Artikel Popular

Monday, August 11, 2014

Cuba: Runtuhnya Kubu Komunisme?

ISNIN, 11 Ogos 2014
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH



Tembok, benteng, kubu, dan seumpamanya sering digunakan secara simbolik dan  retorik untuk menunjukkan kekuatan sesuatu yang seolah-olahnya tidak akan runtuh.  Namun hakikatnya, berlaku sebaliknya, misalnya Tembok Berlin runtuh lebih 20 tahun lalu; Kesatuan Soviet yang merupakan benteng Komunisme berkecai;  demikian juga  kapitalisme yang berkubu kuat di Amerika Syarikat diisytiharkan menang dalam Perang Dingin, akhirnya tersungkur.
            Kini, perhatian tertumpu terhadap Cuba, iaitu sebuah negara daripada sebilangan kecil negara yang masih setia kepada Komunisme, meskipun sebuah demi sebuah negara di Eropah Timur berpaling tadah.  Pope Benedict XVI yang dalam rangka lawatan ke Cuba pada akhir Mac lalu, menyarankan agar negara itu meninggalkan Komunisme. Beliau yang secara terus terang dilaporkan berkata bahawa Marxisme sudah tidak ada tempat di dunia sezaman dan menggesa rakyat Cuba mencari "model baru."  Menjawab pertanyaan tentang lawatannya ke Cuba, yang masih kekal menjadi kubu Komunisme sejak lebih 50 tahun, Benedict berkata:  "Hari ini terbukti bahawa ideologi Marxis dari segi cara ideologi adalah  difikirkan tidak lagi secocok dengan realiti."
Cuba terpaksa hidup dalam darurat untuk tempoh yang sangat panjang.  Kesengsaraan yang sangat mendalam yang perlu diatasi dalam keadaan tersebut bukan terbatas kepada akibat sekatan Amerika.  Selepas berkuburnya sistem Soviet, situasi dikatakan semakin teruk, bukan hanya menerusi sekatan Amerika yang semakin ketat, dengan dibuai harapan Cuba segera runtuh, tetapi juga kerana negara itu tiba-tiba hilang pasaran utama dan sumber bekalannya.  Akibatnya, pengambilan kalori dan protein penduduk terpaksa dikurangkan hampir separuh, dan tahun-tahun yang menyakitkan “tempoh istimewa” diperlukan untuk memulihkan keperluan pemakanan rakyat kepada tahap yang awal.
Meskipun Amerika Syarikat mengenakan sekatan lebih 50 tahun yang bertujuan untuk menggulingkan Fidel Castro, negara itu dapat meneruskan kelangsungannya. Cuba juga berjaya menafikan ramalan bahawa negara itu tidak dapat bertahan berikutan keruntuhan penyokong kuatnya, iaitu Kesatuan Soviet. Lenyapnya bantuan Soviet dan runtuhnya Kesatuan Soviet memaksa kerajaan Cuba memperkenalkan kawalan yang ketat terhadap tenaga, makanan, dan barang pengguna.  Ekonomi diteruskan dengan pertolongan pelaburan Kanada, Eropah, dan Amerika Latin, terutamanya dalam bidang pelancongan.  Namun, kawalan dilonggarkan pada tahun 1990-an, apabila syarikat dibenarkan mengimport dan mengeksport tanpa perlu mendapatkan kebenaran dan beberapa zon perdagangan bebas dibuka.
Sejak tumbangnya diktator yang disokong oleh Amerika Syarikat, iaitu Fulgencio Batista pada tahun 1959, Cuba merupakan negara satu parti yang diketuai oleh Fidel Castro hingga Februari 2008 apabila beliau melantik penggantinya, iaitu adiknya sendiri, iaitu Raul Castro. Mengeksploitasi Perang Dingin Amerika Syarikat-Soviet Union, Fidel Castro dikatakan sejak berdekad-dekad mampu bergantung pada sokongan kuat Soviet, termasuk subsidi tahunan bernilai AS$4-AS$5 bilion, dan berjaya membina sistem kesihatan dan pendidikan yang bereputasi baik.  Walau bagaimanapun, beliau didapati gagal mempelbagaikan ekonomi Cuba sebahagiannya adalah kerana sekatan perdagangan yang dikenakan oleh Amerika Syarikat.
Di bawah kepimpinan Raul Castro, Cuba diperhatikan   terbuka selera terhadap pasaran bebas akhir-akhir ini apabila beliau memperkenalkan pembaharuan pasaran.  Gereja Katolik menyokong usaha ini, dan lawatan  Pope Benedict  merangsang usaha untuk membuka negara itu.  Raul  dikatakan mahu menggabungkan ekonomi dikendalikan negara dengan pembaharuan berasaskan pasaran dengan harapan mengubah Cuba yang mempunyai 11 juta orang penduduk, menjadi semacam  Vietnam Carribbean. 
Majalah The Economist dalam keluaran akhir Mac, seakan-akan meraikan perubahan yang berlaku, muncul  dalam ruangan Leaders  dengan makalah “Cuba: The Road to Capitalism” menegaskan bahawa “akhirnya, perubahan berlaku di Cuba dan meletakkan harapan pada Amerika untuk menggalakkannya.”  Negara itu memulakan perjalanan ke arah kapitalisme dan bahawa itu akan mempunyai impak yang besar terhadap Amerika Syarikat dan negara lain di Amerika Latin. Sambil mengenang kembali, makalah itu mencatatkan Fidel Castro membuka sedikit ekonomi pulau itu pada awal tahun 1990-an, selepas runtuhnya Kesatuan Soviet dan menarik balik subsidinya, hanya menghentikan langkah itu apabila beliau menemui dermawan baru di Venezuela, iaitu Hugo Chavez.
Dalam keluaran yang sama,  The Economist memuatkan  Laporan Khas, “Revolution in Retreat,” yang ditulis oleh Michael Reid, yang menegaskan bahawa Cuba yang memulakan perjalanan ke arah kapitalisme akan mengambil satu dekad dan menghadapi pertarungan politik yang besar untuk sempurna. Reid mengimbas kembali peristiwa pada 31 Julai 2006 apabila televisyen negara Cuba menyiarkan kenyataan Fidel Castro bahawa beliau akan menjalani pembedahan kecemasan dan sementara waktu menyerahkan jawatannya kepada adiknya, Raul.  Pemakluman itu, seperti yang dinyatakan oleh Reid,  “dirasakan seperti berakhirnya era” membayangkan bahawa lambat-laun,  lembaran baru akan bermula di negara itu selepas bab tentang Fidel ditutup.
Raul Castro yang secara rasminya mengambil alih jawatan Presiden Cuba pada Februari 2008 dan sebagai Setiausaha Pertama Parti Komunis pada April 2011, mencuba memulihkan ekonomi pulau itu yang nazak dengan melakukan perubahan besar-besaran daripada  negara kepada pihak swasta, dengan implikasi sosial dan politik yang mendalam.
“Pembaharuan ekonomi,” tulis  Michael Reid, “menetapkan 133 ‘garis panduan’ yang diluluskan oleh kongres Parti Komunis pada April 2011, dilaksanakan secara perlahan-lahan dengan terlalu berhati-hati. Hal ini demikian kerana pembaharuan tersebut terpaksa menghadapi tentangan yang kuat dari dalam parti dan birokrasi.”  Jelas beliau, “kepimpinan menghindarkan perkataan ‘pembaharuan,’ hanya menggunakan ‘peralihan.’ Istilah   yang dicemari oleh keruntuhan Kesatuan Soviet, iaitu peristiwa yang masih menghantui para pemimpin Cuba.  Secara rasmi, perubahan dijelaskan  sebagai ‘mengemaskinikan,’ iaitu ‘pelaku bukan negara’ dan ‘koperasi’ akan digalakkan.” Akan tetapi, bahas Reid,  “apa-apa jua bahasanya, ini bermakna kemunculan sektor swasta.”
Presiden baru ini diperhatikan sering berkata bahawa beliau bercita-cita untuk “menjadikan sosialisme mapan dan tidak boleh ditarik balik.” Ketika berucap dalam Perhimpunan Nasional pada Disember 2010, Raul menegaskan: “Ekonomi akan terus berasaskan perancangan, bukannya pasaran, dan ‘penumpuan harta’ adalah dilarang.” Namun, Raul  diperhatikan masih dibayangi oleh Fidel, iaitu beliau mengambil sikap berhati-hati supaya tidak bercanggah dengan abangnya secara terbuka.  Setiap ucapannya mengandungi beberapa petikan hormat daripada Fidel, yang meskipun dalam separuh persaraan adalah masih dirundingi tentang keputusan besar.
Laporan Khas The Economist itu menegaskan bahawa apa-apa jua hasrat para pemimpin Komunis Cuba, mereka mendapati adalah mustahil untuk mencegah pulau mereka daripada bergerak ke arah beberapa bentuk kapitalisme.  Apa yang sukar diramalkan ialah, sama ada mereka terus mengawal proses perubahan, ataupun akan membawa kepada demokrasi.
Tidak seperti abangnya, Fidel, yang pernah menghentikan pembaharuan yang beliau laksanakan selepas keruntuhan Kesatuan Soviet, Raul menegaskan bahawa kali ini, pembaharuan akan berlaku secara perlahan-lahan dan stabil.  Walau bagaimanapun, seperti yang dinyatakan oleh Reid bahawa Raul bukan liberal. Beliau dan  “Che” Guevara ialah Marxis ortodoks, bersama-sama berjuang menggulingkan Batista, diktator yang korup yang disokong oleh Amerika.
Laporan Khas yang agak panjang itu juga mengandungi makalah tentang kemiskinan dan ketidaksamaan; jumlah penduduk yang semakin berkurangan dan berumur; ekonomi, iaitu bergerak ke arah kapitalisme; politik, iaitu tidak berlaku pemberontakan di Cuba, maka perubahan mesti datangnya dari dalam Parti Komunis;   rakyat Amerika keturunan Cuba yang pernah dianggap oleh Fidel sebagai ulat, tetapi Raul menganggap mereka sebagai sebahagian bangsa;  dan tanda tanya siapa dan apakah yang akan menyusuli Raul?
Walaupun Fidel pada kaca mata Barat dianggap diktator, beliau berkiblat ke Moscow, dan Cuba menanggung sengsara akibat  sekatan ekonomi oleh Amerika Syarikat dalam suatu tempoh yang cukup lama, beliau berjaya mengukir kejayaan untuk negaranya.  Pertama, jangkaan hayat rakyat Cuba hampir menyamai rakyat Amerika, iaitu 79.3 tahun dan mempunyai lebih banyak doktor untuk setiap orang jika dibandingkan dengan Britain dan Perancis, meskipun kira-kira satu pertiga rakyat hidup dalam kemiskinan.  Pencapaian besar kedua ialah Fidel menggunakan sumber untuk program sosial untuk rakyatnya sejak dari buaian ke kuburan, menyediakan penjagaan kesihatan dan pendidikan bertaraf dunia, di samping pencen dan pengebumian percuma. Pemakanan tidak seimbang dalam kalangan kanak-kanak dan buta huruf dalam kalangan orang dewasa dihapuskan.
Cuba juga mengatasi negara jirannya dari dua segi, iaitu  hasil daripada pemerintahan aurtoritarian.   Pertama sistem pertahanan awam yang kecekapannya luar biasa demi memastikan hurikan yang sering berlaku kurang meragut nyawa berbanding dengan hurikan yang berlaku di Caribbean atau di Amerika Syarikat.  Kedua, jenayah jarang-jarang berlaku.  Para pelawat dapat berjalan-jalan di tempat-tempat yang tidak selamat di Havana tanpa berasa takut.
Pada tahun 2010, 37,000 orang doktor dan pekerja kesihatan lain berkhidmat di 77 buah negara di seluruh dunia, kebanyakannya di Venezuela, juga di Afrika, Carribean dan Amerika Tengah.  Kerajaan Cuba juga menawarkan biasiswa untuk 20,000 orang Amerika Latin untuk mengikuti pengajian perubatan, sebagai sebahagian usaha untuk mencari martabat antarabangsa, tetapi alasan utama dikatakan untuk menampung kekurangan staf perubatan kerana gaji yang rendah.
Adakah Cuba benar-benar bergerak ke arah kapitalisme?  Persoalan ini cuba dijawab oleh Pedro Campos dalam Havana Times.org pada pertengahan Mac tahun ini dengan gambaran yang berbeza:  Jalan panjang ke sosialisme di Cuba.   Beliau mengingatkan bahawa mereka yang berkuasa yang mahu menggalakkan kapitalisme dalam usaha “membina sosialisme kemudian” akan mencampak jauh 50 tahun perjuangan dan harapan untuk sosialisme, di samping 50 tahun konfrontasi antikapitalis, pertembungan dengan imperialisme, dan pengorbanan para pekerja dan rakyat jelata.
Untuk tujuan menempelak, Campos mencatatkan: “Seseorang, bahkan memberitahu saya bahawa Cuba mula-mula untuk menjadi kaya, dan untuk mencapai hasrat tersebut, kapitalisme adalah perlu.”  Tambah beliau, “Mereka bercakap seolah-olahnya kapitalisme mampu mewujudkan lebih banyak kekayaan kebendaan, kerohanian, dan kemanusiaan berbanding dengan buruh yang disekutukan secara  bebas, seolah-olahnya hanya kapitalisme mewujudkan golongan kaya dan kekayaan tanpa apa-apa pengorbanan.  Mereka bercakap seolah-olahnya kapitalisme tidak dalam krisis.”
Gambaran sekarang ialah bahawa Cuba beransur-ansur meninggalkan Komunisme.  Malangnya, kapitalisme yang cuba didakapinya itu kini dalam krisis yang teruk, jatuh muflis, dan bahkan dipercayai lambat-laun akan berkubur. Kekuatan dan penguasaan  modal sebagai faktor pengeluaran yang utama, yang tidak dicabar sejak berabad-abad, kini dipercayai digantikan oleh bakat manusia.  Justeru, kapitalisme yang cuba didakapi oleh Cuba, seperti yang diwar-warkan ialah kapitalisme yang sedang musnah di peringkat global.
(Nota: Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Masyarakat, Jun 2012.)


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...