Artikel Popular

Tuesday, July 31, 2012

Langkah Kiri

SELASA, 31 Julai 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Petanda buruk tentang lawatan ke luar  bakal calon Presiden daripada Republikan, Mitt Romney sudah terbayang semasa beliau berucap dalam perhimpunan tahunan  Veterans of Foreign Wars, yang disifatkan pelancaran yang gagal.  Selain itu, seperti yang dibahaskan Dana Milbank dalam The Washington Post, beliau  mahu "hidup di dua alam," iaitu meningkatkan perbelanjaan pertahanan dan mengurangkan cukai" - membayangkan kesukaran yang beliau hadapi sepanjang kempen Pilihan Raya Presiden tahun 2012, selalu terhuyung-hayang.

Tidak mempunyai pemikiran yang jelas terbawa-bawa ketika berada di kota London yang antara tujuan lawatan itu adalah untuk bertemu dengan beberapa orang pemimpin British sambil menyaksikan Sukan Olimpik seketika, sebaliknya terpaksa  bertarung dengan kesilapan.  Ulasan tidak berasas beliau tentang persediaan tuan rumah untuk mengadakan sukan itu, mencetuskan keberangan para pemimpin dan media di negara itu.  Teguran yang  keras terhadap Romney datangnya daripada Boris Johnson, Datuk Bandar London.

Romney di Britain, tulis PC dalam The Economist, diplomatik bersifat menyerang. Keceluparan yang tidak bertempat mungkin kerana ingin bermegah dengan kejayaannya sebagai penganjur Sukan Olimpik Musim Sejuk di Salt Lake City pada tahun 2002, akhirnya  membawa padah.

Untuk menampilkan dirinya dari segi dasar luar, dari London,  Romney ke Israel; di negara itu beliau disambut hangat para pemimpin, termasuk Perdana Menteri Benjamin Netanyahu.  Sheldon Adelson, raja kasino Las Vegas yang merupakan "lombong emas" kempen Romney turut "pulang" sebagai tanda sokongan yang tidak berbelah bahagi.  Di negara itu, selain menegaskan pendiriannya untuk mempertahankan  Israel dalam persengketaan dengan Iran, Romney mengadakan majlis pengumpulan dana dan perbincangan  tentang penempatan Israel.

Namun, lawatan yang kelihatan tenang jika dibandingkan ketika  di London, juga mencetuskan kontroversi apabila Romney  mengaibkan umat Palestin.  Gara-gara ingin bermain "terup ras" - memetik Peter S. Goodman, mengisytiharkan orang Yahudi lebih kaya daripada umat Palestin kerana budaya mereka.  Romney, seperti yang dilaporkan,  membandingkan pendapatan  per kapita Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) rakyat Israel yang jauh lebih tinggi, iaitu AS$21,000 berbanding penduduk Palestin yang tinggal di kawasan Pihak Berkuasa Palestin yang hanya berpendapatan per kapita KDNK AS$10,000.

Malang bagi Romney bukan sahaja membangkitkan kemarahan orang Palestin,  tetapi juga angka pendapatan yang beliau nyatakan itu tidak tepat, sedangkan yang sebenar: Rakyat Israel AS$31,000, manakala umat Palestin hanya AS$1500

John Cassidy dalam blog The New Yorker mengingatkan Romney bahawa masalah umat Palestin bukan semuanya budaya.  Peter Beinart yang terkenal dengan mengkritik Romney, menulis bahawa beliau bercanggah dengan Bank Dunia tentang ekonomi Palestin yang sebenar.  Laporan Bank Dunia, tegas Beinart yang menulis secara tetap dalam The Daily Beast, menekankan perlunya pewujudan sektor ekonomi Palestin swasta yang lebih kukuh dan pembaharuan pendidikan dan menyatakan kekangan utama terhadap aktiviti sektor swasta kerana sekatan yang ketat oleh Israel terhadap pergerakan dan sumber.

Mungkin ada beberapa perkara yang dapat dipelajari sempena lawatan beliau ke Israel yang dikatakan jauh lebih baik semasa beliau di London.  Namun, Juan Cole yang menulis dalam The Guardian, menyenaraikan 10 alasan lawatan itu dalam rasa yang buruk: tempat majlis pengumpulan berlangsung, iaitu di Hotel King David; Romney  melanggar janji ketelusannya dengan mengehadkan majlis itu hanya akhbar Amerika untuk membuat liputan; dolak-daliknya yang pada mulanya tidak mengundang pihak akhbar; mengkritik Presiden Amerika semasa di negara asing; mengadakan majlis pengumpulan dana bersama-sama raja kasino, Sheldon Adelson yang  sedang disiasat; Netanyahu campur tangan dalam pilihan raya Amerika Syarikat dengan mengutamakan Romney; berjanji untuk menghulurkan derma untuk berperang dengan Iran; tidak mengadakan pertemuan dengan Mahmoud Abbas; Romney tidak menunjukkan komitmen penyelesaian dua negara dalam sempadan tahun 1967; dan majlis pengumpulan dana di Hotel King David yang pernah diletupkan oleh pengganas Zionis

Dalam lawatan terakhir beliau, iaitu Poland, Romney dilaporkan, disambut oleh bekas Presiden Lech Walesa, yang ketika pertemuan mereka, Walesa mengisytiharkan beliau menyokong Romney, dan seakan-akan menunjukkan bekas pemimpin kesatuan sekerja itu tidak menyukai Obama.  

Dalam ulasannya tentang lawatan Romney itu, Spiegel Online International, menyatakan bahawa akhbar Jerman tidak tertarik dengan prestasi Romney, sambil mengulas lawatan beliau ke London yang mencetuskan kegamatan dan ke Israel yang kononnya kelihatan gilang-gemilang.  Namun, mengingatkan bahawa "lawatan ke Israel  mungkin membantu Romney dala  jangka pendek.  Akan tetapi, dalam jangka panjang, Republikan melakukan kerosakan.  Timur Tengah memerlukan Amerika Syarikat sebagai pengantara.  Dengan berbuat demikian, orang yang menaruh harapan untuk menjadi Presiden itu tidak melayakkan dirinya sendiri."

Lawatan Romney ke tiga buah negara itu, menurut tafsiran Eugene Robinson, "gaffepalooza," "kerap kali terhenti kerana ingin mengeluarkan kaki dari mulut." Mitt Romney yang kewangannya misteri, yang dikatakan membuat pilihan yang pintar untuk melawat tiga buah negara, sememangnya tidak banyak keberhasilan yang diperoleh dalam lawatan itu. Segala-galanya hancur. Benar-benar langkah kiri. 

Memang benar apabila Fouad Ajami mengulas bahawa Romney tidak berusaha  untuk membuatkan dunia pengsan.  Sebaliknya, yang berlaku, dunia membuatkan beliau pengsan.



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...