Artikel Popular

Thursday, April 11, 2013

Hilang dalam Manifesto: Bahasa Melayu

KHAMIS, 11 April 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Saya mendapat berita bahawa Parlimen Malaysia dibubarkan pada 3 April ketika kenderaan yang membawa kami sekeluarga keluar dari tempat letak kereta di Pasar Baru, Bandung.  Ketika itu, anak bongsu saya yang bersama-sama ke sana, menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada kawannya di Kuala Lumpur.  Selepas sarapan di hotel tempat saya dan keluarga menginap, iaitu Grand Pacific, saya sempat membuka Facebook yang mula tersebar berita bahawa kemungkinan Parlimen dibubarkan pada hari itu.

Namun, saya tidak berasa apa-apa keterujaan tentang pembubaran Parlimen kerana, sama ada dibubarkan atau tidak, tempohnya akhir berakhir juga pada hujung bulan ini.  Maksudnya, sekadar  menghitung detik dan ketika sahaja. 

Di peringkat negeri pula, selain Dewan Undangan Negeri Sembilan yang mencipta sejarah, iaitu terbubar dengan sendirinya, tidak ada usaha di negeri lain untuk membubarkannya, bahkan di negeri yang dikuasai oleh Pakatan Rakyat (PR), iaitu Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, dan Selangor, hanya bertindak "tunggu dan lihat."

Pulang ke tanah air, saya sempat menonton siaran langsung pelancaran manifesto Barisan Nasional (BN) oleh Pengerusinya, Najib Razak.  Sebagaimana, manifesto, PR, aku janji BN juga lebih cenderung memberikan habuan kepada rakyat dengan "menabur dedak, hampas kelapa, atau hampas sagu."  Kedua-dua pihak terjebak dalam pertarungan politik populis.  Di pihak PR, mereka menuduh manifesto BN itu "memplagiatkan" manifesto mereka, lalu liputan Bloomberg tentang pelancaran manifesto BN mendapat perhatian yang meluas.

Walaupun Suruhanjaya Pilihan Raya hanya mengumumkan pada 10 April bahawa Pilihan Raya Umum akan berlangsung pada 5 Mei dan penamaan calon pada 20 April, bendera, kain rentang, papan iklan, sepanduk BN dan PR kelihatan lebih awal lagi. Kedua-dua belah pihak juga mendabik dada tentang kehebatan manifesto masing-masing, seolah-olahnya manifesto mereka "turun dari langit", iaitu tanpa cacat celanya.  Pendek kata, manifesto lebih banyak tertumpu pada aspek kewangan, tetapi mengabaikan aspek yang penting: pembinaan bangsa yang tidak dapat tidak, bahasa Melayu menjadi tonggaknya.

Bercakap tentang manifesto yang begitu banyak menjanjikan habuan kepada rakyat, saya tertanya-tanya akan usaha kedua-dua pihak, iaitu BN dan PR, untuk mendaulatkan bahasa Melayu yang kedaulatannya pada tahap "hidup segan mati tak mahu."  Saya dapat mengesani bahawa bahasa Melayu  tenggelam dalam kedua-dua manifesto, iaitu tidak dipedulikan.  Hal ini demikian, kerana medan pertempuran utama ialah habuan kewangan. 

Semasa mengikuti siaran langsung pelancaran manifesto BN, saya sedar bahawa Najib menyatakan usaha untuk memperkasa bahasa Melayu dalam pendidikan.  Namun, bersama-sama bahasa Inggeris, sains, dan matematik, seolah-olahnya membayangkan bahasa usaha memperkasa  bahasa Melayu tidak akan sempurna tanpa melibatkan bahasa Inggeris khususnya.

Pendek kata, kita dapat menjangkakan bahawa tidak wujud politik bahasa dalam Pilihan Raya Umum ke-13.  Fikiran dan minda pengundi khususnya, dan rakyat amnya, dibentuk oleh Najib Razak dan Anwar Ibrahim dalam acuan politik populis dengan bermacam-macam habuan atau ganjaran kewangan.

Saya terdorong untuk membangkitkan isu bahasa Melayu dalam manifesto kerana saya tertarik dengan laporan Time tentang politik bahasa yang berlaku di Quebec, wilayah yang golongan majoriti bertutur dalam bahasa Perancis, yang melancarkan perang terhadap bahasa Inggeris.  Tidak seperti di Quebec, para pemimpin Melayu, baik dalam BN, mahupun PR, tidak mempunyai keazaman untuk memulihkan kedaulatan bahasa Melayu.  

Dengan kata lain, kedua-dua belah pihak, terutamanya Najib Razak dan Anwar Ibrahim masih "bernaung di bawah ketiak"  Dr. Mahathir Mohamad. Mereka hanya membiarkan bahasa Melayu terus musnah, angkara Mahathir sejak  satu dekad pemerintahannya, iaitu sejak tahun 1993 hingga 2003: zaman surut bahasa Melayu.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...