak menunjukkan tanda akan reda, bahkan pada 30 September lalu, mereka ke Perancis.
Meskipun empat tahun berlalu selepas  keruntuhan Lehman Brothers dan pasaran saham global lintang-pukang,   krisis kewangan global masih belum reda. Seperti yang dimaklumkan oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), bahawa risiko masih wujud dalam sistem kewangan kerana para pelabur  Amerika Syarikat ketakutan.  Sementara dalam Global Financial Stability Report terbaru  yang kebetulan  dikeluarkan sebelum pembentangan belanjawan, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), mengingatkan bahawa di sebalik ribut salji (blizzard) peraturan baru, sistem perbankan masih mudah terjejas.  Sementara Organisasi Perdagangan Sedunia (WTO) pada akhir September lalu,  mengingatkan bahawa tinjauan perdagangan global terjejas kerana krisis zon euro membantutkan pertumbuhan.  WTO mengurangkan ramalan pertumbuhan perdagangan global tahun ini daripada 3.7 peratus kepada 2.5 peratus, kurang separuh daripada purata 20 tahun sebelum ini, membayangkan bahawa keadaan semakin buruk dan bukannya bertambah baik. Pada tahun 2013, WTO menjangkakan bahawa perdagangan tumbuh sebanyak 4.5 peratus, berbanding dengan ramalan sebelum ini, pertumbuhan 5.6 peratus.
Melihat data ekonomi yang teruk yang mencurah-curah, seperti krisis hutang kedaulatan Eropah, harga komoditi yang tinggi, legasi keruntuhan kewangan empat tahun lalu, dan ketegangan antara tiga ekonomi terbesar di dunia, iaitu Amerika Syarikat, China, dan Jepun, maka dijangkakan berlaku  kelembapan global. 
“Ekonomi global terpaksa melalui perjalanan yang jauh untuk mencapai pertumbuhan mapan,” tulis Larry Elliott dalam The Guardian, antara memetik kemerosotan sektor pembuatan di China.  Beliau mengemukakan tiga masalah besar dan saling terikat.  Pertama, Eropah yang terus menerus menggunakan petua yang sama untuk menyelesaikan krisis menyembunyikan hakikat bahawa kelemahan ekonomi merebak dari pinggi ke pusat.  Kedua, masalah adalah bahawa hanya sedikit kemajuan dicapai dalam menangani ketidakseimbangan global yang mewujudkan keadaan untuk keruntuhan pada tahun 2007.  Akhir sekali, bank-bank pusat dan para menteri kewangan telah pun menggunakan amaun yang besar amunisi yang dapat diperoleh.
Semasa menyentuh aspek prestasi ekonomi 2012 dan prospek 2013 dalam pembentangan  Belanjawan 2013, Najib nampaknya menyedari realiti yang sedang melanda dunia, yang beliau nyatakan, “persekitaran global yang tidak menentu dan mencabar.”  Namun, beliau menjelaskan  bahawa kerajaan komited dalam memastikan pertumbuhan ekonomi negara terus berkembang, dengan asas ekonomi negara yang kukuh  serta disokong oleh sistem monetari akomodatif membolehkan ekonomi negara berada di landasan yang teguh.  Beliau juga merujuk prestasi ekonomi separuh pertama tahun 2012 yang tumbuh pada kadar 5.1 peratus didorong, terutamanya oleh kekukuhan aktiviti pelaburan dan penggunaan swasta.  Pada tahun ini, menurut beliau, pertumbuhan ekonomi negara dijangkakan berkembang pada kadar 4.5 peratus hingga lima peratus, manakala pada tahun 2013, berdasarkan persekitaran ekonomi global yang lebih baik, pertumbuhan ekonomi negara diunjurkan berkembang lebih kukuh pada kadar 4.5 peratus hingga 5.5 peratus. 
Belanjawan 2013 yang berjumlah RM251.6 bilion untuk perbelanjaan mengurus dan perbelanjaan pembangunan, dengan pelbagai habuan atau  bantuan kepada setiap lapisan rakya demi mengurangkan beban kos sara hidup mereka, seperti bonus untuk penjawat awam, BR1M 2.0 untuk setiap isi rumah yang berpendapatan RM3000 ke bawah dan RM250 seorang bagi individu bujang 21 tahun ke atas yang berpendapatan tidak lebih RM2000, bantuan untuk pelajar sekolah rendah dan menengah, rebat telefon pintar 3G bagi belia yang berumur 21 - 30 tahun berpendapatan RM3000 ke bawah, pelepasan cukai bagi pendidikan tinggi anak-anak dan Skim Simpanan Pendidikan Nasional, diskaun Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN)  antara 10 – 20 peratus, baucar buku mahasiswa, insentif khas tentera, insentif nelayan,  dan bermacam-macam lagi.
Meskipun kerajaan berusaha mengurangkan defisit belanjawan kepada 4.0 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2013, berbanding 4.5 peratus pada tahun 2012,  kerajaan tidak mendakap langkah jimat-cermat  yang  dilaksanakan di Eropah dan Amerika Syarikat. Seperti yang sering diperdebatkan mengapa benua Eropah terus terbenam dalam kemelesetan, antaranya kerana pelaksanaan jimat-cermat yang tidak sesuai dengan masanya, iaitu ketika pucuk hijau baru bertunas, iaitu pemulihan masih lemah. “Kegilaan jimat-cermat Eropah,” seperti yang dibahaskan oleh Paul Krugman dalam The New York Times pada 27 September, “akan membawa banyak kesakitan, baik dari segi ekonomi mahupun politik.”  Dari segi ekonomi, menurut beliau, jimat-cermat tidak dapat menyelesaikan masalah kadar pengangguran yang tinggi, manakala dari segi politik, mencetuskan keberangan rakyat, seperti yang berlaku di Greece dan Sepanyol.
Dengan tidak menunjukkan keterujaan dan ketaksuban terhadap jimat-cermat yang memungkinkan zon euro berkecai, Malaysia dijangkakan mampu mencatatkan pertumbuhan ekonomi pada tahun depan, seperti yang diunjurkan. Dengan pelbagai habuan dan bantuan  tersebut, sekurang-kurangnya kerajaan dapat merangsangkan penggunaan isi rumah untuk keperluan harian dan seterusnya merancakkan  industri peruncitan.  Pastinya, langkah ini mampu memacu  pertumbuhan ekonomi, kerana salah satu faktor pertumbuhan ekonomi  Amerika Syarikat dan Eropah lembap ialah rendahnya permintaan domestik. Tatkala pertumbuhan perdagangan global lemah, seperti yang diperingatkan oleh WTO,  tidak dapat tidak, pertumbuhan ekonomi Malaysia perlu bergantung pada aktiviti ekonomi domestik.
Tatkala kadar pengangguran di seluruh 17 buah negara yang menggunakan mata wang euro mencecah 11.3 peratus pada bulan Julai dan Amerika Syarikat 8.1 peratus pada bulan Ogos, pasaran buruh Malaysia, seperti yang ditunjukkan dalam Laporan Ekonomi 2012/2013, kekal stabil sepanjang tahun 2012, dengan kadar pengangguran yang rendah, iaitu 3.2 peratus, kerana aktiviti domestik yang rancak.  Seperti yang sering dihujahkan bahawa kadar pengangguran yang tinggi yang diburukkan oleh pelaksanaan jimat-cermat tidak akan mewujudkan permintaan agregat dan seterusnya membantutkan pertumbuhan ekonomi. Kadar pengangguran yang tinggi, jimat-cermat, dan kemelesetan, merupakan masalah yang berangkaian dan saling melengkapi antara satu sama lain.
Komitmen  kerajaan untuk memastikan pertumbuhan mapan dapat dilihat pada fokus pertama: merangsang aktiviti pelaburan.  Seperti yang ditegaskan oleh Najib dalam pembentangan belanjawan itu, “pertumbuhan ekonomi negara akan terus dipacu oleh pelaburan langsung asing dan domestik,” dan “terus memperhebat  pelaksanaan 12 Bidang Utama Ekonomi Negara.”  Dalam fokus pertama ini juga kerajaan menggalakkan pelaburan domestik, menjadikan Malaysia hab minyak dan gas, merancakkan sektor pelancongan, meningkatkan aktiviti pertanian, melestarikan jaminan bekalan makanan, membela nasib petani dan nelayan, mencergaskan pasaran modal dan kewangan, menggalakkan amanah perniagaan, merangka Wakaf Korporat,  dan membangunkan usahawan bumiputera.
Tanggapan umum, tetapi tidak semestinya tepat, ialah ekonomi negara digerakkan sebahagian besarnya  oleh sektor korporat, sedangkan peranan   perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tidak kurang pentingnya dari segi  pemacuan  pertumbuhan ekonomi dan pewujudan peluang pekerjaan.  Di bawah fokus pertama, kerajaan mempergiat PKS, dan seperti yang dinyatakan dalam Belanjawan 2013,    “PKS memainkan peranan penting dalam transformasi ekonomi negara.”  Sehubungan dengan itu, untuk mempercepat pertumbuhan industri PKS dan perluasan skop kawasan industri di seluruh negara, kerajaan menyediakan dana RM1 bilion di bawah Skim Pembangunan PKS yang dikendalikan oleh SME Bank.
Belanjawan 2013 dan enam lagi belanjawan yang seterusnya dijangkakan mengubah Malaysia daripada status sebuah negara membangun berpendapatan sederhana tinggi kepada negara maju berpendapatan tinggi pada tahun 2020.  Untuk mencapai matlamat tersebut kerajaan perlu memperluas dan memperkembang golongan kelas menengah, iaitu golongan yang di peringkat global semakin mendapat perhatian kerana semakin mengecil, antaranya kerana kesan kemelesetan ekonomi, kebekuan upah,  dan kemerosotan pendapatan  serta kekayaan. Kewujudan dan pengembangan  golongan kelas menengah adalah penting  dari segi kuasa beli dan pencukaian, dan dengan itu, untuk  merangsangkan pertumbuhan ekonomi.

Pertumbuhan ekonomi, pastinya  kurang signifikan, dan bahkan akan terjejas sekiranya ketidaksamaan pendapatan semakin melebar.   Perlu dipastikan tidak wujud golongan “99 peratus”  dan golongan “satu peratus” yang mencermikan ketidaksamaan pendapatan yang amat ketara, yang memboleh membawa kepada persengketaan antara kedua-dua golongan tersebut.  Pertumbuhan ekonomi mapan dan negara maju berpendapatan tinggi hanya benar-benar bermakna sekiranya jurang ketidaksamaan diperkecil dan    kekayaan diagihkan secara  lebih adil dan saksama.  Jika tidak,  tema belanjawan “Memakmur Negara Menyejahtera Rakyat: Sebuah Janji Ditepati” sekadar retorik yang muluk-muluk yang sarat dengan gembar-gembur.
(Nota:  Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Ekonomi, November 2012.)

Wednesday, November 5, 2014

Presiden Lawan Ekonomi

RABU,  5  November 2014
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH





Selepas Jabatan Buruh Amerika Syarikat mengumumkan bahawa pada bulan Ogos, hanya 96,000 pekerjaan diwujudkan berbanding dengan anggaran130,000 pekerjaan, dan meskipun kadar pengangguran di negara itu jatuh daripada 8.3 peratus pada Julai  kepada 8.1 peratus, Ezra Klein yang menulis dalam blog The Washington Post,  menegaskan bahawa “Presiden lawan ekonomi.”  Penurunan kadar pengangguran  sebenarnya berpunca daripada sebilangan penganggur meninggalkan pasaran buruh, iaitu mereka tidak mahu mencari pekerjaan lagi.
Laporan bulanan  tentang pekerjaan  yang muram itu dijangkakan membayangi kejayaan  Persidangan Kebangsaan Parti Demokratik di Charlotte, North Carolina, yang baru sahaja selesai.  Presiden Barack Obama yang berucap untuk menerima pencalonan daripada partinya  kelihatan tidak setanding  bekas Presiden Bill Clinton dan isterinya, Michelle, yang berucap sebelum itu,  kerana beliau  “terganggu” oleh   laporan tersebut   yang beliau terima lebih awal:   krisis pekerjaan masih wujud. “Ucapan itu,” hujah Klein, “adalah sesuai untuk  ekonomi pada pengangguran 6.5 peratus dan bukannya pengangguran 8.1 peratus.”
Ketika pengumuman Jabatan Buruh itu dibuat 7 September, Pilihan Raya Presiden tahun 2012 hanya tinggal dua bulan lagi.  Dengan kadar pengangguran yang tinggi dan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pula kurang daripada dua peratus, pastinya  penjawat kini, iaitu Presiden Barack Obama menghadapi laluan yang sukar untuk  penggal kedua.  Sejak zaman Franklin D.  Roosevelt, tidak ada Presiden Amerika Syarikat yang dapat mempertahankan jawatannya apabila kadar pengangguran lebih lapan  peratus.  Laporan pekerjaan itu diramalkan akan  merancakkan lagi kempen di kedua-dua belah pihak, iaitu Barack Obama dan lawannya, Mitt Romney daripada Republikan.  “Kita menuju arah yang salah,” isytiharkan Romney, memandangkan masih banyak rakyat Amerika yang  terhuyung-hayang akibat kemelesetan yang teruk.  “Kita tahu tidak cukup,” ulas Obama, “Kita perlu mewujudkan lebih banyak  pekerjaan dan lebih cepat.”
Beberapa laporan lain yang tidak memberangsangkan, menambahkan lagi tekanan terhadap Presiden Obama.  Tatkala kedua-dua calon yang bertanding berusaha untuk meraih sokongan golongan kelas menengah, pada  Ogos lalu, Pew Research Center, mengeluarkan laporan The Lost Decade of the Middle Class, menunjukkan bahawa sejak tahun 2000, golongan itu mengecil dari segi saiz, merosot  dari segi pendapatan dan kekayaan, membayangkan kemungkinan keterhakisan golongan itu pada masa hadapan.
Seterusnya, pada September, Biro Banci Amerika Syarikat menerbitkan  Income, Poverty, and Health Insurance Coverage in the United States: 2011, menunjukkan  banyak lagi berita buruk untuk kelas menegah. Ketidaksamaan ekonomi  terus meningkat, dipacu oleh pertumbuhan pendapatan dalam kalangan orang kaya Amerika, manakala golongan yang berpendapatan lebih sederhana mendapati pendapatan mereka mereka beku atau bahkan merosot. Pendapatan isi rumah median terus jatuh pada tahun 2011, tahun kedua pemulihan ekonomi, iaitu jatuh kira-kira empat peratus.  “Ketidaksamaan pendapatan semakin teruk,” tulis Timothy Noah dalam The New Republic. “Seperti yang kita ketahui bahawa golongan kaya terus meningkatkan bahagian mreka daripada pendapatan kolektif negara pada tahun 2010, apabila secara luar biasa 93 peratus pemulihan masuk ke dalam saku golongan satu peratus.”
Laporan itu juga menyatakan bahawa 46.2 juta rakyat Amerika hidup dalam kemiskinan, dengan garis kemiskinan untuk keluarga seramai empat orang ialah AS$22,811.  Kejatuhan jumlah ini dianggap baik dan agak memeranjatkan kerana Amerika Syarikat masih bersusah payah untuk pulih daripada kemelesetan.  Data menunjukkan bahawa kadar kemiskinan keseluruhan 15.0 peratus adalah rendah pada tahun 2011 berbanding dengan 15.1 peratus pada tahun sebelum ini, suatu perbezaan kira-kira 96,000 orang.
Ketika Barack Obama bersiap sedia untuk pertarungan penggal keduanya, penggunaan setem makanan dilaporkan, mencecah rekod tertinggi, iaitu 46.7 juta pada Jun. Penyertaan meningkat 0.4 peratus dari Mei dan 3.3 peratus lebih tinggi jika dibandingkan dengan tahun lalu dan kekal lebih besar daripada 46 juta sepanjang tahun kerana kadar pengangguran masih tinggi.  “Terlalu banyak keluarga kelas menengah yang hidup dalam kesusahan masih terpaksa bersusah payah,” jelas Setiausaha Pertanian, Tom Vilsack melalui e-mel kepada Bloomberg pada awal September lalu. “Matlamat kami adalah untuk menyediakan bantuan yang keluarga ini perlukan agar mereka mampu mengharungi masa yang sukar ini dan kemudian mampu berdikari semula secepat yang mungkin.”   Perbelanjaan stem makanan meningkat lebih berlipat ganda dalam masa empat kepada rekod tertinggi AS$75.7 bilion pada tahun fiskal yang  berakhir 30 September 2011, merupakan perbelanjaan terbesar Jabatan Pertanian Amerika Syarikat (USDA).
Sementara itu, seperti yang dilaporkan oleh CNN yang memetik USDA,   pada awal September, lebih 50 juta orang Amerika, tidak mampu membeli makanan pada masa tertentu pada tahun 2011.  Kanak-kanak dalam kira-kira 3.9 juta isi rumah sengsara akibat keadaan tidak keselamatan   makanan (food insecurity) pada tahun lalu, dengan keluarga mereka tidak mampu menyediakan makanan berkhasiat yang cukup.  Hampir 17 juta orang Amerika sengsara akibat “keselamatan  makanan yang rendah,” bermakna mereka terpaksa mengurangkan jumlah makanan yang mereka makan, iaitu makanan yang mereka beli tidak dapat tahan lama dan mereka tidak cukup wang untuk membeli makanan yang banyak.  Mereka lazimnya mendapati diri mereka dalam situasi sedemikian beberapa hari dalam sebulan untuk tujuh bulan setahun.  Bilangan orang dalam kategori ini meningkat sebanyak lebih 800,000 orang daripada jumlah pada tahun 2010.
Seperti Pilihan Raya Presiden pada tahun 2008, ekonomi dianggap merupakan faktor utama dalam pilihan raya kali ini.  Ketika itu, Amerika Syarikat  terjebak dalam kemelesetan, dan tatkala kempen sedang rancak, tiba-tiba pada pertengahan September, Lehman Brothers mengisytiharkan kemuflisan yang menyebabkan berlaku runtuhan Wall Street dan pasaran saham dunia lintang-pukang.  John McCain daripada Republikan yang ketika itu  mendahului Barack Obama, bagaikan dihempap oleh runtuhan itu dan terus tidak bangkit hingga hari pilihan raya.  Kini,  walaupun  Amerika telah keluar daripada kemelesetan pada pertengahan tahun 2009,   sebilangan besar penduduk tidak merasainya  kerana   kadar pertumbuhan rendah dan kadar pengangguran masih tinggi.
Sememangnya,  ekonomi  tidak memihak kepada Barack Obama, bahkan kadar pengangguran yang diumumkan pada  Jumaat pertama setiap bulan, seakan-akan terus menzalimi beliau.  Prestasi ekonomi beliau tidak memuaskan, dan dengan itu, beberapa tinjauan pendapat menunjukkan bahawa rakyat Amerika lebih yakin kepada Mitt Romney untuk mengurus ekonomi dan menangani pengangguran. Dalam kad laporan Obama pada akhir penggal, The Economist memberikan gred untuk perkara yang berikut: Respons terhadap krisis (A-); rangsangan (B+); perumahan (C+); pasaran buruh (C+); perdagangan (B-); dasar perindustrian (F); kawal selia (D+); dan hutang/dasar fiskal (tidak lengkap).
Sementara Robert J. Samuelson yang menulis dalam The Washington Post, memberikan gred C+ untuk kad laporan ekonomi Presiden Obama, iaitu kurang bermutu terbaik, meskipun mengakui bahawa Presiden biasa tidak banyak pengaruh terhadap ekonomi.  Terlalu besar dan tertakluk kepada terlalu banyak kuasa kompleks, daripada teknologi baru kepada keadaan global.  Lagipun, banyak pihak yang terlibat, seperti Kongres untuk cukai dan perbelanjaan, Rizab Persekutuan untuk pasaran kewangan, dan agensi kawal selia.  “Presiden selalunya dipersalahkan atau diberikan pujian,” tegas Samuelson, “kerana ekonomi apabila mereka tidak wajar juga.  Akan tetapi, ketika krisis, Presiden memperoleh kuasa. Oleh sebab itu, Obama akan dan sepatutnya dinilai dari segi prestasi ekonomi.” 
Lebih menarik daripada keseluruhan gred saya, jelas Samuelson ialah komponenannya. “Untuk enam bulan pertama, saya memberinya A-; untuk bulan seterusnya, C- atau D. Saya memberikan wajaran dua gred itu secara seimbang kerana beliau wajar diberikan banyak pujian kerana menghentikan jatuh bebas ekonomi apabila memegang jawatan Presiden.”
Jika isu ekonomi dibangkitkan atau laporan tentang ekonomi dikemukakan, Demokrat dan kempen Obama kelihatan bersifat defensif, sesuatu yang sukar untuk dijawab atau dijelaskan.  Sebelum Persidangan Kebangsaan Parti Demokratik, mereka dikemukakan  soalan yang pernah dikemukakan oleh Ronald Reagan pada tahun 1980, ketika mencabar penjawat kini, Presiden Jimmy Carter: “Adakah rakyat Amerika lebih baik sekarang berbanding dengan empat tahun lalu?”
Beberapa anggota Demokrat yang diajukan soalan itu tidak cuba menjawabnya, sebaliknya mereka menyerang kempen Romney yang menurut mereka, tidak segan silu berdusta kepada pengundi. David Plouffe, penasihat kanan Rumah Putih enggan memberikan jawapan, sama ada ya ataupun tidak. Apabila pengacara program televisyen ABC,  George Stephanopoulos berulang-ulang kali bertanyakan beliau:  “Anda masih tidak dapat memberikan jawapan ya.”  “Jelas kita semakin baik, George,” jawab Plouffe. “Kita mencapai banyak kemajuan daripada kemelesetan yang teruk ... Kita perlu terus pulih.”   Sementara dalam program Fox News,  ahli strategi kempen Obama, iaitu David Axelrod, enggan memberikan jawapan yang berterus terang, manakala Gobenor Maryland, Martin O’Malley, yang muncul dalam program televisyen CBS, kelihatan tidak bersemangat, “Tidak, tetapi itu bukan soalan pilihan raya ini.”
Hanya selepas itu, dalam usaha mengawal “api daripada terus marak,”  daripada dijadikan modal oleh kempen Romney, anggota Demokrat lebih tegas memberikan jawapan mereka.  Misalnya, ketika ditanya, sama ada rakyat Amerika lebih baik, dalam program televisyen NBC, timbalan pengurus kempen Obama, iaitu Stephanie Cutter, memberikan jawapan yang muktamad dengan menyenaraikan statistik peningkatan pengangguran dan kemerosotan upah dalam masa enam bulan sebelum Obama menjadi Presiden. Mengikut mana-mana ukuran, negara ini mengorak langkah sepanjang empat tahun lalu. Bahkan, Martin O’Malley mengubah jawapannya, memberitahu CNN, “Kita jelas lebih baik sebagai sebuah negara kerana kita kini mewujudkan pekerjaan berbanding dengan kehilangan pekerjaan.”
Benarkah  ekonomi menentukan keputusan Pilihan Raya Presiden tahun ini?  Jika demikian,  bahkan diakui oleh anggota Republikan sendiri, Obama sudah lama berkubur;  sebaliknya, beliau masih dan terus kuat.  Tinjauan pendapat demi tinjauan pendapat yang dikeluarkan, khususnya selepas persidangan partinya, beliau terus mendahului Romney, baik di peringkat nasional, mahupun di peringkat negeri berayun yang kebanyakan beliau kuasai.   Sejak berbulan-bulan, Romney masih gagal memisahkan para pengundi yang masih  mendakap setia pada Obama, meskipun kempen demi kempen dilancarkan, iklan demi iklan disiarkan.  Dari segi kepopularan dan dasar luar, nyata bahawa Romney tidak mampu menyaingi lawannya.
Medan pertarungan yang sepatutnya dikuasai oleh Romney, iaitu ekonomi,  Obama menampakkan kemaraannya.  Daripada belanjawan kepada pencukaian kepada penjagaan kesihatan, kempen Romney gagal meyakinkan rakyat, dan terutamanya para pengundi.  Bahkan, janji Romney  untuk mewujudkan 12 juta pekerjaan dalam penggal pertama jika beliau dipilih sebagai Presiden, diragui oleh banyak pihak, terutamanya ahli ekonomi dan para penganalisis.
Hakikatnya, setakat ini, ekonomi belum lagi membawa  bencana terhadap Obama, dan kemungkinannya hal ini berterusan pada 6 November ini, walaupun dua  lagi laporan pekerjaan dan satu lagi laporan KDNK akan diumumkan.  Lagipun, ekonomi sekarang diperhatikan tidak seburuk tahun 1980 yang menyaksikan kekalahan Carter di tangan Reagan. Menurut rekod, Presiden daripada Parti Demokratik didapati lebih baik dari segi mengurus ekonomi dan mewujudkan pekerjaan; ketika Obama, lebih empat juta pekerjaan diwujudkan, biarpun pengangguran masih tinggi.
Diketahui umum, Barack Obama mewarisi masalah daripada George W. Bush, tetapi  beliau pastinya tidak dapat cuci tangan dengan menyalahkan Presiden sebelumnya.  Lebih-lebih lagi Obama banyak menghabiskan masa, iaitu dua tahun pertama  untuk memperkenalkan pelan penjagaan kesihatan – padahal, beliau sepatutnya memberikan tumpuan terhadap pemulihan ekonomi dan usaha untuk mewujudkan pekerjaan.  Sementara  anggota Republikan, baik semasa merupakan minoriti, mahupun majoriti dalam Dewan Perwakilan, iaitu selepas Pilihan Raya Separuh Penggal tahun 2010, enggan bekerjasama dengan Obama sehingga parti itu dikenali sebagai “parti tidak.” Bahkan, sebaik-baik sahaja Obama memenangi Pilihan Raya Presiden,  tetapi belum lagi memegang jawatan itu, Republikan mengisytiharkan bahawa mereka tidak akan bekerjasama dengan beliau.   Bagi mereka, “demi memastikan Obama hilang pekerjaan, biarkan rakyat  tanpa pekerjaan.”  
Rakyat  kini  menyalahkan Washington, iaitu Dewan Perwakilan, Senat, dan Rumah Putih terhadap masalah yang wujud, baik dari segi ekonomi mahupun politik.  Seperti yang pernah ditegaskan oleh bekas Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, Robert Gates, kegagalan menangani hutang dan masalah belanjawan yang teruk adalah kerana ahli politik Republikan dan Demokratik “lebih mementingkan kemenangan dalam pilihan raya dan meraih kemenangan ideologi berbanding dengan menyelamatkan negara.”
Memang  Obama boleh dikatakan gagal dari segi ekonomi, tetapi Romney gagal mengemukakan alternatif yang terbaik.  Dalam pilihan raya kali ini, rakyat nampaknya  perlu membuat pilihan antara dasar yang gagal dengan alternatif yang teruk. Pastinya, pilihan raya kali ini bukannya pertarungan angka semata-mata, bukannya hanya kuantitatif, tetapi ini juga kualitatif, yang dari segi ini Obama banyak mempunyai kelebihan berbanding dengan Romney. Kempen yang kurang cacat juga banyak membantu kemenangan calon, dan dari segi ini, kempen Obama mempunyai kelebihan berbanding dengan kempen Romney.
Ketika makalah ini ditulis, iaitu pada pertengahan September, The Huffington Post menunjukkan bahawa Barack Obama menguasai 316 berbanding 206 badan perwakilan pemilih untuk Mitt Romney,  manakala masih wujud dua buah negeri berayun, iaitu Wisconsin dan Iowa. Pastinya, dalam masa kira-kira 50 hari, kedudukan itu akan berubah-ubah.  Sementara Nate Silver, penganalisis yang sering dirujuk,  melalui kolumnya dalam The New York Times, dalam ramalannya pada 18 September, Obama memperoleh 320.2 badan perwakilan pemilih  berbanding 217.8 untuk Romney.  Peluang Obama menang pula ialah 91.3 peratus berbanding 8.7 peratus untuk Romney.
Ketika majalah  ini beredar dalam pasaran pada bulan November, keputusan pilihan raya telah pun diketahui. Maka,  dapat disahkan, sama ada Obama menang kerana kempennya, biarpun ekonomi teruk, ataupun Romney menang kerana ekonomi, biarpun kempennya teruk.


(Nota:  Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Ekonomi, November 2012.)

Monday, November 3, 2014

Skandal Libor

ISNIN,  3 November 2014
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Sebaik-baik sahaja  skandal Libor (London Interbank Offered Rate)  yang melibatkan Barclays diketahui umum, Warren Buffett  mencadangkan supaya setiap orang memberikan perhatian terhadap skandal itu.  Dalam wawancara dengan CNBC pada pertengahan Julai, hartawan terkenal yang pernah digelar kapitalis agung Amerika,  membayangkan seriusnya skandal itu,   menegaskan, “Anda dapat Libor, dan anda berbincang tentang seluruh dunia.”  Peringatan beliau memang tepat kerana seperti yang didedahkan oleh BBC pada awal Ogos lalu, Libor penting kerana melibatkan nilai urus niaga kewangan yang dianggarkan AS$800 trilion, menyamai kira-kira 12 kali Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global.
            Pada 27 Jun tahun ini,  Barclays, bank British, berusia 300 tahun, mengaku salah laku,  dan  bersetuju membayar AS$450 juta  kepada pengawal selia United Kingdom   dan  Amerika Syarikat  sebagai penyelesaian  kerana terlibat dalam penipuan Libor dari tahun 2005 hingga 2009.  Walau bagaimanapun, Bob Diamond, Ketua Pegawai Eksekutif Barclays,   memberikan alasan yang klasik, iaitu “setiap orang melakukannya.”
Pihak kerajaan kedua-dua negara  juga menyiasat 20 buah bank utama lain, antaranya JP Morgan Chase, Citigroup, Bank of America, UBS, dan Royal Bank of Scotland kerana dituduh membantu menetapkan kadar Libor.  Penyiasatan itu bukan sahaja melibatkan bank-bank di United Kingdom, tetapi juga di Amerika Syarikat, Kanada, Jepun, Switzerland, dan Kesatuan Eropah. Bank-bank didapati memanipulasikan tanda aras kewangan yang menentukan  kadar faedah yang dikenakan kepada para peminjam dan digunakan dalam kontrak derivatif yang bernilai beratus-ratus trilion dolar.
            Libor dan kadar yang sama, menurut The Economist, ditipu oleh sejumlah besar bank.  Perbadanan dan peguam juga menyiasat, sama ada mereka boleh menyaman Barclays atau bank-bank lain atas kesengsaraan yang mereka tanggung.   Tindakan mereka ini boleh menyebabkan industri perbankan menanggung kos berpuluh-puluh bilion dolar.  Industri perbankan mengalami detik tembakau, merujuk tindakan undang-undang dan penyelesaian yang industri tembakau Amerika terpaksa tanggung lebih AS$200 bilion pada tahun 1998.
            Untuk Libor, jelas majalah itu, kadar peminjaman ditetapkan oleh  panel bank untuk 10 mata wang dan 15 kematangan.  Yang paling penting,  Libor dolar tiga bulan yang dianggap apakah yang bank akan bayar untuk meminjam dolar selama tiga bulan daripada bank lain pada pukul 11 pagi pada hari yang ditetapkan.  Kadar dolar ditetapkan  setiap hari dengan mengambil anggaran daripada panel, kini terdiri daripada 18 buah bank, tentang apakah yang pihak bank  fikir mereka perlu bayar jika memerlukan wang.  Empat anggaran teratas dan empat terbawah diketepikan, dan Libor ialah anggaran yang tidak diketepikan. Penyerahan semua peserta diterbitkan bersama-sama dengan penetapan Libor setiap hari.
Libor dianggap sebagai kadar faedah yang bank boleh meminjam antara satu sama lain pada asas tidak  bercagar.  Maksudnya, berapa banyak  sesebuah bank perlu bayar untuk mendapatkan pinjaman daripada bank lain.  Wujud kadar Libor yang berbeza untuk mata wang yang berbeza dan pada tempoh yang berbeza. Segala-galanya, daripada gadai janji kepada pinjaman pelajar dan semua jenis derivatif,  bergantung pada Libor.
Barclays yang beribu pejabat di London, salah sebuah  bank terbesar di dunia, mengakui bahawa bank itu merancang untuk menipu kadar tanda aras ketika krisis kewangan.  Barclays  memotong kurang (dan kadangkala menyatakan berlebihan) Libor untuk merangsang keuntungan dan mempersegar tanggapan tentang kestabilan kewangan. Akibat skandal Libor itu, maka Bob Diamond, Pengerusi Barclays, Marcus Agius, dan Ketua Pegawai Operasi, Jerry del Missier, meletakkan jawatan.  Bank itu juga mengeluarkan dokumen yang membayangkan bahawa bank pusat England terlibat dalam rancangan itu.
Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat, Timothy Geithner   pada mulanya dijangkakan turut terlibat mengeluarkan dokumen yang menujukkan bahawa beliau menyedari masalah itu pada tahun 2008.  Ketika itu beliau berkhidmat sebagai ketua Rizab Persekutuan New York, beliau mengemukakan cadangan supaya masalah itu ditangani, melalui e-melnya kepada Mervyn King, Gabenor Bank of England.  Pemakluman Geithner itu menyebabkan reputasi King tercemar kerana sebagai gabenor, beliau ialah ketua bank pusat dan Pengerusi Jawatankuasa Kewangan, beliau ialah salah seorang pegawai yang tidak dipilih yang paling berkuasa di Britain.  Beliau mesti mempunyai kemampuan untuk mengenali pasti masalah dan bertindak secara muktamad dan pantas.
Sebuah akhbar Internet, iaitu The Huffington Post  baru-baru ini  mendedahkan skandal kewangan yang  teruk sepanjang masa,  berdasarkan “permainan maut.”  Daripada lapan skandal yang disenaraikan, empat daripadanya melibatkan skim cepat kaya, iaitu skim Ponzi Bernie Madoff, Charles Ponzi, iaitu perancang jahat O.G. Ponzi, skim Ponzi Allen Standford, dan skim, dan skim Ponzi Tom Petters.  Walau bagaimanapun, mendahului senarai ialah skandal Libor yang bertahun-tahun, beberapa bank terbesar dunia memanipulasikan kadar faedah yang menjejaskan kos peminjaman terhadap setiap orang. Turut disenaraikan ialah gadai janji subprima yang  menyumbang kepada krisis kewangan pada tahun 2008,  dan perniagaan penyangak  Nick Leeson.  Skandal ini, seperti yang diketahui umum,  berlaku di Singapura pada tahun 1995 sehingga menyebabkan Bank Barings terbaring.
Berhubung dengan skandal Libor, sekurang-kurangnya wujud dua tulisan yang menganggapnya jenayah pada abad ini.  Pertama oleh Robert Scheer dalam The Nation yang menegaskan bahawa banker antarabangsa moden membentuk kumpulan pencuri seakan-akan dunia tidak pernah lihat sebelum ini, atau sesungguhnya, dibayangkan.  Skandal Libor yang mengakibatkan denda yang besar dikenakan terhadap Barclays dan mengancam untuk menjebak beberapa pembiaya terkemuka dunia.  Skandal itu mendedahkan bahawa di sebalik mahligai kewangan dunia wujud limbah kumbahan yang bau busuk  amalan rasuah yang tidak pernah berlaku sebelum ini.  “Baron perompak zaman moden,” tulis Scheer, “menjarah dengan sekehendak hati pemusnahan secara keseluruhannya yang tidak terlepas daripada belenggu undang-undang atau hati nurani dan pada skala yang hampir mustahil untuk difahami.”
Scheer menarik perhatian tentang kesudian Barclays membayar AS$450 juta sebagai penyelesaian, dalam memohon tawar-menawar dengan pengawal di London dan Washington.  “Adakah setiap institusi dalam lingkungan kewangan elit mereka melakukannya?” soal Scheer, membayangkan betapa mudahnya pihak kawal selia tunduk pada  banker yang penyangak.  
Selain menegaskan bahawa banyak bank yang terlibat, di samping Barclays, beliau juga mengatakan bahawa The Wall Street Journal mendedahkan skandal ini sepenuhnya empat tahun lalu, tetapi bank yang diterajui oleh Bob Diamond terus melakukannya.  Dan, orang seperti Bob Diamond, meskipun melakukan kesalahan, pastinya mereka akan terus bebas tanpa tindakan undang-undang diambil terhadap mereka.
Tulisan kedua datangnya daripada Christopher Matthews  dalam Time, yang pada permulaan penulisan,  memetik Scheer, menyatakan bahawa abad ke-21 bergelumang dengan skandal kewangan dan skandal perakaunan.   “Pertimbangkan pentingnya kadar tanda aras ini dan rekod industri kewangan terbaharu”  hujah  Matthews, “sememangnya, tidak menghairankan banyak pihak dalam akhbar angkat tangan tentang pengakuan Barclays bahawa bank itu dengan sengaja mengemukakan kadar palsu untuk memanipulasikan Libor dengan kepentingan bank berkenaan.”  
Matthews cuba menjelaskan mengapa Barclays mengemukakan angka Libor palsu, yang menurut beliau,  Barclays dan bank besar lain mempunyai keyakinan melakukannya.  Berhubung dengan persoalan skandal Libor merupakan jenayah pada abad ini, beliau cuba melihatnya dari segi kesan kumulatif skandal ini adalah bahawa orang awam  dan kerajaan tidak lagi mempercayai industri untuk menentukan standard sendiri untuk kelakuan yang boleh diterima. Keterhakisan keyakinan dalam industri kewangan oleh ahli perniagaan dan orang awam akan menjejaskan pertumbuhan ekonomi secara amnya.
Dalam laman webnya, Immanuel Wallerstein,  “mengapa skandal Libor penuh skandal,” menegaskan bahawa memanipulasikan kadar Libor dan memindahkan  wang ke tempat berlindung cukai adalah secara mutlaknya amalan  biasa dalam ekonomi-dunia kapitalis.  Matlamat kapitalisme lagipun adalah pengumpulan modal, lagi banyak lagi bagus.   Kapitalis yang tidak memaksimumkan hasil, satu cara atau sebagainya,  tegas beliau, akan lambat-laun disingkirkan daripada permainan.  “Peranan negara,” jelas Wallerstein, “tidak pernah mengawal atau mengehadkan amalan ini, tetapi sekadar menutup selagi negara mampu.  Sekali-sekala, amalan kapitalis dan negara didedahkan, tetapi hanya beberapa orang yang dipenjarakan, atau dipaksa memulangkan keuntungan tidak sah secara teknikal.”

Meskipun skandal Libor akhirnya terbongkar dan dunia riuh-rendah  seakan-akan menuntut pelaksanaan pembaharuan kewangan, Mikhail Chernov yang menulis dalam Bloomberg, mengingatkan bahawa hukuman terhadap Libor mungkin lebih teruk daripada jenayah yang dilakukannya.  Bagi beliau, Libor wajar terus diamalkan kerana tidak ada alternatif yang lebih baik: “Libor ialah syaitan yang kita kenali.  Sebelum kita mencampakkannya ke luar dan memulakan yang baharu, kita sepatutnya mempertimbangkan potensi akibat yang tidak disengajakan.”
(Nota:  Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Ekonomi, Oktober 2012.)

Sunday, November 2, 2014

Generasi yang Hilang

AHAD, 2 November 2014
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Seperti yang dilaporkan pada pertengahan tahun ini, wujud 10 hartawan termuda di dunia; antara yang tergolong dalam senarai, Mark Zuckerberg (28 tahun), pemilik Facebook, dengan kekayaan hampir AS$15 bilion, dua adik beradik, iaitu Fahd dan Ayman,  anak Rafik Hariri,  Perdana Menteri Lubnan yang terbunuh. Sementara yang lain yang lebih kurang seusia Zuckerberg, ialah Dustin Moskovitz,  Scott Duncan, dan Albert Von Thurn Und Taxis.  Yang memasuki usia 30-an yang turut tergolong ialah Sean Parker dan Eduardo Saverin, Robert Pera,  dan satu-satunya wanita, iaitu Yang Huiyan.
            Namun, kekayaan yang dimiliki oleh mereka tidak  semestinya  membayangi golongan muda yang hidup miskin di United Kingdom akibat kemelesetan, seperti yang dinyatakan oleh penyelidikan yang diterbitkan oleh Institute for Fiscal Studies (IFS), berbanding dengan golongan tua yang kekayaan mereka semakin meningkat. Sementara itu, di Amerika Syarikat, di tengah-tengah kerancakan kempen Pilihan Raya Presiden tahun 2012, timbul persoalan: Adakah golongan belia yang menyumbang kepada Presiden Barack Obama empat tahun lalu, yang berteriakan dengan penuh semangat, terus menyokong beliau pada kali ini.? Hal ini demikian kerana, sebagaimana di banyak negara, pengangguran dalam kalangan belia di negara itu adalah tinggi: 23 peratus dalam kalangan yang berumur 18 tahun dan 19 tahun, dan 12.9 peratus dalam kalangan yang berumur  20 tahun hingga 24 tahun.
            Pada tahun 2010, iaitu ketika dunia bersiap sedia untuk menyambut Hari Belia Antrabangsa, Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) memberikan amaran bahawa pengangguran belia di seluruh dunia, mencecah tahap tinggi baru,  terus meningkat, dan memberikan amaran “risiko legasi krisis ‘generasi yang hilang’ yang terdiri daripada orang muda yang tersingkir daripada pasaran buruh, hilang semua harapan  untuk dapat bekerja untuk hidup yang memuaskan.”
             Laporan terbaharu ILO, iaitu pada akhir Mei, menyatakan bahawa seorang dalam lapan orang belia global akan tanpa pekerjaan pada tahun 2012. Jumlah ini menambah kepada 75 juta orang belia yang berumur antara 15 tahun hingga 24 tahun tanpa pekerjaan, iaitu enam peratus lebih tinggi jika dibandingkan dengan jumlah pada tahun 2007.  Kadar pengangguran belia tahun ini dijangkakan mencecah 12.7 peratus. Dari segi wilayah, pengangguran belia teruk di Timur Tengah dan Afrika Utara, iaitu seorang dalam empat orang beliau menganggur berbanding dengan Asia Selatan yang kadarnya lebih rendah, iaitu seorang dalam 12 orang menganggur. 
Pengangguran belia berlaku di setiap wilayah, bahkan Asia Timur, iaitu kadar pengangguran belia ialah 2.8 kali tinggi berbanding dengan kadar orang dewasa yang menganggur.  Kesan kemelesetan amat dirasai oleh belia di negara kaya, dengan pengangguran dalam kalangan mereka meningkat 27 peratus antara tahun 2008 hingga 2011.  Banyak orang muda di seluruh dunia terpaksa bekerja sementara, sambilan, atau kerja berproduktiviti rendah, yang menjejaskan prospek pendapatan mereka.  Kira-kira 30 peratus belia Eropah terperangkap dalam pekerjaan sambilan.
Di dua buah negara zon euro yang dilanda krisis hutang, iaitu Greece dan Sepanyol, pengangguran belia  adalah mengejutkan, iaitu 51 peratus. ILO dalam laporan yang diterbitkan pada awal Julai, Eurozone Job Crisis:  Trends and Policy Responses, menyatakan bahawa di seluruh zon mata wang bersama itu, pengangguran boleh meningkat sebanyak 4.5 juta orang pada masa empat tahun akan datang,  kecuali kerajaan menghentikan langkah jimat-cermat yang mengasak ekonomi mereka ke dalam kemelesetan.  Angka rasmi orang yang menganggur di zon euro boleh mencecah hampir 22 juta orang pada tahun 2016, meningkat daripada 17.4 juta orang.  Sementara pengangguran belia telah pun lebih 50 peratus di Sepanyol, hanya didahului oleh Greece.  Purata pengangguran golongan yang berusia di bawah 25 tahun  di zon euro ialah 25 peratus.
Laporan Organisasi Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan  (OECD) yang diterbitkan pada awal Julai, menyatakan oleh sebab krisis pekerjaan berterusan, nescaya pengangguran yang tinggi boleh secara tetap merosakkan prospek ekonomi pekerja golongan muda di dunia.  Kekurangan pekerjaan untuk pekerja yang berumur antara 15 tahun hingga 24 tahun boleh mencetuskan “kesan yang menakutkan” terhadap laluan kerjaya jangka panjang mereka dan prospek pendapatan masa depan mereka. Pengangguran purata dalam kalangan belia berkenaan di seluruh negara OECD mencecah 16.1 peratus pada Mac tahun ini. Sebanyak 35 peratus orang muda yang menganggur terpaksa hidup tanpa pekerjaan lebih setahun, dan hampir lapan peratus di zon euro tanpa pekerjaan lebih dua tahun. Angka terbaharu ini boleh dibandingkan dengan laporan terbaharu Statistics Canada, seperti yang ditunjukkan oleh OECD, bahawa pengangguran belia hampir 15 peratus berbanding dengan pengangguran 7.2 peratus untuk penduduk umum. 
Pada tahun lalu, kira-kira 18.6 peratus belia, sama ada tidak bekerja ataupun tidak bersekolah atau tidak  menyertai program latihan di seluruh 34 buah negara OECD. Menurut organisasi itu lagi, dalam tempoh itu,  pengangguran belia di Amerika Syarikat ialah 14.8 peratus,  4.6 peratus di United Kingdom, dan 10 peratus di Jepun.
Di Eropah,  selain Greece dan Sepanyol yang kadar pengangguran belia lebih 50 peratus, data Eurostat yang terbaru, dari musim bunga tahun 2012, gambarannya semakin jelas: lebih 30 peratus di Bulgaria, Itali, Portugal, dan Slovakia, manakala purata Eropah 22 peratus. “Bahaya ‘generasi yang hilang’ bukan lagi hanya tertulis  di dinding semata-mata, tetapi menjadi realiti yang menakutkan,” tulis Joerg Bergstermann dan Bjoern Hacker dalam Social Europe Journal. Banyak alasan mengapa  berlaku penggangguran belia; selain situasi umum dalam pasaran buruh, seseorang mungkin menegaskan sistem pendidikan dan latihan, pasaran buruh, dan dasar guna tenaga, tetapi juga hujah kedua-dua penulis ini, susun lapis dan pengagihan peluang dalam masyarakat.  “Seperti yang jelas kelihatan sekarang ini, kepesatan kadar pengangguran belia di banyak negara Eropah, boleh dikaitkan terutamanya dengan kedua-duanya, iaitu krisis kewangan dan ekonomi global tahun 2007 – 2010 dan modulasinya dalam krisis yang sedang berlaku yang mencengkam Kesatuan Eropah dan Kesatuan Monetari.”  Jelas Bergstermann dan Hacker lagi,  “dasar jimat-cermat yang tidak berhenti-henti yang menguasai krisis pengurusan Eropah setakat ini, boleh dipertanggungjawab terhadap kebanyakan kenaikan baru-baru ini dalam kadar pengangguran belia di Greece, Sepanyol, Bulgaria, Itali, Portugal, dan Slovakia.
Kesan buruk pelaksanaan jimat-cermat di Eropah tatkala pemulihan ekonomi masih lemah memang jelas kelihatan, iaitu banyak negara itu terjebak semula dalam kemelesetan atau disebut juga kemelesetan curam berganda, pertumbuhan ekonomi perlahan, dan kadar pengangguran tinggi, termasuk pengangguran dalam kalangan belia.  Seperti yang pernah dibahaskan oleh Iyanatul Islam dalam Social Europe Journal, “jimat-cermat fiskal dan implikasinya terhadap krisis pengangguran belia Eropah.”  Pengangguran belia mencapai perkadaran yang tidak menyenangkan di ekonomi maju dan paling ketara di zon euro.  Iyanatul memetik kajian terbaru ILO  yang menunjukkan bahawa peningkatan kadar pengangguran belia antara tahun 2009 hingga 2011 di negara OECD cenderung untuk ekonomi yang melaksanakan pengetatan fiskal yang kuat.  Anggaran regresi mudah menunjukkan bahawa satu titik peratusan  peningkatan dalam struktur (diselaraskan dari segi kitaran) keseimbangan dianggarkan meningkatkan kadar pengangguran belia sebanyak 1.5 titik peratusan.
Kadar pengangguran yang tinggi dalam kalangan beliau disebut  atau diiistilahkan sebagai “generasi yang hilang,” yang pada hakikatnya,  begitu ketara di Eropah jika dibandingkan dengan tempat-tempat lain, cerita generasi yang hilang menjadi skandal di benua itu. “Ekonomi Eropah,” tulis Harvey Morris, “menelan golongan belia di benua itu, dan keadaan menjadi semakin teruk.” Morris yang menulis  dalam International Herald Tribune pada April lalu menjelaskan bahawa masalah tidak terbatas pada zon euro semata-mata.  Di Britain, lebih satu juta orang yang berumur bawah 25 tahun tanpa pekerjaan,  jumlah terbesar dalam hampir 20 tahun.  “Akan tetapi, di seluruh zon euro,” jelas beliau lagi, “hampir 5.5 juta orang mudah tidak mempunyai pekerjaan daripada sejumlah 17 juta orang yang menganggur, mempersegar semula keprihatinan bahawa kegetiran ekono9mi di benua itu melahirkan ‘generasi yang hilang’ sambil memetik OECD yang memberikan amaran kepada para pemimpin Eropah bahawa ekonomi mereka ketinggalan di belakang pemulihan yang kuat di di Amerika Utara.  Sejak itu, berita ekonomi Eropah hanya semakin teruk.” 
Melalui makalahnya dalam Global Issues, Julio Godoy berhujah bahawa program jimat-cermat Eropah mewujudkan “generasi yang hilang.”  Peningkatan dramatik kebelakangan tentang pengangguran belia di seluruh Eropah, terutamanya negara Mediterranean yang menganggotai zon euro paling terjejas akibat krisis hutang dan program jimat-cermat, menunjukkan bahawa benua itu mengorbankan masa depannya pada altar penyatuan belanjawan jangka panjang. “Secara purata,” jelas beliau, “25 peratus tenaga buruh belia Eropah menganggur dan 25 peratus lagi hanya mempunyai pekerjaan tidak tentu, upah rendah, meskipun kebanyakan orang muda yang menganggur mempunyai kelayakan pendidikan tinggi, termasuk diploma universiti.”  Godoy mengaitkan penggangguran belia di benua itu dengan pelaksanaan jimat-cermat dan pemotongan belanjawan: Di semua negara ini yang terjejas oleh hutang kedaulatan yang tinggi dan kemelesetan ekonomi, kerajaan konservatif mengenakan pemotongan drastik dalam perbelanjaan awam, mengurangkan program kebajikan masyarakat dan pencen, dan menaikkan cukai, terutamanya perbelanjaan yang dibayar oleh para pengguna, antara langkah jimat-cermat lain.
Merentas Atlantik, iaitu di Amerika Syarikat, fenomena ini  dikesan seawal September tahun lalu apabila Adam Clark Estes menulis dalam The Atlantic Wire bahawa lebih banyak tanda bahawa belia Amerika merupakan generasi yang hilang, iaitu impak jangka panjang kemelesetan terhadap golongan belia.  Ketika dekad lalu, kadar pengangguran untuk orang muda meningkat kepada tahap tertinggi sejak Perang Dunia Kedua, iaitu hanya 55 peratus orang Amerika yang berumur 16 tahun hingga 29 mempunyai pekerjaan, jatuh 12 peratus daripada kadar guna tenaga pada tahun 2000.  “Berhadapan dengan tinjauan yang muram,” hujah Estes, “banyak orang muda tidak meninggalkan rumah sehingga mereka berumur 30-an, bilangan orang Amerika yang berumur 25 tahun hingga 34 tahun tinggal dengan ibu mereka meningkat 25 peratus ketika kemelesetan.” Beliau juga memetik Richard Freeman, ahli ekonomi di Harvard University tentang “kekalahan psikologi” yang dialami oleh mereka:  “Orang ini akan berasa takut, dan mereka akan disebut ‘generasi yang hilang’ - dalam kerjaya mereka itu tidak dalam cara yang sama jika kita mengelakkan malapetaka ekonomi.”
Kadar pengangguran yang tinggi dalam kalangan belia dapat  mencetuskan kekacauan sosial dan pergolakan politik, seperti yang berlaku di Dunia Arab sejak lebih setahun lalu. Antara yang membimbangkan akibat krisis zon euro yang berpanjangan ialah boleh mengancam kestabilan global kerana melibatkan “generasi yang hilang.” Golongan ini akan meluahkan kekecewaan dan keberangan mereka, sama ada melalui demokrasi ataupun revolusi. 

(Nota:   Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Ekonomi, September 2012.)

Saturday, November 1, 2014

Barack Obama Mara

SABTU, 1  November  2014
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH





Makalah ini siap ditulis pada 23 September dan memasuki pasaran ketika Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat tahun 2012, pada 6 November, telah pun diketahui keputusannya.  Tatkala kempen semakin rancak, model peramalan, tuduh menuduh, cabar mencabar menjadi-jadi,  tinjauan pendapat dan cerdik pandai pula berlumba-lumba untuk meramalkan siapakah pemenangnya:  Adakah Presiden Barack Obama kekal untuk penggal kedua, ataupun pencabarnya, Mitt Romney daripada Parti Republikan mengambil tempat beliau untuk bertakhta di Rumah Putih?
            Sememangnya,  diakui bahawa perlumbaan kali ini memang sengit;  faktor  pekerjaan dan ekonomi, seperti kadar pengangguran yang tinggi dan kadar pertumbuhan yang rendah menyukarkan kedudukan penjawat kini, sebaliknya memberikan kelebihan kepada pencabarnya. Kira-kira 23 juta orang yang hidup tanpa pekerjaan, yang tidak dapat tidak, sesetengahnya  menunjukkan keberangan mereka melalui peti undi.
            Begitulah  tafsiran yang mudah, sedangkan hakikat perlumbaan dalam pilihan raya tidak semudah itu.  Namun, apabila hari demi hari berlalu,   Barack Obama sememangnya,  tidak mudah ditewaskan dan kedudukannya sebagai Presiden dianggap sebagai kelebihan, meskipun ada kalanya sebagai beban.   Tambahan pula, beliau mempunyai kempen yang mantap, yang diakui oleh Republikan dan kempen Romney.  Sebaliknya, kempen Romney, dalam masa kian suntuk, seakan-akan kelihatan goyah kerana bercakaran sesama sendiri.
Lebih-lebih   kali ini,  Obama  mendapat sokongan kuat daripada bekas Presiden Bill Clinton.  Semasa Persidangan Kebangsaan Parti Demokratik di Charlotte, North Carolina, pada awal September, Clinton berucap menamakan Obama sebagai calon Presiden serta memastikan kemenangan beliau,  dan pada masa yang sama, Clinton menyuntik semangat para perwakilan sambil menyerang Republikan.  Dengan sokongan Clinton, maka Republikan terpaksa akur bahawa laluan calon mereka semakin sukar.
Beberapa model peramalan yang dikeluarkan pada bulan Ogos, menjangkakan Obama muncul sebagai pemenang.   Demikian juga dengan tinjauan pendapat yang dikeluarkan hampir setiap minggu,  kebanyakannya menunjukkan beliau terus mara, meninggalkan pesaingnya, Romney, walaupun diakui bersaing rapat. Jika pilihan raya berlangsung pada bulan September, menurut pandangan banyak pihak, pastinya beliau menang.   Sementara pertarungan di beberapa negeri berayun,  menunjukkan bahawa, sama ada  dikuasai oleh Obama ataupun kedudukan terikat. Dari segi matematik, dengan  “deposit tetap” 237 berbanding 191 untuk Romney, Obama  dijangkakan tidak menghadapi kesukaran untuk memperoleh 270 undi badan perwakilan pemilih untuk melayakkan beliau menjadi Presiden bagi  tempoh satu penggal lagi.  Beliau hanya perlu menang di Florida yang mempunyai 29 undi badan perwakilan pemilih dan sebuah negeri berayun lain, seperti Ohio yang mempunyai 18 undi  badan perwakilan pemilih.  Kedua-dua negeri tersebut kelihatan memihak kepada beliau.
            Sejak Mitt Romney memenangi pemilihan awal Republikan, tetapi belum disahkan oleh Persidangan Parti Republikan, beliau diperhatikan bukan saingan Barack Obama. Bahkan,   kempen Obama  berasa selesa apabila Romney dipilih oleh partinya sebagai calon Presiden.  Romney yang terpaksa menghadapi persaingan sengit daripada Rick Santorum dan Newt Gingrich pada peringkat pemilihan awal, belum sempat memperkukuh kedudukannya,  dibelasah oleh kempen Obama habis-habisan sehingga beliau kelihatan terhuyung-hayang.  Belum pun sempat Romney memperkenalkan dirinya kepada rakyat Amerika,  kempen Obama, melalui iklan, bertindak mentakrifkan  beliau mengikut kehendak mereka.  Langkah ini kelihatan berkesan di beberapa buah negeri berayun bahawa Romney digambarkan sebagai orang yang hidup kaya-raya, tetapi terpisah daripada rakyat dan tidak merasai denyut nadi mereka. Romney juga digambarkan sebagai  pemimpin yang tidak boleh dipercayai dan gemar berahsia.  Beliau,   antaranya dikatakan mempunyai akaun bank di Switzerland dan mengelakkan daripada membayar cukai pendapatan.  (Setakat ini, beliau mengumumkan penyata cukai pendapatan tahun 2010, dan pada 21 September, penyata cukai pendapatan tahun 2011.) 
Melihat  tindak-tanduk Romney yang membiarkan dirinya diterjah bertalu-talu oleh Obama dan kempennya,  anggota dan para penyokong Republikan bersama-sama  cerdik pandai yang memihak kepada parti itu mula gelisah.  Mereka seakan-akan   dapat merasakan bahawa Romney menolak “tuah yang datang bergolek,”  yang pada mulannya terbentang luas.  Hal ini mendorong editorial The Wall Street Journal, William Kristol dalam Weekly Standard, dan Rupert Murdoch, antaranya,   bersuara meluahkan keresahan mereka bahawa adakah calon pilihan mereka bersedia untuk menang atau sebaliknya.
            Romney memasuki gelanggang dengan menggalas bagasi yang dengan mudah dijadikan oleh kempen Obama untuk melancarkan serangan.  Tempoh pemegangan jawatan Romney di Bain Capital sebagai ketua pegawai eksekutif dan pengerusi yang beliau dengan bangga menggunakannya sebagai “kad panggilan,” akhirnya membawa padah.  Bain Capital, menurut kempen Obama dan pendedahan oleh beberapa akhbar dan majalah, seperti Boston Globe, The Washington Post, The New York Times, The Huffington Post, Los Angeles Times, The Associated Press,  Mother Jones, dan Vanity Fair, menyumberluarkan pekerjaan ke China, India, dan Mexico, melabur di Kepulauan Cayman untuk mengelakkan cukai, memecat pekerja dengan sewenang-wenangnya,  mengaut keuntungan dengan membiarkan syarikat yang diambil alih jatuh muflis, dan bermacam-macam cerita yang tidak elok tentang tentang firma ekuiti ini.
            Pemilihan Paul Ryan oleh Romney sebagai regunya, iaitu sebagai calon Naib Presiden, dianggap oleh banyak pihak sebagai langkah yang silap, meskipun pada mulanya  dianggap sebagai pengubah permainan dan sebagai usaha penjenamaan semula. Romney semata-mata dikatakan memilih Ryan atas desakan puak konservatif dalam Republikan, walaupun penasihat Romney tidak  bersetuju dengan pemilihan itu.  Ryan yang gemar berdusta, dianggap lebih teruk daripada Sarah Palin, iaitu calon Naib Presiden dalam pilihan raya tahun 2008. Rekod prestasinya sebagai anggota  Perwakilan dari Wisconsin  dan Pengerusi Belanjawan Dewan Perwakilan dijadikan modal oleh kempen Obama.  Hari demi hari berlalu, Ryan kelihatan lebih banyak merosakkan daripada membantu Romney.
            Musim panas secara keseluruhannya tidak memihak kepada Romney, bahkan Persidangan Kebangsaan Parti Republikan di Tampa, Florida, pada akhir Ogos tidak banyak membantu beliau.  Tokoh yang diundang untuk berucap, kebanyakannya cenderung memperkenalkan dirinya masing-masing, dan bukannya memperkenalkan calon mereka.  Kehadiran bintang veteran, iaitu Clint Eastwood yang semasa berucap bercakap dengan kerusi kosong yang dianggap sebagai Barack Obama, merosakkan seluruh persidangan yang penting itu kerana tumpuan banyak diberikan terhadap kerusi kosong itu berbanding dengan ucapan penerimaan pencalonan oleh Romney  yang berucap selepas itu. 
Akibatnya, menurut pelbagai tinjauan pendapat, tidak seperti yang diharapkan, tidak banyak lantunan yang berlaku hasil persidangan itu.  Hal ini jauh berbeza dengan Persidangan Parti Demokratik yang dianggap begitu berjaya, walaupun ucapan Obama agak mengecewakan. Hasil  persidangan parti   itu menyaksikan lantuntan yang tinggi, iaitu kepopularan Obama meningkat, jauh meninggalkan Romney, dan rentak ini berlanjutan pada  minggu kedua dan minggu seterusnya selepas persidangan. 
Dalam analisisnya tentang beberapa tinjauan pendapat pascapersidangan, Harry J. Enten yang menulis dalam The Guardian pada 20 September, menegaskan bahawa muktamad bahawa Obama memperkukuh kedudukannya yang mendahului lawannya. “Berita buruk untuk Romney,” tulis Enten, “tidak ada calon Presiden yang dapat bangkit daripada ketinggalan tiga titik peratusan selewat ini dalam kempen dalam masa 60 tahun.”
Dalam tulisannya sehari selepas itu, Harry J. Enten, masih menegaskan bahawa walaupun Obama memperoleh sokongan kurang daripada 50 peratus,  beliau ialah calon pilihan untuk bulan November ini.  Dengan sokongan 48 peratus, Obama sebagai penjawat kini, pada kedudukan yang selesa, dengan andaian, pertama, kemunculan beberapa calon parti ketiga yang lazimnya meraih  undi hingga dua peratus; kedua, dari segi sejarah, para pengundi yang tidak membuat keputusan, tidak akan pergi kepada pencabar; dan ketiga, para pengundi yang tidak membuat keputusan, sebahagian besarnya bukan penyokong Romney.  
Sementara kajian di seluruh negara oleh Pew Research Center menunjukkan bahawa Obama mempunyai kedudukan yang lebih baik untuk memenangi pilhan raya November ini jika dibandingkan dengan mana-mana calon Presiden sejak Bill Clinton.  Kajian yang dikeluarkan pada akhir September menujukkan bahawa beliau mendahului lawan sebanyak lapan titik peratusan dalam kalangan kemungkinan pengundi, iaitu 51 peratus berbanding dengan 43 peratus.
Mitt Romney cenderung melakukan kesilapan yang bodoh, yang boleh menjejaskan peluangnya untuk ke Rumah Putih, walaupun Barack Obama juga melakukan kesilapan seperti itu.  Semasa di kota London sempena Sukan Olimpik, beliau mengeluarkan komen bahawa tuan rumah, tidak bersedia sehingga mencetuskan keberangan Perdana Menteri David Cameron, Datuk Bandar Boris Johnson, dan media di Britain. Seterusnya, ketika di Israel, Romney membandingkan taraf sosioekonomi rakyat Israel yang jauh lebih baik berbanding dengan umat Palestin.  Apabila pada bulan September, kedutaan Amerika Syarikat di Kaherah dan di Benghazi diserang sehingga seorang diplomat dan tiga orang lain terbunuh, Romney mengambil kesempatan untuk mengkritik Pentadbiran Obama dan bukannya untuk memperlihatkan dirinya sebagai seorang negarawan.  Akibatnya, beliau dikritik oleh pelbagai pihak, manakala Obama menuduh beliau, “tembak dahulu, sasar kemudian,” dan John McCain, bekas calon Presiden tahun 2008, mengingatkan “Romney perlu melihat gambar yang lebih besar.”
Kesilapan bodoh yang teruk yang Romney lakukan  adalah  ketika majlis pengumpulan dana kempennya  di Florida, pada 17 Mei, yang pita videonya didedahkan oleh David Conn dalam Mother Jones, pada pertengahan September.  Beliau dilaporkan berkata bahawa 47 peratus penduduk Amerika, iaitu mereka yang menyokong Presiden Obama ialah “mangsa” yang “bergantung pada kerajaan” dan “tidak membayar cukai pendapatan.”  Beliau menegaskan:  “Tugas saya tidak perlu bimbang akan golongan ini.  Saya tidak akan meyakinkan mereka bahawa mereka sepatutnya mengambil tanggungjawab peribadi dan menjaga diri mereka.”  Kata-kata itu digunakan oleh Obama dan kempennya untuk menyerang Romney, manakala pengulas politik menganggap Romney bodoh dan angkuh, dan beliau menjurus ke arah kekalahan.  “Dalam menghitung detik 48 hari, Romney,” catat Howard Fineman dalam blog The Huffington Post.  Melihat minggu yang penuh gelora yang terpaksa diharungi oleh Romney, maka ulas David Brooks, kolumnis The New York Times yang muncul dalam program televisyen NBC,  “calon yang kurang popular dalam sejarah.”
Obama  mempunyai kekuatan dari segi dasar luar, manakala Romney dari segi ekonomi.  Malangnya, kekuatan Romney ini mula disaingi oleh Obama. Romney dan Republikan  juga  mempunyai kelebihan dari segi kewangan kerana dikelilingi oleh penderma besar, tetapi kekuatan ini juga dapat diimbangi oleh Obama dan Parti Demokratik.     Sebaliknya, kekuatan Obama selain kempen, iaitu tenaga manusia yang sanggup turun ke lapangan untuk mendekati pengundi dan media sosial, tidak dapat disaingi oleh Romney.
 Secara keseluruhannya, Mitt Romney kelihatan  terhuyung-hayang di curam kekalahan kerana terpaksa bergelut dengan masalah dirinya dan masalah kempennya, walaupun masih awal untuk mengatakan beliau berkubur, manakala Barack Obama, terlalu awal untuk meraikan kemenangan. Bahkan, kempennya terpaksa melipatgandakan usaha demi mengelakkan sikap berpuas hati dalam kalangan pengundi.  Selagi  permainan belum tamat, maka selagi itulah wujud persaingan. Di samping faktor dalam negara, seperti pekerjaan dan ekonomi, faktor luar negara, seperti krisis zon euro, pergolakan di Timur Tengah, berikutan penyebaran Innocence of Muslims, dan program nuklear Iran, boleh mengubah permainan yang menyebabkan penjawat kini terpaksa mengharungi minggu yang panjang. 
(Nota:  Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Masyarakat, November 2012.) 


Wednesday, October 29, 2014

Presiden Lawan Ekonomi

RABU, 5 November 2014
Oleh:   ZULKIFLI  SALLEH





Selepas Jabatan Buruh Amerika Syarikat mengumumkan bahawa pada bulan Ogos (2012) hanya 96,000 pekerjaan diwujudkan berbanding dengan anggaran130,000 pekerjaan, dan meskipun kadar pengangguran di negara itu jatuh daripada 8.3 peratus pada Julai  kepada 8.1 peratus, Ezra Klein yang menulis dalam blog The Washington Post,  menegaskan bahawa “Presiden lawan ekonomi.”  Penurunan kadar pengangguran  sebenarnya berpunca daripada sebilangan penganggur meninggalkan pasaran buruh, iaitu mereka tidak mahu mencari pekerjaan lagi.
Laporan bulanan  tentang pekerjaan  yang muram itu dijangkakan membayangi kejayaan  Persidangan Kebangsaan Parti Demokratik di Charlotte, North Carolina, yang baru sahaja selesai.  Presiden Barack Obama yang berucap untuk menerima pencalonan daripada partinya  kelihatan tidak setanding  bekas Presiden Bill Clinton dan isterinya, Michelle, yang berucap sebelum itu,  kerana beliau  “terganggu” oleh   laporan tersebut   yang beliau terima lebih awal:   krisis pekerjaan masih wujud. “Ucapan itu,” hujah Klein, “adalah sesuai untuk  ekonomi pada pengangguran 6.5 peratus dan bukannya pengangguran 8.1 peratus.”
Ketika pengumuman Jabatan Buruh itu dibuat 7 September, Pilihan Raya Presiden tahun 2012 hanya tinggal dua bulan lagi.  Dengan kadar pengangguran yang tinggi dan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pula kurang daripada dua peratus, pastinya  penjawat kini, iaitu Presiden Barack Obama menghadapi laluan yang sukar untuk  penggal kedua.  Sejak zaman Franklin D.  Roosevelt, tidak ada Presiden Amerika Syarikat yang dapat mempertahankan jawatannya apabila kadar pengangguran lebih lapan  peratus.  Laporan pekerjaan itu diramalkan akan  merancakkan lagi kempen di kedua-dua belah pihak, iaitu Barack Obama dan lawannya, Mitt Romney daripada Republikan.  “Kita menuju arah yang salah,” isytiharkan Romney, memandangkan masih banyak rakyat Amerika yang  terhuyung-hayang akibat kemelesetan yang teruk.  “Kita tahu tidak cukup,” ulas Obama, “Kita perlu mewujudkan lebih banyak  pekerjaan dan lebih cepat.”
Beberapa laporan lain yang tidak memberangsangkan, menambahkan lagi tekanan terhadap Presiden Obama.  Tatkala kedua-dua calon yang bertanding berusaha untuk meraih sokongan golongan kelas menengah, pada  Ogos lalu, Pew Research Center, mengeluarkan laporan The Lost Decade of the Middle Class, menunjukkan bahawa sejak tahun 2000, golongan itu mengecil dari segi saiz, merosot  dari segi pendapatan dan kekayaan, membayangkan kemungkinan keterhakisan golongan itu pada masa hadapan.
Seterusnya, pada September, Biro Banci Amerika Syarikat menerbitkan  Income, Poverty, and Health Insurance Coverage in the United States: 2011, menunjukkan  banyak lagi berita buruk untuk kelas menegah. Ketidaksamaan ekonomi  terus meningkat, dipacu oleh pertumbuhan pendapatan dalam kalangan orang kaya Amerika, manakala golongan yang berpendapatan lebih sederhana mendapati pendapatan mereka mereka beku atau bahkan merosot. Pendapatan isi rumah median terus jatuh pada tahun 2011, tahun kedua pemulihan ekonomi, iaitu jatuh kira-kira empat peratus.  “Ketidaksamaan pendapatan semakin teruk,” tulis Timothy Noah dalam The New Republic. “Seperti yang kita ketahui bahawa golongan kaya terus meningkatkan bahagian mreka daripada pendapatan kolektif negara pada tahun 2010, apabila secara luar biasa 93 peratus pemulihan masuk ke dalam saku golongan satu peratus.”
Laporan itu juga menyatakan bahawa 46.2 juta rakyat Amerika hidup dalam kemiskinan, dengan garis kemiskinan untuk keluarga seramai empat orang ialah AS$22,811.  Kejatuhan jumlah ini dianggap baik dan agak memeranjatkan kerana Amerika Syarikat masih bersusah payah untuk pulih daripada kemelesetan.  Data menunjukkan bahawa kadar kemiskinan keseluruhan 15.0 peratus adalah rendah pada tahun 2011 berbanding dengan 15.1 peratus pada tahun sebelum ini, suatu perbezaan kira-kira 96,000 orang.
Ketika Barack Obama bersiap sedia untuk pertarungan penggal keduanya, penggunaan setem makanan dilaporkan, mencecah rekod tertinggi, iaitu 46.7 juta pada Jun. Penyertaan meningkat 0.4 peratus dari Mei dan 3.3 peratus lebih tinggi jika dibandingkan dengan tahun lalu dan kekal lebih besar daripada 46 juta sepanjang tahun kerana kadar pengangguran masih tinggi.  “Terlalu banyak keluarga kelas menengah yang hidup dalam kesusahan masih terpaksa bersusah payah,” jelas Setiausaha Pertanian, Tom Vilsack melalui e-mel kepada Bloomberg pada awal September lalu. “Matlamat kami adalah untuk menyediakan bantuan yang keluarga ini perlukan agar mereka mampu mengharungi masa yang sukar ini dan kemudian mampu berdikari semula secepat yang mungkin.”   Perbelanjaan stem makanan meningkat lebih berlipat ganda dalam masa empat kepada rekod tertinggi AS$75.7 bilion pada tahun fiskal yang  berakhir 30 September 2011, merupakan perbelanjaan terbesar Jabatan Pertanian Amerika Syarikat (USDA).
Sementara itu, seperti yang dilaporkan oleh CNN yang memetik USDA,   pada awal September, lebih 50 juta orang Amerika, tidak mampu membeli makanan pada masa tertentu pada tahun 2011.  Kanak-kanak dalam kira-kira 3.9 juta isi rumah sengsara akibat keadaan tidak keselamatan   makanan (food insecurity) pada tahun lalu, dengan keluarga mereka tidak mampu menyediakan makanan berkhasiat yang cukup.  Hampir 17 juta orang Amerika sengsara akibat “keselamatan  makanan yang rendah,” bermakna mereka terpaksa mengurangkan jumlah makanan yang mereka makan, iaitu makanan yang mereka beli tidak dapat tahan lama dan mereka tidak cukup wang untuk membeli makanan yang banyak.  Mereka lazimnya mendapati diri mereka dalam situasi sedemikian beberapa hari dalam sebulan untuk tujuh bulan setahun.  Bilangan orang dalam kategori ini meningkat sebanyak lebih 800,000 orang daripada jumlah pada tahun 2010.
Seperti Pilihan Raya Presiden pada tahun 2008, ekonomi dianggap merupakan faktor utama dalam pilihan raya kali ini.  Ketika itu, Amerika Syarikat  terjebak dalam kemelesetan, dan tatkala kempen sedang rancak, tiba-tiba pada pertengahan September, Lehman Brothers mengisytiharkan kemuflisan yang menyebabkan berlaku runtuhan Wall Street dan pasaran saham dunia lintang-pukang.  John McCain daripada Republikan yang ketika itu  mendahului Barack Obama, bagaikan dihempap oleh runtuhan itu dan terus tidak bangkit hingga hari pilihan raya.  Kini,  walaupun  Amerika telah keluar daripada kemelesetan pada pertengahan tahun 2009,   sebilangan besar penduduk tidak merasainya  kerana   kadar pertumbuhan rendah dan kadar pengangguran masih tinggi. Sememangnya,  ekonomi  tidak memihak kepada Barack Obama, bahkan kadar pengangguran yang diumumkan pada  Jumaat pertama setiap bulan, seakan-akan terus menzalimi beliau.  Prestasi ekonomi beliau tidak memuaskan, dan dengan itu, beberapa tinjauan pendapat menunjukkan bahawa rakyat Amerika lebih yakin kepada Mitt Romney untuk mengurus ekonomi dan menangani pengangguran. Dalam kad laporan Obama pada akhir penggal, The Economist memberikan gred untuk perkara yang berikut: Respons terhadap krisis (A-); rangsangan (B+); perumahan (C+); pasaran buruh (C+); perdagangan (B-); dasar perindustrian (F); kawal selia (D+); dan hutang/dasar fiskal (tidak lengkap).
Sementara Robert J. Samuelson yang menulis dalam The Washington Post, memberikan gred C+ untuk kad laporan ekonomi Presiden Obama, iaitu kurang bermutu terbaik, meskipun mengakui bahawa Presiden biasa tidak banyak pengaruh terhadap ekonomi.  Terlalu besar dan tertakluk kepada terlalu banyak kuasa kompleks, daripada teknologi baru kepada keadaan global.  Lagipun, banyak pihak yang terlibat, seperti Kongres untuk cukai dan perbelanjaan, Rizab Persekutuan untuk pasaran kewangan, dan agensi kawal selia.  “Presiden selalunya dipersalahkan atau diberikan pujian,” tegas Samuelson, “kerana ekonomi apabila mereka tidak wajar juga.  Akan tetapi, ketika krisis, Presiden memperoleh kuasa. Oleh sebab itu, Obama akan dan sepatutnya dinilai dari segi prestasi ekonomi.” 
Lebih menarik daripada keseluruhan gred saya, jelas Samuelson ialah komponenannya. “Untuk enam bulan pertama, saya memberinya A-; untuk bulan seterusnya, C- atau D. Saya memberikan wajaran dua gred itu secara seimbang kerana beliau wajar diberikan banyak pujian kerana menghentikan jatuh bebas ekonomi apabila memegang jawatan Presiden.”
Jika isu ekonomi dibangkitkan atau laporan tentang ekonomi dikemukakan, Demokrat dan kempen Obama kelihatan bersifat defensif, sesuatu yang sukar untuk dijawab atau dijelaskan.  Sebelum Persidangan Kebangsaan Parti Demokratik, mereka dikemukakan  soalan yang pernah dikemukakan oleh Ronald Reagan pada tahun 1980, ketika mencabar penjawat kini, Presiden Jimmy Carter: “Adakah rakyat Amerika lebih baik sekarang berbanding dengan empat tahun lalu?”
Beberapa anggota Demokrat yang diajukan soalan itu tidak cuba menjawabnya, sebaliknya mereka menyerang kempen Romney yang menurut mereka, tidak segan silu berdusta kepada pengundi. David Plouffe, penasihat kanan Rumah Putih enggan memberikan jawapan, sama ada ya ataupun tidak. Apabila pengacara program televisyen ABC,  George Stephanopoulos berulang-ulang kali bertanyakan beliau:  “Anda masih tidak dapat memberikan jawapan ya.”  “Jelas kita semakin baik, George,” jawab Plouffe. “Kita mencapai banyak kemajuan daripada kemelesetan yang teruk ... Kita perlu terus pulih.”   Sementara dalam program Fox News,  ahli strategi kempen Obama, iaitu David Axelrod, enggan memberikan jawapan yang berterus terang, manakala Gobenor Maryland, Martin O’Malley, yang muncul dalam program televisyen CBS, kelihatan tidak bersemangat, “Tidak, tetapi itu bukan soalan pilihan raya ini.”
Hanya selepas itu, dalam usaha mengawal “api daripada terus marak,”  daripada dijadikan modal oleh kempen Romney, anggota Demokrat lebih tegas memberikan jawapan mereka.  Misalnya, ketika ditanya, sama ada rakyat Amerika lebih baik, dalam program televisyen NBC, timbalan pengurus kempen Obama, iaitu Stephanie Cutter, memberikan jawapan yang muktamad dengan menyenaraikan statistik peningkatan pengangguran dan kemerosotan upah dalam masa enam bulan sebelum Obama menjadi Presiden. Mengikut mana-mana ukuran, negara ini mengorak langkah sepanjang empat tahun lalu. Bahkan, Martin O’Malley mengubah jawapannya, memberitahu CNN, “Kita jelas lebih baik sebagai sebuah negara kerana kita kini mewujudkan pekerjaan berbanding dengan kehilangan pekerjaan.”
Benarkah  ekonomi menentukan keputusan Pilihan Raya Presiden tahun ini?  Jika demikian,  bahkan diakui oleh anggota Republikan sendiri, Obama sudah lama berkubur;  sebaliknya, beliau masih dan terus kuat.  Tinjauan pendapat demi tinjauan pendapat yang dikeluarkan, khususnya selepas persidangan partinya, beliau terus mendahului Romney, baik di peringkat nasional, mahupun di peringkat negeri berayun yang kebanyakan beliau kuasai.   Sejak berbulan-bulan, Romney masih gagal memisahkan para pengundi yang masih  mendakap setia pada Obama, meskipun kempen demi kempen dilancarkan, iklan demi iklan disiarkan.  Dari segi kepopularan dan dasar luar, nyata bahawa Romney tidak mampu menyaingi lawannya.
Medan pertarungan yang sepatutnya dikuasai oleh Romney, iaitu ekonomi,  Obama menampakkan kemaraannya.  Daripada belanjawan kepada pencukaian kepada penjagaan kesihatan, kempen Romney gagal meyakinkan rakyat, dan terutamanya para pengundi.  Bahkan, janji Romney  untuk mewujudkan 12 juta pekerjaan dalam penggal pertama jika beliau dipilih sebagai Presiden, diragui oleh banyak pihak, terutamanya ahli ekonomi dan para penganalisis.
Hakikatnya, setakat ini, ekonomi belum lagi membawa  bencana terhadap Obama, dan kemungkinannya hal ini berterusan pada 6 November ini, walaupun dua  lagi laporan pekerjaan dan satu lagi laporan KDNK akan diumumkan.  Lagipun, ekonomi sekarang diperhatikan tidak seburuk tahun 1980 yang menyaksikan kekalahan Carter di tangan Reagan. Menurut rekod, Presiden daripada Parti Demokratik didapati lebih baik dari segi mengurus ekonomi dan mewujudkan pekerjaan; ketika Obama, lebih empat juta pekerjaan diwujudkan, biarpun pengangguran masih tinggi.
Diketahui umum, Barack Obama mewarisi masalah daripada George W. Bush, tetapi  beliau pastinya tidak dapat cuci tangan dengan menyalahkan Presiden sebelumnya.  Lebih-lebih lagi Obama banyak menghabiskan masa, iaitu dua tahun pertama  untuk memperkenalkan pelan penjagaan kesihatan – padahal, beliau sepatutnya memberikan tumpuan terhadap pemulihan ekonomi dan usaha untuk mewujudkan pekerjaan.  Sementara  anggota Republikan, baik semasa merupakan minoriti, mahupun majoriti dalam Dewan Perwakilan, iaitu selepas Pilihan Raya Separuh Penggal tahun 2010, enggan bekerjasama dengan Obama sehingga parti itu dikenali sebagai “parti tidak.” Bahkan, sebaik-baik sahaja Obama memenangi Pilihan Raya Presiden,  tetapi belum lagi memegang jawatan itu, Republikan mengisytiharkan bahawa mereka tidak akan bekerjasama dengan beliau.   Bagi mereka, “demi memastikan Obama hilang pekerjaan, biarkan rakyat  tanpa pekerjaan.”  
Rakyat  kini  menyalahkan Washington, iaitu Dewan Perwakilan, Senat, dan Rumah Putih terhadap masalah yang wujud, baik dari segi ekonomi mahupun politik.  Seperti yang pernah ditegaskan oleh bekas Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, Robert Gates, kegagalan menangani hutang dan masalah belanjawan yang teruk adalah kerana ahli politik Republikan dan Demokratik “lebih mementingkan kemenangan dalam pilihan raya dan meraih kemenangan ideologi berbanding dengan menyelamatkan negara.”
Memang  Obama boleh dikatakan gagal dari segi ekonomi, tetapi Romney gagal mengemukakan alternatif yang terbaik.  Dalam pilihan raya kali ini, rakyat nampaknya  perlu membuat pilihan antara dasar yang gagal dengan alternatif yang teruk. Pastinya, pilihan raya kali ini bukannya pertarungan angka semata-mata, bukannya hanya kuantitatif, tetapi ini juga kualitatif, yang dari segi ini Obama banyak mempunyai kelebihan berbanding dengan Romney. Kempen yang kurang cacat juga banyak membantu kemenangan calon, dan dari segi ini, kempen Obama mempunyai kelebihan berbanding dengan kempen Romney.
Ketika makalah ini ditulis, iaitu pada pertengahan September, The Huffington Post menunjukkan bahawa Barack Obama menguasai 316 berbanding 206 undi badan perwakilan pemilih untuk Mitt Romney,  manakala masih wujud dua buah negeri berayun, iaitu Wisconsin dan Iowa. Pastinya, dalam masa kira-kira 50 hari, kedudukan itu akan berubah-ubah.  Sementara Nate Silver, penganalisis yang sering dirujuk,  melalui kolumnya dalam The New York Times, dalam ramalannya pada 18 September, Obama memperoleh 320.2 undi badan perwakilan pemilih  berbanding 217.8 untuk Romney.  Peluang Obama menang pula ialah 91.3 peratus berbanding 8.7 peratus untuk Romney.
Ketika majalah  ini beredar dalam pasaran pada bulan November, keputusan pilihan raya telah pun diketahui. Maka,  dapat disahkan, sama ada Obama menang kerana kempennya, biarpun ekonomi teruk, ataupun Romney menang kerana ekonomi, biarpun kempennya teruk.
(Nota:  Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Ekonomi, November 2012.) 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...