Artikel Popular

Thursday, February 9, 2023

Falsafah Perang

Oleh:  ZULKIFLI SALLEH

Khamis, 9 Februari 2023 

Anatol Rapoport dalam pengenalan editor On War   edisi “Penguin Classics,” menganggap magnum opus karya Carl von Clausewitz itu  sebagai salah satu dan bukannya satu-satunya “falsafah perang.”  Tegas Rapoport, sekiranya kita memerhatikan buku yang ditulis sebelum atau selepas Clausewitz, maka dapati bahawa beberapa falsafah perang muncul.  Clausewitz merupakan salah seorang pendukung dan yang paling penting.

            Falsafah perang  dicerminkan dalam buku ini mempunyai pengaruh yang mendalam terhadap pemikiran ketenteraan dan politik Eropah pada abad ke-19.  Oleh sebab pengaruh ini, dan oleh sebab falsafah yang dirumuskan dengan kejelasan yang luar biasa, maka On War  wajar disebut klasik, bersama-sama dengan karya lain yang merupakan falsafah penting.  Misalnya, Novum Organum karya Francis Bacon  (falsafah sains), The Prince karya Machiavelli (falsafah politik), Leviathan karya Hobbes (falsafah masyarakat),  Inquiry into Human Understanding karya Hume (falsafah pengetahuan), Wealth of Nations karya Adam Smith (falsaah ekonomi), dan Capital karya Marx (falsafah ekonomi dan masyarakat). 

            Jeneral Clausewitz dilahirkan di Burg, dekat Magdeburg, pada tahun 1780, dan menyertai Tentera Prussia sebagai Fahnenjunker pada tahun 1792. Askar dan penulis Prussia ini menyertai kempen  Rhine dari tahun 1793 hingga tahun 1794, dan pada tahun 1801, beliau menyertai Akademi Berlin; di sana beliau mengkaji Kant dan menarik perhatian Scharnhorst, yang kemudiannya dibantu oleh Clausewitz untuk melakukan pembaharuan terhadap tentera Prussia. Beliau ditawan ketika kempen Jena, dan ketika berkhidmat dalam tentera Rusia, beliau memainkan peranan menonjol  dalam kempen Moscow pada tahun 1812 dan 1813.

Clausewitz  lebih dikenali sebagai ahli falsafah berbanding dengan sebagai tentera.  Beliau masyhur kerana On War yang diterjemahkan daripada Vom Kriege, yang edisi dalam bahasa Jerman ini  diterbitkan oleh balunya, Maria von Clausewitz, pada tahun 1832, iaitu  selepas beliau meninggal dunia pada tahun 1831. Beliau mula menulis Vom Kriege pada tahun 1816. 

Oleh itu, menurut Rapoport, seluruh hayatnya dari pengakhiran remaja ke permulaan penulisan magnum opus beliau, berkebetulan hampir keseluruhannya dengan era Revolusioner dan perang Napoleon. Kaliber  intelektual Clausewitz dapat dilihat  dalam  kejelasan yang diperhatikan beliau   zaman ini sebagai peralihan antara dua zaman bersejarah.  Dari satu segi, ialah sistem antarabangsa Eropah pada tahun 1648 – 1789, yang diperhatikan oleh Clausewitz dari perspektif sejarah yang memberikan gambaran yang jelas yang luar biasa. Dari satu segi yang lain,  ialah sistem antarabangsa Eropah pada tahun 1815 – 1914, yang Clausewitz menjadi penganjur (prophet).

Pelaku dalam paradigma Clausewitzian tentang hubungan antarabangsa, dikatakan, sebagai negara berdaulat yang bagi semua tujuan praktik boleh dianggap sebagai orang.  Paradigma in yang hari ini diiktiraf oleh banyak  ahli sains politik adalah terlalu idealisasi abstrak, ialah model sistem antarabangsa  yang realistik sederhana yang Clausewitz ketahui, sistem Eropah yang terkenal, wujud pada abad ini yang berakhir dengan Revolusi Perancis.  Keputusan untuk melancarkan peperangan dan mencapai persetujuan perdamaian dibuat oleh raja (sovereigns), yang mungkin dinasihati oleh staf, atas pertimbangan untung rugi yang dijangkakan.

On War diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu oleh Projek Hitam, sebagai Gendang Perang (Biblio Press, 2022, RM35).  Selain bahagian awalan yang agak tebal, Gendang Perang mengandungi lapan buku dan beberapa bab, yang tidak seimbang jumlahnya.

Apakah perang?

Clausewitz menegaskan bahawa, “kita tidak melabelkan perang secara abstrak atau berdasarkan apa yang disebut oleh kumpulan berkepentingan. Sehubungan dengan itu, beliau mentakrifkan perang sebagai “tindakan keras untuk memaksa pihak lawan  memenuhi kehendak kita sendiri.”  Bagi Clausewitz, kekerasan, dalam pelbagai bentuk, ialah unsur penting untuk memaksa musuh mengikut kehendak kita, yang merupakan matlamat utama, dan oleh itu, musuh tidak mampu melawan.

Perang merupakan tindakan kekerasan tanpa had, dan matlamat utama perang adalah untuk “melumpuhkan kuasa musuh.”  Clausewitz menjelaskan bahawa jika musuh telah mengikut kemahuan kita, maka kita perlu meletakkan musuh dalam keadaan paling tertekan supaya mereka tidak mempunyai daya untuk bertindak dan dalam hal ini, perlu menjadi matlamat utama semasa perang.

Dalam Bab 2 Buku Satu, beliau menjelaskan bahawa maksud perang sebenar ialah tindakan ganas untuk memaksa musuh mengikut telunjuk kita, bersama-sama dengan matlamat untuk sentiasa mengatasi dan melucutkan kuasa musuh.

Beliau mengulangi hujah ini dalam Buku Lapan, bahawa matlamat utama peperangan adalah untuk mengalahkan musuh, iaitu memusnahkan pasukan mereka sehingga tidak dapat berfungsi.  Berdasarkan pengalaman lalu, tindakan yang dianggap penting untuk mengalahkan musuh adalah: kemusnahan pasukan tentera musuh secara penuh adalah lebih baik, tawan bandar utama selain pusat pemerintahan negara untuk melumpuhkan sistem sosial dan kegiatan politik, dan serang pihak yang bersekutu dengan musuh lebih dahulu jika mereka kuat daripada musuh.

Clausewitz seterusnya membahaskan teori peperangan, yang menurut beliau, “penting sebagai asas untuk bersedia atau ketika mahu melancarkan perang.” Kita dapat mentafsirkannya, peperangan bukanya dilancarkan secara sembarangan, sebaliknya memerlukan persiapan yang rapi.

            “Perang ialah sebahagian politik dan polisi (dasar) melalui kuasa ketenteraan,” tegas Clausewitz.  Meskipun politik dan polisi berkait, beliau mengingatkan bahawa, tidak selari dan amat untuk memahami perang melalui sudut pandangan kedua-duanya.  Politik ialah pembahagian kuasa melalui interaksi, sama ada saling bekerjasama ataupun bersaing, manakala polisi ialah matlamat yang wujud dalam proses politik tersebut. Antara politik dengan polisi, Clausewitz memberikan tumpuan terhadap dasar, yang menurut beliau, “matlamat polisi untuk kumpulan yang ingin berperang adalah menentukan bagaimana perang itu dilaksanakan.” Dalam teori ini, “perang dilancarkan mengikut telunjuk polisi.”

            “Matlamat politik sering mengejar matlamat perang,” tegas Clausewitz, yang merupakan motif asal peperangan yang akan menentukan objektif ketenteraan, termasuk kaedah bagaimana objektif ingin dicapai serta berapa jumlah sumber yang diperlukan.

Beliau juga menegaskan bahawa perang ialah kesinambungan polisi.  Maksudnya, perang bukan sekadar polisi, tetapi merupakan alat politik sebenar yang digunakan untuk tujuan lain. “Jika negara ialah manusia, maka polisi merupakan organ utama badan, iaitu otak, yang bertindak mengawal tindakan dan berfikir.  Perkara utama bagi negara ialah sentiasa untuk berperang dan polisi yang dirangkakan, perlu dilihat ganas dan kejam.

            Dalam Buku Dua, Clausewitz membincangkan dan membahaskan teori peperangan. Bagi beliau, perang bukannya “gendang kosong,” sebaliknya “secara langsung, bermaksud pertempuran, iaitu prinsip pertempuran itu sendiri wajib ada dalam peperangan, yang melibatkan kekuatan mental dan fizikal yang diterjemahkan di medan perang.”  Atau dalam kata lain, peperangan itu memerlukan keberanian untuk bertempur di medan perang dengan segala persiapan yang rapi  untuk mencapai kemenangan dan menewaskan pihak musuh.  Oleh itu, perang itu bersifat melawan, memusnahkan, dan menakluk.

            Bagi Sun Tzu dalam bukunya Seni Peperangan, peperangan itu ialah satu hal yang amat penting bagi sesebuah negara, soal hidup atau mati, jalan ke arah yang selamat atau yang punah-ranah.

            Dengan demikian, hujah Clausewitz, seni peperangan ialah keadaan apabila pelbagai kaedah digunakan untuk memenangi pertempuran. Untuk melancarkan perang memerlukan fasa perancangan.  Fasa ini dan bertindak lebih dikenali sebagai taktik dan strategi.  Beliau merumuskan bahawa seni peperangan itu sendiri perlu dibahagikan secara taktik (kegiatan semasa berperang)  dan strategi (persiapan sebelum perang). Dalam pengenalan Buku Empat, beliau menyatakan “rangka asas untuk pertempuran ialah taktik,” dan beliau kupas dalam bab seterusnya, “memandangkan konsep asas perang ialah bertempur.”

            Teori secara langsung, hujah beliau, ialah “penggunaan kuasa ketenteraan untuk bertempur,” tetapi tidak boleh mengabaikan hakikat bahawa kegiatan perang itu merangkumi “proses pembaikan dan penyelenggaraan pasukan tentera,”  sebagai persiapan untuk bertempur. 

            Pertempuran,  seperti yang kita dihuraikan beliau dalam Buku Empat, ialah tindakan ketenteraan yang utama; kegiatan sampingan yang lain bertujuan menyokong pertempuran tersebut.  Tujuan bertempur adalah untuk membawa kemusnahan kepada musuh.  Tentera yang tewas  disebabkan kuasa serangan mereka tidak berfungsi, yang menyebabkan musuh tidak mampu untuk bertempur.  Bagi Clausewitz, komander perlu fokus bahawa setiap pertempuran adalah untuk memusnahkan musuh dan bukan untuk mengugut atau menunjukkan kekuatan.

            Sememangnya, Clausewitz memberikan tumpuan yang mendalam terhadap  pertempuran dan kemusnahan pihak musuh dan kedua-duanya saling berkait.  Bagi beliau, signifikan untuk bertempur bertujuan untuk memusnahkan musuh, meskipun wujud tujuan lain yang mungkin lebih penting semasa bertempur. Selain untuk memusnahkan musuh, mungkin pertempuran boleh dilakukan untuk menawan sesebuah kawasan atau pangkalan musuh.  Beliau menjelaskan dua asas peperangan, iaitu menyerang dan bertahan, yang memberikan kesan langsung terhadap objektif pertempuran, untuk memusnahkan musuh.

            Sebagai perbandingan, Sun Tzu  menegaskan bahawa mereka yang mahir tentang pertempuran akan mengalahkan musuh mereka itu tanpa perlu berperang.  Mereka menakluki bandar-bandar tanpa melakukan serangan dan menawan negara itu tanpa terlibat dengan peperangan yang berlanjutan.

            Clausewitz memberikan tumpuan terhadap seni peperangan, yang hanya merujuk kepada persiapan angkatan tentera.  “Istilah seni peperangan hanya digunakan untuk menunjukkan kemahiran dan pengetahuan tentang bagaimana senjata sehingga mampu memusnahkan, bagaimana kubu dibina sehingga tidak dapat ditembusi, dan bagaimana organisasi ketenteraan dibentuk sehingga mampu menjadi pasukan perang yang kuat.

            Namun begitu,  bagi Clausewitz, peperangan adalah kedua-duanya: seni dan sains.  Seni peperangan ialah kebolehan, manakala sains peperangan ialah pengetahuan.  Kedua-duanya saling berkaitan kerana dalam setiap teori seni, berkemungkinan wujud sedikit unsur sains dan sains pula tidak dapat wujud tanpa ada sedikit unsur seni.  Walau bagaimanapun, beliau merumuskan bahawa “perang tidak termasuk dalam kelompok baik seni mahupun sains.”  Perang lebih merupakan sebahagian interaksi sosial manusia.  Perang ialah pertempuran antara kemahuan dan keperluan manusia yang dengan pertumpahan darah. 

            Dalam politik, ada orang berkata bahawa semasa kempen adalah tentang isu dan selepas pilihan raya diadakan adalah tentang angka, iaitu jumlah kerusi yang dimenangi oleh parti-parti yang bertanding. Dalam peperangan, seperti yang ditegaskan oleh Clausewitz, angka adalah penting: kelebihan bilangan yang banyak.  Kelebihan ini merupakan unsur yang boleh membawa kemenangan  dalam perang.  Namun begitu, seni peperangan menolak idea bahawa bilangan yang banyak mampu menjamin kemenangan. 

            Walau bagaimanapun, dalam Bab 8 Buku Tiga, Clausewitz mengulangi pentingnya bilangan tentera, yang menurut beliau,  “dalam taktik, sebagaimana strategi,  kekuatan bilangan ialah unsur penting dalam mencapai kemenangan.”  Sekiranya kedua-dua belah mempunyai kelebihan dan kekuatan yang sama,  maka kekuatan bilangan mempengaruhi peluang kemenangan. 

            Oleh sebab perang juga merupakan proses teknikal, maka hujah Clausewitz, “dalam pertempuran  1000 orang menentang 500 orang, pihak bakal pemenang sudah dapat diramalkan.”  Sebanyak 1000 orang menembak dua kali ganda daripada 500 orang, tentunya akan mengalahkan 500 orang.  Walau bagaimanapun, beliau tidak memberikan jawapan muktamad sekiranya 500 orang itu mempunyai tentera simpanan 100 orang di luar medan pertempuran lengkap dengan senjata dan tidak keletihan, memberikan bantuan tembakan menentang 1000 orang lagi.

            Dalam Bab 8 Buku Lima, Clausewitz terus  mengulangi pendiriannya bahawa kepentingan  bilangan tentera dalam usaha untuk menghadapi musuh. Beliau menegaskan bahawa peperangan moden mengakui bahawa kekuatan bilangan menjadi semakin penting dan perlu apabila terlibat dalam konflik.

Dalam pendahuluan Mukadimah, Ibn Khaldun mengkritik sesetengah sejarawan yang menggembar-gemburkan  tentera yang banyak yang tidak masuk akal. Beliau mengingatkan bahawa harus disedari jumlah tentera yang banyak akan menyulitkan pergerakan atau untuk melancarkan serangan sebagai suatu ketumbukan.  Hal ini demikian kerana luas sesebuah kawasan itu akan menyulitkan pergerakan.  Jika berada dalam kedudukan tempur, keadaan ini akan meluas menjadi dua, tiga atau lebih daripada apa yang dapat dipandang. Apabila berada dalam situasi yang sedemikian, bagaimana mungkin kedua-dua pasukan itu dapat bertempur atau pasukan tempur medan dapat menguasai kedudukan pihak lawan sekiranya salah satu sayap itu tidak mengetahui apa yang terjadi di rusuk yang lain.

Bagi Clausewitz pula yang bersependapat dengan Ibn Khaldun, kumpulan tentera yang berskala besar tidak sesuai untuk bertempur, melainkan di kawasan lapang.  Walau bagaimanapun, beliau merujuk “Perang Tujuh Tahun,” yang menunjukkan bahawa tentera telah mahir bertempur di kawasan kecil dan sempit.

Selain bilangan tentera yang banyak, Clausewitz, menekankan aspek moral yang tidak boleh diabaikan.  Bagi beliau, kegiatan ketenteraan tidak boleh hanya bergerak dengan faktor luaran, tetapi perlu disokong oleh kuasa moral atau semangat.  Beliau menegaskan bahawa semasa bertempur, moral tentera turut akan terganggu dan musnah.  Oleh itu, perkara paling mudah untuk mengalahkan musuh adalah dengan menjatuhkan moral mereka.  Kita dapat mengira berapa banyak musuh yang terkorban untuk menilai sejauh mana jatuhnya moral musuh dalam perang.  Beliau mengemukakan petua untuk menjangkakan bahawa pihak musuh mungkin berada dalam krisis moral yang mendalam dengan memerhatikan kekerapan penggantian pasukan simpanan mereka. 

Menurut Clausewitz,  terdapat tiga unsur dalam konsep kemenangan, iaitu musuh hilang kekuatan untuk menyerang, musuh hilang kekuatan moral, dan musuh menyerah kalah serta meninggalkan niat untuk berperang.   

Sementara Clausewitz  menekankan aspek moral, Ibn Khaldun pula menumpukan faktor yang  mempengaruhi manusia secara psikologinya, dan dengan itu, membangkitkan perasaan gentar. Faktor ini menyebabkan kacau-bilau di tengah-tengah pasukan, dan terjadilah suatu kekalahan. Faktor psikologi juga diberikan perhatian oleh Clausewitz, yang menurut beliau, terdapat  banyak keadaan yang kekuatan psikologi itu meningkat secara tiba-tiba terhadap faktor kemampuan pasukan memiliki persenjataan yang mantap. 

Dalam Bab 17 Buku Tiga Clausewitz membangkitkan peristiwa yang berlaku pada tahun 1813, Prussia mengajar kita bahawa jika menggunakan bantuan tentera upahan, kuasa serangan akan meningkat enam kali ganda berbanding biasa.  Tambahan pula,  tentera upahan mampu untuk berperang di dalam dan di luar negara.

Namun begitu, jika kita merujuk pandangan Niccolo Machiavelli dalam  The Prince atau Sang Penguasa, jelas bahawa tentera upahan (juga tentera auksiliari) tidak berguna dan berbahaya untuk mempertahankan wilayah penguasa.  Bagi Machiavelli,  mereka tidak bersatu, tidak berdisiplin, dan tidak setia.  Mereka hanya berani di hadapan rakan-rakan mereka, tetapi pengecut apabila berhadapan dengan musuh.  Mereka bersedia untuk berkhidmat sekiranya kita tidak melancarkan peperangan. Apabila peperangan meletus, mereka hanya melarikan diri daripada musuh.

Clausewitz menyatakan bahawa faktor bentuk muka bumi, waktu, dan keadaan cuaca wajib diambil kira dalam pertempuran.  Bentuk  muka bumi ialah gabungan pelbagai unsur geografi persekitaran dan juga keadaan tanah, sama ada menaik, landai ataupun menurun. Bentuk muka bumi amat penting dalam menentukan serangan, baik menentukan kedudukan pertahanan mahupun kemudahan untuk berundur. Dalam Bab 7 Buku Empat, beliau mengingatkan bahawa kawasan yang bergunung dan penuh dengan pokok besar, langsung tidak sesuai untuk menyerang atau bertahan, kerana pihak musuh mampu melarikan diri. 

Dalam Bab 4 Buku Enam beliau membahaskan pertahanan yang di gunung, yang menurut beliau, gunung mempunyai reputasi sebagai tempat yang berkesan dan kukuh untuk berlindung daripada serangan musuh.  Hal ini demikian kerana kesukaran untuk bergerak sepanjang laluan di gunung dan suatu kelebihan semula jadi yang dimiliki oleh pos tentera yang dibina di laluan gunung: musuh tidak dapat menyerang dari tepi. Namun begitu, terdapat peristiwa lampau yang membuktikan bahawa pertahanan  gunung bukan sekuat yang disangka.  

Bagi  Sun Tzu, maksud muka bumi ialah jaraknya, sama ada keadaan tanahnya mudah dilalui ataupun sukar, sama ada keadaannya terbuka ataupun menyukarkan, dan peluang untuk terus hidup atau menghadapi bahaya maut. Apabila mengerahkan pasukan tentera adalah mustahak lebih dahulu untuk mengetahui keadaan muka buminya.  Muka bumi boleh  dibahagikan mengikut keadaannya, seperti yang boleh dilalui, yang memerangkap,  sukar ditentukan, menyulitkan, berbahaya, dan jarak.  Dalam hubungannya dengan pasukan tentera, tanah itu boleh disifatkan sebagai bertaburan, perbatasan, penting, menghubungkan, tumpuan,  dikelilingi, dan maut. Beliau menegaskan bahawa apabila bala tentera itu melintasi kawasan pergunungan hutan belantara, laluan yang menyukarkan pergerakan.

Sebelum melancarkan peperangan, pastikan bekalan makanan yang cukup.  Semakin lama tempoh peperangan, maka selagi banyak bekalan makanan yang diperlukan.  Bekalan makanan yang cukup dapat mengelakkan tentera daripada kebuluran.  Bagi Clausewitz, terdapat dua faktor menyebabkan bekalan ialah perkara yang paling penting dalam peperangan moden.  Yang pertama, disebabkan pasukan tentera pada masa kini jauh lebih besar berbanding dengan pasukan tentera pada abad pertengahan dan pasukan tentera Sebelum Masihi. Yang kedua dan yang paling penting, pasukan tentera kini sentiasa berada dalam keadaan siap sedia.  Apabila kegiatan perang menjadi kerap, maka pasukan tentera akan menjadi semakin dan lebih fokus untuk agresif.  Oleh itu,  permintaan untuk mendapatkan makanan akan semakin meningkat.

Clausewitz betul apabila beliau menegaskan,  bahkan menegaskan berulang-ulang kali bahawa peperangan merupakan tindakan kekerasan tanpa had, dan matlamat utama perang adalah untuk melumpuhkan kuasa musuh  dan memaksa musuh mengikut telunjuk kita, bersama-sama dengan matlamat untuk sentiasa mengatasi dan melucutkan kuasa musuh.  Untuk mencapai pasukan tentera perlu bertempur di medan perang. 

Namun begitu, di medan perang, selain musuh yang sedang siap siaga, biasanya muncul  pelbagai penyakit yang menyerang tentera di kedua-dua belah pihak. Dalam The Iliad karya klasik Homer,  wabak berlaku ketika peperangan.  Demikian juga  Wabak Athens, Wabak Antonine, Maut Hitam, dan Wabak Besar Milan, yang menyaksikan wabak meletus atau melanda ketika peperangan. Selain itu, demam selesema Sepanyol melanda dunia di tengah-tengah Perang Dunia Pertama. Penyakit dipercayai membantu tentera Sepanyol yang dipimpin oleh Hernando Cortes menakluki ibu negeri Aztec, Tenochtitlan pada tahun 1519, dan satu pasukan tentera Sepanyol yang dipimpin oleh Francisco Pizarro menakluki Incas pada tahun 1532.

Cacar juga menyerang  tentera Perancis dalam Perang Perancis-Prussia, yang menyebabkan kira-kira 20,000 tentera negara itu uzur dan tidak mampu berperang, manakala musuh mereka, Jerman imun daripada penyakit ini.  Sebelum itu, sesetengah askar Eropah mengikuti contoh Napoleon dan memvaksinkan rekrut melawan cacar.  Namun begitu, Perancis tidak meneruskan amalan ini ketika masa aman, sebaliknya Prussia melakukannya.

Perang dan penyakit yang turut mendapat perhatian,  ialah  perang yang melibatkan Napoleon Bonaparte dan tenteranya ketika Revolusi  Haiti dan   dengan Rusia. Dalam kedua-dua perang itu menyaksikan tentera Napoleon bukan sahaja mengalami kekalahan, tetapi juga dalam perang dengan Rusia, kemusnahan yang teruk. Perang dengan Haiti, demam kuning turut menyerang tentera Napoleon, manakala dengan Rusia, tenteranya diserang oleh berak darah dan tifus.

Pada 24 Jun 1812, Grande Armée, diketuai oleh Maharaja Perancis, Napoleon Bonaparte, menyeberangi Sungai Neman, menceroboh Rusia, dari Poland sekarang. Akibatnya satu bencana terhadap Perancis. Askar Rusia enggan bertempur dengan Grande Armée yang terdiri daripada lebih 500,000 orang tentera Eropah. Mereka hanya sekadar berundur ke kawasan pedalaman Rusia. Pelbagai keadaan yang berlaku ketika dalam perjalanan ke Rusia mewujudkan keadaan sempurna untuk penyakit microb berkembang subur, terutamanya berak darah, jangkitan yang sangat ditakuti oleh askar pada abad ke-19.  Berak darah turut membawa kemusnahan Grande Armée. Ketika mereka tiba di Moscow mereka kehilangan antara 150,000 orang hingga 200,000 kerana tiga faktor, iaitu pertempuran, meninggalkan pasukan, dan penyakit.

Pencerobohan itu berlaku  selama enam bulan, dan Grande Armée kehilangan lebih 300,000 orang, manakala Rusia kehilangan lebih 200,000 orang.  Selepas menunggu selama sebulan, tetapi  askar Rusia masih enggan menyerah diri, Napoleon yang menghadapi musim sejuk Rusia, memerintahkan askar yang kebuluran keluar dari Moscow. Ketika pengunduran yang membawa bencana itu, askar Napoleon menanggung sengsara akibat serangan berterusan yang dilancarkan oleh askar Rusia yang tiba-tiba agresif dan tanpa belas kasihan itu.

Dengan memaksa tentera Perancis yang berkecai meninggalkan Rusia mengikut laluan yang  dibinasakan mereka apabila mereka memasuki negara itu, Komander Jeneral Mikhail Kutuzov  memusnahkan pihak musuh tanpa perlu melawan dalam satu pertempuran lagi. Tentera Kutuzov memporak-perandakan tentera Perancis yang berundur,  berhadapan dengan mereka di Vyazma dan Krasnoye, dan saki-baki tentera Napoleon yang tersempit  melarikan diri daripada pelenyapan ketika menyeberangi  Sungai Berezina pada akhir November 1812. Pada Januari 1813, Kutuzov mengejar  askar Perancis hingga  ke Poland dan Prussia, tempat beliau mati kerana penyakit.

Oleh yang demikian, ketika bertempur di medan perang, bukan sahaja bertujuan untuk memastikan musuh jatuh tersungkur, tetapi juga mengambil ingatan bahawa kemungkinan besar muncul musuh yang tidak dikenali dan yang juga berbahaya. Dalam sesetengah peperangan, jumlah  kematian tentera akibat penyakit lebih tinggi daripada jumlah kematian yang berpunca daripada musuh.


Friday, January 27, 2023

Amerika Syarikat dan Perang Dingin Baharu

 Oleh:  ZULKIFLI SALLEH

Jumaat,  27 Januari 2023

Sejak tahun 2010-an, bayang-bayang Perang Dingin Baharu mula kelihatan, dengan tumpuan terhadap tindak-tanduk Rusia di bawah Putin.  Tiba-tiba sejak beberapa tahun kebelakangan ini, tumpuan beralih kepada China, yang seperti yang dibincangkan dalam beberapa bahagian sebelum ini merupakan kuasa ekonomi dunia dan merupakan pesaing utama terhadap Amerika Syarikat yang sedang merosot. Selain itu, China semakin bersikap mendesak di rantau ini sehingga tidak disenangi oleh  beberapa buah negara jirannya, dari India ke Australia.  Berikutan kejayaannya membendung pandemik COVID-19 dan kegagalan Amerika Syarikat membendung pandemik ini, China mula menjaja ke seluruh dunia bahawa autokrasi lebih baik daripada demokrasi.

            The Editors  dalam Monthly Review keluaran Disember, 2020 menegaskan bahawa Amerika Syarikat kini dalam Perang Dingin Baharu dengan Rusia dan China, dengan semakin tertumpu pada China.  Bagi Rusia, bermulanya Perang Dingin Baharu adalah akibat langsung strategi imperial Barat yang dituntun oleh Amerika Syarikat ketika dekad-dekad yang menyusuli kematian Kesatuan Soviet. Dalam kekosongan yang ditinggalkan kehilangan Soviet dari pentas dunia, strategi besar Amerika Syarikat yang dirumuskan oleh  Paul Wolfowitz tidak lama selepas Perang Teluk dengan Iraq adalah ditujukan pada pengembangan lingkungan dominan geopolitik, dalam usaha untuk mewujudkan kuasa ekakutub kekal.  Ini mengambil bentuk satu demi satu peperangan, campur tangan ketenteraan, dan taktik politik kekerasan, ditujukan ke kawasan yang sebelum ini menjadi saingan antara adikuasa (termasuk bahagian Timur Tengah), di samping mengandungi negara dalam lingkungan geopolitik Soviet atau sebelum ini bahagian Kesatuan Soviet.

            Walau bagaimanapun, pengembangan lingkungan geopolitik Amerika Syarikat akhirnya menanggung anjak belakang yang teruk, berhadapan dengan kemunculan Rusia, semasa di bawah Putin, sekali  lagi memperoleh semula status kuasa besar yang mencabar kuasa kapitalis.  Dalam respons terhadap rampasan kuasa politik yang disokong oleh NATO di Ukraine pada tahun 2014, Rusia mengilhakkan Crimea dan mencuba untuk melindungi  rakyat Rusia di Ukraine Timur dan menutup sempadannya dengan Ukraine menerusi campur tangan terhad, secara keseluruhannya terselindung.  Washington ini menggambarkan ini sebagai tindakan utama pencerobohan, mewajarkan untuk meningkatkan sekatan terhadap Rusia.  Pada tempoh yang sama, Rusia berjaya menewaskan percubaan NATO untuk menggulingkan pemerintah Syria.

Dari mula lagi, pentadbiran Trump mencuba detente dengan Rusia, dengan matlamat mencetuskan Perang Dingin Baharu dengan China, yang dilihat sebagai ancaman paling besar.  Perang Dingin Baharu yang berkait dengan China menunjukkan konflik lebih serius berbanding dengan Rusia, kerana ini melibatkan cabaran langsung terhadap hegemoni Amerika Syarikat terhadap ekonomi dunia.

Dalam keluaran khas Julai – Ogos 2021, yang liputan utama “Perang Dingin terhadap China,”  The Editors, mencatatkan bahawa tempoh perpecahan China-Soviet bermula lewat tahun 1950-an dan  kebangkitan China dari segi menyahstabilkan  tatanan kapitalis global.  Editorial itu juga membangkitkan Krisis Kewangan Besar yang muncul di Wall Street pada 2007 – 2009 mencongkan seluruh ekonomi dunia, melemahkan, melemahkan kepercayaan terhadap seluruh dunia kapitalisme.  China bertindak balas dengan meningkatkan  kawalan negara terhadap kewangan, rangsangan ekonomi utama, dan transformasi dalam proses perancangan pusatnya, dan dengan itu, pulih dengan pantas daripada krisis itu. Keadaan ini membawa pengukuhan kemunculan tradisi kritis, mencabar pemikiran neoliberal yang sedang berkembang.

Dalam Monthly Review keluaran Disember 2022, The Editors mendedahkan pelan Perang Dingin Baharu, Presiden Joe Biden. The Editors merujuk U.S. National Security Strategy baharu yang dikeluarkan oleh pentadbiran Biden pada Oktober 2022, yang merupakan dokumen suka berperang yang menunjukkan  anjakan drastic daripada  Interim National Security Strategic Guidance, yang dikeluarkan oleh pentadbiran yang sama, pada tahun sebelumnya. Dalam prakata laporan tahun 2022, Biden menyatakan, “Era pasca-Perang Dingin berakhir secara muktamad” dan digantikan oleh “persaingan strategik” antara kuasa besar global: perjuangan antara demokrasi dengan autokrasi untuk mengawal dunia. Meskipun “autokrasi” muncul sekali dalam Interim National Security Strategic Guidance, perkataan itu kini muncul secara praktik dalam setiap halaman, yang mencerminkan ideologi Perang Dingin Baharu yang dilaksanakan oleh keselamatan negara Amerika Syarikat.

Dalam National Security Strategy terbaru ini bagi Amerika Syarikat, ideologi sekali lagi di barisan depan, meskipun tidak dinyatakan dengan jelas dari segi kapitalisme lawan komunisme, seperti yang berlaku ketika Perang Dingin Lama, tetapi sebaliknya demokrasi lawan autokrasi, yang mentakrifkan Perang Dingin Baharu. Pemimpin kem autokratik, seperti yang direka bentuk oleh Washington ialah Republik Rakyat China dan Rusia, disusuli oleh “kuasa autokratik kecil,” seperti Kora Utara, Iran, Venezuela, Cuba, dan Nicaragua.

Untuk perincian, si[a rujuk: https://monthlyreview.org/2022/12/01/mr-074-07-2022-11_0/

 


Thursday, January 26, 2023

Kepulangan Semula Geopolitik

Oleh:  ZULKIFLI SALLEH

Khamis, 26 Januari 2023


Geopolitik ialah analisis pengaruh geografi terhadap hubungan kuasa dalam hubungan antarabangsa.  Perkataan geopolitik pada mulanya diperkenalkan oleh ahli sains politik Sweden, Rudolf Kjellén pada tahun 1900, dan digunakan secara meluas di seluruh Eropah pada tempoh antara Perang Dunia Pertama hingga Perang Dunia Kedua (1918 – 1939) dan digunakan di seluruh dunia kemudian.  Beliau salah seorang murid Friedrich Ratzel, ahli geografi dan ahli etnografi  Jerman pada lewat abad ke-19, yang memperkenalkan idea Lebensraum, atau “ruang kehidupan.” Bagi  Kjellén, geopolitik, iaitu  masalah dan keadaan dalam sesebuah negara yang timbul daripada sifat geografi; oecopolitik, iaitu faktor ekonomi yang mengesani kuasa negara; dan demopolitik, unsur perkauman negara dan masalah yang unsur itu wujudkan.

            Geopolitik ialah istilah abad ke-19 yang merujuk gugusan dan manipulasi kuasa dalam sistem antara negara.  Geopolitik atau persaingan geopolitik ialah pertelagahan dalam kalangan kuasa besar dan negara yang bercita-cita menjadi kuasa besar untuk mengawal wilayah, sumber, dan kedudukan geografi yang penting.  Jika diperhatikan, jenis percanggahan ini merupakan kuasa pemacu dalam politik dunia dan terutamanya konflik dunia pada hampir keseluruhan abad ke-20. Dalam wacana sezaman, geopolitik digunakan sebagai sinonimi secara longgar untuk politik antarabangsa. 

            Harold James dalam makalahnya, “A Little Geopolitics is a Dangerous Thing,” menjelaskan bahawa selepas Perang Dunia Pertama dan kegagalan wawasan Jerman yang bercita-cita tinggi yang berbahaya, “dunia politik” (Weltpolitik)   di bawah Kaisar Wilhelm II, istilah baharu diperlukan. Istilah ini disediakan oleh Karl Haushofer, pegawai dan ahli teori strategi di Akademi Ketenteraan Munich, yang dipengaruhi secara mendalam  ketika beliau berkhidmat sekejap sebagai atase tentera  di Tokyo. Haushofer  dengan ghairah menggunakan istilah yang diperkenalkan oleh Rudolf Kjellén.

             Geopolitik membentuk kajian persekitaran bahagian luar yang dihadapi oleh  setiap negara apabila menentukan strateginya sendiri: bahawa persekitaran kehadiran negara lain yang juga bergelut dengan penakatan dan kelebihan.  Secara ringkas,  geopolitik ialah pengaruh geografi terhadap bahagian manusia.  Seperti yang Napoleon kata, untuk mengetahui geografi negara adalah untuk mengetahui dasarnya.

Han J. Morgenthau yang menyebut geopolitik “pseudosains” kerana geopolitik menegakkan  “faktor geografi menjadi mutlak.”  Morgenthau yang menulis selepas Perang Dunia Kedua, yang mengubah teori  abad ke-20 dihidupkan semula di tengah-tengah Perang Dunia Kedua dan disalahgunakan oleh puak Nazi untuk menjustifikasikan idea Lebensraum, atau “ruang kehidupan” Jerman.  Untuk pasti, oleh sebab matlamat geopolitik adalah untuk mencapai keseimbangan kuasa, dan percubaan puak Nazi adalah semata-mata untuk menggulingkan keseimbangan kuasa, maka penggunaan  Harold Mackinder  oleh puak Nazi adalah penyimpangan pemikiran Mackinder sendiri.  Keseimbangan kuasa, menurut Mackinder, oleh sebab keseimbangan ini menjamin setiap negara keselamatannya sendiri, maka bentuk kebebasan yang paling asas.  Morgenthau juga bersikap keras terhadap Mackinder. Dalam mana-mana kes, Morgenthau tidak menyukai Mackinder, di samping ringkasan berhati-hati beliau tentang teori Mackinder,  adalah dengan sendirinya menunjukkan pengaruh Mackinder yang sangat kuat terhadap pemikiran geopolitik Barat selama berdekad-dekad. 

Pandemik COVID-19 mencetuskan krisis ekonomi yang menyaksikan pengangguran,  kemiskinan, dan kebuluran meningkat ketara di peringkat global yang boleh menggugat kestabilan politik di negara membangun.  Kekacauan politik sering dipacu dari bawah, iaitu daripada rakyat jelata yang  terkesan teruk oleh pandemik ini.  Di negara yang kemiskinan merebak luas, sistem kesihatan awam lemah, dan kos makanan meningkat, rakyat terpaksa menanggung tekanan kewangan yang teruk. Selain itu, pandemik COVID-19  juga memberikan impak terhadap geopolitik. Sejak virus korona mula merebak ke seluruh dunia, banyak penganalisis membuat spekulasi tentang impaknya:  virus ini akan hanya memecut trend yang wujud sebelum ini semata-mata, atau virus ini akan terbukti menjadi “pengubah permainan” geopolitik, yang mewujudkan dunia yang sungguh berbeza daripada sebelum ini.

Namun begitu,  Harold James,  mengingatkan bahawa dalam keadaan semasa, gaya geopolitik  sekali lagi kelihatan seperti pampasan untuk impoten (compensation for impotence).  Simptom buruk dikaitkan dengan geopolitik lama yang muncul semula dan menghalang penyelesaian untuk masalah global, seperti pandemik COVID-19, yang tidak akan berakhir sehinggalah wujud pemvaksinan universal.  Bagi James, menggunakan “geopolitik” secara bercampur-baur tidak mencapai apa-apa, kerana menggunakan istilah ini adalah tiada pengganti untuk perbincangan substantif dan mengutarakan tafsiran yang bercanggah.  Memikirkan istilah pertembungan kuasa besar, dan bergaduh tentang siapakah orang hipokrit terbesar, tidak akan menyelesaikan percanggahan antarabangsa  dan  tidak juga menyelesaikan masalah bersama.

Sejak seawal Mac 2020,  impak pandemik COVID-19 terhadap geopolitik   diperhatikan  oleh  ahli sains politik dan penganalisis hubungan antarabangsa.  Bagi Ian Bremmer yang muncul dengan ”We Are in a Geopolitical Recession. That’s a Bad Time for the Global Coronavirus Crisis”,   kemelesetan geopolitik bergerak seiringan dengan kemelesetan ekonomi: masa teruk untuk krisis virus korona global.  Walau bagaimanapun, Bremmer memberitahu bahawa tidak ada takrif teknikal untuk berubah turun geopolitik, dan keadaan ini berlaku dengan sangat tidak kerap bahawa tidak wujud peraturan yang diwujudkan untuk mengumumkan ketibaannya.  Setiap kitaran meletus geopolitik mesti diperkatakan dengan caranya sendiri, hasil masa  tertentu dan cabarannya. Cabaran yang kita hadapi hari ini  adalah mengungkai tatanan dunia yang diterajui  Amerika, dan ketiadaan kepimpinan global untuk campur tangan dan mengambil tempatnya.

“Kita hidup di dunia G-Zero... dan kemelesetan geopolitik adalah kesannya,” tegas Bremmer.  “Dalam kemelesetan geopolitik, politik global yang retak memarakkan risiko global dan bukannya membantu menyelesaikannya.”

Bremmer menegaskan bahawa ketegangan geopolitik pada tahap membimbangkan, bahkan sebelum pandemik bertindak, tetapi bukannya menyatukan dunia menentang musuh bersama, virus korona sebaliknya menunjukkan bahawa sistem geopolitik semasa kita rosak. Kebangkitan China yang mempunyai implikasi yang mendalam terhadap geopolitik benar-benar mendapat perhatian Bremmer.

Pada Januari dan Februari 2020, era gelembung geopolitik gergasi, seperti yang sesetengah pemerhati lihat, akhirnya mula menyusut dan menyaksikan kebangkitan China, yang dipermudahkan oleh kejayaan negara itu membendung pandemik COVID-19, tatkala dunia Barat hampir lumpuh dan masih terkial-kial melawan pandemik ini. Tatkala China mula pulih dan virus berpindah ke Barat pada Mac dan April 2020, seperti yang diperhatikan oleh Kevin Rudd dalam “The Coming Post-COVID Anarchy”,  kegembiraan tidak rasional berubah menjadi kehampaan tidak rasional. Ulasan   disambut dengan keberangan sebarang  kemungkinan bahawa pandemik mungkin pada hakikatnya membantu China muncul sebagai pemenang dalam pertandingan geopolitik yang sedang berlangsung dengan Amerika Syarikat.

Para pemimpin China, tegas Rudd, mempunyai pandangan mudah Leninis tentang kuasa Amerika Syarikat. Kuasa ini terletak pada dua fundamental: ketenteraan Amerika Syarikat dan dolar Amerika Syarikat. Semua negara sedar apa yang Leninis sebut “kuasa objektif” dan kesediaan kuasa besar untuk menggunakannya.  Akan tetapi, tanggapan kuasa sama-sama penting.  China kini bekerja lebih masa untuk membaiki kerosakan yang sungguh teruk terhadap kedudukan globalnya akibat daripada asal ussul geografi virus dan kegagalan Beijing untuk membendung epidemik dalam bulan-bulan awal yang runcing. Apa-apa jua generasi baharu China, iaitu diplomat “pahlawan-serigala” mungkin laporkan ke Beijing, realiti bahawa kedudukan China terjejas teruk.

Lebih setahun setengah berlalu, pandemik COVID-19 belum menunjukkan sebarang tanda untuk berundur. Ralat besar yang penganalisis geopolitik boleh lakukan mungkin mempercayai bahawa krisis ini akan berakhir dalam masa tiga bulan hingga empat bulan, seperti sesetengah pemimpin dunia maksudkan. Bagi Thomas Wright, yang menulis, “Stretching the International Order to Its Breaking Point”,  COVID-19 merupakan geopolitik utama keempat yang belaku dalam beberapa dekad.  Dalam setiap tiga kejutan sebelum ini, penganalisis dan pemimpin secara kasar memandang rendah impak jangka panjang terhadap masyarakat mereka dan terhadap politik dunia.  Pengakhiran Perang Dingin merupakan peristiwa penting, tetapi hanya sebilangan orang melihat era hegemoni dan kemakmuran Amerika akan menyusul.  Kuasa besar akan kemungkinan mempunyai kapasiti yang kurang dari segi kedua-duanya, iaitu material dan masa  - untuk bekerjasama terhadap kejutan geopolitik dan bahawa pastinya, akan berlaku ketika krisis ini.  Kuasa besar benar-benar sibuk dengan masalah domestik dan akan amat sukar untuk menumpukan masa terhadap masalah yang kepentingan nasional mereka tidak terancam secara langsung.

Akibat krisis pandemik COVID-19, kebanyakan hujah  bahawa dunia yang kita masuki    akan dari segi fundamental berbeza daripada dunia yang wujud sebelum ini.  Sesetengahnya meramalkan pandemik akan melahirkan tatanan baharu dunia yang diterajui oleh China; hujah lain percaya bahawa pandemik ini akan mempercepatkan kematian kepimpinan China.  Sesetengah berkata pandemik akan menamatkan globalisasi; yang lain berharap pandemik ini akan membawa era baharu kerjasama global. Dan yang lain masih mengunjurkan bahawa pandemik ini akan meruap nasionalisme, melemahkan perdagangan bebas, dan membawa kepada pertukaran rejim di pelbagai negara.

Akan tetapi, hujah Richard Haass, dunia berikutan pandemik mustahil berbeza secara radikal daripada dunia yang mendahuluinya. Pandemik dan respons terhadapnya mendedahkan dan memperkukuh ciri asas geopolitik hari ini. Akibatnya, krisis ini menjanjikan kurang titik tolak berbanding dengan stesen laluan di sepanjang jalan yang dunia lalui sepanjang dua dekad lalu. Haass yang muncul dengan ”The Pandemic Will Accelerate History Rather Than Reshape it”, yang tidak pasti, bilakah  pandemik ini akan berakhir – sama ada enam bulan, 12 ataupun 18 bulan – menegaskan bahawa dunia yang akan muncul daripada krisis ini akan dapat dikenal pasti.  Kepimpinan Amerika yang merosot, kerjasama global yang tergagap-gagap, perbalahan kuasa besar: semua ini mencirikan persekitaran antarabangsa sebelum kemunculan COVID-19, dan pandemik ini menjadikan kesemua itu lebih nyaring  dan bukannya melegakan.  Kesemua itu berkemungkinan bahkan, menjadi  sifat yang lebih menonjol dunia yang menyusul.

Sebagaimana Bremmer, Haass juga memberikan tumpuan terhadap kekurangan kepimpinan Amerika Syarikat, yang merupakan satu ciri krisis semasa ini. Amerika Syarikat tidak mengerahkan dunia dalam usaha kolektif untuk menghadapi, sama ada virus ataupun kesan ekonomi.  Amerika Syarikat juga tidak mengerahkan dunia supaya mengikut tuntunannya dalam menangani masalah sendiri.  Negara lain menjaga diri mereka sebaik mungkin yang mereka mampu atau beralih ke negara lain yang pernah mengalami puncak jangkitan, seperti China, untuk bantuan.

Pada bulan-bulan awal kerebakan,  dengan beratus-ratus juta orang mengasingkan diri mereka di seluruh dunia, pandemik virus korona baharu benar-benar menjadi peristiwa global.  Dan meskipun implikasi geopolitiknya sepatutnya dianggap soal kedua berbanding dengan keselamatan dan kesihatan, dalam jangka panjang, terbukti kepentingannya, khususnya apabila melibatkan kedudukan global Amerika Syarikat. Tatanan global mempunyai kecenderungan untuk berubah secara beransur-ansur pada mulanya dan kemudian semuanya serentak. 

China yang merupakan saingan utama (juga seteru) Amerika Syarikat, dengan aset utama dalam mengejar kepimpinan globalnya dala menghadapi virus korona dan secara lebih luas ditanggapi kekurangan  dan fokus ke dalam dasar Amerika Syarikat. Kejayaan muktamad pencarian China akan banyak bergantung pada apa yang berlaku di Washington berbanding dengan apa yang berlaku di Beijing.

Sehubungan dengan itu, dalam “The Coronavirus Could Reshape Global Order”,  Kurt M. Campbell dan Rush Doshi, menegaskan dalam krisis semasa, Washington masih dapat mengubah arus sekiranya Washington  terbukti mampu melakukan apa yang diharapkan sebagai pemimpin:  mengurus masalah di negara sendiri, membekalkan barang awam global, dan menyelaraskan respons global. Yang pertama daripada tugas itu, iaitu menghentikan merebaknya penyakit dan melindungi penduduk yang rentan di Amerika Syarikat adalah paling segera dan keseluruhannya persoalan tadbir urus domestik berbanding dengan geopolitik.  Akan tetapi, bagaimana Washington melakukannya akan mempunyai implikasi geopolitik, dan bukan hanya setakat mewujudkan semula atau tidak mewujudkan semula keyakinan terhadap respons Amerika Syarikat.

Sementara itu,  Francois Heisbourg dalam “From Wuhan to the World: How the Pandemic Will Reshape Geopolitics”,   menjelaskan dalam sesetengah cara, COVID-19 menaikkan nasionalisme.  Namun begitu, pandemik ini juga mempunyai beberapa kesan pemecahan bangsa (nation-splitting).  Catalonia dan Madrid bertelagah tentang  bidang kuasa yang melaksanakan peraturan pengurungan.  Di Amerika Syarikat dan Belgium, pertikaian meletus antara pihak berkuasa persekutuan dengan negeri berhubung dengan peruntukan PPE.  Orang Sicili selalunya tidak mengalu-alukan “pelarian-korona” Lombardi.

Pandemik memberikan asas baharu kepada sempadan.  Namun begitu, perkembangan ini tidak sepatutnya dilihat sebagai pengesahan prima facie tentang keperdanaan baharu untuk bangsa.  Apabila Jerman menapis kemasukan di sempadannya dengan Perancis begitu juga sebaliknya, dua penduduk nasional tidak melihatnya sebagai penolakan terhadap Eropah. 

Berhubung dengan pengubah permainan geopolitik dalam pembikinan, kajian itu menyatakan setiap krisis membuka kemungkinan untuk perubahan. Hal ini demikian kerana krisis mengatur semula keutamaan, menahan  sesetengah kegiatan, manakala mendorong yang lain, melumpuhkan pelaku, manakala memperkasa yang lain, mendedahkan keretanan, dan menggerakkan sehingga sekarang sumber dan kemampuan yang tidak diketahui.  Meskipun krisis mungkin tidak mengubah segala-galanya, krisis pastinya membuka potensi untuk berubah dengan menghasilkan apa yang kita sebut pengubah permainan: bidang yang keputusan belum lagi diambil, dan apabila trajektori masa depan adalah oleh itu, masih belum pasti.  Demikian juga istilah sah di persimpangan, atau titik keputusan. 

 


Tuesday, January 24, 2023

Anatomi Buku

 Oleh:  ZULKIFLI SALLEH

Selasa, 24   Januari 2023

Carian melalui Internet menunjukkan bahawa anatomi merupakan disiplin saintifik tertua dalam perubatan.  Pembedahan saintifik yang pertama didokumenkan dilakukan seawal abad ketiga Sebelum Masihi di Iskandariah.  Kamus Dewan Edisi Keempat, menyatakan bahawa anatomi, bermaksud kajian atau pengetahuan mengenai binaan tubuh dan sebagai hidupan (manusia, binatang atau tumbuh-tumbuhan), kaji bina tubuh. Britannica pula menyatakan anatomi, ialah bidang dalam sains biologi yang berkaitan dengan identifikasi dan deskripsi struktur tubuh makhluk.  Anatomi kasar melibatkan kajian struktur tubuh utama melalui pembedahan dan pencerapan dan dalam maksudnya yang sempit berkait dengan tubuh manusia.

Apakah Anatomi Buku?

Buku juga mempunyai anatominya yang  sepatutnya difahami oleh para penulis dan  editor buku. Yang dimaksudkan anatomi buku, ialah bahagian-bahagian buku.  Yusuf Abdhul (2022), menjelaskan bahawa anatomi buku merupakan bahagian-bahagian penting yang harus ada dalam sebuah buku yang baik dan layak. Bahagian ini sangat banyak.  Bagi para penulis, memahami anatomi buku merupakan hal penting yang dapat membantu melancarkan kegiatan  penulisan. Menurut beliau, banyak penulis yang merasakan manfaat tersebut, sehingga siapa sahaja yang ingin menjadi penulis perlu mempelajari apa itu anatomi sebuah buku.  Kegiatan penulisan memang tampak sederhana dan mudah untuk dilakukan, kerana sekilas hanya tampak,  seperti menulis suatu kalimat. Namun begitu, ketika dipraktikkan pastinya banyak orang yang bersetuju bahawa menulis bukan hal yang mudah. Apalagi menulis buku. 

            Bagi Yusuf Abdhul, buku memiliki halaman yang banyak, yakni mencapai ratusan. Proses penulisan  memerlukan idea  dan kefahaman  bagaimana menuangkan isi kepala menjadi tulisan. Bukan  hanya sekadar tulisan, melainkan tulisan yang mudah difahami oleh para pembaca.  Selain itu, struktur buku harus tepat supaya apa yang ingin disampaikan penulis dapat difahami dengan baik kerana disampaikan secara runtut. Supaya prosesnya lebih mudah,  maka perlu memahami struktur anatomi sebuah buku.

            Jika anatomi ialah struktur dan organisasi dari makhluk hidup, maka anatomi buku adalah struktur dan organisasi buku. Secara lebih mendalam lagi, anatomi pada buku merupakan bahagian-bahagian  buku. Yusuf Abdhul menegaskan bahawa buku sama seperti tubuh manusia, memiliki bahagian-bahagian tertentu yang memiliki fungsi berbeza satu sama lain. Bahagian-bahagian buku ini kemudian saling berhubungan dan membentuk buku dalam satu kesatuan. Beliau mengingatkan bahawa sebuah buku belum boleh dikatakan sebagai buku jika tidak memiliki bagian-bagian umum dari sebuah buku. Oleh sebab itu, para penulis sebaiknya memahami betul apa itu anatomi pada buku agar tidak ada bahagian yang terlewat. 

Pada amnya, sesebuah buku terdiri daripada kulit, bahagian bahan awalan, bahagian bahan teks, dan bahagian bahan akhiran.  Namun begitu, ada yang mengatakan buku mengandungi 10 bahagian, bahkan anatomi buku ialah 25 bahagian, seperti yang dinyatakan melalui laman sesawang, Publimetry, “Anatomy of a Book — 25 Parts of a Book That Every Writer Needs to Know.” Setiap buku adalah unik.  Pengaturan buku tidak sepatutnya begitu. Memang penting susunan ini mengikut  amalan industri penerbitan yang standard.  Bahagian buku sepatutnya kelihatan di lokasi standard dalam setiap buku. Dengan menyusun buku anda menggunakan peraturan ini akan membolehkan para pembaca mencari dengan mudah.  Misalnya, setiap buku mempunyai kulid depan dan kulit belakang.  Prolog dan kandungan diletakkan di depan, manakala indeks di belakang.  Menurut sesawang itu lagi, buku dibahagikan kepada tiga bahagian utama:  bahan depan, bahan badan, dan bahan akhir. Dua puluh lima bahagian yang dimaksudkan itu ialah bahan depan, yang terdiri daripada  kulit buku, bahan depan (halaman judul separa dan halaman judul penuh), halaman hak cipta, dedikasi (pilihan), penghargaan (pilihan), kandungan (pilihan), kata pengantar (pilihan), testimonial (pilihan),  dan prakata  (pilihan).

Bahan badan  terdiri daripada pendahuluan (pilihan), prolog (pilihan), epigraf atau petikan (pilihan),  halaman judul separa ini perlu sekiranya bahan awalan  panjang (pilihan), teks utama, epilog (pilihan), dan kata hujungan atau catatan tambahan (pilihan).

Bahan akhir terdiri daripada lampiran (pilihan), glosari (pilihan), bibliografi (pilihan), indeks (pilihan), kolofon (pilihan), dan indeks (pilihan), kulit belakang, dan tulang belakang.

Kulit

Kita sering mendengar orang berkata, “Jangan sekali-kali menilai buku dengan melihat kulitanya.”  Seolahnya, menggambarkan kulit buku tidak penting.  Sebaliknya, yang penting ialah isinya. Namun begitu, dikatakan bahawa kulit merupakan jati diri atau identiti penerbitnya. Kuli buku merupakan perkara pertama yang pembaca akan dan lihat dan sering kali salah satu perkara yang menarik pembaca untuk membaca sesebuah buku. Selain itu, kulit buku juga berfungsi sebagai penjilidan yan melindungi halaman buku.  Sekiranya penjilidan tidak kukuh, nescaya halaman atau kuras akan terburai.

            Karla Lant (t.t.), dalam “Anatomy of a Book Cover,” menegaskan bahawa penciptaan kulit merupakan langkah kreatif buku yang terakhir dalam penerbitan buku. Hal ini demikian kerana hamper-hampir segalanya tentang anatomi kulit buku dikawal oleh versi akhir buku yang disunting: saiz repang, warna kertas, dan bilangan halaman semuanya menentukan dimensi kulit sesebuah buku. Tidak pernah wujud alasan baik untuk mereka bentuk kulit sebelum draf akhir siap, kerana melakukan demikian adalah seperti bermakna bagaimanapun, anda perlu melakukannya sekali lagi.

            “Sama ada anda penerbit buku sendiri ataupun penerbit bebas,” tegas Lant, “anda memerlukan maklumat tentang apakah kemahuan khalayak sasaran anda supaya anda membuat keputusan perniagaan dipacu data yang bijak.” Beliau menasihati, sebelum anda memulakan reka bentuk kulit, selidik 20 buah hingga 50 buah buku dalam genre anda, bedah setiap kulit menjadi bahagian. Ingat bahawa kulit depan, kulit belakang, tulang belakang, reka letak, gambar, jenis huruf, dan unsur lain setiap kulit.

            Kulit depan mengandungi maklumat asas, seperti judul, nama penulis (penulis-penulis), editor, penyunting, penyusun, dan penterjemah.  Cuba elakkan daripada menggunakan nama penyeleggara, seperti yang biasa terdapat dalam penerbitan buku  berbahasa Melayu. Sebaik-baiknya cuba ikut standard antarabangsa, iaitu menggunakan nama editor, penyunting  atau penyusun.

            Maklumat asas lain yang dinyatakan, ialah nama pelukis  unruk buku bergambar kanak-kanak, perkataan Sastera Kanak-kanak untuk buku kanak-kanak dan Sastera Remaja untuk buku remaja. Nama dan nombor siri untuk semua penerbitan bersiri. 

            Penguin Books terkenal dengan  penerbitan karya klasik, seperti Penguin Popular Classics untuk fiksyen; pada kulit depan tertera Penguin Popular Classics.  Penguin Books juga menerbitkan buku Penguin Classics, maka tertera Penguin Classics pada kulit depan.  Penerbit lain, yang menerbitkan karya klasik, seperti Monthly Review Press, pada kulit tertera Monthly Review Press Classics, manakala Wordsworth Edition Limited, pada kulit depan tertera Wordsworth Classics of World Literature.

            Bagi karya yang diterbitkan semula, seperti The Communist Manifesto karya Karl Marx dan Friedrich Engels oleh Pluto Press, dengan pengenalan ditulis oleh David Harvey, maka pada  kulit depan tertera “Introduction by David Harvey.”  Regnery Publishing, Inc. menerbitkan semula Das Kapital: A Critique of Political Economy, di bawah The Skeptical Reader Series yang dinyatakan pada kulit depan, dan turut dinyatakan  “With an Introduction by Serge L.  Levitsky.” 

            The New Press menerbitkan semula karya Noam Chomsky, iaitu American Power and the New Mandarins, Towards a New Cold War: US Foreign Policy from Vietnam to Reagan, dan For Reasons of State. Pada kulit depan buku pertama tertera “With a New Foreword by Howard Zinn,” buku kedua  “With a New Foreword by John Pilger,”  dan buku ketiga “With a New Introduction by Arundhati Roy.”

            Meskipun hanya menulis “pengenalan” atau “kata pengantar,” penerbit tetap menyatakan nama penulisnya. Langkah seperti ini mungkin bertujuan untuk menarik perhatian pembaca kerana penulis berkenaan merupakan individu yang berwibawa dan mampu memberikan “nilai ditambah” pada buku berkenaan.

Pada suatu ketika dahulu, Oxford University Press menerbitkan tesis Ph.D.  Oleh sebab tesis biasanya tidak dianggap sebagai buku, maka pada kulit depan tertera East Asian Social Science Monographs. 

            Sebilangan penerbit, antaranya Dewan Bahasa dan Pustaka meletakkan logo penerbitannya di penjuru bawah sebelah kanan.  Penguin Books yang menerbitkan Modern Classics, dengan logo Penguin diletakkan di penjuru atas sebelah kiri.

            Kulit belakang pula mengandungi ringkasan penerbit (blurb), kod jalur, dan data Pengkatalogan-dalam-Penerbitan dan ISBN, yang juga mengandungi harga  Sekiranya buku itu merupakan cetakan kedua atau edisi baharu, kulit belakang akan dimuatkan pujian terhadap cetakan pertama atau edisi pertama. Selalu juga pujian dimuatkan dalam cetakan pertama buku berkenaan, kerana biasanya penulis menghantar manuskrip yang dalam proses penerbitan kepada individu tertentu, yang mempunyai “wibawa” untuk ulasan ringkas. Malangnya, amalan seperti ini kurang dititikberatkan oleh penulis di negara kita.

Keterangan lain yang mungkin dimuatkan pada kulit belakang, ialah biodata penulis, judul lain dalam siri yang sama, judul lain oleh penulis yang sama, dan ulasan tentang buku.

            Pada tulang belakang terdapat maklumat asas, seperti judul buku, nama penulis, dan logo penerbit yang biasanya diletakkan di sebelah bawah, kecuali logo penerbitan Dewan Bahasa diletakkan di sebelah atas.

            Kulit buku terdiri daripada kulit keras dan kulit lembut.  Dalam penerbitan buku berbahasa Inggeris, biasanya diterbitkan buku kulit keras lebih dahulu. Kemudian, barulah diterbitkan edisi kulit lembut. Sama ada diterbitkan edisi kulit keras ataupun kulit lembut, pada kulit depan, kulit belakang, dan tulang belakang mengandungi maklumat yang sama. 

            Bagi kulit keras berjaket, maklumat yang terkandung  pada jaket depan,  ialah judul buku dan penulis, manakala pada tulang belakang jaket ditambah  logo penerbit.  Biasanya pada sayap  depan dimuatkan ringkasan penerbit, atau pujian terhadap buku itu, manakala sayap belakang dimuatkan biodata penulis dan mungkin bersama-sama foto penulis. Maklumat tambahan adalah tentang imej kulit dan nama, logo, dan alamat penerbit. Oleh sebab ringkasan penerbit dimuatkan dalam pada sayap depan, maka jaket kulit belakang dimuatkan pujian atau ulasan ringkas tentang buku berkenaan, atau dibiarkan kosong; hanya dicatatkan   kod jalur, dan data Pengkatalogan-dalam-Penerbitan dan ISBN, dan harga. 

            Maklumat pada kulit lembut boleh dikatakan sama dengan kulit keras yang tidak bersayap: judul buku dan penulis di kulit depan,  manakala ringkasan penerbit dan kod jalur, dan data Pengkatalogan-dalam-Penerbitan dan ISBN, dan harga pada kulit belakang. 

            Tidak kira, sama ada kulit lembut ataupun kulit keras, sesetengah penerbit memasukkan maklumat tambahan pada kulit depan tentang anugerah yang diterima oleh penulis, Hadiah Nobel, Anugerah Booker, Hadiah Pulitzer, dan sebagainya.  Sekiranya buku yang ditulis oleh penulis sebelum ini menjadi buku terlaris, maka pada depan buku terbaru ini dinyatakan “Pengarang Buku Terlaris...”

            Kulit lembut boleh juga bersayap, dengan maklumatnya sama dengan kulit keras bersayap.  Walau bagaimanapun, bagi Routledge Classics, pada sayap depan dimuatkan maklumat tentang Klasik Routledge, manakala pada sayap belakang dimuatkan senarai pengarang Klasik Routledge.

Bahan Awalan

Bahan awalan biasanya mengandungi judul separa, judul penuh, halaman hak cipta, dan halaman kandungan.  Pada judul separa, sekiranya buku berkenaan mempunyai judul kecil (subjudul), judul kecil itu tidak dimasukkan;  demikian juga nama penulis, editor,  atau penyusun, dan nama  penterjemah untuk buku karya terjemahan. Halaman judul penuh mengandungi judul utama, judul kecil, nama penulis, editor, atau penyusun,  nama  penterjemah untuk buku karya terjemahan nama penerbit, tempat terbit, dan tahun terbit.  Walau bagaimanapun, sesetengah penerbit tidak menyatakan tahun terbit. Antara halaman judul separa dengan halaman judul penuh disenaraikan buku yang dihasilkan oleh penulis berkenaan.

            Pada halaman hak cipta karya asli pula dinyatakan tahun terbit, hak cipta penulis, dan notis hak cipta.  Sekiranya pendahuluan atau kata pengantar ditulis oleh individu lain, maka namanya dinyatakan hak cipta pendahuluan atau kata pengantar; demikian juga sekiranya nama pelukis karya (jika ada). Data Pengkatalogan-dalam-Penerbitan dan ISBN, dan nama dan alamat pencetak dimuatkan pada halaman ini. Sesetengah penerbit menyatakan rupa taip, saiz huruf teks,   dan nama syarikat pengatur huruf sebelum nama dan alamat pencetak.

            Bagi buku karya terjemahan atau adaptasi, pada halaman hak cipta dinyatakan maklumat, seperti hak cipta penerbit asal, notis hak cipta penerbit karya terjemahan atau adaptasi it, data Pengkatalogan-dalam-Penerbitan dan ISBN, dan nama dan alat pencetak. 

            Halaman  lain yang dimasukkan, termasuk halaman penaja, iaitu keterangan tentang sumbangan dan halaman dedikasi, iaitu dedikasi penulis kepada individu tertentu, seperti suami, isteri, anak-anak, ibu, bapa, tokoh, atau institusi tertentu.

            Penomboran halaman bahagian  awalan biasanya menggunakan angka roman kecil. Penomboran ini hendaklah dikira dari halaman pertama yang bercetak.  Nombor folio dicetak bermula dari halaman kandungan, tetapi sesetengah buku tidak mengandungi nombor folio pada halaman kandungan.

            Kata pengantar,  prakata, pendahuluan, dan penghargaan dianggap sebagai bahan awalan. Kata pengantar  mengandungi pengenalan atau ulasan oleh seseorang selain penulis buku berkenaan. Biasanya penulis menulis kata pengantar atas permintaan penulis buku berkenaan.   Penulis kata pengantar biasanya tokoh terkenal, seperti pakar bidang dan penulis  terkenal yang telah menghasilkan beberapa buah buku. Namun begitu, ada kalanya kata pengantar ditulis oleh penulis sendiri.

Prakata selalunya menjelaskan tujuan buku berkenaan ditulis, skop kandungan,  kisah ringkas di balik penulisan itu, dan bagaimana idea penulisan itu mula-mula muncul. Kita sering temui “prakata edisi untuk kulit lembut,” apabila buku berkenaan yang pada mulanya dicetak dalam kulit keras dan kemudiannya, diterbitkan pula edisi kulit lembut. 

            Pendahuluan atau pengenalan mengandungi penerangan ringkas tentang perkara yang berkaitan dengan tema atau isi buku. Matlamatnya untuk menyampaikan maklumat kepada para pembaca tentang buku, mengapa buku itu penting, dan susunan buku. Pengenalan berkait rapat dengan kandungan buku dan biasanya terdapat dalam karya bukan fiksyen.  Pendahuluan mungkin meringkaskan hujah utama yang dikemukakan dalam seluruh buku, di samping mentakrifkan dan menghuraikan konsep penting. 

            Penghargaan mengandungi rakaman penghargaan penulis  individu, institusi, penerbit, editor, dan semua pihak yang terlibat dalam penerbitan buku berkenaan. Sesetengah penulis memasukkan penghargaan dalam prakata.

Bahan awalan lain, termasuk  epigraf, prolog, dan nota pengarang.  Epigraf yang merupakan petikan daripada mana-mana tulisan penulis terkenal atau petikan daripada kitab agama sebagai satu cara mendukung tema karya penulis.  Petikan epigraf sewajarnya disertakan nama penulis asal, sumber bahan, dan halaman.

            Prolog  biasa ditemui  dalam karya fiksyen. Sesetengah penulis menggunakan prolog untuk karya bukan fiksyen, seperti buku ilmiah, autobiografi, memoir, dan biografi.   Prolog ialah bahagian pengenalan memberikan maklumat tambahan kepada para pembaca yang akan membantu mereka memahami seluruh buku. Bahagian ini boleh termasuk maklumat latar belakang tentang watak, peristiwa yang berlaku sebelum cerita bermula, atau maklumat yang mewujudkan latar cerita.

            Dalam sesetengah buku, sama ada fiksyen ataupun bukan fiksyen, terdapat nota pengarang. Dalam bukan fiksyen, tujuannya adalah untuk menjelaskan atau menambah konteks kepada keputusan pengarang, seperti bagaimana pengarang memilih sumber, menentukan apakah maklumat yang dimasukkan, dan pengarang menggunakan bahasa tertentu. Nota pengarang lebih pendek daripada prakata, dan sering kali menggantikan prakata. Walau bagaimanapun, Robert Brenner dalam bukunya, The Boom and the Bubble: The US in the World Economy menggunakan kedua-duanya, iaitu nota pengarang dan prakata; nota pengarang hanya dalam satu  ayat.

            Susunan bahan awalan, seperti prakata, pendahuluan, dan penghargaan adalah berbeza antara sebuah buku dengan sebuah buku yang lain, bergantung pada gaya penerbitan penerbit buku berkenaan. Dalam sesetengah buku, kita dapati penghargaan diletakkan sebagai bahan akhiran. Pendahuluan pula  dianggap sebagai bahan teks,  dan  dengan itu,  dinyatakan dalam  nombor Arab berbanding dengan bahan awalan yang lain. Walau bagaimanapun, pendahuluan bukan dianggap sebagai bab pertama.

           

Bahan Teks

Bahan teks mengandungi tajuk bahagian, tajuk bab, dan pecahan tajuk bab. Dalam sesebuah buku, terdapat beberapa bahagian, yang biasanya mengandungi tajuk bahagian. Ada juga yang mengandungi ringkasan bahagian. 

            Seterusnya ialah tajuk bab yang sepatutnya seringkas yang mungkin.  Biasanya setiap bab mempunyai beberapa pecahan bab.  Namun begitu, sesetengah buku, termasuk buku ilmiah, antaranya Plagues and Peoples oleh sejarawan William H.McNeill  dan The Revenge of Geography: What the Map Tells Us About Coming Conflicts and the Battle Against Fate oleh Robert D. Kaplan, tidak mempunyai pecahan bab.

            Epilog yang merupakan  bahagian penutup sesebuah karya sastera juga digunakan dalam karya bukan fiksyen.  Epilog terletak dalam satu bab yang berasingan, tetapi tidak ditulis “bab.” Adakah epilog memerlukan prolog?  Tidak semestinya! Ada buku yang tidak mengandungi dalam bahan awalan, tetapi mengandungi epilog. Adakah epilog perlu mengandungi judul kecil?  Terpulang pada penulis. Linda Yueh dalam bukunya, The Great Economists: How Their Ideas Can Help Us Today, tidak menulis prolog, tetapi beliau menulis epilog dengan memberikan judul kecil, “Epilogue:  The Future of Globalization.” Sebaliknya, David Harvey dalam bukunya, Seventeen Contradictions and the End of Capitalism, menulis kedua-duanya, iaitu prolog dan epilog.  Beliau juga memberikan judul kecil, “Epilogue:  Ideas for Political Praxis.”

            Selain epilog, sesetengah buku biasanya mengandungi “kesimpulan” dan “kata hujungan,” yang muncul selepas bab terakhir, tidak diberikan nombor bab.  Namun begitu, ada juga buku yang memberikan nombor bab bagi kesimpulan. Kesimpulan bermaksud ringkasan keseluruhan buku, iaitu meringkaskan idea sokongan utama yang penulis bincangkan dalam seluruh buku atau karya, dan mengemukakan tanggapan akhir penulis tentang idea utama. Kata hujungan ialah esei pendek pada akhir buku, ditulis oleh penulis sendiri.

Bahan Akhiran

Bahan ini mengandungi tambahan, maklumat lanjut atau rujukan sesebuah buku.  Bahan akhiran terdiri daripada biodata penulis, lampiran,  glosari, nota rujukan lanjut, biografi, dan indeks. Biodata penulis biasanya mengandungi nama penulis, kelulusan, pengalaman, karya yang pernah diterbitkan, dan pecapaian penulis.  Walau bagaimanapun, sesetengah buku didapati meletakkan biodata penulis dan karyanya yan pernah diterbitkan dalam bahan awalan.

            Lampiran ialah bahan tambahan kepada teks yang difikirkan oleh penulis dan/atau penerbit lebih sesuai diletakkan dalam lampiran, seperti data atau statistik yang terperinci.  Glosari mengandungi senarai perkataan yang perlu diterangkan maksudnya supaya para pembaca memahami teks. Susunan glosari sepatutnya disusun mengikut abjad.  Rujukan lanjut merupakan senarai rujukan tentang tema atau bidang yang sama bagi sesebuah buku. 

Nota ialah rujukan tambahan yang ditandakan dalam bahan awalan, teks, dan bahan akhiran.  Nota yang biasanya dalam buku ilmiah ialah nota kaki, nota bab,  dan nota hujung.  Nota kaki, sesuai dengan namanya, hendaklah ditulis di sebelah  bawah teks pada halaman yang sama.  Nota hujung biasanya ditulis pada akhir setiap bab, manakala nota hujung ialah yang dikumpulkan dan diletakkan pada bahagian akhir teks, dengan dinyatakan “Nota Pendahuluan,” “Nota Bab Satu,” “Nota Bab Dua,” dan seterusnya. Dalam sesetengah buku mungkin kerana nota melibatkan banyak halaman, tidak dimasukkan bibliografi.  Sementara itu, Fareed Zakaria dalam bukunya, Ten Lessons for a Post-Pandemic World,  memasukkan indeks bersama-sama nota, iaitu bermula dengan nombor halaman, disusuli dengan entri indeks yang ditandai dengan huruf tebal, nama penulis bersama-sama dengan buku atau makalah penulis berkenaan.  Kaedah ini sebenarnya agak menyukar pembaca yang sudah biasa dengan kaedah lazim, iaitu nota dan indeks disediakan secara berasingan.

Bibliografi ialah senarai buku dan makalah yang dirujuk oleh penulis ketika menulis buku atau makalah. Akan tetapi, tidak semestinya dipetik oleh penulis.  Bibliografi beranotasi disediakan bertujuan untuk memberikan panduan lanjut kepada para pembaca.  Bibliografi bmengandungi dua bahagian, iaitu nota bibliografi (bibliographical notes) dan senarai bibliografi  pada akhir buku.  Nota bibliografi tidak meliputi semua entri dalam senarai bibliografi, kerana senarai ini juga mengandungi rujukan khusus yang digunakan dalam teks. Eric R. Wolf dalam bukunya, Europe and the People Without History menggunakan nota bibliografi dan bibliografi. Beliau menggunakan nota bibliografi untuk menghuraikan idea yang diketengahkan dan dibahaskan dalam pendahuluan, setiap bab, dan kata hujungan,  dengan menyatakan rujukannya. 

Bibliografi, menurut kajian, “berkembang daripada seni menjadi sains, dan jika berpuas hati supaya tidak menekan istilah itu terlalu rapat, pernyataan itu mungkin diterima sebagai menunjukkan kebenaran tertentu” (Greg, 2011: 21).  W.W. Greg menjelaskan bahawa bibliografi terbatas secara betul kepada kajian buku bercetak.  Manuskrip yang dipegang mereka, kepunyaan jabatan lain (Greg, 2011: 23).  Walau bagaimanapun, bagi beliau, istilah “bibliografi” terbatas untuk  kajian buku bercetak adalah sesuatu yang amat kurang bijak. Dari segi deskripsi, bibliografi sistemik mengandaikan dan perkenalan   unsur sains. 

Dalam makalahnya yang lain, Greg memberitahu bahawa makna asal perkataan “bibliografi” pastinya penulisan buku; sememangnya, ini hanya makna yang dibawa dalam bahasa yang menyatakannya. Walau bagaimanapun, sememangnya alamiah, perkataan itu sepatutnya diperoleh, menurut analogi, dengan “geografi,” bermaksud deskripsi buku secepat perlunya istilah berkenaan dirasakan.  Seolah-olahnya dalam bahasa Perancis perkataan mula digunakan dalam maksud ini (Greg, 2011b: 31). “Untuk mengelakkan kekaburan,” Greg, memberitahu, “saya mentakrifkan ‘bibliografi’ untuk maksud  kajian buku sebagai objek material” (Greg, 2011b: 32).  Bagi Greg, bibliografi ialah kajian buku sebagai objek material tanpa menghiraukan kandungan buku berkenaan.  Buku bukan hanya termasuk buku bercetak, tetapi manuskrip, dan sememangnya, setiap jenis rekod yang dibuat oleh representasi simbolik bahasa. Buku sesetengah jenis wujud 5000 tahun dan lebih, buku bercetak hampir-hampir 500 tahun. 

Indeks terdiri daripada indeks nama dan indeks perkara yang biasanya disekalikan.  Namun begitu, ada juga buku yang indeks nama dan indeks perkara diasingkan. Indeks biasanya disediakan oleh pengindeks, yang namanya ada kalanya dinyatakan dalam buku berkenaan. Selain pengindeks, penulis sendiri menyediakan indeks bukunya. 

Anatomi buku mengandungi  beberapa penting yang terdapat dalam sesebuah buku. Namun begitu, oleh sebab wujud perbezaan dari segi gaya penerbitan antara penerbit,  maka penulis yang berhasrat menghantar manuskrip kepada sesebuah penerbit, seelok-eloknya mengkaji gaya penerbitan penerbit berkenaan. Langkah ini penting untuk menunjukkan penulis “mengenali” penerbit.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...