Artikel Popular

Monday, August 4, 2014

Dari Pertarungan Ideologi ke Pertembungan Peradaban

ISNIN, 4 Ogos 2014
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Dua tahun lalu, kerajaan Malaysia dan China mencapai persetujuan untuk pasangan panda, iaitu Feng Yi dan Fu Wa dipinjamkan kepada Malaysia selama 10 tahun memperingati  ulang tahun ke-40 hubungan antara kedua-dua buah negara.  Seandainya tidak berlaku kehilangan pesawat MH370,  detik bersejarah  hubungan Malaysia-China pastinya disambut dengan gilang-gemilang,  meskipun tidak setanding  Eropah menyambut 100 tahun Perang Dunia Pertama.   
            Berbanding dengan pembunuhan  Archduke Franz Ferninand dari Austria dan isterinya, Sophie di Sarajevo pada 28 Jun 1914,  yang sekadar “retak menanti belah,” mempercepat Perang Agung,   hubungan Malaysia-China pada masa mendatang seolah-olah diwarnai oleh “penerbangan yang hilang” yang ketika makalah ini ditulis, misterinya masih belum  terungkai.   Sebelum ini,    hubungan antara dua negara yang berlainan ideologi cukup intim dan  rukun sehingga sukar digugatgagitkan.     
            Dalam arena antarabangsa, China lebih dikenali “kuasa lembut”  yang berbeza sama sekali dengan Amerika Syarikat yang gemar menunjukkan sikap mengajar dan membuli negara kecil.   Walau bagaimanapun,  China diperhatikan mula meninggalkan amalannya apabila negara itu bercakaran dengan sebuah demi sebuah negara jiran, kecuali  Malaysia yang masih “selamat” atau memilih “jalan selamat.”
            Tatkala China memperlihatkan sikap agresifnya di laut luas, Kuala Lumpur   mengambil  pendirian “menjaga hati” Beijing sebaik mungkin,  berbanding  dengan beberapa buah negara lain di rantau ini yang secara terang-terangan naik berang:  Jepun di  Laut  China Timur, manakala  Vietnam dan Filipina di Laut China Selatan.   Biarpun  “dendam geografi,” memetik Robert D. Kaplan yang menulis dalam Time keluaran 31 Mac, mencetuskan kacau-bilau global pada abad ke-21,  Kuala Lumpur dan Beijing tidak membiarkan  negara masing-masing bercakaran antara satu sama lain.
            Sementara  Kuala Lumpur  “tidak menyibuk” dalam hal-ehwal dalaman  China tentang konflik yang melibatkan    orang Islam Uighur di wilayah Xinjiang,  Beijing pula pernah mengingatkan orang Cina di Malaysia supaya  melupakan  zaman lampau mereka, tentang leluhur mereka di Tanah Besar. Sebaliknya,  mereka perlu membina masa depan mereka di negara ini:  di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung.
            Hubungan Malaysia-China terjalin pada tahun 1974 ketika negara itu mengasingkan dirinya daripada dunia luar.  Dalam kalangan negara Asia Tenggara, Malaysia tergolong dalam kalangan negara terawal  yang berani  mengetuk “pintu tertutup” Beijing.   Rantau ini  dalam gelora,  ancaman Komunis, terutamanya China  menjadi-jadi,  namun  Malaysia membuat keputusan yang berani  untuk berbaik-baik dengan China, yang menurut sesetengah tafsiran,  tidak ubah seperti “berkawan dengan harimau.”
            Ketika itu juga Perang Dingin sedang marak,   dengan   Eropah Timur, Amerika Latin,  Afrika, Timur Tengah, Asia, dan Asia Tenggara menjadi medan percaturan antara  blok Timur dengan Barat. Di rantau Asia, pengaruh Komunis yang didalangi oleh China dan Rusia, melebarkan sayap dari    Korea ke  Indo-China.  Pada takat tertentu, Indonesia turut dijadikan sasaran apabila ada tahun 1965, Komunis cuba merampas kuasa, walaupun gagal, Jakarta memutuskan hubungan diplomatik dengan China. 
            Perang Vietnam yang bermula sejak tahun 1959 dan berkesudahan pada tahun 1975, menyaksikan Amerika Syarikat dengan bantuan Vietnam Selatan tewas.  Sebenarnya, ketika Malaysia menjalinkan hubungan dengan China, tanda-tanda Amerika Syarikat tewas di Vietnam memang jelas kelihatan, dan hal ini menyuntikkan  semangat kepada Parti Komunis Malaya yang disokong oleh Beijing untuk terus mengancam Malaysia.         Selain ancaman Komunis masih berterusan, walaupun Darurat telah tamat, di Malaysia berlaku  Tragedi 13 Mei pada tahun 1969 yang merupakan persengketaan kaum antara Melayu dengan Cina.  (Saya lebih berminat menyebut konflik kelas berbanding dengan persengketaan kaum.)  Pastinya, langkah Kuala Lumpur untuk menjalinkan hubungan dengan leluhur di Tanah Besar  kurang disenangi oleh sebilangan orang Melayu yang masih dihantui oleh detik hitam itu: kemenangan moral bagi orang Cina. 
            Dalam pada itu,  sebilangan orang India di negara ini  masih  merasai  kesan kekalahan negara leluhur mereka  dalam persengketaan sempadan  dengan China pada tahun 1962.  Kekalahan itu, sesungguhnya merupakan luka yang dalam bagi Perdana Menteri Jawaharlal Nehru, dan beliau seperti yang diungkapkan oleh Ramachandra Guha dalam India:  The History of the World’s Largest Democracy,  “hilang air  muka dalam arena antarabangsa.”  Justeru, tidak memeranjatkan jika sebilangan orang India di  sini tidak mengalu-alukan hubungan antara Malaysia dengan China.
            Walaupun Malaysia dan China menjalinkan hubungan pada zaman pancaroba, kedua-dua buah negara boleh dikatakan berjaya mengharunginya sejak awal lagi.  Apabila masa beredar,  beberapa sekatan yang ketat semakin dilonggarkan:  rakyat di kedua-dua buah negara yang kebanyakan terdiri daripada pelancong, pelajar, dan pelabur,    “bebas” keluar masuk.  Visa bukan lagi satu halangan.  
            Budaya popular dari China, seperti filem dan muzik  yang pada suatu ketika dikhuatiri jika tidak dikawal, boleh menebalkan “kecinaan” orang Cina,  namun sejak beberapa dekad lalu, lebih-lebih lagi dengan kewujudan stesen televisyen berbayar,  “dibiarkan”  menerobos setiap pelosok.   Dengan hubungan politik yang semakin mengukuh dan hubungan dagang semakin mengembang, “diplomasi budaya” antara Malaysia-China turut terjalin erat, terutamanya melalui kerjasama antara  Dewan Bahasa dan Pustaka dengan Beijing Foreign Studies University.
            Perang Dingin sudah lama berakhir,  yang baru  mungkin  dalam pembikinan,  berkesudahan Kesatuan Soviet berkecai.  Kemenangan  kapitalisme dan kekalahan   sosialisme  menyaksikan modal (bersama-sama wang panas) menjelajah dunia.  Modal, termasuk dari Malaysia membanjiri China yang mula kelihatan sebagai  sebuah tapak yang subur untuk kapitalisme.        China berubah daripada “Marx” kepada “pasaran,”  dengan kapitalisme negara dan  kapitalisme kroni bertapak kukuh.
            Pada penghujung  abad ke-20, kebangkitan Asia kian terserlah.   Jepun sebagai kuasa ekonomi dunia; Hong Kong, Korea Selatan, Singapura, dan Taiwan dikenali negara  perindustrian baru;  manakala China, Malaysia, dan Thailand turut mara. Pernah dikatakan bahawa abad ke-21 ialah abad Asia, sebagaimana abad ke-19 abad Eropah dan abad ke-20 abad  Amerika.  Para pemimpin China, Malaysia, dan Singapura dengan megah  bercakap tentang “nilai Asia”  demi  menyanggah kritikan   Barat  terhadap  autoritarian, meskipun adanya sistem ini, kapitalisme dapat berkembang mekar.  Namun begitu,  gagasan “nilai Asia”  pudar akibat krisis kewangan Asia 1997-1998, bahkan  tidak ada orang yang ingin membangkitkannya  lagi.  Abad Asia mengalami nasib yang sama,  dan  kira-kira dua tahun lalu berubah menjadi abad Pasifik,  impian  yang dilahirkan oleh Washington.
            Apabila dunia meninggalkan pertarungan ideologi berikutan berakhirnya Perang Dingin, beralih kepada pertembungan peradaban, hubungan Malaysia-China intim  dan rukun   seadanya.  Kedua-dua negara bukannya tempat yang sesuai  untuk uji kaji    pertembungan peradaban Samuel Huntington: peradaban menggantikan bangsa dan ideologi sebagai kuasa pemacu dalam politik global hari ini.
            Sememangnya, tidak sukar untuk memahami mengapa Malaysia dan China bukannya kancah pertembungan peradaban. Hubungan  antara  Islam dengan China  berlangsung dalam suasana yang rukun,  berbanding antara   Islam dengan Barat,  maka  tidak meletakkan Malaysia dalam keadaan serba salah.  Kedua-duanya, iaitu China dan Islam menempuh perjalanan sejarah yang boleh dikatakan sama.  Sebelum tahun 1550, China dan Empayar Ottoman, seperti yang dicatatkan Peter Drucker dalam Post-Capitalist Society,  “merupakan ‘kuasa besar’   dalam setiap arena: politik, ketenteraan, ekonomi, saintifik, dan budaya.  Sehingga 1550, kedua-duanya berkuasa.  Dari 1550 dan seterusnya, kedua-duanya menjadi tergenang.”   Elok ditambah di sini, kedua-duanya, iaitu China dan Islam memerlukan masa yang lama,  beratus-ratus tahun untuk bangkit semula.  China menyerlahkan kebangkitannya sejak awal abad ke-21,  kini  muncul sebagai  kuasa ekonomi dunia  menyaingi Amerika Syarikat, manakala Islam masih terkial-kial.
            Selain itu,  Dunia Melayu merupakan “hub” pertemuan peradaban besar dunia:  China, Hindu, Islam, dan Barat.  Sepanjang pertemuan itu, boleh dikatakan tidak wujud konflik atau persengketaan yang berpunca daripada peradaban, atau secara lebih khusus, “kekuasaan peradaban,” iaitu sesebuah peradaban mengatasi peradaban lain.  Peradaban Melayu sendiri “bertemu” dengan peradaban China sejak lama lagi, seperti yang dapat dilihat dalam tulisan sejarah dan karya sastera Melayu klasik.              “Persahabatan teruji ketika kesusahan.”  Sejak pesawat MH370 dilaporkan hilang, satu ujian besar   benar-benar berada di atas Malaysia dalam berhadapan dengan China yang 153 orang penumpang terdiri daripada warganya. Beijing mula kelihatan hilang  “bahasa diplomasi” dengan mendesak kerajaan Malaysia mempercepatkan pencarian dan sentiasa mempersoalkan, kalaupun tidak memperlekeh Malaysia.  Apabila Australia mengumumkan bahawa negara itu mengetuai pencarian di Lautan Hindi, China meminta Malaysia memperluas pencarian “dengan segera.”
            Pengumuman  Perdana Menteri Mohd. Najib Tun Abdul Razak  pada 24 Mac lalu bahawa pesawat itu “berakhir di Lautan Hindi,” disambut oleh  Beijing meminta  Malaysia  menyerahkan data sebagai bukti.  Sesuatu yang dianggap keras dari segi diplomatik.  Sikap Beijing dan tindak-tanduk anggota keluarga penumpang Cina terhadap Malaysia, tidak ubah seperti yang  negara itu dan rakyatnya pernah  lakukan terhadap Jepun,   Filipina, dan Vietnam  - sekadar menyebut beberapa negara sebagai contoh.  Malaysia diheret ke dalam medan percakaran dengan China  yang tidak pernah difikirkan selama ini.        
            Meskipun “radar” dunia tertumpu pada Malaysia dalam menangani krisis terburuk dalam industri penerbangan, tindak-tanduk China juga tidak terlepas daripada perhatian.   “Pesawat yang hilang itu mendedahkan sikap China terhadap Asia Tenggara yang menganggap negara di rantau ini sebagai negara kecil,” tulis Hannah Beech dalam Time dalam talian.  Justeru, tidak hairan bahawa sejak kehilangan MH370, China  mula menyergah Malaysia.
            China yang pernah terkenal dengan “ikan masam manis” – istilah sinis terhadap negara itu dari segi dasar luar seakan-akan “menyajikan semula masakan” itu ketika banyak negara terlibat mencari pesawat yang hilang itu.   Seperti yang dilaporkan oleh Bloomberg, China  menggunakan kesempatan mencari  MH370 untuk mempamerkan kuasa maritimnya yang sedang meningkat, mencabar Amerika Syarikat dan Jepun.  Berita kabel  itu juga mendedahkan bahawa kerajaan China membenarkan anggota keluarga penumpang Cina itu mengadakan tunjuk perasaan di kedutaan Malaysia di Beijing atas alasan, “bagi China, dasar dalam negara adalah nombor satu.”  China yang mengawal media bermakna suara yang berbeza tidak kedengaran, membenarkan rakyatnya melemparkan kemarahan dan kekecewaan terhadap Malaysia, lapor Bloomberg lagi, memetik Bo Zhiyue, felow penyelidik kanan di National University of Singapore.  Hal ini dibantu oleh tanggapan bahawa negara itu ialah mangsa.  “China mengambil kesempatan daripada kemalangan ini untuk memberitahu rakyatnya, ‘Sebenarnya, jika dibandingkan, anda bernasib baik mempunyai kami sebagai pemimpin anda berbanding pemimpin  di sana,’” kata Bo.
            Kini, Malaysia dan China terjebak dalam “perang kata,” dengan warga China menggasak lebih agresif.  Tidak cukup dengan anggota keluarga penumpang melontarkan botol air terhadap petugas Malaysia di Beijing,  menuduh “Malaysia berbohong,”   “Malaysia membunuh,” dan menuntut “hutang nyawa dibayar nyawa,”  komuniti media sosial dan selebriti, seperti Zhang Ziyi, pelakon  Crouching Tiger, Hidden Dragon  dan Memoirs of a Geisha,    turut mengutuk Malaysia.   Beberapa  selebriti Malaysia bertindak balas dalam tuduh menuduh ini.
            Selama 40 tahun, kedua-dua negara, iaitu Malaysia dan China berjaya melepasi ujian pertarungan ideologi dan pertembungan peradaban.  Dalam hubungan  “sedangkan lidah tidak tergigit”  itu tidak semena-mena berlaku  “kemalangan”  yang boleh mengeruhkan hubungan antara kedua-dua buah negara.  “Kemalangan” itu pula bukannya “retak menanti belah,” seperti yang berlaku di Sarajevo 100 tahun lalu. Tanggal  8 Mac  seakan-akan mengubah masa lalu,  mencorakkan masa kini, dan meletakkan masa depan dalam ketidakpastian.
           (Nota:  Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Budaya, Mei 2014.)

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...