Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Semasa di Turki
baru-baru ini, selain untuk tujuan pelancongan, saya ingin mendapatkan sedikit
sebanyak maklumat bukan sahaja tentang negara itu, bahkan juga tentang Eropah,
khususnya Greece dan negara-negara lain di benua itu yang dilanda krisis
hutang. Ketika bersiar-siar Istanbul
sebaik-baik tiba dari Kuala Lumpur, saya berpeluang membaca akhbar Hurriyet Daily News & Economic Review edisi hujung minggu (8-9 Mei) dengan tajuk
utama tentang krisis di sebuah negara tidak asing lagi: “Greek Drama Goes to the Global Stage.” Krisis hutang yang melanda Greece dan ekonomi “pinggir” lain untuk
beberapa minggu lalu menerobos tahap global pada hari Jumaat kerana pasaran
masih belum yakin bahawa, sama ada Athens atau Brussels mampu melegakan keadaan
huru-hara itu. Sehari selepas saham Amerika Syarikat menanggung
kerugian yang besar, penanda aras Bursa Saham Istanbul, indeks ISE-100 menjunam sebanyak 5.5 peratus, hilang 3076
mata dalam satu hari.
Jelas
akhbar itu, tatkala para pemimpin Eropah berusaha pada hari Jumaat untuk
meyakinkan pasaran bahawa krisis hutang Greece tidak akan merebak ke negara
lain dan euro tergelincir, mata wang bersama, pasaran di seluruh dunia
menanggung kerugian yang besar.
Perancis, Italy, dan Portugal meluluskan bahagian masing-masing daripada
pelan penyelamat bernilai 110 bilion euro atau AS$140 bilion untuk mengelakkan
Greece dari ambang kemungkiran ketika 16 pemimpin dari negara yang menggunakan
euro menuju untuk menghadiri mesyuarat di Brussels.
Di bawah
judul lain, “Analysts Say Crisis Goes Global” akhbar itu memetik pandangan
pandangan Mohamed El-Erian dari Pacific Investment Management Co. dan Dan Fuss
dari Loomis Sayles & Co., yang berkata “krisis hutang Eropah mungkin
merebak ke seluruh dunia kerana para pelabur berasa bimbang bahawa kerajaan
meminjam terlalu banyak untuk memulihkan ekonomi mereka.” Akhbar itu juga memetik data Bank of
America-Merrill Lynch bahawa negara
Eropah yang menanggung hutang perlu mengumpulkan hampir dua trilion euro dalam
tempoh tiga tahun akan datang untuk membiayai semula bon yang matang dan
membiayai defisit. Data itu menunjukkan
bahawa Italy menanggung bil yang besar, diikuti oleh Sepanyol. Greece memerlukan 152.6 bilion euro, manakala
Portugal dan Ireland masing-masing perlu mengumpulkan kira-kira 80 bilion euro.
Liputan Hurriyet Daily News & Economic Review itu sealiran dengan liputan kebanyakan media dunia yang berkisar tentang krisis hutang
Greece dan beberapa buah negara lain di Eropah.
Setelah berbulan-bulan bergelut dengan krisis yang semakin lama semakin
sukar dibendung, lalu pada hujung April, krisis itu mengancam sebahagian besar, kalaupun tidak seluruh
dunia. Bayang-bayang ngeri keruntuhan
Lehman Brothers mula menghantui kerana kemungkiran Greece boleh membawa impak yang
serupa: penularan atau kontagion.
Sebagaimana runtuhan pada pertengahan September 2008, kemungkiran Greece mempunyai kesan yang
serupa terhadap kewangan dan keyakinan
ekonomi global. Maka, ada yang
mengingatkan jika para penggubal dasar di Berlin fikir bahawa kos menyelamatkan
Athens adalah tinggi, mereka sepatutnya mempertimbangkan kos potensi
membiarkannya muflis.
Anggota zon
euro dibenarkan meminjam sesuka hati dan berbelanja seolah-olah tiada hari
esok, sentiasa menyembunyikan akibat elok-elok.
Sebagaimana banyak
negara, kerajaan Greece bergantung pada
wang yang dipinjam untuk belanjawannya.
Namun begitu, kemelesetan menyukarkan usaha tersebut kerana hasil cukai
merosot, sedangkan bayaran kebajikan mula meningkat. Krisis
hutang Greece menjadi hal kepada semua
negara kerana jika Greece mungkir atau menghempaskan euro, nescaya ini akan
menghantar kejutan yang sungguh besar dalam seluruh pasaran modal global. Krisis
ini dengan kesan domino boleh merebak melampaui Greece, Sepanyol,
dan Portugal apabila Ireland, Italy, dan United Kingdom turut tersenarai.
Krisis hutang Greece boleh
melumpuhkan institusi kewangan di Jerman, yang mempunyai AS$36 bilion
hutang Greece, dan Perancis, yang mempunyai AS$54 bilion. Dijangkakan bahawa bank-bank kedua-dua negara itu yang dianggarkan memegang hingga 70 peratus
hutang Greece akan mencatatkan penurunan nilai.
Jika pendedahan bank berkenaan cukup besar, nescaya bank itu boleh jatuh
muflis. Terbenam dalam euro, dan dengan
itu, tidak lagi boleh mengawal mata wangnya sendiri, Greece tidak boleh memilih
jalan mudah untuk menyelesaikan hutangnya dengan menurunkan nilai mata
wang. Pilihannya ialah sama ada negara
itu mesti memotong perbelanjaannya dengan ketara atau mungkir terhadap
pinjamannya yang akan merosakkan dengan teruk bank-bank Jerman dan Perancis
yang banyak menanggung hutang Greece.
Inilah satu sebab Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy mengambil sikap berdiam
diri terhadap krisis Greece. Berurusan
dengan Greece adalah secara tidak langsung menyelamatkan bank-bank Perancis dan
Jerman. Perancis memahami keadaan ini
sejak mula-mula lagi, tetapi Jerman seakan-akan tidak.
Keadaan mula semakin terus-menerus tidak terkawal apabila
agensi penarafan kredit Standard and Poor’s menurunkan gred hutang kerajaan Greece kepada taraf junk.
Penurunan
gred itu mencetuskan panik dalam
pasaran. Krisis hutang euro semakin
dalam kerana penularan merebak dari Greece ke Sepanyol. Apabila agensi
penarafan kredit itu menurunkan gred negara lain, risiko keruntuhan bon dari
negara zon euro yang lemah semakin bertambah. Tatkala usaha dilakukan untuk
menenangkan reaksi terhadap krisis Greece itu, agensi penarafan itu menurunkan
gred penarafan Sepanyol daripada AA+ kepada AA, menjadikan pasaran semakin
kucar-kacir. Standard and Poor’s juga
menyatakan bahawa nilai euro KDNK Greece mungkin tidak kembali pada tahap
2008 hingga tahun 2017, bermakna negara ini tidak mempunyai harapan untuk
keluar daripada kesusahannya. Takut jatuh muflis, Greece terpaksa memohon bantuan
Kesatuan Eropah dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) sebanyak 120 bilion
euro. Namun begitu, penentangan politik
di Jerman dan keortodoksan IMF di Washington
menuntut pakej penyelamat disertai dengan pemotongan perbelanjaan sektor
yang keras demi meyakinkan semula para pelabur antarabangsa bahawa boleh mempunyai
keyakinan kredit semula.
Apabila Kesatuan Eropah dan IMF mula-mula berbincang
pakej penyelamat AS$60 bilion untuk Greece, ini dianggap mungkin cukup untuk
meredakan pasaran Eropah yang panik.
Kemudian, Jerman “buat hal” dengan melengah-lengahkannya, dan para
pelabur berebut-rebut mencampakkan bon Greek dan bon dari negara yang
menghadapi masalah kewangan, iaitu Portugal dan Sepanyol. “Kini,” tulis editorial The New York Times, “Dominique Strauss-Kahn, Pengarah Urusan, IMF
memaklumkan sebanyak AS$160 bilion diperlukan sepanjang tiga tahun untuk
menampung hutang Greece dan menggantikan pembiayaan swasta yang memakan belanja
yang banyak yang tidak menggalakkan.”
Dalam “The Cost of Delay” pada 29
April editorial itu mengingatkan bahawa Greece memerlukan wang pada 19 Mei
apabila kira-kira AS$12 bilion bon kerajaan cukup tempoh. Dan, jika ahli politik Eropah berhalangan
semula, nescaya situasi boleh berputar tanpa kawalan dengan pantas. “Ini bukannya persoalan amal jariah,
sebaliknya demi pemeliharaan sendiri Eropah.”
Walau apa-apa pun sokongan dihulurkan kepada Greece,
dipercayai bahawa usaha ini tidak cukup untuk mengekang krisis kewangan di
negara lain yang lemah ekonomi di Eropah.
Portugal, Sepanyol, dan Ireland bergelut dengan kucar-kacir fiskal yang
teruk. Daripada menunggu keadaan menjadi
tidak terkawal, maka dicadangkan Kesatuan Eropah dan IMF sepatutnya bertindak
pantas dengan sama-sama menyediakan pakej kewangan yang mencecah AS$1 trilion
yang perlu siap sedia untuk diluluskan segera jika diperlukan. Pasaran kewangan Eropah yang kopak-kapik, dan
kebolehpercayaannya yang kopak-kapik, tidak boleh membiarkan banyak minggu
berlaku seperti minggu sebelum ini.
Jangan harap euro akan mengubah haluan pada bila-bila
masa yang terdekat. Para pemimpin Eropah
gagal dengan teruk untuk menyokong mata wang supaya meningkat dengan cara tepat
pada masanya, bahkan dengan peragaan dramatik penyelesaian. Krisis masa kini dilonggokkan oleh
kebimbangan para pelabur bahawa Greece mungkin mungkir terhadap beban hutang
kedaulatannya, yang mengalih perhatian terhadap anggota zon euro lain yang
berhutang, iaitu Portugal, Ireland, Italy, dan Sepanyol yang bersama-sama
Greece dikenali PIIGS. Ketakutan yang
membadai tentang siri kemungkiran hutang seakan-akan domino yang boleh
menghumbankan semjula Eropah ke dalam kemelesetan. Tulis Michael Schuman dalam
majalah Time, “We’re Euroseptic”
baru-baru ini.
Schuman juga pesimistik terhadap penyelesaian krisis hutang yang melanda, meskipun Kesatuan
Eropah bersetuju menyediakan dana penyelamat yang hampir berjumlah AS$1
trilion. Euro hampir-hampir tidak dapat
menarik nafas sebelum meneruskan kejatuhan yang perlahan. Hal ini demikian hujah beliau, “dana yang
besar tidak menyelesaikan mana-mana masalah yang mendasari Eropah. Hutang masih wujud, dan PIIGS terus-menerus
terpaksa berhadapan dengannya, apa-apa jua
wang teoritikal yang mungkin dijanjikan oleh negara jiran yang kaya.”
Greece, dipercayai muflis pada hakikatnya dan dengan
pistol Eropah diacu di kepalanya, komited dengan sendirinya untuk tahun
berjimat-cermat apabila pada awal Mei negara itu menandatangani urusan pelan
penyelamat kewangan dengan Kesatuan Eropah dan IMF. Wujud konsensus bahawa ekonomi Greece telah
pecah dan memerlukan pembaharuan struktur yang besar. Kerajaan kini komited mengawal sektor awam, termasuk pencen dan
faedah sosial popular; meningkatkan cukai penggunaan kepada kadar yang
tertinggi; dan menggalakkan pembaharuan cukai, dalam usaha untuk menyusutkan
pasaran gelap yang sangat besar, mengurangkan pengelakan cukai dan meningkatkan
terimaan kerajaan.
Namun begitu, gelombang baru jimat cermat dijangkakan
berhadapan dengan risiko mengasak seluruh Kesatuan Eropah ke dalam tempoh
pertumbuhan yang rendah yang dibuat-buat
kerana ekonomi baru sahaja mencuba untuk pulih daripada kemelesetan yang
berlaku pada tahun lalu yang berpunca daripada krisis perumahan dan kewangan
yang besar yang bermula di Amerika Syarikat.
Pertumbuhan negatif atau rendah akan memburukkan lagi kadar
penggangguran yang telah pun tinggi dan meletakkan tekanan baru terhadap
perbelanjaan kerajaan, di samping terhadap bank sendiri, dan menyebabkan sukar
bagi setiap orang untuk mengurangkan hutang mereka.
Jean-Paul Fitoussi, Profesor
Ekonomi di Institut d’Études
Politiques di Paris dipetik sebagai berkata:
“Bagaimana Greece boleh mengurangkan
hutangnya jika berlaku deflasi? Deflasi
meningkatkan beban hutang, dan oleh itu, kita mengikuti putaran berbudi ini
yang mencampakkan kita ke dalam neraka.
Ekonomi yang tidak ada kena mengena dengan kebaikan boleh membunuh
ekonomi.”
Angel Gurria,
Ketua Organisasi Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) membandingkan krisis Greece dengan virus
ebola: “Macam ebola. Apabila anda sedar anda menghidapinya anda
terpaksa potong kaki anda demi untuk terus hidup.” Meskipun disedari bahawa Greece bergelut
dengan krisis dan tidak mampu menyelamatkan dirinya sendiri, namun para pemimpin Eropah seolah-olah mengambil pendirian “acuh tak
acuh.” Sesungguhnya, lebih banyak
perbincangan, tetapi tiada tindakan, meskipun banyak pihak mengingatkan bahaya krisis ini bukan sahaja
melanda Greece, bahkan dijangkakan membadai negara-negara lain. Bahkan, panik yang mula mencengkam Eropah tentang
kemungkinan Greece mungkir terhadap hutangnya, dan penularan merebak dengan
pantas ke ekonomi yang sedang susah payah di benua itu belum lagi menyedarkan
Herman Van Rompuy, Presiden Majlis Eropah.
Beliau dilaporkan berkata pada 28 April bahawa “tiada persoalan” hutang
Greece disusun semula. Beliau juga
berkata para pemimpin zon euro akan berjumpa bulan depan untuk mempertimbangkan
bagaimana untuk mengaktifkan program pemberian pinjaman bersama yang mereka
cadangkan dengan IMF untuk menyokong Greece.
Jean-Claude Trichet, Presiden Bank Pusat Eropah (ECB) dikatakan
menyampaikan mesej yang hampir serupa bahawa kemungkiran Greece “keluar dari
soalan.”
Perilaku tenang Tuan Trichet dan
Tuan Van Rompuy menurut pemerhatian The Economist tidak dikongsi oleh pasaran. Pasaran masih melihat risiko kemungkiran
Greece adalah tinggi. Dalam makalah “On
the Edge of the Abyss” majalah itu
mencadangkan para pemimpin Eropah bertindak pantas untuk menghentikan penularan
pasaran Greece daripada merebak. Para pelabur tidak kelihatan yakin bahawa
kerajaan zon euro akan mampu menggembleng keazaman politik untuk menempa
persetujuan. Jerman, sebagai anggota
euro yang terbesar, adalah penting untuk mana-mana usaha untuk menyelamatkan Greece,
tetapi masih terketar-ketar. “Cancelor
Angela Merkel,” The Economist
mengingatkan “jika sekadar berdiam diri dan memerhatikan Greece tergelongsor ke dalam
kemungkiran, penularan pasti merebak dengan pantas ke negara Kesatuan Eropah
yang lebih besar yang menanggung hutang,
beliau akhirnya dipersalahkan kerana mencetuskan kebakaran besar yang lebih
teruk merentas Eropah, termasuk krisis baru perbankan.”
Walau
bagaimanapun, Angela Merkel akhirnya
bertindak menghentikan krisis
yang dalam di zon euro dengan berjanji Jerman menyokong pakej pelan penyelamat
Greece yang kontroversial. Meskipun
beliau bertindak, ketakutan bahawa gelombang kejutan daripada krisis hutang
Greece merebak ke ekonomi lain yang
tenat di benua itu menjadi-jadi selepas agensi penarafan kredit, Standard and
Poor’s menurunkan gred penarafan Sepanyol.
Akibatnya, keruntuhan secara banyak-banyak dalam nilai bon kerajaan yang
dikeluarkan oleh negara zon euro yang lemah kini menjadi semakin nyata, dan
mengancam pemulihan yang lemah di seluruh Kesatuan Eropah. Justeru, penegasan Merkel: “Ini persoalan kestabilan euro. Kita tidak
boleh mengetepikan tanggungjawab ini.
Kepercayaan terhadap Greece mesti dipulihkan. Jerman akan memainkan peranannya, tetapi
Greece juga mesti memberikan sumbangan,” gagal membendung ketakutan.
“Wall Street
mabuk,” ada antara komen yang menarik ketika tercetusnya krisis pada tahun
2008, nampaknya berulang lagi: pasaran lintang pukang. Meskipun selepas krisis yang buruk berlaku
beberapa gangguan terhadap pasaran saham, seperti sondolan selesema babi dan
landaan ribut pasir Dubai, tetapi badai Greece adalah yang paling teruk. Boleh dikatakan sepanjang bulan Mei pasaran
saham dunia tidak dapat menarik nafas. Setelah
berbulan-bulan menyaksikan larian lembu jantan dengan penuh kekaguman,
tiba-tiba muncul lenggok beruang dari Greece yang mengancam.
Sepanjang bulan
Mei akibat krisis hutang Eropah, gambaran yang mewarnai pasaran saham, dari New
York ke Eropah ke Asia yang seakan-akan jatuh bebas semula, antaranya “saham jatuh
bergolek,” “saham menjunam”, “saham Asia menjunam,” dan “Dow merosot.” Pada 6 Mei, Purata Industri Dow Jones (Dow)
jatuh hampir 1000 mata atau sembilan
peratus, jatuh ke paras di bawah 10,000 mata untuk kali pertama sejak awal
Februari, sebelum mengurangkan separuh kerugiannya dalam 30 minit kemudian. Akhirnya, Dow ditutup pada 10,514 mata, jatuh
sebanyak 348 mata atau 3.2 peratus.
Meskipun kejatuhan yang cukup besar disedari berpunca daripada perniagaan
“tangan gemuk,” iaitu peniaga tersilap
masuk data, namun keadaan ini mencetuskan panik edan ketakutan di Wall Street bahawa kegawatan menyerang semula. Dow yang menguasai wilayah 11,000 mata ke
atas pada pada 12 April lalu – kali
pertama dalam tempoh 18 bulan, dan seakan-akan
bersiap sedia untuk memasuki wilayah 12,000 mata, tetapi akibat
kejatuhan berterusan, akhirnya ditutup pada 10,193.39 mata pada 21 Mei lalu.
Demikian dengan
Bursa Malaysia apabila FBM KLCI pada
hari itu ditutup pada 1285.73 mata. Sejak
awal tahun ini indeks berkenaan memperlihatkan
peningkatan demi peningkatan, misalnya ditutup pada 1324.22 mata pada 9 Februari,
seterusnya menguasai wilayah 1330 mata ke atas dengan mantap, bersiap sedia
untuk memasuki wilayah 1350 mata bila-bila masa, turut dirempuh krisis hutang Eropah.
Pertumbuhan ekonomi 10.1 peratus pada suku pertama 2010 dan pengukuhan nilai
ringgit terpaksa tunduk terhadap krisis itu.
Ketika
Greece bergelut dengan krisis hutang dan
kesakitannya kian tidak tertanggung,
Paul Krugman menulis pada bulan
April untuk kolumnya dalam The New York Times. Dalam kedua-dua
makalah itu secara keseluruhannya beliau menyalahkan penggunaan mata wang
bersama, euro, dan krisis itu bukannya berpunca daripada hutang awam yang
tinggi. Tanpa menafikan hutang awam
negara itu adalah tinggi, iaitu 113 peratus KDNK, tetapi hujah beliau dalam makalah pertama,
“Learning From Greece,” negara lain juga berhadapan dengan tahap
hutang yang serupa tanpa mengalami krisis, misalnya Amerika pada tahun
1946. Nisbah hutang Amerika dengan KDNK
jatuh bukan kerana hutang merosot, tetapi kerana KDNK meningkat, kira-kira
berganda dari segi dolar dalam satu dekad.
“Malangnya,” tegas Krugman, “Greece tidak boleh mengharapkan prestasi
yang sama dengan Amerika. Mengapa”
kerana euro.” Tambah beliau lagi, “Tidak
seperti Amerika, Greece akan melihat beban hutangnya diperburukkan oleh
deflasi.
Seterusnya, dalam
“The Euro Trap” Krugman menegaskan hakikatnya tiga tahun lalu tiada
sebuah negara yang kini dalam atau hampir krisis dilihat terbenam dalam
kesusahan kewangan yang dalam. Bahkan,
Greece pada tahun 2007 mengalami defisit belanjawan yang tidak berapa tinggi sebagai bahagian KDNK jika
dibandingkan dengan defisit Amerika pada pertengahan tahun 1980-an, manakala
Sepanyol pula mengalami lebihan belanjawan.
Dan, semua negara ini menarik aliran masuk yang besar modal asing,
terutamanya kerana pasaran percaya bahawa keanggotaan dalam zon euro menjadikan
bon Greek, Portugis, dan Sepanyol pelaburan yang selamat. Kemudian, tercetus krisis kewangan. Aliran masuk modal kering; hasil menjuman dan
defisit meningkat; dan keanggotaan dalam euro yang menggalakkan pasaran
menyayangi negara yang mengalami krisis secara bukan secara bijak, tetapi
terlalu wajar, berubah menjadi perangkap.
“Ciri perangkap
ini,” tulis Krugman, “ketika tahun wang mudah, upah dan harga di negara yang
mengalami krisis meningkat lebih pantas jika dibandingkan dengan negara lain di
Eropah. Kini, wang itu tidak lagi datang
mencurah-curah, negara berkenaan perlu mendapatkan semula kos sejajar.” Beliau menyalahkan penggunaan mata wang bersama, euro: “Apabila menyertai
euro, kerajaan Greece, Portugal, dan
Sepanyol menafikan diri mereka sendiri
hak untuk kelakukan perkara buruk, seperti mencetak wang dengan banyak; tetapi
mereka juga menafikan keupayaan untuk respons terhadap peristiwa. Dan, apabila krisis melanda, kerajaan perlu
mampu bertindak. Inilah yang arkitek
euro lupa – dan kita semua perlu ingat.”
Ahli ekonomi
yang terkenal, seperti Joseph Stiglitz dan Nouriel Roubini dilaporkan
melahirkan rasa ragu-ragu terhadap kelangsungan euro dari sudut tafsiran yang
ketat ECB tentang bidang kuasanya untuk mengekalkan inflasi yang rendah, tanpa
mengambil kira akibat pertumbuhan yang rendah dan peningkatan pengangguran di
negara yang dipaksa melakukan potongan yang dalam dari segi perbelanjaan
awam. Profesor David Blanchflower, bekas
ahli jawatankuasa dasar monetari Bank England berkongsi pandangan yang sama,
berkata bahawa adalah “gila” untuk negara yang menanggung hutang yang besar,
seperti Greece, Sepanyol, Portugasl, dan Britain untuk memasuki “lingkaran
kemusanahan” dengan memotong perbelanjaan yang boleh membawa kepada pertumbuhan
yang lebih rendah dan lebih banyak potongan.
Mungkin akibat
krisis hutang Eropah banyak lagi negara akan menyertai kelab PIIGS, dan dunia mungkin terjebak dalam
kemelesetan “curam berganda.”
(Nota: Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Ekonomi Julai 2010, kecuali jadual tidak dapat diterbitkan kerana masalah teknikal.)
No comments:
Post a Comment