Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Keputusan Pilihan Raya Umum Britain memang tidak memeranjatkan kerana sepanjang
kempen berlangsung, Parti Buruh yang berkuasa selama 13 tahun menghadapi
saingan yang sengit daripada Parti Konservatif.
Ketika kempen semakin rancak,
Tory dikatakan mara ke kubu
Buruh. Debat antara ketiga-tiga pemimpin, iaitu Gordon Brown daripada Parti
Buruh, David Cameron daripada Parti
Konservatif, dan Nick Clegg daripada Parti Demokrat Liberal, menampakkan Brown
ketinggalan. Dalam debat terakhir, Brown yang agresif
dikatakan gagal memulihkan kempen yang goyang apabila para pemimpin bertikam
lidah tentang ekonomi, imigresen, dan cukai pusaka (estate tax).
Dari semasa ke semasa, tinjauan pendapat menunjukkan Parti Konservatif
mendahului kedua-dua lawannya. Pada hari
pilihan raya berlangsung, 6 Mei, akhbar The Guardian menyiarkan tinjauan
pendapat Guardian/ICM terkini yang menunjukkan Tories pada laluan merampas
semula kuasa selepas 13 tahun. Tinjuan
pendapat berkenaan menunjukkan bahawa Konservatif mengatasi Buruh dengan lapan
mata, kurang daripada yang mereka perlukan untuk majoriti keseluruhan. Konservatif memperoleh 38 peratus, Buruh 28
peratus, dan Demokrat Liberal 26 peratus.
ICM Research menemu bual sampel
rawak sebanyak 2,022 orang dewasa berumur 18 tahun ke atgas melalui telefon
pada 3 – 4 Mei 2010. Temu bual dilakukan
di seluruh negara dan keputusan diwajarkan dengan profil semua orang dewasa.
Sementara
tinjauan pendapat keluar (exit poll)
Pilihan Raya Umum oleh Sky News/BBC/ITN
yang diumumkan juga pada hari pilihan raya
berlangsung, seperti yang dapat dilihat melalui rangkaian BBC dan CNN,
meramalkan Konservatif menang 305
kerusi, diikuti oleh 255 kerusi, dan Demokrat Liberal 61 kerusi. Keputusan ini menunjukkan parti David Cameron kurang 21 kerusi 650
kerusi daripada 326 kerusi yang diperlukan untuk majoriti keseluruhan di House
of Commons. Parlimen tergantung
dijangkakan berlaku untuk kali pertama
sejak tahun 1974, tetapi sebagai respons ramalan tinjuan pendapat keluar itu,
jurucakap Konservatif berkata: “Kami boleh
memerintah dengan keputusan ini.”
Secara
keseluruhannya, keputusan pilihan raya
itu boleh dikatakan menepati jangkaan dan tinjuan. Konservatif memenangi 307 kerusi dengan 10.71
juta undi (36 peratus), Buruh 258 kerusi dengan 8.6 juta undi (29 peratus),
Demokrat Liberal 57 kerusi dengan 6.83 juta undi (23 peratus), dan lain-lain 28
kerusi dengan 3.51 juta undi (12 peratus).
Dengan keputusan itu, tinjauan keluar yang meramalkan parlimen tergantung menjadi
kenyataan – tidak ada satu parti yang boleh membentuk kerajaan. Pemimpin Konservatif, David Cameron berkata
bahawa Parti Buruh pimpinan Perdana
Menteri Gordon Brown telah kehilangan mandat untuk memerintah. Walau bagaimanapun, Parti Buruh menyatakan
bahawa parti itu boleh kekal berkuasa menerusi
perseikatan dengan Demokrat Liberal.
Pilihan yang ada hanya pembentukan kerajaan campuran, dan
dalam hal ini, nampaknya Demokrat Liberal menjadi “gadis rupawan” yang cuba
dilamar oleh Buruh dan Konservatif. Namun begitu, pakatan antara
Buruh dengan Demokrat Liberal, dakwa Cameron, “kerajaan campuran yang tewas.”
Meskipun memperoleh kemenangan yang kecil, bahkan kurang daripada Pilihan Raya
Umum 2005, dan ketika satu demi satu
keputusan diketahui, Nick Clegg menyatakan “malam yang mengecewakan
untuk Demokrat Liberal” tetapi parti itu
menjadi dalang politik (kingmaker).
Pemimpin Demokrat Liberal, Nick Clegg muncul sebagai
bintang dalam kempen Pilihan Raya Umum Britain, dan meskipun popularitinya gagal diterjemahkan ke dalam kerusi di Parlimen,
beliau masih memegang kuasa sebagai dalang politik. Keputusan itu akan mengukuhkan tuntutan
Demokrat Liberal untuk mengubah sistem pilihan raya United Kingdom. Demikian ulas akhbar Hurriyet Daily News & Economic Review yang sempat saya baca
semasa di Istanbul, Turki. Setelah
parlimen tergantung seketika, Clegg membuat keputusan untuk membentuk kerajaan
campuran dengan Konservatif dengan alasan parti itu paling banyak memenangi
kerusi.
“Kuasa dua orang,”
antara ulasan cerdik pandai politik terhadap kerajaan campuran
Konservatif yang berfikiran tradisi dengan Demokrat Liberal yang berfikiran
inovasi. Perdana Menteri baru, David
Cameron dan Timbalan Perdana Menteri, Nick Clegg kelihatan macam pelakon dalam wayang dengan watak kawan yang berusia dalam lingkungan 40 tahun
dan menyebabkan orang ramai percaya bahawa mereka boleh melakukan sesuatu yang
tidak masuk akal. Hubungan itu akan diuji apabila mereka bergelut dengan
bagaimana untuk mengurangkan defisit Britain yang melumpuhkan. Tetapi, akan bertolak dari permulaan yang
baik tentang kebebasan awam dan pembaharuan pilihan raya. Jika kerajaan baru ini dapat menghasilkan
pembaruan ini, Britain akan menjadi lebih bebas dan adil, tidak kurang selamat daripada
hari ini. Clegg mengumumkan matlamat
yang bercita-cita tinggi, termasuk menghapuskan rancangan Parti Buruh untuk kad
ID negara, dan lebih berhati-hati melaksanakan kamera pengawasan yang wujud di
mana-mana sahaja.
Kira-kira seminggu selepas pembentukan kerajaan campuran,
Cameron dan Clegg mengumumkan dokumen
setebal 34 halaman yang membentuk asas
untuk perkongsian pemerintahan, menyediakan 27 kajian semula dasar, dan
membenarkan anggota parlimen Demokrat Liberal untuk memilih tidak menyertai
pengundian dengan Tories di parlimen.
Dalam kata pengantar “manifesto bersama yang baru” dua pemimpin ini menegaskan bahawa mereka menawarkan kedua-duanya, iaitu
wawasan “masyarakat besar” dan “warganegara besar” dengan mengatakan dokumen
itu mewakili adunan liberalisme dan konservatisme. Cameron dan Clegg berkata keutamaan pertama
kerajaan adalah untuk menyelesaikan defisit belanjawan Britain yang tinggi yang
tidak pernah berlaku sebelum ini, tetapi mereka menegaskan ini tidak akan
menghalang kerajaan daripada meneruskan program pembaharuan yang “radikal.”
Langkah pengurangan defisit ini selari dengan janji Cameron semasa berkempen bahawa kerajaan Konservatif memerlukan masa tidak
lebih dari enam bulan untuk menyusun langkah drastik yang diperlukan untuk
mengatasi defisit fiskal Britain berjumlah 163 bilion paun sterling. Pada 24 Mei lalu, kerajaan campuran mengumumkan rangka potongan perbelanjaan lebih enam bilion paun,
yang kebanyakannya akan digunakan untuk mengurangkan defisit fiskal Britain berjumlah
156 bilion paun, kini tertinggi dalam
Kesatuan Eropah. Langkah ini melibatkan
pembatalan dana amanah kanak-kanak, potongan perjalanan Whitehall, dan
pembekuan pengambilan penjawat awam.
Meskipun semasa kempen, Demokrat Liberal tidak bersetuju terhadap
potongan enam bilion paun itu, tetapi kini akur bahawa krisis hutang di zon
euro menunjukkan perlunya tindakan awal.
Sekali air bah, sekali pasir berubah. Mungkin ramai yang
tertunggu-tunggu tentang dasar luar
kerajaan campuran ini, terutamanya dalam hubungan antara Britain dengan Amerika Syarikat. Pada tahun 1980-an, regu Margaret Thatcher
dan Ronald Reagan mengajar dunia tentang fundamentalisme pasaran yang ternyata
gagal apabila krisis kewangan melanda dunia pada tahun 2008: liberalisasi, penswastaan, dan pembatalan
kawal selia. Kemudian, hubungan yang erat
antara Britain dengan Amerika
terserlah melalui persekongkolan antara Tony Blair dengan George W. Bush
untuk menceroboh Iraq pada tahun
2003.
Kerajaan pimpinan David Cameron dan Nick Clegg
memperlihatkan akan berlaku perubahan
yang ketara dalam hubungan antara kedua-dua negara itu. Siang-siang lagi, Cameron memberitahu politik
anjing poodle (poodle politics) United Kingdom dengan Amerika Syarikat
berakhir sekarang. Ingin sekali mengelak
ejekan yang dilonggokkan terhadap Tony Blair dalam peranannya yang dikatakan
sebagai “anjing poodle Bush,” Cameron
berjanji dalam bentuk tentangan bahawa
mana-mana kerajaan yang dipimpin beliau tidak akan tunduk pada Amerika
Syarikat. “Britain sepatutnya tidak
berasa takut untuk berkata tidak kepada Amerika,” tegas beliau yang
mencerminkan Konservatif prihatin tentang rekod Buruh Baru yang kadangkala tidak
senonoh dan menurut perintah yang gagal dengan sendirinya. Bagi Clegg pula, beliau secara gerak hati
melihat timur ke Eropah, bukannya barat ke Amerika, manakala anggota Demokrat
Liberal yang terus terang tidak mempercayai Amerika. Sebelum menjadai Timbalan Perdana Menteri,
Clegg berkata inilah masanya untuk merosakkan “mantera Atlantikisme yang
gagal.” Setiausaha Luar, William Hague,
yang menyimpan cita-cita Palmerstonian untuk menjadikan Britain berkuasa di
dunia semula, mengambil pendirian yang sama dengan Cameron: Hubungan dengan
Washington sepatutnya “padu, tetapi bukan menjadi hamba abdi.”
Mengapa kepimpinan baru Britain begitu berani menendang
keluar hubungan istimewa ini mudah untuk
difahami. Selain membersihkan imej sebagai “budak suruhan” Amerika, bagi
mereka, sebenarnya Amerika memerlukan sokongan padu British di peringkat antarabangsa, seperti menangani
Iran, keamanan di Timur Tengah, menentang keganasan, pembiakan nuklear, dan
pemulihan kewangan. Washington juga mahu
London memainkan peranan yang konstruktif di Eropah dan Washington memerlukan
rakan yang kuat dan boleh dipercayai di Brussels. Lebih daripada itu, Amerika mengharapkan
sokongan British di Afghanistan kerana peperangan kemungkinannya tidak memihak kepada mereka. Namun begitu, kerajaan baru tidak
memperlihatkan perubahan pendirian untuk mengundurkan tenteranya dari bumi yang Kesatuan Soviet
pernah tewas.
Sama ada Britain mengesot-esot meninggalkan “hubungan
istimewa” itu ataupun tidak, menurut pemerhatian, perkara ini tidak lagi mempunyai
sumber untuk menjadi pemain global.
Dengan defisit belanjawan kini mencecah kira-kira 12 peratus Keluaran
Dalam Negara Kasar (KDNK), kebanyakan pakar membahaskan bahawa Britain tidak lagi mampu menanggung sumber
ketenteraan dan diplomatik yang diperlukan untuk menjadi pemain global –
sesuatu yang dicubanya sejak tahun 1945, meskipun negara itu mengalami
kemerosotan relatif sejak berakhirnya Perang Dunia Kedua.
Selain Washington, Perdana Menteri David Cameron juga
menghantar isyarat yang jelas ke
Kesatuan Eropah. Selepas mengadakan perbincangan dengan Canselor
Jerman, Angela Merkel di Berlin tentang krisis mata wang, beliau menegaskan
bahawa Britian akan memvetokan sebarang percubaan untuk menopang negara zon
euro yang bermakna menyerahkan lebih banyak kuasa dari London ke Kesatuan
Eropah. Meskipun beliau mengatakan
bahawa kepentingan negara bagi British untuk “zon euro yang kuat dan stabil,” tetapi beliau
menegaskan bahawa Britain akan menyokong mana-mana usaha yang mengakibatkan
negara itu hilang kedaulatan: “Kami
tidak mahu melihat perpindahan kuasa dari Westminster ke Brussel. Hal ini dinyatakan dengan jelas dalam
persetujuan kerajaan campuran.”
Walau bagaimanapun, melalui makalahnya “How the UK’s New
Tory-led Government Sees its EU Policy” yang diterbitkan dalam jurnal beribu
pejabat di Brussels, Europe’s World,
Setiausaha Luar, William Hague, mengakui bahawa meskipun partinya terus terang
mengkritik beberapa aspek Kesatuan Eropah, tetapi Kesatuan juga wajar menerima
penghargaan yang besar kerana menjadikan Eropah lebih bebas, lebih stabil, dan
lebih makmur. “Kesatuan Eropah,” akui
Hague, “ialah institusi yang kepentingannya sangat besar kepada United
Kingdom dan dasar luar British. Dan,
meskipun Parti Konservatif jarang-jarang berselindung daripada terus terang
mengkritik apabila kami fikir Kesatuan Eropah secara kolektif melakukan perkara
yang silap, kami sama-sama menjadi jaguh terpenting dalam pencapaian yang lebih
Kesatuan Eropah – pasaran tunggal dan pembesaran.”
Krisis Timur Tengah boleh melumpuhkan kerajaan campuran
kerana Tories dan Demokrat Liberal mempunyai masa suntuk untuk merukunkan perpecahan
ideologi. Bahkan, jika Konservatif
menang majoriti dalam pilihan raya itu, dasar Timur Tengah hal ehwal yang
bercelaru. Demikian pemerhatian Daniella
Peled dalam guardian.co.uk. Meskipun David Cameron menyatakan pendirian
kerajaannya dalam hubungan dengan Amerika, namun apabila tiba waktu yang
genting, tindakannya mungkin berbeza.
Peled mengemukakan senario ringkas, tetapi menarik: Katakan Presiden
Obama menelefon Cameron pukul 3.00 pagi
memaklumkan serangan terhadap reaktor nuklear Iran di Bushehr pasti berlaku dan
“kami memerlukan Britian bersama-sama kami dalam serangan ini,” kata
Obama. “Kami memerlukan pangkalan anda
di Diego Garcia, kami memerlukan sokongan logistik di Teluk Parsi, dan selain
itu, kami memerlukan anda sependapat dengan kami di Pertubuhan Bangsa-Bangsa
Bersatu.” Apakah yang dilakukan oleh
Cameron? Tanya Peled. Adakah beliau
memberitahu Obama tunggu sekejap untuk beliau menghubungi Nick Clegg? Dan bagaimana jika Clegg kata tidak boleh
atau beliau perlu berbincang dengan partinya terlebih dahulu?
Peled mengingatkan bahawa tidak disebut sebarang dasar
luar sama sekali yang melampaui Eropah dalam persetujuan kerajaan campuran; dan
tiada kejelasan tentang bagaimana Clegg dan Cameron akan berurusan dengan
krisis luar bersama-sama. Tetapi, Peled menegaskan
kepimpinan Tory tentang dasar luar dan ketenteraan Cameron/Hague/Fox (Liam Fox,
Setiausaha Pertahanan) dan anda boleh mempertaruhkan wang anda jika ada
panggilan pukul 3.00 pagi yang ditakuti, mereka akan bersetuju dengan segera
berkata, “ya” kepada Obama.
Demokrat Liberal bukan sahaja mahu “minum teh dengan Taliban,” tetapi Nick
Clegg, melalui makalah “Lift the Gaza Blockade” dalam The Guardian
Disember lalu dengan berani mendedahkan kekejaman kepungan di Gaza. Melihat pendirian beliau itu, maka tidak
mustahil Palestin merupakan agenda utama kerajaan campuran ini. Yang menarik,
ialah surat Michael Mansfield yang dikirimkan kepada Nick Clegg tentang
Palestin. Dalam surat yang diterbitkan
dalam guardian.co.uk Mansfield menghargai komitmen awal Clegg untuk
memulihkan hak awam sebagai sebahagian agenda arus perdana untuk United
Kingdom. Walau bagaimanapun, berlaku
krisis hak awam di Timur Tengah.
Kedua-dua situasi ini diabaikan dengan serius oleh pentadbiran Parti
Buruh sebelum ini. Dengan merujuk
makalah Clegg itu, Mansfield
mengingatkan bahawa pastinya banyak lagi contoh – penempatan haram, tembok
pengasingan, perobohan rumah-rumah penduduk Palestin, penyitaan bekalan air,
pemusnahan dusun zaitun, dan sebagainya.
“Anda kini mempunyai kedudukan untuk melaksanakan dasar yang anda
nyatakan dalam makalah anda.”
Apakah Israel
berani mengulangi kesilapannya bersikap angkuh terhadap Britain sebagaimana
yang dilakukan terhadap Amerika baru-baru ini?
Cerdik pandai pernah mengingatkan, “apabila anda meludah ke muka orang yang
lemah, dia pura-pura berkata hujan.” Bagaimana jika perbuatan yang serupa dilakukan
terhadap pemimpin yang berpengaruh di
Britain sekarang, iaitu Nick Clegg?
(Nota: Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Masyarakat Julai 2010.)
No comments:
Post a Comment