Artikel Popular

Monday, April 29, 2013

Hilang dalam Manifesto: Tindakan Afirmatif

ISNIN, 29 April 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Pilihan Raya Umum ke-13 kurang dari seminggu.  Pada hari Isnin depan, pihak yang menang dan yang tewas dapat diketahui, demikian juga pada hari itu, kerajaan baru akan terbentuk. Setakat ini, meskipun  wujud cacamarba pada hari penamaan calon 20 April lalu, setiap pihak, iaitu Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR) yakin bahawa mereka akan meraih kemenangan. 

Bagi Najib Razak, kekalahan, seperti yang dipetik oleh +Al Jazeera,  akan membawa malapetaka terhadap Malaysia.  Sementara Anwar Ibrahim yang kokok berderai-derai seolah-olah kemenangan menyebelahi beliau dan Putrajya dalam genggamannya,  tetapi memeranjatkan terpaksa bergayut  di bawah ketiak  Yusuf al-Qardawi, sekali gus mendedahkan bahawa pemimpin PR ini tidak mampu berdiri di atas kaki sendiri.

Selain usaha memartabatkan atau mendaulatkan bahasa Melayu hilang dalam manifesto BN dan PR, tindakan afirmatif juga mengalami nasib yang sama: akan lenyap tidak kira mana-mana parti yang akan menang kelak.  Agak menarik, liputan media asing tentang pilihan raya kali ini, tertumpu terhadap tindakan afirmatif yang sering didakwa  memberikan keistimewaan  orang Melayu dan kaum bumiputera sambil mengorbankan orang Cina dan India, seperti yang dibahaskan dalam +The Economist, sebagai   dasar yang tanpa kesudahan. Justeru, pilihan raya pada Mei ini merupakan tanda titik tolak.

Mengkritik sistem itu, menurut majalah itu lagi, merupakan ketukan utama kempen pembangkang dalam pilihan raya yang diadakan 5 Mei ini, iaitu kali pertama sejak merdeka yang pembangkang mempunyai sedikit peluang untuk mengalahkan parti pemerintah BN, yang diterajui oleh Umno.  "Kedua-duanya, iaitu kerajaan dan pembangkang bersetuju bahawa sistem diskriminasi sepatutnya dimasuhkan, tetapi kerajaan takut kehilangan undi Melayu yang kuat."

Phillippa  Stewart yang menulis dalam Al Jazeera tentang pilihan raya kali ini, turut menyentuh tindakan afirmatif yang memberikan pelbagai keistimewaan kepada orang Melayu dan kaum bumiputera sambil menjadikan orang Cina dan India warganegara kelas kedua. Namun, Stewart mungkin lupa bahawa warganegara kelas kedua itu, iaitu orang Cina jauh lebih kaya daripada kaum bumiputera. 

Jika diteliti kedua-dua tulisan itu, jelas bahawa orang Melayu dan kaum bumiputera dianggap punca segala kejahatan dan kecelakaan yang berlaku di negara ini sehingga menyebabkan orang Cina dan India didiskriminasikan.  Mungkin secara kebetulan The Economist yang  menganjurkan debat tentang tindakan afirmatif yang dilaksanakan di Amerika Syarikat, mengesyorkan dasar sosial itu dihapuskan dan kerajaan sepatutnya buta warna.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...