SELASA, 17 Mac 2020
Oleh: ZULKILFLI SALLEH
Penerbitan semula Sejarah Perjuangan Kita oleh Dr, Burhanuddin al-Helmy, Saya berterima kasih kepada Puan Linda Misran dari Dewan Bahasa dan Pusraka yang sudi menyemak perumian yang saya usahakan.
Sejarah
(Perjuangan Kita)
Oleh
Dr. Burhanuddin al-Helmy
Dicetak
oleh
The
United Press,
3,
Dato Keramat Road,
Penang
(Kandungannya)
Dari penerbit
1. Asal usul kebangsaan Melayu
2. Bangsa Melayu dengan bangsa dagang
3. Pemerintahan di gugusan pulau-pulau Melayu
4. Pergerakan kebangsaan Melayu dan politik
5. Perang Dunia yang Kedua
6. Kesedaran bangsa Melayu
7. Perjuangan kita menurut ajaran al-Qur’an
8. Tertubuhnya parti kebangsaan Melayu
9. Soal-soal yang timbul
10. Penutup
Dari penerbit
1. Asal usul kebangsaan Melayu
2. Bangsa Melayu dengan bangsa dagang
3. Pemerintahan di gugusan pulau-pulau Melayu
4. Pergerakan kebangsaan Melayu dan politik
5. Perang Dunia yang Kedua
6. Kesedaran bangsa Melayu
7. Perjuangan kita menurut ajaran al-Qur’an
8. Tertubuhnya parti kebangsaan Melayu
9. Soal-soal yang timbul
10. Penutup
Dari Penerbit: Bismillahirrahmanirrahim
Alhamdulillah Wassalatu Wassalam alla rasulullah
Alhamdulillah Wassalatu Wassalam alla rasulullah
Buku "Sejarah Perjuangan Kita" ini sebenarnya telah
ditulis oleh Tuan Doktor Burhanuddin al-Helmy, pada kira-kira hampir sepuluh
tahun yang lampau, iaitu tahun 1946 sebagai memperingati perjuangan kebangsaan
Melayu dalam parti politiknya (PKMM) genap setahun. Dan telah pun dicetak dan diterbitkan di masa itu di ketika beliau
sebagai sifatnya pemimpin agung Parti Kebangsaan Melayu Malaya.
Dalam kata pendahuluannya yang bertarikh 8 Oktober 1946,
di antara lain beliau berkata: "Di dalam buku (Perjuangan Kita) ini,
moga-moga kiranya terbayanglah rupa perjuangan kita untuk menambah dan
memperkukuhkan keyakinan kita menempuh perjuangan di masa depan."
Malaya hak Melayu - kita berjuang membela hak dan
keadilan bangsa kita, bulat dan tegak menuju ke arah keinginan dan keselamatan
bangsa dan nusa, Tuhan tetap kepada pihak yang benar....
Hari ini - diterbitkan semula ialah dengan maksud dapat hendaknya
dibaca oleh segenap bangsa Melayu yang kini telah pun menjadi bangsa yang ingin
merdeka, semoga dapatlah kita mempelajari sedikit sebanyak sejarah perjuangan
bangsa kita sejak beberapa tahun yang lampau terutamanya, di ketika mana
"benih merdeka" mula ditanam dan disemai oleh para pejuang bangsa
kita yang akibatnya mereka meringkuk di dalam tahanan Darurat beberapa tahun
dan serentak dengan itu pula parti mereka (PKMM) telah diharamkan.
Setakat manakah penghargaan masyarakat kita terhadap
pejuang-pejuang kemerdekaan itu? Terserahlah kepada rakyat menilainya. Ini juga
menjadi ukuran setakat mana kesedaran kita sebagai suatu bangsa yang sebenar-benarnya
ingin merdeka dan anti kepada apa juga
corak penjajahan di tanah air kita.
Wabillahiltaufik - merdeka!
Wabillahiltaufik - merdeka!
Ahmad Azam
Dr. Burhanuddin al-Helmy ialah:
·
Bekas
pemimpin Parti Kebangsaan Melayu Malaya.
·
Bekas pengerusi
gabungan Putera-(A.M.C.J.A).
·
Wakil
Malaya ke Persidangan Seluruh Asia tahun 1947.
·
Pemerhati
ke Persidangan Afro-Asia pada bulan April 1955.
·
Pengerusi
jawatankuasa pemandu Kongres Pemuda se-Malaya.
·
Pemimpin
rakyat yang belum pernah turut memegang jawatan kerajaan.
·
Pemimpin
yang tetap dengan pendiriannya memperjuangkan hasrat dan cita-cita kebangsaan
Melayu.
Untuk berkenal lebih dekat, bacalah buah qalam beliau:
Sejarah "Perjuangan Kita" ini semoga menambahkan keyakinan kita
bangsa Melayu sebagai bangsa yang ingin merdeka.
Penerbit
Bukit Mertajam, Oktober 1955.
Bukit Mertajam, Oktober 1955.
Bismillahirrahmanirrahim
(1)
Asal Usul
Kebangsaan Melayu
Sejarah "Perjuangan Kita" supaya jelas dan
terang, dapat difaham dan dipelajari oleh tiap-tiap seorang bangsa Melayu hari
ini, hendaklah diselidiki dan dipelajari dari asal usulnya, dari akar dan
umbinya sekali. Kerana hanya begitulah sahaja, baru dapat menimbulkan rasa keyakinan
dan kepercayaan yang teguh yang akan
menjadi "asas dan dasar" kita memperjuangkan cita-cita suci menuju
matlamatnya - iaitu "merdeka" - merdeka dalam erti kata yang
sebenar-benarnya, iaitu kemerdekaan bangsa, agama dan tanah air. (Bangsa Melayu
menjadi tuan di tanah airnya sendiri).
Di sini - saya akan menerangkan dengan seberapa ringkas.
Menjelaskan perjuangan kita bangsa Melayu yang telah sambung menyambung sejak
dahulu sehingga kepada masa-masa yang akhir ini. (Di ketika Parti Kebangsaan Melayu Malaya
ditubuhkan pada tahun 1945).
Menurut pendapat ahli-ahli sejarah bahawa Nusantara tanah
air kita adalah terkenal kepada beberapa nama yang di antaranya:-
1.
Gugusan pulau-pulau
Melayu.
2.
Malaysia
- Maliziah.
3.
Pulau-pulau
rempah.
4.
Melayu
Raya.
5.
Malay
Archipelego.
6.
Indonesia.
7.
Malaynesia.
8.
Macronesia.
9.
Polynesia.
10. Dan sebagainya - lihat buku ‘Falsafah Kebangsaan Melayu”.
Kawasan-kawasan ini telah didiami orang sejak beribu-ribu
tahun sebelum tarikh dunia ini tertulis.
Dipandang dari segi ilmu tawarikh dan beberapa kenyataan,
adalah tanda-tanda menunjukkan lebih daripada 3,000 tahun yang kawasan ini
telah mempunyai tamadun (kemajuan). Kitab-kitab tarikh Hindu dan Cina - begitu
juga dalam tawarikh Arab ada menegaskan: bahawa kerajaan Melayu
"Sriwijaya" di Palembang-Sumatera tidak kurang dari 2,000 tahun telah
terdiri (tahun 500 - 1400 M).
Dan sesudahnya kerajaan Sriwijaya ini, berpindah
pula keagungan dan kebesaran bangsa
Melayu kepada suatu kerajaan yang terkenal dengan nama kerajaan
"Majapahit" (tahun 1293 - 1520 M). Kemudian pada akhirnya berpindah
kepada kerajaan Melaka. Ketiga-tiga empayar ini berdiri sendiri, dengan mulia
agung, bebas dan merdeka, berbaik-baik dan bersahabat dengan kerajaan-kerajaan
asing yang berjiran dengannya, seperti India, China, Arab dan sebagainya.
Kawasan dan sempadan ketiga-tiga kerajaan Melayu Raya
yang berganti-ganti itu, ke utaranya adalah bersempadan dengan Siam, manakala
ke baratnya hingga ke pantai-pantai negeri Hindi, lantas ke pulau-pulau
Madagaskar, ke timurnya pula, termasuklah pulau Farmosa berdekatan dengan Kyiasu Jepun, dan ke
selatannya adalah meliputi beribu-rubu pulau di lautan teduh.
Pada masa itu, seluruh dunia belum lagi mempunyai politik
pemerintahan, sebagaimana hari ini. Pengertian kebangsaan (National) di masa
itu berlainan dengan pengertian kebangsaan yang terpakai dalam politik
pemerintahan hari ini. Kerana pada masa itu istilah kebangsaan adalah mengikut
sesuatu kemaharajaan sahaja. Orang-orang atau rakyat sesebuah negeri itu adalah
dihitung menjadi dihitung menjadi rakyat negeri itu dengan pengertian "rakyat
serimaharaja Sriwijaya, rakyat serimaharaja Majapahit, rakyat serimaharaja
Melaka" begitu juga bangsa-bangsa asing seperti bangsa Cina umpamanya
adalah dikenal dengan rakyat Chin dynasti.
Tetapi - manakala ahli-ahli sejarah dan ahli-ahli
tawarikh dunia hendak mempersuaikan kedudukan bangsa-bangsa dunia ini,
kedudukan peta buminya, dan kedudukan
politik pemerintahan sesuatu negara itu, supaya mudah dikenali, maka sejak
itulah baru nama "gugusan pulau-pulau Melayu" atau "Malay
Archipelego" dan sebagainya itu dituliskan orang. Dan sebab-sebab
dinamakan pulau-pulau itu "kepulauan Melayu" ialah kerana
negeri-negeri itu bahasa Melayulah yang lebih luas terpakai.
Dari segi kebudayaan pula - haruslah tiada ada suatu bangsa yang besar dalam dunia ini yang
telah pernah menempuh kebudayaan-kebudayaan yang besar serentak dan selari
sebagaimana bangsa Melayu. Bangsa telah menempuh tiga kebudayaan besar, agung
dan hebat yang
terkenal di dunia ini. Iaitu kebudayaan Hindu beribu-ribu tahun semasa kerajaan
Sriwijaya - kemudian bersambung pula dengan kebudayaan Buddha dalam masa kerajaan Majapahit, manakala pada abad ke-11
Masihi berganti pula dengan kebudayaan Islam, iaitu sejak kerajaan Islam Melaka
sehingga ke zaman penjajahan hari ini.
Semua kebudayaan itu adalah mempengaruhi jiwa budi - daya bangsa Melayu yang
telah menjadikan bangsa Melayu itu suatu bangsa yang kaya dengan kebudayaan dan
mempunyai bentuk kebudayaan yang tersendiri pula.
(2)
Bangsa
Melayu dengan Bangsa-bangsa Dagang
Kemakmuran, kebesaran, kemegahan dan keagungan
kerajaan-kerajaan Melayu dahulu adalah harum kemasyhurannya ke seluruh dunia.
Mulai dari saudagar-saudagar bangsa India dan Cina sejak beribu-ribu tahun yang
lalu telah pun mengadakan perhubungan dengan Negeri-Negeri Melayu dan akhirnya
kemakmuran dan kemewahan Negeri-Negeri Melayu itu bertambah merebak tersebarnya
hingga sampai ke Parsi, Arab, Rom dan Eropah. Maka beransur-ansurlah pula
orang-orang Parsi, Arab, Rom, Eropah datang berniaga ke Negeri-Negeri Melayu
dengan kapal dan bahtera mereka yang besar-besar
Kebetulan pula - di masa itu, di Eropah telah disuluh
oleh tamadun Islam. Mereka telah tahu khasiatnya rempah-rempah. Maka mulalah
orang-orang Spain, Portugis belayar jauh hingga ke India dan akhirnya sampailah
kepada gugusan pulau-pulau Melayu tempat tumpuan saudagar-saudagar India
membeli rempah yang diperniagakan ke Eropah itu. Dari semenjak itu semakin
terkenallah kemakmuran Tanah Melayu ini dengan mata benda perniagaan yang
digemari oleh bangsa-bangsa dagang, dan semakin ramailah orang-orang Cina,
India, Parsi, Arab dan orang-orang Eropah datang ke Tanah Melayu. Di antara
bangsa-bangsa dagang itu, termasuklah bangsa-bangsa Belanda, Inggeris memulakan
perniagaannya dengan Negeri-Negeri Melayu itu.
Sebagaimana telah diketahui, kerajaan Melayu adalah dalam
keadaan mewah makmur dan kaya raya. Mereka hidup dengan aman damai, ria dan
bahagia. Hidup bermasyarakat di antara sama sebangsa dengan tiada ada sesiapa
mengganggunya sebelumnya didesak oleh bangsa-bangsa dagang yang datang ke tanah
air kita.
Tetapi – perubahan-perubahan telah mula datang kepada
bangsa Melayu dan kepada tanah air Melayu, ialah oleh desakan bangsa-bangsa
dagang yang datang ke Tanah Melayu, kerana itulah orang-orang asing seperti
Cina, India, Arab, dan sebagainya telah dipanggil dengan “orang dagang”, kerana
kedatangan mereka ke Tanah Melayu ini lebih dikenali dengan dagangan mereka,
kemudian berturutlah dengan sebutan-sebutan “dagang senteri”, “dagang piatu”
dan sebagainya. Sedang dalam bahasa Inggeris berlainan bilangannya dengan
perkataan Foreigner dan Stranger, manakala terjemahannya yang lebih tepat ialah
Trade, Trader, Trading, Commerce dan sebagainya.
Inilah dia “takrif” pengenalan orang-orang Melayu
terhadap orang-orang luar atau orang dagang di masa itu sebagai membuktikan
besarnya pasar perniagaan dalam kerajaan-kerajaan Melayu di masa itu.
Bagaimanapun – bangsa-bangsa India, Cina, Parsi dan Arab
hanyalah setakat merebut perdagangannya sahaja di Tanah Melayu ini. Tetapi
bangsa-bangsa Barat (Inggeris, Belanda, Sepanyol, Portugis dan Amerika) bukan
sahaja setakat merebut perniagaan, tetapi adalah terus menjajah Tanah Melayu
ini – yang menyebabkan hakikatnya bangsa Melayulah yang menjadi “dagang” di tanah airnya sendiri.
Bagaimana bijaknya orang-orang Barat hendak memulakan
cengkaman kuku penjajahannya “di kepulauan ini” ialah dengan nama “syarikat
perniagaan” mereka yang disebut dengan nama “kompeni” itu dan “kompeni” ini.
Kerana itulah juga orang Barat itu di Tanah Melayu terkenal dengan sebutan
“orang kompeni”.
Tahun 1511M. itulah tahun malapetaka, tahun yang paling
malang kepada bangsa Melayu, kerana pada tahun itulah tarikh jatuhnya kerajaan
Melayu yang gah dan masyhur itu. Kemudian beransur-ansurlah malang dan nahas
yang menimpa seluruh bangsa Melayu di gugusan pulau-pulau Melayu, dan dari
semenjak itulah mula tenggelam hak dan keadilan
bangsa Melayu dari muka dunia, sebagai suatu bangsa yang pernah
berdaulat dan berkerajaan sendiri.
Sudahlah begitu, maka dalam buku-buku bahasa Inggeris pula
yang ditulis oleh pengarang-pengarang Barat itu mereka telah membesar-besarkan,
memperkenalkan bangsa Melayu kepada dunia dengan “cap” bangsa yang pemalas,
jahil – bodoh, perompak lanun dan sebagainya. (Itulah sebabnya kedatangan
orang-orang Barat itu kononnya kerana hendak mengajar dan memimpin bangsa
Melayu untuk menjadi bangsa yang berkemajuan
- dan hasil pimpinan mereka itulah sebagaimana keadaan kita hari ini –
hidup merana di negeri sendiri).
Tetapi apakah yang sebenarnya bangsa Melayu di dalam lipatan
tawarikh dan sejarah dunia? Dan di dalam ingatan hati sanubari bangsa Melayu sendiri? Kenapakah mereka
mendapat gelaran yang serendah itu sebagai bangsa pemalas, perompak dan
sebagainya? Iaitu sesudahnya bangsa-bangsa dagang itu dapat mengecap kemakmuran
bumi Melayu yang makmur dan kaya-raya ini??
Maka jawabnya telah pun jelas tergambar sebelum tahun
1511 dengan terus mata dan ramalan Laksamana Hang Tuah, ketika melihatkan ancaman
yang hebat yang sedang dan akan menimpa bangsa Melayu dengan pesanan beliau
yang berhikmat “Tak Melayu hilang di dunia!”
Ancaman ini datangnya adalah berpunca dari perdagangan –
sebagaimana orang-orang Inggeris telah pun terkenal dengan nama “East India Company” dan orang Belanda dengan
VOC (Vereenigde oost Indische Compagnie) dan akhirnya kepulauan Melayu ini
telah menjadi rebutan kapitalis Eropah itu dan kesudahannya menjadi imperialis
(penjajah).
(3)
Pemerintahan
di Gugusan Pulau-pulau Melayu
Setelah robohnya kerajaan Melayu Melaka, maka dari
semenjak itulah berturut-turut robohnya kerajaan-kerajaan Melayu yang
kecil-kecil, dan dari semenjak itulah juga perjuangan kebangsaan Melayu yang
berbagai ragam dengan tiada putus-putusnya sambung menyambung, “patah tumbuh
hilang berganti” sehingga hari ini. Di sana sini telah berlaku peperangan yang
sengit dan hebat – tidak termasuk pergaduhan-pergaduhan kecil. Sebabnya – tidak
lain, ialah kerana rasa jiwa merdeka yang dipusakai turun-temurun dari datuk
nenek bangsa Melayu sebagai bangsa yang merdeka dan berdaulat itu masih hidup dengan
suburnya dalam tiap-tiap jiwa raga bangsa Melayu.
Berapakah banyaknya jiwa bangsa Melayu yang telah terkorban di Filipina kerana menentang
Sepanyol, dan di Jawa, di Sumatera dan di Silibis kerana menentang Belanda –
begitu juga keadaannya di Semenanjung ini, ialah semata-mata kerana
mempertahankan hak dan keadilan bangsa Melayu.
Bangsa Melayu sungguh taat dan berpegang teguh dengan
adat istiadatnya, sehingga timbul pepatah
“biar mati anak jangan mati adat” ertinya: biarlah jiwa raga putera bangsa Melayu terkorban kerana mempertahankan kemuliaan,
kehormatan dan kebesaran adat istiadat bangsa dan negara Melayu daripada
terjajah kepada bangsa-bangsa asing.
Bangsa Melayu memang mempunyai tatatertib dan disiplinnya,
taat setia kepada raja dan kerajaannya sehingga timbul pula pepatah “anak
Melayu berpantang derhaka.” Raja-Raja Melayu tetap disembah, dihormati dan
disanjung tinggi. Kedaulatan rajanya tetap dipertahankan dengan cogan “daulat
tuanku”, ampun tuanku, sembah patik harap diampun dan sebagainya.
Perasaan taat setia dan menghormati kepada raja-raja,
datuk-datuk, penghulu-penghulu, ibu bapa dan tiap-tiap orang yang dianggap tua
itu telah pun bersebati ke dalam jiwa raga bangsa Melayu, sehingga menimbulkan
perkataan: takut kena daulat, takut kena tulah, daulat raja, tulah ibu bapa,
guru dan sebagainya.
Ini – adalah sedikit gambaran tinggi mulia dan halusnya
budi dan “budi daya” dan kesopanan peradaban bangsa Melayu, sebagai bangsa satu
bangsa yang mempunyai cukup lengkap sejarah dan kebudayaannya sendiri yang tak
kalah dengan bangsa-bangsa asing di dunia ini.
Semenjak jatuhnya kerajaan Melayu Melaka, maka seluruh
Kepulauan Melayu telah menjadi huru-hara, berganti-ganti pertempuran peperangan.
Bangsa Melayu telah beransur-ansur lemah, ada yang melarikan diri
berpindah-randah mencari tempat yang difikirkan selamat dan terjauh dari
sebarang gangguan.
Raja-Raja Melayu dari kerajaan-kerajaan Melayu yang kecil,
yang dahulunya di bawah riayah dan naungan kerajaan Melaka, telah membawa hal
masing-masing. Ada yang bekerajaan sendiri menurut kadar dan setakat mana
kebolehannya.
Pengaruh-pengaruh Inggeris dan Belanda bertambah-tambah
besar di Sumatera dan di Semenanjung. Melaka yang dahulunya dijajah oleh
Portugis telah bertukar kepada penjajah Belanda, kemudian pula bertukar dengan
Inggeris, manakala Sumatera yang dahulunya dijajah oleh Inggeris digantikan oleh Belanda.
Saki-baki kedaulatan Raja-Raja Melayu telah dipercaturkan dalam politik.
Belanda menabalkan Raja Riau di Sumatera,
manakala Inggeris pula menabalkan Sultan Husein di Singapura. Yang akhirnya Johor
pula mengambil tempat percaturan itu. Dahulunya di Semenanjung ini hanya
bersatu pemerintahan dengan kerajaan Melaka, tetapi sejak jatuhnya kerajaan
Melaka itu banyaklah timbul Raja-Raja,
maka dari situlah dasar penjajah yang
terkenal “pecah-pecah dan perintah” itu
menjalar dengan suburnya. Jarumnya yang bisa itu sedang hebat mencucuk ke sana
ke mari, akhirnya pergaduhan bangsa
Melayu sama sendiri pun menjadi-jadi. Hikayat
Pelayaran Abdulah adalah cukup menjadi saksi menggambarkan
kejadian-kejadian tersebut.
Setelah Kedah, Perak mengambil tempat yang pertama
membuat triti (perjanjian) dengan Inggeris yang terkenal dengan Triti Pangkor,
kemudian berikut pula dengan lain-lain negeri, mulai dari tahun 1874 hingga
tahun 1923.
Ahli-ahli pergerakan kebangsaan bolehlah mempelajari dari
segala segi kedudukan triti itu yang telah membawa taraf dan kedaulatan
Raja-Raja Melayu ke dalam percaturan politik koloni (penjajahan), sudah sahaja
Triti Pangkor itu, terjadilah peristiwa terkorbannya tuan Birch – Residen Perak
– di Pasir Salak.
Kejadian yang seumpama ini, bukan sahaja di Perak, bahkan
berlaku juga di lain-lain, seperti Dol Said di Naning – Negeri Sembilan,
Bahaman di Pahang, Tok Janggut di Kelantan, Haji Abdul Rahman di Terengganu
(semuanya di Semenanjung, begitu juga di Kepulauan Melayu yang lain, yang tak
disebut di sini), kerana rasa kebangsaan – rasa nasionalis yang sihat dan tulen
itu dapat mempelajari di mana yang sebenarnya kedudukan taraf dan kedaulatan Rajanya
yang mesti ditaati. Kemudian telah menimbulkan keinsafan pula, bagaimana
hebatnya tekanan penjajahan itu untuk menghapuskan rasa kebangsaan dan jiwa
yang ingin bebas dan merdeka, si penjajah telah menjadikan Raja-Raja dan Sultan-Sultan
itu hanyalah sebagai alat untuk mempengaruhi dan mengumpulkan rakyat sahaja.
Beberapa tempat di Kepulauan Melayu, seperti di Jawa, di
Sumatera, di Silibis dan Kalimantan, terus menerus berlaku pertempuran yang
hebat menentang penjajahan Belanda. Aceh sendiri yang sahaja sebahagian kecil
di bahagian Sumatera telah menentang Belanda hampir-hampir 40 tahun lamanya,
manakala di Kalimantan pula, di pihak yang tiada mahu tunduk – menyerah kepada
Belanda telah lari menyembunyikan diri sehingga
ke tengah-tengah rimba belantara Pulau Kalimantan yang luas itu.
Demikianlah dari setahun ke setahun, keadaan bangsa
Melayu telah mulai lemah, dan beransur-ansur dapat diperkosa akibat ditimpa
kekalahan yang bertalu-talu dan
berpecah-pecah pula. Akhirnya maka dapatlah dibentuk cara-cara pemerintahan
yang digemari dan dikehendaki oleh rancangan penjajahan (imperialis) itu.
Setelah kuku penjajahan itu sudah dapat mencengkam
kukunya di Kepulauan Melayu yang kaya-raya itu, maka siasah pintu terbuka pun
mulalah dijalankan, kuli-kuli dan buruh pun mulalah diambil dari luar, dari
India dan China, kekayaan Tanah Melayu
yang perut buminya penuh dengan “perbendaharaan Allah” yang amat berharga itu,
seperti emas, perak, bijih timah, arang batu dan sebagainya pun mulalah
dibongkar dan dikeluarkan, sebagaimana yang kita lihat hari ini. Di sana sini
tersergam kapal-kapal bijih yang besar-besar yang mengorek habis-habis kekayaan bumi Melayu, berturut
dengan itu pula pembukaan estet-estet bertanam getah dan kelapa pula dibuat
besar-besaran yang melaut-laut luasnya. Dalam estet-estet yang luas inilah
buruh-buruh dari India ditempatkan, manakala di lombong-lombong bijih pula
ditempatkan kepada buruh bangsa Cina.
Ketika itu, mana-mana
pembesar Melayu yang ada sedikit rasa kesedarannya telah digula-gulakan
dengan sedikit-sedikit kesenangan yang akan dapat melalikannya dan mengabui
mata rakyat jelata seluruhnya. Begitulah dalam masa puluhan tahun berjalan
terus menerus, kuku penjajahan semakin bertambah kuat, dasar kolonialisme
tambah mendalam, akhirnya terjadi sempadan-sempadan di Kepulauan Melayu Raya
ini, terjadi Malaya, Indonesia dan Filipina.
Malaya di bawah penjajahan British, Indonesia di bawah
penjajahan Belanda dan Filipina di bawah penjajahan Sepanyol kemudian bertukar kepada
penjajahan Amerika (hanya dalam masa beberapa tahun sahaja penjajahan Amerika
di Filipina, Amerika telah berjaya mencorakkan kebudayaan Barat kepada
sebahagian orang-orang Filipina sehingga
agama Kristian hampir-hampir telah menjadi agama rasmi di Filipina).
Akibat sempadan-sempadan ini, maka terjadilah perpecahan
rasa sebangsa dan setanah air kepada bangsa Melayu, untunglah pertalian seagama
masih dapat memperhubungkan di antara bangsa Melayu Malaya dengan Indonesia,
tetapi rasa perpisahan dengan Filipina makin mendalam jarak dan jauh disebabkan
agama Kristian telah dapat mempengaruhi sebahagian besar penduduk-penduduk di
sana.
Di Semenanjung Tanah Melayu ini telah pun dibuat beberapa triti (perjanjian), di antara
Raja-Raja Melayu dengan kerajaan Inggeris, kandungan perjanjian itu sengaja
disusun dengan kata-kata yang bijak untuk kebaikan, “muslihat” dan rancangan
Malaya di masa akan datang kemudian dapatlah pula dipelajari bagaimana perbezaan
triti itu dengan perjalanan pentadbiran pemerintahan yang dijalankan di Malaya
ini dari semasa ke semasa. Dato’ Sir Roland Braddel telah pun memberikan
pandangannya dalam masalah kedudukan taraf Raja-Raja Melayu (dalam sebuah
bukunya yang bernama “Taraf Negeri-Negeri Melayu”). Dari sini dapatlah
dipelajari bahawa perkataan “Malayan” telah pun ada sejak tahun 1860 lagi,
sebagaimana yang tertera dalam pembukaan triti itu berbunyi demikian:
“Report on the Treaties and Agreements with the Native
States of the MALAYAN PENINSULA, anterior to 1860”
Setelah itu corak pemerintahan Malaya ini terbahagi
kepada tiga cara “corak pemerintahan” iaitu:
1.
Negeri-Negeri Selat
2.
Negeri-Negeri
Melayu Bersekutu
3.
Negeri-Negeri
Melayu Bernaung
Negeri-Negeri Selat itu ialah: Singapura, Pulau Pinang
dan Melaka.
Negeri-Negeri
Bersekutu ialah: Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang.
Negeri-Negeri Bernaung ialah: Johor, Kedah, Kelantan,
Terengganu dan Perlis.
Ketiga-tiga corak pemerintahan Negeri-Negeri Melayu ini
adalah diarahkan di bawah sebuah teraju kekuasaan seorang gabenor atau
pesuruhjaya tinggi. Jadi dengan sendirinya walaupun ada triti-triti tersebut, maka pentadbiran Tanah Melayu ini
telah termasuk ke dalam sebuah pemerintahan “secara langsung dan tidak langsung”
(Direct and indirect Rule) kemudian terjadilah kedudukan taraf Raja-Raja Melayu
itu sebagaimana yang ada hari ini. Lebih jelas telah dapat dibuktikan kedudukan
Sultan-Sultan Selangor dan Sultan Terengganu dalam masa penjajahan Jepun dan
sudahnya British berkuasa semula di Malaya ini.
****
(4)
Pergerakan Kebangsaan Melayu dan Politik
Selepas Perang Dunia yang Pertama, setelah bangsa Melayu puas
kena ulit dengan ubat-ubat tidur, maka mulalah rasa keinsafan terhadap
perkara-perkara yang tak segiyanya (nota: saya kurang pasti) ditanggung dan
dideritai oleh mereka. Bangsa Melayu telah mula merasakan bagaimana nasib
mereka yang telah terbiar, perhubungan di antara rakyat dengan Raja tidak begitu rapat lagi menurut
erti katanya yang sebenar, bangsa Melayu
hanya dapat bertemu wajah dengan Raja-Rajanya ialah pada masa-masa dan
hari-hari yang tertentu sahaja, seperti hari-hari kebesaran, pertabalan,
istiadat perkahwinan, kemangkatan dan sebagainya. Begitu pula (sama ada disedar
atau tidak) kedudukan taraf rakyat bangsa Melayu adalah berlainan dengan taraf
bangsa-bangsa asing pada hari istiadat itu, bangsa-bangsa asing umpama – telah
dapat sama-sama duduk di kerusi tetapi rakyat jelata bangsa Melayu selain dari
yang berlutut – menyembah telah duduk
di tanah pula. Inilah sedikit gambaran yang membayangkan hakikatnya taraf
rakyat bangsa Melayu sendiri dengan Raja-Rajanya.
Manakala dari jurusan lain pula, kedudukan rakyat jelata
memang terbiar, tak dapat pembelaan yang selayaknya. Kaum-kaum peladang yang
berjemur kepanasan setiap hari lebih banyak mengorbankan tenaga dari mendapat hasilnya
yang mencukupi. Penoreh-penoreh getah Melayu di kebun-kebun kecil dan yang
menjadi buruh di estet-estet hanya
mencukupi sekadar “kais pagi makan pagi – kais petang makan petang” sahaja
sementara anak-anak mereka tinggal
terbiar dengan tiada mendapat apa-apa pelajaran. Kaum-kaum nelayan Melayu
adalah dalam keadaan yang lebih
menyedihkan lagi, mereka hanya menjadi alat kepada tauke-tauke bangsa asing,
yang sebagai memasang jerat di tempat yang genting itu.
Oleh sebab beberapa keadaan yang menyedihkan itu, mulalah timbul rasa
kesedaran kepada bangsa Melayu, surat khabar dan majalah-majalah Melayu mulalah
menyebarkan buah-buah fikiran dan pemandangan-pemandangan yang menginsafkan , ahli-ahli agama terbahagi kepada
dua aliran, aliran yang berfaham menuju kepada perubahan dan kemajuan dan
aliran-aliran yang berfaham cara lama – yang memandang agama untuk ibadat
sahaja.
Di masa itu, kebangunan bangsa Melayu adalah dipelopori oleh
beberapa golongan iaitu:
1.
Dari
penuntut-penuntut yang ke luar negeri,
2.
Dari
sebahagia guru-guru sekolah Melayu,
3.
Dari
ahli-ahli agama yang berfaham maju.
Penuntut -penuntut Melayu yang ke luar negeri, seperti ke
India, Makkah dan Mesir telah mendapat beberapa pemandangan-pemandangan pengalaman di luar negeri, di mana mereka
menjadi penuntut itu. Mereka telah menyaksikan semangat yang meluap-luap yang
sedang menuntut kemerdekaan untuk bangsa dan tanah air mereka keadaan itu dapat
membangkitkan semangat dan menginsafkan penuntut-penuntut Melayu. Penuntut-penuntut
yang pergi ke India dan Mesir tentulah berbeza dengan keadaan penuntut-penuntut
yang menuntut di England, kerana di England adalah negara penjajah sendiri.
Sedang di India dan Mesir masa itu adalah menjadi tanah jajahan yang sedang
panas dengan udara ingin terlepas dari penjajahan.
Dari golongan guru-guru sekolah Melayu pula, mereka yang
rajin membaca surat khabar-surat khabar, majalah-majalah dan buku-buku,
terutama surat khabar, majalah dan buku-buku dari Indonesia (kerana Indonesia
juga di masa itu sudah pun timbul beberapa gerakan kebangsaan yang menentang penjajahan
Belanda). Surat khabar-surat khabar dan majalah-majalah yang diterbitkan di
Malaya juga tidak kurang mengisi bahan-bahan yang menimbulkan rasa kesedaran kepada bangsa Melayu.
Manakala dari golongan ahli-ahli agama yang berfaham maju
pula telah membangunkan beberapa buah sekolah rakyat dan menyebarkan pelajaran
agama seluas-luasnya, tidak lagi setakat mengajar tauhid, fiqah, tasauf sahaja,
tetapi telah pun diajarkan tafsir al-Qur’an, Hadith-hadith dan tawarikh-tawarikh kebangunan Islam. Ketika
itu, hanya dalam masa sesingkat-sesingkatnya sahaja telah timbul semangat
keislaman yang meluap-luap, rasa kesedaran bahawa agama Islam itu, ialah agama
kemajuan dan politik, di sana sini sekolah-sekolah rakyat yang terkenal dengan “sekolah
Arab” itu mengadakan upacara ihtifal. Di majlis itulah suatu kesempatan kepada
guru-guru agama menanamkan rasa keislaman yang tulen dan sihat kepada umat
Islam, sehingga akhirnya faham-faham
yang memandang agama Islam hanya agama ibadat sahaja itu telah mulai hapus.
Demikian sedikit gambaran golongan-golongan yang terbesar
mempelopori kebangunan masyarakat bangsa Melayu di Malaya ini, dan ketiga golongan ini pada amnya adalah terdiri dari
golongan rakyat jelata semuanya. Akhirnya – hasil dari kesedaran tersebut –
terdirilah beberapa buah persatuan kesatuan dan persekutuan (yang semuanya atas
nama “Melayu” seperti Persatuan Melayu,
Kesatuan Melayu dan sebagainya) yang pada masa itu hanyalah masih berupa badan
sosial, kebajikan, persuratan sahaja, dan di antara persatuan-persatuan itu,
maka persatuan yang berdasar persuratanlah yang lebih berpengaruh, dan yang
lebih banyak menanamkan rasa keinsafan, yang di antaranya yang terkenal dengan nama
“PSPM” (Persuratan Sahabat Pena Malaya). Kemudian berturut dengan kesatuan dan
persatuan wartawan Melayu.
Rasa dan faham kebangsaan mulailah subur dan mendalam ke
dalam jiwa sebahagian bangsa Melayu yang telah mengikuti persatuan-persatuan
tersebut. Walaupun pada mulanya hanyalah
dengan berupa “sempit” sekadar istilah
yang terkenal dengan “takrif Melayu” itu. Tetapi istilah itu adalah sesuai pula
dengan keadaan dan suasana di masa itu, kerana bangsa-bangsa asing di masa itu pada
umumnya, adalah masih tetap berpegang dengan tujuan mereka yang pertama ke
Malaya ini kerana soal “dagang” mereka masih senang dengan sebutan bangsa dagang.
Oleh kuatnya saranan takrif kebangsaan Melayu itu melalui
akhbar-akhbar dan majalah-majalah maka timbullah rancangan hendak mengadakan
kongres kebangsaan Melayu seluruh Malaya. Kebetulan pula – udara pergerakan
kebangsaan yang bertiup di Indonesia semakin kencang seolah-olah meniup dan
menyuburkan benih kebangsaan yang sedang tumbuh dalam jiwa bangsa Melayu di
Malaya ini. Akhirnya dapatlah diadakan sebuah kongres Melayu yang boleh
dikatakan meliputi seluruh Negeri-Negeri Melayu, termasuk Brunei dan Sarawak.
Hasil dari kongres itu dapatlah menimbulkan rasa kebangsaan yang lebih luas dan
dapat menginsafkan lebih dalam lagi kedudukan yang sebenarnya nasib bangsa dan
tanah air Melayu. Untuk melaksanakan cita-cita kebangsaan itu juga telah timbul
dua aliran “non dan co” (non & co) – kiri dan kanan.
Di pihak non atau kiri, adalah dari golongan yang lebih
dalam keinsafannya, kerana itu mereka
dapat mempelajari beberapa soal-soal yang penting yang antaranya ialah:
1.
Bagaimanakah
kedudukan dan taraf Raja-Raja Melayu yang sebenarnya?
2.
Bagaimana
perhubungan di antara rakyat dengan Raja-Rajanya?
3.
Apakah
polisi kerajaan British terhadap bangsa Melayu?
4.
Apakah
polisi kerajaan British terhadap bangsa dagang di Malaya ini?
5.
Apakah
tuntutan-tuntutan dan kemahuan bangsa-bangsa dagang di Malaya ini kelak?
6.
Bagaimanakah
jalan-jalan dan ikhtiar hendak memulihkan kerosakan nasib bangsa Melayu
terutama dalam perkara-perkara ekonomi dan pelajaran?
7.
Apakah
persediaan untuk keselamatan bangsa dan tanah air bangsa Melayu?
8.
Apakah
akibatnya jika berbangkit peperangan di laut teduh?
9.
Dan
beberapa soal yang rumit yang sedang dipelajari.
Soal tersebut telah pun dapat diagak dan dijawab dengan agak
yang sipi dan hampir-hampir tepat, dengan melalui beberapa ikhtiar yang berat,
rumit dan sulit, di antara beberapa badan yang mengambil berat itu, ialah
Kesatuan Melayu Muda atau yang terkenal dengan nama KMM itu.
Kemudian peperangan di antara China – Jepun dari setahun
ke setahun bertambah-tambah kencang, akhirnya meletuplah peperangan di Eropah
(Perang Dunia yang Kedua) maka timbullah lagi beberapa soal yang lebih rumit
iaitu:
1.
Bagaimana
pertahanan British di Malaya?
2.
Apakah
pula niat dan langkah Jepun terhadap pelan “Tanaka” itu?
3.
Apakah
niat dan sikap bangsa Cina dan India terhadap Tanah Melayu?
4.
Apakah
pula langkah dan sikap yang harus
diambil oleh pihak bangsa Melayu untuk menghadapi segala kemungkinan-kemungkinan
tersebut, untuk keselamatan bangsa dan tanah airnya?
5.
Dan
beberapa soal-soal yang rumit lagi?
(5)
Perang
Dunia yang Kedua
Dalam tahun 1941, udara Tanah Melayu telah turut muram
dan gelisah, oleh haba api peperangan dunia yang semakin menjalar itu. China
Kebangsaan (Kuomintang) dan China Komunis telah menjalankan rol percaturannya.
Demikian pula India, sedang pihak Siam dan Indo-China tidak ketinggalan
bersedia – menurut yang sesuai pada pendapat mereka. Akhirnya ... ramalan orang
tua-tua “Cina gondol akan menjadi raja di Tanah Melayu setahun jagung” telah
pun tiba dan menepati.
Persediaan bangsa Melayu terhadap tanah airnya dalam erti kata yang sebenar boleh dikata
tiada ada langsung, hanya segolongan puak kiri – angkatan muda , yang menelan
air mata mengingatkan kecemasan yang harus menimpa nasib bangsa dan tanah air
Melayu, sedang sebahagian besar belum lagi sedar, hanya masih leka dan lalai.
Pembesar-pembesar Melayu yang menjadi tumpuan dan harapan rakyat masih asyik
bersuka ria dibuaikan oleh segala kesenangan yang palsu, pertahanan Tanah
Melayu dari tentera Melayu darat, laut jauh dari mencukupi, kerana itu ikhtiar
untuk mempertahankannya telah tiada berjaya.
“Gajah berjuang pelanduk mati tersepit” demikianlah
perumpamaan yang sesuai mengenai nasib bangsa dan tanah air kita, ibu pertiwi
tanah air kita yang tercinta menjerit, meraung dan menyeru pemuda-pemudanya,
hanyalah siapa yang terasa insaf di ketika itu telah menyahut seruan ibu
pertiwinya sebagai pemuda harapan bangsa, tidak sedikit di antaranya yang gugur
di pangkuan ibunya...
Bulan Disember tahun 1941, tentera Jepun telah mencurah-curah masuk
ke Malaya laksana air banjir layaknya – dengan tiada bertahan-tahan lagi. Belum
pun semua Malaya tewas, Pulau Pinang sudah bergabenorkan orang
India. Akhirnya Singapura jatuh, Inggeris menyerah kalah, bangsa Melayu telah
dapat menyaksikan kudrat iradat Tuhan Yang Maha Kuasa – mengatur dan melakukan
segala kehendak-Nya. Itulah kemenangan Jepun yang dibangga-banggakan dengan
“kemenangan Asia Timur Raya” konon, ada juga orang yang berfikiran singkat
turut suka dengan kemenangan itu, mereka beramai-ramai keluar menyambut
kedatangan Jepun konon, tetapi siapa yang lebih cepat berjumpa, orang itu yang
lebih dahulu menerima hadiah “tempeleng pulang balik” dari Jepun. Inilah dia
lagi suatu ujian kepada sejarah bangsa Melayu, untuk mengalami suatu penjajahan
baharu pula – penjajahan dari sama bangsa Asia yang telah menimbulkan beberapa
pelajaran:
1.
Perbezaan
di antara dua penjajahan – penjajahan Inggeris dengan penjajahan Jepun.
2.
Masa
Inggeris menyerah kalah dalam masa Jepun memerintah.
Sebelum masuk tentera Jepun ke Malaya, bangsa Melayu
telah mendengar kata-kata takabur dri propaganda Inggeris “biar tulang jangan
putih mata” dan sebagainya. Begitu pula, sewaktu Jepun mula-mula sampai, bangsa
Melayu telah disongsong dengan janji-janji yang manis dan gula-gula dengan
semboyan: kita sama-sama bangsa Asia, kemakmuran bersama, Asia Timur Raya dan
sebagainya. Semuanya itu adalah menjadi pengalaman, pelajaran besar kepada
bangsa Melayu yang mahu insaf, itulah dia “gula-gula penjajah” sekali penjajah
tetap penjajah! Kerana hanya baharu beberapa hari sahaja Jepun berkuasa, mulalah
mereka menunjukkan Fasisme, gerakan kebangsaan Melayu (Kesatuan Melayu Muda)
pun diharamkan. Dari semenjak itu
bebaslah berlaku segala kezaliman, kekejaman, kebengisan yang tak dapat
digambarkan, yang harus menjadi kenang-kenangan selama hidup kepada bangsa
Melayu, itulah dia penjajahan, walau daripada mana datangnya!!
Dari semenjak itu, gerakan kebangsaan Melayu terpaksalah
berjalan di bawah tanah dengan segala macam kebijaksanaan, ada yang tinggal di dalam,
ada yang tinggal di luar, di dalam mengambil langkah sebagaimana Nabi Allah
Musa di dalam istana Firaun, manakala di luar pula menjadi antifasis,
anti-Jepun dan ada pula yang menjalankan gerakan ghaif – semut putih dan
sebagainya.
Kesedaran dan kemarahan bangsa Melayu semakin bertambah
dengan sebab pekerti Jepun menyerahkan empat buah negeri Melayu: Kedah,
Kelantan, Terengganu dan Perlis ke dalam pemerintahan Siam.
Demikianlah gerakan kebangsaan Melayu dari sebulan ke
sebulan, bertambah kuat mendesak fasis Jepun dari luar dan dalam. Yang lebih
membingungkan Jepun, ialah meluap-luapnya semangat kebangsaan Melayu itu dari
pemuda-pemuda yang kononnya hendak dijepun-jepunkan tetapi tiba-tiba telah
terbalik menjadi “Melayu tulen” serentak dengan itu juga yang berlaku di
Indonesia dan Filipina.
Kebangkitan semangat kebangsaan Melayu ini juga telah menerbitkan kebimbangan segolongan
orang-orang Cina di Malaya ini. Mereka
memandang dari segi banyaknya
orang-orang Melayu yang turut bekerjasama dengan Jepun sebagai tentera,
sedang di pihak orang-orang Cina pada umumnya adalah bersemangat bencikan
Jepun.
Sekalipun sebahagian kecil ada juga yang menunjukkan
bekerjasama, tetapi yang sebenarnya merekalah yang terkenal dengan perkataan “chon
kweghap” atau memberi suap kerana muslihat hidup dan perniagaan mereka. Maka
dengan dua aliran ini, terjadilah rasa curiga mencurigai di antara orang-orang
Cina terhadap orang-orang Melayu.
Oleh itu, dengan terkejutnya Jepun menyerah diri kepada
pihak berikat, maka di antara dua
semangat yang bertentangan tadi mudah sahajalah menjadi subur dan bernyala, sementara di pihak orang
Cina pula didorong oleh rasa hendak membalas dendam kepada orang-orang yang
menjadi pegawai dan kakitangan Jepun yang telah melakukan kezaliman di masa
Jepun itu. Dan serentak dengan itu berdirilah kerajaan Cina Bintang Tiga selama
kira-kira tiga minggu.
Meskipun begitu, beberapa panglima Melayu yang terkenal
dengan keturunan Banjar dan parang panjangnya, telah sempat juga menunjukkan darah
keperwiraannya, seperti yang berlaku di Batu Pahat – Johor, dan di Sungai Manik
– Perak, yang telah menimbulkan kesan besar yang menginsafkan orang-orang Cina seluruhnya.
Manakala sepihak lagi, dari golongan kebangsaan telah tampil ke muka, ke medan politik, memimpin dan menyeru rakyat supaya
bersatu padu, kerana membela hak dan keadilan bangsa Melayu – kepada para
pejuang dan ahli-ahli kebangsaan ini tergambarlah beberapa soal yang penting
dan masih rumit dan sulit untuk dipelajari iaitu:
1.
Siapakah
Raja-Raja Melayu yang sebenarnya yang mesti ditaati oleh rakyat menurut yang
sesuai dengan binaan keagungan bangsa
Melayu terhadap kedaulatan Raja-Rajanya itu?
2.
Bagaimanakah
perlembagaan tatanegara kerajaan Melayu yang sebenarnya yang telah terdiri
sejak beribu-ribu tahun dahulu turun-temurun
menjadi kemegahan bangsa Melayu, sehingga berakhir dengan jatuhnya kerajaan
Melaka?
3.
Kenapakah
rakyat Melayu berpantang menderhaka dan apakah rahsianya?
4.
Kenapakah
negeri-negeri kecil yang dahulunya berpusat ke Melaka itu, telah mendirikan
kerajaan sendiri masing-masing pula di Kepulauan Melayu ini?
5.
Bagaimanakah
taraf Raja-Raja Melayu sebelumnya membuat triti dengan East Hindia Company dan
apakah sebab-sebabnya triti itu dibuat?
6.
Kenapakah
Belanda menabalkan Sultan-Sultan Melayu di
Riau dan British pula menabalkan Sultan Melayu di Singapura?
7.
Apakah
sikap yang dijalankan oleh Belanda di Indonesia dan East Hindia Company di
Malaya ini?
8.
Bagaimanakah
sebenarnya kedudukan taraf Raja-Raja Melayu di Tanah Melayu ini dari semenjak
tahun 1874 hingga tahun1933, iaitu sejak dari Triti Pangkor yang dibuat oleh
Raja-Raja Melayu berakhir dengan Triti Kedah?
9.
Apakah
sebenarnya takrif dan istilah tiap-tiap
perkataan yang terkandung dalam triti itu, terutamanya yang di antara lain-lain
berbunyi “hendaklah atau mestilah menerima nasihat daripada penasihat-penasihat
British – kita dipelawa oleh Raja-Raja Melayu untuk mentadbirkan Negeri Melayu – British tidak mencampuri adat
istiadat Melayu dan agama”.
10.
Betulkah
Negeri-Negeri Melayu ini bersendirian dan merdeka, hanya berlindung di bawah
bendera Inggeris?
11.
Apakah
pendapat kebangsaan Melayu terhadap buku MALAYSIA yang ditulis oleh Rupert
Emerson dengan buku pemerintahan British di Timur Asia oleh Mill itu, dan
apakah pengalaman bangsa dan kebangsaan Melayu hingga Perang Dunia yang Kedua
ini di bawah naungan British?
12.
Apakah
untung-ruginya kepada bangsa Melayu seluruhnya dengan adanya beraja-raja dan bernegeri-negeri
pula di Semenanjung ini?
13.
Apakah
sebab-sebab rasa taat setia rakyat terhadap Rajanya telah mulai renggang?
14.
Adakah Raja-Raja Melayu telah sedar di mana dan
setakat mana kekuasaan mereka yang sebenarnya, demikian pula hak rakyat jelata
terhadap Raja dan negerinya?
15.
Di
manakah dan bagaimanakah “songlap” yang membencanakan hak dan keadilan Raja-Raja dan bangsa Melayu
di tanah airnya sendiri?
16.
Dari
manakah puncanya kejatuhan bangsa Melayu
di atas tanah airnya sendiri? Adakah disebabkan Rajanya, rakyatnya atau
penaungnya? (yang sebenarnya telah menjadi penjajah?).
17.
Adakah
perkataan “Malayan” itu baru? Adakah rancangan hendak “memalayankan” ini baharu selepas perang ini sahaja? Apakah
yang dituju oleh siasah pintu terbuka itu?
18.
Adakah
tuntutan orang yang menghitungkan dirinya Malayan itu sebagai suatu tuntutan
yang hak dan adil atau hanya mengada-ada?
19.
Apakah
akibatnya kepada bangsa Melayu yang tetap berpendirian “Malaya hak Melayu”
manakala orang-orang Malayan pula berdegil dengan tuntutan mereka, bahawa orang
asing dikatakan Malayan itu juga berhak. Siapakah yang akan kecewa dan siapakah
yang akan beruntung?
20.
Dapatkah
Malayan dipertahankan, diselamatkan dengan kedaulatan Raja-Raja Melayu atau
dengan kedaulatan rakyat – demokrasi, kemudian mana satukah sikap yang lebih
sesuai yang harus diperjuangkan oleh bangsa Melayu untuk keselamatan bangsa dan
nusa?
21.
Lain-lain
soal lagi yang harus timbul dari semasa ke semasa.
***
(6)
Kesedaran
Bangsa Melayu
Setelah kira-kira tiga tahun lapan bulan lamanya bangsa
Melayu merasa kekejaman penjajahan Jepun semakin bertambahlah rasa kesedaran
bangsa Melayu, khasnya kepada golongan-golongan kebangsaan (nasionalis). Mereka
telah mula mempelajari dari suatu masa ke satu masa akan kesan-kesan peredaran:
Naungan
British
Penjajahan
Jepun
Desakan
orang-orang dagang
Dari tiga peredaran ini, rakyat jelata bangsa Melayu
telah menjadi semakin terdesak dan menderita, sementara itu tentera British telah
kembali ke Malaya, yang membawa Malaya ini telah dijajah oleh British bagi kali
yang keduanya.
Puak dan golongan kebangsaan Melayu yang telah merasa cukup
sedar dan insaf akan malapetaka yang
telah dan akan menimpa nasib bangsa dan tanah airnya, telah mempelajari sejauh-sejauhnya
akan kedudukan bangsa Melayu dahulu dan sekarang – serta memperbandingkan
dengan perubahan-perubahan dunia selepas perang yang kedua ini, iaitu dengan
adanya Atlantik Charter dan tertubuhnya Perlembagaan Bangsa-Bangsa (U.N.O.)
kemudian mempelajari pula aliran-aliran dan sikap baharu imperialisme dan
kapitalisme itu dan melihat semangat kebangsaan yang meluap-luap dari
bangsa-bangsa Asia yang lain – khasnya
di Indonesia yang telah berterus terang menuntut kemerdekaan, maka dari
kesedaran itulah timbulnya hasrat hendak mengadakans sebuah gerakan kebangsaan
Melayu yang benar-benar menentang kolonialisme di Malaya ini.
Kesedaran itu telah semakin mendalam pula dipelopori oleh rasa keimanan bangsa Melayu sebagai
bangsa yang beragama Islam, iaitu agama
yang mengajar hidup merdeka, dan hanya mesti tunduk dan bertakwa kepada Allah
Yang Maha Esa semata-mata – bukanlah penaung atau penjajah dan sebagainya.
Dari sini – biarlah lebih dahulu saya bawa falsafah
perjuangan kebangsaan Melayu kepada segi keimanan dan ajaran Islam, supaya
lebih sesuai dengan semboyan “ (hubbul wathan minal iman” (kasihkan tanah air itu sebahagian daripada iman). Jadi –
dipandang dari segi falsafah, maka perjuangan
kebangsaan kita adalah tersusun dari:
1.
Iman
(nyawa)
2.
Tubuh
diri
3.
Bangsa
4.
Watan – tanah
air
Empat serangkai ini dalam binaan watan: iman berdiri di
atas tubuh, tubuh berdiri di atas bangsa, bangsa berdiri di atas watan. Salah
satu dari yang empat ini tiada boleh terpisah dari susunan binaannya dan watan
adalah menjadi sebagai pokok. Ada watan ialah dengan kuat bangsa, kuat bangsa
itu ialah dari tubuh diri yang sihat dan perkasa. Seperti pekerja, pahlawan,
perajurit dan seluruh para pejuang kebangsaan, maka dalam jiwa para pejuang
inilah letaknya iman!
Jika sesuatu bangsa itu lemah dan hina, maka agamanya
juga turut lemah dan hina, sebaliknya
jika suatu bangsa itu bebas dan merdeka maka agamanya juga menjadi bebas dan
merdeka.
Sebelumnya seseorang itu beriman dan beragama, lebih
dahulu ia sudah berbangsa dan berwatan – tanah air. Ia dilahirkan di atas
fitrahnya yang suci, bebas dan merdeka dalam erti kata bebas dan merdeka
seluas-luasnya. Agama Islam juga belum mahu memaksa dengan suatu “taklif”
selamanya seseorang itu belum lagi meningkat akil baligh dan setelah seseorang itu akil baligh,
maka barulah kemerdekaan itu dibatasi dengan batasan-batasan yang tertentu yang
tiada sampai merosakkan asasnya dan tiada pula melanggar kemerdekaan orang-orang
lain.
Sebagaimana juga si ibu bapa telah membiarkan anaknya itu
bebas lepas kencing di tilam, lamun masanya menyusu akan disusukannya juga
begitulah dianya falsafah merdeka kepada tiap-tiap makhluk di muka bumi ini.
Jadi, sungguh tepatlah bahawa merdeka itu menjadi “hak mutlak” kepada seseorang
dengan tiada dapat disekat-sekat dan ditahan-tahan oleh sesiapa pun.
Al-Qur’an ada menceritakan bagaimana cara kebebasan
berfikir yang dicontohkan oleh Saidina Ibrahim A.S. – yang pada mulanya
bertuhankan bintang, bulan, matahari dan akhirnya mendapat keputusan (petikan
surah – yang bertuhankan Allah khalaq al-alam.
***
(7)
Perjuangan
Kita Menurut Ajaran-ajaran (al-Qur’an)
Kita – bangsa Melayu yang telah menganut agama Islam, adalah
dengan sendirinya telah mempunyai ajaran-ajaran
yang menyuruh dan mendesakkan kita memperjuangkan nasib kita menuju kemerdekaan,
sebagaimana yang ditegaskan oleh al-Qur’an yang di antaranya:
1.
...
Ertinya: Sesungguhnya Allah tiada akan mengubah nasib sesuatu kaum (bangsa)
itu, hingga kaum itulah sendiri mengubah keadaan diri mereka sendiri.
Ayat ini – adalah mengingatkan, bahawa nasib sesuatu
bangsa itu ialah mengikut nasib yang telah ditempa dan dibentuk oleh bangsa itu
sendiri. Jika sesuatu bangsa itu membentuk dan menempah dirinya setakat menjadi
hamba, perkakas, alat, patung kepada si penjajah maka nasib bangsa itu akan
kekallah setakat itu sahaja tinggal menjadi bangsa yang terjajah
selama-lamanya. Sebaliknya jika sesuatu bangsa itu ingin menjadi suatu bangsa
yang mulia, berdaulat dan merdeka, maka lambat-bangatnya pada suatu masa kelak tetap
akan menjadi bangsa yang merdeka dan berdaulat. Ini adalah jaminan Allah,
sesuai dengan semboyan bahawa “bangsa
yang ingin merdeka, pasti akan merdeka”.
2.
...
Ertinya: Janganlah kamu terasa hina dan
terasa kecewa, sedang kamulah yang paling tinggi, jika sebenarnya kamu beriman.
Ayat yang kedua ini mengingatkan: Janganlah hendaknya
umat Islam berasa hina dan kecewa ketika berhadapan dengan keagungan dan
kemuliaan orang lain, kerana yang sebenarnya merekalah yang paling tinggi dengan kekuatan dan rasa
keimanan di dalam jiwa mereka. Maka
janganlah hendaknya umat Islam berjiwa rendah dan hanya menyerah kalah, tetapi
haruslah mereka berjiwa mulia dan berasa bertanggungjawab.
3.
...
Ertinya: Tiadalah kamu dapati sesuatu kaum itu yang sebenarnya beriman dengan
Allah dan hari akhirat, selagi mereka suka kepada orang yang menjadi penghalang
kepada ajaran Allah dan rasul-Nya. Dalam ayat ini adalah menegaskan, bahawa
orang yang suka kepada penghalang-penghalang agama-agama Allah, tidaklah ia sebenar-benarnya orang yang
beriman.
4.
...
Ertinya: Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengambil bantuan lain
daripada golongan kamu. Pada ayat ini pula adalah mengingatkan kepada umat
Islam supaya berdiri sendiri, jangan mengambil atau berharap kepada bantuan
orang lain (yang bukan Islam).
5.
...
Ertinya: Kemuliaan, keagungan dan kemegahan itu adalah bagi Allah, bagi rasul
dan bagi seluruh orang mukmin. Ayat ini – adalah menegaskan – mengingatkan,
bahawa kemulian, keagungan dan kehormatan itu selain dari Allah dan rasul
hendaklah kepada seluruh orang mukmin sahaja.
6.
...
Ertinya: Kamulah yang sebaik-baik umat di antara manusia seluruhnya untuk
mengarahkan kepada berbuat baik dan melarang daripada berbuat mungkar.
Ayat ini, sesungguhnya telah menegaskan, bahawa kita umat
Islamlah yang sebaik-baik umat di antara umat manusia di dunia ini. Iaitu
sebagai umat yang harus memimpin manusia ke arah kebaikan dan menyekat manusia
dari melakukan sesuatu kejahatan. Atau dengan lain perkataan: Kita umat Islam
hendaklah menjadi umat yang harus memberi “teladan baik” untuk diikuti dan
dicontohi oleh umat-umat lain di dunia ini, dan bukanlah sekali-kali hanya
menjadi umat yang dipandang rendah, hina, pemalas, kaku, beku, kolot dan
sebagainya.
Untuk itu – kita umat Islam – bangsa Melayu seluruhnya sudah
sepatutnyalah menjadi suatu bangsa yang merdeka dan berdaulat – umat yang
menjadi keluarga bangsa-bangsa di United Nation (U.N.O.) kerana hanya dengan
itulah baru kita dapat memberikan sumbangan kepada dunia seluruhnya. Dan
akhirnya memberikan pemimpin yang baik kepada bangsa-bangsa lain di dunia ini.
Jadinya – dengan menginsafi kehendak ayat-ayat tersebut nyatalah
kita bangsa Melayu hari ini sangat jauh ketinggalan dari kehendak ajaran-ajaran
Islam yang mulia itu. Kerana yang sebenarnya – kita bangsa Melayu hari ini,
adalah bangsa yang masih terjajah, jauh lebih hina dan rendah dari bangsa-bangsa
lain yang telah merdeka dan berdaulat.
Sejak jatuhnya kerajaan Melayu Melaka sehingga hari ini,
sebenarnya kita telah pun banyak merasa pengalaman-pengalaman yang pahit, iaitu
sebagai suatu ajaran (peringatan) Allah di atas kelalaian kita sendiri. Kita
telah dijajah oleh bermacam-macam bangsa, sejak dari bangsa-bangsa Portugis,
Inggeris, Belanda di Malaya dan di Indonesia, manakala di Filipina pula oleh
penjajah Sepanyol dan Amerika. Setelah itu kita telah dijajah oleh sesama
bangsa Asia sendiri, iaitu Jepun, dan hari ini kembali kepada penjajahan
Inggeris bagi kali yang keduanya.
Kembali pula – kita memperkatakan faham kebangsaan kita
(kebangsaan Melayu) dengan ajaran Islam (Islam dan nasionalisme) maka yang
belumlah ada pertentangan, selagi istilah kebangsaan itu luas – tiada sempit,
tetapi tiada pula sampai terbabas yang akan mengecewakan. Dalam bahasa Arab (juga
dalam Islam) dipadankan dengan kalimat “watan” yang ertinya: tanah air. Ini
sesuai pula dalam politik yang disebut “nasionaliti” yang berasal dari nation
dan supaya faham kebangsaan yang kita perjuangkan itu kukuh dan teguh, tak
dapatlah dipermainkan sebarang anasir,
sudah tentulah kebangsaan yang telah mempunyai asas, akar tunjang yang
tak dapat digoyang-goyang lagi, iaitu: “kebangsaan Melayu” iaitu rupa bangsa yang
berasas kepada sejarah kebesaran bangsa Melayu sendiri, sebagaimana yang telah
ditegaskan dahulu.
***
(8)
Tertubuhnya
(Parti Kebangsaan Melayu)
Setelah mengalami, mempelajari dan menginsafi segala keadaan-keadaan
tersebut, didorong dan didesak oleh rasa kesedaran yang sebenar-benarnya terhadap
nasib bangsa dan tanah air, maka pada 17 Oktober 1945 tertubuhlah sebuah parti
politik yang bernama “Parti Kebangsaan Melayu” atau Malay Nationalist Party
(M.N.P.) di Ipoh, Perak. Kemudian pada 30 November hingga 2 Disember 1945 parti
tersebut telah berjaya mengadakan kongresnya yang pertama bertempat di Town
Hall – Ipoh, dengan dihadiri oleh para perwakilannya di seluruh Malaya.
Dalam kongresnya yang bersidang selama empat hari itu,
selain dari membahaskan beberapa perkara yang tertentu, telah mengambil empat keputusan
besar yang menggemparkan, iaitu:
1.
Malaya
adalah sebahagian dari Indonesia,
2.
Sang Saka
merah putih menjadi lambang kebangsaan Melayu,
3.
Bersetuju
kepada sebuah Kesatuan Tanah Melayu Malayan Union (yang tiada bercorak koloni),
4.
Berbaik-baik
dengan semua bangsa di Malaya.*
Dengan empat keputusan inilah, PKMM memperjuangkan
cita-citanya sebagai sebuah parti politik kebangsaan Melayu yang julung pertama
tertubuh di masa itu, dan berterus menuntut kemerdekaan bangsa dan tanah air, dan salam “merdeka”
adalah sejak hari itu lagi telah diputuskan menjadi salam perjuangannya.
*Keputusan inilah yang telah menggemparkan sebahagian
besar orang yang mengikuti perjuangan PKMM dari jauh, terutama mengenai
keputusannya bersetuju menerima Malayan Union dan berbaik- baik dengan bangsa-bangsa asing di Malaya ini.
Mereka telah menuduh PKMM menjual Malaya kepada Cina dan
sebagainya, tetapi mereka tidak mahu mengkaji bagaimanakah “Malayan Union” yang
dipersetujui oleh PKMM itu, dan setakat mana pula dasar “berbaik-baik dengan
bangsa asing” menurut istilah yang dikehendaki oleh PKMM.
PKMM telah melancarkan perjuangannya yang hebat dan berat
itu dengan mengutuskan pesuruhjayanya kepada tiap-tiap negeri di seluruh Tanah
Melayu untuk memberikan penerangan kepada rakyat jelata akan dasar-dasar dan
tujuan-tujuan perjuangannya. Selain dari itu saranan-saranannya juga
dilancarkan menerusi lidah-lidah rasmiya:
Harian: - Suara Rakyat dan Pelita Malaya,
Mingguan: - Suluh Malaya dan Semboyan Baru,
Bulanan: - Majalah Berjuang dan Voices of the People.
Kesan dari saranan-saranan tersebut, dan oleh giat dan
cergas usaha-usaha yang dilancarkan oleh pemimpin-pemimpin dan
pegawai-pegawainya maka hanya dalam masa yang secepat kilat telah dapat
menubuhkan ratusan cabangnya di seluruh Malaya dengan ahli-ahlinya yang telah meningkat kepada puluhan ribu yang terdiri
dari segenap lapisan rakyat jelata, lelaki dan perempuan.
Setelah kira-kira lima bulan berdiri PKMM, maka
ditubuhkan pula Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (U.M.N.O.) iaitu pada awal
Mac 1946 di Johor Bahru. Meskipun di pihak PKMM dapat juga menduga sebab-sebab
ditubuhkan UMNO, tetapi PKMM dengan rasa jujur dan ikhlasnya telah juga
membuktikan hasratnya ingin bersatu padu (sama sebangsa), iaitu dengan
memberikan kerjasama yang bulat kepada pihak UMNO, juga memberikan sokongan
dengan suara-suaranya dalam lidah rasminya (akhbar-akhbar) dan di dalam bukunya
“Bersatulah” yang dikarang oleh En. Ishak bin Haji Muhammad.
Tetapi setelah kira-kira lima bulan pula PKMM turut
bekerjasama dan bergabung di dalam UMNO, maka PKMM telah terpaksa keluar
mengundurkan dirinya dari pihak UMNO kerana telah tiada dapat mempersesuaikan
dasarnya sebagai sebuah badan politik yang memperjuangkan cita-cita kemerdekaan
bangsa dan tanah air. Sedang di pihak UMNO di masa itu hanyalah merupakan sebuah
bahtera yang menuju ke pelabuhan “Status Quo” yang kembali kepada cara-cara
pemerintahan tahun 1941, atau dengan lain perkataan, UMNO (di masa itu) tiada
mahu kepada kemerdekaan, sebagaimana semboyannya yang terkenal, hanyalah
setakat “Hidup Melayu” sahaja.
PKMM sebagaimana yang telah ditegaskan telah pun faham
dan mengerti setakat mana yang sebenarnya perjuangan UMNO (di masa itu). Untuk
penyaksiannya dari luar dapat pula
diperhatikan pula diperhatikan dari buku yang bernama: Malaysia – Rupert
Emerson yang disambut pula oleh buku British Rule in East Asia – Mill bahkan
lebih tegas lagi dengan sambutan UMNO terhadap tuan kapten Gamen (kurang
pasti).
Maka dari sebab-sebab yang tertentu itulah PKMM telah
terpaksa mengasingkan dirinya dari UMNO dalam masa persidangannya pada bulan
Julai 1946 di Ipoh itu, iaitu dengan suatu harapan dan keyakinan semoga pada
suatu masa kelak akan bersatu juga, setidak-tidaknya dasar-dasar yang diperjuangkan PKMM ini pada suatu hari
akan diakui oleh pihak UMNO – di kala di mana kesedaran rakyat kelak.
(9)
Soal-soal
yang Timbul
Sementara itu, soal-soal yang timbul yang telah menjadi
tanda tanya dan harus dipecahkan oleh segenap ahli pergerakan kebangsaan telah
semakin banyak, di antanya ialah:
1.
Kenapakah
UMNO (perjuangannya di masa itu) hanya setakat membela nasib Raja-Raja Melayu
yang sudah menyerahkan kuasanya berkali-kali dan (UMNO di masa itu) hanya
berkehendak setakat perlembagaan Federation sahaja sebagai ganti Malayan Union?
2.
Adakah
nasib bangsa Melayu hari ini masih dapat dibela dan dipertahankan oleh Raja-Raja
Melayu atau oleh rakyat seluruhnya?
3.
Adakah
dengan cara pemerintahan menurut perlembagaan Federisin itu, keselamatan bangsa
Melayu dapat terjamin?
4.
Apakah yang
sebenarnya corak dan gerakan yang membahayakan kebangsaan Melayu itu di Malaya
ini, Malayan Unionkah, Federisinkah, beruangkah, harimaukah, nagakah, ularkah,
pagarkah atau siapakah dan bagaimana atau sampai ke mana?
5.
Apakah
yang akan berbangkit kelak di Malaya ini dengan terbitnya dua persatuan: Melayu
dan Malayan, dan kepada siapakah tanggungjawab keburukannya kelak?
6.
Adakah
jalan-jalan lain yang lebih baik dan lebih terjamin, selain daripada percaya
kepada bangsa sendiri, dengan menjalankan ikhtiar-ikhtiar yang bijak untuk
membela hak dan keadilan bangsa Melayu, sebagai suatu bangsa yang ingin merdeka
dan berdaulat dan terlepas dari belenggu
penjajahan itu?
Inilah di antara beberapa soal yang harus dijawab dan
dipecahkan oleh ahli-ahli pergerakan kebangsaan (dalam tahun 1946 – 1947) untuk
melicinkan lagi perjuangan mereka. Bagi pihak PKMM (masa itu) sudah pun mengagak
dan membuat perhitungan “untuk ruginya” dan berapa jauh jalan-jalan dan
liku-liku yang akan ditempuh, berapa tinggi rendah, curam mendaki, menurun yang
akan dilaluinya kelak, dan biar bagaimanapun – maka PKMM adalah tetap dengan cita-cita dan keyakinannya
menuju kepada matlamatnya yang satu, iaitu kemerdekaan bangsa dan tanah air.
Maka pada 17 Ogos 1947 (ketika buku ini diterbitkan)
adalah genap umur perjuangan kita (PKMM)
selama setahun, ertinya baru setakat itulah pergerakan kebangsaan kita dapat
memperjuangkan cita-citanya yang besar itu dengan melalui segala macam ujian
dan pengalaman, maka dalam masa yang singkat itu belumlah dapat dibanggakan lagi
bila dibanding dan menginsafi jauh dan
hebatnya perjuangan yang sedang dan akan dihadapinya kelak.
Begitu pun – keputusan yang pertama “Malaya sebahagian
dari Indonesia” itu telah pun disiarkan kepada
beberapa tempat yang tertentu dan ke seluruh dunia. Begitu pula
(keputusannya yang kedua) Sang Saka merah putih yang menjadi lambang kebangsaan
Melayu adalah berdasarkan sejarah yang tidak dapat dinafikan, bahawa bangsa
Melayu ialah suatu bangsa yang mempunyai sejarah kebesarannya sendiri dengan tiga
kerajaannya yang besar yang silih berganti, sejak dari kerajaan Sriwijaya di
Sumatera, Majapahit di Jawa, dan Melaka di Semenanjung Tanah Melayu ini.
Keputusan yang ketiga bersetuju kepada Malayan Union –
bukanlah Malayan Union buatan British yang telah siap ditempah dari England
itu, tetapi ialah Malayan Union dalam erti katanya Kesatuan Malaya yang dasar
dan coraknya menurut hasrat rakyat Tanah Melayu ini, khasnya bangsa Melayu
sendiri.
Kita (PKMM) telah pun menjelaskan kemahuan kita ini
kepada pihak kerajaan British di Malaya dan juga kepada kolonel Ris Williams
(kurang pasti) yang telah datang ke Malaya ini, iaitu dengan membangkang
sekeras-kerasnya “kertas putih” Malaya Union
itu dan kita kemukakan corak perlembagaan yang kita kehendaki sebagai
gantinya.
Keputusannya yang keempat – berbaik-baik dengan bangsa
asing di Malaya ini, sekalipun kita telah mendapat tentangan hebat dan tuduhan
yang sangat berat dari sebahagian bangsa kita sendiri yang memang kita hormati
rasa kebangsaan mereka, tetapi di pihak kita (PKMM) tetap berpegang kepada dasar ini (menurut istilahnya,
yang tertentu) dan dengan dasar ini juga kita telah dapat menjalankan
berbagai-bagai usaha, ikhtiar untuk memadamkan rusuhan Cina-Melayu yang sedang
berbangkit di Malaya masa itu (dalam tahun 1945).
Ikhtiar-ikhtiar ini telah dapat menyelematkan sebahagian bangsa
kita dari menjadi korban rusuhan-rusuhan
tersebut, begitu pun kita merasa sedih, kerana ada juga di beberapa tempat,
seperti di ... (kurang pasti) – Perak dan Batu Malim – Pahang yang tak sempat
kita berikhtiar mengelaknya, tetapi dalam kerja-kerja yang lain – yang berat
dan sibuk, telah dapat juga kita menunjukkan tanda ingatan kita kepada
saudara-saudara kita yang malang itu.
Setahun – memanglah masa yang sangat singkat dibandingkan
dengan kerja-kerja yang masih berat dan banyak yang mesti kita hadapi (keran
buku ini ditulis sebagai menyambut PKMM genap setahun) tetapi apa yang dapat
kita banggakan ialah dasar-dasar dan tujuan-tujuan kita tegas dan terang,
sekalipun ada pihak-pihak yang berusaha hendak mengabui dan mengelirukan
dasar-dasar dan tujuan-tujuan kita yang benar dan suci itu.
Perhatian rakyat adalah bertambah-tambah jua dari semasa ke semasa terhadap perjuangan
kita, iaitu dengan bertambah-tambah bilangan cawangan-cawangan kita, juga
bertambah pertubuhan-pertubuhan yang berjuang di samping PKMM, yang di
antaranya ialah:
1. Angkatan
Pemuda Insaf (A.P.I.).
2.
Perlembagaan
Buruh Malaya - Melayu.
3.
Kesatuan-Kesatuan Kaum Tani.
Demikian juga barisan kaum ibu (yang pada masa itu belum
tertubuh Angkatan Wanita sedar), bahagian ekonomi, pelajaran dan sebagainya.
Demikianlah kesempatan saya menuliskan sedikit catatan
yang membayangkan sedikit sebanyak tinjauan ke arah perjuangan kita, moga-moga
dapatlah hendaknya menambahkan keyakinan dan kepercayaan kita bersama untuk
melaksanakan cita-cita suci mulia itu menuju kemerdekaan bangsa dan nusa dan
mencapai keredaan Allah. Setahun kita
menanamkan "jiwa merdeka" maka benih yang tertanam itu tetap akan
tumbuh - berbuah dan berkembang. Perjuangan kita adalah perjuangan yang hak,
tetap akan berjalan terus-menerus, sama beredar dengan sunah alam, sama tunduk
di bawah "kudrat Allah".
Waala Allah fil ya taruskkal almukminun - merdeka!
(Kata Penutup)
Alhamdulillah, buku (Sejarah Perjuangan Kita) ini telah
dapat dicetak dan diterbitkan semula – yang kebetulannya di akhir tahun 1955,
yang bersejarah ini. Meskipun sebahagian kandungannya merupakan sejarah dalam tahun
1946 – 1947 yang lalu, tetapi oleh kerana perjuangan itu - perjuangan yang hidup, maka kenyataannya
telah dapat disaksikan sekarang, juga untuk djadikan bahan dalam menghadapi
perkembangan politik hari ini.
Kepada sejarah bangsa Melayu, khasnya kepada orang yang
mengikuti perkembangan politik di Tanah Melayu ini, tentulah dapat mengukur dan
mempelajari setakat mana dan ke arah mana “matlamat” yang dituju dan diperjuangkan
oleh para nasionalis-nasionalis tulen itu. Mereka tentulah dapat mengkaji dan
mempelajari bahawa rasa keinsafan yang mendorong pejuang-pejuang nasionalis
itu, adalah berakar umbi dari bawah -
dari rakyat jelata yang sebenar-benarnya mengalami pahit maungnya akibat
penjajahan, dipupuk dan diilhamkan oleh jiwa besar, jiwa pahlawan, jiwa
kesatria – jiwa “kebangsaan Melayu”, yang dipusakai dari Laksamana Hang Tuah
dan bukanlah dari suatu desakan luar yang hanya berpura-pura hendak
menyesuaikan diri di tengah-tengah jiwa revolusi rakyat yang sudah ingin
merdeka sekarang.
Kerana itulah – para pejuang-pejuang itu sehingga hari
ini tetap berpegang kepada asas perjuangannya, memperjuangkan hasrat rakyat
supaya kembali menjadi bangsa yang berdaulat di tanah airnya sendiri dan
menjadi keluarga yang sama tarafnya dengan bangsa-bangsa yang merdeka di dunia
ini.
(Bangsa yang ingin merdeka tetap merdeka)
Penerbit, September, 1955.
No comments:
Post a Comment