Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Melalui kolumnya dalam akhbar The New York Times, pada awal Oktober lalu, Nicholas D. Kristof
mengkritik kepimpinan Israel yang
mengamalkan keburukan yang dilakukan oleh pemimpin Palestin sejak berdekad-dekad,
iaitu mereka merupakan musuh yang teruk untuk rakyat mereka sendiri. Kini, bahas Kristof, Israel diletakkan dalam bahaya secara keseluruhannya
oleh para pemimpin sendiri dan pendirian yang maksimalis. Perdana Menteri Benjamin Netanyahu
mengasingkan negaranya, dan secara lancang, sikap tidak bertolak ansurnya
terhadap penempatan kelihatan seperti dasar yang memusnahkan negaranya. Tatkala pertarungan diplomatik berlaku di
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berikutan permohonan Palestin untuk
memperoleh taraf negara, Israel minggu lalu, tulis Kristof “mengumumkan
rancangan untuk pembinaan 1100 buah rumah baru di bahagian Baitulmuqqadis di
luar sempadan pra-1967-nya. Netanyahu
tidak menghargai pendirian Presiden Barack Obama terhadap permohonan Palestin
itu, sebaliknya mengaibkan Obama secara terang-terang.”
Sejak peristiwa serangan komando Israel terhadap flotila Gaza, kapal Mavi Marmara pada 31 Mei 2010, membangkitkan kemarahan Turki kerana Israel
enggan memohon maaf, kedua-dua negara itu seakan-akan di kancah Perang
Dingin. Hingga kini, keberangan Ankara terhadap Israel belum reda, bahkan semakin
garang apabila Perdana Menteri Recep Tayyip Edorgan menuduh Israel “anak yang dimuakan.”
Dalam wawancaranya dengan
stesen televisyen al-Jazeera beberapa bulan lalu, Recep Tayyip Erdogan memaklumkan
bahawa serangan Israel terhadap bantuan flotila Gaza merupakan "punca peperangan,"
tetapi negaranya memperlihatkan "kesabaran" daripada mengambil
apa-apa tindakan. Beliau menegaskan bahawa serangan Israel itu yang
membunuh sembilan orang aktivis berlaku di perairan antarabangsa, dan dengan
itu, "menyalahi undang."
Krisis diplomatik antara Turki dengan
Israel sejak lebih setahun lalu, menurut pemerhatian Henri J. Barkey, membawa perisytiharan Perang
Dingin oleh kerajaan Turki terhadap Israel. Beliau menulis dalam The
National Interest: "Turki mengusir duta Israel, menurunkan taraf
hubungan diplomatik dengan Israel kepada tahap setiausaha kedua dan membatalkan
hubungan ketenteraan." Tambah beliau, “Pemberontakan Arab,
terutamanya peristiwa di Syria, dan rancangan pengunduran Amerika Syarikat dari
Iraq, bahas beliau, "meletakkan Turki kepada tahap penting yang tidak
pernah berlaku sebelum ini."
Negara Yahudi itu kini semakin terasing selepas terpaksa menarik balik
diplomatnya dari Kaherah apabila penunjuk perasaan menggempurkan bangunan
tempat terletaknya kedutaan Israel dan bertempur dengan polis pada September
lalu. Perseikatan antara Turki
dengan Mesir, bahas editorial The
Guardian,
menyebabkan Israel berhadapan dengan pengasingan serantau. Benyamin
Netanyahu, sama ada boleh bersedia untuk satu lagi peperangan atau menerima
bahawa Israel tidak boleh lagi mengenakan kehendaknya terhadap jirannya.
Editorial itu mengingatkan bahawa Mesir tidak lagi mengambil pendirian seperti
yang dilakukannya apabila Israel melancarkan kempen ketenteraan terhadap Gaza
pada tahun 2008 seandainya satu lagi peperangan tercetus. Perdana Menteri
Netanyahu kini menghadapi pilihan sebenar.
Erdogan yang
memperlihatkan sokongan padu Ankara terhadap usaha Palestin mendapatkan taraf
negara, menggunakan kesempatan berucap
di PBB untuk melanyak Israel habis-habisan.
Beliau
dilaporkan menyebut satu per satu senarai panjang rasa
tidak puas hati terhadap Israel, bekas sekutu serantau. Beliau
menjelaskan konflik Israel-Palestin sebagai "luka berdarah" yang
komuniti antarabangsa tidak boleh terima lagi, menuduh Israel menghalang semua
percubaan untuk menyelesaikan masalah. Daripada senjata nuklear kepada
mengawal wilayah yang diduduki kepada bantuan kemanusiaan, dan Israel menentang harapan dan norma dunia.
Pemberontakan Arab banyak membawa perubahan
di dunia Arab, suatu realiti baru yang seolah-olahnya tidak cuba difahami Israel untuk mengenali jirannya yang berubah. Pemberontakan
ini, seperti yang sering diperkatakan menjadikan rejim Arab yang korup, Israel,
dan Amerika Syarikat sasaran utama kemarahan dan penghinaan. Sesungguhnya, perginya autokrat dan datangnya
demokrat bukan suatu petanda yang baik untuk Israel kerana kepentingannya dan
Amerika Syarikat di wilayah itu lebih terjamin di bawah autoritarian. Dengan menggunakan istilah Kebangkitan Arab, Daniel Levy menulis dalam The Nation, “selepas berdekad-dekad
kekuasaan (supremacy) strategik
Israel yang hampir hegemoni di Timur Tengah, tapak beranjak. Untuk para pemimpin Israel, Kebangkitan Arab dan penyingkiran Mubarak mewakili keruntuhan
struktur sokongan utama ini benteng yang
mengekalkan postura serantau Israel. Benteng
ini berselemu untuk beberapa waktu.
Berikutan pemberontakan itu, dua buah
negara diperhatikan dalam peralihan yang
mendalam. Satu ialah Turki, dengan tentera dari segi angka lebih kuat
daripada Britain, Perancis, dan Jerman yang dicantumkan bersama-sama.
Satu lagi ialah Mesir, yang pemerintahan sementara tentera yang dominan. “Keterasingan
Israel,” seperti yang dibangkitkan oleh The Economist, “diperlihatkan oleh keterhakisan hubungannya
dengan Turki dan Mesir. Bahkan, atas
kebimbangan serangan yang sama, seperti yang berlaku di Mesir, diplomat Israel
secara sementara meninggalkan Jordan, sebuah lagi negara Arab yang Israel
mempunyai perjanjian damai.” Sementara
Richard Haass yang menulis dalam Time
awal Oktober membangkitkan hal yang sama, iaitu
protes popular di dunia Arab terbukti memberikan kesan buruk terhadap
Israel. Protes tersebut boleh meletakkan
perjanjian damai Mesir-Israel dalam bahaya dan demikian juga hubungan Israel dengan Jordan.
Usaha Palestin memohon taraf negara di PBB mencabar
hegemoni Amerika Syarikat, meskipun Pentadbiran Obama memberikan amaran akan menggunakan kuasa veto di
Majlis Keselamatan PBB. Namun, undi di Perhimpunan Agung boleh memberi
Palestin kemenangan simbolik, iaitu pengiktirafan sebagai negara pemerhati
bukan anggota, sama seperti Vatican.
Usaha Palestin itu juga boleh mengaibkan Israel di mata dunia, dan
hakikat ini disedari oleh Israel seandainya Palestin berjaya meraih dua pertiga
undi daripada 193 anggota PBB. Untuk meningkatkan “minoriti moral,” seperti
yang disebut oleh Netanyahu, Israel terpaksa memujuk Kesatuan Eropah untuk
mengundi menentang usaha Palestin itu.
Namun, tidak semua negara Kesatuan
Eropah ingin mendengar rayuan itu,
sekurang-kurangnya Perancis dan Sepanyol akan menyebelahi Palestin. “Oleh sebab Palestin mendesak untuk taraf
negara,” tulis Karl Vick dalam Time,
“maka Israel mendapati dirinya terasing.”
Agak memeranjatkan apabila Setiausaha Pertahanan Amerika
Syarikat yang baru, Leon Panetta, turut mengingatkan bahawa Israel semakin
terasing di Timur Tengah, dan menyeru para pemimpin negara itu mesti memulakan
sekali lagi perbincangan dengan Palestin dan memulihkan hubungan dengan Mesir
dan Turki. Beliau yang berkata demikian
sempena lawatannya ke Israel pada awal Oktober lalu, menegaskan bahawa pergolakan yang berlaku di
Timur Tengah menyebabkan keadaan menjadi kritikal untuk Israel untuk mencari
jalan untuk berhubung dengan negara lain di wilayah itu supaya dapat mewujudkan kestabilan. Bagi beliau kelebihan dari segi ketenteraan
tidak mempunyai apa-apa makna sekiranya Israel terasing: “Adakah cukup untuk mengekalkan kelebihan
ketenteraan jika anda mengasingkan diri anda dalam arena diplomatik? Keselamatan sebenar hanya boleh dicapai oleh
kedua-duanya, usaha diplomatik yang kukat, di samping usaha yang kuat untuk
merancang kekuatan ketenteraan anda.”
Israel
kini diserang, tulis Benny Morris dalam Newsweek ketika Pihak Berkuasa Palestin (PLO)
merancang untuk mendapatkan taraf negara di PBB yang menandakan penolakan semua
usaha untuk tolak ansur secara aman.
Bagi beliau, Israel bukan sahaja diancam dari luar, iaitu oleh negara
Arab Islam dan masyarakat Arab, pencerobohan penunjuk perasaan di Mesir ke atas
kedutaan Israel di Kaherah, ancaman nuklear Iran, dan kepungan Presiden Bashar
al-Assad di Syria, tetapi juga dari dalam Israel sendiri, iaitu oleh pergolakan
dalaman yang membawa protes massa terbesar dalam sejarah negara itu. Morris yang memerhatikan bahawa berakhirnya
Israel menulis bahawa di Israel sendiri tidak wujud lagi masyarakat yang
liberal demokratik, egalitarian yang diimpikan oleh David Ben-Gurion, yang
pernah wujud suatu ketika dahulu; sebaliknya, Israel bergaduh dengan rakyat
Arad dan sesama sendiri.
“Ini
bukan lagi Israel,” tulis Benny Morris, “krisis yang dalam, dalaman, dan
eksistensial telah berlaku. Keadaan ini
berpunca sebahagiannya daripada ciri negara yang berubah, iaitu lebih sayap
kanan, lebih menyekat, jauh kurang liberal, dan jauh kurang egalitarian. Banyak golongan Israel yang sederhana bimbang
akan negara itu menjurus ke lembah kemusnahan.
Sesungguhnya, golongan pemerintah negara itu, termasuk Benjamin
Netanyahu dan Perdana Menteri sebelum beliau, Ehud Olmert dan Ehud Barak, hidup
dalam kemewahan, dan merasakan bahawa mereka terpisah daripada realiti.
Dalam
begitu banyak pemerhatian atau ulasan bahawa Israel kini hidup dalam
keterasingan, Michael Oren menafikannya sambil menegaskan bahawa negara itu
tidak berdiri seorang diri. Oren, yang
menulis dalam The Washington Post
mempersoalkan adakah Israel benar-benar terasing kini jika dibandingkan dengan
dahulu? Dengan membangkitkan berapa
pengalaman lalu, antaranya Britain yang secara terasing melawan Nazi pada
permulaan Perang Dunia Kedua, beliau
menambah, pengasingan, pastinya, tidak
secara automatik merupakan gejala dasar yang buruk. Bahkan, dengan
bangga Michael Oren, yang juga Duta Besar Israel ke Amerika Syarikat, menegaskan
bahawa “meskipun Palestin terus berusaha mengasingkan kami, Israel tidak
keseorangan. Dan, kami banyak mempunyai
sahabat yang sangat besar, terutamanya di Amerika Syarikat, yang kami tahu
tidak mahu membiarkan Israel berdiri seorang diri di wilayah yang bahaya itu.”
Namun, dalam keghairahan dan keangkuhan untuk menunjukkan kelebihan Israel
itu, Oren secara tidak langsung,
mengesahkan tuduhan Erdogan, “anak yang
dimuakan.”
Tatkala Israel yang kian terasing
itu, agak memeranjatkan kerana kerajaannya mencapai persetujuan dengan Hamas –
pertubuhan yang dianggap sebagai pengganas oleh Amerika Syarikat dan United
Kingdom. Memetik sindiran Robert Fisk dalam The
Independent, “kerajaan demokratik tidak berurusan dengan pengganas sehingga
mereka sendirinya melakukannya.” Kedua-dua
pihak, iaitu Israel dan Hamas bersetuju membebaskan tahanan masing-masing, iaitu
antara Gilad Shalit, tentera Israel yang ditawan oleh pejuang Palestin pada
tahun 2006, dengan lebih
1000 pejuang Palestin yang dalam tahanan Israel. Persetujuan yang dicapai pada Oktober lalu,
dianggap oleh sesetengah pihak sebagai kemenangan bagi Hamas, dan pada masa
yang sama menjejaskan populariti musuhnya, iaitu PLO – musuh Hamas, yang memuncak dalam kalangan rakyat Palestin
berikutan usaha mendapatkan taraf negara itu.
Pada pihak Israel pula, persetujuan
itu boleh mengurangkan keterasingan yang dihadapi sekarang kerana suatu perkara
yang mudah untuk negara itu “bertolak ansur” dengan Hamas. Bahkan, Turki turut mengalu-alukan persetujuan
itu sebagai “pencapaian positif” yang boleh mengurangkan ketegangan di wilayah
itu. Jika langkah Palestin memohon taraf
negara di PBB boleh dianggap sebagai kekalahan moral terhadap Israel,
persetujuan dengan Hamas pula boleh dianggap kemenangan moral kepada
Israel. Selain Turki, kerajaan Britain,
Kesatuan Eropah, dan Eropah yang lain melahirkan sokongan mereka.
Selain itu, Israel dikatakan tanpa disedari umum,
juga memohon maaf kepada Mesir berhubung dengan peristiwa yang berlaku pada
Ogos lalu apabila tenteranya menembak mati lima orang polis Mesir di Sinai
ketika bertempur dengan pejuang Palestin.
(Nota: Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Masyarakat, Disember 2011.)
(Nota: Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Masyarakat, Disember 2011.)
No comments:
Post a Comment