Artikel Popular

Thursday, May 9, 2013

Pilihan Raya Tahun 2012: Kadar Pengundi Kulit Hitam Keluar Mengundi Lebih Tinggi

KHAMIS, 9 Mei 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Golongan pengundi minoriti yang terdiri daripada Latino,  orang Asia, dan pastinya orang kulit hitam,  menyumbang kemenangan Presiden +Barack Obama dalam Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat tahun 2012.  Bahkan semasa kempen berlangsung, pencabar beliau, +Mitt Romney dijangkakan menerima jumlah yang sedikit, disebut sifar daripada kalangan pengundi kulit hitam.

Mencipta sejarah, seperti yang dilaporkan dalam +The Huffington Post, dan The Washington Post, kadar pengundi kulit hitam yang keluar mengundi lebih tinggi jika dibandingkan dengan pengundi kulit putih pada tahun lalu, melonjatkan kemenangan Barack Obama.  Meskipun jumlah penduduk meningkat, bilangan pengundi kulit putih merosot untuk kali pertama sejak tahun 1996.

Pengundi kulit hitam hanya kaum atau kumpulan etnik yang menunjukkan peningkatan jumlah yang keluar mengundi pada November lalu, yang paling ketara di bahagian Tengah Barat dan Selatan Amerika Syarikat.  

Secara keseluruhan, kira-kira 66.2 peratus pengundi kulit hitam yang layak keluar mengundi pada tahun 2012, meningkat daripada 64.7 peratus pada tahun 2008, berbanding dengan orang kulit putih bukan Hispanic, yang keluar mengundi 64.1 peratus, jatuh daripada 66.1 peratus empat sebelum ini.  Sementara Latino merosot sedikit, daripada 49.9 peratus pada tahun 2008 kepada 48 peratus, manakala orang Asia-Amerika, pada asasnya, tidak berubah, iaitu 47 peratus.




Wisel Penamat

KHAMIS, 9 Mei 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Tidak seperti dalam politik, dalam perlawanan bola sepak ada wisel penamat, seperti yang ditunjukkan dalam carta harian +The Economist  tentang pengumuman persaraan +Sir ALEX Fergusson, pengurus +Manchester United selama 27 tahun. 

Seperti yang ditunjukkan dalam carta harian itu, tatkala pasukan bola sepak terkenal  sering bertukar pengurus, Fergusson kekal dengan Manchester United untuk tempoh yang lama, dan mencipta kejayaan demi kejayaan.   


Tuesday, May 7, 2013

Perjalanan Masih Jauh

SELASA, 7 Mei 2013
Oleh:   ZULKIFLI  SALLEH


Gempa bumi yang menimpa Jepun pada 11 Mac lalu mengejutkan pasaran di seluruh dunia, harga minyak jatuh dan  pasaran saham, kecuali New York, terhuyung-hayang.  Anggaran awal kos  tragedi itu untuk syarikat insurans utama adalah antara AS$10 bilion hingga AS$15 bilion.  Sementara ahli ekonomi terkenal, Nouriel Roubini dilaporkan berkata, “pastinya, perkara terburuk yang boleh berlaku di Jepun pada masa yang teruk.”  Ekonomi Jepun yang menguncup  sebanyak 1.3 peratus dari Oktober hingga Disember 2010, dan  timbul kebimbangan tentang impak tragedi  yang mungkin wujud terhadap ekonomi global.  Juga dikhuatiri bahawa pemulihan ekonomi Jepun boleh terjejas dan dianggarkan negara itu akan kehilangan satu peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun ini kerana banyak kilang rosak. Jepun, negara yang paling banyak berhutang di dunia mungkin melancarkan perbelanjaan yang  besar untuk membaiki segala kerosakan akibat gempa bumi dan tsunami.
            Tatkala dunia masih bergelut untuk memantapkan pertumbuhan dan hantu kemelesetan masih mengganggu, bencana alam, seperti yang melanda Jepun, salah sebuah ekonomi terbesar di dunia, boleh menjejaskan rentak pemulihan.  Berita baik tentang ekonomi boleh bertukar menjadi sebaliknya, apatah lagi berita baik itu,  tidak sebaik yang dijangkakan.    
Seperti yang dibahaskan oleh Paul Krugman melalui kolumnya dalam The New York Times pada awal Mac lalu:  Berita ekonomi kelihatan baik sejak akhir-akhir ini.  Tuntutan baru untuk insurans pengangguran jatuh;  tinjauan perniagaan dan pengguna menunjukkan asas yang padu.  Kita masih hampir di bawah lubang yang dalam, tetapi sekurang-kurangnya kita memanjat.   Namun begitu, dalam  “How to Kill a Recovery” itu beliau mengingatkan pemulihan ekonomi masih di kejauhan, antaranya kerana gelembung ekonomi pada tahun-tahun George W. Bush meletakkan banyak rakyat Amerika terpaksa menanggung hutang yang banyak dan pelaburan perniagaan masih tertekan; pengangguran masih tinggi dan pertumbuhan tidak mencukupi;  dan kesan kenaikan harga minyak dan makanan.  


Tambah Krugman, “bahaya yang jelas dan nyata terhadap pemulihan datangnya daripada politik, terutamanya tututan daripada Republikan supaya kerajaan memotong perbelanjaan dengan segera terhadap pemakanan bayi, kawalan penyakit, air bersih, dan banyak lagi.  Potongan ini boleh membawa secara langsung dan tidak langsung terhadap penghapusan beratus-ratus ribu pekerjaan, dan ini boleh membantutkan kitaran kemuliaan pendapatan yang meningkat dan kewangan yang bertambah baik.
Kemudian, Seumas Milne muncul dengan “Fallout from the Crash of 2008 Has Only  Just  Begun”  dalam guardian.co.uk  menyuarakan nada yang serupa, iaitu  pemulihan mungkin lemah dan berombak. Britain pada hakikatnya, telah pun terjebak dalam curam berganda kerana ekonominya menguncup sebanyak 0.6 peratus dalam suku tahun keempat 2010 – itu pun sebelum kesan kebanyakan potongan dan kenaikan cukai dirasai.  Greece dan Portugas, tegas Milne, merupakan negara lain dalam Kesatuan Eropah yang mengalami kemerosotan ekonomi dalam tempoh yang sama.  “Akibat keruntuhan 2008 menuntut jenis baru ekonomi politik,” tulis beliau.  Jika kerajaan campuran Britain asyik membayangkan mereka boleh memotong perbelanjaan dan membatalkan kawal selia untuk keluar daripada stagflasi yang sedang berlaku, nescaya mereka akan gagal dan ketidakpopularan mereka semakin mendalam.
Zon euro masih bergelut dengan krisis sepanjang tahun lalu yang memaksa Ireland dan Greece menerima bantuan kewangan kecemasan dan meningkatkan jangkaan bahawa Portugal, Sepanyol, dan Italy akan mengikuti jejak yang sama.    Yang terbaharu, giliran Sepanyol menanggung kesakitan:  Moody’s menurunkan gred penarafannya terhadap hutang kerajaan Sepanyol pada Mac lalu.  Alasannya, Sepanyol dipercayai memerlukan peruntukan tambahan sebanyak 40 bilion hingga 50 bilion euro untuk memulihkan sektor perbankannya untuk stabil sepenuhnya yang mungkin meningkat kepada 110-120 bilion  euro dalam keadaan tertekan.  Dengan penarafan itu, krisis euro dipercayai memakan masa yang lama untuk berakhir.
George Soros ketika bercakap di Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Davos pada akhir Januari lalu menasihati Perdana Menteri David Cameron supaya menukar arah atau menghadapi kemelesetan.  Kerajaan akan menolak semula ekonomi British ke dalam kancah kemelesetan, melainkan kerajaan mengubah suai pakej jimat cermatnya yang tidak bersifat tidak bertolak ansur itu. Kata Soros, “Saya tidak fikir pakej itu mungkin dilaksanakan tanpa mencampakkan ekonomi ke dalam kemelesetan.” Tambah beliau, “Kita perlu melihatnya terbongkar.  Jangkaan saya adalah terbukti bahawa tidak mapan.” 
Kebimbangan  itu muncul selepas amaran Nouriel Roubini yang meletakkan United Kingdom dalam kumpulan negara yang lemah di zon euro kerana kemampuan ekonomi global masih menghadapi risiko kemelesetan curam berganda.  Membandingkan tinjuan  itu  dengan tinjauan di Davos pada tahun sebelumnya, Roubini berkata:  “Risiko hujung kemelesetan curam berganda yang nyata dan deflasi yang nyata adalah rendah jika dibandingkan dengan tahun lalu, bahkan jika data untuk United Kingdom dan ekonomi zon euro pinggir seakan-akan menunjukkan wujud risiko curam berganda.”
Di Davos 2011 itu juga dimaklumkan bahawa ekonomi dunia masih dalam keadaan lemah selepas krisis kewangan 2007 – 2009.  Kajian risiko tahunan yang disediakan untuk WEF mengenal pasti ketidaksamaan dan kelemahan tadbir urus global sebagai dua cabaran utama yang dihadapi oleh penggubal dasar. Menurut laporan itu, “dunia tidak bersedia menghadapi kejutan yang besar yang baru.  Krisis kewangan mengurangkan daya pemulihan ekonomi global, manakala ketegangan geopolitik yang semakin meningkat dan kebimbangan sosial yang ditonjolkan menunjukkan kedua-dunya, iaitu kerajaan dan masyarakat kurang mampu jika dibandingkan dengan dengan sebelumnya untuk mendepani cabaran global.”
Meskipun pertumbuhan berlaku semula sejak kemelesetan global mencecah jurangnya pada musim bunga 2009, kajian WEF itu melahirkan kebimbangan tentang ancaman yang dicetuskan oleh ketidakseimbangan ekonomi global, bahaya negara memungkirkan hutang mereka, pertumbuhan ekonomi haram, dan tekanan terhadap makanan dan air akibat pertambahan dan kekayaan penduduk global.
Pemakluman berakhirnya kemelesetan, siapa memperbudakkan siapa?  Krisis ekonomi berakhir dan ekonomi dunia balik kepada pertumbuhan dan keuntungan seperti  sediakala.  Namun begitu, apabila orang ramai berkata bahawa pemulihan tidak rasa pemulihan, mereka menjelaskan keadaan yang sebenar.  Meskipun ekonomi berkembang, tetapi banyak orang di mana-mana sahaja merasakan hidup mereka tidak lebih baik, antaranya kerana pengangguran masih tinggi. Akibat kemelesetan yang bermula pada tahun 2008,  berjuta-juta orang di Amerika dan seluruh dunia hilang rumah dan pekerjaan mereka.   Krisis yang bermula di Amerika, serta-merta merebak di peringkat global, dengan  berjuta-juta orang hilang pekerjaan di seluruh dunia. Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) memaklumkan bahawa 27 juta orang kehilangan pekerjaan  di seluruh dunia pada tahun 2009. 
Persoalan untuk  tahun 2011 adalah sama ada  pertumbuhan akan pula diterjemahkan ke dalam kemakmuran yang lebih luas – memetik editorial The New York Times pada 2 Januari lalu. Sejarah akan menunjukkan bahawa tahun 2011 ialah tahun yang teruk. Bagi   yang pesimistik tentang pemulihan, antara hujah mereka apa yang berlaku bukannya kemelesetan (recession), tetapi depression. Kerancakan pasaran saham  tidak boleh dijadikan ukuran kerana  bilangan orang yang menikmati pertumbuhan dan keuntungan adalah terhad.
Seperti Immanuel Wallerstein bahaskan dalam laman webnya pada awal tahun ini, apabila ekonomi dunia menjadi beku, seperti ekonomi dunia sejak tahun 1970-an,  beberapa perkara berlaku.  “Apabila pengangguran masih tinggi,  setiap negara mencuba untuk mengeksport pengangguran itu antara satu sama lain.  Oleh sebab kebekuan berterusan, gambaran negatif semakin besar yang apabila media mula bercakap tentang ‘krisis,’ dan ahli politik mencari penyelesaian segera.   Mereka melaksanakan jimat cermat.” 
Ketika di Singapura pada awal Februari lalu, Dominique Strauss-Kahn, Pengarah Urusan,  Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengingatkan bahawa pemulihan ekonomi global “diserang segenap penjuru oleh ketegangan dan bebanan yang boleh menyemaikan benih untuk krisis akan datang.”  Beliau mengingatkan ahli politik bahawa meskipun pemulihan sedang berlaku, “tetapi ini bukannya pemulihan yang mereka inginkan.”  Tegas beliau lagi, tanpa pekerjaan dan jaminan pendapatan, tidak berlaku lantunan dalam permintaan domestik, dan akhirnya, tidak wujud pemulihan mapan.
Khusus untuk ekonomi maju, bagi Strauss-Kahn, yang penting adalah untuk menggalakkan pertumbuhan dan pewujudan pekerjaan.  Meskipun pembaharuan struktur adalah penting untuk menjadikan ekonomi ini lebih berdaya saing, tetapi pembaharuan ini akan menghasilkan pulangan dalam jangka panjang.  Maka, untuk penambahbaikan jangka pendek, beliau mencadangkan tindakan segera dari segi pembaikian dan penambahbaikan sektor kewangan untuk mengurangkan risiko dan menyediakan landasan untuk pertumbuhan kredit yang sihat.
Dalam meninjau ekonomi sejak beberapa tahun lalu, Joseph Stiglitz yang menulis dalam guardian.co.uk, pada awal Januari, berkata, “Untuk Eropah dan Amerika Syarikat, tahun 2010 ialah tahun yang mengecewakan.  Tiga tahun sejak gelembung meledak, dan lebih dua tahun sejak Lehman Brothers runtuh. Pada tahun 2009, kita ditarik  keluar  daripada pinggir depression, dan 2010 sepatutnya tahun peralihan.”  Pertumbuhan, tambah beliau, difikirkan mungkin perlahan sedikit pada 2011, tetapi berlaku hantukan kecil dalam perjalanan kepada pemulihan yang kuat.”
Dunia, seperti yang pernah dibangkitkan oleh Mervyn King, Gabenor Bank of England, berkeadaan tidak seimbang dalam erti kata, negara “lebihan”  bergantung berlebih-lebihan pada eksport, manakala  negara “defisit” mengguna terlalu banyak, dikenal pasti sebagai punca yang menyebabkan krisis kewangan dan kemelesetan  yang menyusul.  Isu tersebut  kritikal kini kerana ancaman fahaman perlindungan semakin meningkat.  Dalam ucapan di Stanford Institute for Economic Policy Research  di  California pada Mac lalu, King menggesa IMF menerajui kerjasama dunia supaya laluan ke  arah ekonomi global yang lebih mapan dapat ditemui.  “Pengajaran utama,” kata beliau, “daripada pengalamann ketidakseimbangan ialah rangka dasar nasional sahaja tidak mampu mencegah permintaan domestic daripada tumbuh pada kadar tidak mapan.”
Pemberontakan di dunia Arab,  kenaikan harga minyak, dan krisis makanan menyamarkan lagi perjalanan ke arah pemulihan yang lebih mantap.  Apabila pemberontakan merebak ke Libya, negara yang kaya dengan minyak, kesan kenaikan yang ketara  harga komoditi yang lebih tinggi terhadap pemulihan global dijangkakan dramatik: kesan berbalik kepada diri sendiri krisis asal yang akan menjejaskan pertumbuhan dan merancakkan inflasi.  Diperhatikan bahawa kenaikan yang ketara harga tenaga, makanan, dan air  akan  pertumbuhan penduduk  dunia dan peningkatan peratusan penduduk yang membuat permintaan berlebihan terhadap bahan keperluan  tersebut. 
Berita gembir tentang ekonomi pada tahun lalu, seperti pertumbuhan yang memberangsangkan untuk sesetengah negara, seperti Malaysia 7.2 peratus, hanya keriangan  sementara. Sesungguhnya, tahun 2011 tidak menjanjikan sesuatu yang lebih baik, paling tidak dari segi pertumbuhan dan pengangguran. Secara keseluruhan, perjalanan masih jauh.   Namun, pastinya masih jauh lebih baik daripada semakin jauh. 
(Nota:  Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Ekonomi,  Mei 2011.)



Saturday, May 4, 2013

Orang Islam: Hukum Syariah dan Hak Wanita

SABTU, 4 Mei 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Ada  kajian menarik tentang pandangan orang Islam di seluruh dunia; pertama, tentang hukum syariah dan kedua, tentang hak  wanita, yang dilaksanakan oleh +Pew Research Center, melibatkan 38,000 orang Islam di 39 buah negara.

Kajian tentang hukum syariah yang dipetik oleh carta harian,    +The Economist  menunjukkan bahawa di Maghribi, 78 peratus responden fikir bahawa orang bukan Islam sangat bebas mengamalkan kepercayaan mereka, dan 79 peratus daripada mereka fikir ini "perkara baik."  Namun, 83 peratus mahu  syariah digubalkan dalam undang-undang.  Majoriti orang Islam di Thailand (78 peratus) dan Pakistan (84 peratus) amat teringinkan undang-undang Islam juga.  Akan tetapi, kebanyakan mereka juga berkata bahawa agama lain adalah sangat bebas untuk diamalkan (masing-masing 79 peratus dan 75 peratus), dan mereka bersetuju bahawa ini benar-benar "perkara baik."  Orang Islam di beberapa buah negara sangat bersetuju dengan kedua-duanya, iaitu kebebasan agama dan menyokong hukuman mati terhadap orang Islam yang murtad.


Berhubung dengan hak wanita pula, seperti yang dipetik oleh +Olga Khazan dalam +The Atlantic, mendapati: hampir kesemuanya atau kebanyakannya orang Islam bersetuju bahawa isteri mesti patuh pada suami; orang Islam di negara bekas Yugoslav, Asia Tengah, dan bahagian Afrika Utara juga berkemungkinan besar menyokjong hak wanita untuk bercerai; orang Islam di Timur Tengah, Afrika Utara, dan Wilayah Palestin bersetuju bahawa anak lelaki dan anak perempuan mempunyai hak sama rata untuk hak pusaka.


Benarkah Tidak Wujud Kebebasan Agama di Malaysia?

SABTU, 4 Mei 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Kita sering, lebih-lebih lagi pada musim pilihan raya bahawa di Malaysia tidak wujud kebebasan bersuara, kebebasan akhbar, dan kebebasan agama.  

Dari segi kebebasan akhbar, laporan terbaharu menunjukkan Malaysia menduduki tangga ke-146.  Walau bagaimanapun, untuk bersifat lebih objektif, alasannya ialah kerajaan Malaysia menyekat kebebasan untuk mengadakan tunjuk perasaan, kebebasan mengadakan perhimpunan secara aman, dan bertindak keras terhadap penulis blog.  

Hanya yang tidak dibangkitkan ialah banyaknya tindakan sivil terhadap akhbar yang dilakukan oleh sebilangan ahli politik; juga tidak disentuh ialah saman ahli politik terhadap penulis blog.  Turut dinyatakan alasannya bahawa kerajaan mendiskriminasikan dan tidak mengiktiraf golongan gay dan lesbian,  dan tindakan kerajaan menahan dan kemudian menghantar pulang Hamza Kashgari yang dikehendaki oleh kerajaan Arab Saudi kerana menghina Nabi Muhammad S.A.W. Tanpa dua alasan ini, mungkin kedudukan Malaysia dari segi kebebasan akhbar adalah lebih baik.

Dari segi kebebasan agama, benarkah tidak wujud kebebasan di negara ini?  Laporan terbaharu yang dikeluarkan oleh U.S.  Commission on International Religious Freedom, menunjukkan pencabulan yang berleluasa beberapa buah negara di dunia terhadap kebebasan agama.  Dalam kalangan negara tersebut adalah banyak kerajaan Asia dan Timur Tengah, meskipun beberapa buah negara Eropah juga termasuk.

Laporan itu mengkategorikan tahap 1 untuk negara yang secara tipikal dipetik kerana kerajaan menganjurkan atau melakukan diskriminasi agama, tahap 2 ialah negara yang dipetik kerana kurang sistemik, tetapi masih melakukan pencabulan serius, atau kerana secara sistemik enggan menambahbaikkan kebebasan agama, dan kategori ketiga melibatkan negara yang "diperhatikan."

Untuk ketiga-tiga kategori tersebut, Malaysia tidak tergolong.

Friday, May 3, 2013

Pasaran Haram

JUMAAT, 3 Mei 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH

Meskipun nilai sebenar perniagaan haram tidak diketahui, carta harian,  +The Economist  cuba menganggarkannya berdasarkan aktiviti tertentu di peringkat global pada tahun 2012 dan selepas itu.  

Penyeludupan dadah misalnya, berniali AS$320 bilion, barang cetak rompak atau dipalsukan AS$250 bilion, penyeludupan manusia AS$32 bilion, penyeludupan binatang liar AS$19 bilion, perdagangan minyak AS$11 bilion, perikanan AS$10 bilion, pembalakan AS$10 bilion, dan organ manusia AS$0.6 bilion.   


Kajian: Pemotongan Belanjawan Menyebabkan Rakyat Sakit

JUMAAT, 3 Mei 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Kemelesetan ekonomi yang dimudaratkan lagi oleh pelaksanaan jimat-cermat oleh banyak negara di Eropah, menimbulkan pelbagai masalah, bukan sahaja dari segi ekonomi, bahkan juga dari segi sosial dan politik.  Orang Sepanyol dan Portugis, dilaporkan  terpaksa mencari pekerjaan di negara bekas tanah jajahan mereka. Sementara Switzerland mengambil keputusan menutup pintu untuk imigran atau pendatang dari Kesatuan Eropah:  "kita lawan mereka."  Selain itu, kemelaratan hidup mendorong sebilangan rakyat di Greece dan Sepanyol memilih untuk bunuh diri dan terjebak dalam pelacuran.

Sementara kajian yang turut dipetik oleh Erika Eichelberger dalam Mother Jones,   menunjukkan bahawa pemotongan belanjawan menyebabkan rakyat jatuh sakit di seluruh Eropah dan Amerika Utara, seperti kemurungan, bunuh diri,  menghidap penyakit berjangkit, dan keterbatasan akses untuk ubat dan penjagaan kesihatan.

Kajian itu juga menunjukkan bahawa lebih 10,000 bunuh diri dan mencecah satu juta kes kemurungan dirawat ketika apa yang disebut "Kemelesetan Besar" dan pelaksanaan jimat-cermat di rantau tersebut.  



Thursday, May 2, 2013

Laporan: Tidak Ada Kebebasan Akhbar di Malaysia

JUMAAT, 3 Mei 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Kebebasan akhbar tahun 2013 menunjukkan  Malaysia di tangga ke-146, tergolong dalam kategori tidak ada kebebasan,  bersama-sama beberapa negara lain di rantau ini, antaranya Thailand, Singapura, dan Brunei. Sementara Filipina dan Indonesia dalam kategori bebas sebahagian. 

Laporan Freedom of the Press tahunan yang dikeluarkan oleh Freedom House, seperti  yang  dipetik oleh Karin Deutsch Kalkekar, mengukur persekitaran yang para wartawan beroperasi, di samping akses kepada berita dan maklumat, menunjukkan bahawa media dunia sering menghadapi tekanan yang kian meningkat dalam pelbagai latar politik.  Keseluruhan kemerosotan tahap kebebasan media global, yang berbeza dengan penambahbaikan tahun lalu, adalah dipacu oleh kemerosotan dalam kebanyakan setiap wilayah dunia.

Bagi Malaysia, laporan itu membangkitkan antaranya dasar dan sikap  kerajaan Malaysia terhadap  golongan lesbian, gay, biseksual, dan transgender (LGBT), penahanan penulis warga Arab, Hamza Kashgari  tekanan kerajaan terhadap bloger, penangkap penunjuk perasaan dan wartawan semasa perarakan pada 28 April tahun lalu, dan larangan kerajaan terhadap perhimpunan secara aman.

Arch Puddington yang menulis dalam Foreign Policy, yang turut memetik laporan kebebasan akhbar itu, dengan memberikan tumpuan terhadap 10 buah negara yang teruk untuk wartawan, iaitu Korea Utara, Turkmenistan, Uzbekistan, Eritrea, Belarus, Cuba, Iran, Equatorial Guinea, Syria, dan Bahrin.

Pertumbuhan Global: Gembira Berbaur Muram

KHAMIS, 2 Mei 2013
Oleh:   ZULKIFLI  SALLEH



Beberapa buah negara ekonomi utama dunia melaporkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku pertama tahun 2013.  China mencatatkan pertumbuhan KDNK 7.7 peratus, kehilangan rentak tanpa dijangkakan, manakala United Kingdom berjaya mengelakkan kemelesetan ganda tiga apabila mencatatkan pertumbuhan 0.3 peratus untuk Januari - Mac tahun ini,  sesuatu yang tidak dijangkakan. Yang terbaharu, Amerika Syarikat, mencatatkan pertumbuhan ekonomi 2.5 peratus, di bawah jangkaan, iaitu tiga peratus, diselamatkan oleh penggunaan peribadi terhadap kereta dan barang-barang lain, yang dianggap suatu berita baik.

Sementara United Kingdom dapat menarik lega sedikit, meskipun data terbaharu itu dipersoalkan, manakala Eropah berdarah, dan Amerika Syarikat dan  China menimbulkan kebimbangan, memberikan isyarat yang tidak menyenangkan.  Bahkan, kejatuhan harga minyak dikaitkan dengan data pembuatan yang lemah di kedua-dua buah negara itu.  Secara keseluruhannya, dunia bergelut dengan  berita ekonomi yang cabuk.

Ekonomi Amerika Syarikat, yang menyaksikan kejatuhan sentimen pengguna pada bulan April,  hujah Neil Irwin, dalam kebekuan yang teruk.  Dengan kadar pertumbuhan 2.5 peratus itu, seperti yang dibahaskan oleh Jared Bernstein, maka jelas kelihatan kelemahan yang mendasarinya. Angka pertumbuhan Amerika Syarikat itu bukan sahaja mengecewakan, bahkan membayangkan kesengsaraan yang seterusnya.

Sementara China, meskipun masih mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang agak tinggi secara relatifnya, angka KDNK-nya merupakan masalah yang membingungkan, memetik Yueran Zhang dalam The Atlantic.  Memang wujud alasan kukuh untuk berasa bimbang terhadap kelembapan ekonomi negara  itu, hujah Michael Schuman.  Apabila China mencatatkan pertumbuhan di bawah jangkaan, nescaya dunia dirasuk kebimbangan kemungkinan terjebak dalam kemelesetan curam berganda.  

Tatkala ekonomi China mula lembap, harapan diletakkan pada India untuk mencatatkan pertumbuhan yang tinggi semula, hampir 10 peratus setahun pada 2010 - 2011.  Namun, dengan kadar pertumbuhan lima peratus sekarang, mampukah India melakukan keajaiban?


Wednesday, May 1, 2013

Hari Pekerja: Generasi yang Hilang

RABU, 1 Mei 2013
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH



Sebagaimana tahun sebelum ini, Hari Pekerja tahun ini disambut dalam suasana ekonomi global yang masih muram, iaitu pemulihan lemah, pertumbuhan lembap, dan kadar pengangguran yang tinggi di banyak negara. Di zon euro, misalnya laporan terbaharu menunjukkan kadar pengangguran mencecah paras tertinggi, iaitu kepada 12.1 peratus untuk bulan Mac, manakala 10.7 peratus di Kesatuan Eropah yang dianggotai oleh 27 buah negara. 

Dalam kalangan negara zon euro, Sepanyol yang tertinggi, iaitu 26.7 peratus, yang menurut  Matthew O'Brien, "bukan sekadar suratan takdir,"  menyaksikan kebangkitan indignados, iaitu keberangan rakyat sejak dua tahun lalu. 

Di zon euro juga, seperti yang pernah dicatatkan oleh Joe Weisenthal dalam Business Insider, pengangguran dalam kalangan belia adalah tinggi, seperti yang berlaku di Sepanyol (55.9 peratus), Portugal (38.3 peratus), Italy (38.4 peratus), dan Cyprus (32.3 peratus.)

Sementara The Economist dalam rencana utamanya baru-baru ini menegaskan bahawa jumlah orang muda yang menganggur di seluruh dunia, sama jumlahnya dengan penduduk Amerika Syarikat. Makalah itu memetik pesanan Margaret Thatcher pada tahun 1984, Perdana Menteri British ketika itu, bahawa "orang muda tidak boleh duduk-duduk sahaja."

Namun, kini, lebih banyak orang muda yang duduk-duduk sahaja jika dibandingkan dengan sebelum ini, memetik angka Organisasi Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) yang menunjukkan 26 juta mereka yang berumur antara 15 tahun hingga 24 tahun di negara maju tidak mempunyai pekerjaan, pendidikan atau latihan; bilangan orang muda tanpa pekerjaan meningkat sebanyak 30 peratus sejak tahun 2007. 

Makalah itu juga memetik laporan Pertubuhan Buruh  Antarabangsa (ILO) bahawa 75 juta orang muda di seluruh dunia mencari pekerjaan.  Sementara kajian Bank Dunia menunjukkan bahawa 262 juta orang muda dalam pasaran sedang muncul adalah tidak aktif dari segi ekonomi.  "Bergantung pada bagaimana anda mengukur mereka, jumlah orang muda tanpa pekerjaan hampir sama banyak dengan penduduk Amerika yang berjumlah 311 juta orang."

Dua faktor utama yang menyumbang kepada masalah itu, menurut makalah dalam The Economist itu.  Pertama, kelembapan yang lama yang berlaku di Barat mengurangkan permintaan terhadap buruh, dan lebih mudah tidak mengambil orang muda bekerja berbanding dengan memecat pekerja tua.  Kedua, pertumbuhan penduduk dalam pasaran sedang muncul adalah lebih pantas di negara yang pasaran buruh disfungsi, seperti India dan Mesir.

  

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...