Artikel Popular

Wednesday, May 25, 2011

Krisis Globalisasi, Kapitalisme Diubati

KHAMIS,  26 Mei  2011
Oleh:   ZULKIFLI SALLEH


Dalam Newsweek Special Edition Issues 2009,  Fareed Zakaria melalui makalahnya, “Writing the Rules for A New  World”, mengakui   bahawa kembalinya kawal selia, tetapi kawal selia bukannya sosialisme.  Bagi beliau, kapitalisme merupakan fenomena global masa kini, dipacu oleh tindakan syarikat dan kerajaan dan individu di seluruh dunia.  Negara akan terus bergantung pada pasaran bebas dan perdagangan bebas untuk menggerakkan pertumbuhan dan meningkatkan taraf hidup. Masalah sebenar ekonomi yang berlaku sekarang bukannya krisis kapitalisme; sebaliknya merupakan  krisis globalisasi. Faktor yang memacu kebangkitan ekonomi global, dan kebangkitan negara lain di luar Atlantik Utara merupakan daya struktur yang luas yang berfungsi sejak beberapa dekad. Daya ini bukannya wujud seketika dan tidak akan lenyap dalam menghadapi krisis kewangan atau kemelesetan.      Hujah beliau lagi, daya ini akan kekal, dan dalam proses menganjak kuasa pusat yang sudah mapan di Barat.

Sementara   dalam Newsweek keluaran 13 Oktober,  Fareed, juga editor majalah ini mempertahankan kelangsungan  kapitalisme yang dikatakan sedang di ambang maut.  Dalam makalahnya, “The Age of Bloomberg”, beliau menulis: “Krisis kewangan Amerika membenarkan semua jenis orang, daripada kesatuan sekerja British kepada tokoh bank pusat Asia kepada Presiden Perancis yang sering berubah  mengisytiharkan bahawa kita sedang menyaksikan berakhirnya kapitalisme laissez-faire dan pasaran bebas.”    Namun, tegas beliau bahawa kita tidak menyaksikan pengakhiran itu:  “Sejarah kapitalisme dipenuhi dengan krisis kredit, panik, kegawatan kewangan, dan kemelesetan.  Tetapi, ini tidak bermakna berakhirnya kapitalisme.” 

Nampaknya,  Fareed masih berpegang pada dogma bahawa   robohnya Tembok Berlin pada tahun 1989  dan runtuhnya sosialisme menandakan kemenangan kapitalisme, meskipun kemenangan itu dicemari oleh beberapa krisis.  Misalnya,    krisis kewangan Asia 1997-1998 yang dikenali sebagai krisis kapitalisme global yang turut    merebak ke Rusia, Afrika Selatan, dan Brazil.       Berdasarkan hujah itu beliau cuba mempertahankan kapitalisme dalam apa jua keadaan.   Jika berlaku masalah atau krisis, persalahkan globalisasi, meskipun antara kapitalisme dengan globalisasi sukar dibezakan.   Atau lebih tepat, globalisasi adalah sebahagian daripada kapitalisme kerana melaluinya, di samping melalui imperialisme,  kapitalisme dapat berkembang.

Seperti yang pernah dinyatakan, globalisasi bukannya keadaan atau fenomena.  Sebaliknya, globalisasi merupakan proses yang berlaku sejak sekian lama, malah sejak kapitalisme muncul di dunia sebagai bentuk masyarakat berdaya maju empat atau lima abad lalu.   Dengan kata lain, globalisasi merupakan proses peluasan kapitalisme yang sentiasa mencari ruang bukan kapitalis untuk bertapak dan berkembang. Tetapi, globalisasi bukannya daya pacuan dengan sendirinya.  Globalisasi kekal sebagaimana kewujudannya sepanjang tempoh, seperti yang difikirkan sebagai sejarah moden, iaitu proses pengumpulan modal yang sentiasa berkembang dan  meledak. 

Pendirian Fareed Zakaria ini bercanggah dengan pandangan umum tentang krisis yang berlaku sekarang. Krisis kewangan semasa yang digambarkan  sebagai krisis kapitalisme mengundang ulasan daripada pelbagai pihak: daripada  Sayap Kanan kepada Sayap Kiri, daripada golongan konservatif kepada golongan liberal, daripada para pengulas kepada para pemimpin, daripada media yang prokapitalis kepada yang prososialis. Pada hari Wall Street dilanda krisis, muncul pertanyaan  “adakah ini menandakan kematian kapitalisme global?”
Dalam keluaran Oktober lalu, beberapa media arus perdana, seperti Washington Post, Newsweek, dan Time mula meragui  kapitalisme.  Bahkan, majalah yang menyokong kebebasan ekonomi,  The Economist 18 Oktober, melalui rencana utamanya, “Capitalism at Bay” menyebut bahawa kini kebebasan ekonomi sedang dikritik dan kapitalisme, iaitu  sistem yang merangkumnya diserang. 

Namun, Simon Jenkins menulis dalam The Guardian pada 9 Januari dengan nada  marah dan sinis terhadap ulasan mengatakan kapitalisme dalam krisis:  “Golongan Marxis sungguh gembira.  Eric Hobsbawm pulang dari kubur ideologi untuk mengisytiharkan ‘krisis kapitalisme yang paling teruk sejak tahun 1930-an’ dan sama dramatik dengan keruntuhan Kesatuan Soviet.” Jenkins  tidak menafikan wujudnya krisis kapitalisme, tetapi dengan harapan akan pulih:  “Sejarah mengajar kita bahawa semua kemelesetan berakhir apabila orang ramai mula berbelanja dan apabila perniagaan boleh memulakan pinjaman terhadap perbelanjaan itu.  Apabila ini berlaku, kita akan melupakan bahawa tahun 2008 menandakan berakhirnya Thatcherisme atau runtuhnya kapitalisme atau sinar sosialisme.” 

Jika tidak berlaku krisis kapitalisme, mengapa  diletakkan harapan kepada Barack Obama sebagai penyelamat  sistem ini.  Dalam makalah “Barack The Savior?”  yang diterbitkan dalam Newsweek 13 November, Michael Hirsch menulis,  Presiden baru ini mungkin berfikir tugas beliau hanya untuk menyelamatkan ekonomi. Tetapi, seperti FDR (Franklin D. Roosevelt), beliau mungkin patut menyelamatkan kapitalisme itu sendiri. “Dalam 100 hari Roosevelt, beliau bukan hanya menyelamatkan ekonomi Amerika, tetapi mungkin kapitalisme itu sendiri dengan mengambil pendekatan sosialisme.”  “Obama,” tulis Hirsch lagi, “bukan sekadar  hit the ground running, malah beliau patut melakukan lebih daripada itu.  Meskipun Obama berusaha sedaya upaya untuk menjadi Presiden yang pragmatik dan pascaideologi, tetapi beliau bukan hanya menyelamatkan ekonomi dunia, tetapi menyelamatkan kapitalisme, seperti yang dilakukan oleh FDR.”

Penjelasan bekas  Presiden Amerika  George W. Bush   membuktikan   bahawa kapitalisme dalam krisis, dan beliau berusaha sedaya upaya untuk menyelamatkannya.    Bush tanpa berselindung mengakui krisis yang melanda kapitalisme apabila beliau beberapa kali menegaskan bahawa  yang dilakukan oleh kerajaan Amerika adalah demi kepentingan pasaran bebas dan kapitalisme.  Ketika berucap di Dewan Perdagangan Amerika Syarikat pada 16 Oktober beliau menjelaskan campur tangan kerajaan adalah untuk menyelamatkan pasaran bebas.  Dalam sidang akhbar terakhir pada 12 Januari lalu sebelum berakhirnya tempoh pekhidmatan  sebagai Presiden, beliau masih mempertahankan tindakannya demi menyelamatkan  pasaran bebas dan kapitalisme.

Alan Greenspan, bekas Pengerusi Rizab Persekutuan dan pendukung pasaran bebas juga  mengakui berlakunya krisis kapitalisme. Semasa memberikan keterangan bersumpah (testimoni) di hadapan Jawatankuasa  Kongres pada 23 Oktober,  beliau menjelaskan bahawa krisis kewangan global mendedahkan “kesilapan” dalam ideologi pasaran bebas yang membimbing pengawasan beliau selama 18 tahun dalam dasar kewangan Amerika Syarikat. Pengakuan ini ditafsirkan sebagai masa-masa akhir ideologi pasaran bebas. 

Melihat keterukan atau keseriusan krisis yang berlaku sekarang, agak sukar untuk menafikan bahawa ini bukannya krisis kapitalisme, dan hakikat ini diakui  Timothy Garton Ash dalam  “2009 Brings Hard Choices Over the Future of Capitalism” yang diterbitkan dalam The Guardian (1 Januari 2009).  “Berjuta-juta orang kehilangan pekerjaan di seluruh dunia, dengan ini benar-benar kali pertama krisis kapitalisme diglobalkan.  Berpuluh-puluh juta orang lagi akan kehilangan pekerjaan tidak lama lagi.”  Namun, beliau  mengingatkan bahawa khabar angin tentang kematian kapitalisme dibesar-besarkan cerita. “Saya tidak fikir tahun 2009 akan menimpa kapitalisme, sebagaimana tahun 1989 menimpa komunisme.” 

Tahun ini menandakan ulang tahun ke-80 Keruntuhan Pasaran Saham 1929 dan bermulanya Kemelesetan Besar, krisis ekonomi yang paling teruk dalam sejarah kapitalisme.  Beberapa buah negara, seperti   Ukraine, Hungary, dan Pakistan memohon bantuan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).  Iceland yang  mengalami krisis yang teruk hingga  disimpulkan:  satu perkara yang mungkin menyelamatkan kapitalisme Iceland ialah negara itu menyertai zon euro (euro-zone) - 15 buah negara anggota Kesatuan Eropah  yang menggunakan mata wang bersama.
Masalah  semakin jelas selepas harga rumah di Amerika Syarikat mencapai puncak pada tahun 2006 dan pemberi pinjaman gadai janji  mula mengisytiharkan muflis sekitar bulan Mac 2007.  Masalah berubah menjadi krisis pada Ogos 2007, tetapi Rizab Persekutuan Amerika dan pihak berkuasa kewangan lain percaya bahawa krisis subprima hanya merupakan fenomena terasing yang mungkin menanggung kerugian kira-kira AS$100 bilion.  Sebaliknya, krisis merebak dengan pantas ke dalam pasaran lain.  Krisis kewangan yang pada mulanya tercetus di Amerika Syarikat dan dengan pantas merebak ke seluruh dunia, menjejaskan dengan teruk keyakinan dan institusi dan pasaran kewangan global.  Krisis ini mendorong kepada satu demi satu kemuflisan, percantuman syarikat, dan memaksa banyak kerajaan campur tangan melalui pelan penyelamat, pelan rangsangan, pemiliknegaraan bank, dan penurunan kadar faedah.  
Pada tahun 2008, pasaran saham di seluruh dunia mengalami kejatuhan yang teruk: dari segi nilai,  FTSE 100 (Britain) terjejas sebanyak 31 peratus, Rusia 72 merosot 72 peratus dan China 65 peratus. Purata Industri Dow Jones (Dow) menjunam 33.8 peratus, prestasi yang paling teruk sejak tahun 1931, ketika Kemelesetan Besar. Nikkei Jepun jatuh sebanyak 42 peratus,  juga mencatatkan kerugian yang sangat besar.   Dianggarkan nilai saham dunia pada tahun lalu lenyap sebanyak AS$14 trilion.  Saham global, seperti yang diukur oleh Indeks MCSI, sepanjang tahun 2008 merosot sebanyak 44 peratus. Lalu disimpulkan  bahawa kacau-bilau dalam sistem kewangan dan kemelesetan global yang teruk sejak tahun 1970-an menyebabkan pasaran saham terhuyung-hayang. 

Pada tahun lalu dan tahun ini, ekonomi akan mengalami pertumbuhan yang perlahan, manakala ekonomi utama, seperti Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah, Jepun dan Australia bergelut dengan kemelesetan.  Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengunjurkan bahawa pertumbuhan ekonomi dunia  sebanyak lima peratus pada tahun 2007, akan merosot dengan teruk pada tahun 2008, dengan pertumbuhan 3.9 peratus, dan tiga peratus pada tahun ini –  terburuk sejak tahun 2002.  Pada masa lalu, IMF merujuk pertumbuhan global  tiga peratus atau kurang sebagai kemelesetan global.  Dalam kemelesetan semasa ini, kadar pengangguran global semakin serius. Di United Kingdom, misalnya,  pengangguran meningkat kepada lebih tiga juta orang.  Sementara di Amerika Syarikat, kadar pengangguran adalah kira-kira tujuh peratus dan dijangka mencecah sembilan peratus pada tahun 2009.  Laporan yang dikeluarkan oleh Jabatan Buruh negara itu menunjukkan pada bulan Disember,  524,000 orang kehilangan pekerjaan, menjadikan jumlah keseluruhan kehilangan pekerjaan pada tahun 2008 adalah 2.6 juta orang.

Untuk mengatakan bahawa krisis yang melanda dunia sekarang merupakan krisis globalisasi dan bukannya krisis kapitalisme memang kedengaran lucu.  Pada tahun ini krisis ini semakin serius apabila kemelesetan  menjelajah dunia, mencari satu demi satu mangsanya. Namun, seperti berlebih-lebihan untuk mengatakan bahawa kapitalisme   di ambang maut, dan impian ini tidak akan menjadi kenyataan.  Ini kerana, tanpa gerakan buruh yang kuat dalam  mana-mana krisis kapitalisme agak mustahil untuk menamatkan riwayat  sistem yang berakar umbi  ini.   Kapitalisme selamat dalam setiap kali berlakunya krisis, seperti yang sering dihujahkan  adalah kerana mengambil  pendekatan sosialisme.
            (Nota:  Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Masyarakat Mac 2009.)

Tuesday, May 24, 2011

Kembali ke Pra-1967

RABU,   25  Mei 2011
OLEH:  ZULKIFLI  SALLEH


Dalam lampiran bukunya, The Clash of Fundamentalisms:  Crusades, Jihads and Modernity, Tariq Ali menerbitkan semula wawancara dengan Isaac Deutscher oleh Alexander Cockburn, Tom Wengraf, dan Peter Wollen yang diterbitkan dalam New Left Review, 20 Jun 1967. Deutscher, seperti yang dinyatakan oleh Tariq dalam bahagian awal bukunya itu menggelar dirinya sendiri sebagai non-Jewish Jews.  Bagi Deutscher, kemenangan itu  teruk untuk Israel jika dibandingkan dengan kekalahan.  Jauh daripada memberi   Israel darjah keselamatan yang lebih tinggi, kemenangan  itu meletakkan Israel dalam keadaan lebih tidak selamat.  Beliau merujuk orang Israel sebagai  “orang Prusia di Timur Tengah.”  Isaac Deutscher meramalkan kemenangan Israel pada tahun 1967 itu tidak menyelesaikan apa-apa masalah. Di wilayah Arab yang ditawan dan di Israel sendiri adalah  1.5 juta orang Arab, lebih 40 peratus daripada jumlah penduduk.   Rakyat Palestin enggan menjadi orang yang pupus.  Adakah Israel akan mengusir rakyat Arab dalam usahanya untuk merasa “selamat” di tanah yang ditakluki itu? Tanya Deutscher yang beranggapan jika Israel mengusir mereka, tindakan ini mewujudkan masalah pelarian baru yang lebih bahaya dan lebih besar daripada yang lama.  Adakah Israel akan melepaskan wilayah yang ditakluki itu? Tanya beliau lagi, yang jelas bahawa jawapan yang diberikan oleh kebanyakan pemimpin adalah tidak.  “Ben Gurion,” tegas Deutscher “semangat jahat cauvinisme Israel, mendesak diwujukan ‘Negara Palestin Arab’ di Jordan yang menjadi Negeri Naugan Israel.”  Satu cadangan yang tidak masuk akal,  kerana bagi Deutscher, orang Arab akan menentangnya habis-habisan. 

Sejak menjadi Presiden Amerika, Barack Obama memperlihatkan ketegasan secara terbuka dan diketahui umum terhadap “penyelesaian” dua negara untuk Israel-Palestin yang mungkin dicapai dalam beberapa tahun akan datang. Alasannya mudah, tulis Immanuel Wallerstein, penyelesaian tersebut mendapat sokongan yang besar dalam pendapat politik dunia. “Tinjauan pendapat menunjukkan majoriti orang Yahudi Israel memihak kepada penyelesaian tersebut, demikian juga dengan orang Yahudi di tempat-tempat lain di dunia.  Sokongan dalam kalangan pemimpi Arab adalah kuat dan meluas.”  Bahkan, Hamas, tegas Wallerstein, menunjukkan bahawa mereka sedia menerima konsep dua negara pada asas ‘kedamaian sementara’ yang tidak jelas dalam perjuangan. Walau bagaimanapun, beliau mengakui isu  yang mendasari slogan “dua negara” yang tidak mudah diselesaikan.  Satu daripada enam isu itu, iaitu yang terakhiar, “pastinya, persoalan apa akan terjadi penempatan orang Yahudi di Wilayah yang Diduduki.  Dapat difikirkan bahawa orang Palestin mungkin berkata sesetengah mereka boleh kekal di tempat yang mereka duduki sekarang.  Akan tetapi,  agak mustahil   bahawa golongan  peneroka ini akan bersetuju untuk tinggal di negara Palestin atau sedia menerima pemindahan ke Israel. Wallerstein menyanjung ketegasan dan keberanian Presiden Obama, iaitu tiada lagi pengembangan seterusnya bagi penempatan yang sedia ada dan komitmennya terhadap penyelesaian dua negara.

Setelah hampir dua tahun terhenti dalam rundingan langsung, Hosni Mubarak, Presiden Mesir  ketika itu, tidak dapat menyembunyikan kegembiraan dan keyakinan terhadap penyelesaian sengketa Israel-Palestin. Dalam tulisannya yang diterbitkan dalam The New York Times pada Ogos tahun lalu, Mubarak mengakui bahawa banyak pihak mendakwa bahawa pusingan baru perbincangan ini yang bermula dengan pertemuan antara Presiden Obama, Perdana Menteri Israel Netanyahu, Presiden Palestin Mahmoud Abbas, Raja Abdullah dari Jordan, dan beliau sendiri, seperti yang sebelum ini, berkesudahan dengan kegagalan. 


Walau bagaimanapun, tulis Mubarak, penglibatan yang nekad oleh Presiden Obama menghidupkan semula harapan kita untuk keamanan dan kita mesti mengambil peluang ini.  Tambah beliau lagi, “parameter yang luas penyelesaian Palestin-Israel yang kekal memang jelas:  pewujudan negara Palestin di wilayah yang diduduki Israel pada tahun 1967 dengan Baitulmuqqadis sebagai ibu negara kedua-duanya, iaitu Israel dan Palestin.  Rundingan sebelum ini telah pun menyelesaikan banyak perincian tentang status akhir pelarian, sempadan, Baitulmuqqadis, dan keselamatan.”

Namun begitu, tidak semua mengalu-alukan penyelesaian dua negara.  Misalnya, Presiden Libya Muammar Qaddafi yang kini menunggu hari-hari akhirnya,  pernah mencadangkan melalui  tulisannya dalam The New York Times, penyelesaian satu negara.  Mengakui bahawa Yahudi dan Muslim adalah sepupu yang berketurunan daripada Nabi Ibrahim a.s. yang menurut beliau selama beberapa abad kedua-duanya terpaksa menanggung penindasan yang kejam dan selalu mendapati diri mereka menjadi pelarian antara satu sama lain.  Penyelesaian dua negara, tegas Qaddafi, akan mewujudkan ancaman keselamatan yang tidak boleh diterima.  Negara Arab yang bersenjata, katakan Tebing Barat, akan memberi  Israel kurang 10 batu kedalaman strategik pada titiknya yang paling sempit.  Seteruanya, negara Palestin di Tebing Barat dan Lembah Gaza tidak banyak melesaikan masalah pelarian.  “Mana-mana situasi yang mengekalkan majoriti penduduk Palestin di kem-kem pelarian dan tidak menawarkan penyelesaian di dalam sempadan sejarah Israel/Palestin,” tulis Qaddafi,  “bukannya penyelesaian sama sekali.”

Setelah  dilupakan seketika, sebahagiannya adalah kerana tumpuan banyak diberikan terhadap pemberontakan Arab,  Presiden Barack Obama memanaskan semula sesuatu yang  dingin:  penyelesaian konflik Israel-Palestin.  Dalam ucapannya yang dikatakan inovatif, tuntas, dan berwawasan pada 19 Mei lalu, tentang Timur Tengah, beliau menggesa pendudukan Israel di bumi Palestin perlu dihentikan dengan kesengsaraan dan keaiban yang pasti ditanggung oleh rakyat Palestin.  Merujuk kepada pelarian, Presiden Obama hanya menyebut rakyat Palestin dan tidak menyebut orang Yahudi.  Kemudian, menyatakan sesuatu yang menggemparkan, iaitu sokongan terhadap penentuan sempadan akhir berasaskan status quo 1967, meskipun menyokong tukar-menukar kawasan.

“Sebut sahaja tahun 1967,” tulis Joseph Olmert dalam The Huffington Post, “selalunya muzik yang indah di telinga rakyat Palestin dan tidak untuk majoriti orang Israel.”  Namun, beliau mengingatkan bahawa pencapaian sementara masih memihak kepada Israel, sesuatu yang mungkin membuka mata dinilai menurut beberapa reaksi awal segera di sana, yang menumpukan rujukan kepada sempadan pra-1967.

Dalam ucapan itu,  Presiden berusaha memecahkan kebuntuan dalam konflik Israel-Palestin, menetapkan titik tolak untuk perundingan tentang masalah yang paling sukar dirungkaikan di wilayah itu.  Obama mengisytiharkan bahawa sempada yang wujud sebelum perang Arab-Israel 1967, dengan beberapa penyelarasan untuk mengambil kira penempatan diTebing Barat, sepatutnya  menjadi asas perundingan. 



Menurut The New York Times, dengan nada marah dalam perbualan telefon antara Perdana Menteri Benjamin Netanyahu dengan Setiausaha Negara Hillary Rodham Clinton pada hari Khamis sebelum ucapan itu disampaikan, yang beliau menuntut rujukan Presiden kepada sempadan tahun 1967 dipotong. Para pegawai Israel terus-menerusi melobi pentadbiran hingga saat-saat akhir Presiden Obama tiba di Jabatan Negara untuk menyampaikan ucapan.  Pegawai Rumah Putih dilaporkan berkata dia tidak meminda apa-apa berikutan tekanan Israel itu, meskipun Presiden sendiri membuat perubahan dalam teks ucapan yang melengahkan kemunculan beliau selama 35 minit.


Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu memberikan sambutan dingin terhadap cadangan Obama supaya kembali ke pra-1967, bagi beliau sempadan yang dicadangkan itu “tidak boleh dipertahankan.” Beliau memberi amaran bahawa pengunduran dari Tebing Barat akan meletakkan Israel mudah terdedah kepada serangan. Netanyahu yang dijadualkan bertemu Obama di Rumah Putih, menolak pengunduran sepenuhanya dari Tebing Barat dan juga dari timur Baitulmuqqadis. Sebaliknya, beliau mendesak Obama menyokong komitmen Amerika tahun 2004 yang dibuat oleh Presiden Geoge W. Bush:  pengunduran ke sempadan 1967 “tidak realistik” dan perjanjian perdamaian pada  masa depan perlu mengiktiraf “realiti baru di bumi.”

Cadangan Obama itu, bagi Netanyahu, tidak “mengambil kira perubahan tertentu yang berlaku” dalam 44 tahun berselang.”  Tzipi Livni, pemimpin parti pembangkang Israel, Kadima, yang menyokong penyelesaian dua negara Obama dan menuduh Netanyahu meletakkan Israel pada risiko dalam usahanya untuk menyelamatkan gabungan sayap kanannya. Tegas beliau, Perdana Menteri telah mencabuli hubungan antara Israel dengan Amerika Syarikat.  Beliau membahayakan keselamatan Israel dan kuasa pencegahannya.”

Amerika Syarikat, komuniti antarabangsa, dan bahkan kerajaan Israel yang lalu telah menyokong penyelesaian berasaskan garis sempadan tahun 1967, tetapi Obama didapati lebih eksplisit jika dibandingkan dengan terdahulu.  Kedudukannya kelihatan untuk meletakkan dirinya tidak sekata  dengan Benjamin Netanyahu yang tidak menerima konsep tersebut.  Justeru,  dengan cadangan tersebut Obama melakukan tindakan politik yang bagus untuk diri sendirinya.  Dari satu segi, beliau sekadar meneruskan usaha sebelum ini, hanya beliau lebih berani.  Dari satu segi yang lain, beliau berusaha mengambil hati dunia Arab khusus dan Islam amnya dengan mengemukakan jalan penyelesaian yang terbaik. Tinjauan pendapat yang diterbitkan oleh Pew yang beribu pejabat di Washington mendapati bahawa Presiden Obama masih tidak popular dalam kalangan negara yang ditinjau di TimurTengah dan di tempat-tempat lain di dunia Islam, kecuali Indonesia.

Melihat kebiadaban Netanyahu atau “lebih sudu dari kuah” yang tidak menghormati dan cuba mengajar Presiden Amerika itu, Jeffrey Goldberg bertanya:  Jika Presiden Obama tidak menarik balik ucapannya, apakah yang dilakukan oleh Netanyahu?  Adakah beliau memotong bantuan ketenteraan dengan Amerika Syarikat?  Adakah beliau berhenti berjuang untuk Amerika Syarikat di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, dan dalam banyak forum antarabangsa yang melayan Israel sebagai paria.


Koresponden nasional untuk The Atlantic terus menggasak Perdana Menteri Israel itu.  “Saya tidak suka perkataan ini, ‘jangkakan.’  Bahkan, jika wujud ketidakseimbangan antara dua negara ini, iaitu Israel bergantung pada Amerika Syarikat untuk kelangsungannya, manakala Amerika, saya bayangkan, akan terus wujud meskipun jika Israel berhenti untuk wujud.  Oleh sebab Netanyahu akan ke Washington, maka tegas Goldberg, beliau sepatutnya berkata: “Presiden hari ini menyampaikan ucapan yang cukup baik.  Beliau mengukut Hamas dan Iran, beliau mempersoalkan sama ada rakyat Palestin biasanya mencari perdamaian; bahasanya yang kuat terhadap Syria; beliau mengiktiraf Israel sebagai negara Yahudi; beliau memperlihatkan semula ikatan yang tidak goyah antara dua negara.  Memang wujud beberapa perkara dalam ucapannya yang berkait dengan sempadan dan pelarian yang saya akan dapat penjelasan dengan Presiden apabila saya berjumpa beliau kelak, dan saya menanti-nanti dialog konstruktif tentang beberapa isu ini.”


Meskipun sebelum pertemuan Jumaat lalu, Netanyahu telah mengadakan pertemuan sebanyak enam kali sejak Obama menjadi Presiden, namun kedua-dua pemimpin ini dikatakan tidak mempercayai antara satu sama lain. Presiden Obama memberitahu pembantu dan sekutunya bahawa beliau tidak mempercayai Netanyahu akan bersedia untuk melakukan jenis  konsesi yang besar yang akan menjurus kepada rundingan perdamaian.  Sementara Netanyahu pernah mengadu bahawa Obama mendesak Israel terlalu jauh, iaitu rancangan Presiden untuk menyokong sempadan Israel pra-1967 untuk masa depan negara Palestin.  Beliau dikatakan berasa bimbang akan bahasa Presiden Obama tentang sempadan itu.

Kebenaran yang paling tidak selesa, James Kitfield yang merujuk kepada cadangan Presiden Obama itu, bagaimanapun, adalah disimpan untuk sekutu paling rapat Amerika Syarikat di rantau itu.  “Untuk pertama kali, Israel dengar Presiden Amerika bahawa pendudukan berdekad-dekad lamanya di wilayah Palestin tidak boleh dikekalkan lagi, dan bahawa wawasan Washington tentang penyelesaian dua negara pada amnya, berasaskan sempadan 1967, dengan pengunduran tentera Israel dari bumi Palestin.”

Menganggap langkah  Obama itu sebagai perjudian, ucapan Presiden itu, bahas Leslie  H. Gelb,  adalah wajar, berani, dan adil.  Malangnya, ucapan itu dicabar untuk baik dan buruk alasan di rantau yang tidak mampu menjangkau dendam purbanya.  Palestin menegaskan bahawa rundingan mesti mengandungi idea keadilan, manakala menegaskan isu mesti secara literal, kelangsungan mereka. Bagi Gelb, inti pati cadangan Obama itu ialah “Israel menerima negara Palastin yang digariskan oleh sempadan tahun 1967 dengan pertukaran kawasan untuk menampung peneroka Israel di Tebing Barat, manakala Palestin akan mengiktiraf negara Yahudi Israel dan negaranya nyah tentera.  “Dengan kata lain, rakyat  Palestin akan menerima taraf negara, dan orang Israel akan  mendapat keselamatan mereka.  Isu yang sama-sama mudah bergolak tentang Baitulmuqqadis dan hak rakyat Palestin untuk pulang ke Israel mesti diketepikan untuk penentuan kemudian.  Memadai untuk dikatakan bahawa kerajaan Israel naik gila, dan rakyat Palestin juga tidak gembira.”



Meskipun Presiden Obama ialah Presiden pertama yang menggesanya secara terbuka, menurut pemerhatian Glenn Greenwald, tindakan itu berdasarkan premis dasar Amerika berdeka-dekad.  Bagi Greenwald, Israel memperoleh ganjaran melampau dengan mengekalkan penempatan  di Tebing Barat yang diterokai secara haram.

Meskipun  ayat itu  kelihatan biasa sahaja, namun bagi kebanyakan pakar itu menunjukkan anjakan yang ketara dalam dasar Amerika Syarikat, dan pastinya, perubahan untuk Pentadbiran Obama, tegas Glenn Kessler.  “Seperti yang sentiasa menjadi keadaan dengan diplomasi, konteks dan penutur hampir-hampir sama penting dengan perkataan.  Pernah sejak Perang Enam Hari tahun 1967 antara Israel dengan negara Arab jirannya, memang jelas bahawa perdamaian dengan Palestin akan dicapai menerusi pertukaran kawasan untuk keselamatan.”  Kessler cuba menarik perhatian bahawa bukannya rundingan tentang pertukaran kawasan itu bukannya sama sekali baru.  Sesungguhnya, Israel dan Palestin mengadakan beberapa rundingan intensif yang melibatkan pertukaran kawasan di sepanjang garisan yang memisahkan Arab-Israel yang wujud sebelum perang 1967.  “Akan tetapi,” tegas beliau, “itu menjadi berbeza apabila Presiden Amerika Syarikat mengatakannya, terutamanya ucapan yang diadakan secara berhati-hati di Jabatan Negara.  Lagipun, ini bukannya kenyataan dibuat secara spontan, tetapi kenyataan yang dianggap berhati-hati tentang dasar Amerika Syarikat.”  Dalam konteks sejarah ini, tegas Kessler lagi, “kenyataan Obama pada hari Khamis mewakili anjakan besar.  Beliau tidak menyatakan dengan jelas sempadan 1967 sebagai ‘matlamat Palestin,’ tetapi sebagai dasar Amerika Syarikat.  Beliau juga menggugurkan mana-mana rujukan ‘realiti di bumi’ – kod untuk penempaan Israel yang George W. Bush dan Hillary Rodham Clinton gunakan.  Beliau seterusnya mencadangkan bahawa tentera Israel perlu bersetuju meninggalkan Tebing Barat.”
Sama ada pendirian Obama tentang Timur Tengah berbaur antara retorik dengan realiti seperti yang didakwa oleh David Bromwich,  yang jelas Obama terus menyatakan pendiriannya tentang sempadan pra-1967 ketika beliau berucap sempena persidangan American Israel Public Affairs Committee pada hari Ahad yang lalu.  Dalam menyerang balas terhadap Perdana Menteri Benjamin Netanyahu, beliau menggesa Israel membuat “pilihan yang sukar” dalam mempertahankan pendiriannya tentang negara Palestin sepatutnya ditumpukan pada sempadan pra-1967 bersama-sama rundingan pertukaran kawasan. “Kita tidak boleh menunggu satu lagi dekad atau dua dekad lagi, atau tiga dekad lagi, untuk mencapai perdamaian,” kata Obama, “dunia bergerak terlalu pantas.”
Keputusan Presiden Obama untuk mempertahankan pendiriannya, meskipun dengan kata-kata yang menenangkan yang kuat tentang ikatan yang kekal Amerika dengan Israel, menurut pemerhatian Helene Cooper, terlalu berisiko dari segi politik.  “Obama baru sahaja memulakan kempen pilihan raya semula, dan Republikan akan melakukan apa yang mereka tunjukkan diri mereka kepada pengundi Yahudi sebagai pelindung Israel yang lebih boleh dipercayai berbanding dengan Demokrat.”
Meskipun ucapan Presiden Obama itu dianggap sebagai anjakan dasar Amerika Syarikat berhubung dengan proses damai, namun dijangkakan tidak ada apa-apa yang berubah.  Segala-galanya bergantung pada Israel dan Palestin, sama ada mereka mahukan keamanan atau tidak.  Dan, meskipun beliau meletakkan harapan yang cukup tinggi dan dilaporkan memohon sokongan Perdana Menteri Britain David Cameron, namun seperti yang berlaku sebelum ini, proses damai ini dijangkakan menempuh jalan buntu.














Sunday, May 22, 2011

Subsidi: Candu, Politik Populis, dan Muflis

AHAD,  22  Mei 2011
OLEH:   ZULKIFLI  SALLEH

Anita Gabriel dalam “Removing Subsidies is No Easy Fix” agak memeranjatkan memulakan tulisannya dengan memetik Karl Marx, “religion is the opiate of the masses.”  Sebenarnya, inilah kelebihan  Marx, iaitu  sering dipetik oleh sesiapa sahaja, tidak kira  sama ada  orang itu  meminatinya ataupun sebaliknya.  Pemikirannya sering dibahaskan hingga kini dan tidak sukar untuk menatapi perbahasan tersebut.     Sejak April lalu,  guardian.co.uk menerbitkan tujuh bahagian artikel Peter Thompson tentang Karl Marx, bermula dengan “Part 1: Religion, the Wrong Answer to the Right Question.”  Sebagaimana Anita,  Thompson memulakan tulisannya dengan memetik Marx yang mengkritik  agama yang berkesudahan dengan slogan  "religion is the opium of the people".  Walau bagaimanapun, Anita Gabriel memetik Marx sekadar untuk membandingkan ketagihan rakyat terhadap subsidi yang beliau petik  kata-kata Perdana Menteri  Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak:   “Subsidies as a whole are like opium (to the masses).” Dalam bahasa Melayu, Najib dilaporkan berkata: “Subsidi, pada keseluruhannya, seperti candu. Sekali anda ambil candu sukar untuk mengikis tabiat buruk, sekali anda memberi subsidi, sukar untuk diambilnya tanpa beberapa kos politik.”
Subsidi menghantui semula.  Buletin Utama TV3 malam tadi, muncul dengan “Dimanjakan Subsidi Sampai Bila?”  yang membawa mesej yang jelas: penghapusan subsidi.  Sementara Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr. Awang Adek Hussin meminta rakyat menyokong kerajaan dalam usahanya untuk mengurangkan perbelanjaan subsidi yang begitu besar yang meningkat daripada RM10.3 bilion tahun lalu kepada RM20.58 bilion tahun ini.

Pada pertengahan tahun lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala, mencetuskan kontroversi apabila dalam ucapannya beliau memberikan amaran bahawa Malaysia  boleh jatuh muflis seperti Greece jika subsidi tahunan yang bernilai RM74 bilion tidak dipotong.  Membandingkan subsidi di Malaysia dengan kemuflisan Greece, sesungguhnya bukan sahaja tidak tepat, bahkan juga tidak bijak.  Greece seperti yang diketahui umum bergelut dengan hutang awam yang tinggi, yang saya bincangkan beberapa kali dalam blog ini, dan bukannya kerana perbelanjaan subsidi yang tinggi. 

Dr. Noor Azlan Ghazali yang menulis dalam Utusan Malaysia pada 9 Jun 2010, “Subsidi:  Asas Analisis Sempit,” bukan sahaja membincangkan dan mengupas pandangan sempit Idris Jala dan Pemandu, bahkan juga mengkritik gambaran yang diberikan yang beliau anggap tidak tepat. Pemandu menganggar jumlah subsidi pada 2009 mencecah RM74 bilion dan RM42.4 bilion (56 peratus) daripada jumlah itu adalah daripada  sektor sosial yang berkemungkinan besar meliputi sektor pendidikan dan kesihatan. Selebihnya ialah bahan api dan tenaga (RM23.5 bilion: 32 peratus), infrastruktur (RM4.8 bilion: tujuh  peratus) dan hanya RM3.4 bilion (lima peratus) untuk subsidi makanan.

 Adakah anggaran di atas tepat dan wajar? Tanya Noor Azlan. Adakah  mencerminkan isu sebenar yang dihadapi negara dalam konteks pemberian subsidi? Bukan semua subsidi beban kepada kerajaan. Ada kalanya kerajaan sememangnya penanggung kos terbaik dan paling sesuai khususnya bagi memastikan pembangunan sosial. Dalam konteks ini adalah tidak wajar dikategorikan perbelanjaan yang berkenaan sebagai “subsidi” secara mutlak kerana  sememangnya kos bagi sebuah kerajaan yang bertanggungjawab membangunkan negara.Pemandu agak keliru di sini, tegas Noor Azlan.  Sebagai contoh, bandingkan dua kategori penggunaan yang melibatkan "subsidi"  gula dan program pengajian ijazah di IPTA. Siapa yang mendapat manfaat? Gula memanfaatkan (dan juga memudaratkan sekiranya berlebihan). Seorang yang berpendidikan bukan sahaja memanfaatkan dirinya, malah ahli keluarga, masyarakat dan negara. 

Sesat di hujung jalan balik ke pangkal jalan!  Dalam Belanjawan 2011 yang bernilai RM211,987 juta, daripada jumlah  tersebut, 11.2 peratus atau kira-kira RM23.74  bilion diperuntukkan kepada subsidi.  Inilah janji  Kerajaan Persekutuan untuk rakyat Malaysia yang dibentangkan dan diluluskan di Parlimen.   Sedangkan jika dirujuk perbelanjaan untuk subsidi pada tahun ini,  seperti yang dimaklumkan oleh Dr. Awang Adek yang dipetik di atas, jumlahnya ialah RM20.58 bilion. Justeru, mengapa perlu riuh-rendah seakan-akan dunia akan berakhir. Kerajaan Persekutuan mempunyai tangggungjawab moral dan politik untuk  memenuhi  segala janji mereka untuk memberikan subsidi pada rakyat pada sejumlah: tunaikan janji yang tersurat.  Juga tidak perlulah diungkitkan rakyat ketagih subsidi seperti ketagih candu.  Sebenarnya,  kerajaan yang berjanji memberikan “candu”  kepada rakyat dalam Belanjawan 2011:  “Cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar.”  Nanti, rakyat  persenda bahawa  “kerajaan cakap tidak serupa bikin,” sukar pula hendak dijelaskan.   


“Subsidi ini,” tulis Anita perlu dipotong untuk mengatasi defisit fiskal.    Biasanya, penterjemahan daripada idea kepada tindakan bukannya jalan yang mudah.”  Seperti yang diketahui, defisit berlaku sejak tahun 1998 ketika negara mengalami krisis kewangan.  Pada tahun 2008, defisit ialah 4.8 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), meningkat kepada tujuh peratus pada tahun 2009,  5.6 peratus 2010,  dan   5.4 peratus pada tahun ini.

Namun, untuk menyalahkan subsidi kerana berlakunya defisit, sememangnya tidak tepat sama sekali. Jika diperhatikan Belanjawan 2011 yang bernilai RM211,987 juta, perbelanjaan mengurus untuk emolumen ialah 21.8 peratus atau kira-kira RM46,213 juta yang hampir menyamai perbelanjaan pembangunan yang terdiri perkhidmatan ekonomi 13.4 peratus, perkhidmatan sosial 7.3 peratus, Keselamatan 7.3 peratus, dan pentadbiran awam 0.5 peratus yang kesemuanya menjadi 23.3 peratus atau kira-kira RM49,393 juta. 

Malangnya, perbelanjaan emolumen yang begitu besar, dan tentunya saiznya besar, iaitu melibatkan 1.2 juta orang penjawat awam, tidak diberikan perhatian oleh ahli politik, baik di sebelah kerajaan mahupun pembangkang. Hal ini demikian, kedua-dua pihak terpaksa menjaga kepentingan politik, iaitu meraih sokongan penjawat awam. Bahkan, kedua-dua pihak berlumba-lumba menabur “gula-gula” untuk penjawat awam: Barisan Nasional memberikan kenaikan pangkat dan gaji untuk guru, manakala Pakatan Rakyat berjanji kalau menguasai Putrajaya, memberikan kenaikan gaji RM500 sebulan untuk guru.  Ini tidak termasuk tindakan kerajaan negeri yang dikuasai oleh Pakatan Rakyat yang “sama-sama galak” atau sama-sama bersaing  dengan Kerajaan Persekutuan untuk mengambil hati penjawat awam.
 
Sesungguhnya, bukannya subsidi yang memungkinkan negara muflis, tetapi sebaliknya politik populis yang diamalkan dengan penuh taksub oleh kedua-dua belah pihak.  Memang pihak pembangkang  begitu lantang menggasak Kerajaan Persekutuan kerana bertindak mengurangkan subsidi, seperti kenaikan harga minyak.   Sekali-sekala mereka membangkitkan defisit,  sekadar “melepaskan batuk di tangga,”  tetapi  tidak berani mengorek lebih dalam akar umbi  defisit itu.   Mengorek lebih dalam bermakna mengorek lubang yang akan menimbuskan mereka.

Pembangkang memang tidak sehaluan dengan Kerajaan Persekutuan berhubung dengan pengurangan subsidi yang bagi mereka bersifat dwistandard.  Namun, mereka sehaluan dalam membiarkan perkhidmatan awam yang cukup besar dan terus membesar, seperti yang dapat dilihat dari segi peruntukan emolumen setiap tahun.  Ini kerana di sini ada “lubuk emas,” dan sebagaimana Barisan Nasional, pembangkang juga tidak sanggup kehilangan sesuatu yang amat bernilai, meskipun negara menjadi pertaruhannya.




Friday, May 20, 2011

Pertumbuhan dan Melampauinya

SABTU,  21  Mei 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada  suku  pertama 2011, seperti yang diumumkan oleh Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Dr.  Zeti Akhtar Aziz, berkembang pada kadar 4.6 peratus.  Dengan kadar ini, sekali gus membangkitkan persoalan dan keraguan apakah negara mampu mencapai sasaran pertumbuhan sekurang-kurangnya enam peratus bukan sahaja untuk tahun ini, bahkan untuk tahun-tahun seterusnya hingga 2020.  Pada  tahun lalu, Malaysia mencapai pertumbuhan, iaitu 7.2 peratus, tetapi pencapaian yang memberangsangkan selepas negara terjebak dalam kemelesetan pada tahun 2009, mungkin hanyalah keriangan sementara.

Seperti biasa, kerana sarat dengan psikologi penafian, orang ramai diberitahu bahawa negara masih mampu mencapai sasaran pertumbuhan ekonomi antara 5.5 hingga enam peratus tahun ini.  Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah dipetik sebagai berkata, pertumbuhan ekonomi agak perlahan kerana banyak projek kerajaan baru bermula dan masih belum menampakkan hasilnya lagi. Beliau juga memberitahu bahawa “saya menjangkakan keadaan yang lebih baik pada suku kedua dan seterusnya ditambah dengan projek-projek swasta dengan nilai yang lebih besar, bagaimanapun, semua ini memerlukan masa.”

Jika diteliti alasan yang dikemukakan oleh Menteri Kewangan Kedua itu, seseorang dapat mengesani hubungan sebab-musabab yang longgar, iaitu kebanyakan projek kerajaan dan swasta belum dilaksanakan dengan sepenuhnya.  Sedangkan, tatkala ekonomi global masih lemah, meletakkan sasaran pertumbuhan ekonomi negara kira-kira enam peratus, sesungguhnya suatu impian yang terlalu tinggi.  Hakikatnya,  sebagai sebuah ekonomi terbuka, turun naik ekonomi dunia banyak mempengaruhi ekonomi Malaysia.  Apabila dunia terjebak dalam kemelesetan, Malaysia turut mengalaminya pada tahun 2009.  Malangnya, sesetengah orang mempunyai  memori yang pendek. 

Meskipun pertumbuhan berlaku semula sejak kemelesetan global, tetapi rentak atau temponya agak lemah, seperti yang dapat diperhatikan pada suku  pertama 2011.  Misalnya, Amerika Syarikat sekadar tumbuh 1.8 peratus kerana harga makanan dan petrol yang tinggi.  Inflasi meningkat kepada 3.8 peratus, yang tertinggi sejak suku tahun  2008, selepas meningkat hanya 1.7 peratus pada suku  keempat.  Ahli  ekonomi dikatakan berbelah bahagi tentang laluan ekonomi sepanjang enam bulan akan datang dengan sesetengahnya menegaskan angka yang suram itu mengesahkan keadaan yang lembap secara umum dalam pertumbuhan di seluruh dunia maju  kerana kesan dasar rangsangan fiskal semakin lemah dan langkah jimat cermat menggantikan dasar itu. 

Sementara itu, di Eropah, beberapa buah negara dalam zon euro  bergelut dengan krisis hutang, iaitu PIIGS: Portugal, Ireland, Italy, Greece, dan Sepanyol.  Greece yang hutang awam akan meningkat kepada 160 peratus KDNK jelas mungkir, dan dijangkakan negara itu menjadi Lehman Brothers yang muflis pada September 2008.  Negara Mediterranean itu bertungkus-lumus untuk melaksanakan pembaharuan yang diipersetujui di bawah pelan penyelamat  Kesatuan Eropah dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) yang bernilai 110 bilion euro, membangkitkan kebimbangan Athens tidak mampu membayar balik hutang, yang kini berjumlah kira-kira 340 bilion euro. “Pasaran menyimpulkan dengan betul bahawa mana-mana negara,” tegas Jeremy Warner, “dengan hutang setinggi 150 peratus KDNK  terlalu mustahil untuk membayar balik hutang.  Pasaran, oleh itu, menjadi berkesan ditutup untuk Greece, Ireland, dan Portugal.

Pertumbuhan kebanyakan negara Eropah untuk suku pertama  tahun ini boleh dikatakan masih lembap, kecuali Jerman mencatatkan 5.2 peratus.  Sementara Portugal terjebak semula dalam kemelesetan, dengan 0.7 peratus kemerosotan dalam KDNK, manakala Perancis mencatatkan pertumbuhan satu peratus, Sepanyol  0.3 peratus,  Italy 0.1 peratus, dan Greece 0.8 peratus.  Suruhanjaya Eropah menyemak semula dengan menurunkan ramalan pertumbuhan tahun 2011 untuk negara yang terpaksa diselamatkan, iaitu Greece, Ireland, dan Portugal.  Secara keseluruhan, ekonomi zon euro berkembang 0.8 peratus pada suku tahun pertama 2011, berbanding dengan tahun lalu, KDNK zon euro meningkat 2.5 peratus.

United Kingdom yang terkebelakang jika dibandingkan dengan dua ekonomi besar Eropah, iaitu Jerman dan Perancis, hanya mencatatkan pertumbuhan 0.5 peratus untuk suku pertama 2011, berikutan kejatuhan 0.5 peratus pada suku tahun keempat 2010.

Jangan lupa, data terbaharu, Jepun secara rasmi memasuki kemelesetan baru selepas KDNK suku tahun pertama 2011 mencatatkan kadar -3.7 peratus.  Bukan hanya angka KDNK tersasar jauh daripada jangkaan, iaitu -2.0 peratus yang dijangkakan oleh ahli ekonomi, tetapi juga angka itu menyusuli 3.0 peratus KDNK pada suku keempat 2010.  Dengan kadar negatif terbaharu itu menandakan kemerosotan terbesar sejak mencatatkan penguncupan tertinggi, iaitu 18.3 peratus pada suku pertama 2009.

Melihat data pertumbuhan yang suram suku pertama tahun ini, eloklah para pemimpin dan penggubal dasar di negara ini berpijak di dunia nyata.  Jangan asyik leka bermain dengan angka kerana orang yang hidup dengan angka, mati pun dengan angka. Jauh sekali untuk mereka-reka hubungan sebab-musabab seperti alasan yang dikemukakan oleh Menteri Kewangan Kedua.

Selain itu, kita tidak sepatutnya membataskan tumpuan pada angka semata-mata kerana setinggi mana pertumbuhan akan  hanya memberi makna sekiranya disusuli oleh agihan pendapatan yang lebih adil.  Dalam kata lain, pertumbuhan merapatkan   lagi jurang ketidaksamaan dan bukannya melebarkannya lagi.  Pertumbuhan sepatutnya dinikmati oleh setiap lapisan masyarakat, sama ada di kota ataupun di desa, baik  di Semenanjung mahupun Sabah dan Sarawak.

Pertumbuhan juga sepatutnya meningkatkan kualiti hidup  rakyat  Malaysia. Dalam membandingkan aspek berkenaan antara India dengan China,  Amartya Sen, Penerima Hadiah Nobel Ekonomi yang menulis dalam The New York Review of Books, mengingatkan bahawa pertumbuhan ekonomi, pastinya dapat membantu secara sangat besar dalam memajukan taraf hidup dan menentang kemiskinan.  Meskipun pertumbuhan ekonomi adalah penting untuk mempertingkat keadaan hidup, tetapi kesampaian dan impaknya terlalu bergantung pada apa yang kita lakukan dengan pendapatan yang meningkat.  Hubungan antara pertumbuhan ekonomi dengan kemajuan taraf hidup bergantung pada banyak faktor, termasuk ketidaksamaan ekonomi dan sosial, dan tidak kurang pentingnya, bergantung pada apakah yang kerajaan lakukan hasil awam yang dijanakan oleh pertumbuhan ekonomi.

Aspek yang Amartya  Sen ambil kira dalam membandingkan antara  dua negara yang menghasilkan pertumbuhan yang pesat itu (India kira-kira sembilan peratus, manakala China lebih 10 peratus), ialah jangkaan hayat, kadar kematian bayi, kadar kematian kanak-kanak yang berusia di bawah lima tahun, kadar kematian ibu semasa bersalin,  tempoh persekolahan, dan kadar kenal huruf orang dewasa:  China mendahului India.

“Satu perkara positif tentang pertumbuhan ekonomi,” jelas Amartya Sen lagi, “adalah bahawa pertumbuhan menjanakan sumber awam yang kerajaan boleh belanjakan untuk keutamannya.  Bahkan, sumber awam terlalu kerap berkembang dengan pesat jika dibandingkan dengan Keluaran Negara Kasar (KNK).”

Dalam konteks Malaysia, dengan memetik saranan Amartya Sen itu,  sesungguhnya tidak memadai sekadar memberikan perhatian pertumbuhan ekonomi semata-mata.  Pertumbuhan sepatutnya mampu meningkatkan kualiti hidup atau taraf hidup rakyat.  Jangan terlalu asyik bermain dengan angka yang kelihatan hebat, tetapi mengabaikan kebajikan dan kesejahteraa rakyat.  Lebih membimbangkan jika pertumbuhan  ekonomi itu menjurus kepada “pengumpulan dan perampasan.”

Thursday, May 19, 2011

Kemelesetan: Berapa Dalam, Berapa Lama?

JUMAAT,  20 Mei  2011
Oleh:   ZULKIFLI  SALLEH

Kasino di Macau dibanjiri oleh kaki judi, kebanyakan dari Tanah Besar China, lelaki dan wanita, remaja dan dewasa.  Tidak cukup wang tunai di tangan, di ATM dikeluarkan wang atau kad kredit digunakan untuk pertaruhan minimum HK$200 atau HK$300 satu pusingan.  Di Kowloon, pada waktu malam, manusia berasak-asak  dan sesetengahnya dengan telefon bimbit di tangan, berbaris panjang untuk  menaiki bas dan untuk membeli makanan di restoran sushi dan   di Ireland’s Potato.   Di Hong Kong, jalan raya sesak dengan kenderaan dan orang ramai berpusu-pusu  di   Sogo   yang mengadakan jualan murah.  Di Starbucks, para pelanggan menikmati hidangan sambil membaca majalah dan membuka notebook.  Sebagaimana di Kowloon, di Hong Kong juga orang ramai berbaris panjang untuk menaiki bas.  Mass Transit Railway (MTR) yang berulang-alik di antara Kowloon dengan Hong Kong dan penerbangan AirAsia dari Kuala Lumpur ke Macau dan Hong Kong ke Kuala Lumpur sarat dengan penumpang.

Gambaran kehidupan awam pada awal Disember ini seolah-olahnya tidak mengenali apa erti kemelesetan  atau  belum menerima tempias kemelesetan yang merebak ke seluruh dunia, sedangkan gambaran ekonomi sebenar  kian suram dan muram.   Setiap kali pasaran saham global merudum dan harga minyak dunia jatuh, alasannya  kebimbangan terhadap kemelesetan.  Presiden Amerika, George W. Bush  memaklumkan  bahawa beliau setuju dengan pelan penyelamat bernilai AS$700 bilion untuk institusi kewangan Amerika Syarikat hanya selepas diberitahu bahawa negara itu menghadapi risiko terbenam ke dalam kemelesetan yang lebih teruk daripada Kemelesetan Besar. 


Krisis di Wall Street merebak ke Main Street  apabila jualan runcit  di Amerika Syarikat jatuh  dengan ketara, menghantar gelombang kejutan ke seluruh rangkaian bekalan.  Pada bulan Oktober, inventori dikurangkan sebanyak 1.1 peratus, kejatuhan terbesar sejak November 2001, manakala jualan borong merosot sebanyak 4.1 peratus, menandakan bahawa ekonomi semakin menjunam ke dalam kemelesetan.   Dan apabila kemelesetan semasa semakin dalam, maka dijangkakan banyak lagi berita suram dan muram dalam beberapa bulan akan datang.  Kekayaan isi rumah yang merosot dengan ketara akibat kejatuhan harga saham dan rumah.  Pengguna dan perniagaan mengurangkan perbelanjaan mereka secara mendadak.

Apabila paun sterling jatuh pada paras rendah pada 12 Disember lalu berbanding dengan dolar euro dalam tempoh lima hari berturut-turut, maka ini  dikaitkan dengan ketakutan bahawa ekonomi British adalah antara yang paling teruk dilanda kemelesetan.  Perdana Menteri British, Gordon Brown dan Govenor Bank of England, Mervyn King,  akur bahawa kemelesetan tidak dapat dielakkan akibat daripada krisis kredit global dan keruntuhan harga rumah.  “Rentetan peristiwa yang luar biasa, hampir tidak dapat dibayangkan,” kata Mervyn King.    

Di tengah-tengah kerancakan kempen Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat, majalah Newsweek keluaran 22 Oktober menemu bual tujuh orang Penerima Hadiah Nobel Ekonomi, sebagai nasihat kepada bakal Presiden.  Antaranya, Paul Krugman yang mengingatkan bahawa ekonomi negara itu terjerumus dalam kemelesetan yang teruk pada bulan Januari 2009.  Seberapa cepat yang boleh, pentadbiran dan Kongres sepatutnya melawan kemelesetan ini dengan melaksanakan pelan rangsangan fiskal yang besar yang memberikan tumpuan terhadap perbelanjaan dan bukannya pemotongan cukai.  

Merentas benua, jatuh bebas merebak daripada pasaran saham kepada   pekerjaan.  Di Amerika Syarikat, pada bulan November,   kehilangan pekerjaan berjumlah 533,000 orang dan pengangguran mencecah 6.7 peratus, tertinggi dalam tempoh 15 tahun.  Jika dicampur dengan jumlah kehilangan pekerjaan bulan September dan Oktober, jumlahnya ialah 1.256 juta orang, tertinggi dalam tempoh tiga bulan sejak Februari 1975.  Goldman Sachs meramalkan bahawa kadar pengangguran sekarang akan mencecah 8.5 peratus pada akhir tahun 2009.   Seandainya tiga pengeluar kereta, iaitu General Motors Corp., Chrysler LLC, dan Ford Motors Co. yang di ambang muflis gagal memperoleh pinjaman kecemasan  bernilai AS$14 bilion,  nescaya industri automotif runtuh dan berjuta-juta orang di Amerika  kehilangan pekerjaan. 

“Depression Economics Returns,” makalah   Paul Krugman dalam The New York Times pada 14 November lalu,  seperti  mengisytiharkan kemelesetan di Amerika Syarikat.  Berita ekonomi semakin teruk.  Buruk seadanya, tetapi  beliau tidak menjangkakan satu lagi Kemelesetan Besar. Malah, tulis Krugman, kita mungkin tidak melihat kadar pengangguran yang sepadan dengan yang tertinggi selepas Kemelesetan Besar, iaitu 10.7 peratus pada tahun 1982,
Pada awal Disember lalu, National Bureau of Economic Research  mengakui  bahawa ekonomi Amerika Syarikat terbenam dalam kemelesetan pada bulan Disember 2007.  Namun,  seperti yang dinyatakan oleh Peter S. Goodman dalam The New York Times 22 Julai, banyak ahli ekonomi percaya bahawa kemelesetan bermula enam atau tujuh bulan lalu.  Tambah Goodman, “jika ramai orang kehilangan pekerjaan, kilang menghentikan pengeluaran, kedai berhenti menjual barang, dan kurang wang dalam saku, ini kemungkinannya kemelesetan.”

Kemelesetan  menjelajah dunia mencari mangsanya, dan muncul ketakutan global terhadap kemelesetan.  Amerika Syarikat dan Jepun, dua ekonomi terbesar di dunia adalah perlahan.  Keadaan yang sama dialami oleh Perancis dan Jerman, kuasa ekonomi dominan dalam zon euro (euro-zone).  Australia, Hong Kong, dan Singapura juga terjebak dalam kemelesetan.   
 Pada 8 Oktober 2008, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) memberikan amaran dalam  Global Financial Stability Report terkini, yang diterbitkan sebagai persediaan mesyuarat tahunannya di Washington.  IMF mengingatkan bahawa krisis kewangan sekarang yang terus menyekat pasaran wang dunia semakin jelas menjerumuskan kegawatan ekonomi yang teruk dan berlarutan di seluruh dunia.  

Pada akhir November, Organisasi Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) pula mengumumkan  bahawa sejak awal tahun 1980, kini negara maju berhadapan dengan kemelesetan yang paling teruk.  OECD menekankan bahawa beberapa negara, termasuk Britain, Hungary, Iceland, Ireland, Luxembourg, Sepanyol, dan Turki yang kemerosotan akan teruk, sebahagiannya adalah kerana kejatuhan harga rumah, di samping terdedah secara paling langsung dengan krisis kewangan.

Dalam  tinjauan  ekonomi (economic outlook) setengah tahun 2008 organisasi yang beribu pejabat di Paris itu, ekonomi kemungkinannya menguncup sebanyak 0.4 peratus pada tahun 2009 bagi 30 buah negara anggotanya berbanding dengan jangkaan pertumbuhan 1.4 peratus.  OECD memaklumkan bahawa  pengangguran dalam kalangan negara anggotanya boleh meningkat sebanyak  lapan juta orang antara tahun 2009 – 2010.  Kadar pengangguran purata dalam kawasan OECD dijangkakan sebanyak 5.9 peratus pada tahun 2008,   meningkat kepada 6.9 peratus tahun 2009, dan mencecah 7.2 peratus pada tahun  2010.

Amerika Syarikat kemungkinannya mengalami penguncupan sebanyak  0.9 peratus pada tahun 2009 menyusuli pengembangan 1.4 peratus pada tahun 2008, manakala   zon euro kemungkinannya menguncup sebanyak 0.6 peratus pada tahun 2009 selepas mengalami pertumbuhan 1.0 peratus pada tahun 2008.  Menurut OECD lagi,  ekonomi Amerika akan menguncup sebanyak kadar disukutahunan 0.3 peratus pada suku tahun ketiga 2008, dan disusuli dengan kemerosotan yang besar, iaitu 2.8 peratus pada suku tahun keempat.  Pemulihan hanya dijangkakan pada suku tahun ketiga 2009 apabila output mula meningkat 0.6 peratus.

Dalam zon euro, outuput jatuh sebanyak 0.9 peratus pada suku tahun ketiga 2008, disusuli dengan kemerosotan 1.0 peratus pada suku tahun keempat 2008.  Sebagaimana Amerika Syarikat, output zon euro tidak dijangkakan melonjak semula hingga suku tahun ketiga 2009, dan lonjakan itu hanya pada kadar yang sederhana, iaitu 0.1 peratus. Angka Kesatuan Eropah rasmi awal November 2008 mengesahkan bahawa zon euro secara keseluruhannya dalam kemelesetan pada suku tahun ketiga,  kali pertama sejak penubuhannya.  Zon euro yang mengandungi 15 buah negara yang menggunakan dolar euro sebagai mata wang utama mereka, susut sebanyak 0.2 titik peratusan antara Julai hingga akhir September, iaitu menguncup pada margin yang sama dalam tiga bulan sebelumnya.  Pertumbuhan negatif dalam dua suku tahun berturut-turut menandakan ekonomi secara rasmi memasuki kemelesetan.

Menurut  agensi statistik Kesatuan Eropah, Eurostat, pada akhir November, pengangguran dalam zon euro meningkat kepada 7.7 peratus pada bulan Oktober, tertinggi dalam masa dua tahun apabila pertumbuhan merosot dengan ketara.  Eurostat memaklumkan bahawa kira-kira 225,000 lebih orang mencari pekerjaan pada bulan Oktober  berbanding  bulan sebelumnya.  Ini bermakna kira-kira 12 juta orang di zon euro kehilangan pekerjaan bulan lalu.  Di 27 buah negara Kesatuan Eropah pula, kira-kira 17 juta orang mencari pekerjaan pada bulan Oktober, 290,000 lebih daripada bulan sebelumnya.  Suruhanjaya eksekutif Kesatuan Eropah meramalkan bahawa pasaran buruh akan menjadi semakin buruk pada tahun 2009, dengan zon euro meningkat kepada 8.4 peratus pada tahun 2009 daripada yang terendah selama satu dekad, iaitu 7 peratus pada akhir tahun 2007.  Ini akan menyaksikan tambahan dua juta orang yang kehilangan pekerjaan. 

Jerman dan Italy, ekonomi terbesar keempat di benua Eropah mengalami kemelesetan ketika suku tahun ketiga 2008. Sebaik-baik sahaja OECD mengeluarkan kenyataannya Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Jerman jatuh sebanyak 0.5 peratus dalam suku tahun ketiga tahun ini, menyebabkan ekonomi terbesar dalam Kesatuan Eropah mengalami kemelesetan kali pertama dalam tempoh lima tahun. Sepanyol juga mengalami suku tahun pertama pertumbuhan negatif dalam tempoh 15  tahun, tetapi agak memeranjatkan apabila OECD memaklumkan bahawa Perancis  mengekalkan kadar pertumbuhan positif.


Pada akhir Oktober, diakui secara rasmi bahawa  nilai saham terpadam sebanyak 90 bilion paun sterling,  nilai paun sterling jatuh  teruk, dan British mengalami  kejatuhan paling banyak dalam KDNK.  Setelah angka baru menunjukkan bahawa ekonomi negara itu menguncup  sebanyak 0.5 peratus sejak Julai – September, kali pertama sejak 16 tahun lalu, Bank of England terpaksa memotong kadar faedah.  Kemerosotan KDNK itu menimbulkan kejutan besar;  keadaan ini dijangkakan  terus berlaku  satu tahun atau lebih, dan kemelesetan ini seteruk yang berlaku pada awal 1990-an atau awal  1980-an.  National Institute for Economic and Social Research, menjangkakan kemesorotan mencecah 0.9 peratus pada tahun 2009.  Pengangguran mencecah dua juta orang pada akhir tahun 2008, dan tiga juta orang pada akhir tahun 2010.

Britain, seperti yang dinyatakan oleh OECD akan mengalami penguncupan output sebanyak 1.1 peratus pada tahun 2009 selepas tumbuh sebanyak hanya 0.8 peratus pada tahun 2008.  Unjuran ini sama dengan unjuran oleh kerajaan British berikutan dengan pelaksanaan pakej rangsangan bernilai AS$30 bilion. Pada tahun 2009, Confederation of British Industry (CBI) menjangkakan  ekonomi  British   adalah paling teruk dalam tempoh tiga dekad,  menguncup sebanyak 1.7 peratus, sedangkan sebelum ini ekonomi negara ini dijangkakan mengalami pertumbuhan positif sebanyak 0.3 peratus.  Britain juga dipercayai akan mengalami kadar pengangguran yang  paling tinggi untuk tempoh 15 tahun pada awal tahun 2010, iaitu 2.9 juta orang atau 9 peratus tenaga kerja dijangka kehilangan pekerjaan.  Namun, jika pengangguran mencecah paras tertinggi, iaitu 9 peratus, kadar ini lebih rendah daripada kemelesetan sebelum ini, iaitu 10.9 peratus awal tahun 1990-an dan lebih 12 peratus pada awal 1980-an.  Pengangguran pada tahun 2008 sebanyak 5.8 peratus ketika suku tahun ketiga adalah tinggi dalam tempoh 11 tahun.

“Apa yang jelas,” kata John Cridland, Timbalan Ketua Pengarah CBI, “kemelesetan yang pendek dan tidak dalam, seperti yang kita harapkan beberapa bulan lalu, kini kemungkinannya lebih dalam dan lebih lama.”

Di Jepun, kemelesetan bermula suku tahun kedua 2008, dan hanya dijangka berakhir sepanjang suku tahun pertama 2009, apabila output dijangkakan melonjak semula pada kadar tahunan 0.8 peratus. Selain Britain, Jepun juga mengalami kemelesetan yang dalam.  Angka rasmi yang dikeluarkan pada awal Disember menunjukkan bahawa ekonomi negara itu  menguncup sebanyak 1.8 peratus dalam suku tahun ketiga 2008 pada asas disukutahunan, berbanding dengan anggaran 0.4 peratus sebelum ini.  Sebaliknya, pertumbuhan ekonomi di China kekal di bawah kadar angka berganda, walaupun pada akhir tahun 2008,   eksportnya  merosot. Pada tahun 2009, OECD mengunjurkan pertumbuhan China adalah sederhana, pada 8.0 peratus.


“Sekarang, kemelesetan  telah disahkan, perbahasan akan tertumpu kepada tempoh dan keterukannya,” kata  Martin Van Vliet, daripada ING Financial Markets, seperti yang dilaporkan dalam The Independent.  “Dari segi sejarah, kemelesetan yang didahului oleh episod tekanan kewangan yang berkait dengan perbankan mempunyai kecenderungan untuk lebih dalam dan lebih lama.  Akibatnya, kemungkinan krisis kredit semasa yang menyebabkan kemerosotan lebih teruk daripada yang berlaku pada tahun 2001/2002 selepas krisis dotcom.” 

Ketua Pegawai Eksekutif Merrill Lynch & Co., John Thain, seperti yang dilaporkan oleh Reuters pada 11 November,   tidak menjangkakan bahawa ekonomi global pulih dengan segera daripada krisis kredit  dan persekitarannya hampir menyamai persekitaran tahun 1929 yang mencetuskan Kemelesetan Besar. Bercakap dalam Persidangan Perkhidmatan Kewangan, Thain berkata, “kita sedang menghadapi persekitaran ekonomi yang sangat sukar.  Ekonomi Amerika menguncup terlalu pantas, mewujudkan ketidakpastian untuk beberapa suku tahun akan datang.”


Namun, pada masa yang sama, masih ada harapan bahawa dasar agresif yang diambil setakat ini, dan nampaknya rangsangan dasar seterusnya yang tidak dapat dielakkan akan membantu ke arah pemulihan secara beransur-ansur dalam separuh kedua tahun 2009.  Apabila berhadapan dengan kemerosotan ekonomi yang dalam,  rangsangan dasar fiskal memainkan peranan penting.  Hingga kini, banyak negara,  melaksanakan pakej rangsangan ekonomi,  pemotongan kadar faedah, dan pemotongan cukai. Yang terbaru, persidangan kemuncak Kesatuan Eropah pada Disember lalu mengumumkan AS$267  bilion rangsangan  atau 1.5 peratus KDNK Kesatuan Eropah untuk melawan kemelesetan. Sebelum itu, pada awal Disember, selepas berakhirnya Dialog Ekonomi Strategik antara Amerika Syarikat dengan China, kedua-dua negara itu bersetuju menyediakan kredit bernilai AS$20 bilion (Amerika sebanyak AS$12 bilion, China sebanyak AS$8 bilion) untuk pengimport di negara membangun membeli barang keluaran kedua-dua negara itu bagi menyekat merebaknya jangkitan krisis  kewangan dan mengelakkan daripada kemelesetan global.

Paul Krugman dalam makalahnya mengingatkan bahawa apabila ekonomi yang meleset berlaku,  peraturan biasa dasar ekonomi tidak lagi boleh diterapkan:  kebaikan menjadi tabiat buruk, sikap berhati-hati ialah berisko dan sikap yang cermat ialah kebodohan.  Beliau juga mengingatkan peningkatan pengangguran akan menyebabkan pemotongan seterusnya dalam perbelanjaan pengguna.  Perbelanjaan pengguna yang lemah akan menyebabkan pengurangan dalam pelan pelaburan perniagaan.  Dan ekonomi yang menjadi lemah akan menyebabkan lebih banyak pemotongan pekerjaan, merangsangkan lagi kitaran penguncupan.
Pemulihan dalam kawasan OECD tidak mungkin berlaku sebelum separuh kedua tahun 2009 apabila Amerika mendahului jalan keluar daripada kemelesetan.  Oleh sebab jangkaan melantun semula dalam pertumbuhan berlaku pada separuh kedua tahun 2009, OECD mengunjurkan bahawa output ekonomi dalam kalangan negara anggotanya akan meningkat pada 2010 sebanyak  1.5 peratus.

Dengan unjuran bahawa ekonomi kebanyakan negara  mengalami pemulihan pada tahun 2010 dan unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia adalah pada kadar 3 peratus pada tahun 2009,  kemungkinan ekonomi negara ini terjebak dalam kemelesetan adalah tipis.  Lagipun,  Bank Pembangunan Asia (ADB) meramalkan negara Asia, kecuali Jepun mengalami pertumbuhan 5.8 peratus pada tahun 2009, walaupun  kadar pertumbuhan terendah sejak tahun 2001.
            
      (Nota:  Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Ekonomi  Februari 2009.)

  


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...