Artikel Popular

Tuesday, July 10, 2012

Marx dan Keynes Masih Hidup

RABU, 11 Julai 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Robert Skidelsky yang menulis dalam The Guardian, memetik gambaran Karl Marx, "merah dalam gigi dan cakar," apabila beliau membincangkan pulang kepada kapitalisme.  Beliau juga memetik ahli ekonomi yang disanjungnya, John Maynard Keynes, yang menulis Economic Possibilities for Our Grandchildren, dan The General Theory of Employment, Interest and Money

Sejak tercetusnya krisis ekonom pada  tahun 2008, memetik pemikiran Keynes terutamanya, dan Karl Marx merupakan kelaziman dan dibaca secara meluas. Bagi Marx, pemikirannya yang pada suatu ketika hampir dilupakan, kini tidak hanya dipersegar  dalam Monthly Review semata-mata.  Krisis ekonomi memberikan ruang dan peluang untuk Marx dan Keynes untuk kembali semula.  Marxisme terkubur berikutan berakhirnya Perang Dingin dan berkecainya Kesatuan Soviet, manakala  Keynes  disingkirkan dan dicampakkan oleh neoliberalisme.

Kapitalisme adalah  dalam krisis di seluruh dunia, hujah Stuart Jeffries dalam The Guardian, menyaksikan Karl Marx memasuki arus perdana. Sejak tahun 2008, jualan karya agung Marx meningkat, seperti Das Capital, The Communist Manifesto, dan Grundrisse. Karl Marx juga muncul pada MasterCard. Pada 5-9 Julai, di London,  berlangsung Marxism 2012  yang dihadiri oleh beribu-ribu orang.

Krisis zon euro yang berlarutan, manakala kapitalisme terus dilanda krisis, yang terbaharu skandal Libor,  maka seperti yang ditegaskan oleh Maurice Glasman, "kita perlu bercakap tentang Keynes dan ekonomi Vigra beliau," jika tidak, ekonomi akan  terus terjebak dalam kemelesetan semula, seperti yang dialami oleh Eropah

Hujah Keynes yang selalu dipetik, "jika pengguna dan perniagaan tidak cukup berbelanja untuk memulihkan ekonomi, maka kerajaan mesti menjadi pengganti.  Sokongan kerajaan ini adalah bersifat sementara sehingga lebih banyak pekerjaan dan keuntungan memperkukuh perbelanjan swasta." Namun hujah yang meyakinkan ini, hujah Robert J. Samuelson dalam The Washington Post,  "membawa defisit yang tinggi adalah berkait dengan kadar faedah yang tinggi dan pertumbuhan ekonomi yang perlahan."  Untuk menampung defisit yang tinggi, maka kerajaan perlu berhutang, dan dalam konteks Amerika Syarikat, "hutang mengancam keselamatan negara yang sebenar."

Tidak dapat dipastikan berapa lama Karl Marx dan John Maynard Keynes terus dikenang orang.  Mungkin setelah ekonomi pulih sepenuhnya dan pertumbuhan semakin rancak, tetapi tidak dapat dipastikan bila, mungkin kedua-duanya akan dilupakan. Ketika itu, Marx dan Keynes tidur nyenyak dalam kuburan.





No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...