Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Bulan Mei 2010 yang lalu, bagi Nick Clegg,
sesungguhnya bulan yang panjang. Setelah
muncul sebagai dalang politik akibat parlimen yang tergantung, ketua Demokrat Liberal itu membentuk kerajaan
campuran dengan Parti Konservatif, dan seterusnya beliau dilantik sebagai Timbalan
Perdana Menteri. Namun begitu, tiba-tiba
kerajaan campuran dalam kacau-bilau
apabila kurang tiga minggu dilantik
sebagai Ketua Setiausaha Perbendaharaan, David Laws daripada Demokrat Liberal
meletakkan jawatannya akibat skandal perbelanjaan. Danny Alexander juga
daripada Demorkat Liberal yang menggantikan beliau dituduh mengelakkan daripada
membayar cukai laba modal atas jualan rumahnya di London dengan melabelkan cara
berbeza rumah pertama dan rumah kedua untuk memaksimumkan tuntutan perbelanjaan
dan menimumkan bayaran cukai. Walau
bagaimanapun, Clegg menolak tuduhan itu.
Belum pun reda dengan masalah dalaman dan masih lagi
dalam tempoh berbulan madu, Nick Clegg terpaksa menempuh ujian yang cukup besar
apabila pada 31 Mei lalu, komando Israel menyerang flotila yang membawa
beratus-ratus aktivis pro-Palestin dalam misi bantuan kemanusiaan ke Genting
Gaza. Serangan yang menyebabkan
sekurang-kurangnya sembilan orang terbunuh dan 30 orang cedera dikutuk oleh masyarakat dunia.
Sebaik-baik sahaja tersebar berita serangan kejam
Israel itu, Clegg juga menjadi tumpuan kerana beliau pernah menulis artikel yang mendesak komuniti
antarabangsa melakukan sesuatu jika Israel tidak menamatkan kepungan di Gaza
itu. Blog berita The Sauce yang menyiarkan sebuah artikel yang menyatakan tekanan
terhadap Clegg memuncak
- menuntut beliau menunaikan segala kata beliau sebelum ini. “Persoalan petang ini,” tulis artikel itu,
“apabila beratus-ratus orang penunjuk perasaan menuju ke Downing Street
menuntut tindakan kerajaan adalah sama ada Nick Clegg akan berdiam diri
membiarkan dirinya diaibkan dengan tolak ansur seterusnya dengan tuan
Konservatifnya yang baru.”
Apabila Perdana Menteri, David Cameron menyatakan
serangan itu “tidak boleh diterima” dan Setiausaha Luar, William Hague berkata
kehilangan nyawa “yang amat dikesali”
tidak dapat dipastikan sama ada Nick Clegg yang masih berdiam diri
berpuas hati dengan kedua-dua kenyataan itu.
Dalam artikel yang diterbitkan dalam akhbar Independent Robert Fisk yang mengkritik para pemimpin
Barat yang amat pengecut untuk menolong menyelamatkan nyawa, bertanya di
manakah ahli politik kita? Di manakah
Cameron? Di manakah Clegg? Mengapakah kita tidak mendegar kata-kata yang
berani daripada Tetuan Cameron dan Clegg semalam?
Mungkin boleh ditambah di sini, apakah setelah
berkuasa Clegg tidak lagi seberani
ketika beliau menulis artikelnya dahulu?
(Nota: Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Masyarakat Julai 2010, sebagai "penyendal.")
No comments:
Post a Comment