Artikel Popular

Thursday, July 5, 2012

Meritokrasi Membawa Padah

KHAMIS, 5 Julai 2012
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH




Selamat jalan tindakan afirmatif, selamat datang meritokrasi.  Nada yang semakin lantang kedengaran di Malaysia sejak beberapa tahun kebelakangan ini, lebih-lebih sejak Mac 2008.  Meritokrasi seakan-akan menjadi kesayangan banyak orang, meskipun bukan semua orang di negara ini. Seperti lazim, daripada para pemimpin kepada ahli politik kepada penggubal dasar, dan seterusnya cerdik pandai serta para pengulas, mereka dengan mudah menerima sesuatu tanpa usul periksa, tanpa melakukan kerja rumah.

Meritokrasi tidak seindah, seperti yang dibayangkan, demikian pendedahan oleh Conor Friedersdorf dalam The Atlantic. Friedersdorf yang  mengulas  buku baru Chris Hayes Twilight of the Elites tentang meritokrasi Amerika dan kegagalannya.   Para pembaca didedahkan kritikan berfikir apa yang silap dengan golongan pemerintah Amerika.  Golongan elit yang melakukan perkara, mara ke mercu pelbagai hierarki, menunjukkan prestasi yang menyedihkan. 

Teori Hayes, seperti yang dinyatakan oleh Friedersdorf, ialah: (i) Institusi direka untuk mengganjarkan merit yang dimuslihatkan oleh keistimewaan yang melahirkan elit pengabadian diri.  Contoh yang paling lazim berkait dengan kemasukan ke sekolah berprestij. (ii) Secara lebih luas, ketidaksamaan mengakibatkan lebih ketidaksamaan.  (iii) Persaingan yang sengit yang ada pada meritokrasi mewujudkan insentif yang sangat kuat untuk menipu, dan menggalakkan sikap yang apa-apa jua anda lakukan untuk mengejar kedudukan yang dominan adalah elok, selagi anda mendapat untuk atau menang. (iv) Apabila golongan elit melanggar undang-undang, mereka tidak dihukum, seperti yang dikenakan terhadap orang biasa.  Mereka diselamatkan daripada kesusahan, atau terlepas daripada pendakwaan jenayah kerana tidak mematuhi undang-undang.  (v) wujud jarak sosial yang terlalu luas yang memisahkan orang yang menjalankan tugas dengan orang yang tertakluk kepada keputusan mereka.   

Seterusnya dalam majalah yang sama, Maura Kelly menulis bagaimana kemusnahan meritokrasi Amerika memacu epidemik kerisauan nasional. Hampir seorang dalam lima orang, atau 40 juta orang dewasa Amerika menghidap kekacauan kekhuatiran. Meskipun hakikatnya bahawa kebanyakan orang Amerika percaya, hujah Kelly, "negara kita masih Negara Peluang, meritokrasi terbesar di dunia, Amerika Syarikat sebenarnya tempat yang teruk untuk orang yang mencari untung nasib."  Beliau juga memetik Hayes bahawa Amerika bukan sebenarnya  meritokrasi. Benar bahawa gerakan Hak Awam, feminisme, dan undang-undang peluang yang sama membantu mengetepikan mana-mana halangan untuk kejayaan, tetapi orang yang di atas cenderung untuk duduk di atas, daripada klik kepada klik, generasi selepas generasi. 

Orang Amerika, jelas Kelly, fikir bahawa mereka meritokrasi  bahawa orang  yang sampai ke atas menerusi kebaikan kerja kuat dan ketabahan.  Akan tetapi, berfikir sebaliknya untuk golongan miskin: cacat, malas, bodoh, atau apa-apa jua sifat teruk yang anda gemar gunakan. 

Memetik beberapa sumber, Maura Kelly berasa pesimis tentang meritokrasi yang diamalkan di negaranya. Meritokrasi tulen adalah tidak mungkin dan boleh jadi, bahkan tidak elok. Wujud sisi yang terlalu gelap untuk meritokrasi.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...